RSS Feeds

Rabu, 8 April 2009

Tahniah Najib, PAS di Bukit Gantang & PKR di Bukit Selambau

Baru-baru ini kita terhibur apabila membaca beberapa kenyataan daripada Perdana Menteri Malaysia yang baru Dato Seri Najib Tun Razak. Pembebasan 13 tahanan ISA (walaupun Hamid Albar dan Musa Hasan lembab melaksanakan arahan), jaminan bahawa ISA tidak akan digunakan sewenang-wenangnya, pengembalian lesen akhbar rasmi pembangkang Harakah dan Suara Keadilan dan pendiriannya bahawa media massa perlu kepada laporan yang bertaraf dunia dalam melaporkan berita berasaskan fakta. Ini semua dilihat satu permulaan yang positif dan kita mengharapkan bahawa semua kenyataan ini tidak bersifat sementara dan berdolak-dalik seperti sikap yang ditonjolkan oleh Tun Mahathir baru-baru ini. Jika polisi-polisi positif seperti ini diamalkan maka kita dengan adil dan insaf (sebagaimana Najib insaf sebelum ditabalkan sebagai PM) mengucapkan tahniah di atas perlantikannya sebagai PM Malaysia ke 6.

Tapi awas! rakyat sedang menilai segala janji-janji ini! Adakah ianya tercetus gara-gara tiga pilihanraya kecil? Ataukah ianya memang akan berterusan dan terzahir dari lisan yang betul-betul inginkan perubahan? Kekalahan BN di 2 bukit sepatutnya memberi pengajaran mendalam kepada UMNO dan BN bahawa perjuangan berlandaskan perkauman sudah tidak releven lagi. 52 tahun pemerintahan tetapi parti-parti komponan dalam BN tidak didedahkan @ kurang mendedahkan islam dan ajarannya yang murni. Untung juga pentadbiran Paklah memperkenalkan Islam Hadhori (walaupun dipertikai) kerana sekurang-kurangnya kecenderungan ke arah Islam itu wujud juga dan memberi peluang kepada para pendakwah untuk memperkenalkan islam.

Kemenangan yang diperolehi Dato seri Nizar Jamaluddin di Bukit Gantang dengan peningkatan majoriti hampir 100% berbanding pilihanraya 2004 serta kemenangan PKR di Bukit Selambau dengan majori 2403 undi merupakan satu pukulan hebat kepada BN. Adakah ini tanda protes rakyat Bukit Gantang khasnya terhadap krisis politik yang berlaku di Perak? Adakah ini membawa maksud bahawa pakatan rakyat akan semakin melebarkan pengaruhnya pada pilihanraya 13? Adakah punca kekalahan ini sebenarnya berpunca daripada kempen Tun Mahathir pada saat-saat akhir?

Apapun tahniah buat mereka yang menang. Tanggugjawab dan amanah rakyat amat berat terpikul di bahu mereka. Jangan hanya pandai berjanji dan berkempen sahaja tapi bila sudah menang langsung hilang tanpa kesan. Nampaknya ketokohan Dato' seri Nizar semakin terserlah, buktikan bahawa anda adalah pemimpin yang bertanggungjawab, amanah dan mesra rakyat.

Ahad, 5 April 2009

30 Hari Di Jamiah Malik Saud

Kehidupan sebagai pelajar adalah nikmat yang wajar disyukuri. Segala gerak geri mereka sebenarnya adalah ibadah. Meninggalkan keluarga berjauhan, anak isteri dan tanah air demi menuntut ilmu Allah adalah jihad. Menggali warisan para anbiya, melaksanakan tuntutan fardhu kifayah agar mereka pulang kelak dapat memberi peringatan kepada kaum kerabat mereka tentang agama yang suci ini.

Sebulan berada di kampus university saya dapat rasai kelainan aktiviti disamping kesibukan pengajian sebagai pelajar pasca siswazah. Jadual pengajian hanyalah 10 jam seminggu. Tetapi saya berdepan dengan bahas-bahas dan pembentangan yang banyak di dalam kelas yang hanya seramai 8 orang sahaja itu. Selain itu berdepan dengan beberapa subjek yang tidak pernah saya pelajari antaranya; Falsafah Yunani & Qodoya Kalamiyah. Kehidupan sepenuhnya hanyalah di asrama, masjid, kuliah, kantin university dan kawasan sekitar universiti sahaja. Pergerakan kami amat terbatas kerana tidak memiliki kenderaan persendirian.

