RSS Feeds

Selasa, 10 Mei 2011

Pembentukan Negara Islam Dalam Konteks Geo-Politik Masa Kini



Oleh: Dr Muhammad Nur Manuty

Mukadimah

Politik adalah subjek yang paling banyak diperdebatkan. Kertas ringkas ini adalah bermaksud bagi menghuraikan pemikiran-pemikiran para ilmuan salaf mengenai system pemerintahan/kenegaraan Islam. Selanjutnya, pemakalah akan menyorot beberapa dimensi penting di dalam wacana-wacana mengenai idea pembentukan negara Islam di negara-negara Islam kontemporer. Apakah pola-pola pemikiran dalam kalangan para ilmuan Muslim semasa? Apakah pendirian yang wajar diambil dalam konteks geo-politik semasa demi kelastarian hidup masyarakat Islam terutama dalam konteks keberadaan kita di dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia dan Singapura.

Sejarah Pertumbuhan Pemikiran Politik Islam Dari kacamata sejarah Islam, sejak kewafatan Junjungan Muhammad s.a.w dan terjadinya peristiwa Thaqif Bani Sa’idah hingga sekarang, umat Islam masih terus menerus berhadapaan dengan rentetan pelbagai isu politik yang gawat. Dalam era al-Khulafa al-Rashidun yang empat itu, keadaan masih terkawal. Walaubagaimanapun, situasi politik mulai tergugat dalam zaman pemerintahan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan (r.a). Adalah jelas dalam zamannya, perpecahan umat mulai terjadi sehingga dapat dikatakan bahawa konflik politiklah yang paling banyak menumpahkan darah umat Islam di sepanjang sejarah.

Sistem khilafah yang telah menunjukkan keunggulan prinsip-prinsip Islam telah tidak bertahan lama. Sistem khilafah telah digantikan dengan sistem beraja (al-mulukiyyah) yang telah menjadikan tampuk kekuasaan politik sebagai monopoli keluarga-keluarga tertentu. Jelaslah bahawa kemuuculan sistem pemerintahan beraja telah menyimpang dari tradisi khilafah yang ideal. Meskipun pemerintahan beraja masih menggunakan gelaran-gelaran seperti khalifah dan amir al-mu’minin dalam batas-batas tertentu, kekuatan politik Islam dan perpaduan umat Islam masih berada pada tahap yang memuaskan hati semua pihak yang cinta kepada kedaulatan Islam sebagai agama pilihan Allah (swt). Hal ini terbukti dengan munculnya gerakan mendaulatkan semula sistem “Khilafah” (Khalifat Movement) setelah dihapuskan oleh Mustafa Kamal Attaturk di Turki pada tahun 1920’an.

Memang Islam tidak boleh dipisah dari agama. Islam adalah al-din yang sempurna, meliputi seluruh aspek kehidupan. Itulah sebabnya dalam sejarah peradaban Islam, beberapa ilmuan Muslim ternama telah menghasilkan karya-karya agong yang membicarakan persoalan Islam dan pemerintahan (governance). Sebagai contoh, Imam ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi (w.450 H) telah menulis sebuah kitab yang amat bernilai iaitu kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (The Laws of Islamic Governance). Lain-lain tokoh ilmuan Muslim adalah seperti Ibn Khaldun yang terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Muqaddimah, Selain itu, Badr al-Din ibn Jama’ah telah menghasilkan sebuah buku yang berjudul Tadbir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam. Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah telah menerbitkan sebuah karya yang bernama Al-Turuq Al-Hukmiyyah fi al-Siayasah al-Syar’iyyah. Selanjutnya, karya Ibn Taimiyyah yang berjudul Al-Siyasat al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’iyy wa al-Ra’iyyah telah membuktikan adanya legitimasi sistem pemerintahan di dalam agama Islam. Dua orang tokoh ilmuan Muslim yang ternama turut menghasilkan dua karya penting iaitu Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang telah menghasilkan karya yang bernama Nasihat al-Muluk dan Abu al-Ma’ali al-Juwaini dengan tulisannya yang bertajuk Ghiayath al-Umami fi al-Tiyathi al-Zulami. Sementara Ibn Qutaibah, karya pentingnya mengenai pemerintahan dikenali dengan judul Al-Imamah wa Al-Siyasah.

Secara ringkas, topik-topik perbahasan utama di dalam karya-karya tersebut adalah berkisar mengenai aspek-aspek berikut: (a) peri pentinganya menegakkan prinsip keadilan (al ‘adl) oleh pemerintah mengikut perintah al-Qur’an dan al-Sunnah; b) kepentingan mewujudkan kepemimpinan (al-imam) yang adil, beramanah, telus dan bertanggungjawab; c) menegakkan syari’at Islam yang serba komprehensif; d) pelaksanaan prinsip syura bagi menjamin adanya ruang kebabsan bersuara anta kepimpinan dengan rakyat secara timbale balik; e) Pembelaan warga yang lemah (al-mustad’afin); f) kedudukan masyarakat bukan Islam (zimmi dan kafir harbi; g) kedudukan hukum peperangan dan perdamaian; h) hubungan antara bangsa; i) pelaksanaan sistem percukaian dan lain-lain lagi aspek dalam kehidupan manusia.

Antara topik-topik yang penting itu para ilmuan Muslim salaf telah menulis mengenai kepentingan mengkateegorikan status apa yang diistilahkan sebagai Dar al-Islam, Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd.


