RSS Feeds

Selasa, 15 Disember 2009

Muqaddimah Imam Ahmad Bin Hambal

Mari kita menekuni dan mendalami apa yang telah ditulis oleh Imam Ahmad bin Hambal 164-241 H dalam Muqaddimah kitabnya (Ar-Radd Ala Az-Zanadiqah Wal Jahmiyyah). Saya akan terangkan mengikut keperluan dalam Hamish (footnote) sebagai keterangan. Berkata Imam Ahmad Rahimahullah;


قال الإمام أحمد: ((الحمد لله الذي جعل في كل زمان فترة من الرسل بقابا من أهل العلم يدعون من ضل إلي الهدى ويصبرون منهم علي الأذي يحيون بكتاب الله الموتي ويبصرون بنور الله أهل العمي فكم من قتيل لإبليس قد أحيوه وكم من تائه ضال قد هدوه فما أحسن أثرهم علي الناس وأقبح أثر الناس عليهم ينفون عن كتاب الله تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين الذين عقدوا ألوية البدعة وأطلقوا عنان الفتنة فهم مختلفون في الكتاب مخالفون للكتاب متفقون علي مفارقة الكتاب يقولون علي الله وفي الله وقي كتاب الله بغير علم يتكلمون بالمتشابه من الكلام ويخدعون جهال الناس بما يلبسون عليهم فنعوذ بالله من فتن المضلين))


((Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan bagi setiap zaman (satu tempoh terputusnya perutusan nabi & rasul)[1], saki-baki (yang sedikit) dikalangan ahli ilmu yang mereka ini menyeru manusia daripada kesesatan kepada hidayah[2], mereka ini bersabar menanggung kesakitan dan kepedihan[3], mereka ini menghidupkan dengan kitab Allah orang yang mati[4], mereka ini memperlihatkan cahaya-cahaya Allah kepada orang yang buta[5]. Berapa ramaikah orang yang dibunuh oleh iblis akan tetapi dihidupkan dengannya[6]? Berapa ramaikah orang yang terpesong sesat telah mereka beri petunjuk? Betapa baiknya kesan mereka kepada manusia dan betapa buruknya kesan-kesan manusia pada mereka[7]? Mereka ini (para ulama) menafikan kitab Allah daripada Tahrif (penyelewengan) orang-orang yang ghulu (melampau) dan campur tangan orang-orang yang batil, menolak takwilan orang-orang yang jahil yang telah mengikat panji-panji bida'ah, mereka ini telah menyebarkan silsilah dan talian fitnah[8], mereka ini menyelisihi apa-apa yang terkandung dalam al-kitab[9], mereka ini bersetuju @ bersepakat dengan meninggalkan al-kitab[10]. Mereka ini menyatakan sesuatu terhadap Allah, tentang Allah dan apa yang terdapat dalam kitab Allah tanpa ilmu[11]. Mereka ini berkata-kata dengan kalam yang penuh keraguan[12]. Mereka ini memperdayakan orang-orang yang jahil dengan apa-apa kesamaran (keraguan) yang terdapat dalam diri mereka. Maka kita berlindung dengan Allah daripada fitnah-fitnah orang-orang yang menyesatkan)).



[1] Bermaksud; satu tempoh tiada para Nabi dan Rasul, akan tetapi kata-kata Imam Ahmad bermaksud selepas kewafatan Nabi Muhammad yang sudah pastinya tiada Rasul, maka pewaris para Nabi dan Rasul itu ialah para ulama seperti disebutkan dalam hadis yang soheh dan hal ini dapat difahami daripada kata-kata Imam Ahmad selepas itu; (saki baki ahli ilmu / ulama)


[2] Inilah tugas Ulama Rabbani yang mereka ini adalah wali-wali Allah. Adapun wali-wali Syaitan mereka akan menyeru kepada kesesatan dan hawa nafsu mereka semata-mata. Wali-wali Allah ini menyedarkan manusia daripada kesesatan dan kejahilan. Memberi petunjuk kepada jalan para Anbiya yang lurus iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad.


[3] Inilah keistimewaan mereka, sentiasa bersabar dalam dakwah yang pastinya sentiasa menghadapi rintangan dan halangan. Samada halangan-halangan itu sesuatu yang zahir ataupun batin. Kesakitan dan kepedihan itu lazimnya datang daripada umat manusia yang menerima dakwah tersebut. Demikianlah para Anbiya seluruhnya. Ini dijelaskan oleh Nabi dalam hadis baginda yang soheh; ((Sedahsyat-dahsyat manusia yang di uji ialah para Anbiya kemudian mereka yang seumpama mereka dan seumpama mereka)).


[4] Yang dimaksudkan disini ialah orang yang mati hatinya. Al-quran menghidupkan hati-hati yang mati, melembutkan hati-hati yang keras membatu, memberikan rahmat dan keberkatan dalam kehidupan, menjadi petunjuk bagi sekalian makhluk, menjadi penyembuh bagi sekalian penyakit, dan al-Quran adalah mukjizat Nabi Muhamad yang paling agung.


[5] Ya, para ulama inilah yang telah menyebarkan ilmu-ilmu Allah kepada umat manusia sebagai rentetan daripada dakwah Nabi. Merekalah yang telah menerangkan menjelaskan permasalahan akidah islamiah dan hukum hakam, merekalah yang telah menapis dan menyaring hadis-hadis Nabi daripada kejahatan ciptaan manusia jahil dan munafik. Dengan panduan yang dibawa oleh para ulama Rabbani inilah maka kita lebih mengenali agama Allah yang suci ini.


