RSS Feeds

Rabu, 30 Julai 2008

Kisah Nabi Musa Dan Khaidir

Tafsir Taisir al-Karim ar-Rahman karangan Syeikh as-Sa'adi ayat 62-82

Terjemahan bebas: Mukhamad Khafiz bin Abd Basir

Tatkala Musa dan pembantunya melepasi (majma' Bahrain) tempat pertemuan 2 laut, Musa berkata kepada pemudanya: "datangkan makan tengahari kita sesungguhnya kita telah ditimpa kepenatan akibat perjalanan kita ini." Iaitu perjalanan yang telah merentasi had yang sepatutnya sedangkan perjalanan mencari Khaidir itu tidaklah penat, akan tetapi tatkala Musa sudah terlepas dari tempat yang sepatutnya maka dia merasakan kepenatan itu. Maka berkatalah pembantunya kapada Musa: "tahukah engkau tatkala kita berhenti rehat waktu malam berhampiran satu batu itu, aku sebenarnya telah terlupa perihal ikan(ikan yang menjadi tanda untuk pertemuan Musa dan Khaidir itu telah hidup melompat ke laut dan meninggal kesan lubang pada laut itu) dan hanyasanya aku ini dilupakan oleh syaitan. Maka Musa menjawab, itulah tempat yang kita mahukan lantas kedua-duanya berpatah balik ketempat tersebut. Bertemulah Musa dengan salah satu di antara hamba kami iaitu Khaidir yang merupakan seorang hamba soleh dan dia bukanlah seorang Nabi menurut pendapat yang soheh. (kami (Allah) kurniakan kapada beliau (khaidir) rahmat dari sisi kami) iaitu rahmat Allah yang khas kepadanya dan ditambahkan lagi dgn ilmu dan amal berpandukan ayat "dan kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi kami".


Khaidir dikurniakan ilmu yang tidak ada pada Musa sekalipun sebenarnya musa lebih banyak ilmu berbanding khaidir dari banyak sudut. Khasnya ilmu-ilmu keimanan dan usul agama kerana Musa adalah salah seorang ulul azmi yang dikurniakan dengan kelebihan yang banyak berbanding hamba-hamba Allah yang lain. Maka tatkala bertemu, Musa berkata dengan penuh adab dalam bentuk perbincangan serta menyatakan hasrat hatinya itu: " bolehkah aku mengikutimu supaya engkau dapat mengajariku ilmu yang benar diantara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu itu?" Dan Khaidir ini telah dikurniakan ilham dan juga karamah yang mana dengannya beliau dapat mengetahui perkara-perkara yang terlindung dan tersembunyi hakikatnya oleh manusia sekalipun keatas Musa. Khaidir menjawab:" aku tak larang niatmu itu tapi,,kamu tak mampu bersabar sekiranya bersama aku". Kerana engkau belum tentu dapat bersabar jika melihat perkara yang pada pandangan zahirmu adalah mungkar sedangkan hakikatnya tidak. Sebab itulah Musa menjawab:" dan bagaimana kamu dapat bersabar diatas sesuatu yang belum cukup sempurna pengetahuannya tentang hal tersebut?" Musa berkata lagi: " insyaallah engkau akan dapati aku ini sabar dan aku takkan menentang kamu dalam apa-apa urusanpun." Ini merupakan azam sebelum berlaku sesuatu yang menjadi ujian kepada Musa, keazaman adalah lain dan wujudnya sabar adalah perkara lain. Sebab itu Musa tidak dapat bersabar ketika berlaku kisah-kisah yang tersebut. Tatkala itu berkata khaidir kepada Musa: "jika kamu ikut aku jangan kamu bertanya kepadaku sesuatu perkarapun (maknanya diam sahaja) sehinggalah aku sendiri menerangkan kepadamu."


Maka bertolaklah keduanya sehingga menaiki sampan, lalu khaidir mencabut sekeping papan perahu tersebut -dengan sengaja dan nanti dia akan menerangkan kepada Musa tetapi Musa tidak bersabar lantas mengingkari dengan katanya-"mengapakah kamu merosakkan sampan ini yang akan meneggelamkan penumpangnya? Sesungguhya kamu telah melakukan kesalahan yang besar!" maka Khaidir menjawab: "bukankah telahku katakan bahawa kamu tidak akan dapat bersabar ketika bersamaku?" iaitu telah berlaku apa yang aku duga terhadapmu seperti yang aku sebut, dalam hal ini Musa terlupa maka dia menjawab:" janganlah kamu hukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusan." Iaitu janganlah kamu ambil kira kesalahanku tadi dan maafkanlah aku sebab telah terlupa, harapnya engkau tidak ambil kira kesilapan pertama aku. Musa menyertakan sekali antara pengakuan silapnya dan minta maafnya, dan sesungguhnya wahai Khaidir tak sepatutnya engkau bertegas dengan sahabatmu ini, maka Khaidirpun memaafkan.


"Bergeraklah mereka berdua sehingga mereka bertemu dengan seorang anak kecil lantas Khaidir membunuhnya ". -bilamana Musa melihat hal itu bertambahlah kemarahannya dan sensitiviti agamanya melonjak ketika Khaidir membunuh anak kecil yang tidak berdosa itu lantas berkata-: "mengapakah kamu membunuh jiwa yang suci sedangkan dia tidak membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan sesuatu yang mungkar!". Kes pertama adalah kerana Musa terlupa adapun pada kali ini beliau tidak dapat bersabar. Maka berkatalah Khaidir menyangkal dan mengingati Musa dengan apa yang disebut Musa itu:" bukankah sudahku katakan padamu bahawa kamu sesungguhnya tidak akan dapat bersabar bersamaku!".


Musapun berkata kepada Khaidir:" baiklah, jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu perkara selepas ini, maka jangan kamu benarkan aku menemanimu sesungguhnya aku sudah cukup memberikan uzur padamu." Iaitu engkau telah memberi uzur yang banyak kepadaku dan engkau tidak berbuat kekurangan dalam dalam soal ini". Maka berjalanlah lagi mereka berdua, hinggalah sampai ke satu kampong lantas mereka meminta kepada penduduk tersebut untuk menjadi tetamu dan diberikan makanan, tetapi penduduk tersebut menolak permintaan mereka. Kemudia mereka berdua mendapati satu tembok dinding rumah di kampong itu hampir roboh, lantas Khaidirpun menegakkan dan membina semula tembok dinding tersebut. Lalu Musa berkata: "jika kamu mahu, sudah pasti kamu mendapat upah dari pekerjaan itu". Iaitu penduduk kampong tidak mahu menjamu kita sedangkan apa yang kamu lakukan ini adalah kewajiban mereka, sementara kamu pula membina tembok ini tanpa mendapat apa-apa upahpun! Ketika itulah Khaidir meminta izin dari Musa untuk berpisah dan beliau berkata: "inilah perpisahan antara aku dan kamu, dan aku akan memberitahu kamu tentang maksud tujuan dari perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat bersabar itu." Iaitu aku akan beritahu kamu akan apa yang kamu protes terhadapku dan tujuan disebalik perbuatanku itu serta penghujung kisah kepada perkara-perkara tersebut.


"Adapun bahtera yang aku rosakkan itu, ianya merupakan milik orang-orang miskin yang berkerja di laut dan aku sengaja merosakkan bahtera itu kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas setiap bahtera". Iaitu mereka akan lalu di hadapan raja yang zalim yang pasti akan merampas setiap behtera yang elok secara zalim maka aku mahu merosakkan bahtera itu supaya ada keaibannya, yang dengan itu akan selamatlah dari dirampas raja yang zalim". Adapun anak kecil yang aku bunuh itu, kedua ibubapanya adalah mukmin dan kami khuatir anak tersebut akan mendorong ibubapanya kepada kesesatan dan kekafiran." Anak kecil itu telah ditakdirkan bahwa jika sampai akil baligh maka dia akan menyebabkan kepada kekafiran dan kemaksiatan ibubapanya samada disebabkan oleh kecintaan ibubapanya terhadap anak itu ataupun disebabkan oleh hajat dan keperluan ibubapa terhadap anak tersebut. Iaitu aku bunuh anak itu kerana aku mendapat pengetahuan akan perkara itu. Untuk menyelamatkan agama ibubapanya maka aku bunuh dia, apakah faedah dan maslahah yang lebih besar dari apa yang aku lakukan? Sekalipun apa yang aku lakukan itu menyakiti ibubapanya dan memutuskan zuriat mereka sesungguhnya Allah akan mengurniakan zuriat yang lebih baik dari anak kecil tersebut. Kerana itu Khaidir berkata: "maka kami menghendaki supaya tuhan menggantikan bagi mereka zuriat yang lebih baik dari anak itu dan lebih dalam kasih sayangnya terhadap ibubapanya" iaitu anak yang soleh, cerdik dan menyambung silaturrahim. Sesungguhnya anak yang dibunuh itu jika telah baligh maka dia akan menderhakai ibubapanya dengan dahsyatnya iaitu dengan membawa mereka kearah kekufuran dan perkara-perkara Toghut".


