Mari kita menekuni dan mendalami apa yang telah ditulis oleh Imam Ahmad bin Hambal 164-241 H dalam Muqaddimah kitabnya (Ar-Radd Ala Az-Zanadiqah Wal Jahmiyyah). Saya akan terangkan mengikut keperluan dalam Hamish (footnote) sebagai keterangan. Berkata Imam Ahmad Rahimahullah;
قال الإمام أحمد: ((الحمد لله الذي جعل في كل زمان فترة من الرسل بقابا من أهل العلم يدعون من ضل إلي الهدى ويصبرون منهم علي الأذي يحيون بكتاب الله الموتي ويبصرون بنور الله أهل العمي فكم من قتيل لإبليس قد أحيوه وكم من تائه ضال قد هدوه فما أحسن أثرهم علي الناس وأقبح أثر الناس عليهم ينفون عن كتاب الله تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين الذين عقدوا ألوية البدعة وأطلقوا عنان الفتنة فهم مختلفون في الكتاب مخالفون للكتاب متفقون علي مفارقة الكتاب يقولون علي الله وفي الله وقي كتاب الله بغير علم يتكلمون بالمتشابه من الكلام ويخدعون جهال الناس بما يلبسون عليهم فنعوذ بالله من فتن المضلين))
((Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan bagi setiap zaman (satu tempoh terputusnya perutusan nabi & rasul)[1], saki-baki (yang sedikit) dikalangan ahli ilmu yang mereka ini menyeru manusia daripada kesesatan kepada hidayah[2], mereka ini bersabar menanggung kesakitan dan kepedihan[3], mereka ini menghidupkan dengan kitab Allah orang yang mati[4], mereka ini memperlihatkan cahaya-cahaya Allah kepada orang yang buta[5]. Berapa ramaikah orang yang dibunuh oleh iblis akan tetapi dihidupkan dengannya[6]? Berapa ramaikah orang yang terpesong sesat telah mereka beri petunjuk? Betapa baiknya kesan mereka kepada manusia dan betapa buruknya kesan-kesan manusia pada mereka[7]? Mereka ini (para ulama) menafikan kitab Allah daripada Tahrif (penyelewengan) orang-orang yang ghulu (melampau) dan campur tangan orang-orang yang batil, menolak takwilan orang-orang yang jahil yang telah mengikat panji-panji bida'ah, mereka ini telah menyebarkan silsilah dan talian fitnah[8], mereka ini menyelisihi apa-apa yang terkandung dalam al-kitab[9], mereka ini bersetuju @ bersepakat dengan meninggalkan al-kitab[10]. Mereka ini menyatakan sesuatu terhadap Allah, tentang Allah dan apa yang terdapat dalam kitab Allah tanpa ilmu[11]. Mereka ini berkata-kata dengan kalam yang penuh keraguan[12]. Mereka ini memperdayakan orang-orang yang jahil dengan apa-apa kesamaran (keraguan) yang terdapat dalam diri mereka. Maka kita berlindung dengan Allah daripada fitnah-fitnah orang-orang yang menyesatkan)).
[1] Bermaksud; satu tempoh tiada para Nabi dan Rasul, akan tetapi kata-kata Imam Ahmad bermaksud selepas kewafatan Nabi Muhammad yang sudah pastinya tiada Rasul, maka pewaris para Nabi dan Rasul itu ialah para ulama seperti disebutkan dalam hadis yang soheh dan hal ini dapat difahami daripada kata-kata Imam Ahmad selepas itu; (saki baki ahli ilmu / ulama)
[2] Inilah tugas Ulama Rabbani yang mereka ini adalah wali-wali Allah. Adapun wali-wali Syaitan mereka akan menyeru kepada kesesatan dan hawa nafsu mereka semata-mata. Wali-wali Allah ini menyedarkan manusia daripada kesesatan dan kejahilan. Memberi petunjuk kepada jalan para Anbiya yang lurus iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad.
[3] Inilah keistimewaan mereka, sentiasa bersabar dalam dakwah yang pastinya sentiasa menghadapi rintangan dan halangan. Samada halangan-halangan itu sesuatu yang zahir ataupun batin. Kesakitan dan kepedihan itu lazimnya datang daripada umat manusia yang menerima dakwah tersebut. Demikianlah para Anbiya seluruhnya. Ini dijelaskan oleh Nabi dalam hadis baginda yang soheh; ((Sedahsyat-dahsyat manusia yang di uji ialah para Anbiya kemudian mereka yang seumpama mereka dan seumpama mereka)).
[4] Yang dimaksudkan disini ialah orang yang mati hatinya. Al-quran menghidupkan hati-hati yang mati, melembutkan hati-hati yang keras membatu, memberikan rahmat dan keberkatan dalam kehidupan, menjadi petunjuk bagi sekalian makhluk, menjadi penyembuh bagi sekalian penyakit, dan al-Quran adalah mukjizat Nabi Muhamad yang paling agung.
