RSS Feeds

Ahad, 12 Disember 2010

Mari Berpuasa Asyura & Tasua'


Kelebihan puasa asyura.

1) Daripada Abdullah bin Abi Zaid bahawa beliau mendengar Ibnu Abbas ditanya tentang berpuasa pada Hari Asyura. Beliau menjawab: "Aku tidak tahu bahawa Rasulullah berpuasa sehari mengharapkan kelebihannya berbanding hari-hari lain kecuali pada hari ini (Asyura), tidak juga pada bulan-bulan lainnya kecuali pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan," hadis soheh Bukhari (2006) & Muslim (1132).

2) Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi berkata; "Berpuasa pada hari Asyura aku berharap kepada Allah agar mengkafarahkan setahun yang telah lalu,”hadis riwayat Muslim (1162) dan Abi Dawud (2425).


Dua hadis ini menggambarkan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram. Iaitu pengampunan Allah bagi dosa tahun yang lalu. Yang masyhurnya dikalangan ulama pengampunan dosa ini hanyalah pada dosa-dosa kecil bukan dosa-dosa besar yang perlukan kepada taubat. Imam An-Nawawi berkata; " Diampunkan bagi dosa-dosa kecil dan takdirnya ialah; diampunkan dosa-dosanya keseluruhannya kecuali dosa-dosa besar". Al-Majmuk 6/382.


Syeikhul islam Ibnu Taimiyyah berkata; "Pengampunan dosa bagi orang yang bersuci (berwuduk), solat, puasa Ramadhan, puasa Arafah dan Asyura hanyalah bagi dosa-dosa kecil sahaja". Al-fatawa al-kubra 4/428.


Apa yang mereka nyatakan ini adalah bersandarkan kepaada hadis Nabi dalam soheh Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda; "Solat lima waktu, Jumaat kepada Jumaat, Ramadhan kepada Ramadhan, adalah pengampunan dosa diantara keduanya jika dijauhi dosa-dosa besar".


Banyak berpuasa pada bulan-bulan haram;

Daripada Abu Hurairah berkata, Nabi bersabda; "Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah bulan Allah yang diharamkan," riwayat Muslim (1982).


Bulan yang disandarkan kepada Allah menunjukkan pengagungan. Daripada zahir hadis menunjukkan bahawa ianya adalah merangkumi semua bulan-bulan haram (Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Akan tetapi perlu diketahui bahawa tidak pernah thabit daripada Baginda bahawa beliau berpuasa penuh sebulan kecuali pada bulan Ramadhan. Maka hadis ini memberi maksud galakkan agar membanyakkan puasa pada bulan-bulan tersebut.



Asal usul puasa pada 10 Muharram;

Daripada Ibnu Abbas berkata; " Rasulullah datang ke Madinah maka Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram lalu Baginda bersabda; kenapa begini? Mereka menjawab; "Ini adalah hari yang baik, Allah telah menyelamatkan pada hari ini Nabi Musa dan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka (Fira’un) maka Musa berpuasa. Lalu Nabi bersabda; "Aku lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa, maka Nabi berpuasa dan memerintahkan agar berpuasa". Dalam riwayat yang lain, "Maka kami berpuasa pada hari tersebut sebagai menghormatinya". Hadis riwayat Bukhari (2004) dan Muslim (1130).


Daripada Salamah bin Al-Akwa' bahawa Rasulullah memerintahkan seorang lelaki supaya mengumumkan kepada manusia yang muslim; "Sesiapa yang telah makan maka hendaklah dia berpuasa selepas itu, sesiapa yang belum makan maka berpuasalah, maka sesungguhnya hari ini adalah hari Asyura". Hadis riwayat Bukhari (2007) dan Muslim (1135).


Pilihan berpuasa selepas kefardhuan puasa ramadhan;

Daripada Aisyah beliau berkata; "Puasa Asyura adalah sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Maka tatkala turun kewajipan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang mahu berpuasa (Asyura) berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu maka dia berbuka". Bukhari (2001) dan muslim (1125).


Daripada Abdullah bin Umar berkata; "Puasa Asyura berpuasa padanya ahli jahiliyyah, maka tatakala turun kewajipan Nabi bersabda; "Sesiapa yang mahu berpuasa (Asyura) berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka dia tidak perlu berpuasa". Hadis Bukhari (1892) Muslim (1126).


Daripada Jabir bin Samurah berkata; "Adalah Rasullullah memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari Asyura dan memberi galakkan kepada kami, dan Nabi mengambil janji terhadap kami disisinya, maka tatkala difardhukan Ramadhan, Baginda tidak menyuruh kami dan tidak melarang kami daripadanya dan Nabi tidak mengambil janji kami di sisinya". Hadis Muslim (1128).