Dar al-Islam (Wilayah Islam)

Terdapat beberapa takrif mengenai Dar al-Islam. Sebahagian ‘ulama Hanafi, misalnya, mentakrifkan Dar al-Islam itu sebagai “negara yang berlaku di dalamnya hukum-hukum Islam”. (Al-Kasani, Bada’I As-Sanai’, 1982, ms.130). Sementara‘Ulama Maliki pula, dalam satu huraian, mereka menjelaskan Dar al-Islam ialah “negara yang didirikan di dalamnya syi’ar-syi’ar Islam atau kebanyakan darinya”. (Al-Dusuqi, Hasyiah al-Dusuqi, ms.188). Dalam konteks yang lain, ‘ulama dalam mazhab Shaf’iii menegaskan bahawa takrif Dar al-Islam itu bermaksud: “setiap tempat yang penduduknya dapat menegakkan diri dari golongan harbi”. (Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 1884, ms. 82). Ibn al-Qayyim – salah seorang pendukung utama fiqh Hambali menyatakan bahawa Negara Islam itu ialah “negara yang didiami oleh orang-orang Islam dan berlakunya di dalamnya hukum-hukum Islam”. (Ibn al-Qayyim, Ahkam Ahlu al-Zimmah, 1983, ms.266).

Pokoknya, pendapat umum dalam kalangan para ilmuan fiqh salaf cenderung untuk menyatakan bahawa yang dikatakan Dar al-Islam itu adalah negara yang diperintah dan dilaksanakan undang-undang Islam. Asas utama penamaan Dar al-Islam adalah dikeranakan adanya kekuasaan bagi orang-orang Islam yang memerintah dan berlakunya pelaksanaan syari’at Islam. Selain itu, dar al-Islam juga dirujuk sebagai sebuah negara yang juga dinamakan Dar al-‘Adl (Negara Adil) dari segi pelaksanaan hukum-hukum Islam untuk warga Muslim dan bukan Muslim. (Muhammad Husin Muhasinah, 1991, ms. 161). Pokoknya, seperti huraian Al-Sarkahasi, syarat kesahihah status sebagai Dar al-Islam ialah adanya ketenteraman hidup dalam masyarakat Muslim dan tidak ditekan oleh pelbagai pihak (orang-orang bukan Islam) kerana amalan agama mereka.


Dar al-Harb (Wilayah Musuh)

Para ilmuan fiqh nampaknya tidak sependapat mengenai pengertian Dar Al-Harb. Rata-rata dalam kalangan ilmuan fiqh Syafi’, Hanbali, Maliki, Zahiri dan dua orang pendukung utama Imam Abu Hanafi menyatakan bahawa apabila syari’at tidak dilaksanakan di dalam Dar al-Kufr/Dar al-Harb. Sebaliknya, pada ketika itu undang-undang bukan Islam (kufr) dilaksanakan secara mutlak. (Ibn Hazm, al-Muhalla, ms.200). Sementara mazhab kedua pula adalah datangnya dari Imam Abu Hanifah. Katanya Dar al-Islam tidak boleh menjadi Dar al-Kufr semata-mata kerana adanya dominasi undang-undang kufr. Bagaimanapun, Dar al-Kufr/Dar al-Harb boleh berlaku dengan adanya tiga sebab utama: a) Dominasi undang-undang bukan Islam didalamnya; b) Perbatasan dar al-Islam dengan Dar al-Kufr bersambungan sehingga ia boleh mengancam keamanan warga Muslim; c) Jaminan seorang warga Muslim atas Zimmi seperti yang diperuntukkan dalam Dar al-Islam sebelumnya telah tidak wujud lagi. (al-Kasani, Sana’i, ms.131)

Para ‘ulama fiqh juga membahaskan situasi orang-orang Islam ketika mengalami kelemahan dari segi ketenteraan atau kewujudan pelbagai masalah yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam negara Islam. Akhirnya musuh mengambil kesempatan menduduki wilayah-wilayah Islam dan mereka melaksanakan undang-undang bukan Islam. Dalam hubungan ini, majoriti ilmuan fiqh dari Mazhab Hanbali, Zahiri serta dua orang ilmuan fiqh dari Mazhab Hanafi menyatakan pandangan mereka yang menyebut apabila kedaaan sedemikian berlaku, maka Dar al-Kufr terbentuk dimana undang-undang bukan Islam menjadi undang-undang rasmi. (Badi’ al-Sana’i, ms. 130).

Selanjutnya, terdapat pandangan dalam kalangan para fuqaha’ dari Mazhab Maliki dan Shafi’i yang menarik perhatian kita. Mereka berpandangan bahawa Dar al-Islam tidak boleh menjadi Dar al-Harb hanya dengan dominasi undang-undang bukan Islam atau hanya dengan penguasaan orang-orang Islam didalamnya selama warga Muslim masih berupaya mengajarkan sebahagaian dari syari’at Islam. (al-Dusuqi, Hasyiah, ms.188). Dalam Tuhfah Al-Muhtaj, pengarang menyatakan bahawa bagi seseorang warga Muslim yang tinggal di dalam Dar al-Harb selama ia masih dapat menegakkan Islam dengan tinggalnya di a disitu, maka keputusan dia tinggal dinegara asalnya itu adalah lebih baik dari berhijrah ke tempat lain. Keupayaannya untuk melawan musuh-musuh dengan tindakan beruzlah di dalam negara asalnya serta tidak perlu meminta lain-lain warga Muslim berhijrah keluar negara, maka hukumnya adalah wajib untuk terus tinggal disitu. Walaubagaimanapun, jika berlaku hijrah, maka negara tersebut kini bertukar menjadi Dar al-Harb”. (Tuhfah al-Muhtaj, ms.188).


