RSS Feeds

Rabu, 10 Mac 2010

Syarat-Syarat Menjadi Qadhi

Gelaran qadhi adalah satu pangkat yang amat tinggi di dalam islam. Kedudukan ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan mufti, imam dan jawatan-jawatan lainnya. Ini kerana qadhi bukan sekadar menyatakan hukum, bahkan menjatuhkan sesuatu hukuman lalu hukuman itu wajib dilaksanakan oleh pemerintah. Qadhi mempunyai kelayakan untuk menjatuhkan hukuman atau membatalkannya mengikut maslahat yang dinilai olehnya dalam sesuatu kes. Malangnya status qadhi menurut pemahaman ramai orang islam pada zaman mutakhir ini hanyalah lebih tertumpu @ hanya berlegar di sekitar permasalahan nikah cerai sahaja. Sedangkan qadhi sebenarnya adalah hakim dalam menjatuhkan sesuatu hukuman, samada kes zina, liwat, kecurian, pembunuhan, rogol dan pelbagai lagi kes-kes jenayah dan mahkamah.


Akan tetapi kerana banyak negara mengamalkan perudangan mahkamah sivil, meminggirkan mahkamah islam dan perundangannya maka berlakukah perbezaan-perbezaan status ini. Definisi "al-Qodho" @ perundangan ialah; "Mengkhabarkan sesuatu hukum syarie dalam bentuk yang ilzam (wajib dipatuhi)". Ini adalah definisi yang diberikan oleh Ibnu Rusyd dan Ibnu Farhun. Adapun ulama Syafieyyah mendifiniskan perundangan sebagai; "Pengilzaman daripada sesiapa yang mempunyai kuasa tersebut dengan hukum-hukum syarak dalam suasana-suasana tertentu".


Perundangan adalah sesuatu kelaziman demi kemaslahatan umat, merealisasikan kebahagian dan ketenteraman dikalangan insan, membantu orang yang dizalimi, menghapuskan kezaliman, menghalang permusuhan, amar makruf dan nahi munkar serta banyak lagi faedah lainnya. Pensyariatannya adalah berdalilkan kepada ayat al-Quran dalam surah al-Anbiya' ayat 78-79, al-Maidah ayat 48-49 dan an-Nisa' ayat 65. Selain itu terdapat hadis-hadis Nabi yang banyak, yang menjadi dalil seperti hadis; "Jika seseorang hakim berijtihad kemudian dia benar maka dia mendapat 2 pahala…."


Syarat-Syarat Menjadi Qadhi;

Terdapat 4 syarat yang disepakati oleh para fuqaha. Jika gugur salah satu daripada 4 syarat ini maka tidak sah perlantikannya dan tidak boleh dilaksanakan hukumannya. Empat syarat tersebut ialah;

1) Baligh.

2) Mempunyai akal fikiran yang waras.

3) Islam.

4) Bebas (bukan hamba).


Disana terdapat beberapa syarat yang menjadi khilaf dikalangan para fuqaha. Saya sebutkan disini secara ringkas;

1) Baik penglihatan, pendengaran dan lisan (tidak bisu).

Ketiga-tiga ini adalah syarat sah dan yang membolehkan seseorang itu menjadi qadhi menurut pandangan majority ulama. Maka tidak boleh melantik qadhi yang cacat salah satu anggotanya seperti pekak. Ataupun buta dan bisu. Diriwayatkan daripada Imam Malik dan sebahagian ulama Syafie bahawa harus melantik orang yang buta sebagai qadhi[1].

2) Sifat "Adil". Sifat adil yang dimaksudkan disini ialah (al-A'dalah) yang mana seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar ataupun kefasikan yang jelas boleh menjatuhkan maruah dirinya. Secara ringkasnya ialah dia seorang yang baik bukan seorang yang jahat dan terkenal dengan kejahatan. Syarat ini menurut Syafieyyah, Hanabilah, Malikiyyah dalam riwayat yang lebih soheh serta al-Hanafiyyah dalam satu riwayat merupakan syarat sah dan syarat keharusan. Adapun al-Hanafiyyah dalam zahir riwayat dan sebahagian ulama Malikiyyah menyatakan bahawa sifat "adil" ini adalah syarat keharusan sahaja dan bukanlah syarat sah. Bermaksud, jika pemerintah melantik seorang yang fasiq menjadi qadhi maka berdosa perlantikannya, tetapi sah jawatannya dan tidak boleh ditunaikan hukumannya.

