Isnin, 2009 November 23

Hukum Hakam Qasor & Jamak


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Haji yang Mabrur, Sa'i kami sa'i yang masykur, dan dosa kami dosa yang diampuni, Ya Rabbal a'lamin. Bismillah Ala Barakatillah.

Tidak dinafikan bahawa masih ramai orang yang keliru dalam topic yang saya bawakan ini. Topic yang merupakan rukhsoh (keringanan) kepada umat islam dalam beberapa keadaan tertentu. Ianya satu bukti jelas bahawa islam adalah agama yang mudah. Bukti bahawa disana tiada alasan untuk seseorang itu tidak melaksakan perintah-perintah tuhan. "Bertakwalah kepada Allah dengan kadar yang termampu".


Saya pasti bahawa perbincangan yang akan dibentangkan ini tidak akan dapat mencakupi semua permasalahan kerana permasalahan feqh ini lazimnya diringi dengan khilafiyah dikalangan fuqaha yang muktabar. Sebolehnya saya akan menerangkan permasalahan qasor dan jamak ini menurut persepktif al-Quran dan Sunnah tanpa membincangkan khilaf ulama dalam masalah, dan sedaya upaya kita mencari pendapat yang rajih Insyaallah. Dengan kita menyedari bahawa ilmu yang sebenarnya adalah disisi Allah akan tetapi dengan keikhlasan mencari yang hak berlandaskan al-kitab dan sunnah mudah-mudahan semua kita mendapat petunjukNYA.


Pensyariatan qasor ini adalah merujuk kepada surah an-Nisa ayat 101. Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Nabi; "Bukankah sekarang kita dalam keadaan aman tanpa takut?mengapakah kita qasarkan menjadi dua?" Nabi menjawab; ((Itu adalah sedekah daripada Allah kepada kamu maka terimalah sedekahan daripada Allah)). Hukum qasar adalah sunnah muakkad samada dalam keadaan aman mahupun takut. Ini adalah pendapat jumhur fuqaha, adapun Hanafiah melihat ianya suatu kewajipan jika datang sebab yang membolehkan seseorang melakukan qasor. Qasor dalam solat ini tidak boleh dilakukan kecuali bagi orang yang musafir sahaja. Adapun jamak dalam solat maka diharuskan samada ketika musafir mahupun tidak, dengan syarat-syarat yang akan dijelaskan. Solat qasor hanya dilakukan bagi solat yang bilangannya 4 rakaat sahaja (Zohor, Asar & Isyak)


Beberapa maklumat penting tentang Qasor;

1) Jika seseorang bermusafir dibolehkan baginya mengqosorkan solat 4 kepada 2 rakaat dan boleh juga baginya menjamakkan solat qosor itu (Zohor&Asar / Maghrib&Isyak) sekiranya perlu sehinggalah dia selesai daripada permusafirannya itu. Daripada Aisyah ummul mukminin berkata; "Pensyariatan pertama solat adalah 2 rakaat, maka syarak mempersetujui solat musafir (2 rakaat) dan disempurnakan (4 rakaat) solat bagi orang yang bermukim".


2) Setiap perkara yang berkaitan dengan musafir maka ianya berkait rapat dengan hukum-hakam musafir iaitu; solat qasor, jamak, berbuka puasa, dan menyapu di atas khuff (stoken daripada kulit).


3) Seseorang musafir akan bermula hukum keharusan qasar dan jamak jika telah meninggalkan kampungnya atau qariyahnya. dan yang rajih ialah tiada had tertentu (jarak perjalannan) untuk di anggap sebagai musafir, bahkan hadnya ialah uruf. Jika menurut uruf (pandangan umum) jarak perjalanan seseorang itu dianggap sebagai musafir maka ia adalah musafir. Sebahagian ulama menetapkan bahawa jarak yang dianggap sebagai musafir ialah 83 KM dan keatas iaitu 2 marhalah.


4) Jika seseorang yang bermusafir solat dibelakang orang yang bermukim (tidak bermusafir) hendaklah dia tidak mengqasarkan solatnya. Jika orang yang bermukim menjadi makmum kepada imam yang bermusafir maka sunnahnya ialah si imam mengqasarkan solatnya dan makmum pula (orang mukim) menyempurnakan solatnya kepada 4 rakaat. Sunnah juga bagi si imam memaklumkan hal tersebut kepada makmum yang bermukim.


5) Yang sunnahnya ialah tidak melakukan solat sunat rawatib bagi orang yang bermusafir kecuali tahajjud, witir dan sunah qobliyyah subuh sahaja sepertimana datang perbuatan tersebut daripada nabi dalam hadis yang soheh. Adapun solat-solat sunnah lain umumnya maka ianya adalah dituntut samada dalam keadaan musafir ataupun tidak, seperti solat-solat yang ada sebab (solat wudu', jenazah, tahiyyah masjid, tawaf dll). Yang dibincangkan adalah berkaitan solat rawatib ketika musafir sahaja.


6) Hukum yang berkaitan dengan musafir (qasar, jamak, tidak berpuasa, sapu khuff) berterusan sekalipun kepada orang yang sentiasa dan selalu bermusafir seperti pemandu lori, pilot, pemandu keretapi dan sebagainya. Rukhsah (keringanan) ini tidak digugurkan daripada orang tersebut.


7) Jika si musafir berada dalam kapal terbang dan tiada tempat solat, maka hendaklah dia solat ditempatnya dalam keadaan berdiri dan mengadap kiblat, kemudian membongkok sedikit untuk rukuk, duduk dibangkunya untuk duduk antara dua sujud dan membongkok semampunya bagi sujudnya. Berdiri adalah syarat sah solat, maka tidak sah bagi orang yang mampu berdiri tetapi solat dalam keadaan duduk! Rujuk fatwa Lajnah Daemah Wal Ifta'.


8) Si musafir yang menjadi makmum kepada orang yang bermukim di mana-mana masjid hendaklah dia tidak mengqasarkan solatnya kerana Nabi bersabda yang bermaksud: ((Hanyasanya dijadikan imam adalah supaya ia diikuti)). Jika jemaah dimasjid telah selesai maka sunnah dia mengqasarkan solatnya. Ibnu Abbas ditanya; "kenapakah jika kita solat dengan imam maka kita kena sembahyang 4 rakaat dan jika kita sembahyang sesama kita yang musafir maka kita solat 2 rakaat?" Jawab Ibnu Abbas; "Demikianlah sunnah"[1].


9) Orang yang melakukan solat qasar dan jamak takhir hendaklah dia melaksanakannya dengan tertib, iaitu mendahulukan solat Zohornya sebelum Asar dan mendahulukan solat Maghrib sebelum Isyak kerana Allah berfirman yang bermaksud: ((Sesungguhnya solat itu ke atas orang mukminin telah ditentukan tertib waktunya)). Sekalipun dalam mazhab Syafie mengharuskannya, tetapi pendapat jumhur lebih rajih (tertib), lebih selamat, dan kerana ianya keluar daripada khilaf.



Bermabit di Muzdalifah


Sekitar permasalahan jamak dalam solat;

1) Sunnah bagi orang yang melakukan solat jamak (Maghrib dan Isyak / Zohor dan Asar), melaungkan azan dan iqamah bagi tiap-tiap solat.


2) Dalam masalah afdhal (keutamaan) samada jamak takdim ataupun takhir ianya bergantung kepada keselesaan si musafir. Akan tetapi jika dalam perjalanan dan berhenti rehat, sunnahnya ialah melakukan jamak takdim jika telah masuk waktu Maghrib, jika dia beredar daripada tempat rehatnya sebelum masuk waktu maghrib maka sunnahnya ialah melakukan jamak takhir. Begitu juga, jika sebelum bergerak dari tempat rehat telah masuk waktu Zohor maka sunnahnya dia melakukan jamak takdim, jika dia bergerak sebelum masuk waktu Zohor maka sunnahnya dia melakukan jamak ta'khir (Zohor di bawa ke Asar).

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يجمع بين صلاة الظهر والعصر إذا كان على ظهر سير، ويجمع بين المغرب والعشاء


Daripada Ibnu Abbas berkata; "Nabi menjamakkan solat Zohor dan Asar jika berada di atas tunggangan (dalam perjalanan) dan menjamakkan antara Maghrib dan Isyak" riwayat Bukhari.


كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا ارتحل قبل أن تزيغ الشمس أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل فجمع بينهما، فإذا زاغت الشمس قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب


Daripada Anas berkata; "Nabi Muhammad jika baginda bertolak sebelum gelincir matahari (masuk Zohor), maka baginda mengakhirkan Zohor kepada Asar kemudian berhenti turun dan menjamakkannya (jamak takhir), jika bertolak setelah gelincir matahari (masuk Zohor) solat Zohor dan kemudian bergerak". Muttafaq alaihi.


3) Dibolehkan menjamakkan solat (Zohor dan Asar / Maghrib dan Isyak) sahaja tanpa qasor bagi orang bermukim (tidak musafir). Ini di bolehkan jika orang tersebut sakit, perempuan yang mustadhoh (keluar darah fasid yang bukan haid), ketika hujan yang terlalu lebat, sejuk yang melampau, rebut yang kuat ataupun orang yang ketakutan samada ancaman terhadap dirinya, keluarganya mahupun hartanya [2].