Dar Al-‘Ahd (Wilayah Bukan Islam Yang Berdamai Dengan Bukan Islam)

Dar al-‘Ahd dapat diertikan sebagai satu lagi konsep yang telah dikembangkan oleh fuqaha’ zaman Islam apabila terjadinya perdamaian antara negara Islam dengan negara bukan Islam.


Kewajiban Menegakkan Negara Islam

Antara ilmuan Muslim semasa yang telah mempertahankan kewajipan menegakkan negara islam di dunia Islam pada masa kini ialah Syakh Yusuf al-Qaradawi. Dalam karyanya yang berjudul Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, al-Qaradawi telah berhujah bahawa idea penubuhan negara Islam bukan merupakan ciptaan pemimpin-pemimpin dalam gerakan Islam semasa. Sebaliknya, al-Qaradawi menegaskan gerakan membina sebuah negara Islam seperti di Mesir adalah bersandarkan kepada nas-nas qat’iyy di dalam al-Qur’an serta Sunnah Junjungan Muhammad s.a.s.

Mislanya, al-Qaradawi telah menggunakan ayat 58 dan 59 sebagai dalil legitimasi hukum menegakkan negara Islam. Ayat tersebut menghendaki para penguasa menghayati sepenuhnya prinsip amanah dan adil. Tanpa adanya keadilan dan amanah, umat boleh ditimpa petaka dan bencana dari Allah s.w.t. Dalam ayat tersebut juga, Allah s.w.t meminta warga mukmin untuk menunjukkan ta’at setia kepada ulul amri dengan syarat ulul amri tersebut taat dengan Allah s.w.t serta RasulNya. Seandainya berlaku konflik politik sesama umat Islam, maka rujukannya adalah Allah s.w.t. Selain itu, terdapat hadis sahih yang berbunyi: “Sesiapa yang mati tanpa meletakkan ba’iah pada lehernya, kematian tersebut adalah satu kematian jahiliyyah”.

Selanjutnya, al-Qaradawi menyatakan terdapat pelbagai implikasi aqidah keatas orang-orang Islam yang tidak mahu menerima hakikat kewajipan menegakkan negara Islam serta taat dengan kepimpinan yang tidak taat setia kepada Allah s.w.t. bagi menegakkan hukum-hukum Islam. Justeru, al-Qaradawi menjelaskan betapa perlunya usaha untuk menghidupkan semula sebuah kehidupan yang Islami dengan pemerintah Muslim melaksanakan kewajipannya. Jadi, tugas menegakkan negara Islam, bukan merupakan satu usaha peribadi, tetapi ia memerlukan bantuan dari semua orang-orang mukmin dengan berada di dalam satu jama’h. (Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah al-Islamiyyah, ms. 15).

Selain itu, al-Qaradawi juga memperkuatkan hujahnya dengan menyebut beberapa dalil di dalam sejarah Islam. Beliau menyatakan bahawa Junjungan Muhammad s.a.w. telah berusaha menegakkan negara Islam di kota Madinah dengan panduan wahyu Ilahi. Junjungan Muhamamd s.a.w bukan sahaja telah berfungsi sebagai seorang Nabi dan Rasul, tetapi juga telah menjadi ketua Negara Islam di madinah al-Munawwarah. Justeru, hukum menetap di dalam Negara Islam adalah wajib kerana statusnya pada waktu itu adalah sebagai sebuah Dar al-Islam. Iman tidak sempurna tanpa berhijrah didalamnya. Umat Islam hendaklah keluar dari negara kafir serta melakukan hijrah ke Negara Islam Madinah. Al-Qaradawi telah menggunakan ayat 72 al-Anfal dan 89 al-Nisa’ untuk menjustifikasikan kesahihan dari segi hukum Islam menerima reality adanya sebuah negara Islam. (Yusuf al-Qaradawi, ms. 16-17).

Profesor Abdul Razak al-Sanhuri, seorang tokoh perundangan yang terkenal di Mesir turut mempertahankan idea keperluan pembentukan Negara Islam. Al-Sanhuri telah menolak dakwaan Syakh ‘Ali Abdul Razik, seorang ilmuan dari Universiti al-Azhar, Mesir yang menyatakan dalam pandangan kontroversinya seperti yang tercatat di dalam bukunya yang berjudul Al-Islam wa Usul al-Hukm bahawa Junjungan Muhammad s.a.w adalah seorang Nabi dan Rasul semata, bukan seorang Ketua Negara di Madinah. Katanya, Islam adalah agama yang dikenali sebagai al-din wa al-dawlah. Junjungan Muhammad s.a.w. tidak menjadi utusan Allah s.w.t untuk tujuan agama semata, tetapi Baginda juga ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk membina sistem pemerintahan. Oleh kerana sifatnya sebagai ketua, maka beliau telah mendapat wilayah dimana rakyat sama ada Muslim dan bukan Muslim hendaklah berada di bawah perintahnya. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan mengikut agama Islam. Justeru, kita sewajarnya memahami dengan baik tentang perbedaan Islam sebagai al-din dan Islam sebagai al-dawlah. (Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa al-Siyasah, 2005, ms. 95).