3) "Al-Ijtihad". Iaitu memiliki kemampuan beristinbat daripada sumber hukum al-Kitab dan Sunnah. Seorang mujtahid ialah yang mengetahui tentang al-Kitab dan Sunnah berkaitan dengan hukum, khas dan umum, nasakh dan mansuh, mengetahui hadis mutawatir dan sebagainya, mengetahui pandangan sahabat dan tabien, mengetahui Ijma' dan qias. Syarat ini menurut fuqaha Syafieyyah, Hanabilah dan jumhur Malikiyyah dan sebahagian Hanafiyyah sebagai syarat sah dan keharusan. Adapun jumhur Hanafiyyah dan sebahagian Malikiyyah tidak menjadikan ijtihad sebagai syarat sah mahupun keharusan. Bermakna, menurut mereka boleh dan sah melantik seorang qadhi yang bertaqlid ataupun jahil.

4) Lelaki bukan wanita.

Syarat ini ulama berkhilaf kepada 3 pendapat;

Pertama; Ianya adalah syarat sah dan keharusan. Ini merupakan pendapat jumhur ulama Malikiyyah, Syafieyyah, Hanabilah dan Zufar dikalangan ulama Hanafi. Mereka ini menyatakan bahawa tidak sah melantik wanita sebagai qadhi. Jika dilantik juga maka berdosa dan hukum-hukumnya adalah bathil.

Kedua; Lelaki bukanlah syarat keharusan dan tidak juga syarat sah untuk menjadi qadhi. Juteru, wanita boleh menjadi qadhi menurut pandangan mereka, dan ini adalah pandangan Ibnu Jarir al-Tobari, Ibnul Qasim dikalangan ulama Malikiyyah, dan Ibnu Hazm az-Zohiri. Akan tetapi qadhi wanita menurut mereka adalah dalam masalah yang diterima persaksian mereka sahaja. Akan tetapi Ibnu Jarir dan Ibnu Hazm lebih meluaskan skop qadhi wanita sehinggalah dalam kes-kes pembunuhan dan lain-lainya.

Ketiga; Lelaki adalah syarat keharusan tetapi bukan syarat sah.

Ini adalah pandangan mazhab Hanifi kecuali Zufar. Bermakna, mereka berpendapat tidak boleh melantik wanita sebagai Qadhi, tetapi jika pemerintah melantiknya maka bedosalah pemerintah dan telah melakukan perkara yang haram. Bagaimanapun jika si qadhi wanita yang dilantik ini menetapkan sesuatu hukuman yang bertepatan dengan syarak, maka perlu dilaksanakan hukumannya kecuali dalam permasalahan melibatkan hudud dan qisas. Wallahu a3lam.


Betapa ramai wanita yang menjadi qadhi pada zaman kita ini? Khsususnya di Malaysia? Hakim-hakim di mahkamah itu adalah qadhi! Walaupun pada pemahaman umum mereka bukanlah qadhi kerana tidak menikahkan dan tidak menjatuhkan hukuman cerai dan apa-apa yang melibatkan nikah kahwin semata-mata. Ulama-ulama salaf melarikan diri daripada jawatan ini seperti Imam Abu Hanifah, Sufian al-Thauri dan lain-lain lagi kerana memikirkan bahayanya dan amaran hadis Nabi berkait jawatan ini. Tetapi kita berlumba-lumba merebut dan meraih kedudukan tersebut sekalipun dia adalah wanita. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang telah lalu, sesungguhnya Allah maha pengampun. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Alaihissolatu Wa Atammu at-Taslim. Wallahu a3lam.


