RSS Feeds

Jumaat, 19 Disember 2008

Solat jenazah, kenapakah berbayar?

Antara kebiasaan masyarakat melayu kini ialah memberi saguhati wang selepas selesai melakukan solat jenazah. Samada wang itu hasil dari sedekahan orang ramai ataupun menggunakan harta warisan yang ditinggalkan oleh si mati, ianya tetap memberi implikasi buruk kepada masa depan umat.

Apa yang dapat kita lihat sekarang ialah seolah-olah menjadi kemestian untuk memberikan wang saguhati bagi mereka yang menyertai solat jenazah. Jika tidak pasti akan diungkit dan mungkin bilangan mereka yang solat boleh dikira dengan jari.


Perkara kedua ialah; Niat keikhlasan individu akan tercemar kerana mungkin ada yang terbayang berapakah habuan yang akan diperoleh selepas selesai solat? Sudah barang pasti kekhusyukan dan keikhlasan si lelaki yang melakukan solat jenazah tercemar.


Ketiga; Jika si mati merupakan orang miskin dan meninggalkan waris-waris yang miskin sudah tentu wang yang perlu disediakan untuk upah solat amat membebankan. Khususnya jika yang hadir melebihi jangkauan dan wang yang diperlukan bagi setiap orang ialah lima ringgit! Bak kata pepatah; "sudahlah jatuh ditimpa tangga". Dimanakah logiknya memberikan upah solat ini? Adakah kewajipan fardhu kifayah ini memerlukan umpanan dunia untuk dilaksanakan?


Keempat; Atas alasan pemberian ini sekadar memberi galakan untuk para muslimin menyertai solat jenazah, apakah kemungkinan yang akan difikirkan oleh generasi akan datang? Bukanlah suatu perkara yang mustahil satu masa nanti, mereka akan berfikir bahawa solat jenazah tanpa upah wang adalah dosa dan melanggar adat keagamaan.


Kelima; Timbul persoalan adakah suatu yang amat berat mengangkat 4 kali takbir dengan bacaan-bacaan yang ringkas? Dimanakah perasaan ukhuwwah orang yang masih hidup kepada si mati? Kesimpulannya ialah; Adalah sesuatu yang tidak wajar meneruskan tradisi memberi saguhati kepada mereka yang melakukan solat jenazah. Ana berburuk sangka bahawa, pasti yang menentang cadangan ini ialah beberapa imam yang sudah pasti mendapat habuan yang lebih tinggi kerana mengimami solat jenazah.

Ahad, 14 Disember 2008

Salah faham tentang Haji Akbar

Ramai beranggapan haji Akbar berlaku jika hari Arafah (9 Zulhijjah) bertembung dengan hari Jumaat, maka itulah haji Akbar yang konon pahalanya lebih berkali ganda berbanding haji tidak Akbar. Adakah tanggapan ini berpunca daripada salah faham tentang haji Wada' Nabi yang mana ianya memang secara kebetulan hari Arafahnya jatuh pada hari Jumaat? Kemungkinan ini mungkin wujud.

Apa yang jelas ialah; haji Akbar ini sebenarnya berlaku pada setiap tahun musim haji iaitu pada 10 Zulhijjah yang juga merupakan hari perayaan Idul Adha. Ini berlandaskan kepada dalil-dalil yang datang daripada baginda Nabi melalui hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Abi Daud, Tirmizi dan lain-lain tokoh hadis terkenal. Berpadalah dengan 2 hadis yang akan dibawakan seperti yang di bawah ini. Semoga ianya membawa petunjuk.


عَنِ ابْنِ عُمَرَ – رضى الله عنهما – قَالَ قَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – بِمِنًى « أَتَدْرُونَ أَىُّ يَوْمٍ هَذَا » . قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ . فَقَالَ « فَإِنَّ هَذَا يَوْمٌ حَرَامٌ ، أَفَتَدْرُونَ أَىُّ بَلَدٍ هَذَا » . قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ « بَلَدٌ حَرَامٌ ، أَفَتَدْرُونَ أَىُّ شَهْرٍ هَذَا » . قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ . قَالَ « شَهْرٌ حَرَامٌ – قَالَ – فَإِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا ، فِى شَهْرِكُمْ هَذَا ، فِى بَلَدِكُمْ هَذَا » . وَقَالَ هِشَامُ بْنُ الْغَازِ أَخْبَرَنِى نَافِعٌ عَنِ ابْنِ عُمَرَ – رضى الله عنهما – وَقَفَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِى الْحَجَّةِ الَّتِى حَجَّ بِهَذَا ، وَقَالَ « هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الأَكْبَرِ ». البخاري

