RSS Feeds

Isnin, 10 Mei 2010

Mengupah Orang Membaca al-Quran


* Seorang lelaki mengupah seorang Qari membaca al-Quran sehingga khatam kemudian dihadiahkan pahala bacaan itu kepada si mati sambil si qari itu akan menerima saguhati setiap bulan kerana perbuatannya itu (khatam quran setiap bulan dan sedahkan pahalanya). Rupa-rupanya Qari itu hanya membaca surah al-Ikhlas sahaja dan memperlihatkan kepada orang yang mengupahnya seolah-olah telah membaca khatam al-Quran, lalu orang itu memberikannya duit seperti yang dijanjikan setiap bulan. Hal itu berterusan sehinggalah 2 tahun, apakah hukumnya dan apakah yang sewajibnya dilakukan oleh pemberi upah?


Fatwa; Al-Allamah Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan.

Mengupah orang membaca al-Quran untuk pahalanya disedekahkan kepada si mati adalah termasuk dalam bidaah yang Allah tidak turunkan dan perintahkannya kepada hambanya. Termasuk juga dalam kes memakan harta manusia dengan cara yang bathil, kerana Qari itu membaca al-Quran dengan tujuan wang, justeru amalannya adalah bathil kerana mahukan keduniaan, sedangkan Allah telah berfirman dalam surah Hud ayat 15-16 bermaksud;


((Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan Sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang Telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang Telah mereka kerjakan[1])).


Urusan ibadah antaranya membaca al-Quran tidak dilakukan kerana mahukan keduniaan dan membolot harta akan tetapi ditunaikan ibadah itu sebagai mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah.


Maka si Qari jika membaca kerana duit pasti dia tidak mendapat sebarang pahala dan tidak akan sampai pahalanya kepada si mati sedikitpun. Wang yang diupahkan kepada si Qari itu menjadi sia-sia sahaja, yang sepatutnya jika disedekahkan kepada orang tertentu atas nama si mati sudah pasti sampai pahalanya dan ianya adalah sesuatu yang disyarakkan serta si mati mendapat manfaat. Sewajibnya orang-orang yang diupah untuk membaca itu menolak duit tersebut jika diperintahkan untuk melakukan hal yang sedemikian. Ini kerana termasuk dalam situasi memakan harta dengan cara yang bathil (salah). Hendaklah mereka (para Qari) takutkan Allah dan mencari rezeki selain daripada menggunakan cara yang haram ini! Memang benar bahawa membaca al-Quran diantara amalan yang paling afdhal. Sesiapa yang membaca setiap huruf al-Quran maka dia memperoleh satu pahala, dan setiap pahala itu digandakan sepuluh akan tetapi yang demikian bagi mereka yang sempurna niatnya dan mahukan daripada amalannya keredhoan Allah. Tidak terdetik dihatinya kerana ketamakan dunia dan harta.


Kesimpulannya; mengupah orang membaca al-Quran untuk disedahkan pahalanya kepada si mati ianya merupakan bidaah. Para salaf soleh tidak pernah melakukannya. Kemudian ianya termasuk dalam kes memakan harta dengan cara yang salah! Kerana amalan ketaatan dan ibadah tidak diambil dengan wang. Adapun membaca surah al-ikhlas 3 kali ianya tidak cukup sebagai menggantikan bacaan al-Quran seluruhnya. (Maka ianya sudah termasuk dalam kes penipuan) Wallahu a3lam.

http://www.islamway.com/?iw_s=Fatawa&iw_a=view&fatwa_id=10647



* Apakah hukum membaca al-Quran di atas kubur selepas dikebumikan mayat? Dan apakah hukum mengupah orang membacakan al-Quran di rumah dan kami namakan sebagai belas kasih (rahmat) kepada si mati?


Fatwa; Al-Allamah Syeikh Muhamad Bin Soleh al-Uthaimin.

Pendapat yang Rajih (tepat) dikalangan ulama bahawa membaca al-Quran dikuburan selepas dikebumikan adalah bidaah, ini kerana tidak pernah pada zaman Rasulullah dilakukan perkara tersebut. Nabi tidak menyuruh melakukannya dan tidak pernah melakukannya. Akan tetapi yang dilakukan oleh Nabi selepas dikebumikan mayat ialah berdiri di sisi kubur dan berkata; "Pohonlah keampunan bagi saudara kamu (si mati), dan mintalah kepada Allah agar dia ditetapkan (tidak goyah dan ragu) maka sesungguhnya sekarang dia sedang di soal"[2]. Jikalau membaca al-Quran disisi kubur itu merupakan kebaikan dan syariat, sudah pasti Nabi akan memerintahkan sahabat dan orang islam melakukannya supaya semua umat selepas itu mengetahuinya.


