RSS Feeds

Khamis, 20 November 2008

Mengetahui Ibadah korban

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ. الحج

Ibadah ini disyariatkan melalui al-Quran, Sunnah dan Ijma'. Allah berfirman yang bermaksud; "Maka solatlah kepada tuhanmu dan berkorbanlah". Daripada Aisyah bahawasanya Nabi berkorban dengan 2 ekor kibas bertanduk baginda menyembelihnya dengan tangan baginda, membaca Bismillah dan kemudian bertakbir". Muttafaq Alaih.


Daripada ibnu Umar beliau berkata; "Adalah baginda Alaihissalam menyembelih berhampiran tempat solat". Hadis riwayat Bukhari. Daripada Zaid bin Arqam berkata; Telah berkata sahabat-sahabat Nabi; "Wahai Rasulullah apakah erti sembelihan ini?" Baginda bersabda; " ini adalah sunnah bapa kamu Ibrahim". Mereka berkata; "apa yang kami dapat daripadanya"? Nabi menjawab; "Dengan setiap helai bulu adalah satu pahala kebaikan. Mereka berkata; "sekeping kulitnya wahai Nabi"? Beginda menjawab; "Dengan setiap helai bulu dari kulitnya adalah satu pahala kebaikan". Riwayat imam Ahmad dan ibnu Majah.


Ulama berselisih pendapat dalam hukum berkorban,

Sebahagian mereka berpendapat hukumnya adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan, ini merupakan pendapat Rabiah, Auzai', Abu hanifah, imam Ahmad dalam satu riwayat, dan pendapat sebahagian ulama Maliki. Mereka berhujah dengan ayat yang seperti di atas. Dan dari hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad daripada Nabi : "Barangsiapa yang mempunyai kemampuan kemudian tidak melakukan korban maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami". Ibnu Abdul Hadi berkata; isnadnya dikeluarkan oleh Sohehain.


Adapun pendapat kedua ; hukumnya adalah sunat bukan wajib, ini merupakan pendapat Jumhur ulama dengan berdalilkan kepada apa yang telah dikeluarkan oleh imam Muslim, Abi Daud, Tirmizi, Nasaie dan ibnu Majah dan lafaz dari Abi Daud. Daripada Ummu Salamah berkata; telah berkata Nabi; "Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih maka hendaklah dia, apabila datang anak bulan Zulhijjah, tidak mengambil (mencabut, memotong atau mencukur) dari rambutnya dan juga tidak memotong kukunya walaupun sedikit sehinggalah dia selesai menyembelih". Berpandukan hadis ini, Nabi menyebut dengan maksud sesiapa yang mahu menunjukkan ianya tidak wajib. Antara dalil yang paling kuat ialah hadis bahawa Nabi melakukan korban untuk dirinya dan ummat baginda. Maka dengan itu telah gugur kepada mereka (muslimin) kefardhuan korban. Ibnu Qayyim menyokong bahawa ianya adalah sunat dan melakukan korban lebih baik daripada bersedekah dengan nilainya. Daripada ibnu Umar berkata; "Nabi menetap di Madinah 10 tahun melakukan korban". Hadis direkodkan oleh Tirmizi dan dihasankannya.


Harus melakukan korban untuk si mati;

Perkara ini seperti sedekah untuk si mati, melakukan haji untuknya yang ianya harus menurut Syara'. Telah diriwayatkan bahawa Nabi menyembelih kibas sebagai korban lalu baginda bersabda; "Ini daripada Muhammad dan ahli keluarganya". Baginda menghadiahkan pahala sembelihan kibas itu untuk dirinya dan ahli keluarganya yang masih hidup ataupun sudah mati. Pengarang kitab Muharrar berkata; "Telah nyata datang daripada Nabi bahawa baginda melakukan korban dua ekor kibas….al-hadis. Kemudian pengarang muharrar berkata; "ini menunjukkan bahawa umat baginda samada yang masih hidup ataupun yang telah mati telah menerima manfaat dan pahala dengan penyembelihan baginda, jika tidak sudah pasti apa yang dilakukan baginda adalah sia-sia".


Syaikh al-Uthaimin berkata; "Sewajarnya perkara-perkara yang mungkin untuk diganti (diwakilkan) seperti sedekah sunat, membebaskan hamba, haji yang sunat jika dilakukan dan dijadikan pahalanya untuk si mati muslim maka ianya bermanfaat menurut Ijma'. Begitu juga sampai pahala kepada si mati seperti bacaan, solat dan puasa". Beliau berkata lagi; "hukum asal dalam ibadah korban ialah disyariatkan kepada mereka yang hidup sebagaimana baginda dan para sahabat menyembelih korban untuk mereka dan ahli keluarga mereka. Adapun apa yang disangkakan oleh orang awam dengan mengkhususkan korban untuk si mati maka itu tiada sandarannya. Beliau menjelaskan lagi; melakukan korban untuk si mati terbahagi kepada 3 bahagian;

1) Melakukan ibadah korban untuk mereka (si mati) sebagai mengikuti orang yang hidup. Contohnya seorang lelaki melakukan korban untuk dirinya dan ahli keluarganya dan meniatkan pahalanya untuk mereka yang masih hidup dan yang telah mati. Seperti yang dilakukan oleh Nabi.