4) Atas dasar menghilangkan kepayahan, maka seorang doctor dan pesakit yang melakukan pembedahan juga harus menjamakkan solat mereka (tanpa qasar) khususnya jika pembedahan itu berterusan melebihi 5 jam yang pasti akan habis waktu solat Zohor ataupun Maghrib sekiranya tidak dijamakkan. "Jadi permasalahan jamak dalam solat ini ianya berkait rapat dengan keperluan (hajat) seseorang bagi menghilangkan kesukaran"[3].


Hukum Jamak Solat Tanpa Sebab

Agama ini adalah mudah tetapi janganlah ianya dimudah-mudahkan sehingga menjadi rosak binasa. Sebab itu ulama menyatakan; "sesiapa yang sengaja mencari-cari rukhsah maka dia telah jadi zindiq". Nabi mengajar dan mengarahkan kita solat pada waktunya. Adapun hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi;

عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال : « إنّ النّبيّ صلى الله عليه وسلم جمع بين الظّهر والعصر والمغرب والعشاء بالمدينة من غير خوف ولا مطر » فقيل لابن عبّاس لم فعل ذلك قال : أراد أن لا يحرج أمّته .

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma katanya: Sesungguhnya baginda Nabi sallallahu alaihi wasallam menjama’kan antara Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’ ketika di Madinah tanpa sebab ketakutan atau hujan (tanpa sebab). Bila ditanyakan kepada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma: Mengapa baginda sallallahu alaihi wasallam melakukan sedemikian? Maka beliau menjawab: Baginda Nabi Muhammad tidak ingin menyusahkan umatnya.


Hadis ini para ulama tidak mengamalkannya sekalipun ianya soheh. Ianya hanya dilakukan sekali sahaja sepanjang hayat Nabi Muhammad. Sebab itulah jawapan Ibnu Abbas itu amat bersesuaian untuk menjadi sebab kepada keharusan perkara tersebut bagi hal-hal tertentu yang tidak dapat di elakkan. Contohnya doctor yang melakukan pembedahan selama 12 jam dan kepenatan sesudah itu maka bolehlah mereka ini beramal dengan hadis ini sebagai rukhsoh (keringanan).


Jumhur ulama iaitu Hanafiah, Malikiah , Syafieyah dan Hanabilah radhiyallahu anhum menyatakan bahawa tidak harus bagi seseorang yang tiada sebab yang disebutkan untuk melakukan solat secara jamak. Ini kerana hadis-hadis yang menerangkan bahawa baginda Nabi lebih banyak melakukan solat pada waktunya. Cuma pada waktu tertentu sahaja Nabi melaksanakan jama’ atau qasor solat. Sehingga disebutkan oleh Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu:


ما رأيت النّبيّ صلى الله عليه وسلم صلّى صلاة لغير ميقاتها إلاّ صلاتين جمع بين المغرب والعشاء بجمع » أي بمزدلفة "


Maksudnya: Tidak pernah aku melihat baginda Nabi Muhammad melaksanakan solat bukan pada waktunya melainkan dua waktu solat yang Baginda dirikan bukan pada waktunya iaitu solat Maghrib dan Isya’ yang didirikan secara Jamak ketika di Muzalifah.


Syeikh Ibn Uthaimin berkata; "Tidak halal bagi seseorang itu mengambil mudah dalam masalah jamak kerana Allah berfirman yang bermaksud; ((Sesungguhnya solat itu telah ditentukan kefardhuannya mengikut waktu))".



[1] Hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad dan lihat masalah ini dalam Fatawa Lajnah Daemah Wal Ifta' jilid 8 soalan no 4373.

[2] Rujuk Mausu'ah al-Fiqhiyyah

[3] Lihat penjelasan Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin dalam kitab Majmuk Fatawa Wa Rasail ibn Utahimin jilid 15.


Khamis, 2009 November 19

Mari Berpuasa Sunat Arafah


Malaysia sudah mengisytiharkan bahawa raya haji tahun ini adalah pada 27 November. Bermakna 9 haribulan Zulhijjah ialah pada 26 November hari Khamis. Pada 9 Zulhijjah itulah hari Arafah walaupun kadang-kadang berlainan tarikh hari wukuf diantara Mekah dan Malaysia. Yang penting ialah, seruan kepada semua yang tidak melakukan haji tahun ini supaya kita berpuasa sunat. Ini kerana kelebihannya yang sangat besar seperti dijelaskan dalam entry yang lalu. Berpuasa pada hari 9 Zulhijjah merupakan puasa sunat yang paling afdhal.


Berpuasa ikut takwim masing-masing @ hari Arafah di Mekah?

Soalan ini mungkin yang sering berlegar di ruang kepala kita. Ini juga yang berlaku kepada saya dahulu. Kita bertambah pening jika hari wukuf di Arafah tidak bertepatan dengan tarikh kita di Malaysia ataupun Negara-negara lain. Adakah puasa sunat Arafah itu mengikut tarikh Mekah Arab Saudi ataupun Negara kita masing-masing? Terdapat ulama yang berpendapat bahawa hari Arafah adalah seragam diseluruh dunia kerana bumi Arafah itu satu dan hanya ada di Mekah.


Jika hari Arafah 9 Zulhijjah serupa dengan Negara kita, itu tiada masalah. Demikian juga jika 9 Zulhijjah di Mekah itu adalah 8 Zulhijjah di Negara kita, maka boleh sahaja kita berpuasa pada 8 & 9 Zulhijjah mengikut takwim Negara kita. Akan tetapi cukup bermasalah jika Malaysia mendahului Mekah! Bermakna pada 10 Zulhijjah (Idul Adha) di Malaysia bersamaan hari Arafah di Mekah. Bolehkah kita di Malaysia berpuasa? Sedangkan hari tersebut hari raya yang haram berpuasa dan kita berada di Malaysia?


Soalan kepada Syeikh Muhamad bin Soleh al-Uthaimin.

Soalan; "Kami berpindah dengan sebab-sebab tertentu ke Negara Pakistan. Maka telah berlaku beberapa perubahan daripada waktu solat dan lain-lainnya. Aku ingin bertanya bahawa aku berkeinginan untuk berpuasa sunat hari Arafah, akan tetapi tarikh hijri tidak sama diantara Pakistan dan Mekah. Boleh jadi kami di Pakistan masih 8 Zulhijjah sedangkan Arab Saudi sudahpun 9 Zulhijjah. Adakah saya berpuasa pada 8 Zulhijjah yang menyamai Arab Saudi ataupun mengikut takwim Pakistan?


Jawapan al-Allamah Syeikh al-Uthaimin;

Alhamdulillah,,,perkara ini berasaskan kepada khilaf ulama dalam masalah; adakah anak bulan itu seragam di seluruh dunia ataupun ianya berbeza mengikut Negara yang terbit anak bulan? Pandangan yang benar ialah ianya berbeza mengikut Negara. Sebagai contoh jika anak bulan dilihat telah muncul di Mekah dan pada hari ini adalah hari 9 Zulhijjah, sedangkan anak bulan dilihat di Negara lain sehari sebelum itu (mekah), sudah pasti hari Arafah bagi mereka adalah menyamai hari 10 Zulhijjah di Mekah. Maka sesungguhnya haram bagi mereka itu berpuasa pada hari tersebut kerana ianya adalah hari raya haji. Demikian juga jika ditakdirkan anak bulan muncul lewat di Mekah, hari Arafah di Mekah menyamai 8 Zulhijjah di Negara lain, maka hendaklah mereka berpuasa sunat Arafah pada 9 Zulhijjah mengikut takwim mereka yang menyamai 10 Zulhijjah di Mekah ketika itu. Ini adalah pandangan rajah (tepat) kerana Nabi bersabda yang bermaksud; (Jika kamu lihatnya (anak bulan) maka berpuasalah, dan jika kamu lihatnya maka berbukalah). Mereka yang tidak nampak anak bulan di tempat mereka sudah pasti tidak melihatnya sepertimana manusia berijma' mengiktiraf bahawa terbit dan terbenamnya matahari adalah mengikut tempat masing-masing maka demikian juga takwim bulanan ianya sama seperti waktu harian. Wallahu A'lam.

Sila rujuk Majmuk Fatawa ibnu Uthaimin; 20.


Isnin, 2009 November 16

Hari Arafah & Hari Nahar



Penulis Tamu: Ust Lukman MS.


Bismillah, alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu ala Rosulillah;

Beberapa hari lagi kita akan bertemu dengan hari yang agung, hari yang mendapat penyaksian Allah. itulah hari Arafah. kemudian, datang pula hari raya Adha, hari Haji Akbar @ hari Nahar. Bagi tiap-tiap hari tersebut kedapatan hukum-hukumnya yang tertentu. Kita akan menyentuh beberapa hukum yang berkaitan dengan kedua-dua hari ini agar kita dapat mendepaninya dengan ilmu, mendapat petunjuk dan hidayah Allah.


Diantara hukum yang paling penting adalah yang berkaitan dengan ibadah puasa pada hari arafah. Terdapat pelbagai faedah dan keistimewaan berpuasa. Maksud firman Allah menjelaskan kelebihan puasa sunat: “…Barangsiapa yang melakukan kebajikan dengan kerelaan hati, maka itu adalah lebih baik baginya…” [al-Baqarah 2:184]. “…Lakukanlah kebaikan, semoga kamu beroleh kejayaan.” [al-Haj 22:77]. Setiap insan sangat memerlukan amalan soleh sebagai mendekatkan diri kepada Allah. Amalan soleh ini pula hendaklah dilakukan atas dua tujuan:


1- Mendekatkan diri kepada Allah.