Adapun menghimpunkan manusia di rumah-rumah tertentu supaya membacakan al-Quran kepada ruh si mati ianya sesuatu yang tidak memiliki asas dan dalil. Tidak pernah golongan salaf soleh melakukannya. Apa yang dituntut dan disyariatkan keatas muslim jika ditimpa musibah dan kematian ialah, bersabar dan memohon di beri ganjaran pahala terhadap musibahnya itu di sisi Allah. Kemudian berkata; "Inna LIllah Wa Inna Ilaihi Raji'un, Ya Allah berikanlah pahala kepadaku terhadap musibah yang menimpaku dan kamu gantikanlah kepadaku apa yang lebih baik darinya"[3].


Adapun berhimpun dirumah si mati membaca al-Quran, menghidangkan makanan kepada hadirin dan apa-apa yang seumpamnya semua itu adalah termasuk dalam perkara bidaah. Wallahu a3lam.

http://www.alukah.net/Fatawa_Counsels/0/13717/



[1] Maksudnya: apa yang mereka usahakan di dunia itu tidak ada pahalanya di akhirat.

[2] Riwayat Abu Dawud 3221 dan al-Hakim 1372 dan disohehklan oleh az-Zahabi. Albani mensohehkannya dalam Soheh Abu Dawud.

[3] Hadis riwayat imam muslim dalam sohehnya, no 918


Khamis, 6 Mei 2010

Gambar Banjir Di Riyadh Mei 2010














Selasa, 4 Mei 2010

Banjir Di Riyadh


Jalan Raya Bawah Yang Sudah Menjadi Kolam

Semalam bermula 2.00 petang hujan turun di Riyadh, bermula dengan rintik-rintik hinggalah mencurah-curah dengan lebatnya. Hujan turun dengan begitu lebat sekitar 2 jam, kemudian berterusan dengan kadar sederhana sehinggalah malam hari pukul 10 malam. Selepas solat asar, saya keluar daripada K.S.U menuju ke Torik Da'iry untuk pergi ke Izdihar di exit 7. Bermula pukul 4 petang dari exit 2, saya terkejut melihat deretan kereta dan lori. Kesesakan lalu lintas yang sangat luar biasa melanda Bandar Riyadh.


Saya menyelinap mengambil jalan paling kanan bergerak perlahan, adapun bahu jalan sebelah kiri langsung tidak bergerak. Selepas 40 minit saya Cuma bergerak 1/2 km dan satu kereta melintang ditengah-tengah jalan. Saya terus bergerak sehinggalah jam menunjukkan 6.00 petang. Akhirnya saya mengambil keputusan keluar melalui exit 5 untuk mengambil jalan sebelah dalam. Dengan hujan yang turun, bahu jalan sebahagiannya tenggelam dan beberapa kenderaan mati ditenggelami air. Saya risau juga memikirkan nasib kenderaan yang saya pandu, tetapi al-hamdulillah saya dapat berhenti di bahu jalan berdepan dengan university al-imam. Saya menuju ke masjid untuk menunaikan solat manghrib 6.30 petang. Selesai solat, seorang makmun yang saya kenali (Syeikh Dr Muhamad al-Khudairi) mencadangkan kepada imam agar kami menjamakkan solat. Kami menunaikan solat isyak selepas itu.


Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyelinap masuk ke dalam asrama al-imam university untuk terus bermalam disana memandangkan hujan terus turun dan keadaan jalan yang ditutup dan ditenggelami air.

Akhi Hafeez Firdaus Di Hadapan al-Imam University


Dilaporkan sebanyak 300 aduan kemalangan jalan raya dilaporkan. 210 kereta polis meronda diseluruh Riyadh. Banyak jalan-jalan penting ditenggelami air. Kereta-kereta pacuan 4 roda dengan sengaja meluncur meredah lautan air. Banyak kereta –kereta yang tersadai dibahu jalan mengalami kerosakan. Ini adalah diantara banjir yang terburuk selepas kes di Jeddah sehingga kerajaan Saudi mengumumkan cuti kepada semua sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan di Riyadh pada hari ini. Arab Saudi sepatutnya membaik pulih saliran air bagi mengelakkan banjir kilat yang seterusnya mengakibatkan kerugian harta dan nyawa.

