RSS Feeds

Khamis, 30 Oktober 2008

Hukum binaan di atas kubur

Adapun binaan di atas kubur seperti yang banyak kita saksikan sekarang seperti membina tembok, dinding pagar dan sebagainya, tulisan ayat-ayat suci al-Quran dan lain-lainnya adalah antara perkara yang diharamkan. Nabi bersabda yang bermaksud: "Nabi melarang Tajsis kubur ( membina tembok dinding dikeliling kubur) dan melarang membina binaan di atasnya". Hadis riwayat Muslim dan pada riwayat Tirmizi dan al-Hakim (Nabi melarang dari ditulis sesuatu apapun diatasnya).


An-Nawawi berkata dalam syarah soheh Muslim: "Nabi melarang Tajsis kubur dan membina diatasnya dan juga duduk di atas kuburan" dalam hadis ini larangan Tajsis kubur , membina binaan diatasnya dan duduk diatas kuburan. Yang dimaksudkan dengan قعود ialah duduk, ini merupakan mazhab Syafie dan jumhur ulama. Imam Malik berkata dalam kitabnya Muwatto’ : "yang dimaksudkan dengan قعود ialah duduk". Antara yang menyokong perkara ini ialah riwayat lain yang menyebut: "jangan kamu duduk di atas kuburan). dalam riwayat yang lain pula disebut: ( Demi sesungguhnya seseorang dari kamu duduk diatas bara api kemudian bajunya terbakar sehingga memakan kulit badannya lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur). An-Nawawi berkata lagi: "Telah berkata sahabat-sahabat kami (ulama Syafie): Tajsis kubur itu makruh, dan duduk diperkuburan adalah haram, demikian juga menyandar di atas perkuburan". Imam Syafie berkata di dalam al-Umm: aku lihat para imam di Mekah menyuruh supaya diruntuhkan binaan di atas kubur, ini disokong oleh sabda Nabi yang bermaksud: (dan tiada kubur yang dimuliakan[1] kecuali ianya diratakan). Lihat syarah soheh Muslim karangan an-Nawawi[2].


Apakah hikmah larangan ini?

1)kerana ianya boleh menjadi sebab kepada sikap melampau terhadap kubur yang akhirnya membawa kepada penyembahan. Sebab itu datang juga larangan mengebumikan mayat di masjid. Adapun kubur Nabi sesungguhnya ia tidak berada di dalam masjid akan tetapi Nabi dikuburkan di rumah baginda (ini merupakan antara perkara-perkara khusus yang dibolehkan bagi nabi sahaja) adapun jasad Abu Bakar dan Umar kerana permintaan mereka untuk dikebumikan bersama baginda kerana mereka berdua adalah sahabat Nabi yang paling akrab dan mulia yang sering menemani Nabi kemana sahaja baginda berada.

2)mengelak daripada menyerupai orang Yahudi. Nabi bersabda bermaksud: "Allah melaknat orang Yahudi yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid". Hadis ibnu Abbas riwayat Bukhari.


Soalan: Disana terdapat kubur yang diangkat tinggi dari bumi lebih kurang sejengkal ataupun lebih, akan tetapi kubur itu dikelilingi oleh tembok yang tinggi adakah kubur ini di anggap beramal dengan yang bukan sunnah? Adakah dibolehkan menziarahi kuburan yang seperti ini atau tidak?


Jawapan: Binaan di atas kuburan adalah diharamkan kerana telah datang hadis daripada Nabi yang menyebut: "Nabi melarang membina tembok kubur, melarang duduk di atas kuburan dan melarang membina binaan diatasnya". Hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdillah. Dengan itu diketahui bahawa binaan seperti yang disebut wajib di hapuskan kerana beramal dengan hadis ini. Adapun menziarahi secara syarak maka tidak menjadi masalah. Wabillahi taufik dan selawat Allah ke atas Nabi kita Muhammad, kaum kerabat baginda dan sahabat-sahabat baginda alaihissolatu Wassalam. [ Fatwa Lajnah Daemah untuk kajian ilmiah dan fatwa]. Wallahu a'lam.



[1] Maksud dimuliakan ialah: yang ditinggikan dari permukaan bumi yang asal.

