RSS Feeds

Ahad, 15 Mei 2011

Mengenali Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah


( ألا إن اولياء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون )

Beliau terkenal sebagai Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, imam Hujjah, al-Muffassir, al-Faqih, al-Hafiz, mujtahid mutlaq, pejuang sunnah, penentang bidaah, imam dunia pada zamannya. Beliau dilahirkan pada hari isnin 10\03\ 661 Hijrah di Harran. Di gelar sebagai Taqiuddin, kuniahnya Abul Abbas namanya Ahmad bin Syihabuddin[1].


Beliau berkulit putih, memiliki rambut dan janggut yang hitam, seolah-olah kedua matanya lidah yang bercakap, berbahu luas(bidang), suaranya lantang, seorang yang fasih, cepat pembacaannya, genius, berani, lemah lembut, dan pemaaf.. beliau telah menghafaz al-Quran ketika kecil. Beliau hidup dalam keluarga ulama’, ayahnya merupakan mufti yang Alim, mengikuti bapanya berhijrah dari Harran ke Damsyiq ketika berumur 7 tahun disebabkan kezaliman Tatar. Beliau berguru lebih dari 200 orang Syeikh, bermula dari umur 7 tahun. Semua gurunya adalah ulama’ Damsyiq dan majoritinya adalah bermazhab Hambali. Beliau berjaya mendalami ilmu Tafsir, Hadis, Fiqh&Usul, Tarikh, bahasa arab, Mantiq, Adyan, Mazahib dan sebagainya. Beliau memberi fatwa ketika berumur 17 tahun. Menjadi guru Darul Hadis as-Sukariah ketika berumur 21 tahun. Antara yang hadir menjadi murid beliau ialah : Qodhi al-Qudhot Bahauddin bin Zaki as-Syafie, Tajudin al-Fazari Syaikh as-Syafieyyah, Syaikh Zainuddin bin Almunajja al-Hambali dan ramai lagi[2]. Beliau mula mengadakan kuliah Tafsir di Jami’ Umawi Dimasyq ketika berumur 23 tahun. Beliau telah menyebarkan ilmu di Dimasyq, Mesir (kaherah&iskandariah) dan sepanjang hidup di penjara. Mula mengarang ketika berumur 17 tahun.


Antara anak murid Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang tersohor[3]:

1-Imam as-Sofadi as-Syafie’ wafat tahun 764H.

2-Imam az-Zahabi as-Syafie’ wafat tahun 748H.

3-Imam Ibnu Kathir as-Syafie wafat tahun 774H.

4-Imam Ibn Abdul Hadi al-Hambali wafat tahun 744H.

5-Imam íbnu Rajab al-Hambali wafat tahun 779H.

6-Imam ibnu Qayyim al-Jauziah al-Hambali wafat tahun 751H.

7-Imam al-Mizzi wafat tahun 749 H

Antara karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah [4]:

1-Tafsir al-Quran dari ayat yang pelbagai.

2-Kitab "al-Iman" 1 jilid.

3-Kitab "Darú Ta’rud al-Aqli Wan an-Naqli" 4 jilid.

4-"Minhaj as-Sunnah an-Nabawiah" 4 jilid.

5-"al-Jawab Soheh Li Man Baddala Dinal Masih" 2 jilid.

6-"al-Futya Hamawiah" 60helai ditulis antara Zohor dan Asar.

7-"Aqidah Wasatiah" 30helai.

8-"as-Sorimul Maslul Ala Syatimi ar-Rasul".

9-"Iqtidho Sirothol Mustaqim".

10-"Syarah al-Umdah" 4 jilid.

11-"kitab al-Wasilah" 1 jilid.

12-"ar-Rad Alal Bakri" 1 jilid.

13-"ar-Rad alal mantiq" 1 jilid.

14-"Usul Tafsir".

15-"al-Furqan Bainal Haqi Wal Butlan" 60 helai.

16-"Risalah li ahlil Iraq".

17-"Risalah al-Arays".


Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah telah hidup dipenjara selama 34 tahun bermula dari tarikh 693 Hijrah sehingga beliau wafat rahimahullah. Beliau dipenjarakan sebanyak 7 kali dengan sebab-sebab yang tertentu. Sebanyak 4 kali dipenjara Mesir (kaherah&iskandariah) sementara 3 kali di penjara Damsyiq. Berikut adalah butiran ringkas pemenjaraan beliau, sebab-sebab dipenjarakan dan kesan dari pemenjaraannya:


Penjara pertama:

Tahun 693 hijrah di Damsyiq dalam tempoh yang singkat. Di sebabkan protes beliau dan syeikh Zainudin al-Fariqi yang membantah tindakan seorang kristian yang mencaci dan menghina Nabi dihadapan sekumpulan muslimin. Kesan dari kes ini beliau telah mengarang kitab “as-Sorimul Maslul ala Sytimi al-Rasul”.


Penjara kedua:

Pada hari Jumaat 26 ramadhan 705 sehingga 23-03-707 Hijrah di Kaherah. Beliau dipenjarakan disebabkan masalah Arays, Kalam Allah dan sifat Nuzul Allah. Sila lihat kisah ini dengan panjang lebar dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah.


Penjara ketiga:

Dalam tempoh beberapa hari sahaja bemula pada 3-10-707 Hijrah. Hal demikian disebabkan oleh permusuhan orang-orang sufi di Kaherah kerana tentangan Ibnu Taimiyah dalam isu bermohon dan bertawassul dengan makhluk serta kata-kata beliau terhadap Ibnu Arabi. Lantaran itu diadakan majlis dan dikalangan yang hadir berselisih pendapat samada Ibnu Taimiyah di pihak yang benar atau salah. Antara yang hadir dalam majlis dan menyalahkan Ibnu Taimiyah ialah Qadi al-Badr bin Jamaáh. Ketika itu Ibnu Taimiyah diberi 3 pilihan; kembali ke Damsyiq, terus menetap di Iskandariah dengan syarat-syarat tertentu atau penjara. Maka beliau memilih penjara walaupun teman-teman beliau merayu supaya beliau keluar bersama mereka ke Damsyiq. Di sebabkan kejadian tersebut beliau mengarang kitab “ar-Raddu Alal Bakri”.


Penjara keempat:

Bermula akhir bulan Syawal 707 H sehingga awal tahun 708 Hijrah di penjara Mesir. Pada kali ini, Nasir al-Manbaji al-Hululi telah memainkan peranannya sebagai orang yang rapat dengan gabenor agar Syeikhul Islam dibicarakan semula selepas pembebasan bersyarat beliau dari penjara yang ketiga dan dalam perjalanan pulang ke Dimasyq. Ketikamana dibicarakan dihadapan qodhi-qadhi Malikiah maka mereka saling berselisih pendapat untuk menghukum Ibnu Taimiyah, lantas Ibnu Taimiyah berkata: "aku memilih penjara dan akan mengikuti apa-apa maslahat pada pandangan anda". Maka ramailah manusia yang menziarahi beliau duduk bertanya, belajar dan meminta fatwa. Ketika dalam penjara inilah berlaku kisah menarik antara beliau dan 3 orang paderi seperti yang dikisahkan oleh al-Ghiani anak murid Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.