Berkenalan dengan beberapa pensyarah melayu di University;
Setelah seminggu pengajian, kami berkenalan dengan Dr Ibrahim yang merupakan salah seorang daripada 4 pensyarah melayu yang mengajar di King Saud University. Wajahnya yang seakan-akan arab itu menyukarkan kami untuk membuat pengamatan. Rupa-rupanya orang Perak! Beliau banyak menolong dan membawa kami untuk saling berkenalan dengan orang-orang Malaysia yang berada di riyad.

Berkenalan dengan ustaz Hasan Fathoni 30 tahun di Riyad;
Pada minggu kedua kami menziarahi Dr hasan (ma'si) bin abdul kadir yang baru selesai menamatkan tesis PhD di Universiti al-Imam Riyad. Ustaz hasan berasal daripada fathoni ini telah 31 tahun berada di Riyad. Sebagai pelajar, suami kepada 2 isteri, seorang bapa kepada 7 orang anak, dan seorang tauke restoran Malaysia di Riyad. Boleh dikatakan semua warganegara melayu yang berkerja di Riyad mengenali beliau. Tahniah buat Dr hasan yang telah menamatkan pengajiannya dengan mendapat keputusan Mumtaz Syaraf Ula.

Jerebu dan debu yang amat tebal menyerang Riyad.
Berlaku pada hari yang kelima kami berada di Riyad, ini merupakan kejadian kali pertama berlaku menurut penduduk. Cuaca berubah kemerah-merahan, dengan debu tebal yang menyebabkan pandangan terbatas sekitar 5 meter sahaja. Subhanallah! Bermula 11 pagi 10 March sehinggalah pagi berikutnya. 2 hari berikutnya masjid-masjid di Riyad melakukan solat Istisqa' (memohon hujan). Mujur kami tetap sihat, al-Hamdulillah.

Menziarahi Madinah.
Setelah beberapa kali menangguhkan hasrat untuk pergi ke Madinah, akhirnya saya bertekad bermusafir walaupun seorang diri menaiki bas. Perjalanan dari Riyad ke Madinah mengambil masa 12 jam untuk jarak sejauh 800 km. Saya membayar SR140 untuk tiket pergi dan balik selepas mendapat potongan sebanyak 50% kerana harga khas pelajar. Alhamdulillah, saya bertemu teman-teman Malaysia, Singapore, Kemboja, Indonesia, Afghan, India, Oman dan lain-lain. Bertemu dengan beberapa orang pensyarah University Islam Madinah yang saya kenali. Malam Jumaat 26 March saya sempat menghadiri kuliah Maghrib oleh al-Fadhil Syaikh Dr Muhamad bin Mukhtar as-Syankiti di Masjid Nabawi. Sempat menziarahi makam Nabi dan solat berjemaah beberapa waktu di Masjid Nabawi. Saya sempat membeli beberapa buah buku di Ma'arad Universiti yang berkebetulan baru di buka sehari sebelum kedatangan saya. Tidak lupa juga mengucapkan terima kasih kepada akh Lukman Mat Sin kerana membelanja saya di restoran yang di rindui (al-Baik).

Tahniah buat akh Khairil Husaini,
Saya mendapat sms daripada akh asri mengkhabarkan bahawa saudara Khairil Husaini mendapat markah Mumtaz Syaraf Ula dalam tesis master yang dibentangkannya pada hari Isnin 30 March. Beliau merupakan pelajar Malaysia yang kelima Berjaya mendapat sijil master daripada University Islam Madinah sepanjang penubuhannya. Semoga kejayaan ustaz Husaini dalam bidang hadis ini memberi semangat tambahan buat pelajar-pelajar Madinah yang masih baru dan lama untuk terus berjaya dalam pelajaran masing-masing.

Hujan lebat di Riyad,
Saya pulang ke Riyad daripada Madinah pada pagi Ahad 29/03 al-Hamdulillah hujan turun di Riyad walaupun tidaklah terlalu lebat. Selepas solat Jumaat 03/04 kami dijemput oleh abang Raznan untuk makan tengahari. Saya, ust Fauzi, Arif dan Fadhil anak Dr Hasan meriah dijamu makanan yang enak-enak. Bermula daripada Subuh hujan turun lebat sekejap-sekejap seharian. Selama berada di rumah abg Raznan petir berdentum-dentum disertai dengan hujan. Cuaca yang sememangnya sejuk semakin menjadi-jadi. Selepas Isya' kami dihantar pulang ke university. Yang menarik ialah; beberapa jalan di Riyad banjir melebihi paras lutut kesan daripada hujan berterusan. Jalan agak sesak dan kedapatan beberapa kereta mati kerana dimasuki air.