Imam Ahmad berkata: “Puasa adalah ibadah sunat yang paling baik kerana ia tidak didatangi riya`. Seperti yang diketahui, riya` akan memusnahkan amalan dan mengheret pelakunya ke dalam neraka (semoga kita dipelihara). Kerana itu kita dituntut melakukannya dengan penuh keikhlasan.” Firman Allah: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus…” [al-Bayyinah 98:5].


Sabda Nabi: “Kata Allah: Aku maha kaya daripada sebarang kesyirikan. Barangsiapa yang melakukan amalan dengan mensyirikkan Aku, maka Aku berlepas diri darinya dan apa yang dipersekutukannya.” [Ahmad]. Sabda Nabi lagi: “Ya Allah! Haji yang tidak mengandungi riya`dan sum`ah”. [ibnu Majah. al-Bani mensahihkan dalam Sahih al-Jami`, no: 1313].


Umumnya, ibadah puasa dapat menjauhkan kita dari api neraka. Sabda Nabi: “Tiada seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah melainkan dijauhkan mukanya dari api neraka 70 tahun.” [Muttafaq alaih]. Banyaknya puasa adalah tanda seseorang itu dikasihi Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisiNya. Orang yang dikasihi Allah juga akan mendapat tempat di sisi penghuni bumi dan langit. Sabda Nabi: “Allah berfirman: "Senantiasalah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu sehingga Aku mengasihinya.”


2- Menampung kekurangan pada amalan.

Setiap insan tidak sunyi dari kesalahan, kekurangan dan maksiat. Kerana itu disyariatkan amalan-amalan sunat bagi menampung kecacatan amalan fardhu. Sabda Nabi: “Amalan sunat akan meyempurnakan kekurangan amalan fardhu pada hari kiamat.” [Ahmad dan Abu Daud dan lain-lain. Ahmad Syakir mensahihkan dalam Tahqiq Musnad]. Maka kerana itu, seorang muslim hendaklah berusaha menambah pahala dan pahala tidak akan datang melainkan kita melakukan amalan yang wajib dan memperbanyakkan amalan sunat. Antara amalan sunat tersebut adalah puasa hari Arafah.


Kelebihan Puasa Hari Arafah.

Puasa Arafah adalah puasa pada 9 Zulhijjah. Ulama telah bersepakat bahawa puasa Arafah adalah puasa yang paling afdhal berbanding hari-hari yang lain. Sabda Nabi: “Aku berharap daripada Allah dengan puasa hari Arafah, akan dihapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” [Muslim]. Puasa Arafah mengangkat darjat, memperbanyak kebaikan dan menghapus dosa.


Dosa Apakah Yang Dihapuskan?

Dosa yang dimaksudkan di dalam hadis adalah selain dosa besar. Dosa kecil pula akan terhapus jika kita meninggalkan dosa besar. Firman Allah: “Jika kamu meninggalkan dosa-dosa besar yang dilarang keatas kamu, nescaya kami menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kecil).” [an-Nisa`4:31]. Sabda Nabi: “Solat lima waktu, antara dua Jumaat dan antara dua Ramadhan, menghapuskan dosa diantara keduanya, jika dia meninggalkan dosa-dosa besar.” [Muslim].


Puasa Arafah untuk yang tidak melaksanakan haji sahaja ;

Disunatkan puasa hari Arafah bagi orang yang tidak melakukan haji. Manakala jemaah haji hendaklah memberi perhatian kepada ibadah dan doa, tidak menyibukkan diri dengan makan dan minum sehingga merugikan masanya. Dari Abi Hurairah: “Rasulullah melarang puasa hari Arafah di Arafah.” [Ahmad dan ibnu Majah. Kesahihannya dipertikaikan]. Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah dengan makna yang sama. Disokong dengan hadis Bukhari dan Muslim: “Orang ramai mengadu berkenaan puasa Nabi pada hari Arafah, maka dikirimkan kepada Nabi satu mangkuk susu. Baginda minum susu tersebut pada waktu Dhuha hari Arafah dan orang ramai menyaksikannya.” [Bukhari dan Muslim]. Maka dengan itu, Nabi telah menghilangkan keraguan berkenaan hukum puasa Arafah bagi yang melakukan haji. Kata sebahagian ulama: larangan dalam hadis di atas membawa maksud haram. Kata ibn al-Qayyim: “Antara petunjuk Nabi adalah tidak berpuasa pada hari Arafah di Arafah.”


Kata al-Mundziri: “Ulama berkhilaf berkenaan puasa hari Arafah di Arafah. Kata ibnu Umar: “Nabi tidak berpuasa, Abu Bakar, Umar dan Usman juga tidak berpuasa. Maka aku juga tidak berpuasa.” Abdul Razzaq menyebutnya dengan lafaz: “Aku mengerjakan haji bersama Umar dan dia tidak berpuasa. begitu juga Usman. Maka aku juga tidak berpuasa, tidak menyuruh dan tidak menegahnya.” Kata `Ato`: “Barangsiapa yang tidak berpuasa hari Arafah dengan tujuan menjadi lebih bertenaga untuk berdoa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa.” [Musannaf Abdul Razzaq 4:284,285].

Kata as-Sa`ati dalam al-Fath ar-Rabbani: “Antara yang berpendapat dengan sunat tidak berpuasa bagi yang berada di arafah adalah para imam; Abu Hanifah, Malik, as-Syafi`e, Sufian al-Thauri dan jumhur ulama. Ia juga adalah pendapat Abu Bakar, Umar, Usman dan ibnu Umar. Kata as-Sa`ati: “Pendapat ini yang paling adil disisiku.”


Puasa Sunat Bagi Orang Yang Wajib Qadha`:

Ulama`berselisih pendapat tentang hukum puasa sunat sebelum seseorang selesai menqadha`puasa ramadhan;

1) Mazhab Hanafi mengatakan harus dan tidak makruh kerana puasa qadha`tidak wajib dilakukan dengan segera. Kata ibnu Abidin: “Sekiranya ia wajib dengan segera maka pasti hukum puasa sunat adalah makruh kerana ia telah melewatkan yang wajib dalam waktunya yang sempit.”

2) Mazhab Maliki dan Syafi`e melihat keharusannya beserta makruh kerana ia sudah pasti melewatkan puasa wajib. Kata ad-Dasuqi: dimakruhkan puasa sunat bagi orang yang masih belum menyelesaikan puasa wajib seperti nazar, qadha`dan kaffarah sama ada puasa sunat itu muakkad ataupun tidak, seperti puasa `Asyura`dan 9 Zulhijjah mengikut pendapat yang kuat.

3) Mazhab Hambali mengatakan haram puasa sunat sebelum puasa qadha` Ramadhan dan puasa sunat itu dikira tidak sah, walaupun waktu qadha`masih panjang. maka hendaklah dimulakan dengan qadha`sehingga selesai kemudian nazar (jika ada) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawasanya Nabi bersabda: Barangsiapa yang masih belum menqadha`puasa Ramadhan, tidak akan diterima daripadanya puasa sunat sehingga dia berpuasa qadha`.” [Ahmad]. Hukum ini juga berdasarkan qias kepada haji iaitu tidak boleh melakukan haji sunat atau untuk orang lain sebelum dia sendiri melakukan haji yang wajib. [Mausuah Fiqhiah 28:100].

Lajnah Daemah Lil Buhus Wal Ifta' ditanya: “Adakah harus seseorang itu menghimpunkan dua niat dalam satu amalan? Contohnya dengan menghimpunkan antara puasa qadha`dan puasa hari Arafah; yang pertamanya wajib dan keduanya pula adalah sunat? Jawapan Lajnah: “Tidak mengapa berpuasa qadha`pada hari Arafah dan dia tidak mendapat kelebihan puasa hari Arafah disebabkan ketiadaan dalil. Yang paling afdhal adalah menyelesaikan puasa qadha`pada selain hari Arafah, bagi mendapat kedua-dua fadhilat; fadhilat qadha`dan fadhilat puasa hari Arafah.” [10: 397,398].

Padang Arafah tahun 1950M


Hari Arafah Dan Hari Jumaat.

Sekiranya hari Arafah (9 zulhijjah) atau `Asyura` (10 zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat, harus berpuasa pada hari Jumaat tersebut. Larangan berpuasa pada hari Jumaat yang disebut didalam hadis adalah sekiranya puasa itu kerana dan pada hari Jumaat sahaja tanpa ada sebab yang lain. Bagi hari Arafah, adalah lebik afdhal kita berpuasa sehari sebelum hari Jumaat tersebut sebagai jalan untuk beramal dengan kedua-dua hadis. Sebaliknya kita dilarang untuk berpuasa sehari selepas hari Arafah kerana hari tersebut adalah hari raya. Hari raya adalah hari yang diharamkan berpuasa sama ada bagi jemaah haji atau bukan berdasarkan hadis Abi Said bahawa Rasulullah melarang berpuasa pada dua hari raya; raya Fitri dan raya Korban. [Muttafaq alaih].


Abu Ubaid, hamba kepada ibn al-Azhar meriwayatkan: “Aku bersama Umar pada hari raya. Umar datang bersolat kemudian berkhutbah: "Sesungguhnya Nabi melarang berpuasa pada dua hari ini; hari kamu berbuka dari puasa dan hari kamu makan dari binatang sembelihan.” [Bukhari dan Muslim]. Larangan di sini bermaksud haram.