*Tulisan ini adalah faedah daripada kitab; "Nizom al-Qodho' Fil Islam", merupakan bahas yang dibentangkan oleh beberapa orang pakar feqh ketika Muktamar al-Feqhul islami pada tahun 1396 Hijrah yang diadakan di University al-Imam Muhammad bin Saud di Riyadh.


[1] Al-Ahkam as-Sultaniyyah Lil Mawardi m/s 66.


Ahad, 7 Mac 2010

Surat Kepada Sungai Nil

Oleh: Ustaz Hj Zahazan Mohamed

Semasa Amru Bin Al-As menjadi Gabenor Islam di Mesir yang dilantik oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a., beliau menghadapi satu cabaran iaitu musim kemarau yang menyebabkan keringnya Sungai Nil yang merupakan sumber utama bekalan air ke seluruh Negara tersebut.

Memang menjadi tradisi orang-orang Qibti, yang merupakan masyarakat pribumi Negara Mesir, untuk mengadakan upacara korban dalam sesuatu tempoh untuk ‘penunggu’ yang kononnya ditugaskan menjaga Sungai Nil. Kononnya dengan cara itu mereka akan mendapat keberkatan rezeki.

Secara kebetulan pula, berlaku kemarau. Ini menyebabkan penduduk-penduduk memohon untuk mengadakan upacara tersebut bagi mengelak keadaan kemarau yang lebih teruk. Amru bin al-As berusaha menghentikan perbuatan mungkar tersebut di atas prinsip Islam yang mengharamkan upacara memuja syaitan dan jin. Dia segera memaklumkan kejadian itu kepada Khalifah Umar al-Khattab r.a. di Madinah.

Sayidina Umar segera menghantar surat maklum balas, bersama sepucuk surat lain dan meminta Amru supaya mencampakkan surat yang alamatnya ditulis “Buat Sungai Nil” itu ke dalam Sungai Nil.

Isi kandungan surat:
“Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah. Jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi. Tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu , maka kami memohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula!”

Dengan karamah Sayidina Umar r.a., pada hari yang sepatutnya penduduk Mesir kembali melakukan amalan syirik itu, Sungai Nil menjadi lebih luas dan lebih banyak airnya. Allah SWT telah mentakdirkan agar tradisi syirik itu berakhir di tangan Khalifah yang sangat dicintai oleh semua umat Islam, Sayidina Umar al-Khattab r.a.

Rujukan: Tafsir Al-Qurtubiy dan Hasyiat al-Sawiy ‘ala al-Jalalain,
tafsir ayat 57-58 Surah Asy-Syu’ara yang bermaksud;


"Dengan sebab itu maka Kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair. Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.]"

*Sungai Nil adalah sungai yang terpanjang di dunia mencecah 6690KM.

Khamis, 4 Mac 2010

Kenapa Nabi Muhammad Berkahwin Lebih?

Bismillahirrahman al-rahim. Demi yang menciptakan hati manusia, demi yang mengurniakan rasa cinta dan kasih, demi yang mengurniakan taufik dan hidayah, tunjukilah kami semua jalan yang benar, jalan para Anbiya', Siddiqin, Syuhada' dan Solehin, sesungguhnya engkau Ya Allah maha berkuasa ke atas setiap sesuatu".


Ramai ulama yang tidak membincangkan perkara ini kecuali untuk menjawap keraguan-keraguan dan tohmahan yang ditimbulkan oleh orientalis dan beberapa anak-anak islam yang liberal @ jahil agama. Sepatutnya semua tindakan Nabi tidak dipertikaikan dan dipersoal jika keimanan kita kepada baginda menebal. Ini kerana Nabi tidak melakukan sesuatu kecuali dengan perintah tuhan. Saya timbulkan persoalan ini sebagai menjawap kepada keraguan-keraguan yang ditimbulkan oleh beberapa golongan yang mahu mencalarkan imej kenabian Muhammad bin Abdullah insan termulia, pemilik syafaat pada hari akhirat dengan izin Allah Ta'ala.


