RSS Feeds

Jumaat, 24 April 2009

Melihat Malaikat?

Adakah manusia mampu melihat Malaikat ? Ataukah ianya diantara perkara yang khas kepada Nabi sahaja? Adakah sahabat-sahabat Nabi pernah melihat Malaikat? Bagaimanakah bentuk Malaikat? Apa jawapan kepada orang yang mendakwa melihat Malaikat?


Beriman kepada Malaikat adalah diantara Rukun Iman yang enam. Kita tidak mengetahui berapakah bilangan mereka (lihat tafsiran surah al-Muddasthir 31). Tatkala mana Malaikat adalah perkara yang ghaib, maka sewajibnya kita beriman dengan panduan yang datang daripada nas-nas Syara'. Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa Nabi Muhamad sendiri tidak mengetahui perkara yang ghaib sedangkan baginda adalah insan teragung. Maksud daripada surah al-An'am ayat 50


((katakanlah hai Muhamad; "Aku tidak mengatakan kepada kalian bahawa disisiku khazanah-khazanah Allah, dan aku tidak mengetahui perkara ghaib dan aku tidak katakan pada kalian bahawa aku ini Malaikat, hanyasanya aku tidak ikut kecuali apa yang telah diwahyukan…))


Nabi melihat Jibril;

Mampukah mata manusia ini melihat Malaikat dalam bentuknya yang asal? Jawapannya adalah tidak! Kecuali apa yang telah Allah anugerahkan kepada Nabi Muhammad. Dalam pada itupun baginda hanya melihat malaikat Jibril dalam bentuknya yang hakiki 2 kali sahaja. Pertama ketika dibumi (balik daripada gua Hira' lihat tafsiran surah an-Najm ayat 8) dan yang kedua di atas langit (ketika berada di Sidratil Muntaha). Nabi menjelaskan bahawa jibril memiliki 600 sayap (lihat soheh Bukhari dan Muslim bab pada menyatakan tentang Sidratul Muntaha)!!! Satu sayapnya sahaja sudah cukup untuk menggelapkan sekalian ufuk daripada timur ke barat!


Adapun apa-apa riwayat daripada sahabat yang menyatakan mereka melihat Malaikat seperti Ummul Mukminin Aishah, ibnu Abbas, Usaid bin Khudhair, Imran bin Hushain dan lain-lain, mereka sebenarnya melihat Malaikat bukan dalam bentuknya yang asli. Mereka melihat Malaikat dalam bentuk yang seperti manusia. Seperti dalam hadis Jibril dalam soheh Muslim ataupun hadis kedua dalam matan arbaien. Jibril alaihissalam seringkali menyerupai bentuk seorang sahabat Nabi: Dehyah bin khalifah al-Kalbi.


Bentuk Malaikat:

Dalam surah al-hadid ayat 1 allah menyatakan tentang penciptaan Malaikat yang pelbagai. Ada diantara mereka yang memiliki 2 sayap, 3 sayap, 4 sayap dan sebagainya. Allah juga menyatakan beberapa sifat Malaikat yang tidak pernah engkar dan sentiasa taat (surah Tahrim ayat 6). Malaikat diciptakan daripada cahaya (lihat soheh Muslim hadis no 2996). Malaikat tidak makan dan tidak minum, bukan lelaki dan bukan perempuan, dan tidak memiliki hawa nafsu. Nabi tidak menerangkan lanjut bagaimanakah bentuk malaikat secara detail.


