Menjawab Fitnah Pertama:
Qidam al-‘Alam bi al-Nau’
قدم العالم بالنوع
Tudahan pertama yang dilontarkan ke atas Syaikh al-Islam Ibn Tamiyyah yang akan kita jawab dan luruskan ialah kononnya beliau berkata alam ini sedia kala pada jenisnya (قدم العالم بالنوع) atau kewujudan bersifat wajib pada zatnya (أنه موجب بالذات). Sebelum menjawab tuduhan ini, perlu diketahui bahawa jika dirujuk kepada kitab-kitab para mutakallimin (ahli kalam) dan muslimin (umat Islam) tentang hakikat alam, akan ditemui bahawa mereka terbahagi kepada tiga pendapat. Pendapat-pendapat tersebut ialah:
Pertama:
Alam ini ialah makhluk yang baru dicipta oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala setelah sebelumnya ia tiada. Ini berdasarkan dalil al-Qur’an, hadis dan ijma’ (kesepakatan) umat Islam. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Bahkan beliau menganggap apa-apa pendapat lain adalah palsu.
Kedua:
Pendapat yang dikemukakan oleh kaum kafir, al-Dahriyyun dan al-Mulahidah bahawa alam ini bersifat qadim secara sendirinya dan tiada pencipta. Pendapat ini memang nyata kufur dan batil kerana bererti menafikan kewujudan Allah dan keesaan-Nya. al-Qadhi ‘Iyadh dalam al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Musthafa, ms. 604 dan para ahli ilmu yang lain menyebut:
Yang jelas dalam bab ini ialah setiap kenyataan yang menafikan kewujudan Allah (al-Rububiyyah) dan keesaan-Nya (al-Wihdaniyyah), ibadah yang ditujukan kepada selain Allah atau ibadah yang menyekutukan Allah (semua itu) adalah kufur.
Terhadap pendapat kedua ini, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengulas:
Sekiranya seorang mulhid berkata: “Alam yang disaksikan ini qadim, ia wajib wujud secara sendiri tanpa perlu ada pencipta”, maka sesungguhnya dia (orang mulhid yang berkata sedemikian) telah menetapkan sesuatu yang wajib secara sendirinya lagi bersifat qadim dan azali (bagi alam ini). (Seolah-olah alam) ini ialah satu jisim yang boleh menanggung benda-benda lain untuk bertukar arah, berdiri dengannya segala yang ada di maya padanya, yang dipenuhi dengan kejadian–kejadian dan pergerakan-pergerakan, baginya ada bahagian-bahagian dan pecahan-pecahan.
Maka apa yang cuba dia lari darinya, iaitu dengan menetapkan alam dan perkara-perkara yang berlaku di dalamnya dan banyak lagi sebagai qadim, keingkarannya itu tidak memberikan apa-apa faedah (kepada dirinya) melainkan ingkar terhadap pencipta (Allah), mendustakan Rasul-Rasul-Nya dan menyelisihi apa yang jelas di sisi akal dan kesesatan yang nyata. Semua ini adalah puncak kesesatan bagi golongan yang sesat dan (puncak) kekufuran bagi orang kafir.
Pendapat kedua ini sememangnya rosak dan kufur.
Ketiga:
Pendapat ini menyatakan bahawa alam ini qadim tetapi adalah juga makhluk ciptaan Allah. Ini adalah pendapat Ibn Sina dan satu golongan daripada kalangan ahli falsafah mutakhir. Walaubagaimana pun sebahagian orang yang jahat lagi berdusta menyandarkannya kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini adalah satu kedustaan yang nyata kerana Syaikh al-Islam telah menolak pendapat ini berulang kali dalam kitabnya dan menjelaskan kerosakannya dari pelbagai sudut.
Sejak awal, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah memperingatkan tentang amaran generasi awal (al-Salaf al-Shalih): “Sesiapa yang mengatakan alam ini qadim maka sesungguhnya dia telah ingkar kepada Pencipta (Allah)”. Kemudian datanglah Ibn Sina dan orang-orang yang sependapat dengannya yang berkata: “Alam ini qadim tetapi juga makhluk Allah, wajib bagi alam ini apa yang ada pada zat Allah”, bermaksud alam ini turut memiliki sifat yang sama dengan Allah (iaitu qadim).
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
Oleh kerana itulah pengkaji-pengkaji terdahulu berpendapat, setiap orang yang berkata alam ini qadim, maka dia telah ingkar kepada Pencipta, padahal mereka sendiri tidak mampu berfikir ketika dikatakan: “Alam iniqadim dan ianya diciptakan”.
Akan tetapi golongan terkemudian pula, apabila mereka melihat ada golongan falsafah yang mengatakan: “Alam ini dalam keadaan ada sebab dan tidak wajib (bersifat qadim)”, mereka menyebut pendapat ini dan membahaskannya bersama sahabat-sahabatnya.