2) Melakukan korban untuk si mati sebagai melaksanakan wasiatnya, ini berpandukan firman Allah yang bermaksud; "Maka kemudian sesiapa yang menukarkan mana-mana wasiat selepas dia mendengarkannya maka hanyasanya dosanya ditanggung oleh mereka yang menukarkannya, sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui".

3) Menyembelihkan korban untuk orang mati sebagai suka rela (sedekah) tanpa bergabung dengan orang yang masih hidup, ini juga adalah harus. Ulama Hambali telah menyatakan bahawa pahalanya sampai kepada si mati dan si mati mendapat manfaat daripadanya dengan mengkiaskan perkara ini dengan sedekah untuk si mati. Akan tetapi kita tidak melihat ini sebagai sunat kerana Nabi tidak melakukannya khusus untuk si mati, tidak juga melakukannya untuk pakcik baginda Hamzah sedangkan Hamzah adalah kerabat baginda yang paling dimuliakan.


Waktu menyembelih korban;

Waktu ibadah korban bermula selepas solat Idul Adha 10 Zulhijjah sehinggalah hari yang ke 13 berpandukan kepada sabda baginda; "Semua hari-hari Tasyriq adalah hari menyembelih". Silsilah sohehah lil al-albani no 2476. Justeru sesiapa yang melakukan sembelihan sebelum selesai solat maka ianya tidak dikira sebagai korban! Bahkan ianya sekadar sembelihan biasa ataupun sedekah. Nabi bersabda; "Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (solat raya Idul Adha) maka gantikanlah sembelihannya dengan yang lain. Sesiapa yang belum melakukan sembelihan maka sembelihlah". Muttafaq alaih.

Sabtu, 15 November 2008

Imam Mahdi menurut Ahli Sunnah

Oleh; Mukhamad Khafiz bin Abdul Basir

Al-Mahdi yang di tunggu-tunggu menurut Ahli Sunnah Wal jamaah bernama Muhamad bin Abdullah, nama beliau menyamai nama Nabi Muhamad, dari keturunan al-Bait, akan menjadi pemimpin selama 7 tahun. beliau membantu Nabi Isa alaihissalam yang akan turun dari langit ke (Manar Abyad) di Dimasyq Syiria.


Apabila Imam Mahdi keluar maka akan keluarlah satu persatu tanda-tanda kiamat yang besar yang mana semuanya 10 tanda seperti yang disebut dalam hadis soheh riwayat Muslim, Abi Daud, Tirmizi, Nasai,dan lain-lain.


Mengimani kedatangan imam Mahdi adalah salah satu diantara urusan aqidah yang wajib diimani oleh orang islam yang mana ianya membezakan antara Sunnah dan Syiah. Ini kerana al-Mahdi yang ditunggu-tunggu kemunculannya oleh orang-orang Syiah ataupun Rafidhoh adalah berlainan dari apa yang ditunggu dan diimani oleh ahli Sunnah. Oleh itu, sewajarnya kita mengetahui bahawa periwayatan berkait imam Mahdi adalah melalui hadis-hadis yang Mutawatir, seperti yang dinyatakan oleh al-Hafiz Abul Hasan Muhamad bin Husin al-Abari wafat 363H, Syeikh as-Safarini wafat 1188H dan Syeikh Muhamad bin Ali as-Syaukani wafat 1250H.


Sahabat-sahabat yang meriwayatkan hadis tentang al-Mahdi ialah:

Usman bin Affan, Ali bin Abi Tolib, Tolhah bin Ubaidillah, Abdul Rahman bin Auf, Ummu Salamah, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas'ud, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Amru dan sahabat-sahabat Nabi yang lain radiyallahu anhum. Hadis-hadis yang menyentuh kisah al-mahdi secara langsung direkodkan oleh sekelompok ulama Ahlul Hadis didalam kitab Sunan, Musnad, sihah dan lain-lain antaranya oleh; Abi Daud, Tirmizi, ibnu Majah, an-Nasaie, al-Baihaqi, al-Hakim, imam Ahmad, Nuaim bin Hammad dan lain-lain. Disamping wujud juga hadis-hadis yang menyentuh tentang al-Mahdi secara tidak langsung direkodkan dalam Sohehain. Contohnya;

روى البخاري في باب نزول عيسى بن مريم عن أبي هريرة قال : «قال رسول اللّه r : كيف أنتم إذا نزل ابن مريم فيكم ، وإمامكم منكم؟ » .

Maksud : "Bagaimana kamu semua jika turun Isa bin Maryam bersama kamu dan yang mengimami kamu semua adalah dikalangan kamu"?

