RSS Feeds

Khamis, 28 Ogos 2008

"Risalah Ramadhan"

( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس و بينات من الهدى والفرقان )

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Ramadhan datang lagi dan ia pasti akan berlalu meninggalkan kita. Itulah Sunnatullah keatas makluknya, tiada yang kekal kecuali Pencipta maya. Ya Tuhan kami berkatilah kami di bulan Rajab dan Sya'ban serta pertemukanlah kami bulan Ramadhan ya Rabbal a'lamin. Risalah ini ditulis sebagai satu Tazkirah kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat semua tentang beberapa kelebihan bulan ini yang mungkin tidak kita sedari. Bagaimankah ulama-ulama terdahulu menyambut bulan yang mulia ini? Itulah yang perlu diketahui dan dicontohi.


Allah telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan yang terkandung didalamnya antaranya ialah:


-Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi disisi Allah berbanding haruman kasturi.


-Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.


-Syaitan-syaitan di belenggu.


-Dibukakan pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka.


-Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik dari seribu bulan, sesiapa yang diharamkan dari mendapat kebaikannya maka diharamkan dari semua kebaikan.


-Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada Ramadhan.


-Tersenarai disisi Allah nama-nama hambanya yang bebas dari api Neraka dan ianya ada pada setiap malam.

1)Berpuasa:

قال رسول الله : "كل عمل ابن ادم له الحسنة بعشر أمثالها الى سبعمئة ضعف.يقول الله الا الصيام فانه لي و انا أجزي به ترك شهوته وطعامه وشرابه من أجلي للصائم فرحتان فرحة عند فطره وعند لقاء ربه ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك) متفق عليه.


"Setiap amalan anak Adam itu baginya satu kebaikan seumpama sepuluh hingga 700 kali ganda. Allah berkata: kecuali puasa sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjaranyanya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua keseronokan , keseronokan ketika berbuka dan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik disisi Allah daripada bau kasturi".


و قال رسول الله "من صا م رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه "البخاري ومسلم

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas"


Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Kaedah berpuasa juga digunakan oleh para doktor untuk mengubati sebahagian penyakit seperti masalah kegemukan. Dalam konteks rohani ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefaqiran dan sebagainya.


قال رسول الله:" ....من استطاع منكم الباءة فليتزوج فانه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء"

“Barangsiapa dikalangan kamu yang mempunyai kemampuan maka hendaklah dia berkahwin sesungguhnya ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, dan sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa sesungguhnya ia merupakan perisai baginya."


2)Ramadhan dan membaca al-Quran:

Dari Fatimah daripada bapanya Muhammad e baginda memberitahu saya bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali dan pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali." Bukhari&Muslim.


Ulama-ulama salaf bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian mereka setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan ketika didalam solat dan diluar solat.


an-Nakha`i mengkhatamkan bacaan al-Quran 2 hari sekali pada 10 hari yang terakhir. Qatadah pula sentiasa mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu, ketika datang Ramadhan beliau megkhatamkan al-Quran setiap 3 hari dan akan khatam pada setiap malam menjelang 10 akhir Ramadhan. Imam Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau membacanya di luar solat. Apabila masuk bulan Ramadhan Imam az-Zuhri akan berkata: "Sesungguhnya ia adalah bulan membaca al-Quran dan memberi makanan." Berkata Abdul Razak: "Dahulu Sufian al-Thauri, apabila masuk bulan Ramadhan beliau akan meninggalkan semua ibadah dan menumpukan perhatiannya kepada membaca al-Quran.


Ibn Rajab berkata : "Hanyasanya larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari ialah ketika melazimi yang demikian. Adapun pada waktu-waktu yang mendapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan khususnya pada malam-malam yang dianggarkan terdapat Lailatul Qadar ataupun ketika di tempat-tempat yang punya kelebihan seperti di Mekah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat, dan ini adalah pendapat imam Ahmad dan Ishak serta imam-imam yang lain.


Ketahuilah saudara semua, sesungguhnya seorang mukmin apabila berada di bulan Ramadhan akan terkumpul baginya 2 jihad didalam dirinya, jihad disiang hari dengan berpuasa dan jihad pada malam hari dengan Qiamullail. Sesiapa yang mengumpulkan antara 2 jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya serta bersabar maka ganjaranyanya amat tidak terhingga.


