RSS Feeds

Selasa, 26 Oktober 2010

Mengenali Ummul Mukminin Aisyah


Beliau bernama Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq (Abdullah bin Usman Abi Quhafah) Radiyallahu Anhuma. Isteri Nabi dan kecintaan baginda yang telah disucikan dan dipuji Allah daripada atas langit. Wanita paling Faqeh secara muktamad yang mendapat gelaran as-Siddiqah bintu as-Siddiq.


Bapa beliau adalah sahabat Nabi yang paling disayangi dan khalifah Rasulullah selepas kewafatan baginda, yang merupakan insan paling mulia dikalangan umat Muhammad. Beliau juga adalah insan yang menemani Nabi ketika didalam gua Thur seperti di dalam surah Taubah ayat 40.


Aisyah dilahirkan 4 tahun selepas perutusan baginda sebagai Nabi dan Rasul. Nabi menikahi baginda selepas kewafatan isterinya yang pertama Khadijah binti Khuwailid. Perkahwinan itu sebelum hijrah Nabi beberapa belas bulan, iaitu ketika beliau berumur 7 tahun, dan ada pendapat yang mengatakan 6 tahun. Baginda menggauli Aisyah ketika beliau berumur 9 tahun. Nabi tidak berkahwin dengan anak gadis kecuali Aisyah seorang.


عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ : تُوُفِّيَتْ خَدِيجَةُ قَبْلَ مَخْرَجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمَدِينَةِ بِثَلاَثِ سِنِينَ ، فَلَبِثَ سَنَتَيْنِ أَوْ قَرِيباً مِنْ ذَلِكَ ، وَنَكَحَ عَائِشَةَ وهي بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ ، ثُمَّ بَنَى بِهَا وَهْيَ بِنْتُ تِسْعِ سِنِينَ ( أخرجه البخاري ـ كتاب مناقب الأنصار ـ باب تزويج النبي عائشة وقدومها المدينة وبنائه بها 5/71

Daripada Hisyam daripada bapanya telah berkata; "Telah wafat Khadijah sebelum 3 tahun Nabi berhijrah ke Madinah. Maka Nabi keseorangan selama 2 tahun ataupun kurang sedikit, dan Nabi menikahi Aisyah beliau berumur 6 tahun kemudian Nabi membina kehidupan (menggauli) Aisyah ketika berumur 9 tahun. Hadis riwayat Bukhari.


Perkahwinan Nabi bersama Aisyah adalah melalui isyarat wahyu. Telah datang Jibril kepada Nabi dengan membawa gambar Aisyah didalam mimpi baginda dan Jibril mengkhabarkan bahawa beliau (Aisyah) akan menjadi isteri baginda.



عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ : قال صلى الله عليه وسلم : « أُرِيتُكِ في الْمَنَامِ ثَلاَثَ لَيَالٍ جَاءَنِي بِكِ الْمَلَكُ في سَرَقَةٍ مِنْ حَرِيرٍ فَيَقُولُ هَذِهِ امْرَأَتُكَ . فَأَكْشِفُ عَنْ وَجْهِكِ فَإِذَا أَنْتِ هي فَأَقُولُ إِنْ يَكُ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ يُمْضِهِ » ( أخرجه البخاري ـ نفس الكتاب والباب السابق . وأخرجه مسلم ـ كتاب فضائل الصحابة ـ باب فضل أم المؤمنين عائشة. صحيح مسلم بشرح النووى 15/202 واللفظ له )


Daripada Aisyah bahawa beliau berkata; "Telah bersabda Nabi; (Aku diperlihatkan wajah kamu didalam tidur selama tiga malam. Malaikat telah mendatangkan kamu kepadaku ditutupi oleh sepotong kain daripada sutera, lalu berkata; "Ini adalah isteri kamu". Lalu aku bukakan wajahmu tiba-tiba ianya adalah kamu, maka aku katakan, sekiranya ini adalah daripada Allah maka ia akan melaksanakannya. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.



