RSS Feeds

Selasa, 29 Disember 2009

Mengenali Syeikh Dr Muhamad Rashad Salim

Beliau adalah seorang ulama dan pengkaji terkenal yang dilahirkan di Kaherah Mesir pada tahun 1347 Hijrah. Syeikh Muhamad Rashad bin Muhamad Rafiq Salim menuntut ilmu di Kaherah sehingga tamat sekolah menengah, kemudian beliau menyambung pengajian dalam bidang falsafah di Kuliah Adab Jamiah Kaherah sehingga Berjaya memperolehi sijil Master.


Menetap di Syiria selama setahun untuk mengkaji manuskrip-manuskrip lama di perpustakaan az-Zohiriyah Damsyiq sehinggalah beliau Berjaya menyalin bilangan manuskrip yang banyak daripada karangan-karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Kemudian beliau berjaya memperolehi PhD daripada University Cambridge UK pada tahun 1379 Hijrah dengan tajuk tesis "Kesesuaian Akal Terhadap Syara' Menurut Ibnu Taimiyyah".


Beliau menjadi pensyarah di University Ain Syam Kaherah. Pada tahun 1391 Hijrah beliau dipinjamkan untuk menjadi pensyarah di Universiti Malik Saud Riyad Arab Saudi. Beliau merupakan pengasas kepada Jabatan Thaqafah Islamiah di bawah Kuliyyah Tarbiyah Islamiah di Jamiah Malik Saud Riyad dan merupakan Dekan yang pertama di sana. Seterusnya beliau memperolehi kerakyatan arab Saudi pada tahun 1396 Hijrah dan berpindah sebagai pensyarah di University al-Imam Muhamad bin Saud al-Islamiah di Kuliah Usuluddin.


Beliau telah memenangi anugerah hadiah Malik Faisol International dalam bidang penyelidikan islam pada tahun 1405 Hijrah. diantara karangan beliau ialah;

- Al-Madkhal Ila Thaqafah al-Islamiyyah.

- Al-Muqaranah Baina al-Ghazali Wa Ibnu Taimiyyah.

- Tahqiq kitab "Minhaj as- Sunnah al-Nabawiyyah" karangan Ibnu Taimiyyah.

- Tahqiq kitab "al-Istiqamah" karangan Ibnu Taimiyyah.

- Tahqiq juz 1 daripda kitab "as-Sofadiyyah" karangan Ibnu Taimiyyah.

- Tahqiq kitab "Dar'u Ta'arud al-Aqal Wan Naql" karangan Ibnu Taimiyyah.


Beliau wafat pada 9 Rabi' thani 1407 Hijrah. Semoga Allah mengampuni dan merahmati beliau serta mengganjari beliau dengan syurga bersama para syuhada dan solehin. Amin.


Rujukan;

كتاب من أعلام القرن الرابع عشر والخامس عشر، إبراهيم عبد الله الحازمي



Jumaat, 25 Disember 2009

Pengkhianat Agama

video

Saya tidak pasti kenapa mereka dilahirkan? Adakah untuk menguji umat islam yang sensitif kepada tuntutan agamanya, ataupun untuk membuka mata umat islam yang sedang mamai agar bangun dan segera mendidik anak isteri dan saudara seagamanya yang jauh daripada petunjuk islam?


Apakah perasaan anda sebagai seorang muslim melihat video yang menggambarkan kebiadaban dan kederhakaan anak-anak cukup akal ini? Jika kita benar-benar beragama sekurang-kurangnya pelempang tahap gaban akan kita lepaskan ke muka yang tidak tahu malu ini. Ya, sekalipun nyawa taruhan kita! Sewajarnya kita sanggup mempertahankan agama suci ini daripada ejekan dan permainan manusia-manusia munafik.


Allah berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 64, 65 & 66 yang bermaksud;

(( Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: "Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan rasul-Nya)." Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu)).


((Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja." Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?"))


((Tidak usah kamu minta maaf, Karena kamu kafir sesudah beriman. jika kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa)).


Saya mendapat video ini daripada seorang teman dengan tajuk; "Budak Sekolah St Augustine, Betong Ajuk Orang Islam Sembahyang Jemaah Dalam Gereja". Jika mereka ini bukan orang islam, pihak jabatan agama islam sepatutnya mengambil tindakan dan aduan terhadap mereka. Jika mereka ini anak-anak islam, kita sangat bersedih! Tindakan wajib dikenakan dan ayat-ayat di atas adalah peringatan buat kaum yang seperti mereka ini. Allahul Musta'an.


