RSS Feeds

Jumaat, 26 Februari 2010

10 Tanda-Tanda Besar Kiamat


Imam Muslim meriwayatkan dalam sohehnya daripada Huzaifah bin Usaid al-Ghifary berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang sedang kamu semua bincangkan.?"
Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat."
Sabda Rasulullah S.A.W. "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda :-

1·Dukhan ( Asap)
2· Dajjal
3· Binatang melata di bumi
4· Terbitnya matahari dari sebelah barat
5· Turunnya Nabi Isa Alaihissalam
6· Keluarnya Yakjuj dan Makjuj
7· Terbelahnya bumi di timur
8· Terbelahnya bumi di barat
9· Terbelahnya bumi di jazirah Arab
10· Keluarnya api dari bumi Yaman menghalau manusia ke tempat mahsyar mereka".

Apabila matahari mula terbit dari sebelah barat maka tertutuplah pintu taubat kepada manusia. Sepertimana tertutupnya pintu taubat bagi mereka yang berada dalam keadaan nazak, ketika nyawa mereka berada di ghargharah. Bertaubatlah selagi pintu taubat masih terbuka, sesungguhnya Allah maha pengampun dan mengampunkan sekalian dosa-dosa. "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadamu daripada azab kubur, aku berlindung kepadamu daripada azab api neraka, aku berlindung kepadamu daripada fitnah kehidupan semasa hidup dan selepas mati dan aku berlindung kepadamu daripada fitnah al-Masih al-Dajjal".


Isnin, 22 Februari 2010

Pendirian Ulama Terhadap Ilmu Falsafah & Mantiq


Saya baru setahun mempelajari subjek "Falsafah Yunan" di King Saud Universiti. Dalam masa sama, subjek "Pendirian Islam Terhadap Falsafah" juga wajib saya & teman-teman mempelajarinya. Al-Hamdulillah pensyarah saya adalah Prof Dr Hassan Kamil warganegara Mesir yang sangat arif tentang falsafah Yunan tetapi bermanhaj Salaf. Sepengetahuan saya, seluruh sekolah & university kerajaan di Arab Saudi (24 university) tidak mengajarkan subjek falsafah kepada penuntutnya kecuali di University King Saud (Ijazah, Master & PhD) dan al-Imam University bagi pelajar Post Graduate sahaja. Demikian juga Negara Kuwait, sambil Mesir pada 2008 bercadang memansuhkan pendidikan falsafah kepada seluruh sekolahnya diatas cadangan lajnah perlaksanaan syariat Mesir. Ramai mengakui bahawa subjek falsafah ini adalah bidang yang sukar kerana ianya melibatkan pemikiran, ungkapan yang berbelit-belit, teori ciptaan akal yang pelbagai ragam, dan tabiatnya yang sukar difahami. Kadang-kadang pencipta kepada teori falsafah itu sendiri tidak memahaminya, kerana ilmu ini adalah berbentuk khayalan, syak dan tidak berpijak dibumi nyata kebanyakannya. Lebih parah lagi, apabila ilmu ini mula diminati -kerana kesukarannya- selepas zaman pemerintahan al-Makmun (wafat 218H) yang mengarahkan penterjemahan kitab-kitab asing kepada bahasa arab. Pada zaman al-Makmunlah bermulanya fitnah al-Quran sebagai makhluk, muktazilah dan bangunnya Imam Ahmad bin Hambal mempertahankan akidah Ahli Sunnah.


