RSS Feeds

Rabu, 29 Disember 2010

Debat Sunni & Syiah Bukan Penyelesaian

Apabila 200 orang Syiah ditangkap Jais, maka pelbagai lontaran idea diberikan untuk menyekat kemaraan aliran sesat ini menular. Ada yang menyarankan supaya diadakan debat. Ada yang menyarankan agar diskusi dan ada yang menyokong agar kuasa pemerintah digunakan. Ini semua merupakan cadangan-cadangan golongan pemikir yang sayangkan islam dan kesuciannnya daripada sebarang pencemaran dan penyelewengan.


Malangnya mungkin ramai tidak faham, bahawa bukan semua perkara boleh diperdebatkan dan membawa kepada natijah positif. Siapa menang berdebat pada pandangan umum maka itulah ajaran yang benar! Lebih sedih, ulama-ulama sunni dan mereka yang kuat mempertahankan fahaman salaf soleh dituduh pengecut, berkokok dikandang sendiri dan sebagainya. Ramai juga yang tidak tahu, bahawa debat tidak boleh dilakukan kecuali dengan syarat-syarat tertentu. Adakah debat boleh dilakukan begitu sahaja sedangkan sedari awal lagi masing-masing sudah membuat keputusan bahawa apapun yang terjadi, aku adalah benar! Sekalipun dia sebenarnya telah kalah dan salah tatkala menolak hadis-hadis soheh dan pemahaman jumhur ulama bahkan kadang-kadang ijma' ulama! justeru apa maknanya diadakan debat? Sekadar mengisi masa lapang? Kita tidak banyak masa untuk bertolak ansur dengan golongan yang telah mengkafirkan majority sahabat Nabi. Kita bukanlah terlalu jahil sehingga membuka ruang kepada mereka yang beriktikad bahawa al-Quran masih tersorok, halal mengamalkan nikah mut'ah, wajib bertaqiah dalam akidah dan lain-lain lagi iktikad sesat dan menyanggahi al-kitab dan sunnah.


Syiah ini sudah pasti bertaqiyyah (berdusta) tatkala berdebat untuk mengelakkan dirinya dikecam dan akidahnya disanggah. Lihat sahaja bagaimana perjalanan debat antara sunni dan syiah dalam siaran tv Mustaqillah. Bagi yang memahami bahasa arab akan sedarlah betapa lemahnya hujjah-hujjah syiah yang kebanyakannya daripada hadis-hadis maudhu @ cuba melarikan diri daripada topic yang telah ditetapkan.


Jika mahu dilakukan debat juga, mestilah ditetapkan skop perdebatan tersebut agar lebih spesifik. Mestilah ada batas-batas sanggahan yang sudah pasti al-Quran dan sunnah tidak boleh dipertikaikan. Adapun jika akhirnya, pihak lawan menyatakan sebenarnya aku tidak percaya dengan al-Quran yang sedia ada sekarang, atau aku ragu dengan hadis-hadis Imam Bukhari dan Imam Muslim. Bukankah ini sudah melampaui batas? Berbaloikah perdebatan?


Ulama Sunnah Tidak Suka Berdebat:

Bukan kerana mereka jahil, bukan juga kerana mereka pengecut, bukan juga kerana mereka tiada hujjah, tetapi kerana kesan daripada perdebatan yang biasanya adalah tidak harmoni dan kurang positifnya khasnya orang-orang awam. Perdebatan biasanya hanya dengan tujuan mencari siapa pemenang dan siapa yang kalah. Ini juga sudah silap, sepatutnya masing-masing pendebat masing mahu mencari kebenaran sekalipun jika ianya dipihak lawan. Debat juga adalah jalan golongan falsafah dan pendewa akal untuk mencari kebenaran sedangkan ianya bukanlah secara mutlaknya begitu. Kemudian perlu diketahui bahawa terdapat orang yang amat kuat hujjahnya tetapi tidak petah lisannya, tidak bijak bermain kata-kata atau mudah cemas tatkala berbicara, maka orang ini akan dianggap kalah sedari awal lagi. Berbeza dengan pihak yang lain, walaupun sangatlah lemah hujjahnya, amatlah tidak logic kata-katanya tetapi kerana pandai berbicara, cepat menangkis kata-kata dan kuat putar alamnya, maka dia dianggap menang dan benar! Sebab itu, mestilah dipastikan si pendebat memiliki cukup syarat sebelum menjadi wakil mana-mana kumpulan tertentu.