Sejarah Gerakan Penubuhan Negara Islam Moden

Dengan berakhirnya sistem khilafah pada tahun 1922, Shaikh Rashid Rida, seorang reformis Muslim terkenal berasal dari Syria telah menulis sebuah karya yang berjudul Al-Khilafat Al-‘Uzma, karya ini bertujuan untuk menegaskan keperluan umat Islam membangun sistem pemerintahan Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah ketika umat dikejutkan dengan pemansukhan system khilafah oleh Mustafa Kamal Attarurk. Shaikh Rashid adalah ilmuan prtama pada zaman moden yang telah mengungkapkan perkataan al-daulah al-Islamiyyah sebagai satu istilah siyasah Islam pada zaman moden.

Selanjutnya, Imam Hassan al-Banna dari Mesir telah mempopularkan istilah al-dawlah islamiyyah dalam perjuangan Islamnya menerusi gerakan Al-Ikhwan al-Muslimun di Mesir dan kemudian merebak ke seluruh dunia Arab. Di benua kecil Indo-Pak, Mawlana Abul ‘Ala al-Maududi telah menjadi begitu dogmatik ketika berjuang membentuk negara Islam (the Islamic State) di Pakistan. Beliaulah ideolog utama negara Islam yang banyak menulis tentang teori-teori negara Islam ketika memimpin Jama’ati Islami Pakistan yan didaftarkan sebagai sebuah parti politik Islam.

Di Indonesia, Bapak Mohammad Natsir telah mengasaskan parti Masyumi dengan tujuan Negara Islam dapat dibentuk di negara yang majority penduduknya beragama Islam. Di Malaysia, Pari Islam SeMalaysia (PAS) telah ditubuhkan pada tahun 1953. Dr.Burhanuddin al-Helmy, antara, pengasas utamanya telah menggagaskan idea pembentukan negara Islam. Di Sudan, Dr.Hassan Turabi adalah ideolog utama yang telah mengasaskan pembinaan negara Islam di Negara tersebut. Sementara di Tunisia, gerakan penubuhan negara Islam dipimpin oleh Syaikh Rashid al-Ghanoushi dimana Harakah al-Nahdah telah berperanan penting sejak di Tunisia sejak dekad 80’an hingga kehari ini.

Selain itu, Professor Nikmatten Arbakan dari Turki telah menubuhkan parti Keadilan (Adalat) dalam tahun-tahun 70’an untuk membina negara Islam di Turki. Dalam dekad 90’an, Tayyip Erdogan, dahulunya adalah pengikut setia Professor Erbakan, telah menubuhkan AKP – sebuah parti yang berorientasi Islam. Demikianlah secara ringkas sejarah pertumbuhan gerakan negara Islam di beberapa buah negara Islam.


Kritikan Terhadap Idea Negara Islam

Hampir tidak ada muwafakat pendapat dalam kalangan pakar-pakar politik Muslim kontemporer tentang isi kandungan yang dapat mencirikan identiti sebuah negara Islam moden. Justeru, terdapat pelbagai ragam bentuk negara Islam di dunia saat ini. Dalam hubungan ini, Syaikh Rashid Rida, seorang ilmuan yang dianggap paling bertanggungjawab membuat rumusan penting tentang apa yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam iaitu kedaulatan syari’at sebagai sumber hokum yang tertinggi. Dalam pemikirannya, syari’ah memerlukan kekuasaan (power) bagi melaksanakan syari’at sepenuhnya. Jadi, adalah sukar untuk melaksanakan syari’at Islam tanpa adanya Negara Islam. Justeru, penerapan hukum Islam merupakan satu-satunya kriteria utama yang sangat menentukan untuk membedakan antara negara islam dengan negara bukan Islam. (Rasyid Rida. Al-Khilafah al-‘Uzma; ms. 20).

Selanjutnya, kesempurnaan sebuah negara Islam hanya boleh berlaku apabila terdapat lima ciri-ciri seperti berikut:

Pertama, adanya pemimpin yang adil;

Kedua, ketaatan yang mutlak kepada Allah s.w.t. Kerajaan dan kekuasaan adalah milik mutlak Allah s.w.t. dengan hukum-hukum Allah s.w.t dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Ketiga: proses syura yang wajar dilaksanakan dalam setiap proses pembuatan undang-undang.

Keempat, wujud keseterataan dan kesamaaan antara semua warga negara. Walaubagaimanapun, Muhammad Abdul rauf tidak menolak terhadap beberapa pandangan yang menyebut bahawa negara Islam moden tidak banyak berbeda dengan konsep negara Islam sperti mengamalkan prinsip keadilan, ketelusan, pertanggungjawaban, mewujudkan pelbagai program yang bersifat kebajikan (welfarisme) dan sebagainya. Cuma yang membedakan negara Islam itu dengan negara sekular Barat ialah dari segi kemutlakan kuasa Tuhan dan kedaulatan mutlak syari’at. (Muhammad ‘Abdul Rauf, Concepts of Islamic State, ms. 29).

Antara kritikan keras terhadap pemikiran Negara Islam, antaranya, al-Maududi, ialah kerana kegagalan al-Maududi untuk mendamaikan antara teori-teori klasik dengan konsep moden. Meskipun al-Maududi memberi ruang kepada rakyat sebagai golongan yang mempunyai legitimasi suara di dalam sebuah negara Islam, tetapi ianya ternafi apabila al-Maududi semacam membenarkan khalifah menjadi seorang diktator di dalam pemerintahnnya.. Keyakinannya negara boleh bertindak menegakkan amar ma’ruf dan menghapuskan kemungkaran, menurut Abdel Wahab el-Efendi adalah satu penafian terhadap hak individu. Justeru, dia mendakwa jika hal yang sedemikian berlaku, maka negara Islam pada hakikatnya adalah sebuah negara totalitarian. (Abdel Wahab El-Affendi, ms. 53).