Seterusnya marilah kita mengkaji bantahan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah ke atas pendapat yang mengatakan alam ini qadim sebagaimana zat Allah. Dalam kitabnya Dar’u al-Ta‘arudh, beliau menulis:
Berkata (Imam) al-Ghazali dalam kitabnya Tahafat al-Falasifah, manusia terbahagi kepada dua kumpulan.
Kumpulan Ahli al-Haq (yang benar). Mereka berpendapat alam ini baru. Mereka mengetahui bahawa sesuatu yang baru itu tidak wujud dengan sendirinya tetapi memerlukan pencipta yang menciptakannya. Maka diterima pendapat mereka yang meyakini adanya pencipta.
Kumpulan al-Dahriyyah. Mereka berpendapat alam ini qadim kemudian ia sebagaimana yang dilihat sekarang. Mereka tidak menetapkan adanya pencipta bagi alam. Pegangan (iktikad) mereka dibina di atas apa yang mereka fahami (berdasarkan logik akal), sekali pun ada dalil yang menunjukkan pendapat mereka adalah tidak benar. Adapun ahli falsafah, mereka berpendapat alam ini qadim, kemudian mereka tetapkan baginya pencipta.
Ibn Rusyd pula berkata, sebagai membalas pendapat al-Ghazali: “Bahkan mazhab ahli falsafah boleh difahami daripada syahid (benda yang disaksikan) lebih banyak dari dua mazhab tadi semua sekali”. Kemudian dia berkata pula: “Alam ini bersifat baru daripada pembuat (pencipta) yang bersifat qadim, maka sesiapa yang perbuatannya qadim maka dia adalah qadim. (Maka dikatakan): “Alam ini bersifat baru daripada pencipta yang sentiasa bersifat qadim”.
Demikian hujah al-Mutakallimin dalam menetapkan bahawa alam ini adalah qadim. Penetapan atau pandangan inilah yang dibantah oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam pelbagai tulisannya. Berikut dikemukakan lima daripadanya:
1. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Maka renungilah wahai orang yang diberi petunjuk oleh Allah percanggahan yang besar ini yang membawa kepada jalan yang rosak yang telah dilalui oleh Ibnu Sina dan pengikut-pengikutnya dalam menetapkan wajib wujudnya (alam bersama zat Allah). Ahli kajian mereka sendiri mengakui bahawa tiada sebarang dalil untuk menetapkan wujud yang wajib dan tidak mungkin juga dari sudut maksud lain. Sudah maklum bahawa perkara ini berada di kemuncak kerosakan.
Ini kerana sesungguhnya membahagikan kewujudan kepada (1) wajib wujud yang qadim lagi azali dan (2) wujud yang mungkin baru (diciptakan) selepas sebelumnya tidak wujud, (pembahagian seperti ini adalah kerosakan) yang sudah sedia maklum diketahui oleh semua orang yang berakal lagi awam.
2. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Hujah ini menunjukkan bahawa selain Allah semuanya bersifat baru, ia wujud setelah asalnya ia tiada dan bahawasanya Allah Subhanahu wa Ta'ala Dialah Pencipta bagi setiap sesuatu yang asalnya tiada. Maha Suci Allah, hanya Dia sahaja bersifat baqa' (kekal) dan qidam (sedia kala) dan semestinyalah apa yang selain-Nya bersifat baru kerana asalnya tiada. Dan ini adalah satu kalam Arabi (penjelasan dalam bahasa Arab yang mudah, lazim lagi nyata).
3. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Ahli-ahli falsafah menjadikan perkara ini satu hujah tentang sifat qidam pada alam, maka mereka berkata: “Kejadian yang berlaku tanpa sebab adalah kejadian yang tak mungkin, maka mestilah ia bersifat qadim dan terbit dari sesuatu yang wajib pada zatnya.” (Ibn Taimiyyah mengulas): “Mereka ini lebih sesat daripada puak al-Mu’tazilah dari pelbagai sudut.”
4. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
Perkara seperti ini adalah di antara perkara dasar yang sangat besar yang masih dikelirui oleh ketua-ketua pengkaji ahli falsafah dan ahli kalam. Sesiapa yang melalui jalan Nubuwwah yang mulia (dalam memahami masalah ini) nescaya tahulah dia bahawa akal yang sihat pasti bertepatan dengan dalil wahyu yang sahih. ……Dan bahawasanya Allah Dia-lah pencipta bagi tiap sesuatu, Dia-lah Tuhan dan Pemiliknya. Dan tidak menjadikan bersama Allah sesuatu yang juga bersifat qadim, bahkan semua perkara yang selain Allah adalah baru setelah asalnya tiada.
5. Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah:
…apa yang diperkatakan oleh al-Kitab (al-Qur’an) dan Rasul-rasul adalah, bahawa Allah pencipta setiap sesuatu. Apa yang selain Allah sama ada tempat peredaran bintang di langit, para malaikat dan sebagainya adalah makhluk yang bersifat baru wujudnya selepas asalnya ia tiada. Ia didahului dengan sifat tiada dan tiadalah bersama Allah sesuatu pun yang bersifat qadim di alam ini tanpa mengira ia tempat peredaran bintang di langit mahu pun para malaikat. Sama ada ia dinamakan secara logik pemikiran manusia atau pada zat benda itu sendiri atau pun tidak dinamakan (langsung).