3)Qiamullail:

و قال رسول الله: من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه "البخاري ومسلم

"Barangsiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas"

قال تعالى: وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجاهلون قالوا سلاما. والذين يبيتون لربهم سجدا وقياما...(الفرقان63و64)

“Dan hamba-hamba Tuhan yang maha penyanyang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka".


Qiamullail adalah kebiasaan Nabi dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. Sayyidatina Aisyah pernah berkata: "Jangan kamu tinggalkan Qiamullail. Sesungguhnya Rasullullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila baginda sakit atau merasa malas baginda solat sambil duduk." Umar al-Khattab akan bersolat malam 'Masya Allah' sehinggalah apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, kemudian beliau berkata kepada mereka as-Solah, as-Solah..lalu beliau membaca:

وأمر أهلك بالصلات واصطبر عليها لا نسألك رزقا نحن نرزقك والعاقبة للتقوى) طه 123 )

Dalam hadis as-Sa'ib bin Zaid beliau berkata: "Dulu seseorang qari' akan membaca beratus-ratus ayat sehinggakan kami menongkat di atas tongkat di sebabkan terlalu lama berdiri, dan tidak ada seorangpun yang beredar kecuali ketika hampir Subuh."


Sebagai peringatan, selayaknyalah setiap jemaah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiam.

قال رسول الله : من قام مع إمامه حتى ينصرف كتب له قيام ليلة" رواه أصحاب السنن.

"barangsiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiam semalaman"


عن أبي ذر أن النبي قام بهم ليلة ثلاث وعشرين الى ثلث الليل وليلة خمس وعشرين الى نصف

الليل فقالوا له: لو نفلت بقية ليلتنا. فقال:" إن الرجل إذا صلى مع الامام حتى ينصرف كتب له بقية ليلته" أخرجه أصحاب ا لسنن وحسنه الترمذي.


Dari Abi Zaar bahawasanya Nabi bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Maka berkata para sahabat kepada baginda: kalaulah kamu terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat. Maka Nabi bersabda: “Sesungguhnya seseorang lelaki jika bersolat bersama imam sehingga imam beredar maka dituliskan baginya untuk saki baki malamnya.”


Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga imam beredar dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar. Berkata sebahagian ulama' Salaf: “Barangsiapa yang bangun solat separuh malam sesungguhnya dia telah bangun sepenuh malam.”

bersambung....

Ahad, 24 Ogos 2008

Menanti Ramadhan Dengan Kegelisahan

Ramadhan semakin hampir tiba, tetapi kita masih leka dengan beberapa perkara yang menimpa negara Malaysia. Isu penurunan harga minyak yang agak menggembirakan berlaku sebelum tarikh 1 September, apapun motifnya kita sambut baik kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat Malaysia. Selain itu pilihanraya kecil juga memainkan peranannya dengan menambahkan lagi isu-isu sensasi termasuklah Mubahalah dan sumpah. Jangan lupa juga penyebebaran fitnah yang semakin bermaharajalela selain sumpah yang kelihatannya semakin menjadi permainan seolah-olah hilang Haibahnya. 31 Ogos pula adalah hari kemerdekaan negara yang kebiasaannya menjadi program rasmi negara. begitulah realiti yang berlaku sepanjang bulan ogos ini selain ramai yang ternanti keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.


Rentetan isu-isu yang semakin menjadi-jadi, seolah-olah kita lupa bahawa Ramadhan semakin menjelang tiba. Sepatutnya persiapan untuk menyambut bulan mulia ini dilakukan dengan memperbanyakkan Istighfar, bacaan al-Quran. zikir, sedekah dan lain-lain ibadah supaya pertambahan ibadah itu dapat dimaksimumkan pada 10 terakhir Ramadhan. Semoga kelemahan ini mendapat keampunan Tuhan pencipta. Tinggal hanya beberapa hari lagi, insyaallah sebelum kemunculan Ramadhan akan menyusul kepada sahabat-sahabat semua risalah Ramadhan secara bersiri bagi menjelaskan kelebihan dan anugerah pahala yang tersedia pada bulan yang penuh keberkatan ini.