[2] Soheh muslim bab: باب الأَمْرِ بِتَسْوِيَةِ الْقَبْرِ

Selasa, 28 Oktober 2008

Kisah ajaib oleh syeikh al-Maghamisi

Temuramah bersama al-Ghamidi

Tazkirah siri terakhir

أخي قف وحاسب نفسك!

Beberapa sebab yang membantu dan mendorong seseorang bermuhasabah;

1) Seseorang hamba itu hendaklah menyedari bahawa perhitunga pada hari ini akan meringankan perhitungan pada hari akhirat. Selagi ia mengabaikannya pada hari ini, hisab ke atas dirinya akan bertambah dahsyat pada hari qiamat.

2)Muhasabah itu tidak lain hanyalah akan membawa kepada kebaikan, dan pasti ia mengundang kebaikan kerana muhasabah adalah jalan menuju akhirat sementara meninggalkannya adalah satu kebinasaan.

3)Memerhatikan keadaan ulama salaf yang senantiasa menghisab diri mereka disamping mengambil pengajaran kerana ini mampu menyedarkan diri agar mengikuti jejak langkah mereka untuk berada dilandasan yang benar.

4)Bergaul dan mendampingi orang soleh yang sentiasa bermuhasabah kerana pergaulan ini akan mewariskan sikap baik mereka dan akhlak mulia dalam diri.

5)Menziarahi kubur dan sentiasa mengingati kematian kerana ia memberi peringatan dan pengajaran yan gmendorong untuk bermuhasabah serta mengawasi hawa nafsu.

6)Mengisi masa dengan beribadah kepada Allah dan memperbanyakkan amalan soleh kerana amalan-amalan itu menerangkan hati dan menghapuskan kelekaan serta memperbaharui perasaan takut.

7)Menjauhi tempat-tempat maksiat dan menjauhi rakan-rakan yang jahat kerana mereka melekakan diri dengan perkara-perkara yang tidak berguna dan berdosa, lantas akan menyebabkan muhasabah itu suatu yang membosankan, maksiat suatu yang diingini dan disukai. Natijahnya ialah menyukarkan seseorang itu kembali ke pangkal jalan.

Maka amalkanlah beberapa nasihat ini wahai saudara yang mulia, ketahuilah bahawa ianya akan berhasil dan menghasilkan natijah yang baik pada hari anda menemui allah. Maksud firman Allah : "Pada hari setiap diri mendapati segala kebaikan dibentangkan, begitu juga dengan amal kejahatan yang dilakukannya, dia ingin kalau kiranya antara dia dengan hari itu ada masa yang jauh". (al-imran : 30).

Rabu, 22 Oktober 2008

Tazkirah siri 2

أخي قف وحاسب نفسك!


Bagaimana mahu menghisab dan menghitung diri?

Tidak diragui bahawa muhasabah ialah merenung dan menyelidiki sejauh manakah kita berpegang pada syariat Allah dan pelaksanaannya serta sejauh manakah kita meninggalkannya. Bermula dari perkara yang terpenting kepada perkara yang penting. Adakah kita menghampiri perkara-perkara terlarang? Justeru hendaklah kita semua sentiasa bermuhasabah diri ini dalam perkara-perkara berikut;

1) Hitunglah diri ini tentang ibadah-ibadah fardhu terutamanya solat. Adakah kita menunaikannya tepat pada waktunya, secara berjemaah serta khusuk? Seperti yang diperintahkan oleh Allah. Jika kita mendapati kekurangan dan kecacatan maka segeralah bertaubat dan beristighfar serta menyesal san berazam untuk menyempurnakannya.

2) Menghitung diri di atas segala dosa-dosa dan semua bentuk larangan. Jika kita terjebak melakukan salah-satu larangan maka segeralah bertaubat dan memperbanyakkkan amalan kebaikan kerana amalan-amalan yang baik akan menghapuskan dosa-dosa.

3) Hitunglah diri ini di atas setiap kelekaan terhadap hari akhirat dan keasyikan mengejar dunia yang fana' (tidak kekal). Perbaharuilah azam dengan zikir disamping memperbanyakkan amalan-amalan kebaikan.

