RSS Feeds

Isnin, 23 November 2009

Hukum Hakam Qasor & Jamak


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Haji yang Mabrur, Sa'i kami sa'i yang masykur, dan dosa kami dosa yang diampuni, Ya Rabbal a'lamin. Bismillah Ala Barakatillah.

Tidak dinafikan bahawa masih ramai orang yang keliru dalam topic yang saya bawakan ini. Topic yang merupakan rukhsoh (keringanan) kepada umat islam dalam beberapa keadaan tertentu. Ianya satu bukti jelas bahawa islam adalah agama yang mudah. Bukti bahawa disana tiada alasan untuk seseorang itu tidak melaksakan perintah-perintah tuhan. "Bertakwalah kepada Allah dengan kadar yang termampu".


Saya pasti bahawa perbincangan yang akan dibentangkan ini tidak akan dapat mencakupi semua permasalahan kerana permasalahan feqh ini lazimnya diringi dengan khilafiyah dikalangan fuqaha yang muktabar. Sebolehnya saya akan menerangkan permasalahan qasor dan jamak ini menurut persepktif al-Quran dan Sunnah tanpa membincangkan khilaf ulama dalam masalah, dan sedaya upaya kita mencari pendapat yang rajih Insyaallah. Dengan kita menyedari bahawa ilmu yang sebenarnya adalah disisi Allah akan tetapi dengan keikhlasan mencari yang hak berlandaskan al-kitab dan sunnah mudah-mudahan semua kita mendapat petunjukNYA.


Pensyariatan qasor ini adalah merujuk kepada surah an-Nisa ayat 101. Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Nabi; "Bukankah sekarang kita dalam keadaan aman tanpa takut?mengapakah kita qasarkan menjadi dua?" Nabi menjawab; ((Itu adalah sedekah daripada Allah kepada kamu maka terimalah sedekahan daripada Allah)). Hukum qasar adalah sunnah muakkad samada dalam keadaan aman mahupun takut. Ini adalah pendapat jumhur fuqaha, adapun Hanafiah melihat ianya suatu kewajipan jika datang sebab yang membolehkan seseorang melakukan qasor. Qasor dalam solat ini tidak boleh dilakukan kecuali bagi orang yang musafir sahaja. Adapun jamak dalam solat maka diharuskan samada ketika musafir mahupun tidak, dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Solat qasor hanya dilakukan bagi solat yang bilangannya 4 rakaat sahaja (Zohor, Asar & Isyak)


Beberapa maklumat penting tentang Qasor;

1) Jika seseorang bermusafir dibolehkan baginya mengqosorkan solat 4 kepada 2 rakaat dan boleh juga baginya menjamakkan solat qosor itu (Zohor&Asar / Maghrib&Isyak) sekiranya perlu sehinggalah dia selesai daripada permusafirannya itu. Daripada Aisyah ummul mukminin berkata; "Pensyariatan pertama solat adalah 2 rakaat, maka syarak mempersetujui solat musafir (2 rakaat) dan disempurnakan (4 rakaat) solat bagi orang yang bermukim".


2) Setiap perkara yang berkaitan dengan musafir maka ianya berkait rapat dengan hukum-hakam musafir iaitu; solat qasor, jamak, berbuka puasa, dan menyapu di atas khuff (stoken daripada kulit).


3) Seseorang musafir akan bermula hukum keharusan qasar dan jamak jika telah meninggalkan kampungnya atau qariyahnya. dan yang rajih ialah tiada had tertentu (jarak perjalannan) untuk di anggap sebagai musafir, bahkan hadnya ialah uruf. Jika menurut uruf (pandangan umum) jarak perjalanan seseorang itu dianggap sebagai musafir maka ia adalah musafir. Sebahagian ulama menetapkan bahawa jarak yang dianggap sebagai musafir ialah 83 KM dan keatas iaitu 2 marhalah.


4) Jika seseorang yang bermusafir solat dibelakang orang yang bermukim (tidak bermusafir) hendaklah dia tidak mengqasarkan solatnya. Jika orang yang bermukim menjadi makmum kepada imam yang bermusafir maka sunnahnya ialah si imam mengqasarkan solatnya dan makmum pula (orang mukim) menyempurnakan solatnya kepada 4 rakaat. Sunnah juga bagi si imam memaklumkan hal tersebut kepada makmum yang bermukim.