Demikian beberapa nukilan kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang menerangkan rosaknya pandangan sebahagian al-Mutakallimin bahawa “Alam ini makhluk dan ia juga qadim serta lazimlah ia bersama sifat Allah dengan kelaziman yang azali.” Kalau diperhatikan, nescaya ditemui bantahan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah itu di lebih seratus tempat dari bukunya. Bahkan ia berjilid-jilid tebalnya.
Satu perkara yang sangat menghairankan ialah terdapat beberapa kitab yang menyandarkan pandangan sesat ini kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Beliau dituduh berkata: “Alam ini bersifatqadim dan wajiblah ia wujud bersama Zat Allah.” Ini adalah fitnah yang dapat ditolak dengan dua cara:
Dengan merujuk kepada kitab-kitab Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang secara terang lagi nyata mendustakan pandangan tersebut.
Dengan merujuk kepada sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
لاَ تَجُوزُ شَهَادَةُ خَائِنٍ وَلاَ خَائِنَةٍ وَلاَ زَانٍ وَلاَ زَانِيَةٍ وَلاَ ذِي غِمْرٍ عَلَى أَخِيهِ.
Tidak diperbolehkan saksi orang yang khianat sama ada lelaki atau perempuan, tidak juga daripada orang yang berzina sama ada lelaki atau perempuan, dan tidak juga saksi daripada orang yang iri hati terhadap saudaranya.
Maksud (ذي غمر) ialah iri hari, iaitu iri hati yang menyebabkan penolakan kepada kebenaran sekali pun jelas terpampang di hadapan mata. Demikianlah sikap musuh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, mereka mengetahui bahawa beliau berulang kali dalam pelbagai kitabnya membantah pandangan (atau penetapan) bahawa alam ini adalah qidam. Akan tetapi mereka tetap memfitnah beliau dengan pandangan tersebut!
Menarik untuk diperbandingkan, orang-orang yang iri hati kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah melemparkan fitnah Qidam al-‘Alam terhadap beliau tetapi mendiamkan pula tokoh-tokoh sealiran dengan mereka yang sememangnya berpandangan sedemikian. Salah seorang daripada tokoh yang dimaksudkan ialah Imam al-Fakr al-Razi. Beliau menyatakan dalam Syarh Isyarat Ibn Sina:
Tidak berlaku kufur kepada sesiapa yang mengatakan alam ini bersifat qadim mengikut cara ahli falsafah di samping menetapkan adanya pencipta. Alam ini makhluk yang bersifat qadim, satu sifat yang sememangnya sama dengan zat Allah, bahkan mereka tidak menganggap ianya di antara permasalahan ilmu tauhid selagi mana semua pihak bersepakat mengatakan bahawa Allah – hanya Dia-lah – pencipta bagi tiap sesuatu. Adakah kamu menyesatkannya atau mengkafirkannya?
Beliau menyatakan lagi dalam Syarh Isyarat Ibn Sina, jld. 1, ms. 42-43
Ada pun golongan yang mengatakan bahawa yang wajib wujud itu hanya satu, mereka berpecah kepada dua pendapat. Pertama: Di kalangan mereka ada yang mengatakan bahawa Allah tidaklah Dia dikira sebagai pembuat sejak dari azali, kemudian jadilah Dia pembuat pada perkara masih wujud. Kedua: Sesungguhnya Dia sejak dari azali lagi dikira pembuat. Mereka adalah golongan falsafah.
Kemudian dia (Imam al-Fakr al-Razi) mengatakan selepas beberapa baris: “Maka sabitlah bahawa tiada kaitan antara masalah qidam dan kejadian baru dengan masalah tauhid”.
Imam al-Fakr al-Razi mengakui bahawa tiada hubung kait antara sifat qidam pada alam dan segala kejadian yang baharu – selepas mana dia menetapkan bahawa Allah sebagai pencipta alam – dengan persoalan tauhid. Maka apakah pandangan kamu wahai sekalian orang yang membuat kajian perkara ini pada zaman sekarang? Perlu diketahui bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyanggah pendapat Imam al-Fakr al-Razi dengan pelbagai cara dan mentarjihkan yang sahih, tetapi saya pindahkan untuk anda semua pandangan (mereka) dalam hal ini agar anda tahu bahawa umat manusia – pada zaman dahulu hingga zaman seterusnya – tidak mengetahui pokok pangkal perbahasan masalah ini. Hanya Allah yang memberi petunjuk.
Dengan ini nyatalah kepada anda, wahai orang yang mencari kebenaran, dengan hujah yang boleh mengubati, bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah telah difitnah dengan dakwaan palsu yang sengaja diada-adakan, pendapat-pendapat yang dia tidak pernah mengatakannya dalam masalah sifat qidam pada alam. Bahkan saya tidak tahu seorang pun selain beliau yang bersungguh-sungguh menentang dan menyanggah pendapat ini (bahawa alam bersifat qadim). Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang luas.