Marilah kita berdoa semoga kebaikanlah yang akan berlaku kepada negara kita dan kita pohon semoga kita sempat menjejaki bulan penuh keberkatan ini dengan doa yang diajarkan oleh Nabi;

عن أنس قال : كان النبي صلى الله عليه و سلم إذا دخل رجب قال : اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان
"Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'ban dan sampaikanlah kepada kami bulan Ramadhan." Syu'ab al-Iman-Hadis ini Doif menurut al-Albani


Selasa, 12 Ogos 2008

Prasyarat mengkafirkan di sisi ulama

Dulu kecoh isu mengkafirkan individu setelah berlakunya pertembungan idealogi antara dua parti besar melayu di Malaysia. Adakah fahaman ini masih wujud? Zahirnya telah berlaku pertambahan ilmu dan pemahaman sekalipun unsur-unsur mengkafirkan ini masih wujud dengan kadar yang kecil . Untuk menjelaskan perkara ini kepada generasi ahli sunnah yang akan datang maka saya perincikan permasalahan ini seringkas mungkin insya' Allah.


Hukum asal bagi individu muslim ialah tetap keislamannya dan keadilannya sehinggalah terbukti dia melakukan perkara-perkara yang jelas menyebabkan kepada kekufuran dan kesyirikan. Haram hukumnya mengambil mudah dengan mengkafirkan orang Islam atau menfasikkannya kerana ianya menjerumuskan kepada 2 perkara:


1) Mencipa pendustaan terhadap Allah dalam menghukum.


2) Terjebak kepada larangan hadis Nabi riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud : "Jika seseorang lelaki mengkafirkan saudaranya maka dia telah memperakui dengannya (kekafiran) salah seorang diantara keduanya" dalam riwayat lain ditambah : "Jika ianya betul
maka betullah dan jika tidak maka kekafiran itu kembali kepadanya".


Gejala mengkafirkan individu muslim adalah satu fahaman yang dipelopori oleh golongan al-Khowarij. Disebabkan oleh kesan-kesan besar yang timbul dari masalah ini maka Ahli Sunnah meletakkan beberapa syarat supaya akidah individu muslim tidak dicerobohi kehormatannya hanya disebabkan oleh salah faham dan rasa agresif pihak-pihak tertentu.


Takfir terbahagi kepada dua;

1)Takfir secara umum ,

Iaitu mengkafirkan mana-mana golongan yang dikafirkan oleh Syara' secara umum tanpa menuding jari kepada mana-mana peribadi dan individu muslim. Contohnya mengkafirkan sesiapa yang mencerca Nabi Muhamad, mengkafirkan orang yang mengatakan hukuman Allah kolot dan tidak sesuai dengan zaman, mengkafirkan orang yang mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan sebagainya.


2)Takfir secara khusus,

Iaitu mengkafirkan individu muslim secara khusus disebabkan oleh perkataan pelaku ataupun perbuatannya yang bertentangan dengan akidah islam. Contohnya mengkafirkan si fulan yang menyembah kubur atau orang yang mengumumkan kemurtadannya dan sebagainya.


Perbezaan antara dua perkara ini ialah; takfir secara umum tidak menyebutkan nama si pelaku akan tetapi menyebutkan sifat, kelakuan ataupun perkataan yang boleh menjadi kafir. Adapun jenis kedua pula; menyebutkan nama orang yang dikafirkan disebabkan perkara-perkara tertentu. Takfir jenis pertama tidak menjadi masalah disisi ulama sunnah, selagi ianya menepati nas-nas wahyu. Iaitu mana-mana kedapatan dalil soheh yang mengkafirkan perbuatan ataupun kata-kata sipelaku maka boleh dikafirkan perbuatan tersebut. Sebagai contoh; Allah mewajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka sesiapa yang berkata puasa itu tidak wajib maka dia telah jatuh kafir. Namun apabila seorang individu muslim berkata bahawa puasa tidak wajib, adakah boleh mengatakan si fulan telah jatuh kafir? Jawapannya tidak boleh! Sebab kita telah memasuki kepada jenis takfir yang kedua, iaitu mengkhususkan individu ataupun (Ta'yin). Hal ini tidak boleh berlaku kecuali apabila telah tertegak semua syarat-syarat yang berikut;