Penjara yang kelima:

Di Iskandariah pada 01-03-709 Hijriah sehingga 08\10\709 Hijriah. Ini adalah tipu helah Nasir al-Manbaji dan juga al-Jasyankir untuk memerangkap Ibnu Taimiyah. Setelah beberapa hari di penjarakan, maka datanglah syeikh-syeikh dari Tadamurah dan mereka berkata kepada beliau: “Semua tipu helah ini adalah untuk tuan mempersetujui apa-apa yang mereka lakukan, atau untuk memulaukan tuan, ataupun memenjarakan tuan!”. Maka ibnu Taimiyah lantas menjawab dengan kata-katanya yang masyhur: “Jika mereka membunuh aku, maka itu adalah syahid untuk aku, jika mereka memulaukan aku maka itu adalah hijrah bagiku, sekalipun mereka membuang aku ke Qubrus maka aku akan berdakwah terhadap penduduknya lantas mereka akan menerima aku. Jika mereka memenjarakan aku maka aku dapat beribadah”. Maka berterusanlah Ibnu Taimiyah didalam penjara selama beberapa bulan sehiggalah Malik an-Nasir Mohd bin Qolawun menguasai pemerintahan tahun 709H lantas membebaskan Syaikh dan menjemputnya datang ke Kaherah. al-Jasyankir dibunuh manakala al-Manbaji mati tidak lama selepas al-jasyankir dibunuh. Tatkala Malik an-Nasir mahu menghukum qadhi-qadhi dan Fuqaha yang menyokong al-Jasyinkir maka Malik an-Nasir meminta pendapat Syeikhul Islam, lantas Ibnu Taimiyah segera memuji para qadhi dan Fuqaha tersebut serta berpendapat jika mereka itu mati maka tidak ada pengganti mereka dalam kerajaan. “Adapun secara peribadi aku telahpun memafkan mereka semua.” Berkata qadhi ibnu Makhluf al-Maliki: “Kami tidak melihat orang yang paling bertaqwa dari ibnu Taimiyah, kami tidak tinggalkan ruang apabila dapat menyakiti beliau akan tetapi tatkala mana beliau mampu dan berkuasa keatas kami lantas memaafkan kami.” Allah Akbar! Lihatlah kesan dari tarbiah Sunnah Nabawiah terhadap peribadi ulama Sunnah! Maka tinggallah Ibnu Taimiyah di bumi Mesir selama 7 tahun sementara umat memuliakan beliau dan menghormatinya. Sepanjang pemukiman beliau di Mesir, tersebarlah ilmu secara meluas serta karangan-karangan beliau juga muncul seperti yang disebutkan oleh ibnu Rajab dalam terjemahan beliau. Antara karangan Syeikhul Islam sepanjang tempoh di Mesir; (Minhaj as-Sunnah an-Nabawiah), (al-Iman), (al-Istiqamah), (Talbis a-Jahmiah) dan (al-Fatawa al-Misriah), semoga Allah merahmati Syeikhul Islam.


Penjara keenam:

Di penjara damsyiq selama 5 bulan 28 hari bermula 12-7-721 H sehingga 10-01-721 H disebabkan kes bersumpah dalam Talak.


Penjara ketujuh:

Di penjara damsyiq selama 2 tahun 3 bulan 14 hari bermula pada 06-08-726 H hingga beliau wafat pada malam isnin 20-11-728 H. Beliau dipenjarakan disebabkan masalah “ziarah”. Natijah dari itu keluarlah karangan beliau (ar-Radd Ala al-Ikhnaie’). Sepanjang beliau didalam penjara, beliau dikurniakan Allah keluasan ilmu dan kefahaman, beribadah kepada Allah Taála yang tidak terbayang oleh akal pemikiran kita, terbit dari hasil karangan beliau kitab, risalah dan fatawa yang amat menakjubkan sedangkan pada akhir hayatnya beliau tidak dibenarkan memiliki pen dan kertas. Mudah-mudahan Allah menyucikan roh beliau dan menjadikannya bersama para Nabi, Syuhada’ serta Solehen. Amin. Ibnu Katihir berkata: “..dan yang paling banyak menimpa Syeikhul Islam ialah hal keadaan beliau dipenjarakan. Dalam keadaan itupun beliau tidak henti-henti dari membuat kajian ilmiah samada di Mesir ataupun Syam. Sedangkan beliau dipenjarakan bukan atas alasan yang mencemarkan peribadi beliau akan tetapi dikurung dan di penjara dengan sebab kedudukan beliau. Makhluk-makluk itu akan kembali kepada Allah dan Allah akan menghisab mereka.[5]


Beberapa kisah menarik tentang Syeikhul Islam:

1)Sifat Berani, Faqih dan Firasah yang tepat;

Pada 4 haribulan Ramadhan ketika Syeikhul Islam berucap dikhalayak memberi semangat untuk para tentera yang bersama beliau untuk melawan Tatar beliau berkata: "aku bersumpah dengan nama Allah tiada tuhan yang berhak melainkan Allah bahawa kita semua pada kali ini akan menang dan mengalahkan mereka!" Lalu para Umara’ berkata kepada beliau: "sebutlah Insyaallah!" Maka beliau menyebut: “Insyaallah Tahqiqan(realiti) La Ta’liqan( bukan fantasi)". Datang sultan dan bertanya kepada beliau adakah dia (sultan) perlu turut sama bersama tentera untuk melawan Tatar? Maka beliau menjawab: ‘Sunnah yang diajar oleh Nabi ialah seorang lelaki itu berdiri teguh bersama bendera perang kaumnya’.


Beliau juga memberi fatwa supaya para tentera tidak berpuasa pada hari tersebut supaya mereka menjadi kuat dalam medan peperangan dan itu lebih afdhal dari mereka yang berpuasa. Hadirin yang mendengar merasa ragu-ragu untuk berbuka maka Syeikhul Islam mengambil makanan lantas memakannya di hadapan tentera dan Amir. Para tentera akhirnya berbuka dan meninggalkan puasa mereka. Syeikhul Islam menggunakan dalil dari hadis Nabi yang di riwayatkan oleh Imam Muslim dari Abi Said Nabi berkata :

(إنكم ملاقوا العدو غدا والفطر أقوى لكم) yang bermaksud: “Sesunguhnya kamu semua akan bertemu dengan musuh pada esok hari dan berbuka (tidak puasa) lebih kuat untuk kamu”


Natijah dari semua kisah ini selepas izin Allah Taa’la, orang islam menang dalam peperangan menentang kekejaman Tatar[6]. Kesan dari faedah fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimyyah. Berkata Ibn Daqiq al-I’dd: “ Aku sangka tidak akan ada orang yang seperti engkau selepas ini”.


2)Amal Ma’ruf Nahi Munkar;

Satu masa pada bulan Rajab didatangkan seorang lelaki dihadapan Syeikhul Islam. Lelaki tersebut al-Mujahid Ibrahim al-Qatton memakai kalung yang amat besar, mempunyai rambut dan kuku yang amat panjang, tidak terurus. Misainya juga panjang melebihi dan menutupi mulutnya, yang mana ianya menyalahi sunnah Nabi. Maka Syeikhul Islam memerintahkan agar kalung tersebut dipotong dan dikerat-kerat, rambutnya dicukur dan dibotakkan, kukunya dikerat dan misainya di nipiskan. Maka berkerumunlah manusia untuk melaksanakan perintahnya. Al-Mujahid juga diarah supaya bertaubat dari kata-kata yang kotor dan keji. Juga di tuntut agar bertaubat daripada memakan makanan yang di haramkan Syara’ yang akan mengubah tabiat akal dan peribadi[7].


3)Menghapuskan unsur-unsur Syirik;

Telah sampai kepada pengetahuan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah bahawa ramai manusia yang beri’tiqad dengan perkara-perkara yang khurafat dan syirik di (العمود المخلق) yang terletak didalam (الباب الصغير). Maka Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berazam untuk keluar menghancurkan ‘Amud Mukhollak’ tersebut setelah beristikharah kepada Allah Taala. Saudara kandung beliau Syaikh al-Imam al-Qudwah Abdullah bin Taimiyah menceritakan dengan katanya; "maka kami keluar untuk memecahkannya, apabila ramai orang yang mengetahui hal ini maka ramailah yang kumpul untuk keluar bersama kami.


