RSS Feeds

Selasa, 2 Ogos 2011

Bicara Selebriti Di Kelantan

Foto ihsan Urusetia HAI

Tahun lalu, saya terlepas peluang ini.

Berada di Jordan, saya tidak dapat menerima jemputan untuk bergandingan dengan Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazi) dan Wardina Safiyyah Fadhlullah bagi menjayakan Bicara Selebriti sempena Hari Hiburan Islam 2010 anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.

Alhamdulillah tahun ini saya sekali lagi menerima jemputan untuk program yang sama.

Saya tidak melepaskannya.

Kali ini gandingannya mungkin bukan tidak berperingkat Nusantara, tetapi untuk sebuah negara bernama Malaysia, panelis Bicara Selebriti kali ini cukup memberangsangkan. Hingga saya menggelar barisan panelis, “The Trouble Makers of the Nation“.

30 Julai 2011 cukup bersejarah.

YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah mengatur program dengan menjemput saya menjadi panelis, bersama tokoh-tokoh hebat tanah air. Barisan ‘diketuai’ oleh ‘selebriti pengganas negara’, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, Wardina Safiyyah Fadhlullah, Sham Kamikaze dan moderator daripada TV AL-HIJRAH, Amin Idris.

Kami dihimpunkan di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan di dalam sebuah majlis gilang-gemilang. Montaj dan set pentas yang jelas menampakkan kesungguhan pihak penganjur mempromosikan satu takrifan baru bagi sebuah keperluan hidup bernama HIBURAN. Jauh daripada tuntutan sebuah industri, hiburan diketengahkan sebagai suatu cara memanifestasikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna namun kekal manusiawi.

Banyak aspek hiburan Islam dikupas secara ilmiah tetapi santai oleh Dr MAZA membabitkan isu penggunaan alat muzik, suara wanita sebagai aurat, serta prinsip-prinsip yang membentuk apa yang dinamakan sebagai hiburan Islam. Itu yang seronoknya dengan forum, penceramah mengambil peluang belajar daripada penceramah yang lain. Alhamdulillah.

Wardina dan Sham Kamikaze pula banyak diajak mengupas tentang pengalaman masing-masing sebagai artis yang pernah berada di ‘dua alam’. Perspektif yang mereka kongsikan, menimbulkan soalan kontroversi daripada hadirin apabila Encik Amin mengajukan soalan, “mengapakah ada artis yang berani menyatakan sokongannya kepada parti Islam, tetapi dalam masa yang sama, ada pula ustaz yang tidak berani melakukan perkara yang sama”.

Soalan diajukan kepada saya.

Artis tidak wajar digandingkan dengan ustaz, kerana seolah-olah kedua-duanya berdiri tidak sama tinggi dan duduk tidak sama rendah dalam asas soalan yang ditanya. Hakikatnya Allah menilai manusia berdasarkan TAQWA. Andai seseorang itu bertaqwa, mulialah dia di sisi Allah, sama ada mereka itu artis, mahu pun ustaz.

Ustaz-ustaz yang tidak secara jelas menyatakan pendirian mereka tentang hal-hal politik, tidak wajar diburuk sangkakan sebagai penakut. Apakah dakwah sembunyi di era Mekah itu ditakrifkan sebagai era penakut? Tentu sahaja tidak. Isunya ialah keutamaan. Kita tidak tahu setiap ustaz atau mana-mana pendakwah itu berada di daerah mana dan apakah keutamaan yang dipertimbangkan mereka.

Maklum sahaja dengan Malaysia, pakai baju kuning pun boleh dilabel komunis!

Maka selagi mereka tidak secara jelas menyokong kezaliman, kita mesti ada baik sangka terhadap mereka. Si empunya dirilah yang bakal menjawab soalan Allah tentang hal-hal itu. Kita mesti mengurangkan sikap menilai dan menghukum.

Akan tetapi apabila para ustaz atau siapa sahaja secara jelas menyokong kezaliman, apatah lagi menyokongnya dengan memberikan alasan agama, mereka musuh Allah, biar pun berijazah Syariah!

NILAI UNTUK PERIBADI

Program ini memberikan nilai yang tersendiri kepada diri saya.

Pertamanya, ia adalah tanda sokongan saya kepada sahabat sepengajian yang sudah beberapa penggal menjadi ADUN, iaitu YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, untuk sama-sama membantu mengisi kemenangan di negeri Kelantan, sedaya mungkin.

