The Star 3hb Disember 2010, Najib memaklumkan bahawa pilihan raya ke 13 nanti merupakan pilihan raya yang amat getir buat BN. Sungguhpun ada petanda baik untuk BN tetapi ini tidak boleh diambil mudah. Ini akan menentukan kedudukan dan kelangsungan BN dan UMNO sebagai sebuah parti ulung memerintah negara ini. Pesanan ini tidak seharusnya diambil mudah oleh ahli UMNO khususnya kepimpinan UMNO yang dipertanggungjawab untuk memastikan perjuangan BN/UMNO terus unggul. Mereka harus sedia melihat semua kemungkinan dan dalam pertembungan hebat hari ini, kepimpinan yang terperangkap dalam cara dan budaya lama akan tewas.
Hari ini masih ada kepimpinan UMNO yang menjadi peneraju perjuangan BN masih terperangkap dalam sistem dan budaya lama bila berhadapan dengan pembaharuan dalam corak perjuangan yang dibawa oleh pembangkang. Kita lihat cara dan pertembungan khususnya dalam isu ketuanan Melayu. Ini adalah satu perangkap yang dilontarkan oleh Pakatan Rakyat kepada BN dan UMNO. Cara kita berdepan dengan isu ini penting agar kita tidak terperangkap dengan keadaan yang ada dalam BN sendiri.
Kita harus berdepan dengan isu ini dengan lebih baik lagi dan tidak terikat dengan budaya lama serta pemikiran lama. Kita tidak seharusnya membawa perjuangan Melayu ini kepada cara Pakatan Rakyat memperjuangkan isu. Kita turun berdemonstrasi untuk menentang apa yang dibawa oleh Pakatan Rakyat khususnya kenyataan Wan Azizah Wan Ibrahim mengenai ketuanan Melayu tetapi jangan sampai mesej lain di terima oleh gabungan dalam BN dan kaum-kaum lain di negara kita ini. Kita perlu ambil langkah yang lebih berkesan selain dari turun berdemonstrasi.
Kita perlu sedar – isu kerakyatan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat turut ada sewaktu berdemo. Mereka juga berdemo untuk kenaikan harga dan isu-isu lain minyak dan air. Mereka menyentuh tepat pada rakyat. Kita lihat apa yang akan berlaku dalam senario terdekat hari ini. Mereka akan berdemo untuk mengembalikan hak air kepada rakyat , katanya. Kita pula akan berdemo sebab ketuanan Melayu dan kepincangan kerajaan Negeri Selangor. Dua keadaan yang berbeza – satu lebih spesifik dan satu lain terlampau umum dan tidak menyentuh kemasyarakatan itu sendiri. Kita lihat apa saja yang dibuat oleh Pakatan Rakyat akan mengkhususkan secara dasar kepada rakyat. Dikatakan kerajaan zalim – zalimnya pada rakyat, dikatakan penuh rasuah – rasuah itu menyukarkan rakyat dan dikatakan kerajaan kronis – kronis itu menipu rakyat. Kita perlu melihat secara terperinci perjalanan demo yang ada. Kita berdemo – kita mempertahankan apa? Jika kita berdemo semata-mata mempertahankan Melayu maka kaum lain akan terasa tanpa kita memperteguh keyakinan kaum lain kepada kita. Kita terikat dan kita sentiasa menjadi beg untuk terus di tumbuk.
Kepimpinan UMNO khususnya perlu bijak. Perlu menggunakan semua bentuk strategi. Kita perlu ada bermacam-macam-macam cara untuk mempertahankan dan membuat serangan ke atas pembangkang. Kita harus inovatif dan tidak tertakluk kepada satu cara sahaja. Kita tidak boleh ikut cara lama. Kita mengikuti dan menuruti mereka sedang mereka sudah jauh ke hadapan. Kita mempunyai kekuatan dan infrastruktur yang baik tetapi kita tidak tahu menggunakan sepenuhnya. Ini umpama kita mempunyai meriam tetapi tidak menentu dalam menghalakan meriam tersebut. Kita seakan tersasar jauh.
0 comments:
Catat Ulasan