Dalam konteks pengkategorian Dar al-Islam, Dar al-Kufr, Dar al-Harb, dan Dar al-‘Ahd, para ilmuan Muslim semasa bersetuju dengan pandangan-pandangan ijtihad siyasi semasa yang menyatakan skema pengkategorian diatas sukar untuk dilaksanakan dalam konteks geo-politik dunia masa kini. Pada hakikatnya, wilayah-wilayah Islam yang telah wujud pada zaman dahulu kini telah bertukar tangan. Dalam masa ratusan tahun, penjajah Barat telah menjajah wilayah-wilayah Islam. Proses pembaratan sekularisasi telah berlaku. Dampaknya adalah parah dari segi politik, ekonomi, budaya, agama, ketenteraaan, media dan sebagainya. Dalam hubungan ini, Dr.’Abdul Karim Zaidan dan Yusuf al-‘Azam, dua orang penulis dan pemikir Islam yang terkenal di Timur Tengah telah menyatakan bahawa menegekalkan status negara-negara Islam yang telah dijajah sebagai Dar al- Islam masih tetap sah dan relevan dengan realiti dunia Islam masa kini. Disamping itu, hubungan kita dengan negara-negara bukan Islam juga telah bertambah rencam dan ruwet. Kita tidak boleh menghadkan kewujudan dua kategori – Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd.

Apa yang jelas konflik politik yang sentiasa tegang pada tahap internasional bukan lagi berlaku antara negara-negara Islam dengan bukan Islam. Sesungguhnya perubahan-perubahan realiti politik dunia telah menjadikan skema pengkategorian silam itu tidak lagi relevan semutlaknya. (Siddiq Fadil. 1995, ms. 9-10).

Tariq Ramadan secara tegas mengkritik pandangan yang mendakwa bahawa Dar al-Islam, Dar al-Harb adalah dua konsep yang wujud di dalam al-Qur’an serta al-Sunnah. Kedua-duanya bukanlah merupakan dua prinsip utama di dalam Islam yang risalahnya lebih dikenali untuk seluruh wara dunia (lil ‘alamin) tanpa mengira batasan masa dan tempat. Yang jelas, kedua-kedua konsep tersebut adalah merupakan usaha manusia dalam satu masa yang tertentu untuk memberi satu gambaran tentang situasi dunia pada waktu itu. Dengan lain perkataan, pengkategorian tersebut tidak mempunyai apa-apa makna ketuhanan. (Tariq Ramadan, To be European Muslim, 2002, ms. 123).

Apa yang jelas, pengkategorian Dar al-Islam dan Dar al-Kufr hanya menyulitkan usaha memudahkan masyarakat manusia memahami Islam dengan lebih mudah, selesa dan tidak menimbulkan rasa takut. Adalah jelas konsep-konsep seumpama itu hanya dilakukan oleh para fuqaha’ lebih kurang 500 tahun selepas peninggalan Junjungan Muhammad s.a.s.

Selanjutnya, Tariq Ramadan berhujah lagi bahawa para fuqaha pada zaman silam membuat pengkategorian tersebut kerana dua sebab penting: a) Menentukan prinsip-prinsip hubungan keantarabangsaan yang perlu diambil ketika wilayah-wilayah Islam telah menjadi luas, besar ketika berhadapan dengan empayar-empayar bukan Islam; b) para fuqaha’ ingin membedakan prinsip-prinsip perundangan Islam yang perlu dilaksanakan oleh warga Muslim yang tinggal di dalam negara-negara Islam dengan orang-orang Islam yang bergerak sebagai pedagang di dalam negara-negara bukan Islam. (Tariq Ramadan, 2002, ms. 127).

Konsep Dar al-‘Ahd tidak lagi relevan untuk dikekalkan pada masa kini. Dalam hubungan ini, Faisal Mawlawi, seorang ilmuan Muslim dari Lebanon, berhujah bahawa negara-negara Islam pada hari in yang telah menjadi anggota PBB (UN), secara logiknya dari segi perundangan antara bangsa, telah menerima idea untuk hidup secara aman damai dengan semua negara-negara anggota PBB seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan PBB. Dunia Islam sebagai anggota PBB pada hakikatnya telah bersetuju menerima kontrak PBB. Justeru, perjanjian tersebut dari sudut perundangan Islam hendaklah dihormati kerana secara langsung atau tidak langsung telah berlaku kontrak antara negara Islam dan bukan Islam. Faisal Mawlawi memberi dua ayat sebgai justifikasi terhadap pandangannya. Sai’d Hawwa, pengarang Al-Tafsir al-Asasi, seorang ilmuan terkenal dan tokoh gerakan Islam dari Syria turut membuktikan sirah Junjungan Muhammad s.a.w. yang menghantar surat-surat kepada raja-raja di luar kota Makkah dan Madinah dengan menurunkan cap mohor kerasulan Muhammad s.a.w sebagai tanda menghormati peraturan diplomasi konvensional pada zamannya. (Muhammad Hanif Hassan, Clarifying the Concept of Dar al-Islam & Dar Al-Harb, Jun 2004, ms. 4-6).