Dakwaan melihat Malaikat;

Memang terdapat dakwaan yang mengatakan kami melihat Malaikat dalam bentuknya yang hakiki. Kata-kata ini datangnya daripada golongan sufi yang mengutamakan mimpi, khayalan, keramat, kewalian dan bermacam ragam lagi yang pelik-pelik. (Sufi yang dimaksudkan disini bukanlah kezuhudan, akhlak mulia, amal ibadah, warak dan lain-lain sifat mahmudah seperti yang ramai kita fahami). Bagi mereka, apapun jawapan yang akan diberikan tidak akan menjadikan mereka akur dan patuh kecuali mereka yang mendapat taufik. Allah berfirman al-An'an ayat 9 :

(( وَلَوْ جَعَلْنَاهُ مَلَكًا لَجَعَلْنَاهُ رَجُلًا وَلَلَبَسْنَا عَلَيْهِمْ مَا يَلْبِسُونَ ))

Bermaksud: ((Dan kalau kami jadikan Nabi itu daripada Malaikat, nescaya kami akan jadikannya sebagai seorang lelaki dan kami akan pakaikan kepada mereka apa yang mereka pakai)). Imam Tobari berkata dalam tafsirnya; "iaitu, pasti kami akan jadikannya dalam bentuk seorang lelaki daripada kalangan manusia, kerana mereka (manusia) tidak mampu melihat Malaikat dalam bentuknya yang asli". Dalam tafsir al-Alusi beliau berkata ketika mentafsirkan ayat:

((وَقَالُوا لَوْلَا أُنْزِلَ عَلَيْهِ مَلَكٌ وَلَوْ أَنْزَلْنَا مَلَكًا لَقُضِيَ الْأَمْرُ ثُمَّ لَا يُنْظَرُونَ((


Al-Alusi berkata :"Maka akan sempurnalah urusan" iaitu akan sempurnalah urusan kebinasaan mereka dengan sebab menyaksikan dan melihat Malaikat". Sebab itu Allah mengutuskan para Malaikat kepada Nabi dan rasulnya dalam rupa manusia. Ini kerana kehebatan dan kekuatan Malaikat itu yang tidak mampu untuk manusia melihatnya. Lihatlah kisah Malaikat yang menjadi tetamu Nabi Ibrahim (surah Hud ayat 69-70). Begitu jugak dengan kisah Nabi Luth (surah Hud ayat 77-78). Demikian juga dengan kisah Nabi Musa yang telah mencucuk mata Malaikat maut yang dihantar untuk mencabut nyawanya (hadis Bukhari dan Muslim). Sesungguhnya Malaikat maut telah datang dalam bentuk manusia. Wallahu a'lam.




Sabtu, 18 April 2009

Tidak Baikkah Kahwin Sepupu?

Ramai orang beranggapan bahawa kahwin dengan sepupu boleh menyebabkan lahir anak-anak yang bebal, rumahtangga akan bermasalah, hubungan kekeluargaan akan tercalar dan lain-lain lagi persepsi buruk. Adakah terdapat bukti kepada pendapat-pendapat ini? Ataukah sekadar mahu mengelakkan keretakan hubungan kekeluargaan jika ditakdirkan berlaku perceraian?


Satu perkara yang dikhuwatiri ialah; kita mendapat dosa dengan sebab kita mendahului takdir dan menghukum kepada sesuatu perkara yang ghaib. Apa yang pasti sepupu perempuan adakah mereka yang halal dikahwini tanpa ada keraguan. Allah menjelaskan dalam surah an-Nisa ayat 23 bahawa mereka yang haram dinikahi adalah 7 golongan daripada nasab;


1) Ibu-ibu kandung

2) Anak perempuan kandung

3) Adik beradik kandung

4) Makcik-makcik sebelah ayah

5) Makcik-makcik sebelah ibu

6) Anak-anak perempuan adik@kakak kandung

7) Anak-anak perempuan adik@abang kandung.

Mereka yang diharamkan dengan sebab perkahwinan dan juga dengan sebab susuan, mereka adalah;

1) Ibu susuan.

2) Wanita sesusuan.

3) Ibu-ibu kepada si isteri.

4) Rabaib (anak-anak tiri).

5) Isteri kepada anak lelaki (menantu perempuan).

6) Menghimpunkan 2 adik beradik kepada si isteri dalam satu masa.