Ulama bersepakat tentang pengharaman berpuasa pada dua hari raya. Ibnu Hazam menukilkan ijma`ini. [Maratib al-Ijma`ms:72]. Ibnu Hubairah dan ibnu Qudamah pula menambah: “Pengharaman ini merangkumi puasa fardhu, sunat, qadha` nazar dan kaffarah.” [ al-Ifsah 3:174].


Begitu juga dengan puasa sunat hari Isnin, Khamis dan hari Putih (13,14 dan 15 pada setiap bulan) sekiranya jatuh pada hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) berdasarkan hadis Nubaisyah al-Hudzali katanya: “Kata Rasulullah: Hari Tasyriq adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” [Bukhari, Muslim dan lain-lain]. Ia tidak diberi kelonggaran untuk berpuasa melainkan untuk jemaah haji (Tamattuk dan Qiran) yang tidak mampu membeli binatang sembelihan. Mereka hendaklah berpuasa 10 hari; tiga hari ketika melakukan haji dan tujuh hari lagi apabila telah pulang ke tempat masing-masing berdasarkan hadis Aisyah dan ibnu Umar: “Tiada kelonggaran untuk berpuasa melainkan kepada jemaah haji yang tidak mempunyai binatang sembelihan.” [Bukhari].


Solat Raya Dan Solat Jumaat.

Sabda Nabi: “Telah berhimpun dua hari raya pada hari ini (Jumaat). Maka dibolehkan untuk tidak hadir solat Jumaat. Walaubagaimanapun kami akan mengerjakan kedua-duanya (solat sunat Idul Adha dan Jumaat).” Inilah sunnah Nabi dan yang afdhal kerana solat raya adalah fardhu kifayah bahkan fardhu ain pada pendapat sebahagian ulama kerana Nabi memerintahkan perempuan yang telah baligh dan haidh untuk hadir menyaksikan solat raya tanpa mereka masuk ke tempat solat. Kata ulama: “Inilah dalil kewajipannya pada setiap individu.” Adapun jumhur ulama mengatakan ianya adalah fardhu kifayah.


Pendapat yang sahih dalam masalah ini; barangsiapa yang solat raya, maka tidak wajib baginya solat Jumaat. Sekiranya dia tidak hadir solat raya disebabkan keuzuran yang tertentu, maka wajib baginya solat Jumaat. Sementara para imam, mereka wajib mengerjakan kedua-duanya sekali kerana solat tidak dapat didirikan tanpa mereka. Wallahu a`lam.


Jumaat, 2009 November 13

Ramainya Ulama Yang DiWahabikan

Gerakan tajdid Muhamad bin Abdul Wahab pada kurun ke 12 Hijri menerima tentangan dan serangan yang bertali arus daripada musuh-musuhnya yang sentiasa mencipta tohmahan dan pendustaan. Kebathilan yang dibuat-buat ini bertujuan mengelirukan umat manusia dan menakut mereka daripada mengenali reality sebenar. Sekalipun golongan yang dituduh Wahabi ini tidak pernahpun menyeru supaya meninggalkan pegangan mazhab-mazhab fekah yang masyhur dan menyeru umat islam kepada mazhab Wahabi.


Yang diseru oleh golongan yang dituduh Wahabi ini adalah agar manusia berpegang kepada ASWJ, menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup dan beragama, mengiktiraf Ijma', Qiyas dan lain-lain sumber hukum mengikut turutan dan keperluan. Jika itu dianggap Wahabi dan menyesatkan, saya pasti semua Ahli Sunnah di dunia adalah Wahabi dan sesat. Parti PAS juga Wahabi dan sesat kerana mengutamakan al-Quran dan Sunnah! Kesimpulan seperti ini sudah tentu sangat tidak ilmiah dan mengikut emosi.


Mari kita lihat beberapa ulama tersohor yang adil dan amanah menjelaskan tentang gerakan Wahabi ini yang muncul di jazirah Arab ini. Mudah-mudahan Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab tidak terus dizalimi dan dipersalahkan tanpa bukti dan hujjah.

*Peringatan; (Ulama-ulama ini mungkin akan diWahabikan juga oleh puak-puak Ahbash).


الدكتور يوسف القرضاوي

)ان هذه الصحوة امتداد وتجديد لحركات اسلامية ، ومدارس فكرية وعملية ، قامت من قبل ، انقرض بعضها ولازال بعضها قائما بصورة او باخرى حتى اليوم ، قام عليها رجال صادقون ، حاول كل منهم ان يحدد الدين ، او يحيي الامة في بقعة معينة او اكثر من ارض الاسلام ، في الاعتقاد او الفكر او السلوك ، يذكر التاريخ منهم مجدد الجزيرة العربية باعث الدعوة السلفية خريج المدرسة الحنبلية الشيخ محمد بن عبد الوهاب (


1) Prof Dr Yusuf al-Qordhowi berkata;

"Sesungguhnya kebangkitan ini adalah rentetan dan tajdid bagi gerakan islamiyyah. Gerakan ini merupakan madrasah fikriyyah dan ilmiyyah yang telah didirikan sebelumnya. Telah pupus sebahagiannya dan sebahagiannya masih kekal wujud dalam suatu gambaran atau yang lainnya sehingga sekarang. Gerakan ini telah didokong oleh lelaki-lelaki yang Sodiqin (benar-benar ikhlas), mereka berusaha menetapkan agama atau menghidupkan ummah di tempat-tempat tertentu ataupun dikebanyakan bumi islam dalam aspek akidah, pemikiran mahupun akhlak. Tarikh (sejarah) memperingati Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab, seorang reformis jazirah arab sebagai pendorong dakwah salafi keluaran madrasah Hambali".


المفكر الاسلامي محمد رشيد رضا

)ولقد كان الشيخ محمد بن عبد الوهاب من هؤلاء العدول المجددين قام يدعو الى تجريد التوحيد واخلاص العبادة وحده بما شرعه كتابه وعلى لسان رسوله وترك البدع والمعاصي واقامة شعائر الاسلام المتروكة وتعظيم حرماته المنتهكة المنهوكة فمهدت لمناهضته واضطهاده القوى الثلاثة ، قوة الدولة والحكام ، قوة انصارها من علماء النفاق ، وقوة العوام ، وكان اقوة سلاحهم في الرد عليه ، انه خالف جمهور المسلمين )- ثم يتساءل عن المسلمين اللذين خالفهم الشيخ محمد بن عبد الوهاب في دعوته ويجيب على نفسه -(هم اعراب في البوادي شر من اهل الجاهلية ، يعيشون بالسلب والنهب ، ويستحلون قتل المسلم وغيره لاجل الكسب ، ويتحاكمون الى طواغيتهم في كل امر ويجحدون كثيرا من امور الاسلام المجمع عليها ، التي لايسع مسلما جهلها (


2) Tokoh pemikir islam; Syeikh Muhamad Rashid Redho;

"Demi sesungguhnya Syeikh Muhamad bin Abdul Wahab termasuk dikalangan mereka yang adil dan mujaddid. Beliau bangun menyeru kepada keikhlasan bertauhid dan beribadah semata-mata kerana Allah sepertimana yang telah disyariatkan dalam Kitab Allah dan juga melalui lisan RasulNYA Muhamad. Beliau menyeru manusia meninggalkan bidaah dan kemaksiatan, melaksanakan syiar-syiar islam yang ditinggalkan manusia. Takut dan membesarkan larangan-larangan Allah yang dilanggar oleh manusia. Maka terbinalah kerana gerakan kebangkitannya dan gempurannya ini tiga kekuatan;

1) kekuatan Negara dan pemerintahan,

2)kekuatan penolong-penolong dakwahnya berbanding ulama-ulama munafik,

3) kekuatan orang awam.


Adapun senjata yang paling kuat ditujukan kepada beliau ialah; beliau ini menyalahi majority orang islam (pada ketika itu). Kemudian beliau tertanya-tanya tentang orang –orang islam yang beliau berselisihan dengan mereka itu dalam dakwahnya lalu beliau menjawab persoalan dirinya itu; (mereka yang di anggap majority itu adalah orang-orang arab badawi perkampungan yang lebih jahat daripada bangsa Jahiliyyah, mereka ini hidup dengan merampas dan mencuri, menghalalkan pembunuhan muslim dan selainnya semata-mata kerana pendapatan (harta), mereka berhukum dengan ketua-ketua mereka yang Thogut dalam semua perkara dan menafikan (mengingkari) banyak urusan-urusan agama yang disepakati hukumnya yang tidak sepatutnya seorang muslim itu menjahilinya".



الدكتور طه حسين

)قلت ان هذا المذهب الجديد قديم معنى ، والواقع انه جديد بالنسبة الى المعاصرين ، ولكنه قديم في حقيقة الامر ، لانه ليس الا الدعوة القوية الى الاسلام الخالص النقي المطهر من شوائب الشرك والوثنية ، هو الدعوة الى الاسلام كماجاء به النبي صلى الله عليه وسلم خالصا لله ملغيا كل واسطة بين الله وبين الناس..... ولو ان الترك والمصريين اجتمعو على حرب هذا المذهب وحاربوه في داره بقوى واسلحة لا عهد لاهل البادية بها لكان من المرجو جدا ان يوحد هذا المذهب كلمة العرب في القرن الثاني عشر والثالث عشر ، كما وحد ظهور الاسلام كلمتهم في القرن الاول (



3) Dr Toha Hussin berkata;

"Hanyasanya mazhab baru ini sebenarnya telah lama dari segi maknanya, realitinya Wahabi adalah baru dinisbahkan kepada zaman kontemporari akan tetapi ianya adalah telah lama pada hakikatnya. Kerana Wahabi ini hanyalah sekadar satu gerakan yang kuat berdakwah kepada islam yang sebenar, suci bersih dari sebarang kotoran-kotoran syirik dan keberhalaan. Iaitu dakwah kepada islam seperti yang telah datang kepada Nabi Muhammad semata-mata kerana Allah, menghapuskan setiap perantara di antara Allah dan manusia"…."Kalaulah bukan kerana orang-orang Turki dan Mesir bersatu menyerang mazhab ini dan menyerang mereka di negeri mereka dengan kekuatan dan senjata sehingga tiada keamanan bagi orang-orang kampong, sudah pasti diharapkan sangat mazhab ini menyatupadukan kalimah (kesatuan) Arab pada kurun ke 12 dan 13 Hijrah seperti kesatuan islam muncul bersatu pada kurun pertama".