Memang tidak dinafikan bahawa sewajarnya kita mengambil manfaat ilmu daripada sesiapapun, sekalipun orang kafir. Sifat ilmu itu sentiasa berkembang dan tidak akan habis. Tetapi ilmu manusia itu sangatlah terbatas & berlegar sekitar perkara-perkara yang zahir (tidak ghaib) sahaja! Yang cukup menjadi musibah kepada umat islam dalam falsafah ini ialah, menggabungkannya dengan ilmu syarak khususnya tauhid. Bermakna, si fulan cuba memahami ilmu tauhid ini menggunakan falsafah Yunan, Mesir, India dan lain-lain lagi. Sedangkan falsafah-falsafah tersebut sangat bertentangan dengan pemahaman al-Quran dan Sunnah serta pemahaman salaful ummah! Tidak mengapa jika mengambil manfaat teori-teori mereka itu dalam bidang perubatan, arkitek, matematik, astronomi dan lain-lain bidang akademik. Tetapi jangan sesekali mencampur adukkan agama islam dan pemahamannya melalui falsafah-falsafah mereka. Orang akan berkata; "Bukankah didalam islam juga terdapat falsafah? Kerana itu terdapat falasifah islam terkenal seperti al-Farabi (339H), al-Kindi (252H), Ibnu Sina (428H), Ibnu Bajah (533H), Ibnu Thufail (581H), Ibnu Rusyd al-Hafid(595 H) Ibnu Maskuwaih (421H), al-Ghazali (505H) dan lain-lain?".


Persoalannya ialah; bilakah ilmu falsafah ini dikenali dan dipelajari umat islam? Jawapanya ialah Pada kurun ketiga! Selepas zaman Khalifah al-Makmun. Justeru dalam islam ini tidak wujud falsafah! Adakah islam ini tidak sempurna sebelum kedatangan falsafah sehingga perlu kepada ilmu-ilmu menyimpang tersebut? Tidak cukupkah al-Quran, Sunnah & pemahaman sahabat sebagai sumber? Ulama dan imam-imam terkenal yang tidak pernah mempelajari falsafah dan tidak memahami agama dengan falsafah adakah mereka sesat? Sebenarnya, penggunaan istilah "Tokoh Falsafah Islam" adalah tidak tepat. Yang wujud & lebih tepat ialah; "Tokoh Falsafah Yang Menisbahkan dirinya kepada Islam" inilah istilah yang sebenar kepada istilah "Falisafatul Muslimin". Mungkin ramai yang tidak bersetuju, tidak mengapa, Itu hak mereka. Cuma yang jelas ialah, falsafah itu bukanlah ilmu yang memberi manfaat kepada AGAMA. Bahkan mudharatnya sangat besar seperti yang jelaskan oleh para ulama. Yang diprotes disini adalah jika cuba memahami agama islam dan akidahnya melalui falsafah!


Apakah itu Falsafah?

Philosophie adalah kalimah Yunan bermaksud; ilmu hikmah @ makrifah. Falsafah ialah mencari dan mengambil pengetahuan. Sumber falsafah menurut Aflatun (Plato) ialah ketakjuban kepada sesuatu iaitu memandang sesuatu lalu takjub dan terkejut dengannya kemudian berusaha mencari penyelesaian dan memahaminya. Terdapat banyak definisi berkaitan dengan ilmu falsafah ini antaranya seperti berikut;

1) Socrates; falsafah ialah kajian akal tentang hakikat kepada sesuatu yang membawa kepada kebaikan, iainya membahaskan tentang kewujudan semulajadi, kecantikan perundangannya dan prinsip-prinsip alam dan pencipta pertama @ punca pertama kepada sesuatu".

2) Aflatun :"Falsafah ialah kajian kepada hakikat kewujudan dan undang-undangnya yang bagus bagi mengetahui pereka yang pertama (pencipta) dan bagi falsafah kemulian yang mengatasai sekalian ilmu".

3) Aristotle; "Falsafah ialah ilmu umum dan didalamnya pengetahuan tentang topic-topik ilmu seluruhnya ianya mengetahui cakrawala dan sebab-sebab kewujudannya, perinsip-prinsipnya yang jelas dan punca kepada sesuatu (penciptanya).

4) Al-Farabi; "Falsafah ialah ilmu tentang kewujudan sesuatu kenapa ianya diwujudkan".

5) Sodruddin al-Syirazi: "Falsafah ialah kesempurnaan jiwa insan dengan mengetahui hakikat-hakikat sesuatu perkara yang wujud".