Kepentingan Memahami Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Masyarakat Minoriti Muslim

Dalam konteks masyarakat minoriti Muslim, kefahaman yang tepat terhadap sebuah konsep penting di dalam tradisi keilmuan fiqh Islami iaitu al-siyasah al-syari’iyyah adalah menjadi satu keutamaan pada hari ini. Dengan memahami keluasan skop yang terdapat di dalam al-siyasah al-syari’yyah banyak perkara yang mengusutkan pemikiran umat Islam boleh diselesaikan. Dalam hubungan ini, Syaikh Abdul Wahhab Khallaf, seorang ilmuan dari Universiti Al-Azhar, Mesir menyatakan bahawa konsep siasah syari’yyah adalah merupakan “…satu ruang, kelonggaran atau kuasa budi bicara yang diberikan kepada para penguasa untuk mengambil sesuatu tindakan atau pendirian atas dasar maslahah walaupun tidak ada yang khusus tentangnya, asalkan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama Islam.” (Abdul Wahhab Khallaf, al-Siayasatu al-Syar’iyyah, Beirut, 1984, ms. 6).

Justeru, semua kalangan yang terlibat secara langsung dengan perjuangan mendaulatkan Islam sebagai al-din yang sempurna, sewajarnya dapat mendalami konsep-konsep asas di dalam fiqh klasik dengan idea-idea serta ijtihad baru sehingga dapat menggabungkan antara apa yang dinamakan al-asalah (warisan) dan al-mu’asarah (kontemporari). Inilah yang dinamakan juga fiqh al-waqi’, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-awlawiyyat. Dalam konteks pembentukan Negara Islam, masyarakat minoriti Muslim seharusnya mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama untuk melestarikan kehidupan masyarakat Islam seperti di Singapura dari segi pendidikan, sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya. Adalah jelas, di dalam negara-negara Islam, gerakan membentuk negara Islam moden masih belum berjaya. Di Malaysia sendiri, dalam Pilihan Raya ke 12 baru-baru ini, buat pertama kalinya PAS telah menggunakan tema membina Negara Berkebajikan sebagai gantian kepada slogan menegakkan Negara Islam apabila pimpinannya bersetuju untuk bergerak bersama dengah PKR dan DAP. Nyata sekali, pendirian PAS adalah satu ijitihad siyasah yang berani dan progresif dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.


Rumusan

Adalah jelas bahawa Islam adalah sebuah agama yang dinamik. Kecenderungan mutakhir para ilmuan Islam dan para pemimpin gerakan Islam Islam yang telah berjuang menegakkan negara Islam di beberapa buah negara Islam untuk menjadi lebih waqi’dalam menghadapi perubahan pesat geo-politik dunia dengan menggunakan prinsip siasah syar’aiyyah adalah merupakan satu tindakan yang bertepatan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Banyak manfaat yang dapat diterima oleh umat apabila idealisme dapat diimbangkan dengan realisme. Antara kewajipan utama kita ialah untuk mendidik umat supaya tidak menjadi ekstrim dengan ideologi Negara Islam tanpa menguasai doktrin Islam dengan mendalam dan tepat – berpandukan manhaj ‘ulama salaf dan khalaf serta lain-lain tokoh ilmuan hatta dari kalangan bukan Islam. Wallahu’alam bi al-sawwab.

http://al-fikrah.net/index.php?name=News&file=article&sid=1041

Jumaat, 6 Mei 2011

Lidah, Jiran & Tetamu


عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: (( مَنْ كانَ یُؤْمِنُ
بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ،
وَمَنْ كانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ )) رواه البخاري ومسلم
.

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya".
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim).


Pengajaran Daripada hadis:

Hadis ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu. Seorang yang benar-benar beriman akan menjaga lidahnya daripada berbicara perkara haram kerana dia akan dipersoalkan di hari kiamat nanti. Dia lebih senang diam daripada berkata buruk seperti mengumpat, mengeji, mencaci, memaki hamun dan mencarut. Seorang yang benar-benar beriman akan menghormati jiran tetangga dan tetamunya, menyempurnakan hak mereka dan tidak menyakiti mereka. Jiran tetangga adalah suatu golongan yang mendapat perhatian besar dalam lslam. Hormat-menghormati, tolong-menolong dan hidup berjiran yang muafakat adalah asas keamanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

Rabu, 4 Mei 2011

Aku Minat Kepada Dia

Tulisan al-Muhtaram Hafiz Firdaus ini menarik minat saya untuk membacanya. Anda tidak akan rugi meluangkan sedikit masa supaya faham apakah hadaf tertinggi kepada rasa minat dan cinta pada setiap insan itu? Jangan sia-siakan kemulian yang Allah anugerahkan kepada anda khasnya kita sebagai seorang muslim. Selamat membaca..

Apabila anda telah menemui calon pasangan hidup yang dirasakan sesuai, agaknya apakah cara yang ditunjukkan oleh Islam untuk melamarnya? Sebelum ini kita telah mengetahui dengan budaya orang Barat melalui filem-filem mereka, bahawa pihak lelaki akan turun berdiri di atas sebelah lututnya menghadap calon wanitanya, membuka bekas yang tersimpan kemas sebuah cincin berlian lalu melamar: “Will you marry me?” Calon wanita akan menjawab: “Yes I do!” Kemudian mereka akan berpelukan dan berciuman tanda kegembiaraan.
marryme.jpg

Tentu saja para pembaca yang budiman sekalian tidak akan melamar dengan cara di atas sebab pelukan dan ciuman adalah haram di antara lelaki dan wanita selagi mana mereka belum bernikah. Lalu apakah cara yang ditunjukkan oleh Islam? Insya-Allah melalui artikel ini saya akan berkongsi cara-cara, dimulakan dengan cara lelaki melamar calon isterinya.

M

Lelaki Melamar Calon Isteri.

