RSS Feeds

Ahad, 11 Oktober 2009

Tangan-tangan Fasiq Yang Menulis


الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

"Pada hari yang kami bisukan mulut mereka dan tangan-tangan mereka bertutur kepada kami dan kaki-kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka kerjakan". Surah Yasin; 65.


Ingatlah, bahawa tangan yang menulis ataupun yang menaip adalah salah satu gambaran yang lahir dari hati tetapi tidak dituturkan melalui lidah. Pastinya tangan-tangan yang menulis juga adalah ibarat lidah yang bertutur kerana ia mengambil tempat lidah apabila berada dalam bidang penulisan. Berapa banyak tulisan yang menjuruskan individu kepada fitnah, permusuhan, salah faham, keraguan, kesesatan dan kekufuran? Tulisan-tulisan yang hak dan yang batil akan saling terus bergelut dan berlawanan. Maka berbahagialah mereka yang menulis dengan hati yang bersih kerana Allah, disertakan dengan ilmu pengetahuan dan amanah dalam penulisannya. Amat beratlah dosa mereka yang menulis untuk menyebarkan fitnah, permusuhan, kesesatan dan kekufuran.


Maksud firman Allah; "Dan janganlah kamu berkata sesuatu yang kamu tidak ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati-hati kesemuanya itu akan dipersoalkan (pada hari akhirat)". Surah Isra'; 36.


Sewajibnya para penulis semua berasa takut terhadap amaran-amaran Allah yang keras. Samada mereka ini penulis akhbar, sajak, puisi, makalah ilmiah, buku dan yang seumpamanya, ingatlah bahawa jari-jari mereka akan menjadi saksi kepada apa yang mereka catatkan. Ingatlah bahawa buku-buku dan penulisan mereka akan kekal berabad lamanya dan menjadi rujukan kepada mereka generasi akan datang. Bayangkanlah jika apa yang ditulis itu menjadi factor kepada kesesatan umat islam sejagat? Bukankah amat berat tanggungannya dihadapan Allah?


Sedia dimaklumi bahawa golongan penulis-penulis fasiq ini berada dimana-mana tempat dan dalam semua bahasa dan bangsa. Mereka cuba membawa manhaj dan metod kefahaman mereka untuk disebarkan dan difahami oleh umum manusia. Seringkali golongan yang tidak bertaqwa ini menjadikan segala macam cara untuk mencapai matlamatnya. Penipuan, kedustaan, pemfitnahan, penghasutan, mengadu domba dan pelbagai lagi macam cara menghalalkan gerakan dan tindakan mereka, demi matlamat yang perlu digapai. Islam tidak pernah menghalalkan segala macam kemungkaran demi memartabatkan satu matlamat. Nabi tidak pernah membunuh orang kafir untuk diIslamkan. Para sahabat tidak pernah mencuri kekayaan orang kafir untuk disedekahkan kepada Fuqara dan Masakin. Ini hanyalah sebahagian contoh membuktikan bahawa prinsip islam itu tetap menyatakan (Matlamat tidak menghalalkan cara)


Pada minggu lepas telah berlaku tragedi yang amat menyedihkan umat islam di Arab Saudi. Seorang ulama terkenal yang berada dalam majlis hai'ah kibar ulama Saudi dipecat daripada tugasnya. Punca pemecatan ini kerana kejayaan tangan-tangan fasiq yang menulis untuk menyebarkan fitnah terhadap beliau.


Isunya apabila seorang pemanggil bertanyakan tentang keadaan penubuhan KING ABDULLAH UNIVERSITI di Jeddah, jawapan Syeikh Saad asSyetsri sangat jelas bahawa beliau menyokong penubuhan university ini dan berdoa agar ia menjadi pemangkin kearah peningkatan taraf kemulian ummat. Beliau secara lembut menyatakan bahawa King Abdullah pastinya tidak setuju dengan kekurangan yang berlaku pada university. Beliau mencadangkan pengwujudan satu department menilai sukatan pelajaran dan mengulas tentang isu pencampuran antara lelaki dan perempuan (Ikhtilat). Dan ini telah menjadi satu buah kilas yang diperbesarkan dan dieksploitasi secara ekstrem oleh para journalis yang mungkin berniat tidak baik pada ulama dan institusinya.


