RSS Feeds

Jumaat, 19 Jun 2009

Ketika Anda Bermusafir

Beberapa hari lagi kami akan bermusafir melebihi 6000 kilometer dalam tempoh masa 9 jam sahaja mengikut kebiasaan. Dapat pulang ke tanahair untuk menyedut nafas rehat dalam suhu yang lebih simpati ehsannya. Bertemu Ibubapa dan sanak saudara selain melihat tumbuhan yang menghijau InsyaAllah. Tidak mampulah saya bayangkan jika saya bermusafir dengan kapal laut apatah lagi menunggang unta atau berjalan kaki ala bujang lapok? Semoga perjalanan kami nanti selamat dan penuh keberkatan serta terpelihara daripada musibah H1N1 yang sedang menular.



Faedah bermusafir;

Imam Abu Abdillah as-Syafie telah mencatatkan beberapa faedah daripada bermusafir seperti tertulis dalam syaiernya seperti berikut, saya menaqalkannya semata-mata tanpa sebarang penjelasan ;

1) Melegakan kesedihan dan keserabutan.

2) Mendapat rezeki.

3) Mendapat ilmu.

4) Mengetahui adab (sajak dan syaier).

5) Menemani orang yang dibanggakan.

6) Mempelajari bahasa yang baru.

7) Mengenali beberapa syiar dan tanda-tanda tamadun satu-satu Negara.


Rehlah Ibnu Batuta;

Beliau adalah tokoh perantau terkenal daripada Maghribi (Marocco), seorang yang sangat minat berkelana dan merantau ini telah merentasi perjalanan sejauh 140 ribu kilometer yang kebanyakkannya dengan menaiki kapal layar. Sehingga akhirnya tercatatlah kitab (Rehlah Ibnu Battuta) yang menceritakan pengalamannya yang tersendiri sepanjang menjelajahi keserata bumi. Kitab itulah yang menyebabkan beliau terkenal sampai ke hari ini.


Dibenarkan Qasar solat dan batalkan puasa;

Apabila anda bermusafir, maka Allah telah memberi keringan dalam beberapa perkara Syara'. Selagimana tujuan si musafir itu adalah perkara-perkara yang baik dan diharuskan maka keringanan tersebut tetap akan wujud. Anda dibenarkan untuk tidak berpuasa walaupun dalam bulan Ramadhan selagi anda masih dalam perjalanan sebagai bermusafir. Bahkan Nabi menyatakan dalam hadisnya yang bermaksud: ((bukanlah diantara perkara yang baik berpuasa ketika dalam keadaaan bermusafir)). Anda dibenarkan mengurangkan bilangan rakaat solat fardhu daripada 4 rakaat kepada 2! Bahkan anda boleh menghimpunkan 2 solat dalam satu waktu (Zohor&Asar atau Manghrib&Isya') samada Qobliyyah atau Ba'diyyah. Keringanan seperti ini membuktikan bahawa agama Islam ini adalah mudah (bagi mereka yang memahaminya).



Bermusafir sebahagian daripada Azab

Ini telah dijelaskan oleh Nabi dalam hadis Abu Hurairah riwayat Imam Muslim yang bermaksud: ((Bermusafir adalah secebis daripada jenis-jenis azab, terlarang seseorang kamu daripada tidurnya, makan dan minumnya, maka apabila seseorang kamu telah menyelesaikan hajatnya maka bersegeralah pulang kepangkuan keluarganya)). Walaupun kita sekarang berada dalam zaman yang serba serbinya penuh dengan perkhidmatan yang menyamankan seperti kenderaan yang punya aircond, tempat duduk yang selesa, hidangan makanan yang tersedia dan sebagainya, tetapi keletihan dan kepenatan itu tetap masih dirasai. Bagaimana kiranya kita bermusafir tanpa perkhidmatan-perkhidmatan tersebut? Umpama orang-orang dahulu kala? Tetapi kita masih belum merasai dan membayangkannya.