Tatkala kami menuju ke tempat tersebut, maka tersebarkan di kawasan tersebut kata-kata yang pelbagai. Sebahagian mereka mengatakan:”pasti selepas ini tidak akan turun hujan dan pokok-pokok tidak akan berbuah.” Sebahagian yang lain berkata; “selepas ini pasti Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ditimpa kebinasaan.” Dan berbagai-bagai lagi kata-kata yang sebegitu rupa. Berkata Syeikh Syarafuddin; ‘Belumpun kami sampai ke tempat tersebut telah ramai yang bersama-sama kami yang menarik diri dan berpatah balik kerana khuatirkan sesuatu yang buruk akan menimpa mereka. Bilamana kami sampai, maka kami perintahkan tukang batu untuk memecahkan berhala tersebut tetapi tiada seorangpun yang berani tampil kehadapan. Lantas aku ( Syeikh Syarafuddin) dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah mengambil pemukul batu dari tangan mereka dan kami pecahkan berhala tersebut sambil kami membaca ayat:

(جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا) al-isra’ ayat 81. dan kami katakan lagi; ‘Jika sesuatu menimpa seseorang maka kami adalah penjaminnya’. Maka ramailah orang yang ikut serta bersama kami turut serta memukul batu tersebut sehingga habis berkecai, dan kami dapati dibelakangnya 2 berhala kecil dari batu berbentuk manusia tingginya sekitar satu jengkal setengah. Syeikh Syarafuddin berkata; telah berkata Imam an-Nawawi;

(اللهم أقم لدينك رجلا يكسر العمد المخلق ويخرب القبر الذي في جيرون)


“Wahai tuhan, engkau tegakkanlah agama engkau dengan mendatangkan seorang lelaki yang akan memecahkankan ‘amud mukhollak’ dan menghancurkan kubur yang berada di jirun”. Ini adalah antara karamat[8] Syaikh Mahyuddin Imam an-Nawawi. Alhamdulillah kami telah menghancurkannya dan kami tidak ditimpa apa-apa musibahpun kecuali kebaikan[9].


4)Kisah Syeikhul Islam bersama 3 Paderi Kristian;

Ketika berada di penjara Tarsim Iskandariah, Syeikhul Islam telah mengambil peluang ini berdebat dengan mereka bertiga dan menegakkan hujjah bahawa mereka berada dalam kekufuran. Menyatakan bahawa agama yang mereka anuti bukanlah agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim mahupun Isa Alaihimassalam. Lalu mereka menjawab; “Kami beramal sepertimana kamu semua orang islam beramal, kamu semua mengatakan sesuatu tentang (Syaidah Nafisah) dan kami mengatakan tentang Syaidah Maryam, dan kita semua telah sepakat bahawa Nabi Isa dan Maryam lebih afdhal berbanding al-Hussin dan Syaidah Nafisah. Kalian semua memohon pertolongan dan doa dari para solehin yang sebelum kamu begitu juga kami.


Maka Syeikhul Islam menjawab: “Sesungguhnya orang yang melakukan perkara tersebut memang hampir menyerupai kalian, dan ini bukan juga agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim! Akan tetapi agama Nabi Ibrahim yang sebenarnya ialah, kami tidak meyembah tuhan kecuali Allah yang Esa, DIA tidak ada sekutu, tiada teman, tiada anak. Kami tidak menyekutukan bersama-samanya Malaikat, matahari, bulan, dan tidak juga bintang. Kami tidak menyekutukan Allah bersama-sama dengan para Nabi dan Solehin. (hanyasanya semua yang ada di langit dan bumi tidak lain, akan datang kepada Allah sebagai hamba)[10]. Demi sesungguhnya perkara yang tidak mampu ditunaikan kecuali oleh Allah Taála maka ianya tidak dipohon kepada selain Allah seperti meminta hujan, menumbuhkan tumbuhan, meminta petunjuk dari kesesatan, memohon keampunan dan lain-lainnya. Sesungguhnya tiada seorangpun makhluk yang mampu untuk menunaikan apa yang tersebut kecuali Allah! Adapun para Nabi, kami beriman dengan mereka dan memuliakn mereka, mentaati mereka, membenarkan mereka dalam semua apa yang dibawa. Sepertimana kata-kata Nabi Nuh, Soleh, Hud dan Syuaib : (Hendaklah kamu semua menyembah Allah, bertaqwa kepadanya dan mentaati)[11], Lantas mereka menjadikan Ibadah dan Taqwa untuk Allah semata-mata. Wajib mentaati mereka (para nabi), sesungguhnya mentaati mereka adalah sebahagian dari mentaati Allah. Jika seseorang manusia tidak beriman dengan salah seorang dari para Nabi dan beriman dengan semuanya maka tidak bermanfaat imannya sehinggalah dia beriman dengan Nabi tersebut. Demikian juga jika seseorang itu beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah Taala tetapi tidak beriman dengan satu kitab maka dia kafir sehinggalah dia beriman dengan kitab yang satu itu. Demikian juga kaedah beriman dengan Malaikat dan hari Akhirat.

Maka setelah mereka mendengar hujah-hujah tersebut lalu mereka berkata: "Agama yang tuan sebut lebih baik dari agama yang kami anuti dan agama yang mereka pegang". Kemudian mereka meninggalkan Syeikhul Islam.[12]


5)Kewafatan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.

Setelah beliau berada di penjara Dimasyq pada tahun 726 H atas sebab fatwa beliau yang melarang Syaddurrihal (galak bermusafir) ke kubur para anbiya’dan solehen, maka Syeikhul Islam meluangkan kebanyakkan masanya dengan beribadah kepada Allah, membaca al-Quran dan mengarang kitab. Beliau juga menjawab syubahat-syubahat mereka yang menentang kebenaran sehinggalah akhirnya dilarang dari memiliki pen,kertas dan kitab. Kesemuanya dirampas dan dikeluarkan dari penjara beliau. berterusanlah beberapa bulan hal tersebut, sehingga syaikul islam ditimpa sakit yang menyebabkan kematian. Ramai manusia tidak mengetahui tentang sakit yang menimpa Syeikhul Islam selama 20 hari sebelum kematiannya. Apabila sampai berita kematian beliau, berduyun-duyunlah manusia yang datang menziarahi jenazahnya dipenjara. Pada pagi itu tidak ada satu kedaipun yang dibuka. Masing-masing bersedih dan menangisi pemergian Syeikhul Islam yang amat dikasihi. Berkata Ibnu Kathir: “aku antara yang hadir di sana bersama Syeikh kami al-Hafiz Abil Hajjaj al-Mizzi, aku buka dan lihat wajah beliau dan kucium. Dikepalanya ada serban, dan adik beliau Zainuddin Abdurrahman telah memberitahu orang yang hadir bahawa dia dan Syaikul Islam selama memasuki penjara telah mengkhatamkan bacaan al-Quran sebanyak 80 kali, ketika kami membaca untuk kali yang ke 81 dan sampai surah Qamar ayat 55&56

(إن المتقين في جنت ونهر في مقعد صدق عند مليك مقتدر)


Maka Syeikhul Islam menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kematiannya pada waktu sahur malam Isnin 20 Zulqaedah 728 H. Jenazah beliau dimandikan oleh ulama-ulama soleh yang masyhur antaranya Syaikh al-Mizzi[13]. Mereka yang menghadiri jenazah Syaikul Islam seramai 200,000 orang lebih[14]. Ini terbukti apabila kesesakan yang amat sangat memenuhi seluruh jalanan dan pintu-pintu utama bandar Dimasyq. Jenazah Syaikul Islam disembahyangkan sebanyak 3 kali. Kali pertama dipenjara, kemudian di masjid Jami’ Umawi dan yang terakhir di (Suq al-Khail) ketika manusia bertambah sesak disolati oleh saudara kandungnya Syaikh Zainuddin. Beliau di kebumikan di (Perkuburan Sufiah) sebelum masuk waktu Asar bersebelahan dengan kubur saudara kandungnya al-Imam Syarafuddin[15].

Dikatakan, kopiah yang dulu digunakan oleh Syeikhul Islam dibeli dengan harga 500 Dirham. Kain yang diletakkan ditengkuknya dibayar sebanyak 150 Dirham. Ramai orang yang bermimpi bertemu Syeikhul Islam dan semua mimpi-mimpi yang baik. Tidak kurang juga yang mencipta qasidah dan Syair yang panjang ditujukan untuk Syeikhul Islam Ibnu taimiyah[16]. Mudah-mudahan beliau ditempatkan di Syurga Firdaus, amin.