الشيخ محمد الغزالي:

)رفع محمد بن عبد الوهاب شعار التوحيد ،وحق له ان يفعل ! فقد وجد نفسه في بيئة تعبد القبور ، وتطلب من موتاها ما لايطلب الا من الله سبحانه وقد رايت بعيني من يقبلون الاعتاب ويتمسحون بالابواب ويجأرون بدعاء فلان وفلان ، كي يفعل كذا وكذا ... الخ)


4) Syeikh Muhammad al-Ghazali (Mesir) berkata;

"Muhammad bin Abdul Wahab telah menjulang syiar tauhid, sesungguhnya beliau telah mendapati dirinya berada dalam suasana masyarakat yang menyembah kubur. Mereka ini meminta daripada orang mati sesuatu yang tidak boleh dipinta kecuali dari Allah. Sesungguhnhya aku telah lihat mereka yang mencium beranda, mengusap-usap pintu dan memohon perlindungan dengan menyeru fulan dan fulan supaya di buat sekian dan sekian…"



الشيخ محمد ابو زهرة

)لقد اتسمت العصور التي جمد فيها العقل بتقديس اراء الائمة المجتهدين كما اشرنا ، وكان من مظاهر ذلك تقديس الصالحين في حياتهم وبعد مماتهم ، وزيارة اضرحتهم والطواف حولها بما يشبه الطواف حول بيت الله الحرام ، وكان من اثر ذلك ان قامت طائفة تحارب هذا وتشدد في محاربته متبعة في ذلك اراء ابن تيمية ، وقد اخرجتها من مرقدها ، بعد ان طمرتها السنون (

ثم قال
)ظهرت الوهابية في الصحراء العربية نتيجة للافراط في تقديس الاشخاص والتبرك بهم وطلب القربى من الله بزيارتهم ونتيجة لكثرة البدع التي ليست من الدين ، وقد سادت هذه البدع في المواسم الدينية والاعمال الدنيوية فجائت الوهابية لمقاومة كل هذا(


5) Berkata Syeikh Dr Muhamad Abu Zuhrah :

"Sesungguhnya tercatat zaman, yang kejumudan akal menguasainya dengan memuliakan pandangan imam-imam mujtahid seperti yang telah saya isyaratkan. Dan antara tanda-tanda yang demikian ialah memuliakan dan mensucikan para soleh dalam kehidupan mereka dan selepas kematian mereka. Menziarahi kuburan mereka dan bertawaf dikeliling kubur menyerupai tawaf disekitar Ka'abah Baitul Haram, dan kesudahan daripada itu semua bangunnya satu kelompok yang memerangi perkara ini, sangat berkeras dalam memerangi sebagai mengikuti pandangan Ibnu Taimiyyah, sesungguhnya aku telah keluarkannya (maklumat) daripada tempat tidurnya (tempat persembunyian) selepas ianya disorokkan bertahun-tahun".


Kemudian beliau berkata lagi:

"Telah muncul Wahabiyyah di kawasan padang pasir arab kesan daripada melampau-lampaunya manusia dalam memuliakn seseorang dan bertabarruk dengan mereka. Bertaqarrub kepada Allah dengan menziarahi mereka (yang telah mati) dan kelompok ini juga muncul sebagai akibat daripada banyaknya perkara-perkara bidaah yang tiada dalam agama. Bidaah-bidaah ini telah bermaharajalela pada musim-musim keagamaan dan amalan-amalan agama, maka datanglah Wahabiyyah untuk melawan semua perkara ini".


الدكتور محمد عمارة:
"ويعد ابن عبد الوهاب اهم من انتقل بالتجديد الاسلامي في العصر الحديث من اطار التجديد الفردي والمشروع الفكري الى اطار الدعوة التي اتخذت لها دولة تحميها وتقاتل في سبيل نشرها


6) Dr Muhamad Imarah berkata;

"Muhamad bin Abdul Wahab dikira sebagai orang yang paling penting berpindah kepada tajdid islam pada zaman mutaakhir ini. Berpindah daripada ruangan tajdid individu dan projek pemikiran kepada ruangan dakwah yang dengannya dapat mendirikan Negara, memelihara dakwahnya dan berjihad dalam usaha menyebarkannya.


  • المراجع:
  • 1) "حركات التجديد والصحوة واثرها في الدعوة" ليوسف القرضاوي
  • 2) "صيانة الانسان" لمحمد رشيد رضا
  • 3) "الاسلام في القرن العشرين" لعباس العقاد
  • 4) "مائة سؤال عن الاسلام" لمحمد الغزالي
  • 5) "المذاهب الاسلامية" لمحمد ابوزهرة
  • 6) "شخصيات لها تاريخ" لمحمد عمارة

Isnin, 2009 November 09

Persoalan Tauliah


Bermula daripada memorandam PGSM kepada Yang Di Pertuan Agung, penahanan Dr Asri JAIS, Dr Asri menunggu di Mahkamah, Tuduhan pemalsuan sijil Dr Asri oleh Zamihan, komentar daripada pemimpin-pemimpin politik dan perbincangan ahli parlimen berkait Isu penganugerahan Tauliah. Saya tidak tahu apakah lagi selepas ini? Pertembungan kaum tua dan kaum muda? Atau meWahabikan agamawan yang cenderong kepada ilmu dan hujjah?


Tidak dinafikan bahawa penganugerahan tauliah adalah hak dan kuasa negeri masing-masing yang dibawah naungan Sultan. Itu bukan pertikaiannya kerana tujuan tauliah adalah bagi mengelakkan mereka yang tidak layak mengajar itu mengajar. Mengelakkan penyebaran ajaran-ajaran sesat merebak. Ini semua ada maslahahnya! Malangnya kebagusan maslahah itu mungkin juga disalahgunakan oleh segelintir pendokong fahaman tertentu yang bertugas dalam anggota majlis yang meluluskan sijil tauliah. Cadangan YB Dr Zulkifli Nordin agar: "proses penyeragaman perundangan berkaitan isu pemberian tauliah untuk penceramah" sangatlah baik dan disokong ramai.


Tarik balik Tauliah;

Soal penganugerahan tauliah dan penarikannya juga sangat pelik! Sebagai contoh, almarhum Dato Ishak Baharum mantan mufti Selangor tidak mempunyai tauliah selepas tidak menjadi mufti! Ust Ismail Kamus yang dahulunya adalah ahli majlis penemuduga JAIS bagi urusan tauliah tiba-tiba sahaja tanpa alasan kukuh, tauliah beliau ditarik! YB Khalid Samad juga mengadu hal sama. Tidak lupa juga apa yang berlaku pada Prof Dr Harun Din. Adakah mereka ini telah mengajar yang sesat? Saya yakin tidak!


Apa kayu ukur yang menjamin pemohon lulus Tauliah?

Sukatan yang menjadi markah untuk lulus atau gagal juga adalah sangat berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh, di JAIS mengikut pengalaman saya dan teman-teman, pemohon langsung tidak disoal dari sudut bacaan al-Quran & hafalannya. Hanya satu sahaja soalan fekah! Lebih kurang 20 soalan adalah berkait dengan masalah furuk (cabang); soal membaca qunut, berzikir, bertahlil, membaca yasin, bertalqin, menyambut Maulidurrasul dan lain-lain lagi. Adakah islam ini hanya setakat itu fahamannya?


Saya amat hairan, dimanakah soalan-soalan fekah selain daripada Najis Mughallazoh? Bab Muamalah, Jinayah, Ibadah, dan lain-lain? permasalahan Akidah, Tafsir, Hadis dan Usul Fekah? Apakah islam ini hanya kelaziman-kelaziman yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia sahaja? Kemudian kelaziman-kelaziman itu diwajibkan dan disandarkan pula kepada Imam Syafie secara dusta! Wujudkah bacaan tahlil selepas kematian, yasin malam jumaat berjemaah, talqin, dan Maulid Nabi pada zaman sahabat & imam-imam Mazhab?