Adapun tembok dinding yang aku bangunkan atau bina itu ianya adalah milik dua kanak-kanak yatim dikota tersebut. Dibawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka, sementara ayahnya adalah seorang yang soleh". Iaitu hal keadaan dua anak itu menyebabkan aku mengasihani dan kasihkan mereka, disebabkan mereka yang masih kecil dan tidak punya ibubapa dan Allah juga memelihara mereka dengan kebaikan ibubapa mereka. "Maka tuhan kamu (Allah) menghendaki agar mereka berdua sampai kepada kedewasaan mereka dan mengeluarkan harta simpanan itu sebagai rahmat dari tuhan kamu". Iaitu apa yang aku lakukan ini merupakan rahmat daripada Allah, dengan cara Allah mengutuskan hambanya (Khaidir). "Dan bukanlah aku lakukan itu mengikut kemahuanku". Iaitu aku tidak lakukan ini semua mengikut hawa nafsuku bahkan ianya merupakan rahmat Allah dan perintahnya. "yang demikian itu" Iaitu apa yang aku tafsirkan kepadamu itu, "takwilan kepada maksud apa yang engkau tidak mampu bersabar terhadapnya"


Di dalam kisah yang amat pelik dan agung ini terdapat banyak faedah dan hukum-hakam yang sangat banyak. Kami akan sebutkan sebahagiannya dengan pertolongan Allah. Antaranya ialah :

1)kelebihan ilmu, bermusafir untuk menuntut ilmu, ianya merupakan perkara yang amat penting. Sesungguhnya Musa alaihissalam telah bermusafir dengan jarak yang jarak bersama penatlelah dalam perjalanannya dan meninggalkan majlis-majlis Bani Israil untuk mengajar dan menyampaikan petunjuk dengan memilih bermusafir bagi menambahkan ilmunya.


2)Antara faedah lain ialah; memulakan atau mendahulukan perkara paling penting keatas perkara yang penting. Sesungguhnya menambahkan ilmu lebih penting dari mengajari manusia ilmu tanpa ada penambah ilmu, tetapi menggabungkan kedua-duanya adalah lebih sempurna.


3)Antara faedah lain; boleh mengambil pembantu samada ketika bermukim mahupun bermusafir untuk mendapatkan bantuannya bagi mendapatkan kerehatan seperti yang dilakukan oleh Musa.


4)Seseorang yang bermusafir untuk ilmu, jihad mahupun lain-lainnya jika dia mendapati maslahat dengan memberitahu maksud perjalanannya, maka ianya lebih sempurna berbanding menyembunyikan maksud. Dengan memberitahu maksud dan tujuannya ia dapat bersedia dan mendatangi sesuatu dengan keilmuan selain memperzahirkan kemulian dari ibadah yang suci ini(menuntut ilmu). Sepertimana Musa berkata;"aku tidak akan berhenti berehat dalam perjalanan ini sebelum sampai ke satu tempat pertemuan antara dua laut atau aku akan berjalan bertahun-tahun." Demikian juga sepertimana yang dilakukan oleh Nabi bilamana pergi ke medan perang Tabuk, sekira-kira baginda memberitahu sahabat-sahabatnya dengan jelas tentang maksud pemergian mereka ke Tabuk sedangkan kelaziman baginda adalah merahsiakan maksud.


5)Menyandarkan keburukan dan sebab-sebabnya kepada syaitan dalam bentuk perhiasan yang mempesonakan, sekalipun semua perkara di bawah qado' dan qadar Allah. Berpandukan kepada kata-kata pemuda kepada Musa; "dan aku tidaklah terlupa kecuali syaitan adalah sebab yang menghalangiku dari mengingatinya"


6)Harus memberitahu manusia apa yang dirasai oleh tabiat dirinya seperti rasa penat, lapar atau haus, sekiranya ia tidak membawa kepada kemarahan dan dia berkata benar. Berpandukan kata-kata Musa; "Sesungguhnya kita telah kepenatan akibat perjalanan kita ini.


7)Dituntut pembantu itu adalah seorang yang cerdik dan bijak supaya urusannya menjadi sempurna menurut kemahuannya.


8)Dituntut seseorang itu memberikan makanan kepada pembantunya seperti apa yang dimakan dan makan bersama-sama.


9)Pertolongan(mau'nah) diturunkan kepada hamba Allah mengikut kadar ketaatannya terhadap apa yang diperintahkan Allah. Orang yang mendapat taufik dalam melaksanakan suruhan Allah akan dibantu lebih berbanding orang-orang yang lain.


10)Hamba yang ditemui oleh Musa bukanlah seorang Nabi, bahkan beliau merupakan hamba soleh kerana dia (Khaidir) disifatkan dengan penghambaan. Khaidir juga menyebutkan nikmat Allah keatasnya dengan rahmat dan juga ilmu, tidak disebutkan perutusannya dan tidak juga keNabiaannya. Jika beliau seorang Nabi sudah pasti dinyatakan sebagaimana dinyatakan keNabian para Nabi yang lain.


11)Beradab dengan guru dan berbicara dengan penuh sopan santun.


12)Sifat Tawadu'; iaitu sikap merendah diri seorang yang lebih alim dengan orang yang rendah tarafnya, sesungguhnya Musa tanpa diragui lebih afdhal berbanding Khaidir.


13)Suruhan supaya bertenang (tidak tergesa-gesa) dan mendapat kepastian, kemudian tidak tergopoh-gopoh menghukum keatas sesuatu sehinggalah dia mengetahui apakah tujuan dari yang dimaksudkan.


Banyak lagi faedah-faedah ayat yang disebutkan oleh pengarang Rahimahullah, beliau telah menyebutkan 26 faedah ilmiah dari kisah ini, tetapi ana hanya sekadar mengambil 13 faedah sahaja kerana kesuntukan masa. Wallahu a'lam.


Masih hidupkah Khaidir?

Antara persoalan yang sering ditimbulkan; masih hidupkah Khaidir sehingga hari ini? Selain dari khilaf ulama adakah beliau seorang Nabi atau tidak? Dalam kitab tafsir yang muktabar dan dalam hadis-hadis yang boleh dijadikan hujah, belum lagi kedapatan nas sahih serta nyata bahawa Khaidir masih hidup. Dalam al-Quran, surah anbiya' ayat 34, Allah berfirman mafhumnya: "Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia). Maka jika engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya"? "Tiap-tiap diri (yang bernyawa) akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." (Surah al-Anbiya, ayat 34-35)


Imam ibnu Kathir menyebut dalam tafsirnya; "sebahagian ulama telah menjadikan ayat ini dalil bahawa Khaidir Alaihissalam telah wafat dan beliau tidak hidup lagi hingga sekarang, kerana beliau hanyalah manusia samada beliau seorang wali, nabi ataupun rasul, sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman yang bermaksud: "dan kami tidak jadikan seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad) yang dapat hidup kekal".


Atas hujah dan alasan bahawa Khaidir seorang Nabi, maka tentulah yang lebih utama untuk hidup kekal ialah Nabi Muhammad s.a.w. kerana baginda adalah Nabi dan Rasul akhir zaman, tiada Nabi lagi selepasnya. Sekiranya Khaidir masih hidup, mengapakah beliau tidak bersama-sama Nabi Muhammad ketika berdakwah di Mekah dan Madinah? Mengapakah beliau tidak ikut serta dalam peperangan Badar yang turut disertai oleh Malaikat? Mengapakah beliau tidak bersama baginda ketika Bai'ah ar-Ridwan? Mengapakah beliau tidak tampil kekhalayak menerangkan kepada sahabat-sahabat Nabi bahawa Muhammad telah wafat? Dan begitulah seterusnya lain-lain persoalan yang mempertikaikan hidupnya Khaidir sehingga hari ini.