Mari kita fahami kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi ini tanpa kita cuba menyeleweng dan menjadikannya hujjah kepada kesesatan sebahagian orang yang berkahwin lebih daripada 4 orang dalam satu masa. Kemulian yang dikurniakan kepada Nabi ini, iaitu kahwin lebih daripada 4 orang adalah perkara yang khusus kepada baginda & tidak dihalalkan kepada umatnya. Demikian juga dibolehkan bagi Nabi mengahwini wanita yang dimahukannya tanpa memberi mahar. Seperti juga permasalahan khumus (1/5) yang diperuntukkan hanya kepada Nabi. Justeru wajar diketahui bahawa disana terdapat beberapa perkara khusus hanya dibolehkan untuk baginda Nabi sahaja berdasarkan kepada dalil-dalil kitab dan sunnah.


Terdapat banyak hikmah yang dapat dikaji daripada keizinan ini kepada Nabi Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Nabi tidak pernah bertindak mengikut hawa nafsunya kerana baginda maksum, ditarbiyah dan dipantau oleh Allah Ta'ala. Semua perbuatan baginda adalah terpuji. Nabi tidak pernah marah dan membalas dendam untuk mengambil hak-haknya, akan tetapi marahnya baginda adalah jika hak-hak Allah dicerobohi, marah Nabi adalah jika hak-hak agama ditentang dan dipermainkan. Mari kita lihat beberapa hikmah kepada pernikahan Nabi yang semuanya berjumlah 9 orang dalam satu masa.


Hikmah Mendidik dan Mentarbiyah;

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila isteri-isteri nabi yang merupakan ibu-ibu kepada seluruh umat islam menjadi ilmuan yang terkenal dan dihormati oleh para sahabat. Lebih khusus lagi mereka inilah yang mengajarkan kita ilmu-ilmu rumahtangga dan apa-apa permasalahan hukum hakam berkait dengan wanita. Kita mengetahui petunjuk-petunjuk Nabi tatkala Nabi bermuamalah bersama isteri-isterinya melalui Ummahatil Mukminin. Bagaimana cara-cara yang diajarkan baginda dalam masalah perhubungan suami isteri, dalam permasalahan haid dan nifas, dalam permasalahan tandas dan sebagainya. Ummul mukminin Aisyah binti Abu Bakar adalah isteri Nabi yang paling berilmu. Paling dihormati dari sudut keilmuaannya oleh para sahabat yang telah banyak meriwayatkan hadis-hadis Nabi.


Justeru inilah kesan yang dapat dilihat hasil daripada pernikahan baginda yang sebenarnya bertujuan tarbiyah dan mendidik serta melahirkan seorang wanita mukminah yang memahami dan beramal dengan tuntutan agama. Sebagai contoh hadis dalam soheh bukhari dan muslim yang diceritakan oleh Ummu Salamah Radiyallahu anha berkata; "Telah datang seorang perempuan kepada Nabi lalu berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu daripada perkara-perkara yang hak, adakah seorang wanita wajib mandi jika dia bermimpi?" Nabi menjawap kepadanya; (Ya, jika dia melihat air).


Hikmah Pensyariatan;

Banyak hikmah dan manfaat yang dapat diambil daripada pernikahan Nabi yang ramai itu. Ianya melibatkan pensyariatan kepada agama ini dan menjelaskan kepada beberapa hukum islam itu sendiri. Islam membatalkan beberapa hukum-hukum jahiliyyah yang tersohor ketika itu. Sebagai contoh permasalahan berkaitan dengan anak angkat. Arab jahiliyyah mengaggap bahawa anak angkat menjadi pewaris dan mewariskan, haram dinikahi dan sebagainya yang mengambil hukum seorang anak kandung. Nabi juga pernah mengambil anak angkat bernama Zaid bin Harithah yang akhirnya menceraikan isterinya bernama Zainab binti Jahsyin disebabkan beberapa pertelingkahan rumahtangga diantara mereka.