4) Hitunglah diri di atas segala gerak-geri anggota badan, menghisab kata-kata yang pernah dilafazkan, kemana kamu berjalan? Apa yang kamu lakukan dengan tanganmu? Kemana matamu memandang? Apa yang kamu dengar? Untuk siapakah kamu lakukan sesuatu perkara dan mengapakah kamu melakukannya?

Ketahuilah jika kita terus menghitung diri mengikut cara ini maka ianya pasti akan membuahkan hasil yang mampu untuk mengislahkan diri serta meninggikan darjat di dunia dan akhirat. Ini disebabkan kita lebih sedar tentang dosa-dosa dan apa yang dilakukan oleh setiap anggota badan setiap hari.

Taubah bin as-Summah merupakan seorang lelaki yang sentiasa bermuhasabah. Beliau mendapati usianya sudah menjangkau 60 tahun. Beliau mengira bilangan hari dalam usianya itu dan mendapati ianya berjumlah 21500 hari, lantas beliau menjerit seraya berkata; "Ah, celaka aku!! Bertemu Allah dengan 21000 dosa, bagaimanakah kiranya setiap hari beribu-ribu dosa yang ku lakukan? Lalu beliau jatuh pengsan dan mati. Berkata Malik bin Dinar; "Semoga Allah merahmati hamba yang berbisik kepada dirinya, (bukankah engkau telah melakukan perkara ini dan perkara itu? Lalu ia mengejinya, kemudian mengikatnya dan seterusnya mengamalkan al-Quran)".

Jumaat, 17 Oktober 2008

Tazkirah 1

أخي قف وحاسب نفسك!

Segala puji bagi Allah selawat dan salam ke atas Nabi junjungan, kaum kerabat serta sahabat-sahabat baginda. Kenapakah perlu bermuhasabah? Kerana Allah menyeru hambanya ke arah itu dan menggalakkan amalan tersebut. Maksud firman Allah ;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُون

"Wahai orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatika apa yang telah dilakukan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".

Seorang mukmin sejati sentiasa melakukan muhasabah ke atas dirinya dalam setiap gerak gerinya, kata-katanya dan lintasan hatinya kerana ia pasti akan menghadap Allah pada hari qiamat kelak dan bertanggungjawab ke atas segala perbuatannya. Daripada Ibnu Mas'ud beliau berkata; bersabda Nabi; "Tidak berganjak dua telapak kaki Adam pada hari qiamat sehingga ditanya lima perkara: tentang usianya untuk apa dihabiskan, masa mudanya untuk apa disia-siakan, hartanya darimanakah diperolehi dan untuk apa dibelanjakan, dan apa yang dilakukan dengan ilmunya". (Riwayat Tirmizi)

Saudara semua, bukankah lebih dan selamat jika seseorang itu menghitung dirinya didunia lalu menghalang dirinya daripada melakukan kemungkaran dan menggalakkan dirinya melakukan kebaikan sebelum datangnya hari yang tiada berguna harta mahupun anak pinak kecuali hamba yan datang bertemu Allah dengan hati yang suci bersih! Umar al-khattab telah menulis kepada sebahagian pekerjanya; "Hitunglah dirimu ketika senang sebelum datangnya hisab yang lebih dahsyat, kerana barangsiapa menghitung dirinya ketika senang sebelum datangnya susah maka ia akan kembali dengan redha, dan barangsiapa dilekakan oleh urusan dunianya dan disebukkan oleh hawa nafsunya maka ia akan kembali dengan penyesalan dan kerugian".

Bagaimana mungkin seseorang itu tidak menyesal setelah ia menghabiskan usianya mengikut , mengejar keseronokan serta melampaui sempadan yang telah ditetapkan. Sehinggalah dikejutkan oleh kematian lalu mengubah cita-citanya mengenjar dunia menjadi mimpi dan harapannya hanya angan-angan…dan yang berdiri dihadapannya hanya penghitungan.