Bolehkan berlaku bahawa masih kedapatan Nabi yang masih hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.? Jawapannya tidak kecuali Nabi itu adalah Nabi Isa berdasarkan kepada maklumat soheh dari hadis baginda. Atas alasan sedemikian, Nabi Khaidir memang wujud, tetapi telahpun wafat. Waalhua'lam.

Selasa, 29 Julai 2008

Mengenali Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah


( ألا إن اولياء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون )

Beliau terkenal sebagai Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, imam Hujjah, al-Muffassir, al-Faqih, al-Hafiz, mujtahid mutlaq, pejuang sunnah, penentang bidaah, imam dunia pada zamannya. Beliau dilahirkan pada hari isnin 10\03\ 661 Hijrah di Harran. Di gelar sebagai Taqiuddin, kuniahnya Abul Abbas namanya Ahmad bin Syihabuddin[1].


Beliau berkulit putih, memiliki rambut dan janggut yang hitam, seolah-olah kedua matanya lidah yang bercakap, berbahu luas(bidang), suaranya lantang, seorang yang fasih, cepat pembacaannya, genius, berani, lemah lembut, dan pemaaf.. beliau telah menghafaz al-Quran ketika kecil. Beliau hidup dalam keluarga ulama’, ayahnya merupakan mufti yang Alim, mengikuti bapanya berhijrah dari Harran ke Damsyiq ketika berumur 7 tahun disebabkan kezaliman Tatar. Beliau berguru lebih dari 200 orang Syeikh, bermula dari umur 7 tahun. Semua gurunya adalah ulama’ Damsyiq dan majoritinya adalah bermazhab Hambali. Beliau berjaya mendalami ilmu Tafsir, Hadis, Fiqh&Usul, Tarikh, bahasa arab, Mantiq, Adyan, Mazahib dan sebagainya. Beliau memberi fatwa ketika berumur 17 tahun. Menjadi guru Darul Hadis as-Sukariah ketika berumur 21 tahun. Antara yang hadir menjadi murid beliau ialah : Qodhi al-Qudhot Bahauddin bin Zaki as-Syafie, Tajudin al-Fazari Syaikh as-Syafieyyah, Syaikh Zainuddin bin Almunajja al-Hambali dan ramai lagi[2]. Beliau mula mengadakan kuliah Tafsir di Jami’ Umawi Dimasyq ketika berumur 23 tahun. Beliau telah menyebarkan ilmu di Dimasyq, Mesir (kaherah&iskandariah) dan sepanjang hidup di penjara. Mula mengarang ketika berumur 17 tahun.


Antara anak murid Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah yang tersohor[3]:

1-Imam as-Sofadi as-Syafie’ wafat tahun 764H.

2-Imam az-Zahabi as-Syafie’ wafat tahun 748H.

3-Imam Ibnu Kathir as-Syafie wafat tahun 774H.

4-Imam Ibn Abdul Hadi al-Hambali wafat tahun 744H.

5-Imam íbnu Rajab al-Hambali wafat tahun 779H.

6-Imam ibnu Qayyim al-Jauziah al-Hambali wafat tahun 751H.

7-Imam al-Mizzi wafat tahun 749 H

Antara karangan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah [4]:

1-Tafsir al-Quran dari ayat yang pelbagai.

2-Kitab "al-Iman" 1 jilid.

3-Kitab "Darú Ta’rud al-Aqli Wan an-Naqli" 4 jilid.

4-"Minhaj as-Sunnah an-Nabawiah" 4 jilid.

5-"al-Jawab Soheh Li Man Baddala Dinal Masih" 2 jilid.

6-"al-Futya Hamawiah" 60helai ditulis antara Zohor dan Asar.

7-"Aqidah Wasatiah" 30helai.

8-"as-Sorimul Maslul Ala Syatimi ar-Rasul".

9-"Iqtidho Sirothol Mustaqim".

10-"Syarah al-Umdah" 4 jilid.

11-"kitab al-Wasilah" 1 jilid.

12-"ar-Rad Alal Bakri" 1 jilid.

13-"ar-Rad alal mantiq" 1 jilid.

14-"Usul Tafsir".

15-"al-Furqan Bainal Haqi Wal Butlan" 60 helai.

16-"Risalah li ahlil Iraq".

17-"Risalah al-Arays".


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah telah hidup dipenjara selama 34 tahun bermula dari tarikh 693 Hijrah sehingga beliau wafat rahimahullah. Beliau dipenjarakan sebanyak 7 kali dengan sebab-sebab yang tertentu. Sebanyak 4 kali dipenjara Mesir (kaherah&iskandariah) sementara 3 kali di penjara Damsyiq. Berikut adalah butiran ringkas pemenjaraan beliau, sebab-sebab dipenjarakan dan kesan dari pemenjaraannya:


Penjara pertama:

Tahun 693 hijrah di Damsyiq dalam tempoh yang singkat. Di sebabkan protes beliau dan syeikh Zainudin al-Fariqi yang membantah tindakan seorang kristian yang mencaci dan menghina Nabi dihadapan sekumpulan muslimin. Kesan dari kes ini beliau telah mengarang kitab “as-Sorimul Maslul ala Sytimi al-Rasul”.


Penjara kedua:

Pada hari Jumaat 26 ramadhan 705 sehingga 23-03-707 Hijrah di Kaherah. Beliau dipenjarakan disebabkan masalah Arays, Kalam Allah dan sifat Nuzul Allah. Sila lihat kisah ini dengan panjang lebar dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah.


Penjara ketiga:

Dalam tempoh beberapa hari sahaja bemula pada 3-10-707 Hijrah. Hal demikian disebabkan oleh permusuhan orang-orang sufi di Kaherah kerana tentangan Ibnu Taimiyah dalam isu bermohon dan bertawassul dengan makhluk serta kata-kata beliau terhadap Ibnu Arabi. Lantaran itu diadakan majlis dan dikalangan yang hadir berselisih pendapat samada Ibnu Taimiyah di pihak yang benar atau salah. Antara yang hadir dalam majlis dan menyalahkan Ibnu Taimiyah ialah Qadi al-Badr bin Jamaáh. Ketika itu Ibnu Taimiyah diberi 3 pilihan; kembali ke Damsyiq, terus menetap di Iskandariah dengan syarat-syarat tertentu atau penjara. Maka beliau memilih penjara walaupun teman-teman beliau merayu supaya beliau keluar bersama mereka ke Damsyiq. Di sebabkan kejadian tersebut beliau mengarang kitab “ar-Raddu Alal Bakri”.


Penjara keempat:

Bermula akhir bulan Syawal 707 H sehingga awal tahun 708 Hijrah di penjara Mesir. Pada kali ini, Nasir al-Manbaji al-Hululi telah memainkan peranannya sebagai orang yang rapat dengan gabenor agar Syaikhul Islam dibicarakan semula selepas pembebasan bersyarat beliau dari penjara yang ketiga dan dalam perjalanan pulang ke Dimasyq. Ketikamana dibicarakan dihadapan qodhi-qadhi Malikiah maka mereka saling berselisih pendapat untuk menghukum Ibnu Taimiyah, lantas Ibnu Taimiyah berkata: "aku memilih penjara dan akan mengikuti apa-apa maslahat pada pandangan anda". Maka ramailah manusia yang menziarahi beliau duduk bertanya, belajar dan meminta fatwa. Ketika dalam penjara inilah berlaku kisah menarik antara beliau dan 3 orang paderi seperti yang dikisahkan oleh al-Ghiani anak murid Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.