7) Isteri-isteri yang dinikahi oleh ayah.

8) Menghimpunkan antara si isteri dan makcik kepada si isteri. Imam Thohawi berkata; "Semua yang disebutkan adalah hukuman yang telah tetap pengharamannya tanpa khilaf menurut Ijma ulama".


Sepanjang pengetahuan saya, kahwin sepupu adalah adat kebiasaan yang berlaku dikebanyakkan masyarakat arab khasnya di Arab Saudi. Ini merupakan tradisi dan kebiasaan mereka sehinggalah ke zaman ini. Demikianlah Nabi Muhammad juga telah berkahwin dengan Zainab binti Jahsyin yang merupakan anak kepada makcik baginda sebelah ayah. Telah datang nas daripada al-Quran mengenai hal ini dalam surah Ahzab ayat 50:

((يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ اللَّاتِي آَتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ اللَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ....))

Yang bermaksud: ((Wahai Nabi sesungguhnya kami telah halalkan kepadamu isteri-isterimu yang kamu berikan maharnya, dan kami halalkan wanita-wanita yang kamu miliki daripada apa yang Allah anugerahkan keatasmu, begitu juga dengan anak-anak perempuan pakcikmu dan makcikmu sebelah ayah, anak-anak perempuan pakcikmu dan makcikmu sebelah ibu yang mereka itu berhijrah bersamamu, serta wanita mukminah yang menghadiahkan dirinya untuk Nabi…))


Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya: "Maka ini adalah suatu keadilan dan kesederhanaan diantara yang terlalu melampau dan yang terlalu ambil mudah, sesungguhnya golongan nasrani tidak mengahwini perempuan kecuali jika diantara silelaki dan wanita itu punyai jarak perhubungan 7 keturunan ke atas. Sedangan yahudi pula mengahwini anak perempuan kepada adik@kakak perempuannya sendiri. Maka datang syariat islam yang sempurna lagi suci dengan menghapuskan sikap terlalu keras golongan nasrani dan sikap ambil mudah golongan yahudi".


Justeru kepercayaan karut dalam permasalahan ini wajib dihindari supaya keimanan kita terhadap Qoda' Qadar Allah Ta'ala tidak tercalar. Adalah suatu yang membimbangkan jika kepercayaan ini akhirnya membawa kepada satu dosa besar iaitu pengharaman suatu hukum yang halal!

Selasa, 14 April 2009

Perkahwinan Di antara Strategi Kristianisasi

Saya teruja untuk menyentuh perkara ini setelah teman kuliah saya membentangkan topic "Khidmat kemasyarakatan satu wasilah dikalangan pendakyah-dakyah kristian". Satu pembentangan menarik kerana ianya berkaitan dengan negaranya di Indonesia. Banyak maklumat segar yang kami perolehi tetapi tidak cukup untuk disertakan disini. Saya fikir hal yang serupa juga telah berlaku di Malaysia. Walaupun ianya tidak disebut dalam tulisan-tulisan pendakyah kristian, tidak juga disebut dalam perhimpunan-perhimpunan kristianisasi tetapi perkahwinan adalah antara senjata ampuh yang berkesan.


Ramai gadis-gadis melayu umumnya mudah terpedaya dengan cinta-cinta serta janji-janji kosong yang akhirnya menyebabkan kepada beberapa insiden yang keji. Setidak-tidaknya berlaku kes khalwat atau mungkin juga berlanjutan sehingga melahirkan anak luar nikah. Lebih bahaya daripada itu ialah menggadaikan akidah dengan kes-kes murtad yang sehingga kini tidak berkesudahan. Puncanya? Cinta, kasih sayang dan perkahwinan. Ini bukan soal kebebasan seperti yang didendang-dendangkan! Tetapi ini adalah soal agama, hidup dan mati, dan kebahagiaan abadi di akhirat.


