Oleh: Dr Maza
Beberapa media cetak hari ini melaporkan kenyataan saya secara tidak lengkap atau susunan yang kelihatan berat sebelah. Maka saya dengan ini ingin menegaskan beberapa perkara berikut;
1. Perbuatan 'Dato T' bersumpah dalam masjid untuk mendedahkan aib individu yang bukan jenayah ke atas pihak lain, adalah perbuatan yang salah dan dilarang oleh agama. Beberapa orang yang barangkali ada hubungan dengan Dato' T ini telah bertanya pendapat saya dan saya telah membantah hasrat mereka.
2. Jika sumpah dijadikan cara pembuktian kesucian diri, adalah Dato-Dato itu sanggup bersumpah laknat mereka tidak pernah melakukan dosa besar? Sanggupkah salah seorang mereka itu bersumpah bahawa dia tidak bersalah dalam kes yang pernah ditohmahkan kepadanya? Sanggupkah pemimpin-pemimpin yang ada bersumpah mereka tidak pernah terlibat dengan rasuah? Jika ini dijadikan amalan, amat buruk kesannya.
3. Sumpah tidak perlu dibuat dalam masjid, atau menjunjung al-Quran atau depan Kaabah seperti yang disangka. Ungkapan wallahi, wa billahi, wa tallahi boleh diucapkan di mana sahaja tempat yang diharuskan menyebut nama Allah.
4. Oleh kerana Dato T telah bersumpah -walaupun itu tidak sepatutnya- maka demi membersihkan sangkaan masyarakat yang hidup di zaman yang penuh fitnah ini, dalam negara yang sistem mahkamahnya tidak 100% islamik, maka apa salahnya DSAI bersumpah dalam ceramahnya atau di mana-mana ucapannya bagi menghilangkan sangkaan buruk sesetengah pihak terhadapnya. Jika tidak salah, tidak apa yang perlu digusarkan.
5. Anggapan bahawa sumpah hanyalah dalam mahkamah adalah tidak tepat. Kita boleh bersumpah menafikan sesuatu yang dituduh kepada kita, walaupun luar mahkamah. Sumpah di mahkamah ada babnya, sumpah luar mahkamah ada babnya.
6. Jika Dato T berbohong, mereka memang layak didoakan agar ditimpakan hukuman Allah kerana telah menimbulkan kekecohan dalam negara.
7. Mana-mana individu dan parti politik yang terlibat di belakang isu ini amat jijik dan wajar ditolak oleh rakyat.
0 comments:
Catat Ulasan