عَنْ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رضي الله عنه قَال : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : « فَضْلُ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى الطَّعَامِ » ( أخرجه البخاري ـ كتاب فضائل الصحابة ـ باب فضل عائشة 5/36 . وأخرجه مسلم ـ كتاب فضائل الصحابة ـ باب فضل عائشة. صحيح مسلم بشرح النووى 15/210-211)


Daripada Anas bin Malik berkata, aku mendengar Nabi bersabda; "Kelebihan Aisyah terhadap semua wanita seperti kelebihan Tharid terhadap semua jenis makanan". Hadis Bukhari dan Muslim.



keilmuan Ummul Mukminin Aisyah.

Beliau paling banyak menghafaz dan menaqalkan hadis-hadis Nabi kepada ummat islam. Sebab itu salah seorang diantara 7 sahabat Nabi yang paling banyak meriwayatkan hadis adalah Aisyah binti Abu bakar. Telah berkata Urwah; "Aku tidak lihat orang yang lebih alim dalam fekah, perubatan dan syair daripada Aisyah".



Ato' bin Abi Rabah berkata; "Aisyah adalah orang yang paling faqih, berilmu dan paling baik pandangannya pada urusan_urusan umum".


Berkata Imam az-Zuhri: "Jika dihimpunkan ilmu Aisyah untuk dibandingkan dengan ilmu sekalian Ummahatul Mukminin serta ilmu sekalian wanita sudah tentu ilmu Aisyah lebih baik".


قال أبو موسى : ما أشكل علينا أمر فسألنا عنه عائشة إلا وجدنا عندها فيه علمًا

Berkata Abu Musa; "Tidak berlaku sesuatu kemusykilan kepada kami kecuali apabila kami bertanyakan ianya kepada Aisyah kecuali kami dapati daripada beliau ilmu pada permasalahan tersebut".



قال مسروق : رأيت مشيخة من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم الأكابر يسألونها عن الفرائض .

Berkata Masruq: " Aku lihat ulama wanita dikalangan sahabat-sahabat besar Nabi mereka bertanyakan kepada Aisyah tentang ilmu Faraid".


قال الحافظ ابن حجر : الصديقة بنت الصديق مات النبي صلى الله عليه وسلم ولها نحو ثمانية عشر عامًا ، وقد حفظت عنه شيئاً كثيرًا وعاشت بعده قريبًا من خمسين سنة ، فأكثر الناس الأخذ عنها ، ونقلوا عنها من الأحكام والآداب شيئاً كثيرًا حتى قيل إن ربع الأحكام الشرعية منقول عنها ( فتح الباري (7/134


Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata; " As-Siddiqah binti as-Siddiq, telah wafat Nabi dan Aisyah berumur sekitar 18 tahun, beliau telah menghafaz daripada Nabi hadis yang banyak, beliau telah hidup selepas kewafatan Nabi hampir 50 tahun, maka ramailah manusia yang mengambil hadis daripada beliau, mereka menaqalkan daripada Aisyah daripada permasalahan hukum hakam dan adab yang banyak sehingga dikatakan bahawa 1/4 hukum hakam syarak telah dinaqalkan daripada Ummul Mukminin Aisyah".


الحافظ الذهبي : مسند عائشة يبلغ ألفين ومائتين وعشرة أحاديث . اتفق البخاري ومسلم لها على مائة وأربعة وسبعين حديثاً ، وانفرد البخاري بأربعة وخمسين وانفرد مسلم بتسعة وستين ( سير أعلام النبلاء 2/139


Al-Hafiz az-Zahabi berkata; "Musnad Aisyah mencecah 2210 hadis. Yang telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada jumlah itu adalah sebanyak 174 hadis. Sementara periwayatan Bukhari sahaja sebanyak 54 hadis, adapun Muslim sebanyak 69 hadis".