Saya pernah terbaca bagaimana seorang lelaki tampan beragama kristian merosakkan kegadisan anak-anak melayu islam yang belasan orang jumlahnya seperti yang dinyatakan. Dengan pelbagai taknik dan tektik ditambah dengan racun-racun moden (seperti pil perangsang yang diletakkan dalam minuman) maka ramailah gadis yang terkulai. Malangnya ialah, ramai juga di antara mereka ini yang sebelumnya merupakan gadis-gadis solehah, kenal agama, dan tidak pernah melakukan pergaulan bebas.


Akhirnya kerana hilang arah dan masa depan, sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan maruah diri (kononnya) untuk dikahwini sekalipun si lelaki mensyaratkan agar gadis malang itu memeluk agama kristian dan keluar daripada islam. Benar! Ini isu sensetif tetapi ianya bukan dibuat-buat sebagai misalan tetapi satu reality yang telah berlaku di Indonesia dan Malaysia. Bagaimana untuk menghadapinya? Ia perlu sama-sama difikirkan dengan kerjasama daripada semua pihak tanpa perlu bertelagah menuding jari. Musuh-musuh berkerja keras, umat islam menghabiskan masa mereka dengan isu-isu lapuk dan permusuhan sesama sendiri.


Islam membenarkan lelaki muslim mengahwini wanita ahlul kitab (yahudi dan kristian). Antara hikmah disebalik keizinan ini ialah lelaki muslim itu tadi mempengaruhi isterinya yang belum beragama islam agar di islamkan. Tetapi apa yang berlaku adalah suami terpengaruh dengan si isteri. Mungkin sebab-sebab yang boleh dinyatakan disini ialah; suami sendiri tidak kuat pegangan agamanya. Suami sendiri sudah pupus kelakiannya (hilang ciri sebagai seorang lelaki yang memimpin). Si suami cintanya sudah melangit hinggakan pupus kecintaan kepada Allah dan agamannya sendiri.


Seorang pendakyah kristian sanggup duduk menetap belasan tahun di kawasan pendalaman hutan tebal untuk menambahkan keahlian penganut kristian. Seorang pendakwah muslim belum tentu sanggup untuk dihantar sebagai guru dan pendakwah islam ke Sabah dan Serawak. Mengutamakan keselesaan diri yang berlebihan menyebabkan mereka lupa untuk berjihad dengan sedikit umur, masa, tenaga, ilmu dan harta mereka untuk agama islam tercinta ini. Semoga apa yang dinyatakan ini menjadi nasihat kepada diri saya pertamanya dan ustaz-ustaz lain yang dipaksa untuk di posting ke kawasan pendalaman di Sabah dan Serawak. Tahniah kepada sahabat-sahabat yang melaksanakan tugas mereka sebagai guru dan pendakwah di sana.


Berbalik kepada maudhu', ianya memerlukan kajian-kajian ilmiah yang jujur dan amanah tanpa di pengaruhi unsur-unsur kepartian dan politik. Tanpa ditakut-takutkan dengan akta-akta zalim yang menghilangkan wibawa system demokrasi. Saya kira ianya sesuai sebagai satu kajian lapangan yang segar untuk seseorang yang ingin menjadikannya sebagai tajuk tesis dalam pengajian peringkat Master mahupun PhD khasnya dalam pengkhususan dakwah.

Rabu, 8 April 2009

Tahniah Najib, PAS di Bukit Gantang & PKR di Bukit Selambau

Baru-baru ini kita terhibur apabila membaca beberapa kenyataan daripada Perdana Menteri Malaysia yang baru Dato Seri Najib Tun Razak. Pembebasan 13 tahanan ISA (walaupun Hamid Albar dan Musa Hasan lembab melaksanakan arahan), jaminan bahawa ISA tidak akan digunakan sewenang-wenangnya, pengembalian lesen akhbar rasmi pembangkang Harakah dan Suara Keadilan dan pendiriannya bahawa media massa perlu kepada laporan yang bertaraf dunia dalam melaporkan berita berasaskan fakta. Ini semua dilihat satu permulaan yang positif dan kita mengharapkan bahawa semua kenyataan ini tidak bersifat sementara dan berdolak-dalik seperti sikap yang ditonjolkan oleh Tun Mahathir baru-baru ini. Jika polisi-polisi positif seperti ini diamalkan maka kita dengan adil dan insaf (sebagaimana Najib insaf sebelum ditabalkan sebagai PM) mengucapkan tahniah di atas perlantikannya sebagai PM Malaysia ke 6.