Diperkenankan doa;

Nabi telah menjelaskan beberapa keadaan yang mustajab untuk berdoa dalam hadis baginda yang soheh, daripada Abu Hurairah beliau mendengar Nabi bersabda yang bermaksud; (( Tiga doa yang mustajab tanpa ada keraguan; Doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa seorang ayah kepada anaknya)). Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah. Kenapakah doa orang yang bermusafir ini mustajab? Ini kerana kelazimannya berlaku keresahan hati dan rendah diri ketika bermusafir, merasai diri seolah-olah tersisih kerana tiada yang mengenali, menanggung kesukaran, cabaran dan sebagainya, maka itu doa mereka diperkenankan. Ini seperti digambarkan Nabi dalam hadis yang lain bermaksud; ((…kemudian Nabi menyebutkan seorang lelaki yang panjang (jauh) perjalanannya, kusut masai rambutnya dan berdebu, lalu dia mengangkat kedua tangannya ke langit dan berdoa; Ya Rabb, Ya Rabb, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan membesar daripada benda-benda yang haram, bagaimanakah mahu diperkenankan doanya?)). Ini bermakna orang yang jauh perjalanannya maka doanya mustajab! Akan tetapi terhalang dengan sebab-sebab yang telah dijelaskan seperti dalam hadis.


Pernahkah anda terfikir?

Tiket kita adalah mati, Pasport Warganegara kita adalah tanah, bekalan (wang) kita adalah amalan soleh, destinasi kita adalah alam akhirat! Bukankah ianya punya persamaan sebelum kita memulakan langkah kaki kita untuk meneruskan perjalanan rehlah kita? Adakah salah jika dibayangkan begitu? Ianya punya persamaan dan perbezaan. Perbezaannya ialah pada penghujungnya. Pada dua suasana dan keadaan yang berlainan masa dan sekitarnya. Perbezaannya ialah pada alam akhirat yang belum kita tempuh tetapi kita dan juga ahlul kitab (Yahudi dan Nasrani) amat meyakini.


Apabila kita merentasi satu perjalanan yang amat jauh seolah-olah kita sedang merentasi satu perjalanan daripada alam dunia menuju alam akhirat. Dengan tempoh umur yang amat singkat, maka kita dituntut untuk mencukupkan bekalan kita sebelum kita menempuh satu perjalanan yang amat panjang. Cukupkah Pahala kita? Cukupkah Amalan kita? Cukupkah teman-teman baik yang mendampingi kita?


Sebab itulah dituntut bagi mereka yang bermaksud untuk merantau @ bermusafir untuk menulis wasiat. Kerana kemungkinan untuk tidak lagi hidup didunia amat tinggi. Kita mungkin pernah mendengar datuk-datuk kita bercerita bagaimana sukarnya perjalanan mereka selama 3 minggu sebelum sampai ke Makkah. Dilambung ombak dan ramai juga yang mati dan dikebumikan dalam perut laut yang luas terbentang.


Bukankah sepatutnya jika anda bermusafir maka andalah yang paling layak untuk mengingati kematian berbanding orang lain? Bukankah sudah amat banyak kematian yang melibatkan pengangkutan awam? Semoga perjalanan anda dan saya dalam menuju ke destinasi sebenar tidak tersasar daripada matlamatnya. Semoga gangguan dan halangan sepanjang perjalanan yang amat jauh itu dapat diatasi dengan penuh istiqamah dan sabar. Maaf zahir batin dari saya buat semua.

Ahad, 14 Jun 2009

Peperiksaan Dunia


Sabtu semalam, peperiksaan bermula setelah masing-masing pelajar sebuk membawa buku dan berjaga hingga larut malam. Ada pelajar yang keluar dari dewan peperiksaan dengan muka ceria, ada yang bermasam muka dan ada yang bersahaja. Ramai juga biasanya memprotes bentuk soalan yang dilihat seolah-olah bertujuan menggagalkan pelajar. Ketakutan kepada peperiksaan untuk mendapat markah lulus dan pulang dengan segulung sijil menjadikan sebahagian pelajar lupa kepada hak-hak dirinya sebagai manusia dan hamba. Lupa untuk makan dan minum, lupa untuk mengambil rehatnya. Lupa untuk bermunajat dan berdoa, bahkan lupa untuk mengkhabarkan kepada ibu bapa agar doa ibubapa mendampingi anak-anak mereka sentiasa.