Saudara sekalian, perhatikan disekeliling kita keadaan orang lain yang tidak begitu berbeza berbanding diri kita, betapa ramai muda-mudi yang menemui ajalnya sedangkan dia masih cergas dan lincah. Betapa ramai manusia yang derhaka telah ditimpa kematian secara mengejut sedangkan dia masih leka denga keseronokan hawa nafsu! Seringkali kita mendengar berita tentang mereka yang mati secara tiba-tiba. Ada yang ditimpa kemalangan, ada pula yang diserang sakit jantung, ada yang mati kerana pendarahan otak dan bermacam-macam lagi penyakit yang mengorbankan nyawa setiap hari. Jika kita renungkan keadaan kematian dan sebab-sebabnya secara mengejut pasti kita menyedari betapa berharganya muhasabah diri kerana ia menjadikan seseorang itu sentiasa bersiap sedia untuk dihisab dan mendorongnya untuk bertaubat kembali ke jalan Allah sebelum terlambat.

Umar al-khattab berkata; " Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbang, kerana perhitungan pada hari ini akan meringankan perhitungan pada hari esok, dan berbekallah untuk hari pembentangan yang luas. Firman Allah bermaksud; "Pada hari kamu dihadapkan kepada tuhanmu, tiada sesuatupun dari kamu yang tersembunyi". (Riwayat Tirmizi). Hasan al-basri berkata; "Sesungguhnya seseorang hamba itu masih lagi dalam keadaan baik selagimana ia mampu memperingatkan dirinya sendiri dan muhasabah itu menjadi urusannya".

Ketahuilah saudara semua, sesungguhnyha muhasabah adalah sifat hamba-hamba Allah yang bertaqwa. Kerana ia membantu seseorang itu melakukan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan serta menyeru untuk menambahkan kebaikan, dan itulah sebenarnya rukun-rukun taqwa. Maimon bin Mahron berkata; "Tidak bertaqwa seseorang itu sehinggalah ia melakukan penghitungan terhadap dirinya lebih daripada orang bakhil yang menghitung rakan kongsinya, oleh itu dikatakan ;"Diri ini umpama rakan pengkhianat, jika kamu tidak menghitungnya nescaya ia akan melarikan harta-harta kamu".

Maka saudara-saudara semua, bersifatlah dengan akhlak mulia kerana kebaikannya cukup besar dan mulia. Orang yang mengamalkan sifat-sifat mulia ini amat sedikit. Bermuhasabah adalah cara untuk mengetahui keburukan diri, maka bagaimanakah untuk menghapuskan segala keburukan diri ini tanpa muhasabah?sesengguhnya hasil dari muhasabah ini adalah taubat, penyesalan dan tunduk menghina diri di hadapan Allah, menegtahui hak-hak manusia, berhati-hati daripada keterlanjuran diri, bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dan memperbanyakkan amal kebaikan. Al-Ahnaf bin Qais meletakkan jarinya di atas pelita api yang panas menyala lalu berkata; "Rasakanlah wahai Ahnaf, mengapakah kamu melakukan perkara itu pada hari tersebut?".

Jumaat, 10 Oktober 2008

Mari berpuasa 6 Syawal

Dari abu Ayyub al-Ansari ra beliau berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].


Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.


Para ulama’ menghuraikan rahsia disebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.


Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.


Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu ‘anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري


Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayani Rasulullah saw" ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]


Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.


Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”


Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.


Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.


Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.


Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (‘ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: “وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان.”


Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].


Rabu, 8 Oktober 2008

Ziarah Kubur Pada Hari Raya Idul Fitri & Idul Adha

Perbuatan sebahagian orang yang menjadikan awal pagi dua hari raya untuk menziarahi kubur adalah perbuatan yang bertentangan dengan maksud dan syiar hari raya. Yang mana sepatutnya dizahirkan kegembiraan dan keseronokan.


Perbuatan menziarahi kubur pada hari raya ini juga bertentangan dengan petunjuk Nabi saw dan perbuatan generasi awal umat Islam (al-Salaf) yang dididik oleh Baginda. Perbuatan ini dibimbangi termasuk di dalam larangan Nabi saw dari menjadikan tanah perkuburan sebagai sambutan hari raya, dimana jika dimaksudkan (sunat menziarahi kubur) pada waktu-waktu tertentu dan ada pada musim-musim yang tertentu (seperti pada dua hari raya), maka perbuatan ini termasuk larangan menjadikan tanah perkuburan sebagai tempat sambutan hari raya seperti yang disebut oleh para ulama. (Sila lihat Ahkam al-Jana-iz wa Bida’uha oleh al-Albani. m.s. 219 & 258)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...