6) John locke; "Falsafah ialah pembelajaran tentang akal manusia".

Fatwa ulama dan pendirian mereka terhadap falsafah;

1)Abu Hamid al-Ghazali (Wafat 505 H).

Beliau digelar sebagai Hujjatul Islam kerana tentangan hujahnya terhadap falsafah. Beliau memahami dan mendalami falsafah tetapi kadang-kadang pandangan beliau berbeza-beza akibat kesan falsafah yang dipelajarinya. Mungkin kerana pengaruh kuat falsafah pada zaman tersebut menyebabkan beliau sedikit terkesan. Apapun beberapa pandangannya terpuji dan banyak menyelamatkan umat islam pada ketika itu. Antara bukti penolakan beliau terhadap falsafah dan mantik Yunan ini ialah kitabnya berjudul; "Al-Munqiz Min al-Dholal" dan "Tahafut al-Falasifah". Dua kitab ini adalah serangan-serangan beliau terhadap Falsafah yang kemuncaknya ialah pengkafiran beliau terhadap pandangan tokoh-tokoh islam yang terpengaruh dengan falsafah[1]. Dalam kitab Tahafut m/s 74 beliau menyatakan; "Hendaklah diketahui bahawa menceburkan diri dalam hikayat khilaf-khilaf falsafah adalah terlalu panjang, sesungguhnya percakapan mereka panjang, perbalahan mereka terlalu banyak, pandangan-pandangan mereka tersebar, jalan-jalan mereka saling bertentangan dan terlalu jauh". Beliau juga berpendapat bahawa mazhab-mazhab falsafah tidak ada keyakinan didalamnya dan tidak tetap. Ini kerana mereka bergantung dengan sesuatu yang berbentuk sangkaan. Atas dasar inilah (sangkaan) hujah-hujah mereka dalam masalah ketuhanan tertegak, sebab itulah mereka sentiasa berselisih dalam masalah tersebut.


Kemudian Imam al-Ghazali mengisyaratkan bahawa kesalahan mereka (falsafah) yang mereka telah terjerumus kedalamnya ialah pada 20 usul, wajib mengkafirkan 3 usul tersebut sementara yang selebihnya dibidaahkan. Dalam Tahafut al-Falasifah beliau berkata; "Adapun 3 permasalahan, sesungguhnya mereka telah menyalahi umat islam keseluruhannya. Iaitu pada kata-kata mereka bahawa;

1) Sesungguhnya jasad itu tidak akan dibangkitkan…."

2) Sesungguhnya Allah hanya mengetahui perkara yang kuliyyah (perkara-perkara besar sahaja) adapun juz'iyyat (perkara-perkara kecil) maka Allah tidak mengetahuinya…"

3) Kata-kata mereka bahawa alam semesta ini adalah bersifat Qadim (lama) dan azali (kekal)".

2)Ibnul Jauzi (Wafat 597H).

Beliau juga menjelaskan dan berpendirian bahawa ahli falsafah muslim yang menisbahkan dirinya kepada islam telah terpesong. Ini hanyalah kerana mereka mengikut jejak falsafah Yunan dalam semua perkara yang dilontarkan dalam mazhab-mazhab dan pandangan mereka (Yunan). Beliau berkata; "Hanyasanya iblis mampu membelit dan memesongkan mereka dari sudut mereka ini hanya bergantung kepada pandangan-pandangan dan akal semata-mata. Mereka berkata-kata menurut persangkaan mereka sahaja tanpa memandang kepada para Anbiya". Talbis Iblis m/s 59.