Apakah yang menyebabkan Ummul Mukminin banyak periwayatan hadisnya daripada Nabi?

1- Kerana beliau sering mendampingi Nabi sebagai seorang isteri. Ini menyebabkan beliau mengetahui banyak hal ehwal Nabi yang tidak diketahui oleh orang lain. Maka Ummul Mukminin telah menghafaz sesuatu yang tidak dapat dihafaz oleh orang lain.

2- Kecintaan Nabi yang begitu mendalam terhadap beliau melebihi isteri-isteri yang lain menyebabkan beliau dapat bertanya kepada baginda apa yang diingini dalam banyak perkara.

3- Umurnya yang masih muda, beliau telah hidup bersama-sama Nabi ketika berumur 9 tahun. Pada peringkat umur ini manusia dikurniakan kekuatan hafalan dan kecekapan yang sangat tinggi.

4- Kecerdikan semula jadi yang dimiliki oleh Ummul Mukminin Aisyah telah membezakan beliau dengan isteri-isteri Nabi yang lain. Menyebabkan beliau mampu menghafaz kata-kata Nabi, perbuatannya dan pengakuan Nabi dan setiap yang terbit daripada baginda.

5- Keberadaan Aisyah di Madinah secara berterusan yang ketika itu dipenuhi oleh penuntut-penuntut ilmu, maka ramailah yang mengambil daripada beliau sebelum dicatat dan disebarkan.

6- Selepas kewafatan Nabi, Ummul Mukminin meluangkan banyak masanya untuk meriwayatkan hadis-hadis Nabi dan memberi fatwa kepada setiap soalan-soalan. Beliau tidak disebukkan dengan urusan-urusan lain.

7- Beliau dikurnikan umur yang panjang selepas wafatnya Nabi, sekitar 50 tahun iaitu pada tahun 58 Hijrah beliau bertemu Allah, dalam tempoh yang panjang ini umat islam sangat memerlukan ilmunya dan beliau menjawap setiap apa yang diketahui daripada hadis Nabi Alaihissolatu Wassalam.


Beliau telah wafat pada tahun 57 Hijrah menurut pandangan yang soheh, iaitu pada malam selasa 17 Ramadhan selepas solat witir, dan dikebumikan pada malam itu juga, sementara jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah Radiyallahu Anhu. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa kewafatan Ummul Mukminin Aisyah adalah pada tahun 58 Hijrah.

Tulisan Lain yang berhubungkait;

http://pembinaselangor.com/?p=517

Isnin, 11 Oktober 2010

Pertahankan Ummul Mukminin

عائشة - رضي الله عنها- للشيخ سليمان السلامة (عرض تقديمي) - تصميمات عن أم المؤمنين عائشة - موقع المسلمون في العالم - شبكة الألوكة

Selasa, 31 Ogos 2010

Forum Perdana Kemerdekaan 2010


Malam tadi 30 Ogos 2010, Masjid Kota Damansara dengan jayanya telah menganjurkan program forum perdana bersempena dengan kemerdekaan negara buat kali yang ke 53. Saya kira program itu sangat berjaya dengan ahli panel dan moderator yang semuanya berasal daripada bumi penyu (Terengganu). Al- Fadhil Ust wan Sohor Bani Leman menjadi moderator, dengan 3 orang ahli panel yang terkenal, Ust Dr Khairuddin al-Takiri, Ust Nik Zawawi Yusuf dan Ust Syukri Yusuf. Program selama 2 jam didewan solat itu telah diadakan selepas solat terawih dan witir.

Kesemua panel yang disoal jawap secara spontan tanpa lakonan dan perbincangan awal itu telah membincangkan secara mendalam erti kemerdekaan seseorang muslim. Menjelaskan kehebatan islam dan keunggulannya yang telah menyebabkan seorang arab Mekah iaitu Rib'iy bin A'mir Radiyallahu Anhu berdiri dan berucap dengan megahnya dihadapan pemimpin-pemimpin Rome tatkala beliau ditanya tentang islam.