وروى مسلم في صحيحه عن جابر أنه سمع النبي(صلى الله عليه وآله) يقول : «لا تزال طائفة من أمتي يقاتلون على الحق ظاهرين إلى يوم القيامة .قال : فينزل عيسى ابن مريم(عليه السلام) فيقول أميرهم : تعال صل لنا ، فيقول : لا إن بعضكم على بعض أمراء تكرمة اللّه هذه الامة».

Maksudnya: "Akan tetap satu golongan dikalangan umatku memperjuangkan kebenaran, mereka itu terserlah sehingga hari kiamat, bersabda Nabi lagi; maka akan turun Isa bin Maryam, lantas berkatalah ketua mereka (muslimin); "Marilah mengimami kami". Maka Isa berkata; " Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu keatas yang lain adalah pemimpin, penghormatan dari Allah untuk umat ini (umat Muhamad).


Dua hadis ini walaupun tidak menyebutkan nama imam Mahdi tetapi ianya menunjukkan sifat-sifat seorang lelaki yang soleh yang menjadi imam kepada muslimin pada waktu itu. Telah datang hadis-hadis dalam musnad dan sunan yang mentafsirkan hadis Bukhari dan Muslim ini yang memberi petunjuk bahawa nama lelaki itu adalah Muhamad yang dipanggil al-Mahdi. Hadis-hadis Nabi sebahagiannya mentafsirkan sebahagian yang lain. Antara hadis-hadis selain Sohehain yang menyebut tentang al-Mahdi ialah;

عن أبي سعيد الخدري قال : «قال رسول اللّه(صلى الله عليه وآله) : أبشركم بالمهدي . يبعث على اختلاف من الناس ، وزلازل ، فيملا الارض قسطاً وعدلاً كما ملئت ظلماً وجوراً ، يرضى عنه ساكن السماء وساكن الارض ، يقسم المال صحاحاً . قال له رجل : ما صحاحاً ؟ قال : بالسوية ، ويملا اللّه قلوب أمة محمد(صلى الله عليه وآله) غناء ، ويسعهم عدله»

"aku berikan khabar gembira kepada kamu semua dengan al-mahdi, dia di utuskan dalam keadaan manusia berselisih, berlaku gempa bumi, maka dia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana kezaliman dan ketidakadilan memnuhi dunia ini. Penduduk langit dan bumi akan meredoinya. Dia akan membahagikan harta dengan cara (sihah). Seorang lelaki bertanya apa itu sihah? Sabda nabi iaitu dengan cara samarata. Dan allah akan penuhkan hati umat Muhammad dengan kekayaan dan akan kecukupanlah keadilanNYA."

عن ابن عمر عن النبي(صلى الله عليه وآله) : «يخرج في آخر الزمان رجل من ولدي اسمه كاسمي ، وكنيته كنيتي ، يملا الارض عدلاً كما ملئت جوراً ، وذلك هو المهدي»

Akan keluar pada akhir zaman nanti seorang lelaki dari keturunanku namanya seperti namaku dan kuniahnya seperti kuniahku, dia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sepertimana dunia ini dipenuhi dengan kezaliman yang tersebut adalah al-mahdi."


Imam ibnu Qayyim berkata di akhir kitabnya (al-Manar al-Munif) memperjelaskan tentang hadis-hadis Mahdi dan wajah Jama' antara hadis-hadis tersebut dengan hadis :

لا مهدي إلاّ عيسى ابن مريم

"Tiada Mahdi kecuali Isa bin Maryam"

Beliau berkata: "adapun hadis ini ianya direkodkan oleh ibnu Majah, didalam isnadnya terdapat Muhamad bin Khalid al-Jundi yang keseorangan dalam periwayatannya. Telah berkata Abul Hasan Muhamad bin Husain al-Ibri dalam kitab Manaqib as-Syafie; (Muhamad bin Khalid ini tidak terkenal dikalangan ahli ilmuan, telah datang berita-berita yang mutawatir dan banyak dari Rasullullah menyebutkan tentang al-Mahdi, sesungguhnya beliau dari keturunan kerabat baginda, dan beliau memerintah selama 7 tahun, memenuhkan dunia ini dengan keadilan. Sesungguhnya Isa bin Maryam akan keluar memberi bantuan kepadanya untuk membunuh Dajjal dan beliau akan mengimami umat Muhamad ini dan Isa bersolat di belakangnya (al-Mahdi)."


Pendakwaan golongan syiah;

Apa yang di dakwa oleh puak Syiah berkaitan imam Mahdi adalah sangat berbeza dari banyak sudut yang secara jelas bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah. Antaranya I'tiqad mereka yg mengatakan bahawa imam Mahdi adalah ma'sum(tidak melakukan dosa) kerana dia adalah imam ke 12 yg ma'sum bermula dari Ali bin Abi Tolib, Hasan, Husin, Ali Zainal Abidin dan seterusnya, sila rujuk kitab Minhaj as-Sunnah karangan ibnu Taimiyah. Mereka juga mendakwa bahawa al-Mahdi ini adalah (al-Qoim) dari anak al-Hasan al-Askari imam kesebelas Syiah yang maksum.