Ibnu Hajar dalam Fathul Bari berkata; "Dan dapat diambil daripada keseluruhan hadis bahawa puasa asyura ini pada mulanya adalah wajib kerana thabitnya perintah berpuasa, kemudian ianya menjadi lebih kuat lagi dan kuat lagi ketika diumumkan kepada umum. Bertambah wajib lagi ketika Nabi memerintahkan agar orang yang sudah makan meneruskan puasanya, kemudian perintah Baginda supaya ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kecil pada hari tersebut dan kata-kata Ibnu Mas'ud dalam soheh Muslim "Tatkala difardhukan Ramadhan maka ditinggalkan Asyura", dengan pengetahuan bahawa tidak ditinggalkan hukum sunnah puasa Asyura itu bahkan kekal ianya sebagai sunnah. Maka ianya memberi petunjuk bahawa yang ditinggalkan ialah kewajipannya (iaitu menjadi tidak wajib). Fathul Bari 4/247.


Disunatkan berpuasa 9 Muharram bersama dengan 10.

Daripada Ibnu Abbas berkata; "Ketika Nabi berpuasa Hari Asyura dan memerintahkan agar berpuasa, Sahabat berkata; "Ya Rasulullah sesungguhnya ia adalah hari yang dibesarkan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi bersabda; "Maka jika tahun akan datang insyaallah kita akan berpuasa Tasyua' (9 Muharram)". Ibnu Abbas berkata : "Maka belum sempat datang tahun hadapannya kecuali Rasulullah telah wafat". Hadis riwayat Muslim (1916).


Imam Syafie, Ahmad, Ishak dan lain-lainnya berkata; "Disunatkan berpuasa Tasua' dan Asyura bersama kerana Nabi berpuasa pada 10 Muharam dan telah berniat untuk berpuasa 9 Muharam".


Atas dasar ini maka berpuasa Asyura ada tingkatannya; yang paling kurangnya ialah berpuasa pada hari Asyura sahaja, lebih baik daripada itu ialah berpuasa 9 dan 10 Muharram. Dan setiap kali bertambahnya puasa pada bulan Muharram maka ianya adalah lebih baik dan afdhal.


Hikmah disunatkan puasa 9 Muharam;

Imam An-Nawawi berkata:" Para ulama dikalangan Sahabat kami (Syafieyyah) dan selain mereka menyatakan tentang hikmah berpuasa Tasua' (9 muharam) dengan beberapa wajah;

1) Ianya adalah bertujuan menyalahi Yahudi (tidak sama dengan mereka) ketika hanya berpuasa Asyura sahaja.

2) Adalah bertujuan menyambung puasa Asyura dengan puasa seperti larangan Nabi berpuasa pada hari Jumaat semata-mata. Ini disebutkan oleh Al-Khattobi dan ulama-ulama lain.

3) Sebagai langkah berjaga-jaga ketika kita berpuasa Asyura, yang mungkin ditakuti kurang sehari anak bulan. Maka akan berlaku kesilapan hari ketika berpuasa. Maka boleh jadi puasa 9 Muharram itu adalah yang sebenarnya 10 Muharram".

Akan tetapi wajah yang paling kuat adalah yang pertama. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan; "Nabi Muhammad Alaihi Solatu Wassalam telah melarang daripada menyerupai Ahli Kitab dalam hadis-hadis Baginda yang banyak seperti dalam sabda Baginda tentang Asyura; "Jika aku hidup pada tahun hadapan maka aku pasti berpuasa Tasua' (9 Muharram). Al-majmuk al-kubra.


Daripada Ibnu Abbas beliau berkata; "Telah berkata Nabi Muhammad :"Berpuasalah pada hari Asyura (10 Muharram), dan selisihilah Yahudi (jangan menyerupainya), berpuasalah sebelumnya sehari ataupun selepasnya sehari". Hadis riwayat Ahmad (1/241) Ibnu Huzaimah (2095) dan Al-Baihaqi.


Apakah hukum berpuasa Asyura sahaja?

Syeikhul Islam berkata; "Berpuasa pada hari Asyura adalah kaffarah (pengampunan) setahun dan tidak dimakruhkan mengifradkannya dengan puasa (puasa asyura sahaja). Al-Fatawa al-Kubra.


Ibnu Hajar Al-Haithami dalam Tuhfatul Muhtaj bab puasa sunat berkata; "Dan puasa Asyura tidak mengapa berpuasa pada hari itu sahaja". Selamat berpuasa, Wallahu a'lam.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...