"Allah telah mengutuskan kami supaya kami mengeluarkan manusia daripada penghambaan terhadap manusia kepada penghambaan kepada Allah semata-semata. Islam telah datang untuk menhapuskan kezaliman agama kepada keadilan agama islam, dan islam telah datang untuk mengeluarkan manusia daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di dunia dan akhirat". kata-kata ini telah menyebabkan pemimpin-pemimpin Rome menjadi gerun dan terpegun.

Begitulah kira sepatutnya memahami erti kemerdekaan dengan berpegang teguh kepada tuntutan agama. Kita menjadi Hamba kepada Allah semata-mata. Kita meninggalkan kebudayaan dan racun-racun pemikiran para penjajah yang masih tersemat dihati beberapa insan malang.

Semoga program-program ilmiah yang seumpamananya dapat berjalan secara berterusan di tempat-tempat lain dan mendapat sambutan hangat daripada semua muslimin dan muslimat serta kita semua mendapat manfaat yang berterusan.

Ahad, 22 Ogos 2010

Jika Hari Raya Berlaku Pada Hari Jumaat


"Apakah hukumnya jika hari raya bertembung dengan hari Jumaat. Berkaitan dengan solat Jumaat saya dengar bahawa ianya tidak wajib kepada orang islam selain imam, bagaimana diwajibkan kepada imam seorang dan bagaimana dia akan mendirikan Jumaat seorang diri?"


Fatwa oleh as-Syeikh Abdul Aziz bin Bazz Rahimahullah.

Jika hari raya jatuh pada hari Jumaat maka harus bagi sesiapa yang telah menunaikan solat hari raya untuk menunaikan solat Jumaat atau solat Zohor, ini kerana telah datang hadis daripada Nabi dalam permasalahan ini. Telah terbukti bahawa baginda Nabi memberi rukhsoh dalam hal ini sabda baginda yang bermaksud; (Telah bertembung pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang telah menunaikan solat raya maka tidak wajib ke atasnya solat Jumaat), akan tetapi dia tidak boleh sama sekali meninggalkan solat Zohor.


Akan tetapi sebaik-baiknya ialah dia menunaikan solat Jumaat bersama kaum muslimin di masjid. Maka jika dia tidak mahu menunaikan solat Jumaat maka hendaklah dia menunaikan solat Zohor. Adapun imam, hendaklah dia menunaikan solat Jumaat bagi sesiapa yang hadir jika mereka (bilangan jemaah) lebih daripada tiga termasuk Imam. Jika yang datang hanya seorang, maka imam dan makmum hanya menunaikan solat Zohor. Wallahu a3lam.


Selasa, 17 Ogos 2010

Pelacur, Anjing & Kehidupan

Oleh DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

DALAM SATU hadis, Nabi s.a.w bersabda: “Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya.

Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar. Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi.

Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w Mereka itu selalu mengambarkan Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kasihan, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?

Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah: “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing, merupakan binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat.

Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjing’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya. Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?

Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

APAKAH SYURGA ITU MURAH?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan memberikan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid?

Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya.

Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahirkan diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang itu lakukan dari semasa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya.

Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi. Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu.

Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya.

Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama dengan kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

BANYAK DAN SEDIKIT

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih daripada seorang kaya yang menderma RM1,000.

Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji RM10 atau RM15 sehari. Dia mengeluarkan RM10 dengan penuh erti sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah.

Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1,000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharapkan keredhaan dan ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah.

Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya pun lebih.

TIDAK SAMPAI AJARAN

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan keinsafan dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baiknya itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan.

Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya atau kehidupan yang mendesaknya atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya.

Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama. Berapa ramai orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan.

Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka.

Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut: “Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15). Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya.

Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar.

Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa kita.

INSAFI DIRI

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari nanti mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama.

Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika dalam jantung hatinya wujud keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang.

Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...