[6] Iaitu orang-orang yang dibunuh hatinya oleh dorongan iblis dengan melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah. Jauh daripada petunjuk Nabi dan solehin. Tetapi disebabkan ulama Rabbani inilah mereka hidup semula dengan dunia yang jernih dan suci daripada dosa dan noda.


[7] Kesan para ulama ini menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan Rasul, memahami ajaran agama dan mengamalkannya. Menjadikan bumi tenang harmoni dan diberkati oleh Allah sebagai Negara yang baik dan mendapat keampunan tuhan. Akan tetapi kesan-kesan manusia kepada mereka adalah sebaliknya. Manusia tidak menghargai para ulama seperti kelazimannya, manusia menyakiti para ulama, manusia memusuhi para ulama dengan mencerca, menghina, menfitnah, bahkan membunuh dan sebagainya. Hal yang sama sebenarnya dilakukan terhadap para Anbiya wal Mursalin.


[8] Inilah diantara tanda-tanda ahli bidaah, menfitnah dan menipu dalam penyampaian mereka, tiada amanah dalam menaqalkan kata-kata, merubah dan menyelewengkan maksud yang sebenarnya kepada maksud-maksud rekaan yang tercela dan amat menghinakan. Dengan sebab merekalah fitnah berleluasa di muka bumi dan pertembungan yang hak dan bathil berterusan sebagai kesinambungan Sunnah Allah al-Kauniyyah.


[9] Iaitu dengan sentiasa mencari helah untuk melarikan diri daripada berpegang dengan maksud sebenar al-Quran dan Sunnah. Membawa fahaman-fahaman songsang yang direka oleh pemikiran kontot mereka yang diselaputi oleh ilham-ilham Syaitan yang menyesatkan.


[10] Bersepakat secara mereka sedari mahupun tidak. Lihatlah bagaimana pegangan mereka terhadap ayat-ayat Allah yang Mutasyabihat? Sehinggakan pada ayat-ayat yang Muhkamat juga akan kita dapati bahawa mereka sepakat untuk mendahulukan akal fikiran kontot mereka untuk menyanggahi nas-nas wahyu. Mereka sentiasa berselisih faham dalam memahami maksud akan tetapi sentiasa sepakat untuk membelakangkan nas-nas wahyu. Bukankah sepatutnya wahyu didahulukan berbanding akal kontot mereka? Bukankah sepatutnya kata-kata dan ilmu daripada pencipta sekalian makhluk ini lebih berhak diutamanakan? Akan tetapi terlalu sedikit diantara mereka yang berfikir.


[11] Iaitu mentafsirkan agama ini mengikut acuan akal mereka yang kontot semata-mata. Tanpa mengetahui ilmu-ilmu syarak secara mendalam tetapi dengan beraninya memberi fatwa dan pandangan. Dengan beraninya menyangkal kata-kata Allah yang dapat difahami oleh orang-orang awam. Mula berkata tentang Zat Allah dan sifat-sifat Allah seolah-olah merekalah yang lebih tahu tentang Allah berbanding Allah Taa'la sendiri. Sedang pengetahuan mereka tentang diri mereka sendiri pun terkadang tidak difahami dan diragui.


[12] Iaitu kata-kata yan sering bertentangan dengan akal waras dan kebenaran, kata-kata dan teori yang sangat diragui kebenarannya. Kata-kata yang sentiasa menjadi pertikaian sehinggakan sesama mereka sendiri. Jadi bagaimana kata-kata yang meragukan ini hendak didahulukan? Sebab itu Allah menyatakan yang bermaksud ((kalaulah al-quran ini bukan daripada Allah nescaya kamu semua akan dapati didalamnya terkandung perbezaan dan perselisihan yang amat banyak)). Inilah tabiat akal manusia sebenarnya, sebab itu wahyu adalah kayu ukur dalam menentukan kebenaran tanpa menafikan kewajaran akal yang waras dalam menilai yang tidak bertentangan dengan pemahaman sahabat dan tabien.

Khamis, 10 Disember 2009

Kisah Gadis Lubnan


Beliau adalah seorang gadis Lubnan bernama Sarah, ayahnya muslim dan ibunya kristian, 10 tahun membesar di Lubnan kemudian mengikuti ibu bapanya berhijrah ke Australia menetap disana sehinggalah umurnya 22 tahun & menetap disana. Terputuslah segala hubungannya dengan agama secara total! yang diketahuinya ialah dia seorang muslimah tanpa pernah mengenali mushaf, tidak tahu fatihah, solat dan agama bukanlah suatu yang penting bagi dirinya.


"Saya teruskan pengkisahan ini dengan mengubah penceritaannya seolah-olah seperti yang diceritakan sendiri oleh saudari Sarah".