Nabi pernah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud; "Sesungguhnya sebahagian daripada bayan (penjelasan lisan) adalah umpama sihir". Soheh Bukhari dan Sunan Abi Dawud.

عن أم سلمة زوج النبي صلى الله عليه و سلم ان رسول الله صلى الله عليه و سلم قال :إنما انا بشر وإنكم تختصمون إلي فلعل بعضكم ان يكون ألحن بحجته من بعض فاقضي له على نحو ما اسمع منه فمن قضيت له بشيء من حق أخيه فلا يأخذن منه شيئا فإنما اقطع له قطعة من النار

Dalam hadis ini nabi Muhammad menyebut yang bermaksud; " Sesungguhnya kamu semua saling berdebat dan berhujjah kepadaku, dan boleh jadi sebahagian kamu lebih kuat (bijak/cerdik) hujjahnya berbanding sebahagian yang lain, maka aku jatuhkan sesuatu hukuman mengikut apa-apa yang aku dengar daripadanya, maka barangsiapa yang aku putuskan hukuman dengan mengambil hak saudaranya dengan sesuatu, maka hanyasanya aku telah putuskan baginya satu potongan daripada api neraka". Hadis Mutafaqun Alaihi.


Lihatlah bagaimana Nabi memberi amaran kepada sesiapa yang telah menang dalam sesuatu kes disebabkan kepetahannya berkata-kata, sedangkan hakikatnya dia itulah yang bersalah, maka dia telah menempah potongan api neraka. Nabi hanya menghukum mengikut apa yang terzahir tanpa melihat dan memandang kepada apa-apa yang tersembunyi dan tidak jelas.


Demikianlah debat! Boleh jadi si pendebat A seolah-olah begitu hebat hujjahnya pada pandangan golongan awam dan jahil. Sedangkan orang yang berilmu dapat menilai dan tahu betapa hujjah dan percakapan si A hanyalah kata-kata kosong yang tidak memberi manfaat, sekalipun gaya lontaran dan pidato si A begitu hebat.


Peranan Pemerintah;

Inilah masanya yang sesuai pemerintah memainkan peranan. Khasnya jika kita mendakwa kerajaan ini adalah kerajaan sunni. Berpegang dengan al-kitab, sunnah, ijma' dan Qias! Bukan mahu menonjolkan kekerasan atau merampas hak! Cuma sekadar menghalang kesesatan daripada tersebar khasnya jika sudah jelas lagi bersuluh perkara itu memang salah dan salah. Adapun dalam masalah ijtihad dan perkara cabang melibatkan hukum-hukum feqah, maka amat wajarlah berlapang dada tidak membekukan minda masyarakat islam hanya kepada satu pandangan semata-mata. Masalah khilaf yang berlaku antara sunnah dan syiah ini adalah dalam permasalah usul agama dan akidah, bukan lagi dalam permasalahan-permasalahan furuk (cabang agama) yang sudah pastilah akan berlainan dan sangat berbeza serta ganjil pandanganngan mereka!