3)Ibnus Solah (Wafat 643H);

Pandangan beliau lebih keras, tatkala ditanya tentang falsafah dan mantiq, hukum mempelajarinya serta ahli falsafah yang menisbahkan dirinya kepada islam, beliau memberi fatwa haram dan mengkafirkan golongan falsafah ini. Berikut adalah fatwa beliau sebagai contoh;


Terdapat jemaah islam yang menisbahkan diri mereka kepada ahli ilmu dan tasauf, adakah boleh seseorang menekuni karangan-karangan Ibnu Sina dan membaca kitab-kitabnya? Dan bolehkah menganggap beliau (Ibnu Sina) sebagai ulama @ tidak? Beliau menjawab; "Tidak boleh bagi mereka melakukan perkara tersebut, sesiapa yang melakukannya maka dia telah memperdayakan agamanya dan terbuka kepada fitnah yang sangat besar. Dia itu (Ibnu Sina) bukanlah seorang ulama, bahkan syaitan diantara syaitan-syaitan manusia, dan kadang-kadang beliau itu (Ibnu Sina) adalah binatang…". Lihat (Fatawa Wa Masail Fi Tafsir Walhadis Wal Usul Wal Fiqh) Ibnus Solah m/s 208.


4)Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (Wafat 728H).

Tokoh yang dikurniakan keajaiban ilmu & hujjah oleh Allah ini telah berdepan dengan hujah-hujah falsafah dan mematahkannya dari akar umbi. Serangan-serangan ilmiah beliau berpandukan kepada akal yang soheh yang tidak lari daripada landasan al-Kitab dan as-Sunnah telah menghilangkan keyakinan umat islam terhadap ilmu karut ini dan menyebabkan ramai umat kembali kepada ajaran wahyu. Tulisan-tulisan beliau yang banyak, menjadi saksi kepada keilmuan syeikhul islam, kekuatan hujjah, ketinggian pemahaman, ketajaman fikiran, kefahaman tinggi beliau terhadap perbincangan-perbincangan falsafah. Antara karangan beliau yang menjurus kepada perbincangan dan permasalahan falsafah dan mantiq ialah; "Dar'u Ta'arud al-Aqlu Wan Naql", "Ar-Radd Alal Mantiqiyyin", "Naqdul Mantiq", Ar-Risalah Tudmuriyyah", & " Risalatu Radd Ala Aqa'id al-Falasifah".


Beliau menyatakan dalam muqaddimah kitabnya (Nasihah Ahlul Iman Fi Raddi Ala Mantiqil Yunan) yang telah diringkaskan oleh Imam Jalaluddin as-Suyuti (911H) dengan tajuk (Juhdul Qarihah Fi Tajrid an-Nasihah); "Sesungguhnya aku sentiasa tahu bahawa mantiq yunan ini tidak diperlukan oleh orang-orang cerdik dan ianya tidak memberi manfaat kepada orang-orang yang bodoh"[2].


5)Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (Wafat 751H)

Pandangan beliau juga seperti ulama-ulama yang sebelumnya. Menolak dan menghalang umat islam terhadap falsafah Yunan dan mantiq mereka kerana ianya mengandungi kerosakan dan kesesatan selain kesan-kesan lain kepada mereka yang mendalaminya. Diantara karangan beliau yang menjelaskan permasalahan ini ialah; (Miftah Darus Sa'adah), (Ighosatul Lahfan Min Masoid as-Syaiton) & (as-Sowaiq al-Mursalah Alal Jahmiyyah Wal Muattilah). Beliau berkata; "Sesungguhnya telah menceritakan pendita-pendita falsafah bahawa orang pertama yang dikenali mengatakan alam ini adalah Qadim ialah Aristotle. Dia ini adalah seorang musyrik penyembah berhala. Dalam permasalahan ketuhanan mempunyai kata-kata yang semuanya salah daripada awal sampai akhir. Pandangan-pandangannya telah ditolak diingkari oleh beberapa golongan islam sehinggakan oleh Jahmiyyah, Muktazilah, Qadariyyah, Rafidhoh dan ahli falsafah muslim. Aristotle ini telah datang dengan sesuatu yang diperlekehkan oleh golongan berakal"[3].