Penjara yang kelima:

Di Iskandariah pada 01-03-709 Hijriah sehingga 08\10\709 Hijriah. Ini adalah tipu helah Nasir al-Manbaji dan juga al-Jasyankir untuk memerangkap Ibnu Taimiyah. Setelah beberapa hari di penjarakan, maka datanglah syeikh-syeikh dari Tadamurah dan mereka berkata kepada beliau: “Semua tipu helah ini adalah untuk tuan mempersetujui apa-apa yang mereka lakukan, atau untuk memulaukan tuan, ataupun memenjarakan tuan!”. Maka inbu Taimiyah lantas menjawab dengan kata-katanya yang masyhur: “Jika mereka membunuh aku, maka itu adalah syahid untuk aku, jika mereka memulaukan aku maka itu adalah hijrah bagiku, sekalipun mereka membuang aku ke Qubrus maka aku akan berdakwah terhadap penduduknya lantas mereka akan menerima aku. Jika mereka memenjarakan aku maka aku dapat beribadah”. Maka berterusanlah Ibnu Taimiyah didalam penjara selama beberapa bulan sehiggalah Malik an-Nasir Mohd bin Qolawun menguasai pemerintahan tahun 709H lantas membebaskan Syaikh dan menjemputnya datang ke Kaherah. al-Jasyankir dibunuh manakala al-Manbaji mati tidak lama selepas al-jasyankir dibunuh. Tatkala Malik an-Nasir mahu menghukum qadhi-qadhi dan Fuqaha yang menyokong al-Jasyinkir maka Malik an-Nasir meminta pendapat Syaikhul Islam, lantas Ibnu Taimiyah segera memuji para qadhi dan Fuqaha tersebut serta berpendapat jika mereka itu mati maka tidak ada pengganti mereka dalam kerajaan. “Adapun secara peribadi aku telahpun memafkan mereka semua.” Berkata qadhi ibnu Makhluf al-Maliki: “Kami tidak melihat orang yang paling bertaqwa dari ibnu Taimiyah, kami tidak tinggalkan ruang apabila dapat menyakiti beliau akan tetapi tatkala mana beliau mampu dan berkuasa keatas kami lantas memaafkan kami.” Allah Akbar! Lihatlah kesan dari tarbiah Sunnah Nabawiah terhadap peribadi ulama Sunnah! Maka tinggallah Ibnu Taimiyah di bumi Mesir selama 7 tahun sementara umat memuliakan beliau dan menghormatinya. Sepanjang pemukiman beliau di Mesir, tersebarlah ilmu secara meluas serta karangan-karangan beliau juga muncul seperti yang disebutkan oleh ibnu Rajab dalam terjemahan beliau. Antara karangan Syaikhul Islam sepanjang tempoh di Mesir; (Minhaj as-Sunnah an-Nabawiah), (al-Iman), (al-Istiqamah), (Talbis a-Jahmiah) dan (al-Fatawa al-Misriah), semoga Allah merahmati Syaikhul Islam.


Penjara keenam:

Di penjara damsyiq selama 5 bulan 28 hari bermula 12-7-721 H sehingga 10-01-721 H disebabkan kes bersumpah dalam Talak.


Penjara ketujuh:

Di penjara damsyiq selama 2 tahun 3 bulan 14 hari bermula pada 06-08-726 H hingga beliau wafat pada malam isnin 20-11-728 H. Beliau dipenjarakan disebabkan masalah “ziarah”. Natijah dari itu keluarlah karangan beliau (ar-Radd Ala al-Ikhnaie’). Sepanjang beliau didalam penjara, beliau dikurniakan Allah keluasan ilmu dan kefahaman, beribadah kepada Allah Taála yang tidak terbayang oleh akal pemikiran kita, terbit dari hasil karangan beliau kitab, risalah dan fatawa yang amat menakjubkan sedangkan pada akhir hayatnya beliau tidak dibenarkan memiliki pen dan kertas. Mudah-mudahan Allah menyucikan roh beliau dan menjadikannya bersama para Nabi, Syuhada’ serta Solehen. Amin. Ibnu Katihir berkata: “..dan yang paling banyak menimpa Syaikul Islam ialah hal keadaan beliau dipenjarakan. Dalam keadaan itupun beliau tidak henti-henti dari membuat kajian ilmiah samada di Mesir ataupun Syam. Sedangkan beliau dipenjarakan bukan atas alasan yang mencemarkan peribadi beliau akan tetapi dikurung dan di penjara dengan sebab kedudukan beliau. Makhluk-makluk itu akan kembali kepada Allah dan Allah akan menghisab mereka.[5]


Beberapa kisah menarik tentang Syaikhul Islam:

1)Sifat Berani, Faqih dan Firasah yang tepat;

Pada 4 haribulan Ramadhan ketika Syaikul Islam berucap dikhalayak memberi semangat untuk para tentera yang bersama beliau untuk melawan Tatar beliau berkata: "aku bersumpah dengan nama Allah tiada tuhan yang berhak melainkan Allah bahawa kita semua pada kali ini akan menang dan mengalahkan mereka!" Lalu para Umara’ berkata kepada beliau: "sebutlah Insyaallah!" Maka beliau menyebut: “Insyaallah Tahqiqan(realiti) La Ta’liqan( bukan fantasi)". Datang sultan dan bertanya kepada beliau adakah dia (sultan) perlu turut sama bersama tentera untuk melawan Tatar? Maka beliau menjawab: ‘Sunnah yang diajar oleh Nabi ialah seorang lelaki itu berdiri teguh bersama bendera perang kaumnya’.


Beliau juga memberi fatwa supaya para tentera tidak berpuasa pada hari tersebut supaya mereka menjadi kuat dalam medan peperangan dan itu lebih afdhal dari mereka yang berpuasa. Hadirin yang mendengar merasa ragu-ragu untuk berbuka maka Syaikul Islam mengambil makanan lantas memakannya di hadapan tentera dan Amir. Para tentera akhirnya berbuka dan meninggalkan puasa mereka. Syaikhul Islam menggunakan dalil dari hadis Nabi yang di riwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Said Nabi berkata :

(إنكم ملاقوا العدو غدا والفطر أقوى لكم) yang bermaksud: “sesunguhnya kamu semua akan bertemu dengan musuh pada esok hari dan berbuka (tidak puasa) lebih kuat untuk kamu”


Natijah dari semua kisah ini selepas izin Allah Taa’la, orang islam menang dalam peperangan menentang kekejaman Tatar[6]. Kesan dari faedah fatwa Syaikul Islam berkata Ibn Daqiq al-I’dd: “ aku sangka tidak akan ada orang yang seperti engkau selepas ini”.


2)Amal Ma’ruf Nahi Munkar;

Satu masa pada bulan Rajab didatangkan seorang lelaki dihadapan Syaikhul Islam. Lelaki tersebut al-Mujahid Ibrahim al-Qatton memakai kalung yang amat besar, mempunyai rambut dan kuku yang amat panjang, tidak terurus. Misainya juga panjang melebihi dan menutupi mulutnya, yang mana ianya menyalahi sunnah Nabi. Maka Syaikul Islam memerintahkan agar kalung tersebut dipotong dan dikerat-kerat, rambutnya dicukur dan dibotakkan, kukunya dikerat dan misainya di nipiskan. Maka berkerumunlah manusia untuk melaksanakan perintahnya. Al-Mujahid juga diarah supaya bertaubat dari kata-kata yang kotor dan keji. Juga di tuntut agar bertaubat daripada memakan makanan yang di haramkan Syara’ yang akan mengubah tabiat akal dan peribadi[7].


3)Menghapuskan unsur-unsur Syirik;

Telah sampai kepada pengetahuan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah bahawa ramai manusia yang beri’tiqad dengan perkara-perkara yang khurafat dan syirik di (العمود المخلق) yang terletak didalam (الباب الصغير). Maka Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berazam untuk keluar menghancurkan ‘Amud Mukhollak’ tersebut setelah beristikharah kepada Allah Taala. Saudara kandung beliau Syaikh al-Imam al-Qudwah Abdullah bin Taimiyah menceritakan dengan katanya; "maka kami keluar untuk memecahkannya, apabila ramai orang yang mengetahui hal ini maka ramailah yang kumpul untuk keluar bersama kami.