Berkata Ibnu Kathir: “Secara ringkasnya hari tersebut adalah saksi yang belum pernah berlaku di Dimasyq, kecuali mungkin pada zaman Bani Umayyah ketika umat manusia terlalu ramai jumlahnya…aku tidak mengetahui bahawa di sana terdapat ulama yang tidak menghadiri jenazah beliau kecuali 3 orang yang memang terkenal dimusuhi oleh umat manusia, kerana takutkan keselamatan mereka terancam maka mereka tidak keluar kerana ia boleh menyebabkan mereka dibunuh oleh orang ramai. mereka bertiga ialah; Ibnu Jumlah, as-Sodr dan al-Qahfazi.”


“Sesungguhnya Syeikhul Islam adalah antara ulama besar yang kadang-kadang tersilap dan betul, akan tetapi kesilapan beliau berbanding kebenarannya umpama setitik air di lautan yang luas. Sementara kesilapannya juga diampunkan Allah Taala sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari Nabi bersabda yang bermaksud; “Jika seseorang hakim berijtihad dan benar Ijtihadnya maka baginya 2 pahala, jika dia berijtihad dan salah maka baginya satu pahala.” Berkata Imam Malik; “setiap orang boleh diambil kata-katanya atau di tolak kecuali tuan kubur ini(Nabi Muhammad)”[17].


6)Pujian para ulama yang sezaman dengan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah;[18]

-Syeikh al-Hafiz Abul Hajjaj berkata: ‘aku tidak melihat orang yang seperti beliau, aku juga tidak melihat seseorang yang lebih mengetahui tentang al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah kemudian sangat mentaati kedua-dua tersebut (al-Quran dan Sunnah) kecuali Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah.’


-Berkata al-Allamah Kamaluddin bin al-Zamlakani; "jika beliau (Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah) ditanya tentang satu-satu ilmu pasti orang yang melihat dan mendengar akan menyangka bahawa beliau tidak mengetahui ilmu yang lain kecuali yang tersebut, dan orang pasti akan menghukum bahawa orang lain tidak mempunyai pengetahuan seperti yang dimiliki beliau. Para fuqaha dari semua mazhab jika duduk bersama beliau pasti akan mendapat faedah dalam mazhab masing-masing dari beliau yang belum pernah mereka dengar sebelumnya. Tidak diketahui bahawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah berdebat dengan seseorang kemudian beliau memutuskan hubungannya dengan orang tersebut. Beliau juga memiliki karangan-karangan yang bagus dan amat cantik konsonannya, susunannya, pembahagiannya dan penerangannya……terkumpul pada diri Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah syarat-syarat Ijtihad sepenuhnya".


-Syeikh Imadduddin al-Wasiti berkata; "Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah adalah ketua imam, penghidup sunnah,pembenteras bidaah, mufti dalam bidang firaq[19], penghimpun antara yang zahir dan batin, salah satu contoh seperti khulafa ar-Rasyidin mudah-mudahan Allah menggangkat darjatnya. Demi Allah, demi Allah, demi Allah aku tidak melihat wujudnya dibawah lembayungan Langit manusia seperti beliau dari sudut keilmuannya, amalannya, hal peribadinya, akhlaknya, ketaatannya, sifat pemurahnya, lemah lembutnya dan dalam melaksanakan hak Allah tatkalamana larangan-larangan Allah dicerobohi".


-Berkata al-Imam az-Zahabi; "beliau adalah satu bukti kekuasaan Allah dari sudut kecerdikannya, kefahamannya yang pantas, ketua dalam mengetahui al-Quran dan sunnah dan juga khilaf. Lautan ilmu dalam manaqalkan kalam-kalam ulama. Beliau pada zamannya adalah satu-satunya orang Alim, Zuhud, berani, pemurah, menyuruh kearah yang ma’ruf, menentang kemungkaran dan terlalu banyak karangannya.’…tambah az-Zahabi lagi; "jika disebut bidang Tafsir maka beliau adalah obornya, jika disebutkan tentang Fuqaha maka beliau adalah Mujtahid Mutlaq, jika beliau datang bercakap dihadapan para penghafaz pasti mereka akan terkedu, jika beliau berdebat dengan Ibnu Sina, pasti beliau akan menewaskannya dan memalukannya, menghancurkan dalil-dalil mereka, membuka kelemahan mereka"…sehingga kata-kat az-Zahabi; "sekira-kira boleh kita katakan, bahawa setiap hadis yang tidak diketahui oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah maka ianya bukanlah hadis".


Insaf dan Bersikap adil satu kewajipan;

Selepas dari semua pembentangan ini, adalah amat tidak adil sekiranya kita terpedaya dengan syubahat-syubahat yang dilemparkan terhadap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah untuk memburukkan beliau. Adakah suatu yang adil jika kita mengambil satu tohmahan salah kemudian meninggalkan pujian dan sokongan ulama sezaman beliau serta contoh gambaran yang diberikan oleh anak-anak murid beliau yang tersohor keilmuan mereka? Kadang-kadang menusia amat suka menzalimi diri mereka sedangkan Allah berfiman yang bermaksud (janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan). Mencerca ulama yang amat banyak jasanya, bahkan sebahagian orang jahil mengkafirkan mereka, Merupakan satu kesesatan dan kegelapan. Ketahuilah bahawa itu semua adalah antara dosa-dosa besar. Sanggupkah nanti mereka itu berdiri di hadapan Allah dan menjawap tohmahan-tohmahan yang mereka lemparkan? Sedangkan yang akan berkata-kata menjawap soalan-soalan tersebut adalah tangan dan kaki mereka serta anggota-anggota yang lain. Mengapakah kita tidak menginsafi dan bersikap adil sepertimana yang disarankan Allah “berlaku adillah sesungguhnya ianya amat hampir kepada Taqwa dan bertaqwalah”- al-Maidah. "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu mereka berdoa wahai Tuhan kami ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman, ya Tuhan kami sesungguhnya engkau maha penyantun lagi maha penyayang.”-al-Hasyr ayat 10.


Beberapa kekeliruan dan penjelasan;

Terdapat di sana beberapa kesilapan fakta yang wajib dibetulkan supaya kita semua mendapat gambaran tepat dan mendapat petunjuk kebenaran dari Allah Taa’la. Antaranya apa yang tulis oleh Ibnu Battutoh dalam kitabnya[20], ketika menterjemahkan sejarah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dengan katanya; "Beliau (Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah) mengarang dalam penjara kitab Tafsir yang dinamakan (Al-Bahrul Mukhit) lebih kurang 40 jilid. Kemudian ibu beliau pergi menemui Malik an-Nasir mengadukan hal agar dibebaskan anaknya. Lantas beliau dibebaskan dengan perintah Raja, sehinggalah berlaku perkara yang sama (penjara) kali kedua, dan aku pada ketika itu berada di Dimayq menghadiri hari Jumaat dan aku dapati beliau berada di atas mimbar masjid Jami’ Umawi memberi peringatan kepada manusia. Antara jumlah Kalamnya ialah: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia sepertimana aku turun dari mimbar ini” sambil beliau turun dari tangga Mimbar satu persatu. Maka hal tersebut ditentang oleh Faqih Maliki yang dikenali sebagai Ibnu az-Zuhra yang bangun dan menolak pandangan tersebut. Akan tetapi bangunlah orang ramai yang segera memukul Ibnu az-Zuhra’ dengan tangan dan kasut mereka…."


Kisah ini adalah satu pembohongan besar terhadap Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah! Sesungguhnya ibnu Batutoh telah memasuki Dimasyq pada 09 Ramadhan 726 H dan pada ketika itu Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah telahpun berada di penjara Dimasyq sehingga beliau wafat. Bagaimanakah mungkin Ibnu Batutoh melihat beliau di atas Mimbar memberi peringatan atau tazkirah pada hari Jumaat? Ramai ulama yang menulis dan menolak penipuan ini antara mereka ialah Syeikh Muhamad bahjah al-Baithor di dalam majalah (al-Alamul Islami) jilid 7-8 mukasurat 394-399 keluaran tahun 1940. apa jua hal keadaanya ialah samada fakta ibnu batutoh itu satu penipuan ataupun satu kesilapan beliau yang tidak mengenali Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Ini memandangkan beliau seorang musafir yang baru menjejaki bumi Dimasyq.