Isnin, 3 Mei 2010

Mukhayyam Tarbawi 2010 Satu Permulaan


29 April 2010 seperti yang telah dirancang, PPM Riyadh telah Berjaya menjayakan program mereka dengan taufik dan inayah Allah. Ramailah ibu bapa yang turut membantu dari banyak sudut yang semoga ianya menjadi amalan soleh mereka di akhirat kelak. Penyertaan serta permintaan yang berterusan menjadikan jumlah peserta keseluruhannya berjumlah 89 orang. Yang menariknya ialah seorang kanak-kanak kecil datang ke meja pendaftaran dan berkata; "Ustaz, saya nak daftar program". Setelah disemak namanya tetapi tidak ditemui nama kanak-kanak tersebut. "Umur adik berapa tahun?" Tanya seorang sahabat. "4 tahun", jawapnya ringkas. Teman-teman tersenyum dan menggelengkan kepala. Tidak lama ibunya datang dan memohon agar anaknya diberikan kelonggaran untuk bersama program.


Ini adalah diantara contoh yang membuktikan minat dan semangat penduduk melayu di bumi Riyadh dalam misi mengejar faedah ilmu dan kebaikan. Semangat ini mudah-mudahan akan melahirkan insane gemilang dan cemerlang didunia dan akhirat. Kami hanyalah sekadar berkongsi masa dan sedikit ilmu bersama saudara seperantauan yang kejauhan dari tanahair. Kami hanyalah mahu mengeratkan talian persaudaraan sesame pelajar, pekerja, suri rumah dan anak-anak melayu di bumi Riyadh. Al-hamdulillah, kelancaran program seperti yang diatur adalah permulaan yang baik kepada program-program yang bakal dirancang pada masa depan.


Tidak hanya program kanak-kanak, tetapi ibu bapa juga perlu diberikan suntikan agar sama-sama mentarbiyah pewaris mereka dengan semaian keislaman dan ilmu. Di suntik dengan semangat keinsafan dan rasa tanggungjawap kepada diri sendiri, keluarga dan kepada Tuhan. Ibu bapa menyedari peranan dan kepentingan akidah dalam rumahtangga mereka. Mengambil dan memanfaatkan nasihat-nasihat Lukmanulhakim kepada anakandanya. Al-hamdulillah, forum khas kepada ibu bapa juga berjalan lancer seperti yang diatur. Terima kasih kepada Ust Ahmad Fauzi dan Ustaz Lukman Mat Sin. Tidak lupa juga kepada Tuan Pengerusi majlis; Ustaz Abdul Rahman Abdul Rahim.


Memikul dan menyedari tanggungjawap dakwah, merasai kemahuan dan keinginan ibu bapa melayu di Riyadh, maka PPM Riyadh akan berusaha meneruskan program seumpamanya bersama mereka yang terus sudi meluangkan masa dan kesihatan mereka untuk sama-sama mendapat manfaat. Ya, kami juga mendapat manfaat dari sudut latihan dakwah dilapangan, pengalaman mengendalikan program, mengatur masa dan mengurus masalah.


Mensyukuri nikmat rezeki dan wang yang Allah limpahkan kepada mereka disini, tidaklah sepatutnya mereka menjadi semakin kufur dan tamak haloba. Sebaliknya menjadi kewajipan kepada mereka untuk terus mensyukuri nikmat-nikmat tersebut yang mudah-mudahan dengan kesyukuran itu akan menambahkan lagi keberkatan dan ketenangan dalam hidup didunia. Mensyukuri nikmat-nikmat Allah itu bukan sekadar menyebut al-hamdulillah, tetapi dengan kita tidak melupai nasib insane-insan yang serba kekurangan serta prihatin kepada sahabat-sahabat yang dalam kesempitan. Selemah-lemah kesyukuran hendaklah menunaikan kewajipannya dalam persoalan kewangan yang sudah pasti berkait dengan zakat. Zakat itu tidak mengurangkan harta, zakat itu menambahkan keberkatan, menghasilkan pahala, mengurangkan kemiskinan dan membuktikan sikap tanggungjawap serta ehsan.