Nabi meminati Zainab binti Jahsyin setelah diceraikan. Lalu Allah memerintakan agar dinikahi oleh Nabi. Tetapi kerana Nabi risau kepada percakapan orang-orang munafik dan fitnah yang bakal ditimbulkan maka nabi melengah-lengahkannya. Pasti mereka akan mengatakan "Muhammad telah menikahi isteri kepada anaknya (Zaid)". Akhirnya turun ayat yang menyangkal tindakan Nabi itu. Allah berfirman dalam al-Ahzab ayat 37 yang maksudnya;


"Dan (ingatlah), ketika kamu Berkata kepada orang yang Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) Telah memberi nikmat kepadanya: "Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah", sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid Telah mengakhiri keperluan terhadap Istrinya (menceraikannya), kami kawinkan kamu dengan dia[1] supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengawini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu Telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya [2], dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi".


Lihatlah hikmah daripada pernikahan ini yang ianya datangnya daripada arahan Allah. Sebab itulah Zainab bte Jahsyin berbangga dengan pernikahan ini dan ianya menjadi satu-satunya aset termahal beliau kerana dinikahkan oleh Allah daripada atas langit. Dalam soheh Bukhari dinyatakan bahawa Zainab berbangga ke atas isteri-isteri Nabi yang lain dan berkata; "Kamu semua dikahwinkan oleh ahli keluarga masing-masing, sedangkan aku dikahwinkan oleh Allah daripada atas langit yang tujuh". Dengan pernikahan Nabi ini, maka terbatallah beberapa hukum jahiliyyah dan persepsi buruk mereka kerana Nabi telah menikahi bekas isteri kepada anak angkatnya. Maha suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.


Hikmah Sosial & Kemasyarakatan;

Ini dapat dilihat daripada perkahwinan Nabi dengan Aisyah yang merupakan anak kepada Abu Bakar as-Siddiq. Insan yang paling banyak menyumbang kepada agama Allah. Yang paling banyak membantu baginda dari semua segi sehinga tidak mampu dibalas oleh Nabi. Kemudian pernikahan Nabi dengan Hafsah binti Umar al-Khattab. Pernikahan ini amatlah menggembirakan Abu Bakar dan Umar yang masing-masing menawarkannya kepada baginda. Dengan pernikahan ini juga menjadikan hubungan kekeluargaan semakin erat dikalangan kabilah Quraish yang terkenal. Ini secara langsung menjadikan hati orang-orang kafir Mekah semakin hampir terhadap dakwah Nabi. Demikianlah pernikahan Nabi dengan anak perempuan Abu Sufian yang mana Abu Sufian ketika itu masih kafir. Apabila sampai khabar berita itu kepada Abu Sufian, beliau tidak membantahpun, bahkan memujinya sedangkan beliau ketika itu amat memusuhi Nabi. Ini kerana mereka mengetahui bahawa nabi muahammad adalah insan yang mulia, bertanggungjawab bahkan sangat jujur (al-amin) seperti diakui sendiri oleh kafir Quraish sebelum perutusan Nabi.


Perkahwinan ini menjadi kebanggaan kepada bapa-bapa mertua Nabi. Menjadi kemulian kepada mereka dan secara langsung menguatkan hubungan mereka secara nasab dan perbesanan. Justeru hikmahnya dapat diketahui melalui hikmah social dan amatlah salah jika perkahwinan ini hanya dikaitkan dengan nafsu semata-mata. Amatlah silap, biadap bahkan menjadi kafir jika Nabi dipersendakan dengan sebab perkahwinan baginda yang ramai ini. Semua yang dilakukan oleh Nabi ini telah mendapat keredhoaan Allah, maka siapakah anda untuk mempertikaikan? Bahkan para Anbiya' sebelum baginda dikalangan Bani Israel lebih banyak bilangan isteri mereka berpuluh kali ganda berbanding Nabi Muhammad. Umpamanya Nabi Sulaiman, mengapakah tidak timbul prejudis terhadap beliau menurut pandangan orientalis? Jelaslah bahawa kedengkian mereka terhadap islam dan Nabi menjadikan mereka mencari-cari kelemahan tertentu yang kononnya boleh menjadi umpan bagi memesongkan akidah umat islam.


