RSS Feeds

Selasa, 4 November 2008

Siapakah Tijani?!!

Pengaruh dan fahaman sufi mula berkembang luas ke pelusuk alam pada kurun ke-3 hijrah dengan mengalami pelbagai penyelewengan demi penyelewengan ke arah kesesatan akidah yang amat parah. Bermula sebagai satu usaha atau jalan tarbiyah jiwa sehinggalah bercampur aduk dengan falsafah-falsafah hindu, parsi dan yunani yang karut-marut. Mereka menjadi fanatik dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Mereka mengasingkan 3 perkara asas dalam beribadah :

1- Kasih yang sempurna

2- Pengharapan yang sempurna

3- Ketakutan yang sempurna


Ulama salaf pernah berkata : "Sesiapa yang menyembah Allah dengan kasih sayang semata-mata, sesungguhnya dia telah menjadi seorang zindiq, sesiapa yang menyembah Allah dengan harapan semata-mata, maka dia telah menjadi murjia`h dan sesiapa yang menyembah Allah dengan sifat takut semata-mata, maka dia adalah khawarij ".


Antara cabang-cabang yang wujud dalam sufi ialah mereka yang dikenali sebagai Tijaniah. Mereka memiliki sejumlah pemikiran dan i`tiqad sufi ditambah pula dengan satu kepercayaan bahawa mereka berkemampuan untuk bertemu dengan Nabi secara hakiki di dunia dan Nabi telah mengkhususkan kepada mereka sejenis selawat yang dinamai ( صلاة الفاتح لما أغلق ) “ Pembuka bagi sekelian yang tertutup “. Dan perkara ini mendapat tempat yang amat agung di sisi mereka.


Diasaskan oleh Abul Abbas Ahmad bin Mohammad bin Mokhtar bin Ahmad bin Mohammad Salim at-Tijani yang hidup sekitar tahun 1150 - 1230 Hijrah bersamaan 1737 - 1815 Masihi. Dilahirkan di al-Jazai`r ( Algeria ). Mula mengasaskan kumpulan ini pada tahun 1196 H. Kitab rujukan penting tarikat ini ialah Kitab yang dihimpunkan oleh anak muridnya bernama `Ali Harazim diberi nama :

جواهر المعاني وبلوغ الأماني في فيض سيدي أبي العباس التيجاني


:: Pemikiran dan I`tiqad

1)11) Secara umumnya mereka beriman dengan Allah SWT tetapi telah bercampur keimanannya dengan perkara-perkara syirik yang amat banyak.

2) 2) Menyamai tarikat-tarikat sufiah secara umum dari segi pegangan dengan i`tiqad-i`tiqad sufi, pemikiran dan falsafahnya. Antaranya keimanan mereka dengan kepercayaan ( al-hulul ) (1).

3) Membahagikan perkara ghaib kepada dua. Ghaib Mutlak yang tertentu dengan keimanan kepada Allah dan Ghaib Muqayyad. Jenis ini (Ghaib Muqayyad) tidak diketahui oleh sebahagian makhluk tetapi diketahui oleh sebahagian yang lain. Jenis Kedua ini banyak dinisbahkan kepada guru-guru mereka. Antara pendakwaan mereka ialah dibukakan hijab untuk guru-guru mereka, mereka mendakwa tentang guru Tijani dengan berkata: "Antara kesempurnaan Baginda RadhialLahu `Anhu ialah ketajaman penglihatannya yang rabbani dan firasatnya yang nurani yang nyata ianya bertepatan dan benar dalam mengenali hal-hal sahabat dan hal-hal yang lainnya seperti mengetahui perkara-perkara yang tersembunyi dan perkhabaran-perkhabaran ghaib, mengetahui kehendak dan hajat, mengetahui apa yang akan terjadi antara kemaslahatan dan kerosakan serta lain-lain perkara yang telah terbukti kebenarannya". (2)

4) 4) Mendakwa bahawa pengasas mereka bertemu dengan Nabi secara hakiki atau yaqazah (secara sedar) dan Nabi bercakap dengannya dan beliau belajar dengan Nabi Selawat Fatih yang lafaznya :

(اللهم صل على سيدنا محمد الفاتح لما أغلق والخاتم لما سبق ، ناصر الحق بالحق ، الهادي إلى صراطك المستقيم ، وعلى آله حق قدره ومقداره العظيم)


:: Beberapa kepercayaan tentang selawat ini :

1) Nabi SAW memberitahu bahawa sesiapa yang membacanya sekali menyamai dengan mereka yang menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak enam kali.