Kesungguhan mengulangkaji;

Ketika di Madinah, saya pernah melihat bagaimana ragamnya teman-teman seantero dunia bermuzakarah dan mengulangkaji pelajaran masing-masing. Ada yang mengangguk-anggukan kepalanya mengikuti setiap bacaan dan hafalannya. Terdapat juga yang mengelilingi masjid sambil buku ditangannya hampir lumat. Ada juga yang berbincang, ada yang diam keseorangan sehingga tertidur dan pelbagai lagi gaya dan cara mengikut kesesuaian tersendiri. Percayakah anda kedapatan pelajar yang mampu membaca selama 6 jam berturut-turut? Percayakah anda terdapat beberapa teman yang tidak tidur sepanjang malam untuk peperiksaan esok harinya? Ya, ketika sedang solat subuh berjemaah di belakang imam yang MasyaAllah panjang bacaannya, tiba-tiba seorang sahabat dari India tersungkur jatuh. Matikah dia ketika solat? Tidak, tetapi beliau jatuh pengsan akibat keletihan membaca. Begitu sekali? Ya, kerana sebahagian mereka terpaksa menghabiskan 2 jilid kitab kadang-kadang sebelum menghadiri ujian.


Ujian hari pembalasan;

Begitulah manusia yang pelbagai ragamnya ketika mengahadapi ujian belajar yang kadang-kadang bayangan kepada soalan itu sudah tergambar. Bagaimana agaknya umat manusia apabila berhimpun di Mahsyar kelak dengan amalan masing-masing? Takutkah mereka dan cukupkah persediaan mereka? Pasti disana juga terdapat pelbagai ragam manusia. Dalam manusia mengharung umurnya yang serba singkat ini, kadang-kadang mereka lupa kepada hari peperiksaan yang lebih dahsyat bentuk dan sifat-sifatnya! Lebih street dan tiada tolak ansurnya! Lebih teliti penilaian markahnya. ((Pada hari Ini kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan)), {Yasin; 65}. Dalam ayat lain Allah menyebut yang bermaksud; ((Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya. pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang Telah kamu kerjakan)). {Jathiyah: 28}.


Pada hari ini, kita mungkin berbangga dengan hasil djawapan kita terhadap soalan-soalan yang mampu dijawap setelah bertungkus lumus membaca dan bersedia. Pada hari ini mungkin kita berpuas hati dengan keputusan peperiksaan yang kita perolehi dan akhirnya kita pulang dengan sijil yang menjadi sebab kepada kerjaya yang baik. Pada hari ini kita mungkin mendapat pujian dan sanjungan kerana kecemerlangan kita yang digeruni oleh teman-teman yang bijak pandai. Adakah semua pujian dan kenikmatan yang kita peroleh hari ini akan berterusan sehingga ke alam Mahsyar? Adakah kebahagian yang kita perolehi hari ini menjadi punca kepada kebahagian hidup hakiki di Syurga sana? Ataukah ilmu yang kita pelajari sekadar menjadi bencana dan petaka kepada diri kita sendiri disebabkan bermegah-megah dihadapan ulama dan mempersenda umat yang jahil?


Amaran daripada Syirik kecil (Riya');

Riya' adalah penyakit yang amat sukar di ubati. Ianya digelar sebagai (syirik kecil) oleh Nabi dalam hadis soheh riwayat Imam Ahmad, al-Baghowi dalam Syarah Sunnah dan at-Tobrani dalam al-Mukjam al-Kabir. Lihatlah amaran keras Nabi terhadap penuntut Ilmu yang begini tujuaannya. Daripada Abdullah bin Umar berkata; Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud; ((barangsiapa yang mempelajari ilmu semata-mata mahu bermegah dengan ilmunya itu dihadapan ulama ataupun untuk memperlekehkan orang-orang jahil ataupun agar manusia berpaling memandang kepadanya (menghormati), maka Allah akan memasukkan dia ke neraka)) hadis Hasan riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.