Kemudian ibu bapaku berpisah dan masing-masing berkahwin, sehiggalah aku memasuki university dan ibu bapaku meninggalkan Australia. Mereka meninggalkan aku seorang diri tanpa keluarga mahupun saudara. Lantas aku bekerja di pub (kelab malam) pada waktu petang. Aku mempunyai boyfriend 100% seperti hubungan pemuda pemudi di barat. Aku tidak pernah meninggalkan sesuatu yang haram kecuali akan aku lakukannya tanpa malu @ rasa bersalah. Aku adalah seperti orang barat 100%! Aku mengetahui bahasa arab serba sedikit. Kerana aku adalah seorang gadis yang cantik maka aku telah memasuki pertandingan Ratu cantik di New Zealand dan aku memenanginya, aku sekarang bersedia untuk memasuki pertandingan lebih besar. Justeru sekarang aku sudah menjadi model bagi cover majalah yang tidak mulia. Tatkala aku berada dalam kemasyhuran itu, aku menziarahi satu keluarga berketuruan Lubnan yang bermukim di Australia dan aku menyaksikan satu siaran bulan Ramadhan yang berbicara tentang "Menjaga kehormatan". Aku merasa sangat-sangat terpukul dengan rancangan itu seolah-olah rancangan itu hanya membicarakan tentang diriku. Selesai mrngikuti rancangan tersebut aku menghantar soalan : "Adakah disana satu kemungkinan bahawa Allah menerima aku dan mengampuni dosa-dosaku dan aku bertaubat kepadanya?


Kemudian Dr Amru Khalid menjawab soalan Sarah; "Sesungguhnya Allah maha pengampun, mengampunkan sekalian dosa dan diantara nama Allah ialah al-Ghofur, sesungguhnya Allah mewajibkan kepada dirinya sifat Rahmat dan sesungguhnya Allah berkata; ((Bahawasanya rahmatku mengatasi kemarahanku)) dan kemudian Dr Amru membawakan beberapa kisah manusia yang bergelumang dengan dosa kemudian bertaubat kepada Allah.


Dua hari kemudian gadis bernama Sarah ini mengirimkan email kepada Dr Amru Khalid dan suratnya berbunyi: "Aku tidak pecaya bahawa kemungkinan Allah akan mengampuni aku dan aku berterusan menangis dengan kerapnya dan sekarang aku mahu mempelajari solat".


Kemudian Dr Amru Khalid membalas pada hari itu juga dan meminta supaya Sarah mengirimkan alamatnya di New Zealand supaya dia boleh menghantar beberapa kaset al-Quran Syeikh al-Ajmi, Misyari Rasyid dan lain-lain lagi kaset dakwah.


Lantas Sarah menghantar alamatnya kepada Dr Amru Khalid.


Dr Amru menunaikan janjinya serta menghantarkan apa yang telah disebut melalui pos berpandukan kepada alamat yang tertera di email beliau.


Setelah apa yang terjadi, Sarah mengirimkan satu email kepada Dr Amru Khalid: "Aku tidak tahu bagaimana mahu mengucapkan kesyukuranku pada kamu, tidak ada seorangpun yang ambil peduli kepadaku melebihi apa yang engkau lakukan padaku, aku begitu berharap agar aku mempunyai abang @ adik lelaki seperti kamu".


Setelah 2 hari berlalu, sarah menghantar emailnya lagi kepada Dr Amru dan berkata; "Assalamualaikum, aku harap kamu berada dalam keadaan yang baik, aku ada berita buat engkau bahawa aku sudah belajar membaca surah an-Naba' dan aku boleh membacanya tanpa melihat mushaf".


Setelah 1 minggu Sarah mengirimkan lagi emailnya; "Aku telah belajar surah Yusuf, aku beranggapan bahawa tidak mungkin aku menghabiskannya akan tetapi Al-hamdulillah".


Sehari selepas itu Sarah mengirimkan lagi emailnya dan berkata: "Aku telahpun memakai tudung dan aku telah tinggalkan kawan-kawanku dan aku telah buang gelaran sebagai ratu cantik Negara daripada diriku".


Selang 3 hari kemudian, Sarah mengirim lagi satu email yang berbunyi: "Assalamualaikum, aku tidak tahu bagaimana untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kamu, aku mahu dan bertekad untuk lebih panjang daripada umurku supaya aku dapat berkhidmat kepada islam, akan tetapi kemungkinan Allah tidak mengizinkan hal ini. Akan tetapi….Al-hamdulillah".


Kemudian Dr Amru Khalid dan isterinya telah menghubunginya melalui telefon bertujuan menenangkan Sarah dan menenteramkan keadaannya. Mereka mendapat tahu bahawa Sarah sedang sakit kanser otak! Doktor akan melakukan pembedahan dalam tempoh yang segera sementara peratusan untuk Berjaya hanyalah 20% sahaja.


Sarah telah menghantar beberapa emailnya untuk waktu yang akan datang dalam tempoh 2 hari sahaja sebelum pembedahan dan dia berkata; "Assalamualaikum, adakah mungkin Allah mengampuni dosa-dosa aku? Adakah kamu beranggapan bahawa aku akan masuk syurgaNYA? Ataukah Allah akan mengheret aku kehadapan api neraka? Sesungguhnya aku cintakan Allah, aku sedang menyerunya sekarang…ibu kandungku telah menghubungi aku sebelum hari jumaat, aku yakin bahawa dia pasti akan bersedih, boleh jadi dia akan datang untuk menziarahi aku kerana dia sudah tidak melihat aku sejak tahun 1997M. Aku hidup terlalu jauh daripada Allah dan agamaNYA. 22 tahun aku telah hidup…akan tetapi aku telah bertaubat kepada Allah 3 minggu yang sudah. Aku bersumpah dengan namaNYA bahawa aku telah bertaubat dan meninggalkan teman lalaki aku, Aku telahpun menutup auratku, aku telah istiqamah dalam mendirikan solat. aku bersaksi kepada Allah di hadapan kamu bahawa aku lakukan semua ini adalah semata-mata kerana Allah tuhan pencipta. Aku tidak mengenali orang islam kecuali kamu dan diriku sendiri. Inilah rintihanku, aku harap darimu agar mendoakan supaya Allah merahmati aku, mengampuni dosa-dosaku. Doakanlah juga semoga Allah memberi hidayah kepada ibu. Sesungguhnya ibuku tidak mengetahui hal keadaanku sedikitpun". Lantas email ini telah di hantar oleh Sarah kepada Dr Amru Khalid.