6)Imam as-Suyuti (Wafat 911 H)

Beliau telah menyebutkan bahawa ramai dikalangan mereka yang mengkaji dan menghabiskan masanya dengan Mantiq Yunan sebenarnya tidak menekuninya dan tidak memahaminya. Kemudian golongan ini mempertahankan mereka (falsafah Yunan) dalam keadaan mereka ini jahil tanpa ilmu. Mereka ini menolak fatwa-fatwa Ibnus Solah tentang pengharaman falsafah samada mempelajarinya ataupun mengajarinya.


As-Suyuti telah bersetuju dengan fatwa-fatwa Ibnus Solah melalui isyarat beliau kepada sebab penulisan kitabnya (Shounul Mantiq Wal Kalam An Fannil Mantiq Wal kalam) ialah kerana mahu menjelaskan kebenaran apa-apa yang telah disebut oleh Ibnus Solah berkait pengharaman mendalami Mantiq Yunan. Imam as-Suyuti berkata; "Sesungguhnya aku lihat untuk mengarang kitab yang menjelaskan pengharamannya-mantiq yunan- melalui jalan-jalan ijtihad dan istidlal yang jami' (menyeluruh) & mani' (kuat) dan dengan menyampaikan kebenaran. Aku menerangkan didalamnya kebenaran apa-apa yang dinyatakan oleh Ibnus Solah tentang penafian keharusan kepada yang tersebut. Maka tatkala disyariatkan perkara tersebut (menjelaskan kebenaran), menjadi kelaziman daripadanya membawakan pendapat imam-imam dalam larangan mereka mendalami ilmu kalam kerana diantara keduanya (mantiq yunan dan ilmu kalam) terdapat persamaan"[4].


Kesimpulan;

Setelah penjelasan ringkas kepada pendirian para ulama tersebut, justeru menjadi suatu kewajipan menjelaskan kesilapan & kesalahan yang terkandung dalam kitab-kitab ahli falsafah islam seperti Ibnu Sina, al-Farabi dan yang seangkatan dengan mereka. Sebab itu, anda jangan melatah jika terdapat para ulama yang mengkritik mereka dalam bab tauhid dan agama! Kita tidak mempertikaikan kebaikan dan manfaat ilmu yang ditulis mereka dalam bidang perubatan, optometri, sains, astronomi dan lain-lain ilmu keduniaan. Yang menjadi masalah ialah menganggap tokoh-tokoh ini sebagai ulama agama! Mengambil campur aduk falsafah mereka dalam permasalahan tauhid. Kemudian falsafah tersebut hanyalah klon kepada falsafah Yunan yang dipenuhi dengan keberhalaan dan khayalan akal. Sebab itulah ramai ulama yang melarang mempelajari ilmu falsafah ini kecuali setelah mendalami ilmu agama dan atas dasar mengelakkan diri daripada kesesatan dan untuk menjawap kesalahan-kesalahan mereka. Adapun kerana takjub dan mengagungkan falsafah, kemudian menjadi pendokong kuat falsafah lalu membelakangkan nas-nas wahyu al-Kitab dan Sunnah, maka hukumnya adalah haram seperti yang dijelaskan oleh ramai ulama.


Ibnu khaldun dalam al-Muqaddimah memberi peringatan kepada mereka yang mahu mempelajari falsafah; "…..Dan hendaklah sesiapa yang mahu melihat kepadanya (falsafah) setelah penuh ilmu syariatnya (agamanya) dan setelah mendalami kitab-kitab tafsir dan feqh. Janganlah seseorang itu mencurahkan masanya kepada falsafah sedangkan dia kosong daripada ilmu-ilmu agama. Maka amat sedikitlah mereka yang terselamat daripada isi kandungannya"[5].