Cara pertama lagi yang terbaik ialah lelaki melamar melalui wali – yakni ayah – calon isterinya. Lelaki akan menemui wali secara berhadapan (face to face) lalu meminta izin dan keredhaan beliau untuk menjadikan anak perempuannya sebagai isteri. Cara ini ditunjukkan oleh Rasulullah apabila baginda ingin menikahi A’isyah binti Abu Bakar. Rasulullah pergi menemui ayahnya – Abu Bakar as-Shiddiq – lalu menyatakan hajatnya untuk menikahi puteri beliau – A’isyah. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 4691.

Cara kedua, lelaki menggunakan orang tengah untuk melamar terus kepada calon isterinya. Cara kedua ini sesuai jika wanita tersebut sudah dewasa atau janda berbanding cara pertama yang sesuai untuk wanita muda atau masih dara. Cara kedua ini ditunjukkan oleh Rasulullah apabila baginda ingin menikahi Umm Salamah. Baginda mengutuskan Hathib bin Abi Balta’ah untuk melamar Umm Salamah yang ketika itu baru kematian suaminya. [Shahih Muslim, no: 1525]

M

Wanita Melamar Calon Suami.

Islam membolehkan wanita mengorak langkah pertama untuk melamar calon suami yang dirasakan sesuai. Wanita Islam tidak semestinya duduk dan tunggu lelaki datang melamarnya, bagaikan menunggu jodoh datang bergolek kepadanya.

Cara pertama lagi terbaik ialah memintakan wali – yakni ayah – untuk melamar calon suaminya. Cara ini pernah ditunjuk oleh al-Qur’an, ketika seorang ayah berkata kepada Nabi Musa: “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini.” [al-Qashash 28:27] Ayat di atas menunjukkan bagaimana seorang wali melamarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki. Oleh itu jika seorang wanita itu ingin melamar calon suaminya, dia boleh – malah patut – meminta agar walinya melamar calon suami tersebut.

Cara kedua ialah meminta orang tengah untuk melamar calon suami. Ini merujuk kepada tindakan Rasulullah yang menggunakan Hathib bin Abi Balta’ah untuk melamat Umm Salamah. Penggunaan orang tengah bukan sahaja bagi lelaki melamar calon isteri tetapi boleh juga bagi wanita melamar calon suami.

Apabila memilih orang tengah, pilihlah orang yang berpengalaman dalam hal ehwal rumahtangga, pandai memberi nasihat, mengenali calon yang bakal dilamar dan amanah menjaga rahsia. Ciri-ciri ini membolehkan orang tengah tersebut menilai sama ada lamaran yang dicadangkan itu sesuai atau tidak dan apa-apa perkara-perkara tambahan yang perlu diperhatikan oleh kedua-dua bakal suami-isteri. Jangan memilih orang tengah yang sebarangan, dibimbangi mudarat melebih manfaat dalam proses lamaran tersebut.

Cara ketiga ialah wanita melamar terus calon suaminya. Sahl bin Sa’ad menerangkan bahawa seorang wanita pernah datang menawarkan dirinya menjadi isteri Rasulullah. Rasulullah tidak menerima lamaran tersebut, namun tidak menegur atau menasihati sikap wanita tersebut yang dengan berani melamar terus kepada baginda. [Shahih Muslim, no: 2554]

Mungkin ada yang berpendapat seorang wanita patut memiliki sikap malu untuk melamar terus calon suaminya. Pendapat ini perlu dibetulkan bahawa seseorang itu tidak sepatutnya malu-malu melakukan apa yang halal lagi dibolehkan oleh agama. Sikap malu hanyalah terhadap apa yang dilarang dan ditegah oleh agama. Berkenaan sikap malu ini, Anas bin Malik menerangkan:

“Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah lalu menawarkan dirinya kepada baginda (untuk dijadikan isteri).” Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah anda berhasrat padaku?” Anak perempuan Anas (yang turut hadir saat itu) berkata: “Alangkah sedikitnya rasa malu dia.” Anas berkata: “Wanita itu lebih baik berbanding kamu sebab dia suka kepada Nabi sehingga dia menawarkan dirinya kepada baginda.” [Shahih al-Bukhari, no: 4726]

Oleh itu seorang wanita boleh melamar terus kepada calon suaminya jika dia yakin tindakannya itu akan tetap menjaga maruahnya dan lamaran tersebut akan diberi pertimbangan serius oleh calon lelaki tersebut. Sebaliknya jika lamaran secara terus akan menjadikan wanita itu sebagai subjek gossip dan lawak jenaka, maka lebih baik beralih ke cara pertama dan kedua yang diterangkan di atas.

M

Konflik Ibubapa.

Agak kerap kita mendengar dua insan yang ingin berkahwin menghadapi rintangan ibubapa. Ibu atau bapa dari salah satu atau kedua-dua pihak tidak setuju dengan calon pilihan anak mereka. Mengapakah ini berlaku? Salah satu sebab utama ialah anak-anak membuat keputusan memilih calon dan melamarnya menjadi pasangan hidup tanpa pengetahuan, perbincangan dan keredhaan ibubapa terlebih dahulu. Ibubapa hanya dibawa masuk setelah semua pilihan, lamaran dan keputusan dibuat.

Sikap seperti ini oleh anak-anak – sekali pun mereka sudah dewasa – menyebabkan ibubapa merasakan diri mereka tidak dihormati apatah lagi dipedulikan. Maka ini sedikit sebanyak menyumbang kepada keberatan mereka untuk menerima calon pilihan anak mereka sebagai bakal menantu.