Hikmah Politik;

Perkahwinan seringkali menjadi penyumbang kepada perubahan banyak pihak. Sekurang-kurangnya ianya memberi kesan samada positif mahupun negetif kepada hidup seseorang. Sebab itu islam melarang wanita mengahwini golongan kafir dan membenarkan muslimin mengahwini kafir ahli kitab. Ikatan individu terhadap sesuatu kaum melalui pernikahan menjadi kuat, permusuhan menjadi kurang, dan hati semakin terbuka untuk menerima sesuatu pandangan. Demikian diterimanya dakwah Nabi oleh kaum arab jahiliyyah yang sangat kasar tabiatnya. Lihatlah bagaimana kehebatan siasah @ politik Nabi dalam menjalankan tugas dakwahnya.


Mari kita lihat beberapa contoh perkahwinan Nabi yang melibatkan hikmah politik. Sebagai contoh, perkahwinan Nabi dengan Juwairiyah bte al-Harith. Bapa Juwairiyah adalah ketua kaum bani al-Mustoliq. Juwairiyah ini telah ditawan bersama ahli keluarganya setelah tewas dalam peperangan. Maka beliau datang kepada Nabi meminta supaya dibebaskan daripada menjadi tawanan kaum muslimin dengan meminta bantuan kewangan daripada Nabi. Nabi telah menawarkan kepada Juwairiyah untuk membayar pampasan baginya dan mahu menikahi dirinya. Juwairiyah telah menerima lamaran tersebut dan bersetuju menjadi isteri baginda. Tatkala para muslimin mengetahuinya mereka berkata; "Besan kepada Nabi dibawah tawanan kita?". Maka mereka membebaskan semua tawanan yang punya hubungan persaudaraan dengan Juwairiyah yang jumlah mereka 100 keluarga. Akhirnya mereka semua memeluk islam setelah melihat penghormatan muslimin terhadap keluarga tersebut. Rujuk kisah ini dalam sunan Abi Daud no 3429 "Bab Fi Bai'e Makatib…". Lihatlah ketinggian politik Nabi yang akhirnya menjadi sebab kepada keislaman mereka!


Demikianlah juga hal pernikahan Nabi dengan Sofiah binti Huyai yang merupakan anak kepada seorang pembesar Yahudi Khaibar (Huyai bin Akhtob). Hal yang sama juga berlaku dalam kes pernikahan Nabi dengan anak Abu Sufian bernama Ramlah yang kematian suaminya. Ramlah telah memeluk islam ketika di Mekah dan berhijrah ke Habsyah. Disanalah suaminya meninggal dunia yang menyebabkan Ramlah binti Abu Sufian keseorangan dibumi asing. Apabila Nabi mendapat khabar, lalu baginda menghantar surat kepada Najasyi untuk menikahinya. Betapa gembiranya Ramlah apabila dimaklumkan hal itu oleh Najasyi, kerana Ramlah mengetahui bahawa pasti dia dipaksakan kepada kafir jika kembali ke Mekah dan tinggal bersama keluarganya.


Pernikahan ini menjadi sebab kepada kurangnya seksaan terhadap umat islam di Mekah. Ianya juga telah melunakkan hati golongan kafir Bani Umayyah kepada islam disebabkan ikatan perkahwinan ini. Demikianlah diantara hikmah-hikmah pernikahan baginda melebihi 4 orang dalam satu-satu masa. Ianya didasari niat dakwah. Ianya adalah dengan keizinan Allah dan ianya adalah kemulian kepada Nabi yang Allah mengharamkan orang islam menikahi isteri-isteri Nabi setelah kewafatan baginda pada tahun 10 Hijrah.


Diantara maklumat terpenting yang wajar diketahui ialah, semua isteri-isteri Nabi adalah janda kecuali Aisyah bte Abu Bakar sahaja. Ini menjadi bukti jelas bahawa perkahwinan Nabi adalah didasari oleh iman, sifat rahmah, memelihara akidah, tarbiyah, siasah, dan lain-lain lagi maslahat umum melibatkan umatnya. Wallahu a3lam.



[1] Maksudnya: setelah habis Eddahnya.

[2] Yang dimaksud dengan Orang yang Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya ialah Zaid bin Harisah. Allah Telah melimpahkan nikmat kepadanya dengan memberi taufik masuk Islam. Nabi Muhammadpun Telah memberi nikmat kepadanya dengan memerdekakan kaumnya dan mengangkatnya menjadi anak. Ayat Ini membuktikan bahwa harus bagi umat islam mengawini bekas isteri anak angkatnya.