Adakah ulama yang hebat ini rugi? Beliau tidak kerugian apa-apa dan tidak membantahpun kerana beliau bukanlah ulama yang gilakan jawatan dan wang. Yang rugi adalah umat islam! Dan yang dikhawatiri ialah tercemarnya maruah dan kehebatan institusi ulama. Mereka diserang secara senyap oleh penulis-penulis jahat yang mahu melihat supaya islam di Saudi lebih liberal. Mengubah gaya kehidupan supaya tidak jumud kononnya kerana mengamalkan islam dan terikat dengan fatwa-fatwa ulama. Mereka mahukan supaya ajaran islam tidak diamalkan dan ditinggalkan secara berperingkat-peringkat. Semoga Allah menjadikan rencana kejahatan mereka ini sebagai satu kehancuran buat diri mereka.

Isnin, 5 Oktober 2009

Adakah Anda Insan Berjaya @ Gagal?


Walaupun agak terlewat, saya ingin juga mengucapkan selamat menyambut Eidul Fitri kepada semua muslimin. Semoga ibadah Ramadhan memberi kesan positif yang berterusan dalam kehidupan kita semua. Jangan lupa untk kita sama-sama menghabiskan puasa 6 di bulan Syawal yang mulia ini.


Semalam ketika saya mendaftarkan subjek-subjek pengajian dalam semester kedua di pusat pentadbiran university, saya tertarik dengan satu tulisan ringkas yang tertampal di dinding dengan tajuk; هل أنت فاشل أم ناجح؟


Jadi, sebelum saya bertolak ke Mekah pada petang ini Insyaallah dan berUzlah beberapa hari di sana, ada baiknya saya kongsikan manfaat ini dengan saudara-saudari semua. Ianya seperti berikut;


Perbezaan diantara orang yang Berjaya dan orang yang gagal;

- Orang yang Berjaya sentiasa berusaha mencari penyelesaian adapun orang yang gagal adalah mereka yang sentiasa mencari alasan dan keuzuran.

- Kejayaan adalah satu juzuk daripada penyelesaian adapun kegagalan adalah satu juzuk daripada masalah.

- Orang yang Berjaya memiliki strategi dan program, adapun orang yang gagal dia hanya memiliki alasan membela dirinya sendiri.

- Orang yang Berjaya akan berkata; "biarkan aku berusaha melaksanakan kerja tersebut". Adapun orang yang gagal akan berkata; "ini bukanlah kerja dan tugasan saya".

- Orang yang Berjaya akan melihat penyelesaian bagi semua masalah adapun orang yang gagal akan melihat masalah dalam semua jalan penyelesaian.

- Orang yang Berjaya akan berkata: "boleh jadi urusan tersebut sukar akan tetapi mungkin untuk dilaksanakan". Adapun orang yang gagal akan berkata; "mungkin urusan tersebut dilaksanakan akan tetapi ianya terlalu sukar dan payah".

Rabu, 16 September 2009

Mereka Yang Berhujjahkan Ulama

Seharusnya difahami bahawa kaedah sebenarnya dalam mengetahui kebenaran adalah apa yang berlandaskan dalil al-Kitab, as-Sunnah dan Ijma'. "Kebenaran itu berdasarkan dalil dan bukanlah ketokohan"! Apabila anda menjadikan seseorang ulama itu sebagai hujjah maka anda secara tidak langsung telah merosakkan agama islam yang suci ini. Bagaimanakah itu berlaku? Kerana secara ringkasnya anda seolah-olah memaksakan kemaksuman terhadap ulama tersebut daripada sebarang kesilapan dan dosa. Maka dengan ini secara tidak langsung kita telah menyamakan tarafnya dengan para Anbiya' alihimussalam.