Kesimpulannya;

Perlu disekat fahaman sesat ini melalui tangan-tangan pemerintah, dengan mengadakan penjelasan-penjelasan umum, seminar, kuliah dan sebagainya kepada masyarakat umum berkaitan bahaya mereka ini. Dedahkan umat islam dengan hujjah-hujjah salah mereka dan jawapan yang dituliskan oleh ulama dari zaman ke zaman. Hujjah-hujjah itu telah dibahaskan oleh ulama, tinggal lagi hanya kita yang kurang mengkaji dan malas membaca. Contoh kitab paling kuat menolak kesesatan puak-puak syiah ini ialah kitab karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah bernama: "Minhaju as-Sunnah".


Maka debat sebenarnya adalah jalan terakhir! Dengan syarat si pendebat benar-benar punya kekuatan dan kelayakan untuk sesuatu topic. Kemudian hendaklah diadili oleh pengadil yang tidak berat sebelah. Masa yang dihadkan kepada setiap pendebat wajib dipatuhi. Perdebatan mestilah hanya berlegar dalam topic yang telah disepakati. Si pendebat tidak boleh menggunakan kata-kata kesat dan cacian sepanjang majlis debat. Penyokong @ penonton tidak boleh mengganggu tumpuan dan ruang bercakap bagi mana-mana pendebat dengan membuat sorakan dan sebagainya. Tidak boleh mencalarkan imej peribadi mana-mana pendebat dan banyak lagi syarat-syarat yang wajar dipatuhi yang saya kira bukan disini tempatnya untuk dibahaskan. Hindari syiah, anda mulia dan selamat dunia akhirat! Kebenaran pasti menang!


Ahad, 26 Disember 2010

Perlukah Kenduri Arwah?

Oleh: Azamin Amin

"Perlu ke saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.

Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.

Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.

Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.

Amalan membebankan keluarga si mati

Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Jaafar, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)“ Hadith riwayat al-Tirmizi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah (al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.

Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.

Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah

Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.

Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.

Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.

"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.

"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.

"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.

Kenyataan pahit dan mengejutkan

Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.

"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya

"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya."

Telah disiarkan oleh harakahdaily pada;
Jumaat 25 Januari 2008 | 16 Muharam 1429 Hijrah.

Isnin, 20 Disember 2010

Benteras Fahaman Syiah Wahai Pemimpin!!

Ketua syiah melayu yang sudah bergelar Ayatullah!!

Tindakan diambil kerajaan bagi pastikan tiada pelajar Malaysia di luar negara terpengaruh

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengiktiraf beberapa universiti dan institusi pengajian tinggi di Mesir, Jordan dan beberapa negara Islam lain adalah bagi membendung penyebaran ajaran sesat, termasuk fahaman Syiah di kalangan rakyat negara ini terutama pelajar.
Ia juga bagi memastikan silibus dan kurikulum diajar di institusi itu memenuhi standard ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi melahirkan graduan berkualiti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pengiktirafan institusi pengajian tinggi itu juga memudahkan kerajaan memantau jika ada cubaan untuk menyebarkan fahaman sesat di kalangan pelajar Malaysia.

“Sebab itu, bukan semua universiti luar diiktiraf LAN (Lembaga Akreditasi Negara yang kini dikenali sebagai Agensi Kelayakan Malaysia) dengan harapan pelajar belajar dengan betul. Memang ada yang terpengaruh dengan fahaman itu ketika belajar di luar negara.

“Tetapi kerajaan sentiasa memantau dan ambil tindakan supaya ajaran yang bertentangan ini tidak berkembang dalam negara kita,” katanya, semalam.
Beliau mengulas kemungkinan wujudnya individu tertentu yang pergi ke luar negara untuk mendalami fahaman Syiah yang ditolak di negara ini.
Khamis lalu, Jabatan Agama Islam Selangor membuat serbuan terhadap 200 pengikut ajaran sesat Hauzah Ar Ridha dipercayai ajaran Syiah, yang mengamalkan 23 penyelewengan termasuk memukul badan hingga berdarah bagi menyucikan dosa di Taman Seri Gombak.