Prasyarat untuk mengkafirkan individu (secara khusus);

1-Hendaklah orang yang mahu dikafirkan mengetahui kesalahannya yang mewajibkan dirinya menjadi kafir ataupun fasik. Adapun orang yang jahil tentang apa-apa yang dilakukan dan disebutnya (tidak tahu hukum) seperti mengatakan : "undang-undang Demokrasi lebih baik dari undang-undang islam" maka dia dituntut bertaubat dan dimaafkan. Maksud dari surah al-Taubah : ayat 115, "Dan Allah tidak menyesatkan sesuatu kaum selepas mengurniakan mereka petunjuk sehinggalah diterangkan kepada mereka apa yang sewajarnya ditakuti sesungguhnya Allah maha mengetahui ke atas setiap sesuatu". Sebab itu ulama menyebut; "Tidak boleh dikafirkan orang yang mengingkari kewajipan fardhu jika dia seorang yang baru memeluk islam sehinggalah dijelaskan kepadanya".


2-Hendaklah sipelaku melakukan perbuatannya dengan kemahuan dirinya dalam keadaan sedar tanpa paksaan orang lain. Adapun dipaksa ataupun diluar kesedarannya seperti terlalu sedih hingga menyebutkan sesuatu yang membawa kekufuran maka tidak boleh dihukum kafir. Allah berfirman:

( مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْأِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْراً فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عظيم)


Maksudnya: "Sesiapa yang kufur kepada Allah selepas keimanannya kecualilah siapa yang dipaksa kepada kekufuran sedang hatinya tetap beriman, akan tetapi orang yang kafir itu ialah siapa yang jelas kepada kekufuran dengan kerelaan maka ke atas mereka kemurkaan Allah dan bagi mereka azab yang maha besar". an-Nahl : 106.

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى
رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلَاةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَح)


Maksud hadis: " Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambanya ketika hamba itu bertaubat, kegembiraan itu mengatasi seseorang yang berada di atas kenderaannya (unta) dalam merentasi bumi yang kontang, tiba-tiba hilang tunggangannya yang bersama tunggangan itu semua makanan dan minuman. Maka orang itu pun berputus asa sehinggalah dia berteduh dan berbaring di satu pohon kerana kesal di atas kehilangan kenderaannya.Ketika dia dalam keadaan itu tiba-tiba tunggangannya itu berdiri disisinya, lantas si lelaki memegang kekang untanya kemudian dia berkata kerana terlalu gembira: ya Allah engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhanmu" tersilap (tersasul) kerana terlalu gembira". Riwayat Imam Muslim no 2744.


3-Hendaklah sipelaku tidak mempunyai Takwilan (tafsiran) atau Syubahat yang disangka betul ataupun dia tidak memahami hujah Syara' dengan reality yang sebenar, jika pelaku mempunyai takwilan terhadap apa yang dilakukan dan disebut maka tidak boleh dikafirkan sehinggalah dijelaskan dan dia memahami bahawa takwilannya itu salah. Firman Allah;

( ولَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيما)


Maksudnya; "Dan bukanlah satu kesalahan ke atasmu terhadap apa-apa yang kamu tersilap dengannya akan tetapi dosa dan kesalahan itu terhadap apa yang hati kamu sengajakan sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha pengasih". al-Ahzab :ayat 5


Imam ibnu Taimiyyah berkata di dalam Majmu' Fatawa: "Adalah imam Ahmad bin Hambal merahmati mereka (para khalifah yang terkesan dengan kata-kata Jahmiyah yang mendakwa dan mengimani bahawa al-Quran adalah makhluk) beliau memohon keampunan untuk mereka kerana beliau mengetahui bahawa mereka (para khalifah) tidak mengetahui pendustaan puak-puak Jahmiyah terhadap Rasul, mereka itu (khalifah) bukan mengingkari apa yang datang dari Nabi, akan tetapi mentakwilkan sesuatu dan tersilap, terikut-ikut terhadap apa yang dikatakan kepada mereka".


Beberapa kesan apabila dikafirkan ;


1) Orang yang telah dikafirkan jika mati dalam kekafiran maka tidak dimandikan mayatnya, tidak disolatkan dan tidak dikebumikan diperkuburan orang islam.