Al-hamdulillah, program Mukhayyam Tarbawi 2010 yang berlangsung di Istirahah al-Anfal jalan ke Dammam mendapat tajaan dan sumbangan ramai ibu bapa. Justeru, sewa istirahah sebanyak Sr2500 sehari suntuk itu dapat dilangsaikan dengan mudah. Syukuran dan Tahmid kepada Allah yang telah membukakan pintu hati ibu bapa kearah kebaikan. Walaupun mungkin dipandang sedikit oleh sebahagian orang, tetapi yang sedikit itulah kadang-kadang memberi erti yang sangat bermakna kepada beberapa insane seperti pelajar.


Secara peribadi, amatlah layak jika saya dan teman-teman PPM Riyadh mengucapkan jutaan terima kasih dan doa baik yang berterusan kepada abg Nasir & abg Faris yang banyak memberi nasihat dan saranan, abg Muhsin dan abg Sani yang banyak membantu tenaga, Dr Ibrahim yang memberikan idea dan mengetui kumpulan Fasilitator, Kak Husna dan kak Emmy yang menawarkan diri untuk memasak sarapan pagi, abg Suhaimi dan abg Khairuddin daripada kedutaan yang membawa nasi putih untuk jamuan makan malam selepas forum. Terima kasih juga kepada tuan Hishamuddin Ibrahim Minister Counsellor Deputy Head of Mission yang turut hadir dalam program, Ustaz Asri Ishak, Ust Lukman Sin dan Ust Abdul Rahman yang datang dari Madinah membantu. Ramai lagi abang akak yang semua mereka membantu, semoga anak-anak kalian menjadi insan berguna kepada agama, masyarakat dan Negara. Keluarga kalian bahagia didunia dan akhirat. Amin.


Ahad, 25 April 2010

Madinah, Mekah & Jeddah

Inilah Wang kertas Lama 50, 10 & 5 Yang Dibeli

Pada Hari Ahad lepas, saya bersama teman-teman memanfaatkan masa cuti seminggu dengan menzirahi Masjid Nabawi di bumi Toyyibah. Perjalanan sejauh 840 km daripada Bandar Riyadh ke Madinah itu mengambil masa selama 8 jam. Mencuba kekuatan kereta Ford Focus 2003 yang akhirnya berjaya sampai pergi dan pulang dengan kelajuan berterusan 140km. Had kelajuan yang dibenarkan ketika berada diatas lebuh raya Saudi ialah 125km. Ya, saya sudah memintas kelajuan had yang dibenarkan tetapi ianya adalah sesuatu yang normal menurut uruf di sini. Lazimnya polis hanya mengenakan saman kepada mereka yang kelajuannya mengatasi 140km. Anda jangan terkejut jika kedapatan pemandu-pemandu di sini samada Arab mahupun A'jami memandu sehingga mencecah 220km sejam. Dengan kereta-kereta mewah yang mereka naiki kelajuan itu tidaklah terlalu ditakuti. Tetapi jika berlaku kemalangan? Anda boleh membayangkan apakah –kebiasaannya- yang akan terjadi.


Kos Minyak Petrol & Kelajuan Maksima;

Untuk sampai ke Madinah dengan jarak 840km, saya hanya perlu mengisi tangki penuh sebanyak 2 kali. Maksimum kapasiti tangki minyak adalah 40 liter yang hanya sekitar Sr24 sahaja. Itupun kerana saya menggunakan minyak jenis Ron 95 yang lebih mahal (60sen/liter) berbanding Ron 91 yang berharga 45sen seliter. Ini bermakna perjalanan pergi dan pulang ke Madinah daripada Riyadh hanyalah memerlukan Sr98 sahaja. Tanpa dikenakan tol & tanpa bayaran tandas awam jika berhenti rehat. Makan? Masing-masingla, kecuali jika di sponser oleh teman-teman.


Saya mencuba kelajuan maksima kereta Ford Focus yang saya naiki, Malangnya tidak melebihi 170km. Itulah sejarah kelajuan maksima dalam pemanduan saya. Apapun, al-Hamdulillah kereta saya tidak meragam dan selesa dipandu. 170km juga masih terasa seperti biasa sahaja. Cukup bahaya bukan? Anda boleh bayangkan bagaimana bahayanya memandu kereta-kereta mewah seperti Camry, Toyota Avalon, Lexus, Mercedes, Bmw dan lain-lain lagi apabila kelajuan saat pemanduan itu tidak terlalu dirasai.