Daripada Ibnu Umar beliau berkata; Telah bersabda Nabi ketika di Mina; "Tahukah kamu semua hari apakah ini?" Para sahabat menjawab : Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Nabi bersabda; "Sesungguhnya ini adalah hari haram, tahukah kamu semua negeri apakah ini?" Para sahabat menjawab;Aallah dan rasulNya lebih mengetahui. Nabi bersabda: "Negeri tanah haram, tahukah kamu bulan apakah ini?" sahabat menjawab; Allah dan rasulNya lebih mengetahui. Nabi bersabda; "Bulan haram, sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu darah-darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu sebagaimana Allah haramkannya pada hari ini, dalam bulan ini dan di dalam negeri ini. Telah berkata Hisyam bin al-Ghazz, Nafi' mengkhabarkan kepadaku daripada Ibnu Umar beliau berkata; "Nabi berdiri pada hari Nahr (10 Zulhijjah) diantara Jamarat pada musim haji yang dilaksanakan oleh baginda, kemudian Nabi bersabda; (ini adalah hari haji Akbar (haji besar).


Ibnu Hajar berkata ; "hadis ini menunjukkan bahawa haji Akbar ialah pada 10 Zulhijjah dan akan datang perbahasannya dalam surah Baraah (Taubah). Disebutkan juga dalam Fathul Bari;

وَقَوْله وَإِنَّمَا قِيلَ الْأَكْبَر إِلَخْ فِي حَدِيث اِبْن عُمَر عِنْدَ أَبِي دَاوُدَ وَأَصْله فِي هَذَا الصَّحِيح رَفْعه " أَيْ يَوْم هَذَا ؟ قَالُوا : هَذَا يَوْم النَّحْر ، قَالَ : هَذَا يَوْم الْحَجّ الْأَكْبَر " وَاخْتُلِفَ فِي الْمُرَاد بِالْحَجِّ الْأَصْغَر فَالْجُمْهُور عَلَى أَنَّهُ الْعُمْرَة ، وَصَلَ ذَلِكَ عَبْد الرَّزَّاق مِنْ طَرِيق عَبْد اللَّه بْن شَدَّاد أَحَد كِبَار التَّابِعِينَ ، وَوَصَلَهُ الطَّبَرِيُّ عَنْ جَمَاعَة مِنْهُمْ عَطَاء وَالشَّعْبِيُّ ، وَعَنْ مُجَاهِد : الْحَجّ الْأَكْبَر الْقِرَان وَالْأَصْغَر الْإِفْرَاد . وَقِيلَ يَوْم الْحَجّ الْأَصْغَر يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْم الْحَجّ الْأَكْبَر يَوْم النَّحْر لِأَنَّ فِيهِ تَتَكَمَّل بَقِيَّة الْمَنَاسِك . وَعَنْ الثَّوْرِيّ : أَيَّام الْحَجّ تُسَمَّى يَوْم الْحَجّ الْأَكْبَر كَمَا يُقَال يَوْم الْفَتْح .


Adapun katanya; Hanyasanya dikatakan haji Akbar…….dalam hadis Ibnu Umar dari hadis Abi Daud dan yang asalnya dalam soheh ini adalah hukum Marfu'. Hari apakah ini? Sahabat menjawab; hari ini hari penyembelihan (10 Zulhijjah), Nabi bersabda; "Ini adalah hari haji besar (Akbar). Terdapat perselisihan dalam memahami maksud haji kecil, jumhur ulama mengatakan ianya adalah umrah….dan daripada Mujahid; "haji Akbar adalah haji Qiran dan haji kecil adalah haji Ifrad. Dikatakan juga bahawa hari haji kecil itu adalah hari Arafah dan haji besar pula ialah hari sepuluh Zulhijjah hari Nahr kerana pada hari akan tersempurna baki ibadah haji. Dan daripada al-Thauri pula beliau berkata; "Hari-hari haji adalah dinamakan hari haji Akbar seperti dikatakan hari pembukaan kota mekah.


عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِى الْحَجَّةِ الَّتِى حَجَّ فَقَالَ « أَىُّ يَوْمٍ هَذَا ». قَالُوا يَوْمُ النَّحْرِ. قَالَ « هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الأَكْبَرِ ». أبي داوود.

Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi berdiri di antara Jamarat pada musim haji yang dilakukan baginda lalu bersabda; "Hari apakah ini?" Sahabat-sahabat menjawab : " hari Nahr (penyembelihan 10 Zulhijjah), Nabi bersabda; "Ini adalah haji Akbar". Hadis riwayat Abi Daud dan di nilai soheh oleh al-Albani. Wallahu a'lam.

Jumaat, 12 Disember 2008

Mengenali Syeikh Nasyiruddin al-Albani

Beliau dilahirkan pada tahun 1333 Hijrah bersamaan 1914 Masihi di Asyqudrah ibu Negara Albania dalam satu keluarga miskin yang kuat beragama dan berilmu pengetahuan. Kemudian beliau bersama bapanya berhijrah ke Damsyik selepas negaranya cenderong kepada fahaman sekular dari barat. Menamatkan pengajian sekolah rendahnya di Damsyik dengan cemerlang. Disebabkan cadangan bapanya akhirnya beliau meninggalkan pendidikan formal dan mengalihkan tumpuan kepada pendidikan sistem lama untuk mempelajari al-Quran, Tajwid, Nahu, Sorof, Fekah mazhab Hanafi dan mengkhatamkan hafazannya di tangan ayahnya. Mempelajari fekah Hanafi dan Balaghah dengan Syeikh Said al-Burhani. Di samping itu beliau juga menpelajari kemahiran membaiki jam tangan dari bapanya yang akhirnya menjadi punca pendapatan hidup beliau.


Cenderong kepada ilmu hadis;

Beliau mula mempelajari ilmu hadis ketika berumur 20 tahun akibat terkesan dengan perbahasan yang ditulis di majalah al-Manar dibawah penyeliaan Syeikh Muhamad Rasyid Redho. Penyelidikan hadis beliau yang pertama ialah menulis kitab ; "Takhrij Ihya' karangan al-Hafiz al-Iraqi". Ini merupakan permulaan yang menjadi pembuka kebaikan kepada riwayat hidup beliau sehingga beliau terkenal sebagai orang yang mengutamakan bidang hadis. Sehinggalah perpustakaan az-Zohiriyyah yang berpusat di Dimasyq menyediakan bilik khas untuk beliau supaya dapat menyumbang dalam penyelidikan kajian ilmiah. Disamping itu beliau juga diberikan kunci perpustakaan tersebut sehingga beliau boleh memasukinya pada bila-bila masa. Sementara karangan beliau yang pertama pula ialah kitab; "Tahzir as-Sajid Min Ittikhoz al-Qubur masajid", kitab Takhrij beliau yang pertama pula yang sehingga sekarang masih dalam manuskrip ialah; " الروض النضير في ترتيب و تخريج معجم الطبراني الصغير" . Disebabkan penglibatan beliau yang aktif dalam bidang hadis beliau amat terkesan dengan Manhaj Salaf selain penelitian beliau terhadap karangan-karang aibnu Taimiyyah dan ibnu Qayyim.


Penglibatan beliau dalam bidang dakwah;

1) Beliau mempunyai Kuliah ilmu yang diadakan 2 kali dalam seminggu yang dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dan penuntut ilmu. Mengajar kitab "Fathul Majid", al-Raudhah al-Nadiyah Syarah al-Durar al-Bahiyyah karang as-Syaukani yang di Syarah oleh Siddiq Hasan Khon, Usul Fiqh karangan Abdul Wahab Khilaf, Fiqh Sunnah karangan Sayyid Sabiq dan lain-lain lagi.

2) Pengajian bulanan beliau setiap minggu pertama dikawasan-kawasan Syiria dan Jordan yang akhirnya menjadi sebab kepada pemenjaraan beliau. Pada tahun 1960 Masihi beliau dipenjarakan oleh kerajaan Syiria sebanyak dua kali. Pertama di penjara Damsyik (penjara yang sama ketika ibnu Taimiyah dipenjarakan) penjara yang kedua di al-Hiskah selama 8 bulan dan dalam tempoh ini beliau mentahqiqkan kitab "Mukhtasor Soheh Muslim karangan al-Munziri".

3) Kuliah Syariah Damsyik telah memilih beliau untuk menjalankan kajian dalam bidang Takhrij hadis-hadis buyu' (jual beli) dalam kitab Encyclopedia Fikh al-Islami.

4) Dipilih sebagai anggota untuk Lajnah Hadis bagi menyebarkan kitab-kitab sunnah yang di bina pada zaman kesatuan antara Syiria dan Mesir .