Membongkar hakikat;

Sejarah maulid Nabi itu bermula pada zaman kerajaan Fatimiyyah (Syiah) di Mesir kurun yang ke empat oleh sang raja! Adapun talqin di Malaysia sambil duduk di atas kubur dengan pelbagai-bagai versi itu tidak wujud sama sekali ditanah arab! Tidak di Saudi, tidak juga di Mesir, Jordan & Yaman! Demikian juga halnya dengan tahlil secara berjemaah selepas kematian, ditambah lagi dengan 3 hari berturut-turut. Ini juga tidak dilakukan oleh orang-orang arab. Mungkinkah orang-orang arab kurang faham agama? Ataupun mereka ini pemalas! Tidak mahu berdoa dan mungkin sombong, seperti yang sering dikomentari oleh segelintir jemaah Malaysia apabila orang-orang arab tidak berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu. Soal Basmalah secara jahar (kuat) ini hanyalah dalam Mazhab Syafie sahaja. Adakah kita mahu mewajibkannya sedangkan ulama mazhab yang lain mengatakan tidak? Sedangkan khulafa ar-Rasyidin juga tidak membaca secara jahar. Soal Qunut juga begitu halnya. Mengapakah islam ini hanya difaham dalam bab-bab yang seperti ini sahaja? Di besar-besarkan dan akhirnya dibuat kesimpulan bahawa mereka yang tidak melakukan perkara-perkara ini maka dia adalah wahabi! Masyaallah…ramainya orang yang telah menjadi Wahabi yang amat ditakuti kesesatannya itu hanya kerana mereka itu cuba mengikuti petunjuk Nabi dan para sahabat! Bermakna, Negara-negara bermazhab Hanafi, Maliki dan Hambali adalah Wahabi? Adakah ini benar?


Kehidupan zaman moden;

Saya tidak tahulah bagaimana ulama-ulama Malaysia pada 50 tahun yang lepas mendepani isu berkait memakai tudung, mandi bunga untuk buang sial dengan iktikad dipinang orang, mandi bulan Safar untuk buang sial, kalungkan bayi dengan tali capal, memakai tangkal di lengan, menyembelih korban untuk pokok besar, menyangka wujudnya petanda buruk apabila gagak menguwak, sembahyang teman, membaca al-quran di atas kubur orang yang baru mati selama 40 malam, membuat tahlil mengikut bilangan hari seperti 3, 7, 40 hari (sudah difatwakan bidaah di Perak), kepercayaan tahyul jangan langkah bendul bila nak kahwin, tidak boleh kahwin sepupu dan khurafat-khurafat lain serta kesyirikan.


Dimanakah amalan, kepercayaan dan kebiasaan itu sekarang? Adakah tok-tok kiyai yang isterinya dahulu hanya berkemban dipandang orang ini benar? Dengan kita tidak menafikan sumbangan mereka pada agama bahkan keilmuan mereka dalam beberapa bidang tertentu! Tapi yang salah itu jangan dipertahankan apalagi jika jelas menyanggah al-Kitab dan Sunnah! Adakah ulama-ulama sekarang sudah Wahabi belaka kerana mengarahkan isteri mereka menutup aurat? Apakah Ahli Majlis Fatwa Perak yang diketuai oleh Tan Sri Harussani telah menganut Wahabi kerana mengharamkan kenduri arwah 7 hari berturut-turut? Mungkinkah umat islam moden Malaysia sekarang Wahabi kerana tidak lagi menggunakan tangkal, tidak membaca al-Quran selama 40 malam di atas kubur dan lain-lain lagi perkara khurafat dan bidaah? Bagus juga jika anda sudi menjenguk blog ini; http://drazwan.blogspot.com/2007/07/assalamualaikum-wbt.html.

Pejabat Jais Shah Alam


Ilmu tersebar, bertambah & berkurang;

Ilmu di sesebuah Negara bertambah dan berkurang bergantung kepada komitmen kerajaan, ulama, cendiakawan, dan masyarakat setempat dalam menyebarkan ilmu tersebut. Malaysia amat mundur pada 40 tahun yang lalu berbanding Uk dan Amerika dalam pelbagai bidang. Kerajaan Islam Andalus amat maju pada kurun ke 6 Hijrah sedangkan Eropah berada pada zaman gelap! Pemahaman tentang ajaran Islam masih terlalu cetak ketika Indonesia dan Malaysia pada tahun 1950an berbanding Arab Saudi, Mesir dan Jordan pada ketika itu. Bahkan Negara yang dahulunya kuat berpegang dengan agama pun menjadi lemah apabila peranan ulama tidak digerakkan! Sebagai contoh di Arab Saudi sebelum kemunculan dakwah syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, percayakah anda bahawa kedapatan orang islam yang menyembah kubur? Meminta kepada orang mati supaya dikurniakan anak dan jodoh. Meminta kepada pokok besar supaya dikurniakan anak lelaki dan bermacam-macam lagi kesyirikan di bumi Najd, Hijaz dan Jazirah Arab umumnya?


Anda juga perlu tahu pada 150 tahun yang sudah juga, masih wujud 4 imam dalam masjidil haram dalam satu waktu! Bermakna ketika solat maghrib ada 4 orang imam yang masing-masing menjadi imam kepada makmum mazhabnya masing-masing. Bukankah kejahilan-kejahilan seperti ini terhapus setelah tersebarnya ilmu dan pemahaman yang betul terhadap agama ini? Kenapakah terlalu sukar pemikiran zaman moden ini untuk mendengar hujah dan dalil-dalil al-kitab dan as-Sunnah? Tanpa kita menolak kepentingan mazhab dalam setiap Negara demi kemaslahatan. Tetapi pastikan apa yang di anggap sebagai pegangan mazhab itu wujud dalam mazhab! Bukan sekadar penipuan yang didustakan kepada imam-imam mazhab sedangkan mereka tidak pernah mengatakannya. Hal seperti ini adalah pendustaan dan kezaliman yang besar terhadap tokoh-tokoh tersebut.


Saya bermazhab Syafie;

Ketika saya mengaku bermazhab Syafie, janganlah saya mencipta satu pendapat dan amalan yang tidak dilakukan oleh Imam Syafie lalu saya yang kononnya sebagai ustaz mengatakan bahawa Imam Syafie menyuruh melakukannya. Jika saya masih berkeras untuk memakai tangkal, setidak-tidaknya janganlah menisbahkan keharusan itu pada Allah, Rasul dan imam-imam Ahli Sunnah, sedangkan hukumnya adalah haram! Lantas bukankah ini satu penipuan terhadap agama Allah? Membuat penipuan terhadap Nabi dan ulama agung tersebut adakah sama dosanya jika saya menipu orang-orang tertentu seperti Abu syafiq (Mahfuz)? Mana kata-kata imam tersebut? Bukannya apabila dipersoalkan, maka jawapannya ialah; "oh, anda adalah pengikut Wahabi"! "Jangan banyak Tanya, ikut cakap ustaz"! Senteng sangatkah pemikiran kita yang hidup pada alaf 21 ini? Ulama Rabbani sejak zaman berzaman menerima dan menolak sesuatu perkara berdasarkan hujjah dan dalil. Jika perkara tersebut berada dalam luang lingkup ijtihad dan yang harus untuk berkhilaf, maka mereka berlapang dada serta tidak pernah memaksakan ulama lain untuk mengikuti pandangannya.


Islam datang ke Nusantara melalui peniaga-peniaga Yaman;

Islam dibawa oleh para peniaga dengan menunjukkan akhlak islam yang mulia. Mereka ini bukanlah ulama, tetapi penganut islam yang punyai semangat dakwah yang tinggi. Kemudian berdepan pula dengan perkara-perkara luar biasa (sihir) masyarakat dan agama hindu yang menebal di Indonesia ketika itu. Beberapa perkara termasuklah khurafat dan syirik tidak dapat dibendung sepenuhnya. Mereka ini terpaksa menggunakan muzik & nyayian untuk memanggil orang supaya berhimpun solat.


Sehinggalah pembaharuan dan tajdid dari semasa ke semasa berlaku. Islam semakin difahami dengan amat baik, kesyirikan, khurafat dan tahyul semakin dihindari. Bidaah semakin dijauhi dan begitulah ringkasnya yang terjadi di Malaysia. Saya yakin tajdid dan perubahan ini dapat difahami oleh masyarakat bijak seperti di malaysia ini. Hanya beberapa kerat ulama berkepentingan sahaja yang menolaknya. Tiada lagi ketaksuban kepada tokoh-tokoh berjasa seperti Wali Songo sehingga mahu menganggkat mereka ke maqam Nabi.


Mufti Perak, TGNA, TGHH dan ramai ulama tidak layak mengajar;

Saya yakin, ini adalah ucapan yang amat keterlaluan, tetapi itulah itulah realitinya apabila tiada tauliah walaupun ilmu segunung. Itulah hakikatnya walaupun majority masyarakat menerima mereka dalam persoalan agama. "Ada kelayakan tetapi tidak boleh"! Maka selama-lamanya Tan Sri Harussani dilarang mengajar di 13 negeri. Orang Pahang yang mahu mendengar kuliah beliau secara live kenalah datang ke Perak! Susah sekali mahu menyebarkan islam di tanah Air sendiri yang islam merupakan majority. Senang sekali dakwah kristian dan agama lain dibumi Malaysia. Jadilah agama islam di Malaysia merempat di tanah air sendiri. Wallahu a'lam.