Lihatlah kealpaan kita dalam membetulkan niat dalam semua perkara! Ianya lebih hebat jika dalam bidang ilmu agama ini. Agama yang suci dan murni ini memerlukan kepada lelaki yang ikhlas mempertahankan kemurniannya. Agama ini memerlukan ulama yang cukup Tawadduk dan berhemah dalam menyampaikan ilmu kepada umum. Cukup tinggi Takwanya kepada Allah! Cukup hebat dan kuat pengangannya dalam mengikuti dan mentaati Nabi Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Agama ini tidak memerlukan ulama-ulama yang kepentingan dunia dan hawa nafsunya mengatasi segala-galanya. Inilah hakikat yang harus diterima semua mereka yang sedang berkecimpung dalam bidang keagamaan ini.


Mereka yang terawal masuk ke Neraka;

Dalam hadis Abu Hurairah riwayat Imam Muslim dalam sohehnya, Nabi menceritakan bahawa 3 golongan yang terawal diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid lalu diperkenalkan nikmat-nikmat Allah kepadanya lalu dan disoal; "Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut? Lelaki syahid itu menjawab; "Aku telah berjihad dijalanmu sehingga aku gugur syahid", lalu Allah berkata; "kamu berdusta! Akan tetapi kamu berjihad supaya manusia mengatakan bahawa kamu ini pejuang yang berani dan manusia telah sebut". Kemudian diperintahkan supaya diheret muka lelaki ini hingga dicampakkan ke neraka.


Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya, mempelajari al-Quran dan mengajarkannya dihadapkan, lalu diperkenalkan nikmat-nikmat Allah kepadanya dan dia mengetahuinya. Lalu ditanya; "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?". Lelaki itu menjawab; "Aku mempelajari ilmu dan mengajar manusia dan aku membaca al-Quran keranaMU". Maka dijawab; "engkau telah berdusta! Akan tetapi engkau belajar supaya manusia mengatakan bahawa engkau ini seorang yang alim dan kamu membaca al-Quran supaya dikatakan kamu ini adalah Qari'! manusia telah mengatakan. Kemudian diperintahkan supaya diseret mukanya sehingga dicampakkan ke neraka!


Dan seorang lelaki yang Allah luaskan rezekinya serta dikurniakan segala jenis harta lalu dihadapkan dan diperkenalkan nikmat-nikmat Allah kepadanya, dia akur dan mengetahuinya. Lelaki itu disoal; "Apakah yang kamu lakukan dengan harta-harta tersebut? Lelaki itu menjawab; "Aku tidak tinggalkan satu jalanpun yang kamu sukai untuk diInfaqkan kecuali aku akan infaqkan (dermakan) kepadanya keranaMU. Maka dijawab; "Kamu telah berdusta! Akan tetapi kamu lakukan demikian agar disebut sebagai pemurah. Maka manusia telah sebut. Kemudian diperintahkan agar lelaki itu diseret mukanya lalu di campakkan ke neraka". Lihat keseluruhan hadis dalam soheh Muslim dalam bab "Sesiapa yang berjuang untuk Riya' dan Sum'ah maka dia berhak mendapat Neraka.

Rabu, 10 Jun 2009

10 Sahabat Nabi Ahli Syurga

"Dan orang-orang yang terdahulu lagi terawal (masuk Islam) dikalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka Allah redho kepada mereka dan mereka ridho kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang amat besar." Maksud ayat (Taubah : 100).