Jamil Khir mengakui kemungkinan ada sebilangan kecil individu yang keluar negara bagi mendalami fahaman itu namun Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Katanya, serbuan sebelum ini menunjukkan kerajaan komited untuk memastikan ajaran sesat, termasuk fahaman Syiah, tidak berkembang di negara ini kerana dikhuatiri akan memecahbelahkan masyarakat.


Ambil Tindakan Segera

JOHOR BAHRU: Semua pentadbiran universiti di negara ini diminta menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada pensyarah yang menganuti fahaman Syiah hingga mempengaruhi kumpulan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, fahaman berkenaan adalah bertentangan dengan ajaran berteraskan Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie sebagai ikutan umat Islam di negara ini.


“Setakat ini saya tidak pasti sama ada perkara itu berlaku atau tidak kerana itu saya minta pihak universiti siasat dan ambil tindakan segera.

“Jenis tindakan yang diambil juga terpulang pada pentadbiran sesebuah universiti," katanya.


Mohamed Khaled berkata, kementerian juga bimbang jika ada pensyarah di universiti terbabit sama dalam fahaman berkenaan kerana ia boleh mempengaruhi golongan pelajar hingga menimbulkan masalah tidak diingini.


“Mana-nama universiti boleh mengadakan kerjasama dengan polis untuk mendapatkan maklumat atau menyalurkan maklumat jika ada antara pelajar dan pensyarah mereka terbabit dalam fahaman ini.

“Mereka (universiti) perlu mencari pendekatan terbaik dan memberi perhatian terhadap soal ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Gerak Tumpu 2010 Zon Johor Jaya/Plentong, di Jalan Anggerik, Taman Johor Jaya di sini, semalam.


Kelmarin, akhbar ini melaporkan mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap kira-kira 128 individu dewasa pengikut ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha dipercayai ajaran Syiah yang mengamalkan penyelewengan termasuk memukul badan dengan rantai besi sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa di Taman Seri Gombak.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ambiltindakansegera/Article/


Hati-hati pilih pasangan

KANGAR: Kecenderungan rakyat negara ini untuk memilih lelaki atau wanita ‘hidung mancung’ terutama dari Pakistan, Iran dan Lubnan sebagai pasangan hidup terbantut apabila Jawatankuasa Fatwa Perlis mengeluarkan arahan supaya mengelakkan berkahwin dengan golongan berkenaan yang berfahaman Syiah.

Susulan keputusan fatwa itu, Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan kenyataan menasihatkan rakyat negara ini supaya tidak memilih lelaki atau wanita yang berfahaman berbeza sebagai pasangan hidup bagi mengelak implikasi buruk hasil perkahwinan itu.


Sejak kebelakangan ini, ramai rakyat negara terbabit menetap di negara ini dan ada antara mereka mendapat taraf pemastautin tetap selepas berkahwin dengan penduduk tempatan.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata perkahwinan lelaki dan wanita tempatan yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan penganut Syiah tidak digalakkan kerana boleh memberi kesan kepada pegangan akidah.


Katanya, peringatan itu selaras mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 15 dan 16 November lalu yang bersetuju supaya pernikahan membabitkan dua fahaman berbeza itu perlu dielakkan.


“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sudah memperakukan keputusan majlis fatwa negeri yang tidak menggalakkan perkahwinan antara penganut Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah pada 7 Disember lalu.

“Sehubungan itu, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam negeri dan jurunikah di Perlis diminta terlebih dulu menyiasat fahaman mereka yang berkahwin bagi mengelak wujud perkahwinan membabitkan fahaman berbeza ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

http://www.hmetro.com.my/articles/Hati-hatipilihpasangan/Article/


Menuntut Fasakh Selepas Tahu Suami Penganut Syiah

SHABARIAH menunjukkan sijil perkahwinannya di rumahnya di Kampung Alor Ara, Arau, semalam.
SHABARIAH menunjukkan sijil perkahwinannya di rumahnya di Kampung Alor Ara, Arau, semalam.
KANGAR: Demi menjaga akidah, seorang isteri yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi di Kampung Alor Ara, Arau, dekat sini, bertindak menuntut fasakh selepas menyedari suaminya seorang penganut Syiah tegar bagi mengelak diri dan dua anak lelakinya terus terpesong daripada ajaran Islam.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TuntutfasakhselepastahusuamiSyiah/Article/


Ahad, 12 Disember 2010

Mari Berpuasa Asyura & Tasua'


Kelebihan puasa asyura.