Disana terdapat periwayatan dusta dalam kitab-kitab rujukan Syiah antaranya ialah; hadis yang dinisbahkan secara dusta kepada Muhamad al-Baqir bahawa beliau berkata: "Adapun jika telah dibangunkan al-Qaim kita, al-humaira' (Umul Mukminin Aisyah) akan dihidupkan supaya al-Qaim dapat menyebat (merotan) Aisyah sehinggalah al-Qaim dapat membalas dendam untuk anak perempuan Rasulullah (Fatimah), maka ditanya; mengapakah Aisyah disebat? Jawab Muhamad al-Baqir: kerana pendustaan Aisyah terhadap ibu Ibrahim. Ditanya lagi; bagaimana Allah melambatkan kemunculan al-Qaim? Beliau menjawab; Sesungguhnya Allah mengutuskan Nabi Muhamad sebagai satu rahmat dan mengutuskan al-Qaim untuk membalas dendam".


Adakah al-Mahdi yang ditunggu-tunggu oleh golongan (Syiah) sebenarnya Dajjal ? Ini kerana datang hadis yang soheh bahawa Nabi menyebut : "Akan datang Dajjal dari Khurasan (di Iran) dan bersama-samanya 70,000 penyokong". Wallahu a'lam.


Rujukan utama;

1) "Akidah ahlussunnah wal a'thar fi al-Mahdi al-muntazor" karangan al-fadhil syekh Abdul Muhsin al-Abbad.

2) "Al-Mahdi baina ahli sunnah wa al-rawafid" karangan Dr Rabi' bin Hadi al-Madkholi.

Khamis, 13 November 2008

Bacaan khusyuk

video

Rabu, 12 November 2008

Kelebihan Qiamullail

Kelebihan Qiyamullail

قال تعالى }تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ{ السجدة.

Nabi r bersabda bermaksud; "Hendaklah kamu semua bangun malam, sesungguhnya ianya adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, ianya mendekatkan diri kepada tuhanmu, menghapuskan keburukan dan menghalang daripada dosa-dosa" hadis hasan riwayat Tirmizi, Ahmad, Baihaqi dan al-Hakim.


Disana terdapat banyak lagi kelebihan-kelebihan seperti yang termaktub dalam hadis. Telah berkata imam Hasan al-Basri; "Aku tidak dapati satu ibadahpun lebih berat daripada solat pada pertengahan malam", dikatakan kepadanya; "Sebab apakah ulama-ulama mujtahid merupakan manusia paling baik wajahnya"? Beliau menjawab; "Kerana mereka berseorang diri bersama al-Rahman, maka Allah memakaikan kepada mereka daripada cahayaNYA".


Sebab-sebab yang membantu untuk bangun Qiyamullail;

Sedia dimaklumi bahawa bangun malam adalah suatu perkara yang sukar dilaksanakan kecuali bagi mereka yang mendapat taufiq untuk berbuat demikian. Disana terdapat sebab-sebab zahir dan batin yang membantu seseorang untuk bangun malam.


Sebab-sebab yang zahir:

1) Tidak banyak makan. Seorang hukama' menyebut; "Wahai ahli ibadah, janganlah kamu terlalu banyak makan, lantas kamu akan minum banyak, kemudian kamu akan tidur banyak dan akhirnya kamu akan terlepas daripada mendapat banyak kebaikan".

2) Tidak memberatkan dirinya pada siang hari dengan kerja-kerja yang berat.

3) Tidak meninggalkan tidur Qailulah (tidur sebelum zohor @ selepas zohor) pada siang hari.

4) Meninggalkan dan menjauhi dosa-dosa. Sufian al-Thauri menyebut; "Diharamkan kepadaku Qiamullail selama 5 bulan disebabkan satu dosa yang aku lakukan".


Sebab-sebab yang batin;

1) Hati yang suci dan bersih daripada sangka buruk dan dendam terhadap semua orang islam.

2) Tidak melakukan perkara-perkara yang bidaah.

3) Menjauhi banyak kata-kata kosong yang tidak memberi faedah.

4) Menjuarai rasa takut didalam hati serta tidak berangan-angan panjang.

5) Mengetahui kelebihan dan faedah Qiyamullail.


Antara perkara termulia yang menjadi sebab utama untuk mudah bangun malam ialah; kecintaan yang tinggi kepada Allah, keimanan yang kuat dengan menyedari bahawa jika dia bangun malam dia sebenarnya sedang menyeru dan bermunajat kepada tuhannya. Dalam soheh Muslim daripada Jabir bin Abdillah Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud; "Sesungguhnya pada malam hari terdapat satu saat jika seseorang hamba itu menepati waktu itu dengan bermohon apa-apa kebaikan pasti akan di tunaikan kepadanya, dan yang demikian itu pada setiap malam".

Ahad, 9 November 2008

Aibkah sendawa di khalayak?

Tahanlah sendawamu

Sendawa merupakan antara kebiasaan manusia dibumi ini, selain ianya membuang lebihan angin dari badan ianya juga merupakan petanda yang membawa maksud kenyang. Persoalannya adakah suatu perkara yang mengaibkan jika bersendawa dihadapan umum? masyarakat arab menganggap sendawa dikhalayak umum merupakan antara perkara yang aib (memalukan).