Daripada Said bin Zaid beliau berkata kepada sekumpulan orang bahawa Rasullullah bersabda; ((10 orang di syurga, Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Ali, Usman, Zubair, Thalhah, Abdul Rahman,Abu Ubaidah, dan Saad bin Abi Waqqas)). Maka beliau mengira mereka 9 orang dan diam daripada menyebut orang yang ke 10. Berkatalah kaum yang mendengar; "kami bertanya kepadamu dengan nama Allah wahai abu a'war siapakah orang yang ke 10?". Berkata Said (Abu A'war); "kalian bertanya kepadaku dengan nama Allah, bahawa Abu A'war didalam syurga". Imam Tirmizi berkata; "aku mendengar Muhamad (Bukhari) berkata, hadis ini lebih soheh daripada hadis yang pertama. Hadis soheh riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.


1) Abu Bakar Siddiq RadhiyaLlahu Anhu

Beliau adalah khalifah pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad. Selain itu Abu bakar juga merupakan laki-laki pertama yang memeluk Islam. Pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga didalam Quran (Surah at-Taubah ayat ke-40) yang bermaksud : 40. Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah Telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia Berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan keteranganNya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah Itulah yang Tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana [1]". Abu Bakar as-Siddiq telah wafat ketika berusia 63 tahun, beliau telah meriwayatkan 142 hadis.



2. Umar al-Khattab RadhiyaLlahu Anhu.


Menjadi khalifah kedua selepas Abu Bakar pada tahun 13 Hijrah sehingga 23 Hijarah. Termasuk salah seorang yang sangat dikasihi oleh Nabi Muhammad semasa hidupnya. Sebelum memeluk Islam, Beliau merupakan musuh yang paling ditakuti oleh kaum Muslimin. Namun selepas keislaman beliau dihadapan Nabi pada tahun ke 6 Nabi diutus sebagai Rasul, beliau telah menjadi salah satu benteng Islam yang kuat. Pada zaman pemerintahan beliau, Islam berkembang seluas-luasnya dari Timur hingga ke Barat, kerajaan Parsi dan Rom dapat ditakhluk dalam tempoh hanya satu tahun. Beliau wafat ketika berumur 63 tahun ketika menjadi imam solat subuh di masjid Nabawi apabila Abu Lu'lu' al-Majusi menikamnya bertalu-talu. Jasad beliau disemadikan berhampiran kubur Abu Bakar dan Rasulullah. Umar al-khattab telah meriwayatkan sebanyak 539 hadis daripada Rasulullah.



3. Usman Bin Affan RadhiyaLlahu Anhu.


Merupakan Khalifah Islam yang ketiga ketika berusia 68 tahun selepas Amirul Mukminin Umar dibunuh pada tahun 23 Hijrah. Di gelar sebagai Zunnurain (pemilik dua cahaya) kerana menikahi 2 puteri Nabi Muhammad. Pada zaman pemerintahannya seluruh tulisan-tulisan wahyu yang pernah dicatat oleh sahabat semasa Nabi masih hidup dikumpulkan, kemudian disusun menurut susunan yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad sehingga dibukukan dalam satu mushaf sebagaimana yang kita dapati sekarang. Beliau telah wafat ketika berumur 82 tahun (ada yang meriwayatkan 88 tahun) dan dikuburkan di Baqi'. Usman bin Affan telah meriwayatkan sebanyak 146 hadis daripada Rasulullah.



4. Ali Bin Abi Tolib RadhiyaLlahu Anhu.


Merupakan khalifah Islam keempat pada tahun 35 Hijrah selama 5 tahun, merupakan anak kepada pakcik Nabi (sepupu Nabi) yang mengahwini Fatimah binti Muhammad. Beliau terkenal dengan siasah perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Seperti sahabat-sahabat yang lain, Ali bin Abi Thalib juga terkenal keberaniannya di dalam peperangan. Beliau sudah mendampingi Rasulullah sejak kecil dan hidup bersama Nabi sehingga Nabi wafat. Ali Bin Abi Tolib dibunuh oleh seorang Khawarij bernama Abdul Rahman bin Muljim pada tahun 40 Hijrah ketika berusia 64 tahun dan dikuburkan di Kufah Iraq. Ali bin Abi Tolib telah meriwayatkan sebanyak 536 hadis daripada Rasulullah.