5) Yang sunnahnya ialah tidak melakukan solat sunat rawatib bagi orang yang bermusafir kecuali tahajjud, witir dan sunah qobliyyah subuh sahaja sepertimana datang perbuatan tersebut daripada nabi dalam hadis yang soheh. Adapun solat-solat sunnah lain umumnya maka ianya adalah dituntut samada dalam keadaan musafir ataupun tidak, seperti solat-solat yang ada sebab (solat wudu', jenazah, tahiyyah masjid, tawaf dll). Yang dibincangkan adalah berkaitan solat rawatib ketika musafir sahaja.


6) Hukum yang berkaitan dengan musafir (qasar, jamak, tidak berpuasa, sapu khuff) berterusan sekalipun kepada orang yang sentiasa dan selalu bermusafir seperti pemandu lori, pilot, pemandu keretapi dan sebagainya. Rukhsah (keringanan) ini tidak digugurkan daripada orang tersebut.


7) Jika si musafir berada dalam kapal terbang dan tiada tempat solat, maka hendaklah dia solat ditempatnya dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, kemudian membongkok sedikit untuk rukuk, duduk dibangkunya untuk duduk antara dua sujud dan membongkok semampunya bagi sujudnya. Berdiri adalah syarat sah solat, maka tidak sah bagi orang yang mampu berdiri tetapi solat dalam keadaan duduk! Rujuk fatwa Lajnah Daemah Wal Ifta'.


8) Si musafir yang menjadi makmum kepada orang yang bermukim di mana-mana masjid hendaklah dia tidak mengqasarkan solatnya kerana Nabi bersabda yang bermaksud: ((Hanyasanya dijadikan imam adalah supaya ia diikuti)). Jika jemaah dimasjid telah selesai maka sunnah dia mengqasarkan solatnya. Ibnu Abbas ditanya; "kenapakah jika kita solat dengan imam maka kita kena sembahyang 4 rakaat dan jika kita sembahyang sesama kita yang musafir maka kita solat 2 rakaat?" Jawab Ibnu Abbas; "Demikianlah sunnah"[1].


9) Orang yang melakukan solat qasar dan jamak takhir hendaklah dia melaksanakannya dengan tertib, iaitu mendahulukan solat Zohornya sebelum Asar dan mendahulukan solat Maghrib sebelum Isyak kerana Allah berfirman yang bermaksud: ((Sesungguhnya solat itu ke atas orang mukminin telah ditentukan tertib waktunya)). Sekalipun dalam mazhab Syafie mengharuskannya, tetapi pendapat jumhur lebih rajih (tertib), lebih selamat, dan kerana ianya keluar daripada khilaf.



Bermabit di Muzdalifah


Sekitar permasalahan jamak dalam solat;

1) Sunnah bagi orang yang melakukan solat jamak (Maghrib dan Isyak / Zohor dan Asar), melaungkan azan dan iqamah bagi tiap-tiap solat.


2) Dalam masalah afdhal (keutamaan) samada jamak takdim ataupun takhir ianya bergantung kepada keselesaan si musafir. Akan tetapi jika dalam perjalanan dan berhenti rehat, sunnahnya ialah melakukan jamak takdim jika telah masuk waktu Maghrib, jika dia beredar daripada tempat rehatnya sebelum masuk waktu maghrib maka sunnahnya ialah melakukan jamak takhir. Begitu juga, jika sebelum bergerak dari tempat rehat telah masuk waktu Zohor maka sunnahnya dia melakukan jamak takdim, jika dia bergerak sebelum masuk waktu Zohor maka sunnahnya dia melakukan jamak ta'khir (Zohor di bawa ke Asar).

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجمع بين صلاة الظهر والعصر إذا كان على ظهر سير، ويجمع بين المغرب والعشاء


Daripada Ibnu Abbas berkata; "Nabi menjamakkan solat Zohor dan Asar jika berada di atas tunggangan (dalam perjalanan) dan menjamakkan antara Maghrib dan Isyak" riwayat Bukhari.


كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا ارتحل قبل أن تزيغ الشمس أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل فجمع بينهما، فإذا زاغت الشمس قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب


Daripada Anas berkata; "Nabi Muhammad jika baginda bertolak sebelum gelincir matahari (masuk Zohor), maka baginda mengakhirkan Zohor kepada Asar kemudian berhenti turun dan menjamakkannya (jamak takhir), jika bertolak setelah gelincir matahari (masuk Zohor) solat Zohor dan kemudian bergerak". Muttafaq alaihi.