1) Daripada Abdullah bin Abi Zaid bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas ditanya tentang berpuasa pada Hari Asyura. Beliau menjawab: "Aku tidak tahu bahawa Rasulullah berpuasa sehari mengharapkan kelebihannya berbanding hari-hari lain kecuali pada hari ini (Asyura), tidak juga pada bulan-bulan lainnya kecuali pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan," hadis soheh Bukhari (2006) & Muslim (1132).

2) Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi berkata; "Berpuasa pada hari Asyura aku berharap kepada Allah agar mengkafarahkan setahun yang telah lalu,”hadis riwayat Muslim (1162) dan Abi Dawud (2425).


Dua hadis ini menggambarkan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram. Iaitu pengampunan Allah bagi dosa tahun yang lalu. Yang masyhurnya dikalangan ulama pengampunan dosa ini hanyalah pada dosa-dosa kecil bukan dosa-dosa besar yang perlukan kepada taubat. Imam An-Nawawi berkata; " Diampunkan bagi dosa-dosa kecil dan takdirnya ialah; diampunkan dosa-dosanya keseluruhannya kecuali dosa-dosa besar". Al-Majmuk 6/382.


Syeikhul islam Ibnu Taimiyyah berkata; "Pengampunan dosa bagi orang yang bersuci (berwuduk), solat, puasa Ramadhan, puasa Arafah dan Asyura hanyalah bagi dosa-dosa kecil sahaja". Al-fatawa al-kubra 4/428.


Apa yang mereka nyatakan ini adalah bersandarkan kepaada hadis Nabi dalam soheh Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda; "Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat, Ramadhan kepada Ramadhan, adalah pengampunan dosa diantara keduanya jika dijauhi dosa-dosa besar".


Banyak berpuasa pada bulan-bulan haram;

Daripada Abu Hurairah berkata, Nabi bersabda; "Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah bulan Allah yang diharamkan," riwayat Muslim (1982).


Bulan yang disandarkan kepada Allah menunjukkan pengagungan. Daripada zahir hadis menunjukkan bahawa ianya adalah merangkumi semua bulan-bulan haram (Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Akan tetapi perlu diketahui bahawa tidak pernah thabit daripada Baginda bahawa beliau berpuasa penuh sebulan kecuali pada bulan Ramadhan. Maka hadis ini memberi maksud galakkan agar membanyakkan puasa pada bulan-bulan tersebut.



Asal usul puasa pada 10 Muharram;

Daripada Ibnu Abbas berkata; " Rasulullah datang ke Madinah maka Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram lalu Baginda bersabda; kenapa begini? Mereka menjawab; "Ini adalah hari yang baik, Allah telah menyelamatkan pada hari ini Nabi Musa dan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka (Fira’un) maka Musa berpuasa. Lalu Nabi bersabda; "Aku lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa, maka Nabi berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa". Dalam riwayat yang lain, "Maka kami berpuasa pada hari tersebut sebagai menghormatinya". Hadis riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130).


Daripada Salamah bin Al-Akwa' bahawa Rasulullah memerintahkan seorang lelaki supaya mengumumkan kepada manusia yang muslim; "Sesiapa yang telah makan maka hendaklah dia berpuasa selepas itu, sesiapa yang belum makan maka berpuasalah, maka sesungguhnya hari ini adalah hari Asyura". Hadis riwayat Bukhari (2007) dan Muslim (1135).