Suatu perkara yang diketahui umum ialah tentang aqidah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah. Beliau bukan dikalangan hululiah seperti ibnu arabi[21], bahkan beliau sendiri dipenjarakan dengan sebab menolak dan mebantah pandangan Ibnu Arabi dalam masalah sifat Allah Taala. Beliau juga bukan dikalangan mujassamah (mentajsimkan Allah taala)! Beliau juga bukanlah dikalangan mereka yang mentakwilkan sifat Allah yang thabit di dalam al-Quran dan Sunnah yang Soheh. Akan tetapi beliau adalah seorang yang berpegang dengan Aqidah Salaf iaitu; mengisbatkan sifat-sifat Allah yang wujud di dalam al-Quran dan Sunnah tanpa mentakwilkan[22], tanpa menta’tilkan[23], tanpa menafikan dan tidak juga mentasybihkan[24]. Sepertimana kata-kata Imam Malik ketika ditanya dalam majlis ilmunya di Masjid Nabawi tentang bagaimanakah Allah Taala beristiwa’ (bersemayam)? Lalu Imam Malik menjawab setelah beliau diam sebentar dengan menahan marah dan peluh yang membasahi dahinya: ‘bersemayam itu sedia maklum, bagaimana Allah bersemayam itu tidak diketahui, beriman dengan sifat tersebut adalah wajib, dan bertanya tentang bagimana cara Istiwa’Allah itu adalah bidaah.’



[1] Lihat ‘Zail Tarikh al-Islam’ karangan az-Zahabi wafat748H

[2] Lihat Bidayah Wan-Nihayah pada kisah tahun 683H.

[3] Lihat ‘al-Jami’li Sirah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah khilal 7 Qurun’ Isyraf Syeikh Bakr bin Abdillah Abu Zaid cetakan Dar A"lam al-Fawaid.

[4] Sila rujuk kitab ‘Asma Muallafat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah karangan Abdullah Muhamad bin Rusyaiyiq wafat tahun 749H. Imam az-Zahabi mengatakan bahawa karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah melebihi 400 jilid.

[5] Lihat al-Bidayah Wan Nihayah Ibnu Kathir pada kisah tahun 704H

[6] Lihat al-bidayah wan nihayah ibnu kathir pada kisah tahun 702H

[7] Lihat al-bidayah wan nihayah ibnu kathir pada kisah tahun 704H

[8] Karamat ialah suatu perkara yang luar biasa dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang soleh samada dengan permintaan orang tersebut ataupun tidak.

[9] Lihat فصل فيما قام به ابن تيمية وتفردبه وذلك في تكسير الاحجار لخادم شيخ الإسلام: إبراهيم بن أحمد الغياني

[10] Surah Maryam 93

[11] Surah Nuh ayat 3

[12] Lihat kitab al-Kawakib ad-Durari, kisah ini di cerikan oleh anak murid dan khadim Syeikhul Islam; Ibrahim bin Ahmad al-Ghiani.

[13] Lihat Ibnu Kathir dalam "al-Bidayah Wan- Nihayah" dan "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.

[14] Lihat ‘Mukhtasor Tobaqat Ulama’al-Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi wafat tahun 744

[15] Lihat "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.

[16] "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744.

[17] Lihat Ibnu Kathir dalam "al-Bidayah Wan- Nihayah".

[18] Lihat "Mukhtasor Tobaqat Ulama Hadis" karangan Ibn Abdul Hadi W744. semua pujian-pujian alama ini diambil dari kitab Ibn Abdul Hadi anak murid Syeikhul Islam.

[19] Firaq ialah satu tentang perpecahan umat islam dalam pelbagai mazhab yang batil melibatkan aqidah dan pegangan umat islam seperti aqidah Jahmiah, Khowarij, Syiah, Murjiah dan sebagainya seperti yang datang dalam hadis soheh tentang perpecahan umat Muhammad kepada 73 kumpulan.

[20] Tuhfatun Nuzzor Fi Ghoroib al-Amzor Wa Ajaib Asfar @ lebih dikenali sebagai ‘Rehlah Ibnu Battutoh’ wafat tahun 779H

[21] Lahir pada tahun 560 H di Mirsiah Mahyuddin Mohd bin Ali bin Mohd terkenal sebagai Ibnu Arabi, mengarang kitab-kitab sufi, lihat al-Wafi Bilwafayat li Ibnu Ali.

[22] Takwil yang di maksudkan ialah tafsiran yang tidak berpandukan kepada nas-nas dan dalil yang kuat, atau mengubah sesuatu makna lafaz yang jelas maknanya kepada suatu makna lain yang berbeza tanpa dalil yang menyokong. Ini adalah takwilan yang dicela. Adapun takwil @tafsiran yang dipuji ialah apa-apa yang berpandukan kepada dalil-dalil daripada al-quran sunnah ataupun kata-kata sahabat. Contohnya dalam menta’wilkan maksud ayat (يا أيها الذين آمنوا إذا قمتم الى الصلاة فاغسلوا وجوهكم....) yang di maksudkan dengan (kumtum) ialah (aradtum) jika hendak mendirikan solat ini sesuai dengan perbuatan Nabi yang mana menjadikan wudhu sebagai syarat sah solat.

[23] Ta’thil bermaksud membatalkan atau meninggalkan apa-apa sifat Allah yang wujud di dalam al-quran dan juga sunnah nabi samada pembatalan itu berbentuk lafzi ataupun maknawi.

[24] Tasybih ialah; menyerupakan sesuatu sifat Allah dengan mana-mana sifat makhluk ataupun menyamakan sifat-sifat makhluk dengan sifat Allah. Seperti orang yang mengatakan bahawa sifat Nuzul (turun) Allah seperti turunnya manusia tanpa ada perbezaan. Allah maha suci dari kata-kata ini! Seperti firman Allah

(ليس كمثله شيء وهو السميع البصير) surah as-syura ayat 11 yang bermaksud; “Dia Allah itu tiada sesuatupun yang serupa denganNYA dan Dia maha mendengar lagi maha melihat.”

Khamis, 12 Mei 2011

Malu Akan Membawa Kepada Kebaikan



عَنْ أَبي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله
صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ آَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَاشِئْتَ )) رواه البخاري.


Maksud Hadis;

Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu". (Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari).


Pengajaran daripada hadis:

Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat. Sejarah membuktikan bahawa nafsu manusia tidak terbatas dan tidak pernah puas dalam semua perkara melibatkan urusan keduniaan.

Hanya dengan sifat malu, mereka mampu membendung daripada melakukan kehinaan dan membawa seseorang itu ke arah kemuliaan. Malu yang sebenarnya ialah malu yang didorong oleh perasaan lman kepada Allah. Adapun malu daripada melakukan kebaikan adalah malu yang tercela dan dilarang. Seperti seseorang itu malu menutup aurat, malu mengerjakan ketaatan kepada Allah atau malu bertanya perkara yang tidak diketahui kepada yang ahli.

Perintah supaya melakukan apa sahaja yang dikehendaki bukanlah bermaksud arahan, akan tetapi ianya adalah kekejian dan penghinaan kepada manusia-manusia yang tidak mempunyai sikap malu lantas melakukan apa sahaja sekalipun berbentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Justeru segala yang dilakukannya itu sudah pasti akan dimasukkan dalam catatan amalannya yang buruk dan akan dibalas dengan balasan setimpal diakhirat kelak.

Justeru, mereka yang punya malu sudah pasti meninggalkan segala kemaksiatan dan menghindari kemungkaran. Tidak akan meninggalkan kewajipan dan tuntutan-tuntuan syarak dalam kehidupan seharian. Wallahu A3lam.