Rabu, 23 Disember 2009

Siapakah al-Qadiyaniah?

Kumpulan kafir yang berselindung atas nama islam ini memiliki pegangan akidah yang sangat berbahaya antaranya ialah; mendakwa kenabian, merubah nas-nas al-Quran, membatalkan pensyariatan jihad, mengkafirkan orang islam dan menjadikan orang kafir sebagai wali (penolong) mereka. Secara ringkas mereka adalah pengikut Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiyani.


Nama lain bagi puak ini adalah, Ahmadiyyah seperti di Afrika sebagai nisbah kepada pengasasnya Ahmad yang mendakwa sebagai Nabi. Tetapi nama popular mereka adalah Qadiyaniah seperti yang tersohor di Pakistan, India dan lain-lain Negara islam.



Tarikh kemunculan;

Di bawah pengaruh pengasasnya kumpulan sesat ini muncul pada ke 19 Masihi ketika munculnya penjajah British di India. Telah terbukti secara tarikh dan ilmiah bahawa mereka ini muncul dengan kerjasama British sebagai satu maslahat politik penjajah ketika itu. Mereka ini menjadi balaci, pembantu tidak rasmi penjajah seperti yang telah di akui sendiri oleh pengasasnya dalam beberapa tulisan beliau. Mereka ini dilindungi dan ditaja oleh British. Tidak hairanlah jika antara asas akidah mereka ialah membatalkan jihad dan wajib taat kepada golongan pemerintah sekalipun mereka adalah penjajah kafir!


Pengasas kesesatan;

Mirza Ghulam Ahmad bin Mirza Ghulam Murtadho bin Ato Muhammad (Dajjal yang mendakwa sebagai Nabi), mendakwa beliau adalah berasal daripada Monggol yang datang dari Samarqand. Pada masa yang lain beliau mendakwa bahawa beliau berasal dari China, kadang-kadang mengaku berasal dari Parsi daripada kerabat yang menerima wahyu. Kadang-kadang beliau mendakwa pula bahawa beliau adalah daripada keturunan Fatimah binti Muhammad (Ali Bait). Semua pertentangan ini jika ditanya kembali pasti akan dijawab bahawa; "Demikianlah Allah memberitahu aku melalui wahyu".


Pengasas sesat ini dilahirkan pada 1840 M di tempat bernama Qadiyan salah satu kampong di Punjab India. Keluarga beliau terkenal sebagai mereka yang membantu penjajahan British, bekerjasama dengan satu puak (Syekhh) yang juga merupakan puak yang sangat memusihi islam dan muslimin di India.


Dakwaan-dakwaan sesat Ahmad Qadiyani;

1) Mendakwa sebagai Nabi secara berperingkat-peringkat, bermula dengan dakwaan beliau menerima wahyu Allah melalui cara ilham.

2) Kemudian mula mendakwa bahawa beliau adalah reformis zaman yang sama seperti Isa bin Maryam dalam beberapa sifat seperti tawadhu' dan lain-lain lagi.

3) Kemudian mendakwa bahawa beliaulah Nabi Isa akhir zaman seperti yang dijanjikan dalam al-hadis akan tetapi beliau menyatakan bahawa beliau hanyalah separuh nabi.

4) Tahun 1901 M beliau mula mendakwa sebagai Nabi dan rasul yang sempurna.

5) Pada tahun 1904 M beliau menambah dakwaannya yang baru pula bahawa beliau adalah (Krishna) yang merupakan tuhan sembahan agama hindu. Yang dianggap sebagai Allah dalam agama Samawi (langit).


Akhir hayat Ghulam Ahmad;

Pada tahun 1907 M beliau mencabar seorang ulama India terkenal: Maulana Thanaullah Tisri yang telah membongkarkan kepada awam tentang kekafiran Mirza Ghulam Ahmad. Nabi dusta ini telah menulis sepucuk surat pada 5 april 1907 M berdoa supaya Allah mencabut nyawa salah seorang diantara mereka yang dusta dengan ditimpakan sakit sebelum matinya dengan sakit taun .