Pilihan berpuasa selepas kefardhuan puasa ramadhan;

Daripada Aisyah beliau berkata; "Puasa Asyura adalah sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Maka tatkala turun kewajipan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang mahu berpuasa (Asyura) berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu maka dia berbuka". Bukhari (2001) dan muslim (1125).


Daripada Abdullah bin Umar berkata; "Puasa Asyura berpuasa padanya ahli jahiliyyah, maka tatakala turun kewajipan Nabi bersabda; "Sesiapa yang mahu berpuasa (Asyura) berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka dia tidak perlu berpuasa". Hadis Bukhari (1892) Muslim (1126).


Daripada Jabir bin Samurah berkata; "Adalah Rasullullah memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari Asyura dan memberi galakkan kepada kami, dan Nabi mengambil janji terhadap kami disisinya, maka tatkala difardhukan Ramadhan, Baginda tidak menyuruh kami dan tidak melarang kami daripadanya dan Nabi tidak mengambil janji kami di sisinya". Hadis Muslim (1128).


Ibnu Hajar dalam Fathul Bari berkata; "Dan dapat diambil daripada keseluruhan hadis bahawa puasa asyura ini pada mulanya adalah wajib kerana thabitnya perintah berpuasa, kemudian ianya menjadi lebih kuat lagi dan kuat lagi ketika diumumkan kepada umum. Bertambah wajib lagi ketika Nabi memerintahkan agar orang yang sudah makan meneruskan puasanya, kemudian perintah Baginda supaya ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kecil pada hari tersebut dan kata-kata Ibnu Mas'ud dalam soheh Muslim "Tatkala difardhukan Ramadhan maka ditinggalkan Asyura", dengan pengetahuan bahawa tidak ditinggalkan hukum sunnah puasa Asyura itu bahkan kekal ianya sebagai sunnah. Maka ianya memberi petunjuk bahawa yang ditinggalkan ialah kewajipannya (iaitu menjadi tidak wajib). Fathul Bari 4/247.


Disunatkan berpuasa 9 Muharram bersama dengan 10.

Daripada Ibnu Abbas berkata; "Ketika Nabi berpuasa Hari Asyura dan memerintahkan agar berpuasa, Sahabat berkata; "Ya Rasulullah sesungguhnya ia adalah hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi bersabda; "Maka jika tahun akan datang insyaallah kita akan berpuasa Tasyua' (9 Muharram)". Ibnu Abbas berkata : "Maka belum sempat datang tahun hadapannya kecuali Rasulullah telah wafat". Hadis riwayat Muslim (1916).


Imam Syafie, Ahmad, Ishak dan lain-lainnya berkata; "Disunatkan berpuasa Tasua' dan Asyura bersama kerana Nabi berpuasa pada 10 Muharam dan telah berniat untuk berpuasa 9 Muharam".


Atas dasar ini maka berpuasa Asyura ada tingkatannya; yang paling kurangnya ialah berpuasa pada hari Asyura sahaja, lebih baik daripada itu ialah berpuasa 9 dan 10 Muharram. Dan setiap kali bertambahnya puasa pada bulan Muharram maka ianya adalah lebih baik dan afdhal.


Hikmah disunatkan puasa 9 Muharam;

Imam An-Nawawi berkata:" Para ulama dikalangan Sahabat kami (Syafieyyah) dan selain mereka menyatakan tentang hikmah berpuasa Tasua' (9 muharam) dengan beberapa wajah;

1) Ianya adalah bertujuan menyalahi Yahudi (tidak sama dengan mereka) ketika hanya berpuasa Asyura sahaja.

2) Adalah bertujuan menyambung puasa Asyura dengan puasa seperti larangan Nabi berpuasa pada hari Jumaat semata-mata. Ini disebutkan oleh Al-Khattobi dan ulama-ulama lain.