[5] Ya, para ulama inilah yang telah menyebarkan ilmu-ilmu Allah kepada umat manusia sebagai rentetan daripada dakwah Nabi. Merekalah yang telah menerangkan menjelaskan permasalahan akidah islamiah dan hukum hakam, merekalah yang telah menapis dan menyaring hadis-hadis Nabi daripada kejahatan ciptaan manusia jahil dan munafik. Dengan panduan yang dibawa oleh para ulama Rabbani inilah maka kita lebih mengenali agama Allah yang suci ini.
[6] Iaitu orang-orang yang dibunuh hatinya oleh dorongan iblis dengan melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah. Jauh daripada petunjuk Nabi dan solehin. Tetapi disebabkan ulama Rabbani inilah mereka hidup semula dengan dunia yang jernih dan suci daripada dosa dan noda.
[7] Kesan para ulama ini menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan Rasul, memahami ajaran agama dan mengamalkannya. Menjadikan bumi tenang harmoni dan diberkati oleh Allah sebagai Negara yang baik dan mendapat keampunan tuhan. Akan tetapi kesan-kesan manusia kepada mereka adalah sebaliknya. Manusia tidak menghargai para ulama seperti kelazimannya, manusia menyakiti para ulama, manusia memusuhi para ulama dengan mencerca, menghina, menfitnah, bahkan membunuh dan sebagainya. Hal yang sama sebenarnya dilakukan terhadap para Anbiya wal Mursalin.
[8] Inilah diantara tanda-tanda ahli bidaah, menfitnah dan menipu dalam penyampaian mereka, tiada amanah dalam menaqalkan kata-kata, merubah dan menyelewengkan maksud yang sebenarnya kepada maksud-maksud rekaan yang tercela dan amat menghinakan. Dengan sebab merekalah fitnah berleluasa di muka bumi dan pertembungan yang hak dan bathil berterusan sebagai kesinambungan Sunnah Allah al-Kauniyyah.
[9] Iaitu dengan sentiasa mencari helah untuk melarikan diri daripada berpegang dengan maksud sebenar al-Quran dan Sunnah. Membawa fahaman-fahaman songsang yang direka oleh pemikiran kontot mereka yang diselaputi oleh ilham-ilham Syaitan yang menyesatkan.
[10] Bersepakat secara mereka sedari mahupun tidak. Lihatlah bagaimana pegangan mereka terhadap ayat-ayat Allah yang Mutasyabihat? Sehinggakan pada ayat-ayat yang Muhkamat juga akan kita dapati bahawa mereka sepakat untuk mendahulukan akal fikiran kontot mereka untuk menyanggahi nas-nas wahyu. Mereka sentiasa berselisih faham dalam memahami maksud akan tetapi sentiasa sepakat untuk membelakangkan nas-nas wahyu. Bukankah sepatutnya wahyu didahulukan berbanding akal kontot mereka? Bukankah sepatutnya kata-kata dan ilmu daripada pencipta sekalian makhluk ini lebih berhak diutamanakan? Akan tetapi terlalu sedikit diantara mereka yang berfikir.
[11] Iaitu mentafsirkan agama ini mengikut acuan akal mereka yang kontot semata-mata. Tanpa mengetahui ilmu-ilmu syarak secara mendalam tetapi dengan beraninya memberi fatwa dan pandangan. Dengan beraninya menyangkal kata-kata Allah yang dapat difahami oleh orang-orang awam. Mula berkata tentang Zat Allah dan sifat-sifat Allah seolah-olah merekalah yang lebih tahu tentang Allah berbanding Allah Taa'la sendiri. Sedang pengetahuan mereka tentang diri mereka sendiri pun terkadang tidak difahami dan diragui.
[12] Iaitu kata-kata yan sering bertentangan dengan akal waras dan kebenaran, kata-kata dan teori yang sangat diragui kebenarannya. Kata-kata yang sentiasa menjadi pertikaian sehinggakan sesama mereka sendiri. Jadi bagaimana kata-kata yang meragukan ini hendak didahulukan? Sebab itu Allah menyatakan yang bermaksud ((kalaulah al-quran ini bukan daripada Allah nescaya kamu semua akan dapati didalamnya terkandung perbezaan dan perselisihan yang amat banyak)). Inilah tabiat akal manusia sebenarnya, sebab itu wahyu adalah kayu ukur dalam menentukan kebenaran tanpa menafikan kewajaran akal yang waras dalam menilai yang tidak bertentangan dengan pemahaman sahabat dan tabien.
0 comments:
Catat Ulasan