Setelah cuba dikaji apakah munasabahnya perkara ini, maka penulis telah menemui satu hadis yang direkodkan oleh imam Tirmizi dan ibnu Majah serta disohehkan oleh syeikh al-Albani. Nabi bersabda:

[ كف عنا جشاءك ؛ فإن أكثرهم شبعا في الدنيا أطولهم جوعا يوم القيامة ]

Bemaksud: " Tahanlah sendawamu daripada kami, sesungguhnya orang yang banyak kenyangnya didunia adalah orang yang panjang laparnya pada hari kiamat". Lihat silsilah sohehah no 343 karangan al-Albani

Sabtu, 8 November 2008

Masa Dan Keajaibannya

الوقت وعجائبه

Sambungan

Ibn Mas'ud rodiallahuanhu berkata: "Aku tidak tidak pernah kesal terhadap sesuatu sepertimana aku kesal terhadap satu hari yang telah terbenam matahari, telah berkurangan ajal hidupku, akan tetapi amalku tidak bertambah.' Hasan al-basri berpesan: wahai anak Adam, sesungguhnya kamu ibarat hari jika telah berlalu sehari maka telah berlalulah sebahagian dari kamu.' Berkata Abdul Rahman bin mahdi: 'Jika dikatakan kepada Hammad bin Salamah: " kamu akan mati esok!" Maka dia tidak mampu lagi untuk menambahkan satupun amalannya. Berkata Musa bin Ismail: "Jika aku kata kepadamu aku tidak pernah lihat Hammad bin Salamah ketawa, pasti ianya benar, dia adalah orang yang sentiasa sibuk samada mengajar, membaca, bertasbih atau bersolat, sesungguhnya dia telah membahagikan masanya untuk perkara-perkara yang demikian".


Ulama' Salaf sentiasa memanfaatkan masa mereka dengan penulisan, Imam Ibnu Jarir contohnya,beliau mengarang setiap hari 40 helai kertas. Qadi Abu Bakar al-Baqullani pula tidak akan tidur sehingga dia selesai mengarang sebanyak 35 helai. Lihatlah karangan-karangan ibnul Jauzi, ianya melebihi 1000 karangan! Terbayangkah kita? Dalam kitab Tazkirah al-Huffaz menceritakan tentang Imam an-Nawawi yang tidak pernah meletakkan badannya (baring di lantai) selama 2 tahun! Maha suci Allah yang telah mengupayakan hamba-hamba pilihannya untuk melalui ranjau dan cabaran yang amat perit.


Dalam satu kisah dongeng, seekor musang yang kelaparan merayau-rayau mencari makanan, tiba-tiba sang musang terlihat daging ayam yang terhidang di satu penjuru. Tetapi makanannya itu tidak mudah untuk diambil kerana ianya berada dihujung lorong yang hanya mempunyai satu terowong sempit. Disebabkan kelaparan, musang cuba untuk meloloskan dirinya dari terowong itu. Dia berjaya dengan penuh kepayahan, lantas memakan hidangannya sehingga kekenyangan. Dia cuba untuk keluar tetapi tidak berjaya kerana perutnya sudah memboyot. Setelah letih mencuba akhirnya musang terfikir. Oh, baru aku ingat 'Masa itu sebahagian daripada ubat'. Lantas musang merehatkan diri serta menunggu sehingga perutnya kembali mengecil agar dia dapat keluar dari terowong tersebut. Begitulah, kadang-kadang masa adalah ubat yang paling sesuai untuk satu-satu penyakit. Orang yang sudah jenuh diubati mungkin penyembuhnya ialah masa iaitu dengan menungu mati. Kanak-kanak kecil jangan diajar berjalan ketika umurnya 2 bulan, sebab belum masanya untuk dia berjalan. Jadi tunggulah masa yang sesuai.


Daripada ibnu Abbas Radialllahu anhuma beliau berkata; telah berkata Rasulullah  :"Dua nikmat yang mana manusia sering terpedaya dengan kedua-duanya: kesihatan dan waktu lapang". (Hadis riwayat Bukhari). Nabi bersabda lagi yang bermaksud : "Rebutlah 5 peluang sebelum datang yang 5 perkara; waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibuk, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit, waktu kayamu sebelum datang waktu fakir, waktu hidupmu sebelum datang waktu mati.


Kita sebenarnya mengalami masalah dalam penjadualan masa yang tepat. Seringkali kita katakan pada diri dan juga sahabat-sahabat bahawa kita sangat sebuk dengan tugas harian. Apa yang pelik dalam tempoh yang sama kita masih sempat untuk meluangkan masa tidur kita lebih dari 8 jam! Masih sempat lagi kita berborak-borak dalam kadar surah al-Baqarah! Masih sempat lagi kita bershoping! Masih sempat lagi kita bermain! Jadi dimanakah tahap kesebukan kita yang sebenarnya? Dr. Abd Basit pernah menyebut: "Masa jika disempitkan ia akan menjadi luas dan jika di luaskan ia akan menjadi sempit". Jadi, dalam keadaan kita yang sedang sebuk dengan tugasan masing-masing, sama-samalah kita mengingati kembali masa lapang kita yang telah berlalu tanpa mendapat perhatian yang secukupnya.