SHAM KAMIKAZE

Keduanya, ia menjadi pertemuan pertama saya dengan Sham Kamikaze yang sudah saya ikuti perkembangannya melalui liputan media alternatif dan jaringan sosial. Seorang sifu dalam muzik tetapi membawa paradigma Islam, persembahan beliau yang bersahaja malam tadi sangat menusuk kalbu hingga menitiskan air mata, sama seperti alunan yang pernah saya dengar di persembahan seni klasik Uthmaniyyah di khemah-khemah Ramadan selepas Tarawih di Istanbul suatu ketika dahulu.

Subhanallah.

Orangnya juga sungguh baik hati dan tenang, menampakkan bahawa hijrah yang berlaku kepadanya jauh daripada pengaruh emosi, sebaliknya cukup rasional dan tenang sebagai bekalan konsistensi yang penting. Saya mendoakan istiqamah dan sejahteranya perjalanan Abang Sham hingga hujung kembara.

WARDINA SAFIYYAH

Saya juga gembira kerana sekali lagi berpeluang berkongsi pentas dengan Wardina Safiyyah selepas lama tidak direzekikan menjejak kaki ke Sri Pentas.

Kekentalan dirinya di dalam perjuangan di medannya yang tersendiri, jika tidak sebesar impaknya kepada masyarakat, saya yakin ketegasan dan ketinggian jati diri Wardina banyak memberi inspirasi kepada rakan artis yang lain untuk meyakini ketinggian hidup berteraskan rezeki yang HALAL, menafikan ketuhanan tuhan-tuhan palsu dalam mengenakan kehendak mereka yang sering membelakangkan kehendak Allah, dalam industri hiburan.

AMIN IDRIS

Sudah tentu wacana-wacana ini dikendalikan secara begitu profesional tetapi kekal santai oleh peguam selebriti yang menghormati hak-hak kebebasan bersuara menurut jaminan Perlembagaan Malaysia, iaitu sahabat yang saya kasihi, saudara Amin Idris. Beliau petah mengusik, mengutip peluang dan melontar provokasi hingga Wardina sendiri beberapa kali terkunci mulut tidak mampu berbicara. Seperti persaingan antara TV Al-Hijrah dengan TV3 pula.

Tentu sekali yang menang bukan JAKIM atau Media Prima, tetapi Amin dan Wardina selaku pejuang di medan mereka yang tersendiri.

USTAZ ASRI

Kemuncak kepada segala-galanya, setelah lama terpisah jauh, membawa diri ke medan perjuangan yang berliku-liku, saya kembali digandingkan dengan sifu saya dalam mengertikan hidup berjuang, iaitu Ustaz Asri, yang lebih mesra di hati saya berbanding bintang-bintang semasanya sebagai Profesor Madya, Doktor, atau Pengganas (?), seperti yang dilabelkan secara dungu baru-baru ini.

Jika di suatu ketika, banyak ijtihad beliau yang menimbulkan keresahan di lubuk jiwa saya sebagai saudara yang mengasihinya dari jauh, kini Ustaz Asri kembali berjaya menyuntik kekuatan dan keyakinan di hati saya, agar menetapkan kaki, tidak dipalingkan oleh rencam manusia, sebaliknya hanya melihat satu antara dua, yang dijanjikan Allah sebagai habuan sebuah perjuangan.

Tidak dapat saya sembunyikan, saya rindukan Ustaz Asri.

Pagi Ahad, keluar bersama beliau bersarapan bersama Ustaz Wan Syarafi dan ditemani Zainal Lutfi, saya tidak banyak berkata-kata. Hanya mahu mendengar celoteh Ustaz Asri, ceritanya, dan hati saya memulangkan 1001 Tahmid kepada Dia.

BERNASYID

Demi menyempurnakan permintaan YB Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, saya menerima hajatnya untuk saya menyampaikan sebuah nasyid yang berfungsi sebagai anchor kepada mesej di dalam program Bicara Selebriti itu. Saya menyampaikan sebuah nasyid dendangan Usrah al-Wadi Mesir pada tahun 1995 iaitu Wasiat Sayyid Qutb (versi 2).

Nasyid itu saya semak kembali selepas mencari penawar duka atas pemergian srikandi perjuangan, al-Marhumah YB Dr. Lo’lo’ Mohd Ghazali baru-baru ini. Wasiat Sayyid Qutb itu saya tujukan kepada setiap pemuda-pemudi agar obor yang ditinggalkan, terus dibakar menyinar cahaya.