Selasa, 10 Mei 2011

Pembentukan Negara Islam Dalam Konteks Geo-Politik Masa Kini



Oleh: Dr Muhammad Nur Manuty

Mukadimah

Politik adalah subjek yang paling banyak diperdebatkan. Kertas ringkas ini adalah bermaksud bagi menghuraikan pemikiran-pemikiran para ilmuan salaf mengenai system pemerintahan/kenegaraan Islam. Selanjutnya, pemakalah akan menyorot beberapa dimensi penting di dalam wacana-wacana mengenai idea pembentukan negara Islam di negara-negara Islam kontemporer. Apakah pola-pola pemikiran dalam kalangan para ilmuan Muslim semasa? Apakah pendirian yang wajar diambil dalam konteks geo-politik semasa demi kelastarian hidup masyarakat Islam terutama dalam konteks keberadaan kita di dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia dan Singapura.

Sejarah Pertumbuhan Pemikiran Politik Islam Dari kacamata sejarah Islam, sejak kewafatan Junjungan Muhammad s.a.w dan terjadinya peristiwa Thaqif Bani Sa’idah hingga sekarang, umat Islam masih terus menerus berhadapaan dengan rentetan pelbagai isu politik yang gawat. Dalam era al-Khulafa al-Rashidun yang empat itu, keadaan masih terkawal. Walaubagaimanapun, situasi politik mulai tergugat dalam zaman pemerintahan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan (r.a). Adalah jelas dalam zamannya, perpecahan umat mulai terjadi sehingga dapat dikatakan bahawa konflik politiklah yang paling banyak menumpahkan darah umat Islam di sepanjang sejarah.

Sistem khilafah yang telah menunjukkan keunggulan prinsip-prinsip Islam telah tidak bertahan lama. Sistem khilafah telah digantikan dengan sistem beraja (al-mulukiyyah) yang telah menjadikan tampuk kekuasaan politik sebagai monopoli keluarga-keluarga tertentu. Jelaslah bahawa kemuuculan sistem pemerintahan beraja telah menyimpang dari tradisi khilafah yang ideal. Meskipun pemerintahan beraja masih menggunakan gelaran-gelaran seperti khalifah dan amir al-mu’minin dalam batas-batas tertentu, kekuatan politik Islam dan perpaduan umat Islam masih berada pada tahap yang memuaskan hati semua pihak yang cinta kepada kedaulatan Islam sebagai agama pilihan Allah (swt). Hal ini terbukti dengan munculnya gerakan mendaulatkan semula sistem “Khilafah” (Khalifat Movement) setelah dihapuskan oleh Mustafa Kamal Attaturk di Turki pada tahun 1920’an.

Memang Islam tidak boleh dipisah dari agama. Islam adalah al-din yang sempurna, meliputi seluruh aspek kehidupan. Itulah sebabnya dalam sejarah peradaban Islam, beberapa ilmuan Muslim ternama telah menghasilkan karya-karya agong yang membicarakan persoalan Islam dan pemerintahan (governance). Sebagai contoh, Imam ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi (w.450 H) telah menulis sebuah kitab yang amat bernilai iaitu kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyyah (The Laws of Islamic Governance). Lain-lain tokoh ilmuan Muslim adalah seperti Ibn Khaldun yang terkenal dengan kitabnya yang berjudul al-Muqaddimah, Selain itu, Badr al-Din ibn Jama’ah telah menghasilkan sebuah buku yang berjudul Tadbir al-Ahkam fi Tadbir Ahl al-Islam. Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah telah menerbitkan sebuah karya yang bernama Al-Turuq Al-Hukmiyyah fi al-Siayasah al-Syar’iyyah. Selanjutnya, karya Ibn Taimiyyah yang berjudul Al-Siyasat al-Shar’iyyah fi Islahi al-Ra’iyy wa al-Ra’iyyah telah membuktikan adanya legitimasi sistem pemerintahan di dalam agama Islam. Dua orang tokoh ilmuan Muslim yang ternama turut menghasilkan dua karya penting iaitu Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang telah menghasilkan karya yang bernama Nasihat al-Muluk dan Abu al-Ma’ali al-Juwaini dengan tulisannya yang bertajuk Ghiayath al-Umami fi al-Tiyathi al-Zulami. Sementara Ibn Qutaibah, karya pentingnya mengenai pemerintahan dikenali dengan judul Al-Imamah wa Al-Siyasah.

Secara ringkas, topik-topik perbahasan utama di dalam karya-karya tersebut adalah berkisar mengenai aspek-aspek berikut: (a) peri pentinganya menegakkan prinsip keadilan (al ‘adl) oleh pemerintah mengikut perintah al-Qur’an dan al-Sunnah; b) kepentingan mewujudkan kepemimpinan (al-imam) yang adil, beramanah, telus dan bertanggungjawab; c) menegakkan syari’at Islam yang serba komprehensif; d) pelaksanaan prinsip syura bagi menjamin adanya ruang kebabsan bersuara anta kepimpinan dengan rakyat secara timbale balik; e) Pembelaan warga yang lemah (al-mustad’afin); f) kedudukan masyarakat bukan Islam (zimmi dan kafir harbi; g) kedudukan hukum peperangan dan perdamaian; h) hubungan antara bangsa; i) pelaksanaan sistem percukaian dan lain-lain lagi aspek dalam kehidupan manusia.

Antara topik-topik yang penting itu para ilmuan Muslim salaf telah menulis mengenai kepentingan mengkateegorikan status apa yang diistilahkan sebagai Dar al-Islam, Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd.


Dar al-Islam (Wilayah Islam)

Terdapat beberapa takrif mengenai Dar al-Islam. Sebahagian ‘ulama Hanafi, misalnya, mentakrifkan Dar al-Islam itu sebagai “negara yang berlaku di dalamnya hukum-hukum Islam”. (Al-Kasani, Bada’I As-Sanai’, 1982, ms.130). Sementara‘Ulama Maliki pula, dalam satu huraian, mereka menjelaskan Dar al-Islam ialah “negara yang didirikan di dalamnya syi’ar-syi’ar Islam atau kebanyakan darinya”. (Al-Dusuqi, Hasyiah al-Dusuqi, ms.188). Dalam konteks yang lain, ‘ulama dalam mazhab Shaf’iii menegaskan bahawa takrif Dar al-Islam itu bermaksud: “setiap tempat yang penduduknya dapat menegakkan diri dari golongan harbi”. (Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, 1884, ms. 82). Ibn al-Qayyim – salah seorang pendukung utama fiqh Hambali menyatakan bahawa Negara Islam itu ialah “negara yang didiami oleh orang-orang Islam dan berlakunya di dalamnya hukum-hukum Islam”. (Ibn al-Qayyim, Ahkam Ahlu al-Zimmah, 1983, ms.266).

Pokoknya, pendapat umum dalam kalangan para ilmuan fiqh salaf cenderung untuk menyatakan bahawa yang dikatakan Dar al-Islam itu adalah negara yang diperintah dan dilaksanakan undang-undang Islam. Asas utama penamaan Dar al-Islam adalah dikeranakan adanya kekuasaan bagi orang-orang Islam yang memerintah dan berlakunya pelaksanaan syari’at Islam. Selain itu, dar al-Islam juga dirujuk sebagai sebuah negara yang juga dinamakan Dar al-‘Adl (Negara Adil) dari segi pelaksanaan hukum-hukum Islam untuk warga Muslim dan bukan Muslim. (Muhammad Husin Muhasinah, 1991, ms. 161). Pokoknya, seperti huraian Al-Sarkahasi, syarat kesahihah status sebagai Dar al-Islam ialah adanya ketenteraman hidup dalam masyarakat Muslim dan tidak ditekan oleh pelbagai pihak (orang-orang bukan Islam) kerana amalan agama mereka.