Secara ringkasnya, pendirian ulama dalam masalah falsafah dan mantiq terbahagi kepada dua, samada mengharamkan terus dan cukup dengan ilmu-ilmu islam ataupun mengharuskannya tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Persoalannya ialah, sudah cukupkah ilmu agama yang kita miliki untuk menjadi amalan dan menjadi benteng daripada kesesatan? Sedangkan falsafah itu tabiatnya ialah kata-kata yang terlalu panjang dan berbelit-belit walaupun hanya untuk menyampaikan maksud yang sekelumit? Sudah terlalu banyak contoh kegelinciran tokoh-tokoh islam yang lampau disebabkan falsafah Yunan, lalu adakah anda bersedia menjadi mangsanya pula? Semoga Allah mengurniakan hidayah dan jalan kebenaran kepada kita semua. Tetap dan thabat mengikuti petunjuk para Anbiya' khususnya Nabi Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Wallahua3lam.


[1] Al-Munqiz Min al-Dholal m/s 104.

[2] Rujuk juga kata-kata ini dalam (Ar-Radd Alal Mantiqiyyin) dan ( Naqdul Mantiq).

[3] Rujuk (Ighasatul Lahfan Min Masoid as-Syaiton) 2/594

[4] Rujuk (Shounul Mantiq Wal Kalam An Fannil Mantiq Wal kalam) karangan Jalaluddin as-Suyuti m/s 3.

[5] Lihat (Muqaddimah Ibnu Khaldun) m/s 332.


Khamis, 18 Februari 2010

Bagaimana Wanita Haid Selesaikan Umrah?

Saya beberapa kali pernah mendapat sms bertanyakan tentang bagaimana penyelesaian bagi seorang wanita yang kedatangan haid selepas berniat ehram & kemudian haid itu berterusan sehinggalah tarikh akhir untuk pulang ke tanahair tiba. Saya tahu bahawa masalah ini adalah masalah yang sering berlaku khasnya kepada jemaah umrah wanita. Tetapi penyelesaian dan cadangan tidak dijelaskan kepada mereka sebelum mereka pergi menunaikan ibadah umrah yang lazimnya hanya selama 12 hari di mekah dan madinah ini, menyebabkan kadang-kadang si wanita berijtihad sendiri @ selesaikan masalahnya sendiri tanpa ilmu.


Saya harap tulisan yang sedikit ini dapat membantu memahamkan golongan wanita yang mahu menunaikan umrah seterusnya mengambil langkah sedia agar tidak melakukan kesilapan, lalu terganggu dengan tuntutan-tututan yang tidak selesai ketika pulang dan berada di tanahair.


Jika destinasi pertama jemaah wanita adalah madinah & kemudian menuju ke mekah untuk menunaikan umrah, maka wajib dia berniat ehram daripada Miqat Zulhulaifah (Abyar Ali) walaupun si wanita didatangi haid. Ini seperti yang berlaku kepada Asma' bte U'mais ketika didatangi nifas di Zulhulaifah kerana melahirkan Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq. Haid bukan alasan untuk wanita meninggalkan tempat miqat, lalu terus menuju ke Mekah tanpa ehram untuk menunggu waktu suci dan berniat ehram di Mekah. Jika ini dilakukan maka wanita wajib membayar dam (seekor kambing) di Mekah.


Jika destinasinya terus ke Jeddah & ke Mekah, maka niat dilakukan ketika melalui sempadan Yalamlam (92 km dari Mekah). Justeru beberapa minit sebelum sampai ke Jeddah semua jemaah perlu bersedia untuk berniat ehram. Persoalan miqat makani ini wajib dipatuhi kerana nabi telah menentukan miqat tersebut dalam hadis yang soheh riwayat Bukhari & Muslim.


Perkara yang sewajarnya difikirkan & diketahui oleh wanita sebelum umrah;

1) Mengetahui bilakah hari dan tarikh datangnya haid mengikut kebiasaan? Justeru untuk mengelakkan berlakunya kerugian dalam tempoh umrahnya yang singkat itu (12 hari) maka pastikan tarikh umrahnya adalah bertepatan dengan hari-hari sucinya.


2) Pastikan wanita tersebut bermusafir bersama mahramnya. Ini kerana terdapat larangan Nabi terhadap wanita daripada bermusafir tanpa mahram. Hal ini adalah umum dalam semua permusafiran, samada berbentuk ibadah, percutian, ziarah, pelancongan dan sebagainya.