5. Thalhah Bin Ubaidillah RadhiyaLlahu Anhu.


Masuk Islam dengan perantaraan Abu Bakar as-Siddiq, sentiasa aktif dalam setiap peperangan kecuali Perang Badar. Didalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Rasulullah Saw sehingga terhindar daripada pedang-pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau. Thalhah Bin Abdullah gugur dalam Perang Jamal dimasa pemerintahan Ali Bin Abi Thalib dalam usia 64 tahun, dan dimakamkan di Basrah. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 38 hadis daripada Rasulullah.



6. Zubair Bin Awaam RadhiyaLlahu Anhu.


Memeluk Islam juga dengan sebab dakwah Abu Bakar as-Siddiq, Mendapat gelaran Hawari Nabi Muhamad daripada baginda. beliau berhijrah sebanyak dua kali ke Habsyah dan mengikuti semua peperangan. Beliau pun gugur dalam perang Jamal dan dikuburkan di Basrah pada usia 64 tahun. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 38 hadis daripada Rasulullah.



7. Sa'ad bin Abi Waqqas RadhiyaLlahu Anhu.


Masuk Islam sejak umur 17 tahun dan mengikuti seluruh peperangan, pernah ditawan musuh lalu ditebus oleh Rasulullah dengan ke-2 ibu bapaknya sendiri sewaktu perang Uhud. Meninggal dalam usia 70 (ada yang meriwayatkan 82 tahun) dan dikuburkan di Baqi'. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 271 hadis daripada Rasulullah.



8. Sa'id Bin Zaid RadhiyaLlahu Anhu.


Sudah Islam sejak kecilnya, mengikuti semua peperangan kecuali Perang Badar. Beliau bersama Thalhah Bin Abdullah pernah diperintahkan oleh Nabi untuk menjadi mata gelap kepada gerakan musuh (Quraish). Meninggal dalam usia 70 tahun dikuburkan di Baqi'. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 48 hadis daripada Rasulullah.



9. Abdurrahman Bin Auf RadhiyaLlahu Anhu.


Memeluk Islam sejak kecilnya dengan sebab dakwah Abu Bakar as-Siddiq dan mengikuti semua peperangan bersama Rasul. Turut berhijrah ke Habsyah sebanyak 2 kali. Meninggal pada umur 72 tahun (ada yang meriwayatkan 75 tahun), dimakamkan di Baqi'. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 65 hadis daripada Rasulullah.



10. Abu Ubaidah Bin Jarrah (Amir bin Abdillah) RadhiyaLlahu Anhu.


Masuk Islam bersama Usman bin Math'uun, turut berhijrah ke Habsyah bersama kelompok kedua dan mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah Saw. Meninggal pada tahun 18 H di Jordan kerana penyakit Taun, dan dimakamkan di Jordan. Beliau adalah (Amin umat ini) iaitu yang dipercayai atau pemegang amanah, lihat hadis soheh riwayat Tirmizi. Wallahu A'lam.


Rujukan;

Jami' at-Tirmizi (Sunan Tirmizi)

Siyar A'lam an-Nubala karangan az-Zahabi.

Al-kamil Fi at-Tarikh karangan Ibnu Athir.



[1] Maksudnya: orang-orang kafir Telah sepakat hendak membunuh Nabi Muhammad. Maka Allah memberitahukan maksud jahat orang-orang kafir itu kepada Nabi. Kerana itu Maka baginda keluar dengan ditemani oleh Abu Bakar dari Mekah dalam perjalanannya ke Madinah baginda bersembunyi di suatu gua di bukit Thur.

Khamis, 4 Jun 2009

Apabila Allah Di Merata-Rata Tempat

(أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ )

Yang bermaksud; "Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu[1] dan Allah Telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?" Al-Jaathiyah; 23.