Jumaat, 2009 November 06

Syeikh Dr Atiyyah Saqor ; "Wahabi"

video

"Al-Wahabiyyah dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul wahhab, dan beliau merupakan seorang Muslih (Reformis) agama yang muncul di Jazirah Arab. Dan beliau melarang manusia daripada melakukan kemungkaran dan bida'ah yang tidak bertepatan dengan agama. Beliau sangat mengambil berat dengan apa yang berkaitan dengan tauhid kepada Allah Ta'ala. Disana (Jazirah Arab) terdapat sebahagian manusia sebagai contoh bertawassul dengan sebahagian para wali dan bertabarruk dengan mereka dan mengagungkan mereka dengan pengagungan yang sangat besar, sehingga akhir puncaknya mereka menyangka bahawa wali-wali ini adalah para Nabi dan seolah-olah mereka (para wali) adalah Zat Allah Ta'ala. Ghulu dalam kecintaan yang membawa kepada kekufuran. Sebab itu, ketikamana Nabi melihat para sahabat sangat-sangat mencintai Nabi, (ini adalah kewajipan kepada kita untuk mencintai Nabi Muhammad dan mencintai Allah Subhanahu Wa Ta'ala). Akan tetapi melampau-lampau dalam kecintaan terhadap Nabi adalah suatu perkara yang ditolak! Ketikamana Nabi melihat para sahabat baginda melampau-lampau dalam kecintaan kepada baginda, Nabi takut mereka akan mengangkatnya mengatasi maqam yang sepatutnya. Lalu Nabi bersabda; ((Janganlah kamu memuji-muji aku dengan melampau sepertimana golongan Nasrani lakukannya kepada Nabi Isa bin Maryam, akan tetapi katakanlah bahawa aku ini (Nabi Muhammad) hamba Allah dan pesuruhNYA)).


Iaitu; janganlah kamu puji berlebih-lebihan sangat sehingga kamu semua berikan sesuatu yang menjangkaui hak-hak yang sepatutnya pada diriku, sepertimana kecintaan golongan Nasrani terhadap Isa bin Maryam.


Mereka ini mengagungkannya dengan pengagungan yang besar sehingga sampai kepada peringkat menyatakan bahawa Isa adalah tuhan ataupun anak tuhan. Melampau-lampau dalam masalah kecintaan adalah sesuatu yang munkar dan terlarang dan ditolak syarak secara total.


Maka Muhammad bin Abdul Wahab mengambil berat dalam gerakan reformasinya dalam topic ini, iaitu tauhid ataupun keikhlasan tauhid terhadap Allah Ta'ala semata-mata. Beriktiqad bahawa Allah sahajalah pelaku bagi segala sesuatu, dialah Allah yang maha kaya, maha menghidupkan dan maha mematikan. Akan tetapi bagi orang-orang yang bertabarruk kepada sebahagian manusia sampai kepada satu peringkat yang menjadikan sebahagian mereka berkata; "Ini adalah syeikh besar boleh menyembuhkan penyakit, ini adalah syeikh besar yang ditangannya rezeki, dia menguasai semua perkara". Melampau dalam menisbahkan perkara-perkara ini kepada manusia boleh menyebabkan kepada kekufuran. Kerana Allah yang maha esa tidak bersekutu dan yang ditanganNYA semua perkara.


Dia (Muhammad bin Abdul Wahab) telah menjalankan dakwah reformasinya dengan teori ini dan menumpukan perhatian yang sangat tinggi dalam masalah tauhid, iaitu keikhlasan tauhid (kesucian) kepada Allah Ta'ala. Sekalipun segelintir anak murid beliau ini ataupun yang mengambil pandangannya melampau juga dalam tauhid ini, melampau banyak sehingga mereka ini mengambil sebahagian perkara yang dapat dihidu walaupun dengan bau yang sedikit, maka hiduan ini di anggap sebagai kesyirikan kepada Allah. Akan tetapi, seperti yang aku selalu sebut dan ulang, bahawa melampau-lampau (ghulu) dalam semua perkara boleh membawa kepada kesesatan yang besar. Tidak boleh tidak, kita sepatutnya menjadi orang yang sederhana, berakal, sebelum kita mahu meletakkan sesuatu hukum hendaklah kita bertaddabur dan faham dengan sebaik-baiknya, kerana gelojoh dalam menghukum kepada mana-mana manusia yang mencintai para wali sebagai contoh, bersegera dalam menghukum kekufuran kepada seseorang merupakan satu perkara yang sangat memudharatkan.


Kamu semua tahu satu hadis Nabi yang menyebut; "Jika berkata….membaca selawat,,,,((sesiapa yang berkata kepada saudaranya, hey orang kafir, maka ia kembali kepada salah seorang daripada mereka berdua, samada seperti yang didakwanya (betul-betul orang itu kafir) dan jika tidak benar maka kekafiran itu kembali kepada orang yang mendakwa)). Yang penting, sebahagian orang yang menjalankan dakwah islah akidah ini, ghulu dalam permasalahan ini….."

*Dr Atiyyah Saqqar seorang ulama azhar yang terkenal lahir pada tahun 1914 M dan wafat pada tahun 2006 M dilahirkan di Zaqaziq Mesir. Beliau merupakan salah seorang anggota Majma' Buhus Islamiyyah Mesir.

Selasa, 2009 November 03

Dr Asri Tokoh Berpotensi Yang Teraniaya


Ramai terkejut dengan tindakan JAIS menangkap mantan Mufti Perlis pada hari Ahad malam Isnin 12.15 am 2 November 2009. Dengan beralasan tiada tauliyah, maka penahanan yang memalukan itu dihalalkan. Adakah tindakan itu memang daripada keseriusan pihak JAIS atau datangnya daripada idea orang-orang tertentu yang memusuhi Dr Asri? Ataupun moto JAIS sudah berubah kepada "Nahi Ma'ruf & Amar Munkar"? kuliah bulanan Dr Asri itu bukankah dilakukan di rumah persendirian? Apakah kuasa JAIS sudah melangkaui masjid dan surau? Jika begitu, mengapakah JAIS tidak menangkap Dr Asri ketika beliau memberi kuliah dan tazkirah di PWTC, di siaran Astro dan Bicara Mufti serta siaran lain? Ataupun sepatutnya kuasa JAIS diluaskan lagi sehingga boleh menangkap siapa sahaja di seluruh Malaysia, bukankah itu lebih wajar supaya tiada kritikan terhadap pihak JAIS!


Jika kerana wahabi;

Jika isu wahabi, ramai yang mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah menfatwakan sesat terhadap golongan yang dituduh Wahabi ini. Golongan yang di tuduh Wahabi ini sebenarnya adalah golongan salafi yang cintakan kepada Sunnah Nabi dan para sahabat. Golongan yang sering mengikuti petunjuk ulama Ahli Sunnah dikalangan imam-imam yang masyhur Salaf. Mengapakah mereka ini terlalu diperangi? Besar sangatkah dosa ulama-ulama Malaysia yang tidak mahu membaca yasin malam jumaat secara berjemaah? Tidak mahu bertahlil, tidak mahu bertalqin, tidak berzikir dengan kuat secara jemaah? Pernahkah mereka ini menghalau dan mengkafirkan orang-orang yang melakukannya? Setahu saya tidak! Ajaib sekali! pihak Syiah yang jelas mengkafirkan para sahabat dibiarkan, menghalalkan Muta'ah, menyembah kubur, mengatakan al-Quran ini tidak lengkap dan macam-macam lagi kesesatan mereka dibiarkan membiak! Apakah JAIS dan golongan-golongan anti Tajdid ini buta mata dan hati? Tahukah kita di Malaysia ini sudah mempunyai seorang Ayatullah melayu (Syiah)? Bukankah Syiah sudah difatwakan sesat dan sangat bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah dalam permasalahan Usul. Mengapakah mereka ini tidak ditangkap JAIS mahupun JAKIM?


Jika kerana isu bidaah;

Jika isu membidaahkan jadi pertikaian, pernahkah Dr asri membidaahkan orang-orang tertentu di Malaysia? Ataupun ucapannya umum dalam menjelaskan hukum? Jika saya mengatakan membaca solat secara jahar (kuat) pada waktu Zohor & Asar itu bidaah, adakah bermakna saya menghukum orang tersebut masuk neraka? Jawapannya tidak! Contoh paling mudah untuk membuka minda anda dalam masalah ini; Ijma' ulama menyebut bahawa hukum mendedahkan aurat adalah haram & hukum berzina adalah haram. Maka adakah dengan ini mereka menghukum bahawa si fulan yang berzina itu pasti masuk Neraka? Ataupun semua orang islam yang tidak pakai tudung pasti masuk Neraka? Sudah tentu tidak begitu fahamnya. Akan tetapi sebahagian manusia yang kononnya mengaku ustaz sengaja begitu fikirnya dalam menghukum. Tugasnya hanya mencari kelemahan dan kesalahan walaupun kesalahan yang diangggap salah itu pada hakikatnya bukanlah kesalahan.


Arahan siapa kepada JAIS?

JAIS sebagai badan agama rasmi negeri sepatutnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada umat islam dan masyarakat bukan islam di Malaysia. Pastikan tindakan JAIS adalah professional dan rasional! Tepati janji, berlaku adil, bertindak dalam batasan kuasa, meneliti sebelum bertindak bukan serkap jarang dan yang paling penting JAIS tidak dipengaruhi oleh mana-mana badan politik, mahupun gerakan-gerakan tertentu dan individu tertentu di Malaysia!