3) Mengetahui bahawa ibadah sai' dan tahallul tidak disyaratkan wudu'. Justeru jika wanita didatangi haid selepas selesai tawaf, maka sempurnakan sahaja umrahnya. Melakukan sai' seterusnya tahallul.


4) Tahu bahawa disana terdapat keharusan untuk kita (isytirat @ istisna') bersyarat @ berkecuali ketika mahu berniat ehram agar kita selamat daripada sebarang denda jika kita terpaksa meninggalkan ehram dalam keadaan-keadaan tertentu. Bermaksud, si jemaah umrah @ haji membatalkan umrahnya @ hajinya jika darurat tanpa dikenakan apa-apa denda. Caranya ialah membacakan lafaz ini selepas berniat umrah @ haji;"in habasani habisun fa mahalli khaithu habastani"[1]. Jika terdapat sesuatu aral yang menghalangku daripada ibadah ini maka tempat tahallulku adalah ditempat aral tersebut". Isytirat ini adalah digalakkan kepada mereka yang merasakan bahawa dirinya mungkin berdepan dengan masalah @ tidak mampu menyelesaikan umrah & hajinya[2]. Justeru, wanita yang merasakan kemungkinan didatangi haid sepanjang tempoh keberadaannya di Arab Saudi maka sertakanlah niat isytirat ini ketika berniat ehram.

Penyelesaian bagi wanita didatangi haid selepas berehram;

Jika haid datang selepas berniat ehram umrah, kemudian ianya berterusan sehinggalah waktu untuk pulang tiba? Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh wanita tersebut? Ramai yang mengambil jalan tahallul sahaja di airport Jeddah dan menyerahkan wang untuk bayaran kambing kepada orang-orang tertentu. Ini adalah penyelesaian tergesa-gesa yang sebenarnya menyebabkan si wanita terhutang tuntutan (wajib datang semula menunaikan umrah menurut sebahagian ulama). Lebih malang lagi, sebahagian mereka ditipu agar membayar 2 dam (2 kambing) yang kedua kerana bertahallul di Jeddah.


Berikut adalah beberapa penyelesaian mengikut keutamaan;

Pertama; Si wanita bersama mahramnya memanjangkan keberadaannya di Mekah (terus menunggu dalam ehram hingga suci) kemudian selesaikan umrahnya[3]. Ini adalah yang sewajibnya jika mampu berbuat sedemikian. jika tidak mampu?


Kedua ; Wanita yang haid boleh bertahalul dan tidak dikenakan apa-apa dam jika semasa berniat ehram tadi meletakkan syarat seperti yang saya dijelaskan di atas. Jika tidak letak syarat, maka wajib bayar dam dan kemudian qado' semula umrahnya pada masa yang lain segera yang mungkin.


Ketiga; Si wanita boleh menyelesaikan umrahnya dengan mengambil pil penahan haid untuk kadar yang perlu sahaja. Walaupun kaedah ini tidak berapa dipersetujui oleh sebahagian ulama kerana dikhuwatiri boleh membahayakan kesihatan wanita. Sebaiknya mengambilnya dengan persetujuan Doktor.


keempat; Diharuskan bagi wanita tersebut melakukan tawaf pada waktu terputusnya @ terhentinya haid seketika sekalipun sebenarnya wanita itu belum suci sepenuhnya daripada haid. Hendaklah wanita yang masih dalam haid itu mandi, kemaskan diri sebaiknya, memakai tuala wanita dan menunaikan umrahnya seperti biasa. Insyaallah umrahnya juga sah. Ini beramal kepada satu pendapat dalam mazhab Syafie yang menyatakan ;"Putus haid pada hari-hari haid adalah suci" dan ini bertepatan dengan pandangan imam Malik dan Ahmad. Lihat al-majmuk karangan Imam Nawawi bab al-Hajj 2/283 & Fatawa al-Azhar 1/205.