2) Kali kedua Nabi mengkhabarkan, barangsiapa yang membacanya sekali ia menyamai semua bentuk zikir, doa yang besar atau kecil dan sama seperti orang yang menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak 6000 kali. (3)

3) Kelebihan ini terhasil dengan syarat pengamalnya mendapat keizinan langsung untuk membacanya dan ia melibatkan silsilah nasab ( ijazah ) sampai kepada Ahmad at-Tijani.

4) Selawat ini adalah kalam Allah dengan kedudukannya sebagai Hadis Qudsi.


:: Antara I'tikad dan kepercayaan mereka yang lain ialah:

1) Beranggapan bahawa pengikut-pengikutnya akan mendapat beberapa keistimewaan pada Hari Qiamat. Antaranya :

a- Diringankan daripada azab seksaan.

b- Dipayungi oleh Allah dengan `ArasyNya.

c- Mendapat perbatasan khas untuk mereka beristirehat di Mahsyar.

d- Mereka bersama-sama dengan orang yang aman (آمنين) di pintu syurga. Mereka memasukinya serentak dengan Nabi dan sahabat-sahabat karib Baginda.

2)

Mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad telah melarang Ahmad at-Tijani daripada bertawassul / bertawajjuh dengan Asma` al-Husna dan memerintahkannya agar bertawajjuh dengan Selawat Fatih dan Nabi sebelumnya memang belum pernah menyuruh mana-mana sahabat untuk berbuat demikian.

3) Seperti tarikat-tarikat yang lain, mereka meneruskan tawassul dengan zat Nabi dan orang-orang soleh yang telah mati.

4) Mereka mendakwa bahawa Ahmad at-Tijani adalah wali yang terakhir.

5) at-Tijani berkata : Sesiapa yang melihat aku maka dia masuk syurga.

6) Mereka menaqalkan daripada Ahmad at-Tijani bahawa dia berkata : "Setiap ilmu yang diberikan kepada `ulama diberikan juga kepada aku".

7) Beliau juga berkata : Jika ditimbang (أقطاب) wali kutub segolongan sahabat-sahabat beliau dengan umat Muhammad seluruhnya maka tidak lebih seluruh umat muhammad ini hanyalah seperti sehelai rambut salah seorang daripada pengikutnya.

8) Katanya lagi : "Sesungguhnya dua tapak kaki aku ini berada di atas tengkuk setiap para wali dari awal penciptaan Adam sehinggalah ditiupkan sangkakala ( Hari Qiamat )".

9) Beliau mendakwa dirinya berada pada maqam kenabian pada Hari Akhirat.


:: Penyebaran dakwah dan tempat-tempat yang menjadi sasaran

1) Gerakan ini bermula di Fas ( Algeria ) kemudian membiak pesat sehingga mempunyai pengikut yang ramai di Maghribi, barat Sudan, Nigeria, utara Afrika dan Mesir.

2) Pengarang kitab ( at-Tijaniah ) Ali bin Mohd ad-Dakhilullah menganggarkan pada tahun 1981 Masihi bilangan pengikutnya di Nigeria sahaja mencecah 10 juta orang.


:: Kesimpulan

Sesungguhnya pengikut tarikat Tijaniah adalah golongan yang melakukan bida`ah. Dalam hal-hal ibadah, semua perkara-perkara bida`ah itu adalah sesat. Mereka telah membawa satu pengkhususan doa yang tertentu yang sama sekali tidak wujud dalam syara`. Mereka menyuruh manusia dengan satu kelaziman dalam ibadah-ibadah tertentu pada waktu-waktu yang tertentu tanpa bersandarkan kepada asas dan dalil. Lebih parah dari itu, mereka memiliki i`tiqad yang boleh membawa kepada kemurtadan pendokong-pendokongnya dari agama Islam seperti i`tiqad dengan al-Hulul wa al-Ittihaad.


:: Kamus Kalimah :

1) al-Hulul: Satu tanggapan bahawa Allah itu bebas berada di mana-mana jua tempat.

2) al-Ittihad: Merupakan sebahagian akidah penyembah berhala yang telah menyelinap masuk ke dalam dunia Islam dengan membuang/menafikan perbezaan yang wujud antara al-Khaliq ( Allah ) dan makhluk dengan tanggapan bahawa tiada yang wujud di alam maya ini kecuali ia adalah Allah.

3) Aqtob: Salah satu daripada tingkatan martabat para wali di kalangan pengamal sufi.

4) Zindiq: Lafaz farsi yang telah dijadikan Bahasa `Arab. Bermaksud Setiap "insan yang ragu-ragu dengan agama atau mengingkari sesuatu yang terkandung di dalamnya atau orang yang mengambil mudah dalam mengerjakan ibadah".