Tatkala kami menuju ke tempat tersebut, maka tersebarkan di kawasan tersebut kata-kata yang pelbagai. Sebahagian mereka mengatakan:”pasti selepas ini tidak akan turun hujan dan pokok-pokok tidak akan berbuah.” Sebahagian yang lain berkata; “selepas ini pasti Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ditimpa kebinasaan.” Dan berbagai-bagai lagi kata-kata yang sebegitu rupa. Berkata Syaikh Syarafuddin; ‘Belumpun kami sampai ke tempat tersebut telah ramai yang bersama-sama kami yang menarik diri dan berpatah balik kerana khuatirkan sesuatu yang buruk akan menimpa mereka. Bilamana kami sampai, maka kami perintahkan tukang batu untuk memecahkan berhala tersebut tetapi tiada seorangpun yang berani tampil kehadapan. Lantas aku ( Syaikh Syarafuddin) dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengambil pemukul batu dari tangan mereka dan kami pecahkan berhala tersebut sambil kami membaca ayat:

(جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا) al-isra’ ayat 81. dan kami katakan lagi; ‘Jika sesuatu menimpa seseorang maka kami adalah penjaminnya’. Maka ramailah orang yang ikut serta bersama kami turut serta memukul batu tersebut sehingga habis berkecai, dan kami dapati dibelakangnya 2 berhala kecil dari batu berbentuk manusia tingginya sekitar satu jengkal setengah. Syaikh Syarafuddin berkata; telah berkata Imam an-Nawawi;

(اللهم أقم لدينك رجلا يكسر العمد المخلق ويخرب القبر الذي في جيرون)


“Wahai tuhan, engkau tegakkanlah agama engkau dengan mendatangkan seorang lelaki yang akan memecahkankan ‘amud mukhollak’ dan menghancurkan kubur yang berada di jirun”. Ini adalah antara karamat[8] Syaikh Mahyuddin Imam an-Nawawi. Alhamdulillah kami telah menghancurkannya dan kami tidak ditimpa apa-apa musibahpun kecuali kebaikan[9].


4)Kisah Syaikul Islam bersama 3 Paderi Kristian;

Ketika berada di penjara Tarsim Iskandariah, Syaikul Islam telah mengambil peluang ini berdebat dengan mereka bertiga dan menegakkan hujjah bahawa mereka berada dalam kekufuran. Menyatakan bahawa agama yang mereka anuti bukanlah agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim mahupun Isa Alaihimassalam. Lalu mereka menjawab; “Kami beramal sepertimana kamu semua orang islam beramal, kamu semua mengatakan sesuatu tentang (Syaidah Nafisah) dan kami mengatakan tentang Syaidah Maryam, dan kita semua telah sepakat bahawa Nabi Isa dan Maryam lebih afdhal berbanding al-Hussin dan Syaidah Nafisah. Kalian semua memohon pertolongan dan doa dari para solehin yang sebelum kamu begitu juga kami.


Maka Syaikhul Islam menjawab: “Sesungguhnya orang yang melakukan perkara tersebut memang hampir menyerupai kalian, dan ini bukan juga agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim! Akan tetapi agama Nabi Ibrahim yang sebenarnya ialah, kami tidak meyembah tuhan kecuali Allah yang Esa, DIA tidak ada sekutu, tiada teman, tiada anak. Kami tidak menyekutukan bersama-samanya Malaikat, matahari, bulan, dan tidak juga bintang. Kami tidak menyekutukan Allah bersama-sama dengan para Nabi dan Solehin. (hanyasanya semua yang ada di langit dan bumi tidak lain, akan datang kepada Allah sebagai hamba)[10]. Demi sesungguhnya perkara yang tidak mampu ditunaikan kecuali oleh Allah Taála maka ianya tidak dipohon kepada selain Allah seperti meminta hujan, menumbuhkan tumbuhan, meminta petunjuk dari kesesatan, memohon keampunan dan lain-lainnya. Sesungguhnya tiada seorangpun makhluk yang mampu untuk menunaikan apa yang tersebut kecuali Allah! Adapun para Nabi, kami beriman dengan mereka dan memuliakn mereka, mentaati mereka, membenarkan mereka dalam semua apa yang dibawa. Sepertimana kata-kata Nabi Nuh, Soleh, Hud dan Syuaib : (Hendaklah kamu semua menyembah Allah, bertaqwa kepadanya dan mentaati)[11], Lantas mereka menjadikan Ibadah dan Taqwa untuk Allah semata-mata. Wajib mentaati mereka (para nabi), sesungguhnya mentaati mereka adalah sebahagian dari mentaati Allah. Jika seseorang manusia tidak beriman dengan salah seorang dari para Nabi dan beriman dengan semuanya maka tidak bermanfaat imannya sehinggalah dia beriman dengan Nabi tersebut. Demikian juga jika seseorang itu beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah Taala tetapi tidak beriman dengan satu kitab maka dia kafir sehinggalah dia beriman dengan kitab yang satu itu. Demikian juga kaedah beriman dengan Malaikat dan hari Akhirat.


Maka setelah mereka mendengar hujah-hujah tersebut lalu mereka berkata: "Agama yang tuan sebut lebih baik dari agama yang kami anuti dan agama yang mereka pegang". Kemudian mereka meninggalkan Syaikhul Islam.[12]


5)Kewafatan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Setelah beliau berada di penjara Dimasyq pada tahun 726 H atas sebab fatwa beliau yang melarang Syaddurrihal (galak bermusafir) ke kubur para anbiya’dan solehen, maka Syaikul Islam meluangkan kebanyakkan masanya dengan beribadah kepada Allah, membaca al-Quran dan mengarang kitab. Beliau juga menjawab syubahat-syubahat mereka yang menentang kebenaran sehinggalah akhirnya dilarang dari memiliki pen,kertas dan kitab. Kesemuanya dirampas dan dikeluarkan dari penjara beliau. berterusanlah beberapa bulan hal tersebut, sehingga syaikul islam ditimpa sakit yang menyebabkan kematian. Ramai manusia tidak mengetahui tentang sakit yang menimpa Syaikul Islam selama 20 hari sebelum kematiannya. Apabila sampai berita kematian beliau, berduyun-duyunlah manusia yang datang menziarahi jenazahnya dipenjara. Pada pagi itu tidak ada satu kedaipun yang dibuka. Masing-masing bersedih dan menangisi pemergian Syaikul Islam yang amat dikasihi. Berkata Ibnu Kathir: “aku antara yang hadir di sana bersama Syaikh kami al-Hafiz Abil Hajjaj al-Mizzi, aku buka dan lihat wajah beliau dan kucium. Dikepalanya ada serban, dan adik beliau Zainuddin Abdurrahman telah memberitahu orang yang hadir bahawa dia dan Syaikul Islam selama memasuki penjara telah mengkhatamkan bacaan al-Quran sebanyak 80 kali, ketika kami membaca untuk kali yang ke 81 dan sampai surah Qamar ayat 55&56

(إن المتقين في جنت ونهر في مقعد صدق عند مليك مقتدر)


Maka Syaikul Islam menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kematiannya pada waktu sahur malam Isnin 20 Zulqaedah 728 H. Jenazah beliau dimandikan oleh ulama-ulama soleh yang masyhur antaranya Syaikh al-Mizzi[13]. Mereka yang menghadiri jenazah Syaikul Islam seramai 200,000 orang lebih[14]. Ini terbukti apabila kesesakan yang amat sangat memenuhi seluruh jalanan dan pintu-pintu utama bandar Dimasyq. Jenazah Syaikul Islam disembahyangkan sebanyak 3 kali. Kali pertama dipenjara, kemudian di masjid Jami’ Umawi dan yang terakhir di (Suq al-Khail) ketika manusia bertambah sesak disolati oleh saudara kandungnya Syaikh Zainuddin. Beliau di kebumikan di (Perkuburan Sufiah) sebelum masuk waktu Asar bersebelahan dengan kubur saudara kandungnya al-Imam Syarafuddin[15].


Dikatakan, kopiah yang dulu digunakan oleh Syaikhul Islam dibeli dengan harga 500 Dirham. Kain yang diletakkan ditengkuknya dibayar sebanyak 150 Dirham. Ramai orang yang bermimpi bertemu Syaikul Islam dan semua mimpi-mimpi yang baik. Tidak kurang juga yang mencipta qasidah dan Syair yang panjang ditujukan untuk Syaikhul Islam Ibnu taimiyah[16]. Mudah-mudahan beliau ditempatkan di Syurga Firdaus, amin.


Berkata Ibnu Kathir: “Secara ringkasnya hari tersebut adalah saksi yang belum pernah berlaku di Dimasyq, kecuali mungkin pada zaman Bani Umayyah ketika umat manusia terlalu ramai jumlahnya…aku tidak mengetahui bahawa di sana terdapat ulama yang tidak menghadiri jenazah beliau kecuali 3 orang yang memang terkenal dimusuhi oleh umat manusia, kerana takutkan keselamatan mereka terancam maka mereka tidak keluar kerana ia boleh menyebabkan mereka dibunuh oleh orang ramai. mereka bertiga ialah; Ibnu Jumlah, as-Sodr dan al-Qahfazi.”