Allah telah mendedahkan penipuan Mirza Ghulam dan memenangkan yang hak. Selepas 13 bulan 10 hari Allah telah datangkan penyakit ini kepada Mirza seperti yang didoakan. Maka binasalah Nabi dusta ini dengan penyakit taun 26 mei 1908 M! Al-hamdulillah di atas kematian yang sangat disyukuri ini. Adapun ulama yang alim: Maulana Thanaullah Tisri pula telah hidup selama 40 tahun selepas kematian nabi dusta bernama Ghulam Ahmad.


Pengganti kepada dajjal yang dusta ini;

Selepas binasanya salah satu dajjal akhir zaman ini, kesesatan ini telah diteruskan dan dipanjangkan oleh sahabatnya; Hakam Nuruddin. Meneruskan perjuangan sesat Ghulam ini sehinggalah beliau juga dibinasakan pada tahun 1914 M. selepas itu Qadiyani telah berpecah kepada dua puak, setiap puak mendakwa mereka adalah pengganti @ khalifah kepada Mirza Ghulam. Demikian kesesatan dan bidaah semakin bercambah dan berpecah-pecah kerana matlamat mereka adalah dunia, nafsu, dan pangkat yang dipandu oleh akal sesat mereka.


Tanda, alamat dan syiar pengikut mereka;

Mereka tiada tanda yang khas agar dapat dikenal pasti, bahkan mereka berwatakan seperti orang islam dalam banyak perkara. Akan tetapi di sana 2 perkara yang penting perlu diketahui;

1) Pendakwah Qadiyaniah ketika menyebarkan racun berbisa mereka tidak akan menzahirkan kesesatan mereka. Akan tetapi lebih kerap menggunakan kalimah kebangkitan dan reformasi sebagai satu umpan. Apabila mereka sudah mendapat sasaran yang menerima dan menyokong mereka, maka barulah mereka akan menyatakan bahawa mazhab al-Qadiyaniah adalah islam yang sebenar.

2) Mirza Ghulam telah menggunakan taktik Tadarruj (step by step). Demikianlah juga pendakwah-pendakwahnya dalam menyesatkan manusia. Sedikit demi sedikit akan membawakan ungkapan dan lafaz-lafaz Mirza Ghulam Ahmad.



Beberapa pengangan asas penting al-Qadiniah;

1) Beriktikad bahawa kenabian belum tamat dan belum berakhir dengan kewafatan baginda Nabi Muhammad. Mereka tidak mengimani nusus-nusus yang berkaitan dengan tamatnya kenabian di dunia in selepas Nabi Muhammad.

2) Mereka mengimani bahawa tuhan mereka kononnya (Allah) bersifat dengan sifat-sifat manusia, berpuasa, menunaikan solat, berjaga dan tidur, melakukan kesilapan dan perkara-perkara yang benar. Menulis, melakukan jimak dan berbagai-bagai lagi kekufuran yang amat malu untuk dinyatakan.

3) Beriktikad bahawa mereka memiliki kitab yang menandingi al-Quran iaitu 20 juz yang dinamakan (al-Kitab al-Mubin).

4) Beriktikad bahawa kampong Qadiyan adalah seperti Mekah dan Madinah bahkan lebih mulia dan afdhal daripada 2 tempat tersebut.

5) Beriman bahawa haji yang diwajibkan itu ialah menyertai perhimpuanan tahunan di kampong Qadiyan.

6) Mereka melihat bahawa 1/2 agama mereka dan rukun asas teragung mereka ialah mentaati kerajaan Britain.



Apakah hukuman ulama terhadap mereka?

Ijma' ulama islam bahawa pengikut ajaran Qadiyani ini adalah kafir dan keluar daripada ajaran islam. Ulama Pakistan telah mengeluarkan fatwa yang banyak disamping ulama-ulama yang lain. Semua iktikad-iktikad mereka ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Nabi yang menjadi rujukan utama dalam akidah, syariah dan akhlak.


Rujukan-rujukan penting;

- ما هي القاديانية ؟ أبو الأعلى المودودي

- القادياني والقاديانية" لأبو الحسن الندوي.

- القاديانية" لإحسان إلهي ظهير.

- موقف الأمة الإسلامية من القاديانية" نخبة من علماء باكستان.

- القاديانية نشأتها وتطورها" حسن عيسى.


Jumaat, 18 Disember 2009

Mari Berpuasa Asyura & Tasua'



Kelebihan puasa asyura.