Pada asasnya kata-kata ulama ini hanyalah menyokong dan menjelaskan maksud daripada nas-nas yang perlukan kepada penjelasan samada dari sudut istinbat, bahasa, nasah wal mansuh, sebab-sebab turun ayat, sebab keluarnya hadis dan sebagainya. Ini sangat bermanfaat! Akan tetapi yang menjadi masalah ialah jika semua kata-kata ulama dan perbuatan mereka dijadikan hujjah dalam agama! Bukankah mereka (ulama) juga melakukan dosa? Bukankah kadang-kadang ulama ini juga ada yang tidak ulama? Bukankah disana terdapat perbezaan di antara wali Allah dan wali Syaitan? Adakah semua yang berserban dan berwatakkan orang alim secara zahir itu sudah melayakkan mereka untuk digelar ulama? Sedangkan terdapat segelintir mereka yang bertopengkan ulama ini memakan harta anak-anak yatim, pecah amanah, memakan harta dengan cara yang bathil dan sebagainya?


Saya amat hairan apabila kita membacakan hadis-hadis Nabi dalam permasalahan tertentu, tiba-tiba ada yang menyanggah hadis Nabi ini dengan kata-kata ulama walaupun kata-kata itu jelas salah dan bertentangan! "Eh, guru saya cakap lain? Dia pakar dalam bidang Nahu! Dia ulama terkenal!.....". Imam Malik ketika mengajar di masjid Nabawi berkata; "Setiap kata-kata manusia boleh diambil mahupun ditolak kecuali kata-kata penghuni kubur ini (Nabi Muhammad).


Mari kita lihat apakah kesannya jika semua kata-kata ulama dijadikan sebagai hujjah;

1) Masing-masing puak akan mendakwa bahawa ulama mereka adalah yang paling benar sekalipun amat jauh pegangannya terhadap ajaran dan al-Quran dan Sunnah. Maka dengan ini akan berterusanlah menjadikan umat islam sentiasa berpecah demi mempertahankan ulama tersebut yang seolah-olah celaan kepada agama jika ulama itu ditegur ataupun diprotes.


2) Menjadikan ulama tersebut takabbur dan angkuh kerana mempunyai pengikut yang sangat jinak dan sentiasa patuh dengan apa yang disebutkannya. Sekalipun jika apa yang disuruh oleh gurunya itu adalah suatu yang amat menggelikan hati guru tersebut. Sebagai contoh; "Kau ambil air kencing aku ini buat mandi, ianya akan menjadi ubat kepada sakit engkau".


3) Seolah-olah dengan ini menjadikan mereka adalah seorang yang maksum, sedangkan hanya Nabi dan Rasul sahaja yang bersifat maksum. Maka ini secara langsung bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.


4) Menyuburkan sikap Ghuluw dikalangan para pengikut. (Wala Taghlu fid din)


5) Ini adalah sebahagian faktor yang menyebabkan golongan Yahudi dan Nasrani sesat dari agama asal mereka. Menjadikan kata-kata ulama mereka sebagai asas akidah seperti yang dilakukan oleh kristian dalam Majami' Niqiyyah tahun 325 masihi apabila mengatakan Isa adalah anak tuhan yang secara tidak langsung adalah juga tuhan.


6) Sedia dimaklumi bahawa kedapatan sebahagian ulama yang tidak beramal dengan ilmunya. Sebab itulah datang peringatan yang amat keras kepada mereka dalam hadis Nabi yang soheh.


7) Jika kata-kata ulama menjadi ukuran kepada kebenaran tanpa kita menjadikan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis sebagai keutamaan maka kita telah membelakangi ayat Allah yang menyatakan; (Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah ianya pada Allah dan Rasul)) Allah tidak menyatakan supaya dikembalikan pada ulama' kerana tidak semua yang bernama ulama itu adalah ulama.