Akan tetapi begitu menyedihkan apabila Dr Amru mendapat khabar bahawa Sarah telah meninggal dunia.


"Semoga Allah merahmati Sarah dan mengampuni dosa-dosanya. Menempatkan Sarah disebaik-baik tempat tinggal di syurgaNYA. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha pengurnia. Ya tuhan kami, kurniakan hidayahmu dan taufikmu kepada kami semua, tetapkanlah kami agar terus berada dalam ajaran petunjukmu yang lurus, matikanlah kami dalam islam, sesungguhnya kami telah redho bahawa Allah adalah tuhan kami, islam sebagai agama kami, dan Nabi Muhammad itu adalah NabiMU dan pesuruhMU".


Ahad, 6 Disember 2009

Kita Akan Kalah Jika Terus Mengalah


Bila Malaysia Nak Beli Helikopter?Tunggu Kiamat dtg?

Oleh Dr Ridhuan Tee Abdullah

Ramai orang bertanya, kenapa Lee Kuan Yew berjaya dengan sistem satu aliran pendidikan di Singapura dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Lee Kuan Yew dipuji melambung kerana dikatakan sanggup korbankan bahasa ibunda demi kepentingan negara. Betulkah? Jawapan saya, Lee Kuan Yew tidak ada pilihan.

Justeru, beliau terpaksa bertindak tegas. Jika ada pilihan, saya yakin beliau tidak akan bertindak sedemikian. Ingat! bahasa Mandarin masih dijadikan subjek penting di sana berbanding bahasa Melayu, dengan alasan mereka adalah majoriti.


Sejarah Singapura perlu difahami kenapa Lee Kuan Yew memilih bahasa Inggeris? Jika Singapura bukan berasal daripada sistem kenegaraan Melayu, saya yakin Lee Kuan Yew tidak akan memilih bahasa Inggeris. Lee Kuan Yew sudah lama dapat membaca pemikiran psikologi orang Melayu. Kebolehan beliau menulis dan membaca jawi sudah dapat mencairkan orang Melayu. Jika bahasa Cina digunakan, sudah tentu ia akan ditentang oleh orang Melayu ketika itu.


Singapura tidak boleh dipisahkan dengan Melayu. Sehingga ke hari inipun saya masih mengatakan Singapura adalah sebuah negara Melayu di Kepulauan Melayu. Kecuali Singapura itu berada di gugusan kepulauan seperti Taiwan, baru saya mengikhtiraf negara itu sebagai negara bangsanya. Lee Kuan Yew hanya mengorbankan bahasa mandarin buat sementara waktu. Janganlah kita buat andaian bahawa Singapura maju kerana menggunakan bahasa Inggeris. Sifat ultra kiasu amat berkait rapat.


Kita pula janganlah terlalu hairan kenapa Singapura boleh keluar sebagai negara maju dalam jangka masa cepat? Jika ditakdirkan Singapura sebesar Malaysia atau Indonesia, saya yakin ia tidak ke mana juga. Singapura bernasib baik sebab faktor lokasi dan saiz banyak membantunya untuk keluar menjadi negara maju. Jangan terlalu kagum dengan kepemimpinan mereka, sehingga kita lupa apa yang telah dilakukan terhadap negara kita sebelum ini. Masih ingatkah sejarah dan titik hitam pemisahan Singapura-Malaysia? Adakah kemasukan Singapura ke dalam Malaysia benar-benar ikhlas? Bacalah sejarah. Apa yang penting hari ini ialah bagaimana untuk menangani sikap ultra kiasu mereka yang amat bahaya kepada politik negara kita. Ingat, pengikut-pengikut ultra kiasu Singapura ini masih ramai berada di negara kita, dengan sebab itu mereka tidak habis-habis menuntut dan mendesak. Apakah kita masih tidak sedar? Ringkasnya, mereka tidak bersendirian.


Lihatlah berapa banyak tanah-tanah strategik yang telah tergadai? Begitu juga dengan rumah-rumah mewah yang telah dibeli? Jangan lupa perjanjian air dan kawasan tadahan air yang dijaga oleh tentera Singapura walaupun berada di Johor. Lee Kuan Yew teramat jarang melawat Malaysia selepas pemisahan, kenapa beliau sanggup ke negara kita baru-baru ini terutama ke Pulau Pinang? Sedarkah kita apa yang dibincangkan secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah. Jangan terlepas pandang pula nasib Melayu di Pulau Pinang? Janganlah bila sudah terhantuk baru mengadah. Sebelum terhantuk perlulah berhati-hati. Bila nasi sudah menjadi bubur sudah terlambat. Perpecahan sesama kita adalah petanda jelas kejayaan mereka.