3) Dibolehkan menjamakkan solat (Zohor dan Asar / Maghrib dan Isyak) sahaja tanpa qasor bagi orang bermukim (tidak musafir). Ini di bolehkan jika orang tersebut sakit, perempuan yang mustadhoh (keluar darah fasid yang bukan haid), ketika hujan yang terlalu lebat, sejuk yang melampau, rebut yang kuat ataupun orang yang ketakutan samada ancaman terhadap dirinya, keluarganya mahupun hartanya [2].


4) Atas dasar menghilangkan kepayahan, maka seorang doctor dan pesakit yang melakukan pembedahan juga harus menjamakkan solat mereka (tanpa qasar) khususnya jika pembedahan itu berterusan melebihi 5 jam yang pasti akan habis waktu solat Zohor ataupun Maghrib sekiranya tidak dijamakkan. "Jadi permasalahan jamak dalam solat ini ianya berkait rapat dengan keperluan (hajat) seseorang bagi menghilangkan kesukaran"[3].


Hukum Jamak Solat Tanpa Sebab

Agama ini adalah mudah tetapi janganlah ianya dimudah-mudahkan sehingga menjadi rosak binasa. Sebab itu ulama menyatakan; "sesiapa yang sengaja mencari-cari rukhsah maka dia telah jadi zindiq". Nabi mengajar dan mengarahkan kita solat pada waktunya. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi;

عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال : « إنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم جمع بين الظّهر والعصر والمغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر » فقيل لابن عبّاس لم فعل ذلك قال : أراد أن لا يحرج أمّته .

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma katanya: Sesungguhnya baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam menjama’kan antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’ ketika di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan (tanpa sebab). Bila ditanyakan kepada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma: Mengapa baginda sallallahu alaihi wasallam melakukan sedemikian? Maka beliau menjawab: Baginda Nabi Muhammad tidak ingin menyusahkan umatnya.


Hadis ini para ulama tidak mengamalkannya sekalipun ianya soheh. Ianya hanya dilakukan sekali sahaja sepanjang hayat Nabi Muhammad. Sebab itulah jawapan Ibnu Abbas itu amat bersesuaian untuk menjadi sebab kepada keharusan perkara tersebut bagi hal-hal tertentu yang tidak dapat di elakkan. Contohnya doctor yang melakukan pembedahan selama 12 jam dan kepenatan sesudah itu maka bolehlah mereka ini beramal dengan hadis ini sebagai rukhsoh (keringanan).


Jumhur ulama iaitu Hanafiah, Malikiah , Syafieyah dan Hanabilah radhiyallahu anhum menyatakan bahawa tidak harus bagi seseorang yang tiada sebab yang disebutkan untuk melakukan solat secara jamak. Ini kerana hadis-hadis yang menerangkan bahawa baginda Nabi lebih banyak melakukan solat pada waktunya. Cuma pada waktu tertentu sahaja Nabi melaksanakan jama’ atau qasor solat. Sehingga disebutkan oleh Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu:


ما رأيت النّبيّ صلى الله عليه وسلم صلّى صلاة لغير ميقاتها إلاّ صلاتين جمع بين المغرب والعشاء بجمع » أي بمزدلفة "


Maksudnya: Tidak pernah aku melihat baginda Nabi Muhammad melaksanakan solat bukan pada waktunya melainkan dua waktu solat yang Baginda dirikan bukan pada waktunya iaitu solat Maghrib dan Isya’ yang didirikan secara Jamak ketika di Muzalifah.


Syeikh Ibn Uthaimin berkata; "Tidak halal bagi seseorang itu mengambil mudah dalam masalah jamak kerana Allah berfirman yang bermaksud; ((Sesungguhnya solat itu telah ditentukan kefardhuannya mengikut waktu))".



[1] Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad dan lihat masalah ini dalam Fatawa Lajnah Daemah Wal Ifta' jilid 8 soalan no 4373.

[2] Rujuk Mausu'ah al-Fiqhiyyah

[3] Lihat penjelasan Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin dalam kitab Majmuk Fatawa Wa Rasail ibn Utahimin jilid 15.