8) Jika kata-kata ulama menjadi ukuran kepada kebenaran tanpa kita menjadikan dalil-dalil al-Quran dan al-Hadis sebagai asas, maka kita akan dapati ulama itu sendiri mempunyai pelbagai aliran dan mazhab dalam akidah. Ulama Muktazilah pasti akan bermati-matian mendokong hujah-hujahnya walaupun jelas salah! Begitu juga dengan yang lain.


9) Jika ulama menjadi hujjah, adakah ini bermakna jika ulama tersebut melakukan zina, meminum arak, maka hukumnya sudah jadi halal? Pasti ini amat mustahil menurut Ahli Sunnah. Tetapi anda jangan pelik jika inilah yang berlaku kepada sebahagian tarikat-tarikat sufi yang sesat.


10) Yang menjadi kewajipan kita ialah mengambil ilmu daripada ulama-ulama yang terkenal pegangannya pada al-Kitab dan as-Sunnah dan pandangan ulama-ulama salaf. Mereka yang sering mendahulukan nas-nas wahyu berbanding akal.

Rabu, 26 Ogos 2009

Orang Agama Tidak Pandai Mentadbir?

Itulah tajuk yang sering kedengaran apabila berlaku perbincangan diantara golongan ilmuan islam dan golongan akademik. Dakwaan mereka bahawa golongan ustaz tidak pandai mengurus, tidak tahu berpolitik dan tidak pandai memerintah. Benarkah dakwaan ini? Ataukah hanya tohmahan berat yang wajar dibuktikan kesilapannya?

Ini di antara perkara yang sepatutnya menjadi cabaran kepada golongan ilmuan islam, para Ustaz, Qodi, Hakim mahkamah syariah, Mufti, dan secara umum golongan pro islam. Yang wajar kita ketahui ialah: mereka memaksakan supaya golongan ilmuan islam ini menguasai semua perkara Ukhrawi dan Duniawi. Mereka seolah-olah mewajibkan golongan ilmuan islam ini terjerumus kepada semua bidang dan lapangan ilmu, samada Sains, Astronoami, Mate, Bahasa, Falsafah, Tafsir, Feqh, Politik, Ekonomi, Sosial, Motivasi, Perkomputaran dan segala-galanya! Sedangkan disudut yang lain, oh biarkan saja kami (golongan akademik) dengan bidang masing-masing, malah terus menerus jahil dalam urusan agamanya sendiri!

Adilkah ini? Adakah golongan beragama ini memiliki masa yang lebih dari 24jam sehari? Adakah mereka dikurniakan 4 biji mata? Adakah mereka ini tidak memiliki nafsu makan, tidur, kahwin dan lain-lain nafsu seperti juga golongan akademik? Satu cadangan bagus yang sering di war-warkan tanpa wujud keadilan dan kewajaran tetapi sekadar cadangan untuk memperlekehkan golongan agamawan ini. Untuk mempamerkan kepada manusia sejagat bahawa golongan ilmuan islam lemah segala-galanya, tiada apa yang perlu dibanggakan, jauh sekali untuk mendapat penghormatan dan dihargai!

Saya setuju jika pandangan ini demi untuk memartabatkan lagi golongan agamawan agar lebih terkedepan dan tidak kuno dalam perjalanan dakwahnya. Tetapi untuk menguasai semua bidang dan lapangan adalah sesuatu yang hampir mustahil. Memang kita semua mengharapkan kedapatan insan yang menjadi enclopedia dalam ilmu tetapi terlalu sedikit bilangan mereka ini sepanjang abad.