3) Sebagai langkah berjaga-jaga ketika kita berpuasa Asyura, yang mungkin ditakuti kurang sehari anak bulan. Maka akan berlaku kesilapan hari ketika berpuasa. Maka boleh jadi puasa 9 Muharram itu adalah yang sebenarnya 10 Muharram".

Akan tetapi wajah yang paling kuat adalah yang pertama. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan; "Nabi Muhammad Alaihi Solatu Wassalam telah melarang daripada menyerupai Ahli Kitab dalam hadis-hadis Baginda yang banyak seperti dalam sabda Baginda tentang Asyura; "Jika aku hidup pada tahun hadapan maka aku pasti berpuasa Tasua' (9 Muharram). Al-majmuk al-kubra.


Daripada Ibnu Abbas beliau berkata; "Telah berkata Nabi Muhammad :"Berpuasalah pada hari Asyura (10 Muharram), dan selisihilah Yahudi (jangan menyerupainya), berpuasalah sebelumnya sehari ataupun selepasnya sehari". Hadis riwayat Ahmad (1/241) Ibnu Huzaimah (2095) dan Al-Baihaqi.


Apakah hukum berpuasa Asyura sahaja?

Syeikhul Islam berkata; "Berpuasa pada hari Asyura adalah kaffarah (pengampunan) setahun dan tidak dimakruhkan mengifradkannya dengan puasa (puasa asyura sahaja). Al-Fatawa al-Kubra.


Ibnu Hajar Al-Haithami dalam Tuhfatul Muhtaj bab puasa sunat berkata; "Dan puasa Asyura tidak mengapa berpuasa pada hari itu sahaja". Selamat berpuasa, Wallahu a'lam.

Isnin, 6 Disember 2010

Undang-Undang Sahir Di Arab Saudi



Hari ini setelah 3 kali berulang alik ke pajabat bank a-Rajhi akhirnya saya dan Arif masing-masing berjaya membuka akaun al-Rajhi. Itupun mungkin kerana pegawai yang bertugas amat baik dan baru melancong ke Malaysia 4 bulan lalu berbulan madu selama 15 hari yang menelan kos 23 ribu Riyal Saudi. Katanya, "Orang Malaysia baik-baik dan ramah, kecuali orang cina yang suka menipu".


Saya mencuba kad ATM yang baru dan menambah nilai wang, gembira sekali. Saya cuba melihat adakah terdapat kesalahan lalu lintas pada ID kad Saudi saya melalui ATM al-Rajhi, tup-tup satu kesalahan yang bernombor dan tidak dijelaskan apakah jenis kesalahan itu! Hanya nombor kesalahan dan jumlah Sr 300 yang perlu saya bayar! Ah, hati saya terguris lagi. Semester yang lepas sudah 2 kali disaman akibat tali pinggang dan lebih had laju. Polis perisik mengejar kereta saya. Saya kira awal semester ini, saya sudah menjadi pemandu yang berkhemah dan baik. Rajin memakai tali pinggang dan cuba mematuhi undang-undang. Tapi masih terkena saman! Allahu Rabbi, terpaksalah saya membayar Sr300 sebelum jumlah amaunnya bertambah kepada Sr500. "Samada anda membayar atau anda diketuk". Tiada pilihan ketiga. Jika anda berhutang saman, anda tidak boleh mendapatkan visa keluar dari Arab Saudi dan anda tidak boleh menjual kereta yang anda miliki.