Ungkapan seperti nostalgia, kenangan, zikrayat atau yang seumpamanya juga mempunyai kaitan dengan masa. Ketika saya masih menuntut di university seringkali kedengaran dari pelajar-pelajar tahun akhir ungkapan seperti: "Tak sangka betul, rasanya baru sekejap aku di Madinah, alih-alih dah nak balik sebulan lagi. Cepat betul masa berlalu!" Itulah sebenarnya masa yang tidak kenal erti penantian, siapa yang cepat dia berjaya siapa yang bertangguh dia akan kecewa. Begitulah juga orang yang malas akan kerugian dan orang yang leka akan menyesal. Bersama-samalah kita berdoa agar Allah mengurniakan keberkatan masa dan waktu kepada kita serta memberkati kita dalam apa jua pemberiannya. Hanya kepada Allahlah ku pohon taufiq dan hidayah.

Selasa, 4 November 2008

Siapakah Tijani?!!

Pengaruh dan fahaman sufi mula berkembang luas ke pelusuk alam pada kurun ke-3 hijrah dengan mengalami pelbagai penyelewengan demi penyelewengan ke arah kesesatan akidah yang amat parah. Bermula sebagai satu usaha atau jalan tarbiyah jiwa sehinggalah bercampur aduk dengan falsafah-falsafah hindu, parsi dan yunani yang karut-marut. Mereka menjadi fanatik dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mereka mengasingkan 3 perkara asas dalam beribadah :

1- Kasih yang sempurna

2- Pengharapan yang sempurna

3- Ketakutan yang sempurna


Ulama salaf pernah berkata : "Sesiapa yang menyembah Allah dengan kasih sayang semata-mata, sesungguhnya dia telah menjadi seorang zindiq, sesiapa yang menyembah Allah dengan harapan semata-mata, maka dia telah menjadi murjia`h dan sesiapa yang menyembah Allah dengan sifat takut semata-mata, maka dia adalah khawarij ".


Antara cabang-cabang yang wujud dalam sufi ialah mereka yang dikenali sebagai Tijaniah. Mereka memiliki sejumlah pemikiran dan i`tiqad sufi ditambah pula dengan satu kepercayaan bahawa mereka berkemampuan untuk bertemu dengan Nabi secara hakiki di dunia dan Nabi telah mengkhususkan kepada mereka sejenis selawat yang dinamai ( صلاة الفاتح لما أغلق ) “ Pembuka bagi sekelian yang tertutup “. Dan perkara ini mendapat tempat yang amat agung di sisi mereka.


Diasaskan oleh Abul Abbas Ahmad bin Mohammad bin Mokhtar bin Ahmad bin Mohammad Salim at-Tijani yang hidup sekitar tahun 1150 - 1230 Hijrah bersamaan 1737 - 1815 Masihi. Dilahirkan di al-Jazai`r ( Algeria ). Mula mengasaskan kumpulan ini pada tahun 1196 H. Kitab rujukan penting tarikat ini ialah Kitab yang dihimpunkan oleh anak muridnya bernama `Ali Harazim diberi nama :

جواهر المعاني وبلوغ الأماني في فيض سيدي أبي العباس التيجاني


:: Pemikiran dan I`tiqad

1)11) Secara umumnya mereka beriman dengan Allah SWT tetapi telah bercampur keimanannya dengan perkara-perkara syirik yang amat banyak.

2) 2) Menyamai tarikat-tarikat sufiah secara umum dari segi pegangan dengan i`tiqad-i`tiqad sufi, pemikiran dan falsafahnya. Antaranya keimanan mereka dengan kepercayaan ( al-hulul ) (1).

3) Membahagikan perkara ghaib kepada dua. Ghaib Mutlak yang tertentu dengan keimanan kepada Allah dan Ghaib Muqayyad. Jenis ini (Ghaib Muqayyad) tidak diketahui oleh sebahagian makhluk tetapi diketahui oleh sebahagian yang lain. Jenis Kedua ini banyak dinisbahkan kepada guru-guru mereka. Antara pendakwaan mereka ialah dibukakan hijab untuk guru-guru mereka, mereka mendakwa tentang guru Tijani dengan berkata: "Antara kesempurnaan Baginda RadhialLahu `Anhu ialah ketajaman penglihatannya yang rabbani dan firasatnya yang nurani yang nyata ianya bertepatan dan benar dalam mengenali hal-hal sahabat dan hal-hal yang lainnya seperti mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi dan perkhabaran-perkhabaran ghaib, mengetahui kehendak dan hajat, mengetahui apa yang akan terjadi antara kemaslahatan dan kerosakan serta lain-lain perkara yang telah terbukti kebenarannya". (2)

4) 4) Mendakwa bahawa pengasas mereka bertemu dengan Nabi secara hakiki atau yaqazah (secara sedar) dan Nabi bercakap dengannya dan beliau belajar dengan Nabi Selawat Fatih yang lafaznya :

(اللهم صل على سيدنا محمد الفاتح لما أغلق والخاتم لما سبق ، ناصر الحق بالحق ، الهادي إلى صراطك المستقيم ، وعلى آله حق قدره ومقداره العظيم)


:: Beberapa kepercayaan tentang selawat ini :

1) Nabi SAW memberitahu bahawa sesiapa yang membacanya sekali menyamai dengan mereka yang menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak enam kali.