Dalam kita membincangkan soal pengurusan dan pentadbiran golongan agamawan ini, seharusnya kita adil dalam penilaian. Memang terdapat kelemahan tanpa kita menafikannya, tetapi jika dikaji, adakah kelemahan yang wujud hanya melibatkan golongan ini sahaja? Tidak wujudkan kelemahan pengurusan dalam pentadbiran awam? Kenapakah kritikan menjurus kepada mereka sahaja tanpa yang selainnya?
Yang menjadi persoalan ialah; adakah golongan agamawan sudah diberikan peluang untuk mentadbir Negara? Ataukah sebenarnya mereka ini tidak berminat ke arah semua ini? Ataukah mereka ini sekadar mahu menjadi penasihat kepada pemimpin? Ataupun mereka ini tidak berminat untuk menyebukkan diri mereka ini dengan kenajisan politik yang sedang wujud?

Sabtu, 8 Ogos 2009

Apabila Allah Tidak Di Langit & Tidak Di Bumi

Pada kali ini kita cuba membincangkan apakah akibat sekiranya seseorang itu mengatakan bahawa Allah itu maujud bila makan (ada tanpa bertempat, tidak di dalam alam dan tidak juga diluar alam). Saudara semua telah membaca bagaimana akibatnya jika Allah itu berada di merata-rata tempat. Sepatutnya kita tidak membincangkanpun hujah-hujah orang yang mengatakan bahawa Allah wujud tanpa bertempat ini, kerana realiti akidah mereka ini adalah mengimani Allah yang tidak wujud!! Jadi bagaimana perlu dibahas? Apapun supaya umat islam tidak keliru dengan kejahilan mereka, maka mari kita lihat akibatnya jika Allah wujud tanpa tempat;


1) Akidah ini adalah sangat bertentangan dengan Nas-nas al-Quran dan Sunnah yang soheh. Telah dibentangkan dalil-dalil yang amat banyak yang mengisbatkan bahawa Allah berada di atas dan bersemayam di ArayshNYA. Tidak ada satu nas pun yang menyatakan bahawa Allah itu tidak diluar alam dan tidak didalam alam! Hukum asal ialah mengambil nas-nas yang sedia ada, adapun mendahulukan akal sendiri bukanlah manhaj Ahli Sunnah Wal Jama'ah.


2) Akidah ini bersalahan dengan akidah sekalian para Anbiya dan Rasul serta para Sahabat, Tabi'en dan imam-imam sunnah yang terkenal. Telah Ijma' Ulama dalam masalah ini, iaitu Allah berada di atas [1]! Yang mengingkari sifat-sifat ini hanyalah ahli falsafah dan Jahmiyyah lalu memcipta teori berlandaskan pemikiran mereka yang amat cetek!


3) Kata-kata ulama yang tersohor sudah dipaparkan. Imam Abu Hanifah berkata; "Sesiapa yang berkata saya tidak tahu Allah di langit atau di bumi maka dia telah kafir! Demikian juga mereka yang berkata; "Sesungguhnya Allah berada di Araysh tapi aku tidak tahu adakah Arasyh ini dilangit atau dibumi". Rujuk al-Feqhul Absot riwayat Abi Muthi' al-Balkhi dengan tahqiq al-Khauthari m/s 49-52.

4) Kata-kata ini membawa makna bahawa Allah itu sebenarnya tidak wujud! Kerana apa? Kerana Allah tidak ada di alam dan tidak juga diluar alam. Maka dimanakah Allah menurut fahaman ini? Ada tetapi tidak ada? Ajaib!


5) Pegangan ini secara automatic menafikan 2 perkara yang saling bertentangan (Naqidhain), positif dan negetif, menafikan baik dan buruk dan yang seumpanyanya. ini adalah bathil menurut akal yang waras! menafikan wujudnya Allah di bumi (ini adalah benar) dan menafikan Allah di luar bumi (ini adalah bertentangan dengan Nas! Maka menjadi kewajipan kepada mereka akhirnya utk menyatakan bahawa Allah itu di Atas langit seperti dinyatakan dalam Nas-nas yang banyak.