Kelima; Menurut fatawa al-azhar 1/205, "Harus bagi wanita mewakilkan orang lain melakukan tawaf untuk dirinya dengan syarat orang yang diwakilkan telah melakukan tawaf ter,ebih dahulu untuk dirinya". Fatwa ini mungkin berpandukan kepada qiyas berkait keharusan mewakilkan orang lain melontar jamarat bagi mereka yang uzur dan lemah. Wallahua3lam.


*Perlu diketahui, menziarahi Madinah bukanlah syarat sah Umrah mahupun Haji. Justeru jika masa tidak mengizinkan untuk anda menziarahi Madinah maka boleh terus pulang ke Tanahair tanpa apa-apa dosa.

*Wanita tidak boleh menguatkan suaranya dengan talbiah.

*Wanita tidak disyarakkan berlari-lari anak (Ramal) ketika tawaf @ Saie.

*Wanita diharamkan mencukur rambutnya untuk bertahallul bahkan memadai dengan menggunting sedikit sahaja.



[1] Rujuk Soheh Bukhari no 4699, bab al-Akfa' fi Din, Soheh Muslim no 2101 bab Jawaz Isytirat al-Muhrim al-Tahllul.

[2] Ianya merangkumi sakit teruk, haid, kematian suami, dipenjara, dihalang memasuki Mekah, dan apa-apa aral berat samada melibatkan syarak mahupun adat yang menghalang dia meneruskan umrah@ hajinya. Maka dia boleh memilih untuk terus bersabar dalam ehram ataupun melepaskan ehramnya tanpa apa-apa denda.

[3] Maksudnya, tambahkan lagi tempohnya di Mekah khasnya jika jemaah beredar dari Mekah ke Madinah bukan terus balik ke Malaysia @ negara masing-masing. Lebih khas lagi jika wanita tahu, tempoh sucinya hanya berbaki sehari dua sahaja lagi.


Isnin, 15 Februari 2010

Hargailah Kewujudan Suami Anda

“Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan.”


Teringat pesan ayah di suatu petang...
“Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati,” ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


Silap Isteri;
Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita.

Daripada Ibnu Abbas berkata; telah bersabda Nabi alaihissolatu wassalam; "Sesungguhnya aku melihat syurga maka aku capai setangkai, dan kalaulah aku ambil ianya pasti kamu semua makan darinya maka tidak berbakilah dunia. Dan aku melihat neraka maka aku tidak pernah lihat pemandangan seperti sekarang yang menakutkan, dan aku lihat penghuninya yang paling banyak adalah wanita". Mereka bertanya; "Dengan sebab apa ya Rasulullah? Nabi menjawab; "Dengan sebab kekufuran mereka". Dikatakan; "Mereka kufur kepada Allah"? Nabi menjawab; " Mereka itu kufur dengan kerabatnya dan kufur dengan ihsan. Kalaupun kamu (suami) berbuat baik kepada salah seorang daripada mereka (isteri) sepanjang hayat, kemudian dia (isteri) melihat daripada kamu sesuatu (yang buruk), dia akan berkata;"Aku tidak lihat daripada kamu (suami) sedikit kebaikanpun".[1]

Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


Yang Lebih, Yang Kurang;
“Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa,” luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.
“Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap,” jawab saya supaya dia buka mata.
“Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia.” pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ‘memandang tinggi’ kehadiran seorang suami.


Engkau Terbaik Untukku;


“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi.”
Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.
Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.
Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, “Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini.”
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

Oleh; Muhamad Yunus (Semai)


[1] Hadis riwayat Imam Bukhari (1052) & Muslim (no; 907) dalam soheh mereka. Yang dimaksudkan dengan kufur disini ialah ; engkarkan kebenaran. Yang dimaksudkan dengan kerabat @ keluarga ialah suami. Hadis asal yang digunakan oleh penulis telah saya gantikan dengan hadis ini riwayat Bukhari.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...