(1) Lihat kitab mereka (Jawahirul Ma'ani) 1 / 191.

(2) Jawahirul Ma'ani 1 / 93.

(3) Jawahirul Ma'ani 1 / 136.

Ahad, 2 November 2008

Pengajaran Dari Tarikh ( 1 )

Sabtu, 1 November 2008

Masa dan keajaibannya

الوقت وعجائبه

Siri 1

Kehidupan manusia punya hubung kait yang amat rapat dengan masa, tanpa masa siapalah kehidupan. Allah berfirman didalam al-Quran: "Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran." Imam Fakhrurrazi berkata dalam tafsirnya tentang surah al-Asr katanya; " Allah bersumpah dengan masa (iaitu zaman) kerana didalamnya beberapa keajaiban, kerana berlaku didalamnya kebahagian dan kesengsaraan, sihat dan sakit,kaya dan faqir, kerana sesungguhnya umur tidak dapat dinilai dengan sesuatu yang bernilai dan berharga'. Imam Syafie berkata; 'Kalaulah Allah tidak menurunkan kepada umat ini kecuali surah ini (al-asr) maka ianya sudah memadai.'


Peri pentingnya masa dalam kehidupan sehinggakan Allah Taa'la bersumpah dengan masa dalam 7 tempat di dalam al-Quran. Lihat surah al-Lail ayat 1-2, al-Muddathir ayat 33-34, at-Takwir ayat 17-18, aL-Insyiqaq ayat 16-17, al-Fajr ayat 1-2, ad-Dhuha ayat 1-2, al-Asr ayat 1-2. Sedia kita maklumi bahawa al-Quran tidak mengulangi sesuatu ayat atau apa-apa bentuknya kecuali untuk sesuatu yang amat penting. Umur manusia amat singkat seperti yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasululullah bahawa tempoh umur umatnya ialah antara 60-70 tahun. Walau bagaimanapun dalam tempoh yang singkat ini berbanding umat-umat terdahulu ia mendapat keberkatan dan dilipat gandakan amal kebaikan mereka.


Masa didunia berbeza jaraknya dan sifatnya jika dibandingkan dengan akhirat. Allah menggambarkan dalam al-Quran bahawa sehari di alam akhirat menyamai 1000 tahun di dunia. Dan dalam ayat yang lain pula ianya adalah seperti 50,000 tahun didunia. Allah berfirman;

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ""

Maksudnya; "Mereka itu meminta supaya disegerakan azab Allah, dan Allah tidak akan memungkiri janjiNYA, dan sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu itu seperti 1000 tahun dari apa yang mereka bilang" (al-Hajj : 40)

تَعْرُجُ الملائكة والروح إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ""

Maksudnya; " para malaikat dan jibrail naik kepadanya pada hari yang kadarnya menyamai 50,000 tahun" (al-Ma'arij : 4)


Lihat perbahasan ini dalam tafsir Adwa'ul Bayan karangan syeikh al-Amin Syanqiti. Kita tidak pernah terbayang dalam masa yang amat amat singkat ini ulama-ulama terkenal seperti Imam Bukhari, as-Syafie, an-Nawawi, dan selain mereka mendalami dan mempelajari ilmu, mengajari ilmu-ilmu tersebut kepada masyarakat, mengarang, dan sebagainya. Sedangkan dalam masa yang sama mereka adalah ahli ibadah yang hebat. Bilakah mereka tidur? Masa mereka bersama keluarga? Masa makan dan minum mereka? Itulah realiti kehidupan ulama' yang sentiasa mendapat keberkatan dalam ilmu, masa, harta dan segala-galanya yang dikurniakan Allah kepada mereka.


Pepatah melayu mengatakan: 'Masa itu emas'! Tidak semua orang memahami kata-kata hikmah ini dalam konteks pengamalan. Apalagi untuk memahami dan mengerti pepatah arab: 'Masa itu seperti pedang jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotongmu'. Dalam kehidupan sehari-hari, manusia hanya akan menghadapi satu detik yang tidak akan berulang selama-lamanya. Zaman mudanya hanya sekali, tuanya hanya sekali, dan matipun sekali, tiada yang kedua baginya. Apa yang dipertontonkan oleh Doraemon dan Nobita tentang mesin masa hanyalah imaginasi yang mustahil untuk terjadi. Lihatlah bagaimana orang-orang kafir ketika berada di alam akhirat? Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika sekiranya kamu hai Muhammad melihat keadaan orang-orang kafir ketika dihadapkan ke neraka, lalu mereka berkata:"Alangkah baiknya jika kami dikembalikan ke dunia dan tidak mendustakan ayat-ayat tuhan kami serta menjadi orang-orang yang beriman.!"-al-An'am ayat 27-