2) Kali kedua Nabi mengkhabarkan, barangsiapa yang membacanya sekali ia menyamai semua bentuk zikir, doa yang besar atau kecil dan sama seperti orang yang menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak 6000 kali. (3)

3) Kelebihan ini terhasil dengan syarat pengamalnya mendapat keizinan langsung untuk membacanya dan ia melibatkan silsilah nasab ( ijazah ) sampai kepada Ahmad at-Tijani.

4) Selawat ini adalah kalam Allah dengan kedudukannya sebagai Hadis Qudsi.


:: Antara I'tikad dan kepercayaan mereka yang lain ialah:

1) Beranggapan bahawa pengikut-pengikutnya akan mendapat beberapa keistimewaan pada Hari Qiamat. Antaranya :

a- Diringankan daripada azab seksaan.

b- Dipayungi oleh Allah dengan `ArasyNya.

c- Mendapat perbatasan khas untuk mereka beristirehat di Mahsyar.

d- Mereka bersama-sama dengan orang yang aman (آمنين) di pintu syurga. Mereka memasukinya serentak dengan Nabi dan sahabat-sahabat karib Baginda.

2)

Mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad telah melarang Ahmad at-Tijani daripada bertawassul / bertawajjuh dengan Asma` al-Husna dan memerintahkannya agar bertawajjuh dengan Selawat Fatih dan Nabi sebelumnya memang belum pernah menyuruh mana-mana sahabat untuk berbuat demikian.

3) Seperti tarikat-tarikat yang lain, mereka meneruskan tawassul dengan zat Nabi dan orang-orang soleh yang telah mati.

4) Mereka mendakwa bahawa Ahmad at-Tijani adalah wali yang terakhir.

5) at-Tijani berkata : Sesiapa yang melihat aku maka dia masuk syurga.

6) Mereka menaqalkan daripada Ahmad at-Tijani bahawa dia berkata : "Setiap ilmu yang diberikan kepada `ulama diberikan juga kepada aku".

7) Beliau juga berkata : Jika ditimbang (أقطاب) wali kutub segolongan sahabat-sahabat beliau dengan umat Muhammad seluruhnya maka tidak lebih seluruh umat muhammad ini hanyalah seperti sehelai rambut salah seorang daripada pengikutnya.

8) Katanya lagi : "Sesungguhnya dua tapak kaki aku ini berada di atas tengkuk setiap para wali dari awal penciptaan Adam sehinggalah ditiupkan sangkakala ( Hari Qiamat )".

9) Beliau mendakwa dirinya berada pada maqam kenabian pada Hari Akhirat.


:: Penyebaran dakwah dan tempat-tempat yang menjadi sasaran

1) Gerakan ini bermula di Fas ( Algeria ) kemudian membiak pesat sehingga mempunyai pengikut yang ramai di Maghribi, barat Sudan, Nigeria, utara Afrika dan Mesir.

2) Pengarang kitab ( at-Tijaniah ) Ali bin Mohd ad-Dakhilullah menganggarkan pada tahun 1981 Masihi bilangan pengikutnya di Nigeria sahaja mencecah 10 juta orang.


:: Kesimpulan

Sesungguhnya pengikut tarikat Tijaniah adalah golongan yang melakukan bida`ah. Dalam hal-hal ibadah, semua perkara-perkara bida`ah itu adalah sesat. Mereka telah membawa satu pengkhususan doa yang tertentu yang sama sekali tidak wujud dalam syara`. Mereka menyuruh manusia dengan satu kelaziman dalam ibadah-ibadah tertentu pada waktu-waktu yang tertentu tanpa bersandarkan kepada asas dan dalil. Lebih parah dari itu, mereka memiliki i`tiqad yang boleh membawa kepada kemurtadan pendokong-pendokongnya dari agama Islam seperti i`tiqad dengan al-Hulul wa al-Ittihaad.


:: Kamus Kalimah :

1) al-Hulul: Satu tanggapan bahawa Allah itu bebas berada di mana-mana jua tempat.

2) al-Ittihad: Merupakan sebahagian akidah penyembah berhala yang telah menyelinap masuk ke dalam dunia Islam dengan membuang/menafikan perbezaan yang wujud antara al-Khaliq ( Allah ) dan makhluk dengan tanggapan bahawa tiada yang wujud di alam maya ini kecuali ia adalah Allah.