6) Pegangan ini amatlah bertentangan dengan akal yang soheh. "Allah itu ada tapi tidak tahu dimana? Bukankah ini menjadi ejekan orang-orang kafir bahawa orang islam ini menyembah sesuatu yang tidak wujud! Jika ditanya orang cina @ india bukan islam yang masih suci fitrahnya, dimana Allah? Dia akan menjawab; "Tuhan Ala (Allah) ada atas ma".


7) Kerana ingin menyatakan bahawa Allah wujud tanpa tempat, bolehkah kita mentakwil ayat-ayat yang terlalu banyak tanpa asas? Dimana mahu diletakkan ayat-ayat sifat? Seperti Nuzul, Istiwa, Uluw, Rukyah (melihat Allah) sepertimana Nabi ditanya oleh Abu Zhar ; "Adakah kamu melihat Tuhanmu ketika Mikraj"? Nabi menjawab; "Nur, bagaimana aku dapat melihatNYA" dalam riwayat yang lain Nabi menjawab; "Aku melihat Nur (cahaya)" [2]? Bukan kisah Mikraj Nabi bukti bahawa Allah Di atas? Kenapa perlu Nabi bertemu tuhannya di atas langit bukan di bumi sahaja? Atau jika mengikut teori mereka, Nabi perlu bertemu Allah bukan di bumi dan bukan diluar bumi?


8) Imam Zahabi menyebut; "kata-kata Salaf dan imam-imam Sunnah bahkan sahabat-sahabt Nabi seperti yang disebutkan Allah dan rasulNYA; "Sesungguhnya Allah berada di atas langit-langitnya..,kata-kata Jahmiyyah yang pertama ialah Allah berada di merata-rata tempat, dan kata-kata ahli kalam yang terkemudian dikalangan Muktazilah, Mathurdiyyah dan Asyaierah menyatakan; "Allah itu bukan di langit dan bukan di atas arasyhnya, tidak juga di atas langit-langitNYA, tidak didalam bumi dan tidak diluar bumi dan tidak juga tinggi di atas makhluk-makhluknya"[3] . Kenapakah kata-kata Ulama Mazhab, Ahli Hadis dan Ulama Tafsir dan Akidah yang hebat-hebat ini mahu ditingalkan? Bukankah kita sepatutnya mengambil ilmu daripada mereka? Bukankah mereka (Salaf Soleh) sebaik-baik guru dalam agama ini?

9) Akidah ini secara langsung menyokong fahaman Wehdatul Wujud (semua benda yang ada adalah satu)! Lihatlah bagaimana Ibnu Arabi[4] yang sesat menjadi ikutan kepada golongan ini!


10) Akidah ini sebenarnya amat bertentangan dengan fahaman asal Asyierah dan Mathuridiyah. Mereka berpegang bahawa wujud fi kulli makan. Mengapakah mereka mendakwa bahawa ini adalah Asyaierah? Adakah apabila mereka sudah tidak yakin bahawa Allah wujud fi kulli makan, maka mereka merubahnya kepada Allah wujud tanpa tempat? Kenapa terlalu senang akidah mereka ini di ubah-ubah? Adakah soal akidah ini melibatkan masalah ijtihad mengikut keperluan zaman? Bermakna sampai satu tahap nanti kita kena sebut bahawa Allah ini sebenarnya tidak wujud, dan alam dan planet ini terjadi secara tabiat (semula jadi)? Begitukah? A'uzubillah.


11) Imam Abul Hasan al-Asya'ri berkata; "Muktazilah telah bercanggah pendapat dalam masalah ini (Dimanakah Allah). Sebahagian mereka berkata; Allah berada di mana-mana bermaksud mentadbir disetiap tempat. Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Muktazilah, Abu Huzail, al-Ja’farani, al-Iskafi dan Muhammad bin Abdul Wahab al-Jubbaie. Sebahagian yang lain pula berkata (Allah tidak bertempat). Pendapat ini ialah pendapat Hisyam al-Fuwathi, Abbad bin Sulaiman, Abi Zufar dan yang lainnya dikalangan Muktazilah. Muktazilah berpendapat perkataan Istiwa’ di dalam Firman Allah surah Toha ayat 5 yang bermaksud Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy ialah bermaksud Istaula iaitu menguasai [5].