“Sesungguhnya Syaikhul Islam adalah antara ulama besar yang kadang-kadang tersilap dan betul, akan tetapi kesilapan beliau berbanding kebenarannya umpama setitik air di lautan yang luas. Sementara kesilapannya juga diampunkan Allah Taala sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari Nabi bersabda yang bermaksud; “Jika seseorang hakim berijtihad dan benar Ijtihadnya maka baginya 2 pahala, jika dia berijtihad dan salah maka baginya satu pahala.” Berkata Imam Malik; “setiap orang boleh diambil kata-katanya atau di tolak kecuali tuan kubur ini(Nabi Muhammad)”[17].


6)Pujian para ulama yang sezaman dengan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah;[18]

-Syaikh al-Hafiz Abul Hajjaj berkata: ‘aku tidak melihat orang yang seperti beliau, aku juga tidak melihat seseorang yang lebih mengetahui tentang al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah kemudian sangat mentaati kedua-dua tersebut (al-Quran dan Sunnah) kecuali Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.’


-Berkata al-Allamah Kamaluddin bin al-Zamlakani; "jika beliau (Syaikul Islam Ibnu Taimiyah) ditanya tentang satu-satu ilmu pasti orang yang melihat dan mendengar akan menyangka bahawa beliau tidak mengetahui ilmu yang lain kecuali yang tersebut, dan orang pasti akan menghukum bahawa orang lain tidak mempunyai pengetahuan seperti yang dimiliki beliau. Para fuqaha dari semua mazhab jika duduk bersama beliau pasti akan mendapat faedah dalam mazhab masing-masing dari beliau yang belum pernah mereka dengar sebelumnya. Tidak diketahui bahawa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berdebat dengan seseorang kemudian beliau memutuskan hubungannya dengan orang tersebut. Beliau juga memiliki karangan-karangan yang bagus dan amat cantik konsonannya, susunannya, pembahagiannya dan penerangannya……terkumpul pada diri Syaikul Islam Ibnu Taimiyah syarat-syarat Ijtihad sepenuhnya".


-Syaikh Imadduddin al-Wasiti berkata; "Syaikul Islam Ibnu Taimiyah adalah ketua imam, penghidup sunnah,pembenteras bidaah, mufti dalam bidang firaq[19], penghimpun antara yang zahir dan batin, salah satu contoh seperti khulafa ar-Rasyidin mudah-mudahan Allah menggangkat darjatnya. Demi Allah, demi Allah, demi Allah aku tidak melihat wujudnya dibawah lembayungan Langit manusia seperti beliau dari sudut keilmuannya, amalannya, hal peribadinya, akhlaknya, ketaatannya, sifat pemurahnya, lemah lembutnya dan dalam melaksanakan hak Allah tatkalamana larangan-larangan Allah dicerobohi".


-Berkata al-Imam az-Zahabi; "beliau adalah satu bukti kekuasaan Allah dari sudut kecerdikannya, kefahamannya yang pantas, ketua dalam mengetahui al-Quran dan sunnah dan juga khilaf. Lautan ilmu dalam manaqalkan kalam-kalam ulama. Beliau pada zamannya adalah satu-satunya orang Alim, Zuhud, berani, pemurah, menyuruh kearah yang ma’ruf, menentang kemungkaran dan terlalu banyak karangannya.’…tambah az-Zahabi lagi; "jika disebut bidang Tafsir maka beliau adalah obornya, jika disebutkan tentang Fuqaha maka beliau adalah Mujtahid Mutlaq, jika beliau datang bercakap dihadapan para penghafaz pasti mereka akan terkedu, jika beliau berdebat dengan Ibnu Sina, pasti beliau akan menewaskannya dan memalukannya, menghancurkan dalil-dalil mereka, membuka kelemahan mereka"…sehingga kata-kat az-Zahabi; "sekira-kira boleh kita katakan, bahawa setiap hadis yang tidak diketahui oleh Syaikul Islam Ibnu Taimiyah maka ianya bukanlah hadis".


Insaf dan Bersikap adil satu kewajipan;

Selepas dari semua pembentangan ini, adalah amat tidak adil sekiranya kita terpedaya dengan syubahat-syubahat yang dilemparkan terhadap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah untuk memburukkan beliau. Adakah suatu yang adil jika kita mengambil satu tohmahan salah kemudian meninggalkan pujian dan sokongan ulama sezaman beliau serta contoh gambaran yang diberikan oleh anak-anak murid beliau yang tersohor keilmuan mereka? Kadang-kadang menusia amat suka menzalimi diri mereka sedangkan Allah berfiman yang bermaksud (janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan). Mencerca ulama yang amat banyak jasanya, bahkan sebahagian orang jahil mengkafirkan mereka, Merupakan satu kesesatan dan kegelapan. Ketahuilah bahawa itu semua adalah antara dosa-dosa besar. Sanggupkah nanti mereka itu berdiri di hadapan Allah dan menjawap tohmahan-tohmahan yang mereka lemparkan? Sedangkan yang akan berkata-kata menjawap soalan-soalan tersebut adalah tangan dan kaki mereka serta anggota-anggota yang lain. Mengapakah kita tidak menginsafi dan bersikap adil sepertimana yang disarankan Allah “berlaku adillah sesungguhnya ianya amat hampir kepada Taqwa dan bertaqwalah”- al-Maidah. "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu mereka berdoa wahai Tuhan kami ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, ya Tuhan kami sesungguhnya engkau maha penyantun lagi maha penyayang.”-al-Hasyr ayat 10.


Beberapa kekeliruan dan penjelasan;

Terdapat di sana beberapa kesilapan fakta yang wajib dibetulkan supaya kita semua mendapat gambaran tepat dan mendapat petunjuk kebenaran dari Allah Taa’la. Antaranya apa yang tulis oleh Ibnu Battutoh dalam kitabnya[20], ketika menterjemahkan sejarah Syaikul Islam Ibnu Taimiyah dengan katanya; "Beliau (Syaikul Islam Ibnu Taimiyah) mengarang dalam penjara kitab Tafsir yang dinamakan (Al-Bahrul Mukhit) lebih kurang 40 jilid. Kemudian ibu beliau pergi menemui Malik an-Nasir mengadukan hal agar dibebaskan anaknya. Lantas beliau dibebaskan dengan perintah Raja, sehinggalah berlaku perkara yang sama (penjara) kali kedua, dan aku pada ketika itu berada di Dimayq menghadiri hari Jumaat dan aku dapati beliau berada di atas mimbar masjid Jami’ Umawi memberi peringatan kepada manusia. Antara jumlah Kalamnya ialah: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia sepertimana aku turun dari mimbar ini” sambil beliau turun dari tangga Mimbar satu persatu. Maka hal tersebut ditentang oleh Faqih Maliki yang dikenali sebagai Ibnu az-Zuhra yang bangun dan menolak pandangan tersebut. Akan tetapi bangunlah orang ramai yang segera memukul Ibnu az-Zuhra’ dengan tangan dan kasut mereka…."


Kisah ini adalah satu pembohongan besar terhadap Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah! Sesungguhnya ibnu Batutoh telah memasuki Dimasyq pada 09 Ramadhan 726 H dan pada ketika itu Syaikul Islam Ibnu Taimiyah telahpun berada di penjara Dimasyq sehingga beliau wafat. Bagaimanakah mungkin Ibnu Batutoh melihat beliau di atas Mimbar memberi peringatan atau tazkirah pada hari Jumaat? Ramai ulama yang menulis dan menolak penipuan ini antara mereka ialah Syaikh Muhamad bahjah al-Baithor di dalam majalah (al-Alamul Islami) jilid 7-8 mukasurat 394-399 keluaran tahun 1940. apa jua hal keadaanya ialah samada fakta ibnu batutoh itu satu penipuan ataupun satu kesilapan beliau yang tidak mengenali Syaikul Islam Ibnu Taimiyah. Ini memandangkan beliau seorang musafir yang baru menjejaki bumi Dimasyq.