5) Kementerian pendidikan di Arab Saudi telah menjemput beliau pada tahun 1388 Hijrah untuk mengetuai Jabatan dirasah islamiah di Jamiah Mekah, akan tetapi disebabkan oleh beberapa aral beliau tidak dapat menerimanya.

6) Terpilih sebagai anggota majlis tertinggi Universiti Islam Madinah Munawwarah dari tahun 1395-1398 Hijrah.

7) Pergi ke Negara Qatar dan menyampaikan ceramah dengan tajuk (Kedudukan as-Sunnah dalam islam).

8) Di jemput menghadiri pelbagai muktamar ilmi yang sebahagiannya tidak dapat dihadiri kerana kesebukan beliau.

9) Beliau memiliki karangan-karangan yang banyak dan bermanfaat dalam bidang keilmuan yang sebahagiannya diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Antara karangan-karangan beliau ialah; "Irwa' al-Ghalil Fi Tahkrij Ahadis Manar as-Sabil" , Silsilah Ahadis as-Sohehah, Silsilah Ahadis al-Dhoefah Wal Maudhu'ah", Sifat Solat an-Nabi" dan lain-lain lagi.

10) Majlis pemilihan untuk penganugerahan Malik Faisol International Li ad-Dirasah al-Islamiah telah menjadikan beliau sebagai tokohnya pada tahun 1419 Hijrah bersamaan 1999 Masihi dengan tajuknya;

" الجهود العلمية التي عنيت بالحديث النبوي تحقيقاً و تخريجاً و دراسة" لفضيلة الشيخ محمد ناصر الدين الألباني السوري الجنسية"


Pujian terhadap Syeikh al-Albani;

1) Syeikh al-Allamah Abdul Aziz bin Bazz berkata; "aku tidak melihat orang yang lebih alim dari al-Albani dimuka bumi ini pada zaman sekarang".

2) Syeikh al-Allamah Muhamad bin Soleh al-Uthaimin berkata; "apa yang aku tahu sepanjang pergaulanku yang sedikit ini dengan beliau, merupakan seorang yang bersungguh-sungguh mengamalkan Sunnah, menentang bidaah, samada dalam akidah ataupun amalan, adapun sepanjang pembacaanku terhadap karangan-karangan beliau maka aku tahu bahawa beliau memiliki ilmu yang banyak dalam al-Hadis Riwayah dan Dirayah, dan Allah telah memanfaatkan kitab-kitab beliau kepada manusia dari sudut ilmu dan manhaj".

3) Berkata Syeikh Abdul Aziz al-Hadah; "as-Syeikh al-Amin as-Syanqiti sangat menghormati Syeikh al-Albani dengan begitu pelik, sehinggakan apabila beliau melihat Syeikh al-Albani melintasi pengajiannya di Masjid Mabawi maka Syeikh al-Amin akan berhenti dari mengajar kemudian datang bersalam dengan al-Albani sebagai penghormatan."


Wasiat terakhir Syeikh al-Albani;

Aku mewasiatkan isteriku, anak-anakku, teman-temanku dan semua yang menyukaiku apabila sampai berita tentang berita kematianku maka berdoalah memohon keampuanan dan rahmat untuk aku, pertamanya; hendak dia tidak menangis meratapi kematianku dengan suara yang tinggi.

Yang kedua; Hendaklah mereka mempercepatkan pengebumianku, dan tidak memberitahu kerabat-kerabatku dan saudaraku kecuali dengan kadar patut dan yang memandikan jenazahku ialah (Izzat Khidir Abu Abdillah) merupakan jiranku dan temanku.

Ketiga; Aku memilih untuk dikebumikan di tempat yang paling hampir, supaya orang boleh menbawa jenazahku tanpa menggunakan kenderaan. Dan aku wasiatkan maktabahku (perpustakaan) semuanya samada yang dicetak, fotostet, ataupun yang masih manuskrip kepada University Islam Madinah al-Munawwarah kerana aku mempunyai kenangan-kenangan yang baik selama aku mengajar di sana dalam berdakwah kepada al-Quran dan Sunnah atas Manhaj Salaf as-Soleh."

Ditulis pada; 27 Jumadil Awwal 1410 Hijrah,


Kewafatan;

Beliau kembali ke Rahmatullah sebelum hari Sabtu 22 Jumadil Akhir 1420 Hijrah bersamaan bulan Oktober 1999 Masihi. Dikebumikan selepas solat Isya'. Jenazah beliau di solatkan oleh ribuan muslimin sekalipun dalam masa yang singkat pengurusan jenazah dilakukan untuk pengebumian segera. Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkannya bersama-sama para Syuhada' dan Solehen, Amin.