2) Hendaklah dipisahkan hubungan suami isteri yang sebelum ini halal.


3) Tidak mendapat harta pusaka dan tidak boleh mewariskan (diwarisi).


4) Wajib didakwa di hadapan Qodhi untuk dihukum bunuh selepas enggan bertaubat dalam tempoh 3 hari kerana termasuk dalam kes murtad.


5) Tidak halal sembelihannya kerana telah menjadi kafir.


6) Mati dalam kekafiran maka wajib mendapat laknat Allah & Malaikat serta kekal selamanya di dalam Neraka.


Kesimpulannya ialah, akidah Ahli Sunnah tidak sekali-kali membenarkan individu muslim dikafirkan ataupun difasikkan kecuali terbukti dengan dalil-dalil Syara' yang kuat disamping telah tertegak keatas mereka 3 syarat yang tersebut. Namun begitu pengkafiran itu tidak dilakukan oleh invididu umum akan tetapi oleh segolongan ulama yang muktabar. Wallahu A'lam.


Rujukan tambahan;

1) "نواقض الإيمان الاعتقادية وضوابط التكفير عند السلف" إعداد د. محمد بن عبد الله بن علي الوهيبي.

2) "ضوابط التكفير عند أهل السنة والجماعة" - لعبد الله بن محمد القرني.

3) "ضوابط التكفير" د.إبراهيم الرحيلي.

Ahad, 10 Ogos 2008

Peluang Keemasan Dan Harta Yang Dilupakan

(فرص ذهبية وكنوز منسية)

1) Sesiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari Neraka Jahanam 70 tahun.


2) Sesiapa yang memohon keampunan bagi orang mukminin dan mukminat maka Allah menuliskan untuknya bagi setiap mukmin dan mukminah satu kebaikan.


3) Sesiapa yang membaca (SubhanAllahil Azim SubhanAllah Wa Bihamdihi) ditanamkan baginya sepohon kurma di dalam Syurga.


4) Sesiapa yang pergi ke pasar dan berkata;

لا إله إلا الله وحده لا شريك له ,له الملك وله الحمد يحيي ويميت وهو حي لا يموت بيده الخير وهو على كل شي قدير


Allah akan tuliskan baginya sejuta kebaikan dan dihapuskan baginya sejuta kejahatan dan di angkatkan baginya dengan sejuta darjat.


5) Sesiapa yang berwudhu' lantas berkata;

أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , وأشهد أن محمدا عبده ورسوله


Maka akan dibukakan baginya pintu-pintu Syurga yang lapan yang dia akan memasukinya dari mana yang dia mahu.


6) Sesiapa yang mengucapkan seratus kali dalam sehari;

لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شي قدير


Maka baginya pahala membebaskan 10 hamba dan dituliskan baginya 100 kebaikan, dipadamkan untuknya 100 kejahatan, dia terpelihara dari Syaitan pada hari tersebut sehingalah petang dan tiada orang yang datang dengan lebih baik darinya kecuali seorang lelaki yang beramal lebih banyak dari orang tersebut.


7) Sesiapa yang membaca; ( (قل هو الله أحد seolah-olah dia membaca satu pertiga al-Quran.


8) Sesiapa yang membaca (قل هو الله أحد) 10 kali maka di binakan baginya satu rumah di Syurga.


9) Sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari kemudian solat sunat dua rakaat maka baginya pahala Haji dan Umrah yang penuh lagi sempurna.


10) Sesiap yang berkata; (SubhanAllah Wa Bihamdihi) dalam sehari 100 kali maka dipadamkan dosa-dosanya sekalipun sebanyak buih di lautan.


11) Sesiapa yang berwudhu' seperti wudhu' ku ini (wudhu' Nabi) kemudian dia bangun solat dua rekaat dan dia tidak membisikkan was-was dalam dirinya maka di ampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.


12) Sesiapa yang membina masjid semata-mata menuntut keredoan Allah maka Allah bina baginya rumah di Syurga.


13) Sesiapa yang solat (Bardain) Subuh dan Asar, maka dia masuk Syurga.


14) Mana-mana hamba muslim yang melakukan solat setiap hari 12 rekaat sunat selain dari solat fardhu maka Allah binakan baginya rumah di Syurga.