Sedarlah wahai saudaraku, Melayu Islam di Singapura telah berjaya dicairkan. Hari ini segelintir orang Melayu yang digula-gulakan dengan kuasa sudah tidak seperti Melayu Islam. Mereka bukan sahaja telah cair, tetapi sudah tidak berhati Melayu Islam, kecuali mereka yang masih bertahan di madrasah. Sejauhmana madrasah dapat bertahan? Itu masih menjadi persoalan besar hari ini. Kedudukan madrasah menjadi semakin terhimpit. Begitu juga dengan masjid-masjid mereka. Apakah kita belum sedar? Cukuplah Pulau Batu Putih yang telah terlepas. Janganlah selepas ini kita berputih mata. Ambillah pengajaran ini sebelum terlambat. Mereka yang kuat berjiwa Melayu Islam memang tidak akan terpilih menjadi pemimpin atau menteri di sana. Dengan sebab itu, orang seperti Dr Lily Zubaidah Rahim (2001) terbuang di bumi sendiri. Hanya kerana bercakap menjaga kepentingan Melayu Islam. Apakah kita tidak mengambil pengajaran?


Cuba kita fikir kenapa hari ini Singapura membelanjakan hampir USD11 bilion setahun memperkuatkan sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta yakni nombor 23 dalam ranking dunia? Lebih dua kali ganda lebih besar daripada perbelanjaan pertahanan Indonesia (USD 4.7 bilion). Perbelanjaan pertahanannya jauh meninggalkan negara kita yang tidak langsung tersenarai dalam ranking dunia. Sedarkah kita sekutu rapat mereka adalah musuh-musuh Islam seperti Israel, Amerika, Australia, Britain dan sebagainya? Tidakkah kita terfikir, apakah agenda mereka sebenarnya kalau bukan kita? Saya yakin kita tidak akan terlepas pulau Batu Putih jika kekuatan kita melebihi kekuatan mereka. Ancaman dan amaran kita sudah cukup untuk menggetarkan mereka. Tetapi kenapa mereka begitu berani dan kurang ajar? Sebab mereka tahu, sejauhmana kekuatan mereka dan telah bersedia menghadapi apa jua situasi. Tendensi untuk mereka menang besar adalah tinggi.


Mungkin pakar-pakar pertahanan tidak bersetuju dengan saya. Tetapi kita mesti ingat, hari ini kita tidak lagi berperang menggunakan manusia, kecanggihan teknologi adalah kekuatannya. Bandingkan teknologi pertahanan perang kita dengan Singapura. Bezanya ibarat langit dengan bumi. Kita sepatutnya membelanjakan wang negara untuk pertahanan. Malangnya, wang ringgit kita banyak digunakan untuk berpolitik daripada mempertahankan negara. Sudah sampai masanya kita kurangkan sedikit berpolitik untuk membina kekuatan pertahanan negara.


Sampai bilakah kita mahu terus bersangka baik dengan mengatakan perang dingin telah tamat, dunia sudah aman? Musuh telah tiada, maka kita tidak perlu menjadi kuat? Tidakkah kita sedar bahawa musuh bertambah kuat dan sentiasa berpakat merancang untuk memusnahkan kita?

Jgn Gadai Nyawa Pilot& Askar2 Melayu Dgn Pesawat Cabuk ini!


Justeru, saya menyerukan supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri. Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Misalnya perebutan jawatan atau kuasa dalam badan-badan awam, berkanun, NGO dan sebagainya. Ini belum termasuk isu rasuah. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan. Ultra kiasu ambil kesempatan.


Musuh sentiasa merancangkan untuk melaga-laga kita sesama umat Islam. Hari ini kita dilaga-lagakan dengan Indonesia? Siapakah provokatornya? Marilah kita fikirkan bersama. Logiknya mudah, bila negara-negara Islam berjiran bergaduh sesama sendiri, mudahlah negara ultra kiasu dan orang ultra kiasu ini menyusun strateginya. Janganlah kita terlalu beremosi, takut memakan diri.


Barat telah berjaya melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya, negara haram Israel berjaya menguasai negara-negara Arab dengan nisbah 1 orang Israel, lebih 100 orang Arab. 100 Arab tidak dapat mengalah 1 Israel. Sedangkan dari segi logik, akan banjir 1 orang jika 100 orang pakat-pakat kencing ke atas Israel ini. Keadaan berlaku sebaliknya. 1 berjaya mengalahkan 100. Senario Arab-Israel hampir sama dengan negara kepulauan Melayu-Singapura. Mereka sudah bersedia dengan segala kekuatan teknologi. Kita asyik berpolitik tanpa kesudahan.


Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Kebaikannya, kita tidak perlu lagi menghabiskan masa mencipta teknologi kerana ianya telah tersedia dicipta. Masa mencipta teknologi telah banyak dijimatkan. Tuntutan hari ini adalah menggunakan teknologi tersebut sepenuhnya dan diperkembangkan lagi kehebatan seperti yang cuba dilakukan oleh Iran hari ini. Tetapi Iran cuba dimangsakan oleh barat.


Barat dan ultra kiasu ini telah berjaya membaca pemikiran umat Islam. Mereka tahu teknologi mereka digunakan oleh Islam. Orang Islam akan menjadi kuat jika memperkembangkannya. Justeru, sebelum ia berlaku maka dipecah-belahkan dan dicairkan mereka supaya mudah dikuasai. Ternyata strategi mereka berjaya. Umat Islam berjaya dikuasai dan dipecah-belahkan. Bukan kerana mereka tidak pandai menggunakan teknologi, mereka pandai. Tetapi mereka dihasut supaya mempertikai atau bergaduh sesama sendiri dalam isu-isu remeh temeh seperti tarian pendet Bali. Malangnya, yang tidak bergaduh pula tidak memanfaatkan teknologi, tetapi menggunakannya secara salah. Akhirnya jiwa menjadi kosong dan cair.