Rabu, 10 Disember 2008

Selamat Idul Adha

Ana ucapkan selamat menyambut hari raya kepada semua teman-teman seperjuangan, khasnya teman-teman yang masih menunaikan ibadah Haji semoga Allah menerima sebagai haji yang Mabrur insyaAllah. Dikesempatan ini juga, ingin ana memohon jutaan kemaafan daripada sahabat-sahabat yang mengenali ana dan juga para pengunjung blog ini di atas kelemahan dan segala salah silap semoga kita semua mendapat taufiq ke arah jalan yang lurus, Amin.

Sabtu, 6 Disember 2008

Antara hikmah Haji dan matlamatnya

من حكم الحج و مقاصده


Sesungguhnya dalam ibadah haji terdapat makna dan pengertian yang cukup agung, hikmah yang luas dan manfaat yang banyak. Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 28 yang bermaksud: "Supaya mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka". Maka pada kesempatan ini akan cuba disebutkan beberapa matlamat difardhukan ibadah haji kepada kita. Antaranya ialah:


1. Berserah diri dan patuh kepada Syariat Allah .

Berkata ibnu Qayyim: "Sesungguhnya asas pengabdian dan iman kepada Allah, kitab, dan RasulNya adalah penyerahan diri dan tidak banyak soal tentang hikmah disebalik suruhan, larangan dan syariat secara mendalam…"


2. Menegakkan kalimah Tauhid.

Sesungguhnya syariat yang amat besar ini tertegak di atas dasar Tauhid terhadap Allah Semata-mata. Bahkan atas tujuan inilah disyariatkan kepada orang yang melakukan haji agar melazimi talbiah dengan berkata; labbaaikallahumma labbaik ,labbaikalaa syariikalak labbaik innalhamda wanni`mata laka wal mulk. Atas tujuan yang sama jugalah disyariatkan agar kita membaca surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun pada dua rakaat solat sunat tawaf.


3. Mengagungkan Syiar-syiar Allah dan laranganNya .

Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Hajj ayat 32 yang bermaksud; "Demikianlah (perintah Allah) dan barangsiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati".


4. Kecintaan kepada Rasul .

Sesungguhnya kecintaan kepada Rasul membawa kepada amal yang bertepatan dengan Sunnah Rasulullah e dan beriltizam dengannya .Sabda Nabi ; "Ambillah dariku cara-cara mengerjakan haji".


5. Megingati hari pembalasan dan membayangkannya.

Apabila seorang haji meninggalkan tanahair dan menanggung kesusahan bermusafir, hendaklah dia mengingati bahawa dia akan keluar dari dunia yang fana ini menuju ke alam akhirat selepas daripada kematian, dan ketika dia berihram maka hendaklah dia mengingati kain kafan yang akan membalutinya. Manakala kesesakan manusia di Arafah, suara hiruk-piruk serta perbezaan bahasa mengingatkan kita kepada suatu mauqif hari pembalasan dan perhimpunan ummah di hari Mahsyar kelak.


Saudara yang dikasihi, marilah kita bertanya, sejauh manakah ibadah yang kita semua laksanakan tercapai matlamat dan hadafnya? Berlakukah perubahan demi perubahan dalam diri ke arah sesuatu yang bersifat positif? Wujudkah peningkatan dalam ibadah sehari-hari? Atau kita masih berada ditakuk yang lama? Masih tidak ada daya juang untuk menentang kejahilan diri? Masih mencemari ketelusan dan amanah ilmu yang terpikul?


Sahabat yang dikasihi, kita sekarang berada di penghujung tahun dan akan memasuki tahun yang baru. Segala amalan, samada yang baik mahupun yang buruk telah termaktub di dalam suhuf amalan masing2. Sesungguhnya kita tidak mampu untuk menambah amalan kebaikan pada suratan yang lepas, akan tetapi kita mampu bermohon supaya amalan buruk yang lalu diampunkan oleh Tuhan. Walaubagaimanapun, amalan kebaikan yang tidak boleh ditambah itu, boleh terhakis ganjarannya atau terhapus langsung dengan beberapa sebab yang dimaklumi.


"Kalaulah diturunkan al-Quran keatas gunung ganang nescaya kamu akan melihat ia tunduk patuh disebabkan ketakutan kepada Allah, dan demikianlah perumpamaan yang kami berikan kepada manusia semoga mereka termasuk dikalangan orang-orang yang berfikir". Maksud dari surah al-Hasyar ayat 21.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...