15) Umrah pada bulan Ramadhan menyamai Haji bersama Nabi Muhammad.


16) Sesiapa yang membukakan orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa tanpa dikurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun.


17) sesiapa yang berpuasa setiap bulan sebanyak tiga hari maka itu adalah umpama puasa setahun.


18) Berpuasa pada hari Arafah di kafarahkan baginya tahun yang lalu dan yang selepasnya.


19) Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti pula dengan puasa 6 hari bulan Syawal seolah-olah seperti puasa setahun.


20) Sesiapa yang berkata; (La Haula Wala Quwwata Illa BilLah) disimpankan baginya satu harta dari harta-harta Syurga.


21) Sesiapa yang berkata; "رضيت بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا ورسولا" wajiblah baginya Syurga.

Jumaat, 8 Ogos 2008

Siapakah Muktazilah

"Siapakah Muktazilah"

Oleh; Mukhamad Khafiz bin Abdul Basir

Pengenalan

Al-Muktazilah adalah salah satu firaq (pecahan) islam yang dinisnahkan kepada (Wasil bin Atto"), yang mula muncul sekitar tahun 105-110 hijrah. Terkenal dengan mendahulukan akal fikiran berbanding Naqal (wahyu), mempunyai 5 usul pegangan. Antara nama lain bagi puak ini ialah; (al-Qadariah, al-Wai'diyyah dan al-Adaliyah) dinamakan Muktazilah kerana pengasasnya keluar dari majlis imam Hasan al-Basri selepas dia tidak bersetuju dengan Hasan al-Basri dalam sekitar isu kefasikan.


Akidah dan pemikiran;

Akidah dan pemikiran mereka bermula dengan satu asas yang kemudiannya berkembang dan semakin berpecah tanpa henti yang akhirnya mencipta pelbagai akidah dan pemikiran yang lain. Asas permulaan akidah mereka ialah: 5 usul yang tidak dianggap sebagai Muktazilah bagi sesiapa yang tidak mengimaninya. 5 usul ini ialah;

1) Tauhid, yang dimaksudkan oleh mereka ialah; mengisbatkan keesaan Allah dan menafikan persamaan. Dimasukkan dibawah usul ini iktikad menafikan sifat-sifat Allah. Mereka dalam masalah sifat hanya menafikan sahaja. Sebagai contoh mereka mengatakan tentang Allah ialah: tidak panjang tidak lebar, tiada warna, tidak panas tidak sejuk dan sebagainya. Adapun mengisbatkan sifat seperti sifat ilmu dan qudrah dan lain-lain lagi maka mereka tolak dan nafikan kerana mereka beranggapan bahawa mengisbatkan sifat-sifat itu bermakna menyamakan Allah dengan makhluk.

2) Al-Adlu (adil), bermaksud; mengkiaskan hukum-hukum Allah dengan sesuatu yang bermunasabah ataupun menepati akal dan hikmah. Atas dasar ini mereka menolak beberapa perkara dan mewajibkan perkara yang lain. Mereka menafikan bahawa Allah menciptakan perbuatan hambanya, dan sesungguhnya makhluk itu adalah pencipta bagi setiap perbuatan mereka yang baik dan buruk. Mereka juga mengatakan bahawa akal manusia bersendirian dalam menentukan yang baik dan buruk, justeru apa-apa yang dilihat baik oleh akal adalah baik dan apa-apa yang dilihat buruk adalah buruk.

3) Al-Manzilah baina al-manzilatain (diantara dua kedudukan), usul ini menjelaskan hukum bagi orang yang fasik didunia disisi Muktazilah. Yang ianya merupakan masalah yang diperselisihkan antara Wasil dan Hasan Basri. Muktazilah mengatakan bahawa orang yang fasik didunia tidak dinamakan mukmin dari satu sudut dan tidak dinamakan kafir dari sudut yang lain akan tetapi diantara dua kedudukan. Jika dia bertaubat maka telah kembali kepada keimanannya dan jika mati dalam kefasikannya maka dia kekal selama-lamanya dalam neraka.

