Hari ini setelah 3 kali berulang alik ke pajabat bank a-Rajhi akhirnya saya dan Arif masing-masing berjaya membuka akaun al-Rajhi. Itupun mungkin kerana pegawai yang bertugas amat baik dan baru melancong ke Malaysia 4 bulan lalu berbulan madu selama 15 hari yang menelan kos 23 ribu Riyal Saudi. Katanya, "Orang Malaysia baik-baik dan ramah, kecuali orang cina yang suka menipu".
Saya mencuba kad ATM yang baru dan menambah nilai wang, gembira sekali. Saya cuba melihat adakah terdapat kesalahan lalu lintas pada ID kad Saudi saya melalui ATM al-Rajhi, tup-tup satu kesalahan yang bernombor dan tidak dijelaskan apakah jenis kesalahan itu! Hanya nombor kesalahan dan jumlah Sr 300 yang perlu saya bayar! Ah, hati saya terguris lagi. Semester yang lepas sudah 2 kali disaman akibat tali pinggang dan lebih had laju. Polis perisik mengejar kereta saya. Saya kira awal semester ini, saya sudah menjadi pemandu yang berkhemah dan baik. Rajin memakai tali pinggang dan cuba mematuhi undang-undang. Tapi masih terkena saman! Allahu Rabbi, terpaksalah saya membayar Sr300 sebelum jumlah amaunnya bertambah kepada Sr500. "Samada anda membayar atau anda diketuk". Tiada pilihan ketiga. Jika anda berhutang saman, anda tidak boleh mendapatkan visa keluar dari Arab Saudi dan anda tidak boleh menjual kereta yang anda miliki.
Undang-undang Sahir;
Sahir adalah kalimah arab bermaksud "orang yang berjaga", maknanya ia sentiasa mengawasi dan tidak tidur. Undang-undang ini samalah maksudnya dengan saman ekor di Malaysia. Kamera bertaburan di kota Riyadh, memerangkap pemandu-pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Masalahnya kesalahan anda tidak dinyatakan! Anda mungkin juga tidak dimaklumkan melalui sms dan surat! Kemudian dalam tempoh sebulan jika tidak dibayar, saman akan meningkat daripada 300 kepada 500, saman 500 kepada 900, dan saman 900 kepada 1500 Riyal! Inilah masalah baru yang dihadapi oleh penduduk kota Riyadh, Jeddah dan Mekah. Undang-undang sahir ini masih baru dipraktikkan di tiga negeri sahaja. Saya dimaklumkan pada bulan pertama dipraktikkan iaitu pada bulan April 2010, di kota Riyadh sahaja pihak JPJ Riyadh telah mengeluarkan saman dengan hasil sebanyak 700 Juta Riyal Saudi.
Kartun Sindiran;
Saya perhatikan sudah amat banyak kartun-kartun yang menyindir undang-undang zalim ini. Kartun hari ini yang dipaparkan oleh surat khabar al-Jazirah juga turut memaparkan seorang arab badawi berada dihadapan mesin ATM bank kemudian disebelah kanannya robot berkepala kamera memegang jumlah saman dan penukul diajukan berdekatan kepala arab tersebut.
Semalam, ketua polis JPJ cawangan Riyadh menulis komentarnya akibat aduan orang ramai terhadap undang-undang ini. Dia juga agak menyesali cara undang-undang ini diamalkan. Seolah-olah bukan bertujuan mendidik tetapi lebih kepada mendera dan menghukum. Katanya; "Wang 500 itu adalah mencukupi untuk menyara keperluan harian sekeluarga berjumlah sederhana untuk tempoh seminggu". Justeru beliau mencadangkan agar perlaksanaannya dikaji semula. Seboleh-bolehnya kerajaan memberikan diskaun 50% kepada sesiapa yang membayar saman dalam tempoh seminggu disaman. 33% selepas 2 minggu, dan 15% selepas 3 minggu, adapun selepas daripada minggu ke 4 maka tiada diskaun dan nilaian saman adalah tetap mengikut jumlah asal hingga dilunaskan. Saya kira cadangan ini amatlah bijak selain ianya meredakan kemarahan rakyat dan mendidik mereka yang kurang adab di jalan raya.
Sahir vs Saman Ekor;
Di Malaysia, saya juga menjadi mangsa saman ekor, tetapi untungnya saman itu disertakan surat dan amaran. Tetapi tiada diskaun bagimu! Pertama kali dalam sejarah saya menerima saman di akibat lebih laju di jalan Jeli Kelantan. Akibat lebih 87km dijalan 70km, maka saman datang. Untung sahaja JPJ Malaysia mengumumkan diskaun 50% sehingga 15 Disember ini. Di Malaysia juga, ruang kritikan juga agak luas berbanding Arab Saudi kerana perbezaan amalan politik Negara masing-masing. Tetapi tidak bermakna dalam semua keadaan, Malaysia lebih baik berbanding Saudi dan begitulah sebaliknya.
Penasihat-penasihat majlis raja-raja mampu memberikan pandangan dan nasihat kepada Raja untuk mengubah @ memansuhkan sesuatu. Ianya hanya bergantung kepada kebijaksanaan si penasihat. Ini adalah Arab Saudi. Di Malaysia juga mungkin boleh berubah dengan cadangan-cadangan ahli parlimen, tetapi kadangkala keputusannya adalah bergantung kepada kesepakatan majority ahli parlimen. Justeru kebanyakan ahli parlimen perlu dijinakkan berbanding dengan seorang Raja sahaja di sini. Namun Ini hanyalahh pandangan mata kasar saya sahaja, tidak lebih dari itu.
Akhirnya saya cuba menjadi seorang pemandu yang beradab ditengah-tengah kota yang sebahgian penduduknya kurang adab. Mari kita lihat beberapa kartun berkaitan undang-undang sahir ini.
Jika anda memandu kereta di Malaysia sila rujuk saman anda di laman ini;
0 comments:
Catat Ulasan