Tapi awas! rakyat sedang menilai segala janji-janji ini! Adakah ianya tercetus gara-gara tiga pilihanraya kecil? Ataukah ianya memang akan berterusan dan terzahir dari lisan yang betul-betul inginkan perubahan? Kekalahan BN di 2 bukit sepatutnya memberi pengajaran mendalam kepada UMNO dan BN bahawa perjuangan berlandaskan perkauman sudah tidak releven lagi. 52 tahun pemerintahan tetapi parti-parti komponan dalam BN tidak didedahkan @ kurang mendedahkan islam dan ajarannya yang murni. Untung juga pentadbiran Paklah memperkenalkan Islam Hadhori (walaupun dipertikai) kerana sekurang-kurangnya kecenderungan ke arah Islam itu wujud juga dan memberi peluang kepada para pendakwah untuk memperkenalkan islam.

Kemenangan yang diperolehi Dato seri Nizar Jamaluddin di Bukit Gantang dengan peningkatan majoriti hampir 100% berbanding pilihanraya 2004 serta kemenangan PKR di Bukit Selambau dengan majori 2403 undi merupakan satu pukulan hebat kepada BN. Adakah ini tanda protes rakyat Bukit Gantang khasnya terhadap krisis politik yang berlaku di Perak? Adakah ini membawa maksud bahawa pakatan rakyat akan semakin melebarkan pengaruhnya pada pilihanraya 13? Adakah punca kekalahan ini sebenarnya berpunca daripada kempen Tun Mahathir pada saat-saat akhir?

Apapun tahniah buat mereka yang menang. Tanggugjawab dan amanah rakyat amat berat terpikul di bahu mereka. Jangan hanya pandai berjanji dan berkempen sahaja tapi bila sudah menang langsung hilang tanpa kesan. Nampaknya ketokohan Dato' seri Nizar semakin terserlah, buktikan bahawa anda adalah pemimpin yang bertanggungjawab, amanah dan mesra rakyat.

Ahad, 5 April 2009

30 Hari Di Jamiah Malik Saud

Kehidupan sebagai pelajar adalah nikmat yang wajar disyukuri. Segala gerak geri mereka sebenarnya adalah ibadah. Meninggalkan keluarga berjauhan, anak isteri dan tanah air demi menuntut ilmu Allah adalah jihad. Menggali warisan para anbiya, melaksanakan tuntutan fardhu kifayah agar mereka pulang kelak dapat memberi peringatan kepada kaum kerabat mereka tentang agama yang suci ini.

Sebulan berada di kampus university saya dapat rasai kelainan aktiviti disamping kesibukan pengajian sebagai pelajar pasca siswazah. Jadual pengajian hanyalah 10 jam seminggu. Tetapi saya berdepan dengan bahas-bahas dan pembentangan yang banyak di dalam kelas yang hanya seramai 8 orang sahaja itu. Selain itu berdepan dengan beberapa subjek yang tidak pernah saya pelajari antaranya; Falsafah Yunani & Qodoya Kalamiyah. Kehidupan sepenuhnya hanyalah di asrama, masjid, kuliah, kantin university dan kawasan sekitar universiti sahaja. Pergerakan kami amat terbatas kerana tidak memiliki kenderaan persendirian.