Dar al-Harb (Wilayah Musuh)

Para ilmuan fiqh nampaknya tidak sependapat mengenai pengertian Dar Al-Harb. Rata-rata dalam kalangan ilmuan fiqh Syafi’, Hanbali, Maliki, Zahiri dan dua orang pendukung utama Imam Abu Hanafi menyatakan bahawa apabila syari’at tidak dilaksanakan di dalam Dar al-Kufr/Dar al-Harb. Sebaliknya, pada ketika itu undang-undang bukan Islam (kufr) dilaksanakan secara mutlak. (Ibn Hazm, al-Muhalla, ms.200). Sementara mazhab kedua pula adalah datangnya dari Imam Abu Hanifah. Katanya Dar al-Islam tidak boleh menjadi Dar al-Kufr semata-mata kerana adanya dominasi undang-undang kufr. Bagaimanapun, Dar al-Kufr/Dar al-Harb boleh berlaku dengan adanya tiga sebab utama: a) Dominasi undang-undang bukan Islam didalamnya; b) Perbatasan dar al-Islam dengan Dar al-Kufr bersambungan sehingga ia boleh mengancam keamanan warga Muslim; c) Jaminan seorang warga Muslim atas Zimmi seperti yang diperuntukkan dalam Dar al-Islam sebelumnya telah tidak wujud lagi. (al-Kasani, Sana’i, ms.131)

Para ‘ulama fiqh juga membahaskan situasi orang-orang Islam ketika mengalami kelemahan dari segi ketenteraan atau kewujudan pelbagai masalah yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam negara Islam. Akhirnya musuh mengambil kesempatan menduduki wilayah-wilayah Islam dan mereka melaksanakan undang-undang bukan Islam. Dalam hubungan ini, majoriti ilmuan fiqh dari Mazhab Hanbali, Zahiri serta dua orang ilmuan fiqh dari Mazhab Hanafi menyatakan pandangan mereka yang menyebut apabila kedaaan sedemikian berlaku, maka Dar al-Kufr terbentuk dimana undang-undang bukan Islam menjadi undang-undang rasmi. (Badi’ al-Sana’i, ms. 130).

Selanjutnya, terdapat pandangan dalam kalangan para fuqaha’ dari Mazhab Maliki dan Shafi’i yang menarik perhatian kita. Mereka berpandangan bahawa Dar al-Islam tidak boleh menjadi Dar al-Harb hanya dengan dominasi undang-undang bukan Islam atau hanya dengan penguasaan orang-orang Islam didalamnya selama warga Muslim masih berupaya mengajarkan sebahagaian dari syari’at Islam. (al-Dusuqi, Hasyiah, ms.188). Dalam Tuhfah Al-Muhtaj, pengarang menyatakan bahawa bagi seseorang warga Muslim yang tinggal di dalam Dar al-Harb selama ia masih dapat menegakkan Islam dengan tinggalnya di a disitu, maka keputusan dia tinggal dinegara asalnya itu adalah lebih baik dari berhijrah ke tempat lain. Keupayaannya untuk melawan musuh-musuh dengan tindakan beruzlah di dalam negara asalnya serta tidak perlu meminta lain-lain warga Muslim berhijrah keluar negara, maka hukumnya adalah wajib untuk terus tinggal disitu. Walaubagaimanapun, jika berlaku hijrah, maka negara tersebut kini bertukar menjadi Dar al-Harb”. (Tuhfah al-Muhtaj, ms.188).


Dar Al-‘Ahd (Wilayah Bukan Islam Yang Berdamai Dengan Bukan Islam)

Dar al-‘Ahd dapat diertikan sebagai satu lagi konsep yang telah dikembangkan oleh fuqaha’ zaman Islam apabila terjadinya perdamaian antara negara Islam dengan negara bukan Islam.


Kewajiban Menegakkan Negara Islam

Antara ilmuan Muslim semasa yang telah mempertahankan kewajipan menegakkan negara islam di dunia Islam pada masa kini ialah Syakh Yusuf al-Qaradawi. Dalam karyanya yang berjudul Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, al-Qaradawi telah berhujah bahawa idea penubuhan negara Islam bukan merupakan ciptaan pemimpin-pemimpin dalam gerakan Islam semasa. Sebaliknya, al-Qaradawi menegaskan gerakan membina sebuah negara Islam seperti di Mesir adalah bersandarkan kepada nas-nas qat’iyy di dalam al-Qur’an serta Sunnah Junjungan Muhammad s.a.s.

Mislanya, al-Qaradawi telah menggunakan ayat 58 dan 59 sebagai dalil legitimasi hukum menegakkan negara Islam. Ayat tersebut menghendaki para penguasa menghayati sepenuhnya prinsip amanah dan adil. Tanpa adanya keadilan dan amanah, umat boleh ditimpa petaka dan bencana dari Allah s.w.t. Dalam ayat tersebut juga, Allah s.w.t meminta warga mukmin untuk menunjukkan ta’at setia kepada ulul amri dengan syarat ulul amri tersebut taat dengan Allah s.w.t serta RasulNya. Seandainya berlaku konflik politik sesama umat Islam, maka rujukannya adalah Allah s.w.t. Selain itu, terdapat hadis sahih yang berbunyi: “Sesiapa yang mati tanpa meletakkan ba’iah pada lehernya, kematian tersebut adalah satu kematian jahiliyyah”.

Selanjutnya, al-Qaradawi menyatakan terdapat pelbagai implikasi aqidah keatas orang-orang Islam yang tidak mahu menerima hakikat kewajipan menegakkan negara Islam serta taat dengan kepimpinan yang tidak taat setia kepada Allah s.w.t. bagi menegakkan hukum-hukum Islam. Justeru, al-Qaradawi menjelaskan betapa perlunya usaha untuk menghidupkan semula sebuah kehidupan yang Islami dengan pemerintah Muslim melaksanakan kewajipannya. Jadi, tugas menegakkan negara Islam, bukan merupakan satu usaha peribadi, tetapi ia memerlukan bantuan dari semua orang-orang mukmin dengan berada di dalam satu jama’h. (Yusuf al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah al-Islamiyyah, ms. 15).

Selain itu, al-Qaradawi juga memperkuatkan hujahnya dengan menyebut beberapa dalil di dalam sejarah Islam. Beliau menyatakan bahawa Junjungan Muhammad s.a.w. telah berusaha menegakkan negara Islam di kota Madinah dengan panduan wahyu Ilahi. Junjungan Muhamamd s.a.w bukan sahaja telah berfungsi sebagai seorang Nabi dan Rasul, tetapi juga telah menjadi ketua Negara Islam di madinah al-Munawwarah. Justeru, hukum menetap di dalam Negara Islam adalah wajib kerana statusnya pada waktu itu adalah sebagai sebuah Dar al-Islam. Iman tidak sempurna tanpa berhijrah didalamnya. Umat Islam hendaklah keluar dari negara kafir serta melakukan hijrah ke Negara Islam Madinah. Al-Qaradawi telah menggunakan ayat 72 al-Anfal dan 89 al-Nisa’ untuk menjustifikasikan kesahihan dari segi hukum Islam menerima reality adanya sebuah negara Islam. (Yusuf al-Qaradawi, ms. 16-17).

Profesor Abdul Razak al-Sanhuri, seorang tokoh perundangan yang terkenal di Mesir turut mempertahankan idea keperluan pembentukan Negara Islam. Al-Sanhuri telah menolak dakwaan Syakh ‘Ali Abdul Razik, seorang ilmuan dari Universiti al-Azhar, Mesir yang menyatakan dalam pandangan kontroversinya seperti yang tercatat di dalam bukunya yang berjudul Al-Islam wa Usul al-Hukm bahawa Junjungan Muhammad s.a.w adalah seorang Nabi dan Rasul semata, bukan seorang Ketua Negara di Madinah. Katanya, Islam adalah agama yang dikenali sebagai al-din wa al-dawlah. Junjungan Muhammad s.a.w. tidak menjadi utusan Allah s.w.t untuk tujuan agama semata, tetapi Baginda juga ditugaskan oleh Allah s.w.t untuk membina sistem pemerintahan. Oleh kerana sifatnya sebagai ketua, maka beliau telah mendapat wilayah dimana rakyat sama ada Muslim dan bukan Muslim hendaklah berada di bawah perintahnya. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan mengikut agama Islam. Justeru, kita sewajarnya memahami dengan baik tentang perbedaan Islam sebagai al-din dan Islam sebagai al-dawlah. (Muhammad ‘Imarah, al-Islam wa al-Siyasah, 2005, ms. 95).