Khamis, 30 Oktober 2008

Hukum binaan di atas kubur

Adapun binaan di atas kubur seperti yang banyak kita saksikan sekarang seperti membina tembok, dinding pagar dan sebagainya, tulisan ayat-ayat suci al-Quran dan lain-lainnya adalah antara perkara yang diharamkan. Nabi bersabda yang bermaksud: "Nabi melarang Tajsis kubur ( membina tembok dinding dikeliling kubur) dan melarang membina binaan di atasnya". Hadis riwayat Muslim dan pada riwayat Tirmizi dan al-Hakim (Nabi melarang dari ditulis sesuatu apapun diatasnya).


An-Nawawi berkata dalam syarah soheh Muslim: "Nabi melarang Tajsis kubur dan membina diatasnya dan juga duduk di atas kuburan" dalam hadis ini larangan Tajsis kubur , membina binaan diatasnya dan duduk diatas kuburan. Yang dimaksudkan dengan قعود ialah duduk, ini merupakan mazhab Syafie dan jumhur ulama. Imam Malik berkata dalam kitabnya Muwatto’ : "yang dimaksudkan dengan قعود ialah duduk". Antara yang menyokong perkara ini ialah riwayat lain yang menyebut: "jangan kamu duduk di atas kuburan). dalam riwayat yang lain pula disebut: ( Demi sesungguhnya seseorang dari kamu duduk diatas bara api kemudian bajunya terbakar sehingga memakan kulit badannya lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur). An-Nawawi berkata lagi: "Telah berkata sahabat-sahabat kami (ulama Syafie): Tajsis kubur itu makruh, dan duduk diperkuburan adalah haram, demikian juga menyandar di atas perkuburan". Imam Syafie berkata di dalam al-Umm: aku lihat para imam di Mekah menyuruh supaya diruntuhkan binaan di atas kubur, ini disokong oleh sabda Nabi yang bermaksud: (dan tiada kubur yang dimuliakan[1] kecuali ianya diratakan). Lihat syarah soheh Muslim karangan an-Nawawi[2].


Apakah hikmah larangan ini?

1)kerana ianya boleh menjadi sebab kepada sikap melampau terhadap kubur yang akhirnya membawa kepada penyembahan. Sebab itu datang juga larangan mengebumikan mayat di masjid. Adapun kubur Nabi sesungguhnya ia tidak berada di dalam masjid akan tetapi Nabi dikuburkan di rumah baginda (ini merupakan antara perkara-perkara khusus yang dibolehkan bagi nabi sahaja) adapun jasad Abu Bakar dan Umar kerana permintaan mereka untuk dikebumikan bersama baginda kerana mereka berdua adalah sahabat Nabi yang paling akrab dan mulia yang sering menemani Nabi kemana sahaja baginda berada.

2)mengelak daripada menyerupai orang Yahudi. Nabi bersabda bermaksud: "Allah melaknat orang Yahudi yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid". Hadis ibnu Abbas riwayat Bukhari.


Soalan: Disana terdapat kubur yang diangkat tinggi dari bumi lebih kurang sejengkal ataupun lebih, akan tetapi kubur itu dikelilingi oleh tembok yang tinggi adakah kubur ini di anggap beramal dengan yang bukan sunnah? Adakah dibolehkan menziarahi kuburan yang seperti ini atau tidak?


Jawapan: Binaan di atas kuburan adalah diharamkan kerana telah datang hadis daripada Nabi yang menyebut: "Nabi melarang membina tembok kubur, melarang duduk di atas kuburan dan melarang membina binaan diatasnya". Hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdillah. Dengan itu diketahui bahawa binaan seperti yang disebut wajib di hapuskan kerana beramal dengan hadis ini. Adapun menziarahi secara syarak maka tidak menjadi masalah. Wabillahi taufik dan selawat Allah ke atas Nabi kita Muhammad, kaum kerabat baginda dan sahabat-sahabat baginda alaihissolatu Wassalam. [ Fatwa Lajnah Daemah untuk kajian ilmiah dan fatwa]. Wallahu a'lam.



[1] Maksud dimuliakan ialah: yang ditinggikan dari permukaan bumi yang asal.

[2] Soheh muslim bab: باب الأَمْرِ بِتَسْوِيَةِ الْقَبْرِ

Selasa, 28 Oktober 2008

Kisah ajaib oleh syeikh al-Maghamisi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...