Baru perasan,
Setelah 30 hari di Riyad, baru saya sedar bahawa berat timbangan saya telah naik sebanyak 5kg. alamak! Apa nak jadi? Ustaz Fauzi yang berjauhan daripada isterinya dan 5 anak juga mengalami peningkatan. Inilah kesan makanan penuh khasiat yang kami ambil di kantin University setiap hari. Hairannya ialah student hanya perlu membayar Sr1 sahaja untuk sarapan pagi dengan 7 jenis makanan dan minuman. Sementara Sr2 untuk bayaran bagi tiap-tiap makan tengahari dan malam dengan mengambil 6 jenis hidangan. Semoga saya dapat bersabar dan berjaya dalam menempuh pengajian ini. Semoga kehidupan yang barakah dan manfaat melingkari kita semua sepanjang hayat.

Rabu, 1 April 2009

Peranan Anda Dalam Pilihanraya

Piliharanraya yang akan diadakan beberapa hari lagi merupakan ujian besar kepada pihak BN mahupun PAKATAN RAKYAT. Ini kerana kesan kepada kemenangan ini akan menjadi penentu terhadap sambutan dan tindak balas pengundi kepada kedua-dua komponan tersebut. Sudah tentu pengundi bagi parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Batang Air sedang giat berfikir bagi memilih pemimpin mereka.


Mari kita ketahui serba sedikit betapa pentingnya undi anda untuk menjadi penentu kepada kemenangan. Anda perlu menjadi pengundi bijak kerana;

1) Anda adalah penentu kepada kedaulatan undang-undang di Malaysia. Samada undang-undang itu boleh menjadi permainan orang-orang politik rakus atau ianya dihormati sebagai paksi kepada Negara yang mengamalkan Demokrasi.

2) Anda adalah penentu kepada kedaulatan dan keunggulan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir, yang akhirnya meminggirkan majority pelajar-pelajar melayu daripada mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik.

3) Anda adalah penentu kepada kesucian pentadbiran Negara daripada anasir-anasir rasuah yang semakin berleluasa.

4) Anda adalah penentu kepada kestabilan ekonomi Negara kerana peranan mereka yang cekap akan membantu kepada perbelanjaan kewangan Negara secara bijak dan berhemah.

5) Anda adalah penentu kepada kebebasan media cetak dan elektronik menurut undang-undang sedia ada bagi menyebarkan maklumat secara jujur, amanah dan bertanggungjawab.

6) Anda adalah penentu kepada kedaulatan raja-raja melayu yang secara terpaksa terheret kepada kemelut politik kotor yang akhirnya mengurangkan rasa hormat rakyat terhadap mereka.

7) Anda adalah penentu kepada memartabatkan Dakwah Islamiyyah ataupun menambahkan lagi gejala kebejatan akhlak dan berselerakannya dosa-dosa besar di Malaysia.

8) Anda adalah penentu kepada memartabatkan politik yang berlandaskan Islam ataupun anda menyokong kepada politik yang berasaskan secular dan perkauman.

9) Anda adalah penentu kepada tertegaknya Syariat Allah di muka bumi yang semakin celaru ini ataupun anda adalah penentang kepada hukum hakam Tuhan.

10) Hargai pendirian anda dan fahami matlamat perjuangan, semoga kita terus berada dalam petunjuk yang benar serta mendapat keredhoan Allah.

Ahad, 29 Mac 2009

Bukit Magnet di Madinah

Kebanyakan jemaah umrah Indonesia sekarang menjadikan bukit magnet ini di antara tempat lawatan mereka selepas melawat tempat-tempat yang sewajarnya. Perkara ini mula bermula sekitar tahun 2006 selepas ianya semakin polpular dikalangan jemaah haji dan umrah. Sehingga budaya ini menjadi ikutan beberapa travel umrah & haji dari Malaysia.


Tinggal kenangan,

Saya teringat ketika menuntut di university madinah, saya kira saya adalah pelajar Malaysia yang pertama yang mengetahui tentang bukit magnet ini selepas kawan karib saya bernama Fahad membawa saya ke tempat tersebut pada tahun 2003. Fahad ini pemuda Saudi yang petah berbahasa Indonesia dan saya mempunyai kenangan-kenangan menarik berkaitan beberapa budaya masyarakat Arab Saudi bersama beliau. Terima kasih Fahad semoga ukhuwwah kita berterusan.