Berkenalan dengan beberapa pensyarah melayu di University;
Setelah seminggu pengajian, kami berkenalan dengan Dr Ibrahim yang merupakan salah seorang daripada 4 pensyarah melayu yang mengajar di King Saud University. Wajahnya yang seakan-akan arab itu menyukarkan kami untuk membuat pengamatan. Rupa-rupanya orang Perak! Beliau banyak menolong dan membawa kami untuk saling berkenalan dengan orang-orang Malaysia yang berada di riyad.

Berkenalan dengan ustaz Hasan Fathoni 30 tahun di Riyad;
Pada minggu kedua kami menziarahi Dr hasan (ma'si) bin abdul kadir yang baru selesai menamatkan tesis PhD di Universiti al-Imam Riyad. Ustaz hasan berasal daripada fathoni ini telah 31 tahun berada di Riyad. Sebagai pelajar, suami kepada 2 isteri, seorang bapa kepada 7 orang anak, dan seorang tauke restoran Malaysia di Riyad. Boleh dikatakan semua warganegara melayu yang berkerja di Riyad mengenali beliau. Tahniah buat Dr hasan yang telah menamatkan pengajiannya dengan mendapat keputusan Mumtaz Syaraf Ula.

Jerebu dan debu yang amat tebal menyerang Riyad.
Berlaku pada hari yang kelima kami berada di Riyad, ini merupakan kejadian kali pertama berlaku menurut penduduk. Cuaca berubah kemerah-merahan, dengan debu tebal yang menyebabkan pandangan terbatas sekitar 5 meter sahaja. Subhanallah! Bermula 11 pagi 10 March sehinggalah pagi berikutnya. 2 hari berikutnya masjid-masjid di Riyad melakukan solat Istisqa' (memohon hujan). Mujur kami tetap sihat, al-Hamdulillah.

Menziarahi Madinah.
Setelah beberapa kali menangguhkan hasrat untuk pergi ke Madinah, akhirnya saya bertekad bermusafir walaupun seorang diri menaiki bas. Perjalanan dari Riyad ke Madinah mengambil masa 12 jam untuk jarak sejauh 800 km. Saya membayar SR140 untuk tiket pergi dan balik selepas mendapat potongan sebanyak 50% kerana harga khas pelajar. Alhamdulillah, saya bertemu teman-teman Malaysia, Singapore, Kemboja, Indonesia, Afghan, India, Oman dan lain-lain. Bertemu dengan beberapa orang pensyarah University Islam Madinah yang saya kenali. Malam Jumaat 26 March saya sempat menghadiri kuliah Maghrib oleh al-Fadhil Syaikh Dr Muhamad bin Mukhtar as-Syankiti di Masjid Nabawi. Sempat menziarahi makam Nabi dan solat berjemaah beberapa waktu di Masjid Nabawi. Saya sempat membeli beberapa buah buku di Ma'arad Universiti yang berkebetulan baru di buka sehari sebelum kedatangan saya. Tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada akh Lukman Mat Sin kerana membelanja saya di restoran yang di rindui (al-Baik).

Tahniah buat akh Khairil Husaini,
Saya mendapat sms daripada akh asri mengkhabarkan bahawa saudara Khairil Husaini mendapat markah Mumtaz Syaraf Ula dalam tesis master yang dibentangkannya pada hari Isnin 30 March. Beliau merupakan pelajar Malaysia yang kelima Berjaya mendapat sijil master daripada University Islam Madinah sepanjang penubuhannya. Semoga kejayaan ustaz Husaini dalam bidang hadis ini memberi semangat tambahan buat pelajar-pelajar Madinah yang masih baru dan lama untuk terus berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Hujan lebat di Riyad,
Saya pulang ke Riyad daripada Madinah pada pagi Ahad 29/03 al-Hamdulillah hujan turun di Riyad walaupun tidaklah terlalu lebat. Selepas solat Jumaat 03/04 kami dijemput oleh abang Raznan untuk makan tengahari. Saya, ust Fauzi, Arif dan Fadhil anak Dr Hasan meriah dijamu makanan yang enak-enak. Bermula daripada Subuh hujan turun lebat sekejap-sekejap seharian. Selama berada di rumah abg Raznan petir berdentum-dentum disertai dengan hujan. Cuaca yang sememangnya sejuk semakin menjadi-jadi. Selepas Isya' kami dihantar pulang ke university. Yang menarik ialah; beberapa jalan di Riyad banjir melebihi paras lutut kesan daripada hujan berterusan. Jalan agak sesak dan kedapatan beberapa kereta mati kerana dimasuki air.