Justeru, saya merayu agar kita dapat memulakan langkah pertama dengan menyelesaikan isu-isu asas mengenai pendidikan di negara kita. Ini kerana pendidikan amat penting sebagai benteng pertahanan. Ia harus dimulakan dengan sekolah satu sistem. Asas-asas patriotisme berada di situ. Jangan perjudikan masa depan dan keselamatan negara sistem ini demi untuk mempertahankan kuasa hari ini. Jika dengan kehilangan populariti, masa depan pendidikan boleh dipertahankan, rasanya tidak mengapa kita tidak popular buat sementara waktu. Apa guna populariti, jika masa depan pendidikan dan negara menjadi semakin terhakis. Berundur bukan bererti kita mengalah. Tetapi untuk bersiap sedia dengan kekuatan, daripada kita terus mengalah dan terus kalah. Saya masih teringat kata-kata latin yang berbunyi si vis pacem para bellum, bermaksud jika mahukan keamanan bersedialah untuk berperang. Adakah kita sudah bersedia ke arah itu, di kala orang lain telah lama bersedia? Jika mereka terlalu ultra kiasu, adakah kita akan terus mengalah? Kitapun kena bertindak tegas ke atas mereka untuk kepentingan masa depan. Ingat! kita akan kalah jika terus mengalah.

http://ridhuantee.blogspot.com/

Khamis, 3 Disember 2009

Bencana Di Jeddah


Ketika jemaah haji berkumpul di Mina pada hari Rabu 8 Zulhijjah yang merupakan hari Tarwiyah (mengumpulkan air). Tiba-tiba hujan turun di Mina dan Mekah pada waktu tengahari. Al-hamdulillah hujan itu tidak berlanjutan panjang. Akan tetapi malangnya ia terus turun mencurah-curah di Jeddah yang menyaksikan banjir besar sehingga kebanyakan jalan raya dan Bandar itu ditenggelami air. Sekitar 400km persegi kawasan Jeddah mengalami musibah ini. Kerugian awal yang dianggarkan oleh amanah Bandar Jeddah ialah 2 billion riyal, ini tidak termasuk harta-harta milik rasmi milik kerajaan. lebih 100 orang mati lemas, 55000 kenderaan rosak serta dihanyutkan air. Sesungguhnya bencana ini adalah yang pertamanya berlaku di Jeddah sepanjang tarikh pemerintahan al-Saud.


Khadim al-Haramain, Malik Abdullah bin Abdul Aziz telah mengeluarkan arahan agar setiap individu yang mati lemas diberikan pampasan sebanyak 1 juta riyal Saudi kepada waris masing-masing. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang meninggal dunia dan merahmati mereka. Ya Allah peliharalah kami daripada sebarang bencana dan malapetaka di dunia dan akhirat, amin.


http://www.almokhtsar.com/news.php?action=show&id=120994

http://www.arabianbusiness.com/arabic/574780


Selasa, 1 Disember 2009

Catatan Haji 1430H


"Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, LaiLaha Illallahu Wallu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd". Itulah lafaz yang keluar dari lisan semua jemaah haji termasuk saya selepas selesai melontar Jamrah Aqabah pada hari jumaat 10 Zulhijjah. Al-hamdulillah segalanya dipermudahkan oleh Allah. Terima kasih kepada dermawan yang memberi tajaan haji, khas kepada pelajar-pelajar baru Jamiah Malik Saud. Terima kasih kepada Idarah Minhah yang diketuai oleh Dr Abdullah, Dr Saud, Dr Soleh dan lain-lain lagi yang menjadi pembimbing. Al-hamdulillah ini merupakan haji kelapan yang saya telah laksanakan. Semoga rombongan kami dikurniakan haji yang mabrur. Amin.


Kami bergerak daripada Riyadh pada hari Selasa 24 NOV 2009 ke Mekah. Berihram di Qarnul manazil (miqat bagi ahli Najd). Di dalam bas bermacam-macam program diadakan sementara kami meredah perjalanan sejauh 900 KM itu. Antara yang menarik ialah persembahan beberapa individu daripada pelajar master Yaman, Senegal, dan Gambia. Saya satu-satunya pelajar Malaysia juga dipaksa memberikan apa-apa musyarakah. Al-hamdulillah saya menerima sebuah jam tangan buatan Jepun yang saya kira ratusan riyal harganya sebagai hadiah, demikian juga beberapa pelajar yang memberikan persembahan menarik berbentuk syair, nasyid, ucapan, qasidah dan lain-lain lagi.


Gurauan yang menjadi kenyataan;

Saya duduk disebelah teman bernama Umar Basykil pelajar Yaman yang sedang mengambil master Qism Feqh Wal Usul. Kami semua cuba menjawab beberapa helain soalan haji yang menawarkan hadiah handset bagi pemenang pertama, jam tangan al-Fajr bagi tempat kedua dan jam loceng al-Fajr bagi tempat ketiga. Sambil mengisi jawapan dalam perjalanan itu, saya berkata kepada Umar; "Aku akan menjadi pemenang yang pertama sementara kamu menjadi pemenang kedua?" Umar membalas dengan senyuman; "Kenapa bukan aku yang pertama dan kamu pula yang kedua?" Saya jawab kembali; "Biarkan sahaja aku menjadi pemenang pertama sementara kamu pemenang kedua". Kami yang berjumlah 48 orang menghantar kertas jawapan kepada ketua di dalam bas.