Duit Rm50, Rm10 & Rm5;

Sempat saya dan ust fauzi singgah ke kedai jubah (Syiakah) ketika di Madinah. Mulanya ust Fauzi ingin memborong beberapa helai jubah apabila kedengaran terdapat harga promosi, rupa-rupanya harga serupa sahaja. Tiba-tiba tuan kedai menawarkan untuk menjual ringgit kepada saya. Tetapi ringgit itu adalah cetakan lama, pada belakang rm50 itu berlambang Muzium Negara, Rm10 berlambang Stesen Besar KTMB dan Rm5 berlambangkan Istana Negara. Setelah berfikir sebentar, saya membeli juga wang kertas itu yang jumlahnya Rm240 dengan harga Sr240. Dia bersangka baik dengan jemaah yang membayar barangannya menggunakan nilai ringgit tetapi rupanya wang kertas lama. Saya tidak pasti adakah wang itu masih sah laku diperdagangkan ketika di Malaysia @ tidak?


Pulang Ke Riyadh, Menuju Ke Mekah;

Kami pulang dan selamat sampai ke Riyadh pada petang Selasa 20 April. Esoknya, bersama abg Mazlan, ust Fauzi dan akh Fitri, kami bertolak ke Mekah pada jam 5 petang. Jarak perjalanan kali ini ialah 1800km pergi dan balik. Kereta sewa Toyata Yaris milik abg Mazlan itu dipandu beliau sendiri sebelum diambil alih oleh akh Fitri. Saya dibelakang sempat menulis bahas kecil tentang falsafah Francis Bacon berbekalkan beberapa kitab rujukan dan laptop yang saya bawa. Saya perlu membentangkannya pada hari Sabtu. Setelah 300km meninggalkan Riyadh, jalan raya kelihatan samar kerana ribut pasir. Debu-debu berterbangan menyebabkan jarak penglihatan hanya sekitar 5 meter sahaja. Akhirnya kami sampai ke Miqat Qarnul Manazil (Sail kabir) pada pukul 12,30 malam. Hanya saya yang tidak menunaikan umrah dan itulah sejarah saya yang pertama memasuki Mekah tanpa ehram sejak 8 tahun lebih menetap di Saudi. Teman-teman menunaikan umrah dan saya tidur di rumah sewa pelajar Ummul Qura.


Perlawanan Sepak Takraw Di Jeddah;

Selepas subuh, kami bertolak ke Jeddah untuk menghadiri perlawanan sepak takraw seluruh Arab Saudi di konsulat Malaysia di Jeddah. 16 team menyertai perlawanan, 2 daripadanya adalah daripada Riyadh. Saya bersama team abg Mazlan & Fauzee, menang sekali kalah dua kali. Akhirnya kami kurang layak untuk memasuki perlawanan akhir:). PPM Madinah mendapat tempat kedua kejohanan, Tabung haji Mekah no 3 dan Johan dimenangi oleh team daripada Yanbu'. Adapun team PPM Mekah, Riyadh, Ajyad Mekah, Jeddah dan lain-lain lagi sekadar menjadi penyokong setelah team masing-masing kalah.


Malam Jumaat itu kami tidur di hotel Mahmal dengan bayaran Sr300. Pagi jumaat, kami keluar daripada hotel pada pukul 11 pagi menuju ke " Restoran Al-Baik". Merupakan satu restoran segera yang cukup terkenal. Sedap dan digemari ramai selain harganya yang murah, malangnya restoran milik arab Palestin ini hanya terdapat di Mekah, Madinah dan Jeddah sahaja. Ramai berkeyakinan ianya dapat mengatasi KFC, tetapi pemiliknya dikatakan tidak mahu membuka francaisnya di mana-mana tempat diluar Arab Saudi.


Kami menunaikan solat Jumaat di tanah haram Mekah, kemudian terus pulang ke bumi Riyadh. Tahniah kepada team PPM Madinah, khasnya akhi Meng, Abu, Amirul dan Faiz. Permainan kalian hebat, tetapi kurang bernasib baik. Terima kasih kepada Tabung Haji sebagai penganjur kejohanan walaupun hadiahnya terlalu biasa dan simple. Syukran lakum.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...