12) Dalil yang mereka dakwa menyokong kata-kata dusta mereka ini sebenarnya terlalu jauh wajah Istisyhadnya (bentuk penghujahan). Bolehkan saya katakan bahawa hujah tentang zina itu tidak haram ialah; (Wala Taqrabuzzina?) Allah melarang daripada menghampiri zina sahaja kalau berzina itu tidak? Tafsiran apakah ini? Jahil Murakkablah jika begitu keadaannya. Demikianlah juga hujah yang disangka menyokong pendirian Allah wujud tanpa tempat, mereka katakan Allah berfirman; ((Dimana jua kamu berada maka palingkanlah wajahmu KE ARAH ITU)), jika menjadi hujahpun, ianya adalah hujah bagi mereka yang beriktikad bahawa Allah berada di satu tempat! iaitu di arah itu (ka'abah) sahaja berpandukan pada (palingkanlah wajahmu disitu). Walaupun ini juga adalah salah kerana bertentangan dengan Nas-nas yang lain. Kemudian Nas ini hanyalah dalam masalah kiblat Solat!


13) Saya catatkan ini, ianya bukanlah perkara yang baru akan tetapi ulama-ulama terkenal dalam Sunnah telah menyatakannya dalam karangan-karangan mereka. Saya catatkan kesilapan-kesilapan pegangan Allah wujud tanpa tempat, bukanlah untuk mencari permusuhan! Tetapi saya mengharapkan mereka yang membacanya demi mencari kebenaran berfikir dengan penuh penelitian dan hati yang terbuka semoga Allah memberi petunjuk kepada kita semua agar mengikuti manhaj Salaf Soleh dikalangan Sahabat, Tabi'en, dan yang selepas mereka. Janganlah anda tutup pintu hati anda daripada kebenaran-kebenaran al-Quran dan Sunnah serta pemahaman Salaf Ummah kerana kelak dikhuwatiri pintu hidayah anda akan tertutup selama-lamanya. Jika dengan apa yang saya nyatakan ini anda menganggap saya menyamakan Allah dengan makhluk maka anda telah mentohmah Ijma' Ulama, tokoh-tokoh Mazhab, Ulama-ulama Hadis, Tafsir, Akidah, dan lain-lain ulama! Mereka tidak sesekali mentajsimkan Allah tetapi anda yang silap memahaminya kerana menganggap kata-kata mereka ini sebagai menyamakan Allah dengan makhluk! Jangan faham begitu! dan cerdikkan sedikit fikiran anda. Sekian, Wallahu a'lam.



[1] Imam al-auzaie (Wafat 157 H) telah menyatakan Ijma' imam-imam islam dikalangan Sahabat dan juga Tabien bahawa Allah berada di atas Arasyh, beliau berkata; "kami-para Tabien yang ramai-menyatakan sesungguhnya Allah menyebutkan tentang dirinya berada di atas Arasyh dan kami beriman dengan yang terkandung dalam as-Sunnah tentang sifat-sifat Allah Jalla wa Ala". Lihat al-Lalakaie dalam kitab syarah Usul I'tiqad ahli Sunnah. Imam bukhari juga menyebutkan secara Muallaq dalam kitabnya (Khalqi Af3al al-Ibad).

[2] Hadis di rekodkan oleh soheh Muslim daripada Abi Zar al-Ghifari. No hadis;

[3] Lihat al-Uluw karangan imam az-zahabi 107 dan 195.

[4] Beliau bernama ;

[5] Maqalat Islamiyyin karangan imam Abul hasan al-Asya'ri jilid 1 m/s 236.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...