Rupa-rupanya gurauan kami berdua menjadi menjadi kenyataan. Ya Subhanallah, saya teringat pula kisah 4 Orang bersahabat dikalangan Tabien ketika mereka masing-masing menyatakan cita-cita mereka dihadapan Ka'abah al-Musyarrafah. Insyaallah kisah mereka ini akan saya coretkan pada ruangan yang lain jika ada kesempatan. Semoga doa-doa yang saya pohon ditempat-tempat mustajab dalam keadaan saya sebagai salah seorang jemaah haji mendapat perkenanNYA.


Sampai ke Mekah;

Rombongan kami terus menuju ke Mina tatkala hampir-hampir subuh 8 Zulhijjah. Buat pertama kalinya saya tidak menunaikan Tawaf Qudum kerana sebab-sebab tertentu. Petangnya pula hujan turun dengan agak lebat, kami dipindahkan dari khemah Mina ke satu dewan istirohah besar yang menampung 1500 jemaah haji. Kami tidur di sana sehinggalah pagi. Rupa-rupanya pada 8 Zulhijjah hari Rabu, banjir besar melanda Jedah dengan 110 mangsa kematian dicatatkan sementara 11000 orang hilang! Mujurlah banjir & hujan terlalu lebat itu tidak berlaku di Mina, jika tidak mangsanya pasti lebih besar! Allahul musta'an. Tepat pukul 11 pagi kami bertolak ke Arafah dan memasuki bumi Arafah ketika Mufti besar Arab Saudi sedang menyampaikan khutbah Arafah. Kami menunaikan solat zohor dan asar secara qasor dan jamak taqdim dikhemah bersama imam kami. Selepas itu masing-masing berdoa dan mengambil peluang berwukuf memohon keampunan dan berzikir sehinggalah manghrib. Saya memberi sedikit nasihat kepada anak-anak buah yang berada dalam kumpulan saya yang jumlah mereka 12 orang itu. 4 pelajar dari Indonesia, 2 dari Thailand, 2 dari Kemboja dan 4 dari China. Mereka memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang kami menunaikan manasik haji.


Bergerak ke Muzdalifah;

Kami bergerak 1km selepas masuk waktu maghrib untuk menaiki bas yang akan membawa kami ke Muzdalifah. Mangrib pada pukul 5.30 petang dan kami tiba di Muzdalifah pada pukul 8.30 malam. Jutaan manusia dan kesesakan lalu lintas hanya dapat dibayangkan oleh mereka yang pernah melaluinya. Al-hamdulillah kami mendapat tempat yang agak selesa lantas menunaikan solat manghrib dan isya' secara jamak ta'khir dan qasor isya'. Malam itu kami hanya menjamah roti, tamar dan jus kemudian kami tidur beralaskan tikar dan berbumbungkan langit. Mujur cuaca amat baik dan sederhana.


10 Zulhijjah Hari Raya & Jamrah Aqabah:

Pagi itu selepas menunaikan solat subuh, berzikir, berdoa sehinggalah kelam subuh agak menipis, kami berkemas dan memasuki bas. Bas bergerak perlahan mengharung sesak manusia dan kenderaan. Akhirnya kami mengambil keputusan berjalan kaki menuju ke perkhemah kami di Mina yang berhampiran hospital jisr Mina. Hari itu hari Jumaat, saya menyarankan kepada kumpulan saya untuk berehat sahaja di Mina selepas kami melontar jamrah. Kami solat zohor & asar secara qasor pada waktunya tanpa jama'. Sebahagian pelajar yang lain terus menuju ke Mekah untuk melakukan Tawaf Ifadhoh (haji) selepas melontar Jamrah Aqabah. Setelah mencukur rambut, masing-masing kami memakai pakaian menggantikan kain ihram. Makanan dan minuman di khemah tersangatlah mewah dan lebih daripada cukup. Itulah kelebihan travel arab yang bayarannya juga agak mahal. Saya difahamkan bahawa Travel Azan mengutip bayaran SR3900 dari setiap jemaah. Semuanya hanyalah bermula dari dalam bas sehingga ke Mina, Arafah, Muzdalifah dan Mina pada 10, 11 & 12 Zulhijjah kemudian balik ke Riyadh. Ini bermakna penderma yang menyumbang kepada kami telah membayar sebanyak SR 351,000.00 bagi 90 orang pelajar termasuk 4 orang pembimbing. Semoga Allah memberkati hartanya dan memberikan kebahagian dunia dan akhirat.


Tawaf Ifadhoh & Saie;

Saya mengikuti program menarik dikhemah selepas isya'. Tanpa sempat saya tidur, saya bersama 12 anak-anak buah bergerak menuju ke Masjidil Haram pada pukul 1 pagi Setelah bermabit sekitar 7 jam lebih. Bayaran kereta ke Mekah malam itu agak murah dengan hanya SR20 setiap orang. Kami memulakan tawaf di tingkat satu pada pukul 2 pagi dan selesai saie pada pukul 4.30 pagi. Al-hamdulillah tidaklah terlalu sesak walaupun tempat tawaf dipenuhi jemaah. Menunggu sehingga masuk waktu subuh dan menunaikan solat subuh bersama imam baru Masjidil Haram ; Syeikh Dr Abdullah Awwad al-Juhani. Kami mendapatkan teksi dan pulang ke Mina. Dengan itu selesailah sudah segala rukun-rukun haji, kami sudahpun berTahalul Thani (2). Sampai di Mina kami bersarapan dan tidur.