Khamis, 19 November 2009

Mari Berpuasa Sunat Arafah


Malaysia sudah mengisytiharkan bahawa raya haji tahun ini adalah pada 27 November. Bermakna 9 haribulan Zulhijjah ialah pada 26 November hari Khamis. Pada 9 Zulhijjah itulah hari Arafah walaupun kadang-kadang berlainan tarikh hari wukuf diantara Mekah dan Malaysia. Yang penting ialah, seruan kepada semua yang tidak melakukan haji tahun ini supaya kita berpuasa sunat. Ini kerana kelebihannya yang sangat besar seperti dijelaskan dalam entry yang lalu. Berpuasa pada hari 9 Zulhijjah merupakan puasa sunat yang paling afdhal.


Berpuasa ikut takwim masing-masing @ hari Arafah di Mekah?

Soalan ini mungkin yang sering berlegar di ruang kepala kita. Ini juga yang berlaku kepada saya dahulu. Kita bertambah pening jika hari wukuf di Arafah tidak bertepatan dengan tarikh kita di Malaysia ataupun Negara-negara lain. Adakah puasa sunat Arafah itu mengikut tarikh Mekah Arab Saudi ataupun Negara kita masing-masing? Terdapat ulama yang berpendapat bahawa hari Arafah adalah seragam diseluruh dunia kerana bumi Arafah itu satu dan hanya ada di Mekah.


Jika hari Arafah 9 Zulhijjah serupa dengan Negara kita, itu tiada masalah. Demikian juga jika 9 Zulhijjah di Mekah itu adalah 8 Zulhijjah di Negara kita, maka boleh sahaja kita berpuasa pada 8 & 9 Zulhijjah mengikut takwim Negara kita. Akan tetapi cukup bermasalah jika Malaysia mendahului Mekah! Bermakna pada 10 Zulhijjah (Idul Adha) di Malaysia bersamaan hari Arafah di Mekah. Bolehkah kita di Malaysia berpuasa? Sedangkan hari tersebut hari raya yang haram berpuasa dan kita berada di Malaysia?


Soalan kepada Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin.

Soalan; "Kami berpindah dengan sebab-sebab tertentu ke Negara Pakistan. Maka telah berlaku beberapa perubahan daripada waktu solat dan lain-lainnya. Aku ingin bertanya bahawa aku berkeinginan untuk berpuasa sunat hari Arafah, akan tetapi tarikh hijri tidak sama diantara Pakistan dan Mekah. Boleh jadi kami di Pakistan masih 8 Zulhijjah sedangkan Arab Saudi sudahpun 9 Zulhijjah. Adakah saya berpuasa pada 8 Zulhijjah yang menyamai Arab Saudi ataupun mengikut takwim Pakistan?


Jawapan al-Allamah Syeikh al-Uthaimin;

Alhamdulillah,,,perkara ini berasaskan kepada khilaf ulama dalam masalah; adakah anak bulan itu seragam di seluruh dunia ataupun ianya berbeza mengikut Negara yang terbit anak bulan? Pandangan yang benar ialah ianya berbeza mengikut Negara. Sebagai contoh jika anak bulan dilihat telah muncul di Mekah dan pada hari ini adalah hari 9 Zulhijjah, sedangkan anak bulan dilihat di Negara lain sehari sebelum itu (mekah), sudah pasti hari Arafah bagi mereka adalah menyamai hari 10 Zulhijjah di Mekah. Maka sesungguhnya haram bagi mereka itu berpuasa pada hari tersebut kerana ianya adalah hari raya haji. Demikian juga jika ditakdirkan anak bulan muncul lewat di Mekah, hari Arafah di Mekah menyamai 8 Zulhijjah di Negara lain, maka hendaklah mereka berpuasa sunat Arafah pada 9 Zulhijjah mengikut takwim mereka yang menyamai 10 Zulhijjah di Mekah ketika itu. Ini adalah pandangan rajah (tepat) kerana Nabi bersabda yang bermaksud; (Jika kamu lihatnya (anak bulan) maka berpuasalah, dan jika kamu lihatnya maka berbukalah). Mereka yang tidak nampak anak bulan di tempat mereka sudah pasti tidak melihatnya sepertimana manusia berijma' mengiktiraf bahawa terbit dan terbenamnya matahari adalah mengikut tempat masing-masing maka demikian juga takwim bulanan ianya sama seperti waktu harian. Wallahu A'lam.

Sila rujuk Majmuk Fatawa ibnu Uthaimin; 20.


Isnin, 16 November 2009

Hari Arafah & Hari Nahar



Penulis Tamu: Ust Lukman MS.