Dalam penjelasan yang lepas telah dibawakan Nas-nas wahyu al-Quran dan hadis. Pun begitu masih banyak lagi dalil yang tidak disertakan untuk mengelakkan artikel menjadi terlalu panjang. Disertakan juga kata-kata ulama salaf dan pegangan mereka serta tentangan mereka kepada pandangan Jahmiyyah (menafikan semua Asma' Allah dan Sifat), Muktazilah dan Khawarij (menafikan semua sifat-sifat Allah kecuali wujud) ini.


Akal seorang muslim yang sempurna ialah yang sentiasa menepati tuntutan Wahyain (al-Kitab dan as-Sunnah) menurut fahaman Sahabat, Tabi'en, Tabi' Tabi'en dan yang selepas mereka sehingga datangnya hari pembalasan. Kali ini mari kita bincangkan kesan daripada kata-kata (Allah berada di semua tempat). Saya ringkaskan seperti berikut;

1) Allah berada di semua tempat samalah seperti Allah berada di mana-mana, maka ini membawa maksud Allah itu bukan satu mahupun esa. Tetapi faham daripada pegangan ini ialah; Allah ada terlalu banyak dan tidak terbilang. Di langit, dibumi, di cakarawala, di awan dan sebagainya. Maha suci Allah daripada perkara ini! Ini adalah metod dan kepercayaan dalam Falsafah terawal Yunani seperti Ayuniyyah dan Pythagoras dalam teori mereka (al-a'dad wal kathrah) berbilang-bilang dan banyak.

2) Akidah dan kepercayaan Allah di mana-mana juga membawa maksud, Allah akan berada di dalam kuil, di restoran, di tandas awam, di dalam bilik dan di merata-rata tempat!! Subhanallah!! Manusia biasapun tidak mahu jika berada di tempat-tempat yang kotor, bagaimana kita mampu mengatakan Allah dimana-mana? Sanggupkah anda mengatakan Allah berada ditempat-tempat najis? Jika tidak (itulah sewajibnya) maka ianya sudah bertentangan dengan apa yang anda pegang bahawa Allah berada dimana-mana! Maka dengan itu bertentanganlah kata-kata anda, lantas kita tahu bahawa pegangan itu adalah salah!

3) Allah di mana-mana memberi ruang kepada akidah al-Hulul (Allah meresap @ bersatu ke dalam jisim mana-mana makhluk)! Ini (al-Hulul) adalah akidah sesat yang dipertahankan oleh Nasrani (kristian) bahawa Lahut (Allah) bersatu dengan Nasut (Isa alaihissalam). Seterusnya dikalangan orang islam yang mempopularkannya ialah al-Khallaj[2] yang mati di bunuh dalam keadaan murtad dan kafir. Rentetan daripada akidah Allah berada di mana-mana dia berkata (dalam jubah aku ini ada Allah)!!

4) Allah berada dimana-mana, bertentangan dengan Nas-nas Wahyu yang amat banyak. Ianya adalah akidah Jaham bin Sofwan (al-Jahmiyyah) dan Muktazilah yang ditentang habis-habisan oleh Ulama Ahli Sunnah. Kerana secara langsung akidah ini menafikan banyak sifat-sifat Allah dalam al-Quran dan hadis.

5) Allah berada dimana-mana tempat adalah tidak bersandar kepada Hujjah al-Quran, Sunnah mahupun akal. Hujah-hujah yang diambil bukanlah menyokong mereka tetapi menghentam mereka sendiri. Sebagai contoh ayat yang digunakan; ((Dia (Allah) tidak ada persamaan dan Dia maha mendengar lagi maha melihat)). Memang Allah tidak sama seperti makhluk dalam semua perkara! Ini yang wajib dipegang! Adakah Allah maha mendengar dan melihat sama seperti makhluk? Sama seperti penglihatan dan pendengaran binatang, Jin dan Malaikat? Tentu tidak! Justeru, kenapa kita tidak boleh katakan bahawa Allah ZatNYA berada di tempat yang tinggi dan bersemayam tidak sama seperti makhluk? Sedangkan Allah dan Rasul yang menyatakannya?