4) Al-Wa'du wal-Wai'id (janji baik dan buruk), yang dimaksudkan ialah pelaksanaan janji-janji buruk (azab) di akhirat terhadap orang yang melakukan dosa-dosa besar, dan allah tidak menerima untuk mereka syafaat. Pelaku dosa-dosa besar tidak akan dikeluarkan dari neraka selama-lamanya dan mereka adalah golongan kafir terkeluar dari agama islam tetapi azab mereka lebih ringan berbanding orang kafir.

5) Al-amru bil ma'ruf wan nahyu anil munkar (amal ma'ruf nahi munkar), usul ini menjelaskan pendirian mereka terhadap pelaku dosa-dosa besar samada mereka pemimpin ataupun rakyat. Mereka bersepakat mewajibkan amal ma'ruf nahi munkar dengan apa cara sekalipun semampunya. Mereka mewajibkan untuk membunuh pemimpin yang zalim semata-mata kerana kefasikan mereka, dan mewajibkan keluar dari ketaatan pemimpin (memerangi) jika mampu dan yakin terhadap kemenangan mereka.


Ini adalah 5 usul Muktazilah yang disepakati disamping kedapatan beberapa usul yang mereka perselisihkan antaranya ialah;

6) Menafikan melihat Allah. Sekira-kira mereka sepakat bahawa Allah tidak dapat dilihat dengan mata tidak didunia dan tidak juga di akhirat, kerana mengisbatkan penglihatan manusia terhadap Allah adalah mengisbatkan tempat bagi Allah dan ini menurut mereka adalah terlarang bagi Allah.

7) Mereka mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk, adapun Nabi Musa, sesungguhnya Allah bercakap dengan Musa dengan menciptakan kata-kata pada pokok.

8) Menafikan sifat tinggi bagi Allah. Mereka mentakwilkan atau menukarkan sifat Istiwa (bersemayam) dengan (menguasai) .

9) Menafikan syafaat Nabi Muhammad terhadap pelaku dosa-dosa besar dikalangan umatnya, imam al-Asyari berkata dalam kitabnya (Maqalat Islamiyyin); "mereka berselisih pendapat dalam masalah syafaat Nabi adakah ianya untuk pelaku dosa-dosa besar? Adapun Muktazilah mengingkari syafaat dan menolaknya (untuk pelaku dosa-dosa besar).

10) Menafikan keramat para wali Allah, jika kita mengimani karamah para wali sudah pasti para wali adalah sama atau menyerupai Nabi.


Antara perpecahan (firaq) yang berlaku dalam Muktazilah;

1) al-Wasiliyah, mereka adalah pengikut Wasil bin Atto' yang pada asalnya adalah murid kepada imam Hasan al-Basri. Kemudian meninggalkan Hasan al-Basri selepas dia tidak setuju dengan Hasan al-Basri dalam isu pelaku dosa-dosa besar.

2) al-Huzailiyyah, mereka adalah pengikut Abu Huzail Hamdan bin al-Huzail, syeikh utama Muktazilah yang menuntut ilmunya dari Usman bin Khalid at-Towil dan Usman pula mengambil dari Wasil bin Atto'.

3)al-Nizomiyyah, mereka adalah pengikut Ibrahim bin Yasar bin Hani' al-Nizom yang telah mencampur adukkan antara ungkapan ahli falsafah dan Muktazilah. Beliau bersendirian dengan beberapa pendapatnya berbanding ulama-ulama Muktazilah yang lain. Seperti iktikad beliau mewajibkan Allah dengan sesuatu yang Allah terpaksa melakukannya.

4)al-Bisyriyyah, adalah pengikut Bisyir bin Muktamir dikalangan ulama Muktazilah. Imam az-Zahabi berkata; "Beliau adalah orang yang cerdik pandai tetapi tidak mendapat petunjuk dan hidayah, umurnya panjang tetapi tidak kembali kepada petunjuk yang benar". Antara kata-katanya ialah;"Allah mampu untuk menyiksa kanak-kanak kecil dan jika Allah melakukan yang demikian maka Allah telah menjadi zalim".