Bismillah, alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu ala Rosulillah;

Beberapa hari lagi kita akan bertemu dengan hari yang agung, hari yang mendapat penyaksian Allah. itulah hari Arafah. kemudian, datang pula hari raya Adha, hari Haji Akbar @ hari Nahar. Bagi tiap-tiap hari tersebut kedapatan hukum-hukumnya yang tertentu. Kita akan menyentuh beberapa hukum yang berkaitan dengan kedua-dua hari ini agar kita dapat mendepaninya dengan ilmu, mendapat petunjuk dan hidayah Allah.


Diantara hukum yang paling penting adalah yang berkaitan dengan ibadah puasa pada hari arafah. Terdapat pelbagai faedah dan keistimewaan berpuasa. Maksud firman Allah menjelaskan kelebihan puasa sunat: “…Barangsiapa yang melakukan kebajikan dengan kerelaan hati, maka itu adalah lebih baik baginya…” [al-Baqarah 2:184]. “…Lakukanlah kebaikan, semoga kamu beroleh kejayaan.” [al-Haj 22:77]. Setiap insan sangat memerlukan amalan soleh sebagai mendekatkan diri kepada Allah. Amalan soleh ini pula hendaklah dilakukan atas dua tujuan:


1- Mendekatkan diri kepada Allah.

Imam Ahmad berkata: “Puasa adalah ibadah sunat yang paling baik kerana ia tidak didatangi riya`. Seperti yang diketahui, riya` akan memusnahkan amalan dan mengheret pelakunya ke dalam neraka (semoga kita dipelihara). Kerana itu kita dituntut melakukannya dengan penuh keikhlasan.” Firman Allah: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus…” [al-Bayyinah 98:5].


Sabda Nabi: “Kata Allah: Aku maha kaya daripada sebarang kesyirikan. Barangsiapa yang melakukan amalan dengan mensyirikkan Aku, maka Aku berlepas diri darinya dan apa yang dipersekutukannya.” [Ahmad]. Sabda Nabi lagi: “Ya Allah! Haji yang tidak mengandungi riya`dan sum`ah”. [ibnu Majah. al-Bani mensahihkan dalam Sahih al-Jami`, no: 1313].


Umumnya, ibadah puasa dapat menjauhkan kita dari api neraka. Sabda Nabi: “Tiada seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah melainkan dijauhkan mukanya dari api neraka 70 tahun.” [Muttafaq alaih]. Banyaknya puasa adalah tanda seseorang itu dikasihi Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisiNya. Orang yang dikasihi Allah juga akan mendapat tempat di sisi penghuni bumi dan langit. Sabda Nabi: “Allah berfirman: "Senantiasalah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu sehingga Aku mengasihinya.”


2- Menampung kekurangan pada amalan.

Setiap insan tidak sunyi dari kesalahan, kekurangan dan maksiat. Kerana itu disyariatkan amalan-amalan sunat bagi menampung kecacatan amalan fardhu. Sabda Nabi: “Amalan sunat akan meyempurnakan kekurangan amalan fardhu pada hari kiamat.” [Ahmad dan Abu Daud dan lain-lain. Ahmad Syakir mensahihkan dalam Tahqiq Musnad]. Maka kerana itu, seorang muslim hendaklah berusaha menambah pahala dan pahala tidak akan datang melainkan kita melakukan amalan yang wajib dan memperbanyakkan amalan sunat. Antara amalan sunat tersebut adalah puasa hari Arafah.


Kelebihan Puasa Hari Arafah.

Puasa Arafah adalah puasa pada 9 Zulhijjah. Ulama telah bersepakat bahawa puasa Arafah adalah puasa yang paling afdhal berbanding hari-hari yang lain. Sabda Nabi: “Aku berharap daripada Allah dengan puasa hari Arafah, akan dihapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” [Muslim]. Puasa Arafah mengangkat darjat, memperbanyak kebaikan dan menghapus dosa.


Dosa Apakah Yang Dihapuskan?

Dosa yang dimaksudkan di dalam hadis adalah selain dosa besar. Dosa kecil pula akan terhapus jika kita meninggalkan dosa besar. Firman Allah: “Jika kamu meninggalkan dosa-dosa besar yang dilarang keatas kamu, nescaya kami menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kecil).” [an-Nisa`4:31]. Sabda Nabi: “Solat lima waktu, antara dua Jumaat dan antara dua Ramadhan, menghapuskan dosa diantara keduanya, jika dia meninggalkan dosa-dosa besar.” [Muslim].