Isnin, 1 Mac 2010

Tanda-Tanda Kecil Hari Kiamat (1)

Sesungguhnya perbincangan mengenai tanda-tanda kiamat merupakan diantara perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali melalui wahyu (al-kitab & as-Sunnah). Urusan kiamat ini juga merupakan usul agama @ akidah umat islam yang wajib diimani. Sebahagian ulama membahagikan tanda-tanda @ syarat-syarat kedatangan hari kiamat ini kepada 2; pertama, tanda-tanda besar dan yang kedua, tanda-tanda kecil. Sebahagian mereka membahagikannya kepada tanda-tanda yang berlaku di langit dan tanda-tanda yang berlaku dibumi. Ini semua adalah ijtihad dari sudut pembahagian semata-mata, bagi memudahkan penjelasan dan perbincangan. Adapun inti kepada setiap point-point tersebut sudah pastilah bersandarkan kepada nusus wahyu yang tiada ruang bagi akal untuk berijtihad.

Tanda-tanda kiamat yang telah berlaku ini sudah tentulah melibatkan tanda-tanda kecil sahaja kepada kedatangan hari kiamat. Tanda-tanda kecil ini pula dibahagikan kepada dua bahagian;

1) Tanda-tanda yang telah berlaku dan sudah selesai.

2) Tanda-tanda yang telah berlaku tetapi akan terus berlaku & tanda-tanda yang belum berlaku tetapi pasti akan berlaku.


Disenaraikan disini tanda-tanda kecil hari kiamat yang telah berlaku berserta dengan dalil-dalil yang akan diterjemahkan terus tanpa mendatangkan teks arabnya. Semoga umat islam khususnya diri saya dan para pembaca mengambil ikhtibar dan bertambah keimanan serta amalan, sesungguhnya Allahlah jua pemberi taufik dan petunjuk kepada jalan yang benar.


Tanda-tanda kecil hari kiamat yang telah berlaku;

1) Perutusan Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan Rasul.

Daripada Sahal Bin Saad radiyallahu anhu berkata; "Aku lihat Rasulullah berkata sambil mengangkat jari tengah dan telunjuknya; Aku diutuskan dan hari kiamat seperti dua (jari) ini". Soheh Bukhari dan Muslim.


2) Kewafatan Nabi Muhammad.

Daripada Auf bin Malik radiyallahu anhu berkata; "Aku datang kepada Nabi dalam peperangan Tabuk dan baginda berada di dalam satu khemah daripada kulit, lalu Nabi bersabda; "Bilanglah enam perkara di antara tanda-tanda kedatangan kiamat; kematianku, kemudian pembukaan Baitul Maqdis…". Soheh Bukhari.


3) Terbelahnya bulan pada zaman Nabi Muhammad.

Sila lihat tafsir Ibnu Kathir dalam surah al-Qamar ayat 1-2.


4) Pembukaan Baitul Maqdis.

Umar al-khattab telah membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 16 Hijrah. Kemudian pada zaman kerajaan Abbasiah (Ayyubiyyah) pada tahun 583 Hijrah oleh Solahuddin al-Ayyubi. Insyaallah Baitul Maqdis akan dibebaskan semula oleh orang islam sehinggalah kayu dan pokok-pokok berkata; "Hai orang islam, dibelakangku ini ada Yahudi, mari sini bunuhlah dia".


5) Munculnya fitnah yang terlalu banyak dengan pelbagai jenis dan bentuk.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud; "Bersegeralah kamu melakukan amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti dalam satu malam yang sangat pekat, seorang lelaki pada pagi hari adalah mukmin dan apabila petang menjadi kafir. Pada petang hari dia mukmin kemudian esok pagi dia menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan sedikit daripada habuan dunia". Hadis soheh Muslim.


6) Berlakunya peperangan Siffin di antara tentera Ali & Muawiyah.