Kisah imam Ahmad bin Hambal dan Muktazilah;

Kisah ini berlaku antara imam Ahli Sunnah Ahmad bin Hambal dan Ahmad bin Abi Du'ad. Imam Ahmad yang dikeluarkan dari penjara dibawa dihadapan khalifah al-Wasiq untuk berdebat dengan Ahmad bin Abi Du'ad. Lantas imam Ahmad memulakan bicara; "Pendapatmu yang kamu sebarkan ini (al-Quran adalah makhluk) adakah termasuk dalam agama? Dan agama ini tidak akan sempurna kecuali dengan kata-kata ini (mengimani al-Quran bukan kalam Allah)?". Maka jawab Ahmad bin Abi Du'ad ; "benar'. Sambung imam Ahmad; adakah Nabi menyeru manusia kearah itu ataupun tidak? Berkata ibnu Abi Du'ad; "tidak". Kata imam Ahmad lagi; adakah baginda tahu hal ini ataupun tidak? Jawab ibnu Abi Du'ad; Nabi tahu. Imam Ahmad berkata; sebab apa kamu seru manusia kearah sesuatu yang tidak diseru oleh Nabi dan baginda membiarkannya? ibnu Abi Du'ad terdiam.


Imam Ahmad; "Wahai Amirul Mukminin ini adalah yang pertama. Lantas Amirul Mukminin berkata; beritahu kepadaku wahai imam Ahmad! Imam Ahmad membacakan ayat 3 surah al-Maidah, dan berkata; kamu katakan bahawa agama tidak akan sempurna kecuali dengan mengimani bahawa al-Quran adalah makhluk. Sedangkan Allah membenarkan kesempurnaan agama dan ianya telah cukup sempurna, adakah kamu mengurangkan agama ini? Maka ibnu Abi Du'ad terdiam lagi. Ini adalah yang kedua wahai Amirul Mukminin balas imam Ahmad. Kemudian khalifah berkata; beritahu kepadaku wahai imam Ahmad! Imam Ahmad membacakan ayat 67 al-Maidah bermaksud; "Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah di turunkan kepadamu dari tuhanmu jika engkau tidak berbuat demikian maka engkau sebenarnya tidak menyampaikan risalah Allah". Kata-katamu ini hai ibnu Abi Du'ad yang kamu seru kearahnya adakah Rasul telah sampaikan seperti yang engkau seru? ibnu Abi Du'ad terdiam. Imam Ahmad berkata; ini adalah yang ketiga.


Dengan perbahasan ini Allah telah melemahkan kekuatan Muktazilah dan khalifah meninggalkan mereka. Mazhab mereka semakin lebih dari hari ke hari sehinggalah sekarang ini. Al-Allamah Wazir al-Yamani menyebut; "sesunguhnya umat telah sepakat bahawa tidak boleh menangguhkan penjelasan pada waktu diperlukan, setiap yang tidak diterangkan dari sudut akidah pada zaman Nabi maka tiada perlunya untuk di pegang dan di ambil sebagai iktikad. Tidak perlu juga menjerumuskan diri ke arahnya dan berdebat".


Sewajarnya kita berhati-hati dalam permasalahan agama, yang tidak semata-mata mengutamakan akal yang waras bahkan lebih dari itu ialah mandahulukan nas-nas wahyu mengatasi segala-galanya kerana ia merupakan sumber paling benar tanpa pertikaian. Adapun mengagungkan kebijaksanaan akal dan logik, sebenarnya kebijaksanaan manusia berbeza-beza dan kewajaran juga bertentangan antara satu dengan yang lain, sudah pasti menyebabkan pertelingkahan dan pergaduhan. Akal siapakh yang lebih wajar di utamakan? Justeru, ini adalah suatu yang bathil samada anda akur ataupun tidak. Imam Ali bin Abi Tolib berkata dalam masalah menyapu khauf (stokin dari kulit): "Jika agama ini berpandukan akal fikiran sudah pasti yang lebih utama di sapu ialah bawah kauf (tapak) bukannya di sebelah atas". Wallahu a'lam.


Rujukan tambahan;

1) "al-Milal Wan Nihal" karangan as-Syahristani

2) "al-Fisol Fil Milal Wal-Ahwa' Wan Nihal" karangan ibnu Hazm

3) "al-Firaq al-Muasyarah Tuntasab Ilal Islam" karangan Dr Gholib Ali Awaji.

4) "Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah karangan" Syeikh Abu Zuhrah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...