1) Daripada Abdullah bin Abi Zaid bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas ditanya tentang berpuasa pada Hari Asyura. Beliau menjawab: "Aku tidak tahu bahawa Rasulullah berpuasa sehari mengharapkan kelebihannya berbanding hari-hari lain kecuali pada hari ini (Asyura), tidak juga pada bulan-bulan lainnya kecuali pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan," hadis soheh Bukhari (2006) & Muslim (1132).

2) Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi berkata; "Berpuasa pada hari Asyura aku berharap kepada Allah agar mengkafarahkan setahun yang telah lalu,”hadis riwayat Muslim (1162) dan Abi Dawud (2425).


Dua hadis ini menggambarkan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram. Iaitu pengampunan Allah bagi dosa tahun yang lalu. Yang masyhurnya dikalangan ulama pengampunan dosa ini hanyalah pada dosa-dosa kecil bukan dosa-dosa besar yang perlukan kepada taubat. Imam An-Nawawi berkata; " Diampunkan bagi dosa-dosa kecil dan takdirnya ialah; diampunkan dosa-dosanya keseluruhannya kecuali dosa-dosa besar". Al-Majmuk 6/382.


Syeikhul islam Ibnu Taimiyyah berkata; "Pengampunan dosa bagi orang yang bersuci (berwuduk), solat, puasa Ramadhan, puasa Arafah dan Asyura hanyalah bagi dosa-dosa kecil sahaja". Al-fatawa al-kubra 4/428.


Apa yang mereka nyatakan ini adalah bersandarkan kepaada hadis Nabi dalam soheh Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda; "Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat, Ramadhan kepada Ramadhan, adalah pengampunan dosa diantara keduanya jika dijauhi dosa-dosa besar".


Banyak berpuasa pada bulan-bulan haram;

Daripada Abu Hurairah berkata, Nabi bersabda; "Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah bulan Allah yang diharamkan," riwayat Muslim (1982).


Bulan yang disandarkan kepada Allah menunjukkan pengagungan. Daripada zahir hadis menunjukkan bahawa ianya adalah merangkumi semua bulan-bulan haram (Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Akan tetapi perlu diketahui bahawa tidak pernah thabit daripada Baginda bahawa beliau berpuasa penuh sebulan kecuali pada bulan Ramadhan. Maka hadis ini memberi maksud galakkan agar membanyakkan puasa pada bulan-bulan tersebut.



Asal usul puasa pada 10 Muharram;

Daripada Ibnu Abbas berkata; " Rasulullah datang ke Madinah maka Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram lalu Baginda bersabda; kenapa begini? Mereka menjawab; "Ini adalah hari yang baik, Allah telah menyelamatkan pada hari ini Nabi Musa dan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka (Fira’un) maka Musa berpuasa. Lalu Nabi bersabda; "Aku lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa, maka Nabi berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa". Dalam riwayat yang lain, "Maka kami berpuasa pada hari tersebut sebagai menghormatinya". Hadis riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130).


Daripada Salamah bin Al-Akwa' bahawa Rasulullah memerintahkan seorang lelaki supaya mengumumkan kepada manusia yang muslim; "Sesiapa yang telah makan maka hendaklah dia berpuasa selepas itu, sesiapa yang belum makan maka berpuasalah, maka sesungguhnya hari ini adalah hari Asyura". Hadis riwayat Bukhari (2007) dan Muslim (1135).


Pilihan berpuasa selepas kefardhuan puasa ramadhan;

Daripada Aisyah beliau berkata; "Puasa Asyura adalah sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Maka tatkala turun kewajipan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang mahu berpuasa (Asyura) berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu maka dia berbuka". Bukhari (2001) dan muslim (1125).


Daripada Abdullah bin Umar berkata; "Puasa Asyura berpuasa padanya ahli jahiliyyah, maka tatakala turun kewajipan Nabi bersabda; "Sesiapa yang mahu berpuasa (Asyura) berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka dia tidak perlu berpuasa". Hadis Bukhari (1892) Muslim (1126).


Daripada Jabir bin Samurah berkata; "Adalah Rasullullah memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari Asyura dan memberi galakkan kepada kami, dan Nabi mengambil janji terhadap kami disisinya, maka tatkala difardhukan Ramadhan, Baginda tidak menyuruh kami dan tidak melarang kami daripadanya dan Nabi tidak mengambil janji kami di sisinya". Hadis Muslim (1128).