Undang-undang Sahir;

Sahir adalah kalimah arab bermaksud "orang yang berjaga", maknanya ia sentiasa mengawasi dan tidak tidur. Undang-undang ini samalah maksudnya dengan saman ekor di Malaysia. Kamera bertaburan di kota Riyadh, memerangkap pemandu-pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Masalahnya kesalahan anda tidak dinyatakan! Anda mungkin juga tidak dimaklumkan melalui sms dan surat! Kemudian dalam tempoh sebulan jika tidak dibayar, saman akan meningkat daripada 300 kepada 500, saman 500 kepada 900, dan saman 900 kepada 1500 Riyal! Inilah masalah baru yang dihadapi oleh penduduk kota Riyadh, Jeddah dan Mekah. Undang-undang sahir ini masih baru dipraktikkan di tiga negeri sahaja. Saya dimaklumkan pada bulan pertama dipraktikkan iaitu pada bulan April 2010, di kota Riyadh sahaja pihak JPJ Riyadh telah mengeluarkan saman dengan hasil sebanyak 700 Juta Riyal Saudi.


Kartun Sindiran;

Saya perhatikan sudah amat banyak kartun-kartun yang menyindir undang-undang zalim ini. Kartun hari ini yang dipaparkan oleh surat khabar al-Jazirah juga turut memaparkan seorang arab badawi berada dihadapan mesin ATM bank kemudian disebelah kanannya robot berkepala kamera memegang jumlah saman dan penukul diajukan berdekatan kepala arab tersebut.


Semalam, ketua polis JPJ cawangan Riyadh menulis komentarnya akibat aduan orang ramai terhadap undang-undang ini. Dia juga agak menyesali cara undang-undang ini diamalkan. Seolah-olah bukan bertujuan mendidik tetapi lebih kepada mendera dan menghukum. Katanya; "Wang 500 itu adalah mencukupi untuk menyara keperluan harian sekeluarga berjumlah sederhana untuk tempoh seminggu". Justeru beliau mencadangkan agar perlaksanaannya dikaji semula. Seboleh-bolehnya kerajaan memberikan diskaun 50% kepada sesiapa yang membayar saman dalam tempoh seminggu disaman. 33% selepas 2 minggu, dan 15% selepas 3 minggu, adapun selepas daripada minggu ke 4 maka tiada diskaun dan nilaian saman adalah tetap mengikut jumlah asal hingga dilunaskan. Saya kira cadangan ini amatlah bijak selain ianya meredakan kemarahan rakyat dan mendidik mereka yang kurang adab di jalan raya.


Sahir vs Saman Ekor;

Di Malaysia, saya juga menjadi mangsa saman ekor, tetapi untungnya saman itu disertakan surat dan amaran. Tetapi tiada diskaun bagimu! Pertama kali dalam sejarah saya menerima saman di akibat lebih laju di jalan Jeli Kelantan. Akibat lebih 87km dijalan 70km, maka saman datang. Untung sahaja JPJ Malaysia mengumumkan diskaun 50% sehingga 15 Disember ini. Di Malaysia juga, ruang kritikan juga agak luas berbanding Arab Saudi kerana perbezaan amalan politik Negara masing-masing. Tetapi tidak bermakna dalam semua keadaan, Malaysia lebih baik berbanding Saudi dan begitulah sebaliknya.


Penasihat-penasihat majlis raja-raja mampu memberikan pandangan dan nasihat kepada Raja untuk mengubah @ memansuhkan sesuatu. Ianya hanya bergantung kepada kebijaksanaan si penasihat. Ini adalah Arab Saudi. Di Malaysia juga mungkin boleh berubah dengan cadangan-cadangan ahli parlimen, tetapi kadangkala keputusannya adalah bergantung kepada kesepakatan majority ahli parlimen. Justeru kebanyakan ahli parlimen perlu dijinakkan berbanding dengan seorang Raja sahaja di sini. Namun Ini hanyalahh pandangan mata kasar saya sahaja, tidak lebih dari itu.


Akhirnya saya cuba menjadi seorang pemandu yang beradab ditengah-tengah kota yang sebahgian penduduknya kurang adab. Mari kita lihat beberapa kartun berkaitan undang-undang sahir ini.


Jika anda memandu kereta di Malaysia sila rujuk saman anda di laman ini;

http://www.myeg.com.my/


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...