Saya faham sesuatu yang tidak baik daripada tulisan saudara Zamihan sehari sebelum penangkapan Dr Asri, katanya; "…..perlu diingat, walaupun beliau masih menerima jemputan ceramah disekitar Kl dan Selangor, beliau sebenarnya tidak memilki tauliah. Jika beliau berkeras ingin berceramah tanpa tauliah, beliau boleh ditangkap dan dikenakan tindakan undang2. Sabit kesalahan beliau boleh dikenkan denda RM3000 @ dua tahun penjara @ kedua-duanya sekali. Justeru, jangan memaksa kami untuk bertindak". Ayat ini seolah-olah ugutan awal kepada Dr Asri. Adakah saudara Zamihan ini pengawai JAIS? Saya tidak tahu. Ataukah ada kemungkinan Zamihan dan konco-konconya merancang dan mencadangkan penangkapan ini? Saya harap tidak! Lebih hebat lagi apabila dalam entry yang yang bertajuk; 'ASRI DITANGKAP JAIS' saudara Zamihan menyatakan; "Setelah tamat sesi ceramah, salah seorang pegawai JAIS tampil memperkenalkan diri dan meminta Dr Asri menunjukkan tauliah atau permit ceramahnya. Beliau kelihatan pucat….barulah Dr Asri dapat di bawa keluar dengan van JAIS dan diiringi kereta peronda polis menuju ke balai Ampang untuk diambil keterangan selanjutnya. Wajah tuan doktor (Asri) kelihatan merah padam". lihat; http://al-ghari.blogspot.com/


Benarkah merah padam? Adakah saudara Zamihan ini berada di lokasi mendengar ceramah? Ataupun beberapa kerat pegawai JAIS ini dipaksakan untuk menjadi penyampai akhbar khas kepada saudara Zamihan? Saya tidak tahu.


Golongan Takfir (Ahbash);

Saya dan ramai lagi sahabat-sahabat yang memahami persoalan firaq (perpecahan umat islam) agak hairan. Mengapakah kerajaan Malaysia dan JAKIM secara khusus membiarkan fahaman AHBASYH? Bukankah banyak Negara yang telah menfatwakan ajaran ini sebagai sesat? Ramai ulama terkenal memberi ingatan keras kepada ajaran sesat yang bersepupu dengan Khawarij ini. Mengkafirkan ulama yang tidak sehaluan dengan mereka adalah sangat keterlaluan. Lebih parah lagi mereka ini bukan sahaja mengkafirkan ulama zaman mutakhir ini bahkan ulama-ulama salaf Ahli Sunnah juga dikafirkan! Bukankah sepatutnya JAIS dan JAKIM mengambil ambil peduli dengan golongan Ahbash yang telah difatwakan sesat ini? "Mungkin JAIS dan JAKIM belum selesai dengan kes Rasul melayu dan pengikut-pengikutnya".


Yang hebatnya ialah apabila golongan Ahbash ini pula menuduh bahawa golongan salaf yang dianggap (Wahabi)lah yang sering mengkafirkan orang! Tahukah anda, bahawa Negara Arab Saudi yang disalah anggap sebagai Negara Wahabi inilah yang paling tidak setuju dan menolak keras fahaman Takfir ini? Sila lihat fatwa ulama-ulama Saudi khasnya (Fatwa Lajnah Daemah Wal Ifta') jika anda benar-benar amanah dan adil dalam pertimbangan.


Tulisan ini;

Saya menulis topic ini bukan kerana saya penyokong Dr Asri, jangan juga disalah anggap bahawa saya adalah fanatic dengan bekas Mufti Perlis ini. Saya mengakui secara insaf bahawa beliau merupakan tokoh ilmuan islam Malaysia yang terkenal dan berbakat besar. Tetapi beliau juga manusia, terkadang melakukan kesilapan, perlukan kepada nasihat dan teguran, tiada manusia Maksum kecuali para Nabi. Tetapi ramai ilmuan yang tidak bersetuju dan membantah apabila beliau disesatkan semata-mata lontaran pandangan-pandangan beliau yang berlandaskan hujah al-kitab dan sunnah. Saya berdoa supaya Allah memelihara hatinya daripada sifat Riya', Ujub, sombong, lemah & putus asa rentetan daripada isu ini. Semoga beliau dan kita semua terus istiqamah dalam menyatakan kebenaran dan terus thabat berada dalam manhaj yang lurus. Amin Ya Rabb.

Ahad, 2009 November 01

Mengenali Imam al-Baghawi Rahimahullah.


Beliau adalah al-Hafiz, al-Faqeh, Mujtahid, penghidup Sunnah; Abu Muhammad al-Husin bin Muhammad al-Farra' al-Baghawi as-Syafie yang digelar sebagai Rukun al-Din. Salah seorang ulama yang telah berkhidmat dalam bidang Tafsir dan juga Sunnah an-Nabawiyyah samada dengan mempelajari, mengajar mahupun menulis. Al-Baghawi adalah nisbah kepada nama tempat yang terletak di Khurasan di antara Muru dan Hirah.


Guru-guru beliau;

Diantara guru imam al-Baghawi yang terkenal ialah;

1) Qadhi Husin bin Muhammad al-Marwazi as-Syafie,

2) Syaikh Abdul Wahid bin Ahmad al-Mulaikhi,

3) Syaikh Abul hasan Ali bin Yusuf al-Juwaini,

4) Syaikh Hassan bin Sa'ad al-Mani'ee,

5) Syaikh Abu Bakar al-Marwazi,

6) Syaikh Abul Hasan Muhammad bn Muhammad as-Syirazi.

7) Syaikh Abul Qasim al-Qusyairi.

8) Syaikh Abdul Baqi bin Yusuf al-Maraghi as-Syafie.

9) Syaikh Abu Ja'afar bin Muhammad bin Abdillah at-Thusi.

10)Syaikh Abu Thoohir az-Zarrar dan lain-lain lagi sekitar 460 orang guru.


keistimewaan beliau dan pujian ulama terhadapnya;

Beliau adalah ulama yang bermazhab syafie yang hidup dalam suasana persekirannya tetapi beliau tidaklah taksub dengan keimaman Imam Syafie, bahkan beliau sentiasa mengikuti dalil dan melihat pandangan-pandangan ulama lain serta dalil-dalil mereka. Lantas beliau menyeru supaya berpegang kepada al-Kitab dan as-Sunnah. Imam az-Zahabi berkata dalam kitab Siyar A'lam an-Nubala; "al-Baghawi adalah ketua, Imam, seorang yang Alim, Allamah, seorang yang Zuhud, serta sentiasa Qana'ah dengan yang sedikit".


Imam as-Suyuti berkata dalam kitab Tobaqat al-Huffaz; "Dan telah diberkati baginya dalam karangan-karangan beliau, kerana tujuannya yang baik, sesungguhnya beliau dikalangan ulama Rabbani, memiliki ibadah dan pengabdian dan sentiasa Qana'ah dengan yang sedikit".


Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wan Nihayah berkata;" Beliau ,merupakan orang yang paling alim di zamannya, berpegang kuat dengan agama, bersifat Wara', ahli ibadah, seorang yang soleh."


Kesan-kesan peninggalan beliau;

Beliau meninggalkan penulisan dan karangan yang amat banyak, berfaedah dan berguna dalam bidang Tafsir dan Hadis serta Feqah. Dalam bidang Feqah pula ianya meninggalkan kesan bermanfaat yang amat besar kepada sesiapa yang datang selepas zaman beliau. Terkenal karangannya dengan topik-topik yang amat berharga, kalimah-kalimahnya yang mudah dan senang dan dengan gaya penulisan yang menarik dan bermanfaat. Di antara karangan-karangan beliau yang tersohor ialah;


1) (Kitab Ma'alim at-Tanzil) , merupakan kitab dalam bidang Tafsir yang sederhana. Termasuk dalam katogeri Tafsir bil Ma'thur (iaitu yang mentafsirkan ayat dengan ayat yang lain ataupun dengan hadis). Yang mana menaqalkan kata-kata ahli tafsir dikalangan Sahabat, Tabi'in dan yang selepas mereka. Ibnu Taimiyyah berkata tentang kitab tafsir ini; "Tafsir Baghawi ini adalah ringkasan daripada Tafsir Tha'labi akan tetapi beliau menapisnya daripada hadis-hadis yang Maudu' dan pandangan-pandangan yang bida'ah".

2) (Syarah as-Sunnah) yang menghimpunkan di antara ilmu Riwayah dan Dirayah.

3) (Masobih as-Sunnah), beliau menghimpunkan sejumlah hadis-hadis Nabi berserta dengan Isnad. Beliau menbahagikan hadis kepada soheh (Bukhari dan Muslim), Hasan (yang didatangkan dalam Sunan Abi Daud dan Tirmizi) mana-mana yang terdapat hadis Dhoif dan juga Gharib maka dia akan memberi isyarat. Kitab ini terdapat beberapa ulama yang mensyarahkannya; antaranya (Misykat al-Masobih karangan Waliuddin Muhammad bin Abdillah al-Khatib).


Kewafatan Imam al-Baghawi;

Seperti ulama yang lainnya, kehidupan ulama besar ini di akhiri dengan pertemuannya dengan ajal yang sudah termaktub. Beliau telah kembali ke Rahmatullah di bumi Maru (Khurasan yang terletak berhampiran sungai Marghob yang sekarang memasuki sempadan Turkistan) pada bulan Syawal tahun 516 Hijrah dan dikebumikan bersebelahan dengan makam gurunya al-Qadhi Husin. Beliau wafat setelah berjuang dalam hidupnya yang dilimpahi dengan ilmu dan kecintaan kepada Sunnah selama 70 tahun lebih tetapi belum berkemampuan menunaikan ibadah haji. Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkannya bersama para Anbiya', Syuhada dan Solehin dan disanalah sebaik-baik tempat bertemu pendamping.

Rujukan;

"Siyar A'lam an-Nubala" Tarjamah no:258 karangan Imam az-Zahabi.

"Tobaqat as-Syafieyyah al-Kubra" 7;77 karangan Imam Tajuddin as-Subki.