Suatu perkara yang diketahui umum ialah tentang aqidah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Beliau bukan dikalangan hululiah seperti ibnu arabi[21], bahkan beliau sendiri dipenjarakan dengan sebab menolak dan mebantah pandangan Ibnu Arabi dalam masalah sifat Allah Taala. Beliau juga bukan dikalangan mujassamah (mentajsimkan Allah taala)! Beliau juga bukanlah dikalangan mereka yang mentakwilkan sifat Allah yang thabit di dalam al-Quran dan Sunnah yang Soheh. Akan tetapi beliau adalah seorang yang berpegang dengan Aqidah Salaf iaitu; mengisbatkan sifat-sifat Allah yang wujud di dalam al-Quran dan Sunnah tanpa mentakwilkan[22], tanpa menta’tilkan[23], tanpa menafikan dan tidak juga mentasybihkan[24]. Sepertimana kata-kata Imam Malik ketika ditanya dalam majlis ilmunya di Masjid Nabawi tentang bagaimanakah Allah Taala beristiwa’ (bersemayam)? Lalu Imam Malik menjawab setelah beliau diam sebentar dengan menahan marah dan peluh yang membasahi dahinya: ‘bersemayam itu sedia maklum, bagaimana Allah bersemayam itu tidak diketahui, beriman dengan sifat tersebut adalah wajib, dan bertanya tentang bagimana cara Istiwa’Allah itu adalah bidaah.’



[1] Lihat ‘Zail Tarikh al-Islam’ karangan az-Zahabi wafat748H

[2] Lihat Bidayah Wan-Nihayah pada kisah tahun 683H.

[3] Lihat ‘al-Jami’li Sirah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah khilal 7 Qurun’ Isyraf Syeikh Bakr bin Abdillah Abu Zaid cetakan Dar A"lam al-Fawaid.

[4] Sila rujuk kitab ‘Asma Muallafat Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah karangan Abdullah Muhamad bin Rusyaiyiq wafat tahun 749H. Imam az-Zahabi mengatakan bahawa karangan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah melebihi 400 jilid.

[5] Lihat al-Bidayah Wan Nihayah Ibnu Kathir pada kisah tahun 704H

[6] Lihat al-bidayah wan nihayah ibnu kathir pada kisah tahun 702H

[7] Lihat al-bidayah wan nihayah ibnu kathir pada kisah tahun 704H

[8] Karamat ialah suatu perkara yang luar biasa dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang soleh samada dengan permintaan orang tersebut ataupun tidak.

[9] Lihat فصل فيما قام به ابن تيمية وتفردبه وذلك في تكسير الاحجار لخادم شيخ الإسلام: إبراهيم بن أحمد الغياني

[10] Surah Maryam 93

[11] Surah Nuh ayat 3

[12] Lihat kitab al-Kawakib ad-Durari, kisah ini di cerikan oleh anak murid dan khadim Syaikhul Islam; Ibrahim bin Ahmad al-Ghiani.

[13] Lihat Ibnu Kathir dalam "al-Bidayah Wan- Nihayah" dan "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.

[14] Lihat ‘Mukhtasor Tobaqat Ulama’al-Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi wafat tahun 744

[15] Lihat "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.

[16] "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.

[17] Lihat Ibnu Kathir dalam "al-Bidayah Wan- Nihayah".

[18] Lihat "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744. semua pujian-pujian alama ini diambil dari kitab Ibn Abdul Hadi anak murid Syaikhul Islam.

[19] Firaq ialah satu tentang perpecahan umat islam dalam pelbagai mazhab yang batil melibatkan aqidah dan pegangan umat islam seperti aqidah Jahmiah, Khowarij, Syiah, Murjiah dan sebagainya seperti yang datang dalam hadis soheh tentang perpecahan umat Muhammad kepada 73 kumpulan.

[20] Tuhfatun Nuzzor Fi Ghoroib al-Amzor Wa Ajaib Asfar @ lebih dikenali sebagai ‘Rehlah Ibnu Battutoh’ wafat tahun 779H

[21] Lahir pada tahun 560 H di Mirsiah Mahyuddin Mohd bin Ali bin Mohd terkenal sebagai Ibnu Arabi, mengarang kitab-kitab sufi, lihat al-Wafi Bilwafayat li Ibnu Ali.

[22] Takwil yang di maksudkan ialah tafsiran yang tidak berpandukan kepada nas-nas dan dalil yang kuat, atau mengubah sesuatu makna lafaz yang jelas maknanya kepada suatu makna lain yang berbeza tanpa dalil yang menyokong. Ini adalah takwilan yang dicela. Adapun takwil @tafsiran yang dipuji ialah apa-apa yang berpandukan kepada dalil-dalil daripada al-quran sunnah ataupun kata-kata sahabat. Contohnya dalam menta’wilkan maksud ayat (يا أيها الذين آمنوا إذا قمتم الى الصلاة فاغسلوا وجوهكم....) yang di maksudkan dengan (kumtum) ialah (aradtum) jika hendak mendirikan solat ini sesuai dengan perbuatan Nabi yang mana menjadikan wudhu sebagai syarat sah solat.

[23] Ta’thil bermaksud membatalkan atau meninggalkan apa-apa sifat Allah yang wujud di dalam al-quran dan juga sunnah nabi samada pembatalan itu berbentuk lafzi ataupun maknawi.

[24] Tasybih ialah; menyerupakan sesuatu sifat Allah dengan mana-mana sifat makhluk ataupun menyamakan sifat-sifat makhluk dengan sifat Allah. Seperti orang yang mengatakan bahawa sifat Nuzul (turun) Allah seperti turunnya manusia tanpa ada perbezaan. Allah maha suci dari kata-kata ini! Seperti firman Allah

(ليس كمثله شيء وهو السميع البصير) surah as-syura ayat 11 yang bermaksud; “Dia Allah itu tiada sesuatupun yang serupa denganNYA dan Dia maha mendengar lagi maha melihat.”

Isnin, 28 Julai 2008

Hadis-Hadis Bulan Rejab


Oleh: Abu Abdillah Al-Madini

بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام الأتمان الأكملان على سيد الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين.


PENGENALAN

Bulan dan tahun silih berganti. Begitulah ketentuan yang Allah jadikan kepada kehidupan ini bermula dari awal penciptaan langit dan bumi.

Firman Allah Ta’ala:

( إن عدة الشهور عند الله اثنا عشر شهرا في كتاب الله يوم خلق السماوات والأرض منها أربعة حرم )

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan berdasarkan ketetapan Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi; di antaranya empat bulan haram. (At-Taubah:36)


Ayat ini menjelaskan bahawa jumlah bulan dalam setahun ialah sebanyak dua belas bulan. Dan Allah Ta’ala telah membahagikannya kepada dua belas bulan berdasarkan qadha dan qadarNya.
Demikian juga Allah Ta’ala telah memutuskan bahawa empat bulan daripadanya merupakan bulan-bulan haram iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Daripada Abu Bakrah -radhiyallahu ‘anhu- bahawa Rasulullah -sollallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda: Sesungguhnya waktu telah kembali seperti keadaan asalnya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun mempunya dua belas bulan. Empat daripadanya adalah bulan-bulan haram. Tiga daripadanya berturut-turut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Dan Rejab adalah bulan Mudhar yang terletak di antara bulan Jumadal Akhir dan Sya’ban. [Direkodkan oleh Bukhari (3025) dan Muslim (1679)]


Kata Imam Nawawi –rahimahullah- : Umat Islam telah bersepakat (ijma’) bahawa empat bulan haram ialah bulan-bulan yang disebutkan di dalam hadis . Dinamakan keempat-empat bulan ini sebagai (حُرُم ) iaitu bulan-bulan haram kerana ia mempunyai kemuliaan dan kehormatan yang lebih daripada bulan-bulan yang lain. Begitu juga dinamakan sebagai bulan-bulan haram kerana diharamkan berperang pada bulan-bulan ini. Begitulah Islam amat mementingkan tentang waktu, bulan dan tahun sehingga urusan tentangnya ditadbir langsung oleh Allah. Namun begitu, pada kesempatan ini perbincangan hanya difokuskan tentang bulan Rejab dan skopnya ialah hadis-hadis berkaitan bulan Rejab.