Atas dasar inilah Islam sejak awal mengajar anak-anak peranan wali dalam lamaran. Sekali pun anak-anak boleh melamar secara terus, ia lebih tertumpu kepada kes anak yang sudah berpengalaman dalam hidup seperti duda dan janda. Ada pun bagi kebanyakan orang muda, maka melamar melalui wali calon pasangan adalah cara yang terbaik lagi memudahkan segala urusan selepas itu.

http://hafizfirdaus.com/content/view/516/1/


Isnin, 2 Mei 2011

Isu Sumpah Eskay Satu Kekeliruan

Oleh: Dr Maza


Beberapa media cetak hari ini melaporkan kenyataan saya secara tidak lengkap atau susunan yang kelihatan berat sebelah. Maka saya dengan ini ingin menegaskan beberapa perkara berikut;

1. Perbuatan 'Dato T' bersumpah dalam masjid untuk mendedahkan aib individu yang bukan jenayah ke atas pihak lain, adalah perbuatan yang salah dan dilarang oleh agama. Beberapa orang yang barangkali ada hubungan dengan Dato' T ini telah bertanya pendapat saya dan saya telah membantah hasrat mereka.

2. Jika sumpah dijadikan cara pembuktian kesucian diri, adalah Dato-Dato itu sanggup bersumpah laknat mereka tidak pernah melakukan dosa besar? Sanggupkah salah seorang mereka itu bersumpah bahawa dia tidak bersalah dalam kes yang pernah ditohmahkan kepadanya? Sanggupkah pemimpin-pemimpin yang ada bersumpah mereka tidak pernah terlibat dengan rasuah? Jika ini dijadikan amalan, amat buruk kesannya.

3. Sumpah tidak perlu dibuat dalam masjid, atau menjunjung al-Quran atau depan Kaabah seperti yang disangka. Ungkapan wallahi, wa billahi, wa tallahi boleh diucapkan di mana sahaja tempat yang diharuskan menyebut nama Allah.

4. Oleh kerana Dato T telah bersumpah -walaupun itu tidak sepatutnya- maka demi membersihkan sangkaan masyarakat yang hidup di zaman yang penuh fitnah ini, dalam negara yang sistem mahkamahnya tidak 100% islamik, maka apa salahnya DSAI bersumpah dalam ceramahnya atau di mana-mana ucapannya bagi menghilangkan sangkaan buruk sesetengah pihak terhadapnya. Jika tidak salah, tidak apa yang perlu digusarkan.

5. Anggapan bahawa sumpah hanyalah dalam mahkamah adalah tidak tepat. Kita boleh bersumpah menafikan sesuatu yang dituduh kepada kita, walaupun luar mahkamah. Sumpah di mahkamah ada babnya, sumpah luar mahkamah ada babnya.

6. Jika Dato T berbohong, mereka memang layak didoakan agar ditimpakan hukuman Allah kerana telah menimbulkan kekecohan dalam negara.

7. Mana-mana individu dan parti politik yang terlibat di belakang isu ini amat jijik dan wajar ditolak oleh rakyat.

Ahad, 1 Mei 2011

Tahniah Kepada Us Shamsul - Isu Sumpah Laknat


Rasa shahdu bila melihat seorang hamba Allah mengambil kesempatan memberanikan diri untuk memberikan nasihat kepada TRIO yang ingin melakukan upacara bersumpah.


Kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.


Semoga kita semua dilindungi oleh Allah dari segala bentuk kemurkaan Allah kerana kerakusan golongan manusia yang terus berdegil melanggar perintah Allah.
Surah Al-Munafiqun Ayat 1 hingga 4
[1] Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.


[2] Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.


[3] (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah).


[4] Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?


KUALA LUMPUR: Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz mengingatkan trio Datuk T supaya mengingati azab Allah, sebelum salah seorang daripadanya, Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat. Shamsul adalah pendakwah bebas yang dimaksudkan pihak media, ketika hadir memberi ‘khutbah’ kepada Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim di Masjid Amru Ibnu Al As, Sentul petang tadi. Kehadirannya pada mulanya disangka Pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Beliau kemudiannya mengambil tempat dan duduk di hadapan ketiga individu berkenaan sebelum Eskay bersedia mengangkat sumpah. Shamsul ketika dihubungi Keadilandaily.com berkata, beliau berbuat demikian supaya Eskay memikirkan semula tindakannya yang boleh memakan diri berikutan sumpah laknat tersebut. Selain menasihati ketiga mereka, Shamsul turut memberikan sebuah buku berkaitan hukum qazaf kepada indivitu terbabit. “Saya ada menghulurkan buku itu kepada Eskay dan memberikan nasihat berbunyi ‘jangan ambil kira habuan dunia kerana azab Allah lebih pedih’. “Apabila melakukan pembohongan akan ada implikasi terutamanya apabila pembohongan itu yang ingin dijadikan sebagai sumpah laknat,” katanya. Tambahnya, beliau juga menyedari bahawa Eskay membaca sumpah berkenaan mengikut skrip yang ditulis pada sehelai kertas selepas enggan menerima nasihatnya. “‘Skrip’ yang disiapkan kepada Eskay itu tidak dapat mengelakkan beliau di dalam jenayah qazaf,” katanya yang percaya skrip itu disediakan pihak tertentu. Sebelum ini Shamsul memberitahu bahawa sumpah membuktikan pertuduhan zina cuma dilakukan oleh pasangan suami isteri, seperti digariskan dalam perundangan Islam. Sumpah tersebut dipanggil sebagai sumpah Li’an yang dinyatakan dalam Al Quran dalam Surah An Nur. “Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,” ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...