Baru perasan,
Setelah 30 hari di Riyad, baru saya sedar bahawa berat timbangan saya telah naik sebanyak 5kg. alamak! Apa nak jadi? Ustaz Fauzi yang berjauhan daripada isterinya dan 5 anak juga mengalami peningkatan. Inilah kesan makanan penuh khasiat yang kami ambil di kantin University setiap hari. Hairannya ialah student hanya perlu membayar Sr1 sahaja untuk sarapan pagi dengan 7 jenis makanan dan minuman. Sementara Sr2 untuk bayaran bagi tiap-tiap makan tengahari dan malam dengan mengambil 6 jenis hidangan. Semoga saya dapat bersabar dan berjaya dalam menempuh pengajian ini. Semoga kehidupan yang barakah dan manfaat melingkari kita semua sepanjang hayat.

Rabu, 1 April 2009

Peranan Anda Dalam Pilihanraya

Piliharanraya yang akan diadakan beberapa hari lagi merupakan ujian besar kepada pihak BN mahupun PAKATAN RAKYAT. Ini kerana kesan kepada kemenangan ini akan menjadi penentu terhadap sambutan dan tindak balas pengundi kepada kedua-dua komponan tersebut. Sudah tentu pengundi bagi parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Batang Air sedang giat berfikir bagi memilih pemimpin mereka.


Mari kita ketahui serba sedikit betapa pentingnya undi anda untuk menjadi penentu kepada kemenangan. Anda perlu menjadi pengundi bijak kerana;

1) Anda adalah penentu kepada kedaulatan undang-undang di Malaysia. Samada undang-undang itu boleh menjadi permainan orang-orang politik rakus atau ianya dihormati sebagai paksi kepada Negara yang mengamalkan Demokrasi.

2) Anda adalah penentu kepada kedaulatan dan keunggulan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir, yang akhirnya meminggirkan majority pelajar-pelajar melayu daripada mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik.

3) Anda adalah penentu kepada kesucian pentadbiran Negara daripada anasir-anasir rasuah yang semakin berleluasa.

4) Anda adalah penentu kepada kestabilan ekonomi Negara kerana peranan mereka yang cekap akan membantu kepada perbelanjaan kewangan Negara secara bijak dan berhemah.

5) Anda adalah penentu kepada kebebasan media cetak dan elektronik menurut undang-undang sedia ada bagi menyebarkan maklumat secara jujur, amanah dan bertanggungjawab.

6) Anda adalah penentu kepada kedaulatan raja-raja melayu yang secara terpaksa terheret kepada kemelut politik kotor yang akhirnya mengurangkan rasa hormat rakyat terhadap mereka.

7) Anda adalah penentu kepada memartabatkan Dakwah Islamiyyah ataupun menambahkan lagi gejala kebejatan akhlak dan berselerakannya dosa-dosa besar di Malaysia.

8) Anda adalah penentu kepada memartabatkan politik yang berlandaskan Islam ataupun anda menyokong kepada politik yang berasaskan secular dan perkauman.

9) Anda adalah penentu kepada tertegaknya Syariat Allah di muka bumi yang semakin celaru ini ataupun anda adalah penentang kepada hukum hakam Tuhan.

10) Hargai pendirian anda dan fahami matlamat perjuangan, semoga kita terus berada dalam petunjuk yang benar serta mendapat keredhoan Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...