6) Mereka cuba untuk Tanzih (mensucikan) Allah daripada Tasybih (menyamakan) tetapi mereka juga telah jatuh dalam Tasybih iaitu menganggap dan menyangka bahawa sifat Uluw (tinggi), Istiwa', Nuzul (turun) dan lain-lain sifat yang di engkari itu adalah seperti sifat-sifat makhluk! Sedangkan hakikatnya sangat berbeza. Seperti kita beriman bahawa Allah maha melihat, mendengar, berilmu, penyayang, pengasih, pemurah dan sebagainya yang ianya tidak sama dengan mana-mana makhluk maka begitulah kita beriman dengan sifat-sifat yang dinafikan oleh mereka itu!

7) Mereka cuba Tanzih (mensucikan) Allah tetapi sebenarnya mereka telah jatuh dalam Ta'thil (membatalkan sifat-sifat Allah)! Bahkan mereka tidak lagi mensucikan Allah apabila meletakkan Allah pada sesuatu kedudukan yang tidak selayaknya bagi Allah! Oh, seorang Raja mahu Tahktanya berada ditempat yang tinggi kenapa Allah tidak? Kamu tentukan Allah mengikut sesuka hati kamu? Kamu suruh Allah ikut seperti apa yang kamu sebut? A'uzubillah, maha suci Allah terhadap apa yang mereka nyatakan!

8) Pegangan Sahabat, Tabi'en dan Salafus Soleh dalam masalah sifat ini ialah, biarkan ianya seperti zahir tanpa ditanya bagaimana? Seperti dinyatakan oleh Imam Abdullah bin Mubarak (Wafat 181 H). Jangan ditanya macamana Allah bersemayam? Bengonglah orang yang bertanya kerana semua kita tidak pernah melihat Tuhan! Ikut sahaja Nas-nas yang ada maka kamu selamat.

9) Sebab itu Imam Malik berkata; "Istiwa' itu diketahui (iaitu diketahui maknanya @ maksud istiwa' itu), dan bagaimana (Kaifiyah @ cara Allah bersemayam) itu adalah tidak diketahui, beriman dengan sifat bersemayam ini adalah wajib, dan menyoal tentang bagaimana cara Allah Istiwa' adalah Bida'ah!".

10) Kesimpulannya ialah; Allah berada di atas langit dan ArasyhNYA. Seperti yang dinyatakan oleh Allah tentang Zatnya (DiriNYA). Adapun yang berada dimana-mana ialah ilmuNYA. Kerana itu jangan anda terkeliru dalam memahami masalah sifat-sifat Zatiyyah ini (seperti Wujud, Uluw dan Istiwa'). Faham sahaja bahawa semua sifat-sifat Allah yang wujud dalam al-Quran dan Sunnah ini (Mukhalafah Lil hawadis) iaitu bertentangan dengan semua perkara yang baru (makhluk)! Semoga kita dikurniakan akal dan Taufiq pada jalan yang lurus. Amin. Wallahu a'lam.



[1] Maksudnya Tuhan membiarkan orang itu sesat, Karena Allah Telah mengetahui bahwa dia tidak menerima petunjuk-petunjuk yang diberikan kepadanya.

[2] Lelaki laknat Zindik ini bernama Husin bin Mansur abu Mughith al-Farsi al-Baidhowi as-Sufi. Mencipta kesesatan yang amat banyak, mengamalkan sihir dan menipu manusia dengan perkara-perkara luar biasa daripada sihirnya, mula mengaku sebagai nabi dan akhirnya mengaku sebagai Allah! Di bunuh pada 309 Hijrah oleh khalifah. Sila lihat kisah yang panjang ini dalam Syiar A'lam an-Nubala li az-Zahabi.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...