3) Aqtob: Salah satu daripada tingkatan martabat para wali di kalangan pengamal sufi.

4) Zindiq: Lafaz farsi yang telah dijadikan Bahasa `Arab. Bermaksud Setiap "insan yang ragu-ragu dengan agama atau mengingkari sesuatu yang terkandung di dalamnya atau orang yang mengambil mudah dalam mengerjakan ibadah".

(1) Lihat kitab mereka (Jawahirul Ma'ani) 1 / 191.

(2) Jawahirul Ma'ani 1 / 93.

(3) Jawahirul Ma'ani 1 / 136.

Ahad, 2 November 2008

Pengajaran Dari Tarikh ( 1 )

video

Sabtu, 1 November 2008

Masa dan keajaibannya

الوقت وعجائبه

Siri 1

Kehidupan manusia punya hubung kait yang amat rapat dengan masa, tanpa masa siapalah kehidupan. Allah berfirman didalam al-Quran: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran." Imam Fakhrurrazi berkata dalam tafsirnya tentang surah al-Asr katanya; " Allah bersumpah dengan masa (iaitu zaman) kerana didalamnya beberapa keajaiban, kerana berlaku didalamnya kebahagian dan kesengsaraan, sihat dan sakit,kaya dan faqir, kerana sesungguhnya umur tidak dapat dinilai dengan sesuatu yang bernilai dan berharga'. Imam Syafie berkata; 'Kalaulah Allah tidak menurunkan kepada umat ini kecuali surah ini (al-asr) maka ianya sudah memadai.'


Peri pentingnya masa dalam kehidupan sehinggakan Allah Taa'la bersumpah dengan masa dalam 7 tempat di dalam al-Quran. Lihat surah al-Lail ayat 1-2, al-Muddathir ayat 33-34, at-Takwir ayat 17-18, aL-Insyiqaq ayat 16-17, al-Fajr ayat 1-2, ad-Dhuha ayat 1-2, al-Asr ayat 1-2. Sedia kita maklumi bahawa al-Quran tidak mengulangi sesuatu ayat atau apa-apa bentuknya kecuali untuk sesuatu yang amat penting. Umur manusia amat singkat seperti yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasululullah bahawa tempoh umur umatnya ialah antara 60-70 tahun. Walau bagaimanapun dalam tempoh yang singkat ini berbanding umat-umat terdahulu ia mendapat keberkatan dan dilipat gandakan amal kebaikan mereka.


Masa didunia berbeza jaraknya dan sifatnya jika dibandingkan dengan akhirat. Allah menggambarkan dalam al-Quran bahawa sehari di alam akhirat menyamai 1000 tahun di dunia. Dan dalam ayat yang lain pula ianya adalah seperti 50,000 tahun didunia. Allah berfirman;

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ""

Maksudnya; "Mereka itu meminta supaya disegerakan azab Allah, dan Allah tidak akan memungkiri janjiNYA, dan sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu itu seperti 1000 tahun dari apa yang mereka bilang" (al-Hajj : 40)

تَعْرُجُ الملائكة والروح إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ""

Maksudnya; " para malaikat dan jibrail naik kepadanya pada hari yang kadarnya menyamai 50,000 tahun" (al-Ma'arij : 4)


Lihat perbahasan ini dalam tafsir Adwa'ul Bayan karangan syeikh al-Amin Syanqiti. Kita tidak pernah terbayang dalam masa yang amat amat singkat ini ulama-ulama terkenal seperti Imam Bukhari, as-Syafie, an-Nawawi, dan selain mereka mendalami dan mempelajari ilmu, mengajari ilmu-ilmu tersebut kepada masyarakat, mengarang, dan sebagainya. Sedangkan dalam masa yang sama mereka adalah ahli ibadah yang hebat. Bilakah mereka tidur? Masa mereka bersama keluarga? Masa makan dan minum mereka? Itulah realiti kehidupan ulama' yang sentiasa mendapat keberkatan dalam ilmu, masa, harta dan segala-galanya yang dikurniakan Allah kepada mereka.


Pepatah melayu mengatakan: 'Masa itu emas'! Tidak semua orang memahami kata-kata hikmah ini dalam konteks pengamalan. Apalagi untuk memahami dan mengerti pepatah arab: 'Masa itu seperti pedang jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotongmu'. Dalam kehidupan sehari-hari, manusia hanya akan menghadapi satu detik yang tidak akan berulang selama-lamanya. Zaman mudanya hanya sekali, tuanya hanya sekali, dan matipun sekali, tiada yang kedua baginya. Apa yang dipertontonkan oleh Doraemon dan Nobita tentang mesin masa hanyalah imaginasi yang mustahil untuk terjadi. Lihatlah bagaimana orang-orang kafir ketika berada di alam akhirat? Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika sekiranya kamu hai Muhammad melihat keadaan orang-orang kafir ketika dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata:"Alangkah baiknya jika kami dikembalikan ke dunia dan tidak mendustakan ayat-ayat tuhan kami serta menjadi orang-orang yang beriman.!"-al-An'am ayat 27-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...