Puasa Arafah untuk yang tidak melaksanakan haji sahaja ;

Disunatkan puasa hari Arafah bagi orang yang tidak melakukan haji. Manakala jemaah haji hendaklah memberi perhatian kepada ibadah dan doa, tidak menyibukkan diri dengan makan dan minum sehingga merugikan masanya. Dari Abi Hurairah: “Rasulullah melarang puasa hari Arafah di Arafah.” [Ahmad dan ibnu Majah. Kesahihannya dipertikaikan]. Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah dengan makna yang sama. Disokong dengan hadis Bukhari dan Muslim: “Orang ramai mengadu berkenaan puasa Nabi pada hari Arafah, maka dikirimkan kepada Nabi satu mangkuk susu. Baginda minum susu tersebut pada waktu Dhuha hari Arafah dan orang ramai menyaksikannya.” [Bukhari dan Muslim]. Maka dengan itu, Nabi telah menghilangkan keraguan berkenaan hukum puasa Arafah bagi yang melakukan haji. Kata sebahagian ulama: larangan dalam hadis di atas membawa maksud haram. Kata ibn al-Qayyim: “Antara petunjuk Nabi adalah tidak berpuasa pada hari Arafah di Arafah.”


Kata al-Mundziri: “Ulama berkhilaf berkenaan puasa hari Arafah di Arafah. Kata ibnu Umar: “Nabi tidak berpuasa, Abu Bakar, Umar dan Usman juga tidak berpuasa. Maka aku juga tidak berpuasa.” Abdul Razzaq menyebutnya dengan lafaz: “Aku mengerjakan haji bersama Umar dan dia tidak berpuasa. begitu juga Usman. Maka aku juga tidak berpuasa, tidak menyuruh dan tidak menegahnya.” Kata `Ato`: “Barangsiapa yang tidak berpuasa hari Arafah dengan tujuan menjadi lebih bertenaga untuk berdoa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa.” [Musannaf Abdul Razzaq 4:284,285].

Kata as-Sa`ati dalam al-Fath ar-Rabbani: “Antara yang berpendapat dengan sunat tidak berpuasa bagi yang berada di arafah adalah para imam; Abu Hanifah, Malik, as-Syafi`e, Sufian al-Thauri dan jumhur ulama. Ia juga adalah pendapat Abu Bakar, Umar, Usman dan ibnu Umar. Kata as-Sa`ati: “Pendapat ini yang paling adil disisiku.”


Puasa Sunat Bagi Orang Yang Wajib Qadha`:

Ulama`berselisih pendapat tentang hukum puasa sunat sebelum seseorang selesai menqadha`puasa ramadhan;

1) Mazhab Hanafi mengatakan harus dan tidak makruh kerana puasa qadha`tidak wajib dilakukan dengan segera. Kata ibnu Abidin: “Sekiranya ia wajib dengan segera maka pasti hukum puasa sunat adalah makruh kerana ia telah melewatkan yang wajib dalam waktunya yang sempit.”

2) Mazhab Maliki dan Syafi`e melihat keharusannya beserta makruh kerana ia sudah pasti melewatkan puasa wajib. Kata ad-Dasuqi: dimakruhkan puasa sunat bagi orang yang masih belum menyelesaikan puasa wajib seperti nazar, qadha`dan kaffarah sama ada puasa sunat itu muakkad ataupun tidak, seperti puasa `Asyura`dan 9 Zulhijjah mengikut pendapat yang kuat.

3) Mazhab Hambali mengatakan haram puasa sunat sebelum puasa qadha` Ramadhan dan puasa sunat itu dikira tidak sah, walaupun waktu qadha`masih panjang. maka hendaklah dimulakan dengan qadha`sehingga selesai kemudian nazar (jika ada) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawasanya Nabi bersabda: Barangsiapa yang masih belum menqadha`puasa Ramadhan, tidak akan diterima daripadanya puasa sunat sehingga dia berpuasa qadha`.” [Ahmad]. Hukum ini juga berdasarkan qias kepada haji iaitu tidak boleh melakukan haji sunat atau untuk orang lain sebelum dia sendiri melakukan haji yang wajib. [Mausuah Fiqhiah 28:100].