WASIAT SAYYID QUTB

Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna kita telah dijanjikan Allah dengan dua kemuliaan
Tergugur syahid di medan perjuangan
Atau meraih kemenangan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Kita pasti berjaya
Seandainya kau tangisi kematianku
Janganlah tangisan itu mematahkan semangat perjuanganmu
Kerna perjuangan memerlukan pengorbanan
Kerna pejuang tak mengenal kerehatan
Aturkanlah langkahmu dengan penuh keimanan
Suburkanlah jiwamu dengan segala keyakinan
Teruskanlah perjuanganmu itu
Jangan ragu-ragu dalam perjalananmu
Teruskanlah, yakinilah, teruskanlah, yakinilah
Islam pasti berjaya
Relakanlah pemergianku ini
Iringiku dengan seribu doa
Semoga kita kan berjumpa semula
Di taman Syurga yang indah

Keberadaan di Kota Bharu kali ini bukan pertama kali.

Alhamdulillah, saya beroleh rezeki beberapa kali setahun untuk hadir ke negeri Serambi Mekah ini atas jemputan pelbagai pihak untuk mengisi pelbagai program. Namun jarang sekali saya berpeluang untuk bersiar-siar dan mencari sentimental value peribadi di celah-celah pekan Kota Bharu yang eksotik itu. Lazimnya hanya datang dan terus ke lokasi program, kemudian terus ke Lapangan Terbang usai tamatnya program.

ZAINAL LUTFI

Syukur kehadiran kali ini disertai oleh Pengurus Operasi STC yang juga pembantu peribadi saya, Zainal Lutfi.

Tidak penat atau mengeluh sepanjang mengiringi saya bersama urus kerja ke sana sini, kehadiran beliau buat pertama kali di negeri Kelantan selepas kelana menuntut ilmu di bumi Uncle Sam, kami mencelup-celup masa meninjau Kota Bharu serta menghirup hening Subuh di Masjid Muhammadi. Kali terakhir saya bersubuh di masjid itu, mungkin sekitar 17 tahun yang lalu.

Saya juga menjadikan tempoh 24 jam di Kota Bharu kali ini sebagai peluang menemukan Zainal Lutfi dengan semua jaringan sosial saya, mendedahkan beliau dengan pelbagai perkongsian bersama-sama insan hebat seperti YB Ustaz Ahmad Baihaki, Prof Madya Dr Mohd Asri, Sham Kamikaze, Wardina Safiyyah dan Amin Idris, serta beberapa sahabat lama yang sempat saya temukan.

Semoga sesi ini menyuntik keyakinan kepada anak muda ini, juga rakan-rakan segenerasinya, agar semasa tiba masanya generasi kami sirna dimamah masa, obor yang menyala itu disambut penuh optimis oleh mereka pula untuk mengejar sebuah kemenangan.

Jadilah manusia hebat. Manusia biasa yang luar biasa.

Terima kasih kepada TV Kelantan kerana menyiarkan siaran Bicara Selebriti ini secara LIVE di internet. Penonton yang begitu ramai, turut memberi peluang kepada isteri saya mengikutinya dari rumah kami. Jarak yang memisahkan, menjadikan kami kekal dekat, sebagaimana dekatnya Kelantan di hati kami, sebagai negeri tempat Islam dibumikan.

Ramai juga rakan Facebook, Twitter, Blog, tidak dilupakan rakan sepengajian di Jordan, rakan seperjuangan di London, Cardiff, Cork, dan ramai lagi, turut hadir bersama. Namun apakan daya, kekangan masa tidak mengizinkan saya untuk berbual panjang dengan setiap kalian. Namun seribu penghargaan atas kesungguhan hadir bersama.

Saya dan Zainal Lutfi meninggalkan Kota Bharu, demikian juga barisan panelis dan moderator, dengan 1000 doa agar semarak perjuangan diteruskan.

Ya Allah, lindungilah negeri Serambi Mekah ini daripada kejahatan, malapetaka, kezaliman dan pengkhianatan, dengan kebesaran-Mu. Kuatkan kami untuk menumpaskan Jahiliyyah yang tidak pernah berhenti memadam cahaya-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen

Ambo saye Kelate.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Grand Riverview Hotel, Kota Bharu Kelantan


http://saifulislam.com/?p=10240#more-10240

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...