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda; "Tidak berlaku kiamat sehinggalah akan berperang 2 kumpulan yang besar, kedua-dua kumpulan mengalami kematian yang banyak, seruan kedua-dua pihak adalah sama". Muttafaq Alaihi.


7) Munculnya golongan khawarij.

Daripada Ibnu Mas'ud bahawa Nabi bersabda bermaksud; "Akan keluar pada akhir zaman satu kaum yang muda-muda, pendek akalnya, membaca al-quran tetapi tidak melepasi tenggorokan mereka, mereka berkata dengan kata-kata Allah, keluar daripada agama ini sepertimana seperti keluarnya anak panah daripada busurnya". Muttafaq Alaihi.


8) Keluarnya dajjal-dajjal kecil yang mengaku sebagai Nabi.

Daripada Thauban bahawa Nabi bersabda; "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah qabilah-qabilah daripada umatku akan mengikuti kaum musyrik dan sehingga mereka menyembah berhala, dan sesungguhnya akan ada dikalangan umatku 30 pendusta, semua mereka mendakwa sebagai Nabi, dan aku adalah penghabisan para Nabi, tiada Nabi selepas aku". Hadis soheh riwayat Abu Daud dan Tirmizi. Adakah rasul melayu, si Kahar yang bodo itu termasuk? Wallahu a3lam.


9) Berlakunya pembunuhan yang banyak.


10) Munculnyanya api besar di bumi Hijaz (Madinah).

Nabi bersabda bermaksud; "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan keluar api daripada bumi hijaz, ianya dapat menerangi tengkuk-tengkuk unta yang berada di Busro (Syiria)". Soheh Bukhari. Kejadian ini berlaku di Madinah pada malam Rabu 3 Rabiul akhir tahun 654 Hijrah seperti disebutkan oleh Abu Syamah dan lain-lain kitab Tarikh.


11) Berlaku peperangan dengan golongan Tatar (Monggol).

Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda; "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah kamu memerangi at-Turk, mata mereka sepet, mukanya kemerah-merahan, hidungnya tidak mancung, seolah-olah muka mereka seperti perisai (lebar mukanya)…..". Soheh Bukhari & Muslim. Rujuk kitab (al-Bidayah Wan Nihayah) tahun 656 Hijrah.


12) Hilangnya sikap amanah daripada hati manusia.

Nabi bersabda; "Jika amanah telah tercicir (hilang) maka tunggulah kedatangan kiamat". Soheh Bukhari.


13) Mengikuti ajaran-ajaran umat dahulu kala.

Daripada Abu Hurairah Nabi bersabda; "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah umatku mengambil daripada apa yang telah diambil oleh kurun sebelum mereka, satu jengkal demi satu jengkal dan satu hasta demi satu hasta", kemudian ditanya; "Ya Rasulullah, seperti Parsi dan Rom?" Nabi menjawap; "Siapa lagi kalau bukan mereka". Soheh Bukhari.


14) Ibu-ibu yang melahirkan tuannya.

Dalam hadis Jibril yang panjang Nabi menyebutkan; "Aku akan beritahu tanda-tandanya (kiamat), jika seorang amah melahirkan tuannya". Soheh muslim.


15) Berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi.

Nabi bersabda; "Dan kamu akan lihat orang yang berkaki ayam, telanjang dan faqir dan pengembali kambing berlumba-lumba membina bangunan yang tinggi". Soheh Muslim dan sila rujuk syarah.

Dalam satu riwayat; "Dan kamu akan lihat orang yang berkaki ayam (tidak berkasut), lapar dan miskin yang dulu mereka adalah ketua-ketua manusia. Maka yang demikian adalah tanda-tanda kiamat dan syarat-syarat kedatangannya". Kemudian Nabi ditanya; "Wahai Rasulullah, siapakah mereka yang engkau gambarkan itu". Nabi menjawab; "orang-orang Arab". Hadis disohehkan oleh al-Bani.


*Warna Merah = Tanda-tanda yang telah berlaku dan sudah selesai.

*Warna Hijau = Tanda-tanda yang telah berlaku tetapi akan terus berlaku.

Bersambung……


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...