Lajnah Daemah Lil Buhus Wal Ifta' ditanya: “Adakah harus seseorang itu menghimpunkan dua niat dalam satu amalan? Contohnya dengan menghimpunkan antara puasa qadha`dan puasa hari Arafah; yang pertamanya wajib dan keduanya pula adalah sunat? Jawapan Lajnah: “Tidak mengapa berpuasa qadha`pada hari Arafah dan dia tidak mendapat kelebihan puasa hari Arafah disebabkan ketiadaan dalil. Yang paling afdhal adalah menyelesaikan puasa qadha`pada selain hari Arafah, bagi mendapat kedua-dua fadhilat; fadhilat qadha`dan fadhilat puasa hari Arafah.” [10: 397,398].

Padang Arafah tahun 1950M


Hari Arafah Dan Hari Jumaat.

Sekiranya hari Arafah (9 zulhijjah) atau `Asyura` (10 zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat, harus berpuasa pada hari Jumaat tersebut. Larangan berpuasa pada hari Jumaat yang disebut didalam hadis adalah sekiranya puasa itu kerana dan pada hari Jumaat sahaja tanpa ada sebab yang lain. Bagi hari Arafah, adalah lebik afdhal kita berpuasa sehari sebelum hari Jumaat tersebut sebagai jalan untuk beramal dengan kedua-dua hadis. Sebaliknya kita dilarang untuk berpuasa sehari selepas hari Arafah kerana hari tersebut adalah hari raya. Hari raya adalah hari yang diharamkan berpuasa sama ada bagi jemaah haji atau bukan berdasarkan hadis Abi Said bahawa Rasulullah melarang berpuasa pada dua hari raya; raya Fitri dan raya Korban. [Muttafaq alaih].


Abu Ubaid, hamba kepada ibn al-Azhar meriwayatkan: “Aku bersama Umar pada hari raya. Umar datang bersolat kemudian berkhutbah: "Sesungguhnya Nabi melarang berpuasa pada dua hari ini; hari kamu berbuka dari puasa dan hari kamu makan dari binatang sembelihan.” [Bukhari dan Muslim]. Larangan di sini bermaksud haram.


Ulama bersepakat tentang pengharaman berpuasa pada dua hari raya. Ibnu Hazam menukilkan ijma`ini. [Maratib al-Ijma`ms:72]. Ibnu Hubairah dan ibnu Qudamah pula menambah: “Pengharaman ini merangkumi puasa fardhu, sunat, qadha` nazar dan kaffarah.” [ al-Ifsah 3:174].


Begitu juga dengan puasa sunat hari Isnin, Khamis dan hari Putih (13,14 dan 15 pada setiap bulan) sekiranya jatuh pada hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) berdasarkan hadis Nubaisyah al-Hudzali katanya: “Kata Rasulullah: Hari Tasyriq adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” [Bukhari, Muslim dan lain-lain]. Ia tidak diberi kelonggaran untuk berpuasa melainkan untuk jemaah haji (Tamattuk dan Qiran) yang tidak mampu membeli binatang sembelihan. Mereka hendaklah berpuasa 10 hari; tiga hari ketika melakukan haji dan tujuh hari lagi apabila telah pulang ke tempat masing-masing berdasarkan hadis Aisyah dan ibnu Umar: “Tiada kelonggaran untuk berpuasa melainkan kepada jemaah haji yang tidak mempunyai binatang sembelihan.” [Bukhari].


Solat Raya Dan Solat Jumaat.

Sabda Nabi: “Telah berhimpun dua hari raya pada hari ini (Jumaat). Maka dibolehkan untuk tidak hadir solat Jumaat. Walaubagaimanapun kami akan mengerjakan kedua-duanya (solat sunat Idul Adha dan Jumaat).” Inilah sunnah Nabi dan yang afdhal kerana solat raya adalah fardhu kifayah bahkan fardhu ain pada pendapat sebahagian ulama kerana Nabi memerintahkan perempuan yang telah baligh dan haidh untuk hadir menyaksikan solat raya tanpa mereka masuk ke tempat solat. Kata ulama: “Inilah dalil kewajipannya pada setiap individu.” Adapun jumhur ulama mengatakan ianya adalah fardhu kifayah.


Pendapat yang sahih dalam masalah ini; barangsiapa yang solat raya, maka tidak wajib baginya solat Jumaat. Sekiranya dia tidak hadir solat raya disebabkan keuzuran yang tertentu, maka wajib baginya solat Jumaat. Sementara para imam, mereka wajib mengerjakan kedua-duanya sekali kerana solat tidak dapat didirikan tanpa mereka. Wallahu a`lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...