KAEDAH-KAEDAH UMUM DALAM MENGHUKUM HADIS-HADIS YANG BERKAITAN BULAN REJAB


Kata Ibnu Hajar – rahimahullah- (wafat 852H) : Tiada suatu hadis sohih pun yang boleh dibuat hujah mengenai kelebihan bulan Rejab, kelebihan berpuasa pada bulan Rejab atau berpuasa pada hari-hari tertentu daripadanya dan begitu juga kelebihan qiyamullail pada malam-malam tertentu daripadanya. [Lihat: Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms3, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]


Kesimpulan ini merupakan hasil kajian daripada salah seorang muhaddis atau ilmuan hadis yang terulung. . Cukuplah bagi ulama dan penuntut ilmu yang mengkaji kitab Fathul Bari syarah Sohih Bukhari – rahimahullah- untuk melihat kehebatan dan ketinggian ilmu hadis beliau. Sehinggakan As-Syaukani – rahimahullah- berkata ketika diminta untuk menghuraikan Sohih Bukhari:

لا هجرة بعد الفتح

Tiada hijrah selepas Fath (maksudnya: Sohih Bukhari tidak memerlukan huraian lain setelah ia dihuraikan oleh Ibnu Hajar– rahimahullah- dalam kitabnya Fathul Bari). Namun begitu, beliau merendah diri ketika membuat kesimpulan ini dan menjelaskan bahawa ada ulama terdahulu telah memutuskan kesimpulan yang sama; antaranya: Imam Abu Ismail Al-Harawi (wafat 481H).


Pendapat ini juga telah dikemukakan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah– rahimahullah- (wafat 751H). Kata Ibnu Qayyim– rahimahullah-: "Hadis-hadis tentang solat Raghaib pada malam hari Juma’at pertama daripada bulan Rejab adalah direka-reka ke atas Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam… begitu juga setiap hadis yang menyebutkan puasa Rejab dan solat pada malam-malam tertentu daripada bulan tersebut adalah palsu dan direka-reka…" [Al-Manar Al-Munif fi As-Sahih wa Ad-Dhaif, ms83-85, Mekah: Dar ‘Alam Al-Fawaid]


Ibnu Rejab– rahimahullah- (wafat 795H) juga turut memberikan komentar yang serupa terhadap hadis-hadis yang berkaitan tentang kelebihan bulan Rejab dan amalan-amalan yang terdapat padanya. Kata Al-Manawi – rahimahullah- (wafat1031H) : Katanya (Ibnu Rejab) di dalam kitab Shiratul Mustaqim: Tiada hadis yang sabit daripada Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam pada kelebihan Rejab melainkan sebuah hadis yang menyebutkan “Nabi sollallahu ‘alaihi wa sallam apabila tiba Rejab maka baginda bersabda: Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab”, dan tiada hadis yang sabit melainkan hadis tersebut; bahkan semua hadis yang diriwayatkan daripada Nabi sollallahu ‘alaih wa sallam padanya(Rejab) adalah dusta.[Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ As-Shagir, 4/18, Mesir:Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubra]


Kaedah-kaedah umum ini merupakan hasil daripada penelitian dan pengkajian ulama-ulama yang berkredibiliti dalam bidang hadis. Mereka telah berijtihad sehingga terhasilnya hukum dan kaedah tersebut; dan Allah Ta’ala telah memerintahkan kita untuk bertanya kepada ulama dan mengikuti mereka.

Firman Allah Ta’ala:

( فسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون )

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui” (An-Nahl:43)


CONTOH HADIS-HADIS PALSU YANG TERSEBAR DI DALAM MASYARAKAT

Berikut dibawakan beberapa contoh hadis-hadis berkaitan bulan Rejab dan hukum ulama-ulama hadis terhadapnya.

Hadis pertama:

رجب شهر الله وشعبان شهري ورمضان شهر أمتي

“Rejab bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”


Kata Ibnu Jauzi–rahimahullah- (wafat 597H): Ini merupakan hadis yang palsu [Lihat:Maudhu’at, 2/205-206, Madinah: Maktabah Salafiyyah]

Kata Ibnu Hajar–rahimahullah-: Direkodkan oleh Abu Bakar An-Naqqasy – yang merupakan seorang ahli tafsir -, dan juga Al-Hafiz Abu Fadhl Muhammad bin Nasir di dalam “Amali” daripada An-Naqqasy dengan lebih panjang di mana dia menyebutkan di dalam hadis tersebut kelebihan berpuasa pada setiap hari pada bulan Rejab. Kata Ibnu Hajar–rahimahullah-: An-Naqqasy merupakan orang yang banyak memalsukan hadis (وضاع دجال)


Kata Ibnu Dihyah –rahimahullah- (wafat 633H): Ini merupakan hadis palsu. [Lihat: Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms10-12, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]

Hadis kedua:

فضل رجب على سائر الشهور كفضل القرآن على سائر الأذكار، وفضل شعبان على سائر الشهور كفضل محمد على سائر الأنبياء، وفضل شهر رمضان على سائر الشهور كفضل الله على عباده

“Kelebihan bulan Rejab atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan Al-Quran atas zikir-zikir yang lain Kelebihan bulan Rejab atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan, dan kelebihan bulan Sya’ban atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan Muhammad atas sekalian nabi; dan kelebihan bulan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain adalah seumpama kelebihan Allah atas hamba-hambanya”


Kata Ibnu Hajar–rahimahullah-: Perawi-perawi sanad hadis ini siqah kecuali As-Saqti. Dia merupakan kecacatan pada sanad hadis dan dia merupakan seorang yang terkenal di dalam memalsukan hadis dan mencipta sanad-sanad. [Lihat: Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms14, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]


Hadis ketiga:

من صلى المغرب في أول ليلة من رجب ثم صلى بعدها عشرين ركعة، يقرأ في كل ركعة بفاتحة الكتاب، وقل هو الله أحد مرة، يسلم فيهن عشر تسليمات، أتدرون ما ثوابه؟...قال: حفظه الله في نفسه وأهله وماله وولده وأجير من عذاب القبر، وجاز الصراط كالبرق بغير حساب ولا عذاب

"Sesiapa yang sembahyang Maghrib pada malam pertama bulan Rejab, kemudian sembahyang 20 rakaat selepasnya; dia membaca surah Al-Fatihah pada setiap raka’at dan surah Al-Ikhlas sekali, dan salam dengan sepuluh salam, adakah kamu tahu pahalanya?...Sabdanya: Allah akan memelihara dirinya, keluarganya, hartanya, dan anaknya; dan menyelamatkannya daripada azab kubur; dan dia akan melintasi Shirat seperti kilat tanpa perhitungan dan azab”


Kata Ibnu Jauzi–rahimahullah-: Ini adalah hadis palsu dan kebanyakan perawinya tidak dikenali. [Maudhu’at, 2/123, Madinah: Maktabah Salafiyyah]


Ibnu Hajar –rahimahullah- turut menukilkan hukum yang serupa seperti hukum Ibnu Jauzi–rahimahullah- [Tabyinul ‘Ajab bima warada fi Fadhli Rajab, ms17, Mesir: Maktabah Hadrat Abdul Wahid at-Tazi]


KESIMPULAN

1- Berhati-hati dalam meriwayatkan dan mengamalkan hadis-hadis palsu supaya tidak termasuk di dalam golongan penipu dan pendusta seperti mana yang disebutkan oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam:

من حدث عني حديثا يَرى أنه كذب فهو أحد الكاذبِين

“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadis daripadaku walhal dia mengetahui hadis tersebut palsu maka dia adalah seorang pendusta” [Direkodkan oleh Muslim dalam Muqaddimah Sohih, 1/7, Beirut:Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabi]

2- Tuntutan kepada para ulama, sarjana, penuntut ilmu dan pendakwah untuk sentiasa berpegang dengan konsep تعظيم الحق ورحمة للخلق dalam menerangkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.

3- Para sarjana dan ilmuan Islam perlu mempersiapkan diri untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing agar Sunnah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam dapat disampaikan dengan benar dan telus.

4- Setiap individu Muslim perlu mengukuhkan ilmu dan kefahaman dengan belajar dan berbincang dengan ulama dan sarjana Islam terutamanya ilmu hadis riwayat dan dirayah (sanad dan fiqh hadis) agar segala keyakinan dan amalan berdasarkan Sunnah Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka juga perlu memilih para ilmuan yangdipercayai dalam ilmu dan agama mereka dalam menuntut ilmu kerana sesungguhnya ilmu ini adalah agama.


Kata Ibnu Sirin (wafat 110H):

إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم

“Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kamu perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama kamu”

وصلى الله على حبيبنا محمد وعلى آله وصحبه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين

والحمد لله رب العالمين

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...