Keajaiban Bukit magnet,

Bukit magnet ini terletak lebih kurang 20 kilometer dari Bandar madinah. Tempat bernama Baidho' ini merupakan di antara tempat pelancongan dan istirehat warga Madinah kerana tempatnya yang agak menarik, sunyi, terdapat pohon-pohon yang banyak, pasirnya yang putih serta bentuk bukit-bukitnya yang unik. Adakah bukit magnet ini sesuai pada namanya atau tidak? Saya tidak pasti, yang pasti anda akan berada di satu tempat yang boleh menarik kenderaan yang dimatikan enjinnya sehingga mencecah kelajuan 110 km sejam sejauh 6 hingga 7 kilomiter.! Tentu anda hamper-hampir menafikan reality ini khususnya bila kereta yang anda naiki dengan free gear dan dimatikan enjinnya itu tiba-tiba dapat meluncur dengan kelajuan ini. Jalan yang anda lalui bukanlah jalan yang menurun seperti dari atas bukit Cameron highland ataupun Genting hingland! tetapi kawasan jalan raya yang mendatar bahkan adakalanya jalan yang mendongak agak tinggi seperti mendaki bukit.!


Menarik untuk menjadi bahan kajian para sceintist

Tempat ini agak sesuai untuk menjadi bahan kajian para scientist bagi membongkar factor yang menyebabkan kepada tarikan gravity (jika betul istilah) atau daya tarikan yang seperti magnet ini. Ini bagi mengelakkan andaian karut yang membawa kepada kesan negetif yang akhirnya menghasilkan kepada iktikad yang terpesong. Maha suci Allah yang menjadikan keajaiban-keajaibannya di muka bumi sebagai tanda dan bukti kekuasaanNYA, semoga dengan itu manusia mengambil pengajaran dan mendapat hidayah kepada jalan yang lurus.

Selasa, 24 Mac 2009

Bertafakkur

Bertafakkur (berfikir) dan bertadabbur merupakan salah satu tuntutan syariat yang terpuji. Kerana manusia diciptakan dengan satu perbezaan yang amat jelas berbanding makhluk-makhluk yang lain. Seringkali Allah mengarahkan kita supaya berfikir.


Dalam banyak perkara, manusia seringkali tersilap dalam tindak-tanduk yang dilakukannya walaupun kadang-kadang ia adalah kesalahan yang sama. Semua ini adalah disebabkan sifat tergesa-gesa mereka dalam menuruti kehendak hawa nafsu. Meninggalkan sikap berfikir, menggunakan jalan ringkas dan mudah iaitu dengan menuruti kehendak hati. Ingatlah, "Bertenang itu datangnya dari Allah dan tergesa-gesa itu dari syaitan"

Orang yang bertafakkur akan mendapat faedah yang banyak di dunia dan akhirat. Agak penting juga untuk disebutkan disini kesan tafakkur terhadap hati dan hubungkaitnya dengan Tazkiah (penyucian jiwa). Daripada Amru bin Qais berkata: aku mendengar ramai dari sahabat Nabi bersabda; "Sesungguhnya pancaran iman atau cahayanya adalah tafakkur." Hasan al-Basri berkata: "Seringkali ahli ilmu mengulangi peringatan untuk bertafakkur dan bertafakkur untuk peringatan serta membisiki hati sehingga ianya berkata-kata."

Jenis-jenis tafakur dan lapangannya:

Imam ibnu Qayyim menyebutkan jenis-jenis tafakkur dengan berkata: "Maka jenis tertinggi dan paling bermanfaat ialah sesuatu yang berhubungkait dengan Allah dan hari pembalasan, dan ini juga terbahagi kepada beberapa jenis;

1) Bertafakkur dengan ayat-ayatnya yang telah diturunkan, bertadabbur dengannya dan memahami maksud sebenar yang dikehendaki Allah.

2) Bertafakkur dengan tanda-tanda kekuasaannya yang dipersaksikan, mengambil pengajaran tersebut dan menjadikannya sebagai hujjah terhadap nama-nama Allah, sifat-sifatNYA dan hikmah-hikmahNYA yang maha agong.

3)Bertafakkur dengan nikmat-nikmat dan Ehsan Allah terhadap makhluk.