Ibnu Hajar dalam Fathul Bari berkata; "Dan dapat diambil daripada keseluruhan hadis bahawa puasa asyura ini pada mulanya adalah wajib kerana thabitnya perintah berpuasa, kemudian ianya menjadi lebih kuat lagi dan kuat lagi ketika diumumkan kepada umum. Bertambah wajib lagi ketika Nabi memerintahkan agar orang yang sudah makan meneruskan puasanya, kemudian perintah Baginda supaya ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kecil pada hari tersebut dan kata-kata Ibnu Mas'ud dalam soheh Muslim "Tatkala difardhukan Ramadhan maka ditinggalkan Asyura", dengan pengetahuan bahawa tidak ditinggalkan hukum sunnah puasa Asyura itu bahkan kekal ianya sebagai sunnah. Maka ianya memberi petunjuk bahawa yang ditinggalkan ialah kewajipannya (iaitu menjadi tidak wajib). Fathul Bari 4/247.


Disunatkan berpuasa 9 Muharram bersama dengan 10.

Daripada Ibnu Abbas berkata; "Ketika Nabi berpuasa Hari Asyura dan memerintahkan agar berpuasa, Sahabat berkata; "Ya Rasulullah sesungguhnya ia adalah hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi bersabda; "Maka jika tahun akan datang insyaallah kita akan berpuasa Tasyua' (9 Muharram)". Ibnu Abbas berkata : "Maka belum sempat datang tahun hadapannya kecuali Rasulullah telah wafat". Hadis riwayat Muslim (1916).


Imam Syafie, Ahmad, Ishak dan lain-lainnya berkata; "Disunatkan berpuasa Tasua' dan Asyura bersama kerana Nabi berpuasa pada 10 Muharam dan telah berniat untuk berpuasa 9 Muharam".


Atas dasar ini maka berpuasa Asyura ada tingkatannya; yang paling kurangnya ialah berpuasa pada hari Asyura sahaja, lebih baik daripada itu ialah berpuasa 9 dan 10 Muharram. Dan setiap kali bertambahnya puasa pada bulan Muharram maka ianya adalah lebih baik dan afdhal.


Hikmah disunatkan puasa 9 Muharam;

Imam An-Nawawi berkata:" Para ulama dikalangan Sahabat kami (Syafieyyah) dan selain mereka menyatakan tentang hikmah berpuasa Tasua' (9 muharam) dengan beberapa wajah;

1) Ianya adalah bertujuan menyalahi Yahudi (tidak sama dengan mereka) ketika hanya berpuasa Asyura sahaja.

2) Adalah bertujuan menyambung puasa Asyura dengan puasa seperti larangan Nabi berpuasa pada hari Jumaat semata-mata. Ini disebutkan oleh Al-Khattobi dan ulama-ulama lain.

3) Sebagai langkah berjaga-jaga ketika kita berpuasa Asyura, yang mungkin ditakuti kurang sehari anak bulan. Maka akan berlaku kesilapan hari ketika berpuasa. Maka boleh jadi puasa 9 Muharram itu adalah yang sebenarnya 10 Muharram".

Akan tetapi wajah yang paling kuat adalah yang pertama. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan; "Nabi Muhammad Alaihi Solatu Wassalam telah melarang daripada menyerupai Ahli Kitab dalam hadis-hadis Baginda yang banyak seperti dalam sabda Baginda tentang Asyura; "Jika aku hidup pada tahun hadapan maka aku pasti berpuasa Tasua' (9 Muharram). Al-majmuk al-kubra.


Daripada Ibnu Abbas beliau berkata; "Telah berkata Nabi Muhammad :"Berpuasalah pada hari Asyura (10 Muharram), dan selisihilah Yahudi (jangan menyerupainya), berpuasalah sebelumnya sehari ataupun selepasnya sehari". Hadis riwayat Ahmad (1/241) Ibnu Huzaimah (2095) dan Al-Baihaqi.


Apakah hukum berpuasa Asyura sahaja?

Syeikhul Islam berkata; "Berpuasa pada hari Asyura adalah kaffarah (pengampunan) setahun dan tidak dimakruhkan mengifradkannya dengan puasa (puasa asyura sahaja). Al-Fatawa al-Kubra.


Ibnu Hajar Al-Haithami dalam Tuhfatul Muhtaj bab puasa sunat berkata; "Dan puasa Asyura tidak mengapa berpuasa pada hari itu sahaja". Selamat berpuasa, Wallahu a'lam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...