11 Zulhijjah (Yaum Qarr);

Baru 2 jam tidur kami dikejutkan oleh musyrif bagi mengikuti program yang disusun. Pagi itu seorang syiekh jemputan (Dr Abdullah As-Sehly) menyampaikan kuliahnya sehingga zohor. Makan nasi kambing tengahari itu, selepas solat zohor secara Qasor. Berehat seketika sehingga asar. Selesai solat Dr Saud memanggil saya dan ketua-ketua kumpulan yang lain berbincang tentang projek membantu jemaah. Membeli minuman dan makanan @ apa-apa yang memberi manfaat kepada jemaah haji. Selesai kami melontar jamrah ula, wusto dan aqabah kami bertemu berhampiran dengan masjid Syeikh Abdul Aziz bin Bazz lebih kurang 1.5 KM dari jamrah. Dr saud memberikan saya SR2000 untuk tujuan yang telah dibincangkan. Saya membawa kumpulan saya berjalan kaki menuju ke Muaisem. Sehinggalah 11 malam barulah kami pulang ke khemah. Urat kaki kejang, tapak kaki rasa bengkak dan sakit-sakit. Saya lihat beberapa pelajar Indonesia yang bersama saya terkengkang-kengkang langkahnya. Saya kira tidak kurang dari 14 kilometer kami berjalan kaki petang itu sahaja sehinggalah kami pulang. Sekitar jam 12.30am saya tidur lena sehingga dikejutkan pada pukul 4.50 pagi. Kami solat subuh berjemaah dan selesailah mabit kami pada sabtu malam ahad 28 NOV, al-hamdulillah.

Gunawan, Umar, penulis & Taufik di Mina


12 Zulhijjah (hari Nafar Awal);

Pagi itu saya memasuki pertandingan Musaqah hifzul Quran dan Matan Arbain Imam Nawawi. Sekitar 10 pelajar mendaftar diri dalam musaqah hifzul Quran dan 20 peserta dalam Matan Arbain. Setelah itu semua pelajar bersarapan dan berehat. Jam 10 pagi Syeikh Abdullah memberi taklimat kerangka untuk kami keluar melontar jamarat dan Tawaf Wida'. Seterusnya penyampaian hadiah bagi semua pertandingan dan aktiviti yang dijalankan sepanjang rehlah haji kami. Saya diumumkan sebagai pemenang bagi pertandingan menjawab soalan-soalan haji, Umar tempat kedua, tempat ketiga pelajar dari Afrika. Sementara hifzul Quran, Munir pelajar master dari Yaman menjadi johan, saya tempat kedua dan pelajar dari Somalia tempat ketiga. Adapun musabaqah hadis saya sekadar mendapat tempat terakhir (kelima) dan kad kredit mobily SR10 saya terima.


Hadiah-hadiah yang saya terima menjadi kenangan istimewa walaupun bagi setengah orang ia bukanlah terlalu mahal nilainya. Saya membawa H/P Nokia 1680, jam tangan al-Fajr (hadiah hifzul Quran) dan kad kredit SR10. Teman-teman mengucapkan tahniah dan saya hanya tersenyum syukur.


Keluar dari Mina ke Mekah;

Selepas berjalan kaki sekitar 1jam kerana sesak, kami sampai ke Jamarat selepas 10 minit azan zohor. Saya bersama anak-anak buah melontar di tingkat 2. Kemudian pulang ke khemah untuk solat zohor dan makan. Selesai makan terus memasuki bas dan bas bergerak perlahan pukul 2.30pm. Ketika bas menghampiri masjid Khif, azan asar berkumandang tetapi kami tidak turun kerana suasana diluar terlalu sesak. Kami benar-benar keluar dari sempadan Mina pada jam 4.40pm. kami turun secara berperingkat-peringkat untuk menunaikan solat di tepi jalan memandangkan bas tersekat dalam kesesakan dan waktu manghrib hanya berbaki 30 minit sahaja lagi.


Tepat waktu isya' barulah kami dapat memasuki Masjidil Haram, itupun setelah jemaah selesai solat. Saya hanya bersama akh Hizam dari Yaman, solat mangrib dan isya' jamak ta'khir. Kemudian memulakan Tawaf Widak di tingkat 3 bersama ribuan manusia yang bersesak-sesak. Sekitar 90 minit barulah kami selesai tawaf dan terus menuju mencari bas ditempat yang dijanjikan. Berjalan kaki meredah terowong Ajyad yang saya sekitar 2.5km. Allahu Akbar, semoga langkah-langkah kami ini menggugurkan dosa dan meningkat darjat di sisi Allah.


Keluar dari Mekah;

Sekitar 1 pagi, barulah semua jemaah sempurna duduk di tempat masing-masing dan bas bergerak keluar dari Mekah menuju ke Riyadh. Semua keletihan dan mengadu sakit kaki. Semua kami terlena didalam bas sehinggalah subuh tanpa makan malam. Berhenti rehat solat subuh & makan di Humayyat 400km dari Mekah, cuaca terlalu sejuk! Kami meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke destinasi (Jamiah Malik Saud). Al-hamdulillah, walaupun sekarang saya dan beberapa rakan demam tetapi kami selesai menunaikan ibadah haji tahun ini dan selamat sampai ke Jamiah Malik Saud untuk meneruskan rutin harian sebagai seorang pelajar. Al-hamdulillah Ala Niamihi, Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wasallam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...