4) Bertafakkur dengan keaiban diri dan kelemahannya serta amalan-amalan yang tercela. Pemikiran ini akan mendatangkan manfaat yang besar bahkan ianya adalah pintu segala kebaikan, ia memberi kesan untuk memecahkan nafsu amarah yang buruk. Apabila nafsu tersebut pecah maka hidup segarlah nafsu yang tenang (mutmainnah), serta mula menjadi hakim dan menghidupkan hati.

5) Bertafakkur dengan kewajipan masa dan tugasannya serta menghimpunkan semua kesungguhannya untuk itu. Orang yang mengetahui nilai masa yang amat kecil, dia akan merasakan semua kebaikannya telah terlepas jika dia kehilangan masa tersebut.

Antara ruang lingkup tafakkur atau lapangannya yang terbesar, yang mana Nabi dan ulama' rabbani selepas dari baginda telah berpesan ialah bertafakkur dalam perkara-perkara akhirat. Bemula dengan kematian dan kubur sehinggalah kemasukannya ke Syurga atau Neraka. Sebab itulah Nabi menyuruh kita menziarahi kubur. Baginda bersabda yang bermaksud: "Dulu aku pernah melarang kamu dari menziarahi kubur maka sekarang pergilah sesungguhnya ia akan melembutkan hati, mengalirkan air mata dan mengingati hari akhirat dan janganlah kamu semua mengatakan yang batil."-lafaz ini diriwayatkan oleh Hakim dari Anas, dan dengan lafaz yang hampir sama diriwayatkan oleh Muslim, ibn Majah dan Ahmad-

Bertafakkur dengan alam ghaib yang setiap kita sentiasa dalam penantian bermula dari saat ini sehinggalah kepada kematiannya yang datang secara tiba-tiba, kemudian kehidupan di alam kubur, kemudian hari kebangkitan, titian, perhitungan, Syurga dan Neraka. Sesungguhnya berfikir dalam skop ini akan menguatkan keimanan kita dengan hari akhirat, ia akan mendorong kita dengan persiapan beramal soleh, menjauhi larangan dan kemaksiatan serta bersedia untuk bertemu dengan Allah pada bila-bila masa.

Selain itu lapangan tafakkur juga ialah mengamati bagaimanakah hal keadaan para pendusta dan pelaku maksiat dengan mengambil pengajaran dan pelajaran dari mereka. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya telah berlalu orang-orang yang sebelum kamu mengikut ketentuan, maka berjalanlah kamu semua di muka bumi serta lihatlah bagamanakah akibat bagi orang-orang yang zalim."

Seharusnya kita berfikir tentang setiap sesuatu yang telah berlalu sebagai satu pengajaran dan sesuatu yang mendatang sebagai satu wawasan yang akan menghasilkan suatu keuntungan komersial yang tidak akan mengalami kerugian selama-lamanya. Sudahlah jatuh dihempap tangga sekiranya kita sekadar memikirkan kehidupan duniawi yang tidak pernah akan kenyang biarpun mulut dan hati sudah lenguh untuk menjamah segala macam hidangan yang di idam-idamkan. Ingatlah bagaimanakah Allah menggambarkan harta dan kekayaan bagi orang-orang yang berfikir?

Walaubagaimanapun, setiap sesuatu ada batasannya. Begitu juga dengan tafakkur. Jagan kita lari dari manhaj ahlulhaq sehingga dengan bertafakkur menyebabkan kita terpesong dari ajaran al-Khaliq. "Berfikirlah kamu pada penciptaan Allah jangan kamu berfikir pada zat Allah". Ini adalah batas sempadan yang tidak boleh akal membatasinya. Akal fikiran mempunyai kemampuan yang terhad khususnya dalam perkara-perkara yang ghaib. Berapa ramai manusia yang sesat disebabkan landasan pemikirannya lari dari garis panduan al-Quran dan Sunah?

Sama-samalah kita melazimi berfikir dengan skop pemahamannya yang luas. Perbaikilah penelitian dan pemerhatian dengan setiap sesuatu kejadian yang telah berlaku dalam diri kita samada yang kita lihat sendiri atau dengar. Betapa indahnya sekiranya tafakkur itu disertakan dengan berzikir. Sesungguhnya ia adalah pembantu yang amat jelas untuk bekalan akhirat dan Tazkiatun an-Nufus. Semoga Allah mengurniakan Taufiq dan Inayah kepada kita semua.g dikehendaki allah. pertama: bertafa

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...