Sejarah Gerakan Penubuhan Negara Islam Moden

Dengan berakhirnya sistem khilafah pada tahun 1922, Shaikh Rashid Rida, seorang reformis Muslim terkenal berasal dari Syria telah menulis sebuah karya yang berjudul Al-Khilafat Al-‘Uzma, karya ini bertujuan untuk menegaskan keperluan umat Islam membangun sistem pemerintahan Islam yang berteraskan al-Qur’an dan al-Sunnah ketika umat dikejutkan dengan pemansukhan system khilafah oleh Mustafa Kamal Attarurk. Shaikh Rashid adalah ilmuan prtama pada zaman moden yang telah mengungkapkan perkataan al-daulah al-Islamiyyah sebagai satu istilah siyasah Islam pada zaman moden.

Selanjutnya, Imam Hassan al-Banna dari Mesir telah mempopularkan istilah al-dawlah islamiyyah dalam perjuangan Islamnya menerusi gerakan Al-Ikhwan al-Muslimun di Mesir dan kemudian merebak ke seluruh dunia Arab. Di benua kecil Indo-Pak, Mawlana Abul ‘Ala al-Maududi telah menjadi begitu dogmatik ketika berjuang membentuk negara Islam (the Islamic State) di Pakistan. Beliaulah ideolog utama negara Islam yang banyak menulis tentang teori-teori negara Islam ketika memimpin Jama’ati Islami Pakistan yan didaftarkan sebagai sebuah parti politik Islam.

Di Indonesia, Bapak Mohammad Natsir telah mengasaskan parti Masyumi dengan tujuan Negara Islam dapat dibentuk di negara yang majority penduduknya beragama Islam. Di Malaysia, Pari Islam SeMalaysia (PAS) telah ditubuhkan pada tahun 1953. Dr.Burhanuddin al-Helmy, antara, pengasas utamanya telah menggagaskan idea pembentukan negara Islam. Di Sudan, Dr.Hassan Turabi adalah ideolog utama yang telah mengasaskan pembinaan negara Islam di Negara tersebut. Sementara di Tunisia, gerakan penubuhan negara Islam dipimpin oleh Syaikh Rashid al-Ghanoushi dimana Harakah al-Nahdah telah berperanan penting sejak di Tunisia sejak dekad 80’an hingga kehari ini.

Selain itu, Professor Nikmatten Arbakan dari Turki telah menubuhkan parti Keadilan (Adalat) dalam tahun-tahun 70’an untuk membina negara Islam di Turki. Dalam dekad 90’an, Tayyip Erdogan, dahulunya adalah pengikut setia Professor Erbakan, telah menubuhkan AKP – sebuah parti yang berorientasi Islam. Demikianlah secara ringkas sejarah pertumbuhan gerakan negara Islam di beberapa buah negara Islam.


Kritikan Terhadap Idea Negara Islam

Hampir tidak ada muwafakat pendapat dalam kalangan pakar-pakar politik Muslim kontemporer tentang isi kandungan yang dapat mencirikan identiti sebuah negara Islam moden. Justeru, terdapat pelbagai ragam bentuk negara Islam di dunia saat ini. Dalam hubungan ini, Syaikh Rashid Rida, seorang ilmuan yang dianggap paling bertanggungjawab membuat rumusan penting tentang apa yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam iaitu kedaulatan syari’at sebagai sumber hokum yang tertinggi. Dalam pemikirannya, syari’ah memerlukan kekuasaan (power) bagi melaksanakan syari’at sepenuhnya. Jadi, adalah sukar untuk melaksanakan syari’at Islam tanpa adanya Negara Islam. Justeru, penerapan hukum Islam merupakan satu-satunya kriteria utama yang sangat menentukan untuk membedakan antara negara islam dengan negara bukan Islam. (Rasyid Rida. Al-Khilafah al-‘Uzma; ms. 20).

Selanjutnya, kesempurnaan sebuah negara Islam hanya boleh berlaku apabila terdapat lima ciri-ciri seperti berikut:

Pertama, adanya pemimpin yang adil;

Kedua, ketaatan yang mutlak kepada Allah s.w.t. Kerajaan dan kekuasaan adalah milik mutlak Allah s.w.t. dengan hukum-hukum Allah s.w.t dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Ketiga: proses syura yang wajar dilaksanakan dalam setiap proses pembuatan undang-undang.

Keempat, wujud keseterataan dan kesamaaan antara semua warga negara. Walaubagaimanapun, Muhammad Abdul rauf tidak menolak terhadap beberapa pandangan yang menyebut bahawa negara Islam moden tidak banyak berbeda dengan konsep negara Islam sperti mengamalkan prinsip keadilan, ketelusan, pertanggungjawaban, mewujudkan pelbagai program yang bersifat kebajikan (welfarisme) dan sebagainya. Cuma yang membedakan negara Islam itu dengan negara sekular Barat ialah dari segi kemutlakan kuasa Tuhan dan kedaulatan mutlak syari’at. (Muhammad ‘Abdul Rauf, Concepts of Islamic State, ms. 29).

Antara kritikan keras terhadap pemikiran Negara Islam, antaranya, al-Maududi, ialah kerana kegagalan al-Maududi untuk mendamaikan antara teori-teori klasik dengan konsep moden. Meskipun al-Maududi memberi ruang kepada rakyat sebagai golongan yang mempunyai legitimasi suara di dalam sebuah negara Islam, tetapi ianya ternafi apabila al-Maududi semacam membenarkan khalifah menjadi seorang diktator di dalam pemerintahnnya.. Keyakinannya negara boleh bertindak menegakkan amar ma’ruf dan menghapuskan kemungkaran, menurut Abdel Wahab el-Efendi adalah satu penafian terhadap hak individu. Justeru, dia mendakwa jika hal yang sedemikian berlaku, maka negara Islam pada hakikatnya adalah sebuah negara totalitarian. (Abdel Wahab El-Affendi, ms. 53).

Dalam konteks pengkategorian Dar al-Islam, Dar al-Kufr, Dar al-Harb, dan Dar al-‘Ahd, para ilmuan Muslim semasa bersetuju dengan pandangan-pandangan ijtihad siyasi semasa yang menyatakan skema pengkategorian diatas sukar untuk dilaksanakan dalam konteks geo-politik dunia masa kini. Pada hakikatnya, wilayah-wilayah Islam yang telah wujud pada zaman dahulu kini telah bertukar tangan. Dalam masa ratusan tahun, penjajah Barat telah menjajah wilayah-wilayah Islam. Proses pembaratan sekularisasi telah berlaku. Dampaknya adalah parah dari segi politik, ekonomi, budaya, agama, ketenteraaan, media dan sebagainya. Dalam hubungan ini, Dr.’Abdul Karim Zaidan dan Yusuf al-‘Azam, dua orang penulis dan pemikir Islam yang terkenal di Timur Tengah telah menyatakan bahawa menegekalkan status negara-negara Islam yang telah dijajah sebagai Dar al- Islam masih tetap sah dan relevan dengan realiti dunia Islam masa kini. Disamping itu, hubungan kita dengan negara-negara bukan Islam juga telah bertambah rencam dan ruwet. Kita tidak boleh menghadkan kewujudan dua kategori – Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd.

Apa yang jelas konflik politik yang sentiasa tegang pada tahap internasional bukan lagi berlaku antara negara-negara Islam dengan bukan Islam. Sesungguhnya perubahan-perubahan realiti politik dunia telah menjadikan skema pengkategorian silam itu tidak lagi relevan semutlaknya. (Siddiq Fadil. 1995, ms. 9-10).

Tariq Ramadan secara tegas mengkritik pandangan yang mendakwa bahawa Dar al-Islam, Dar al-Harb adalah dua konsep yang wujud di dalam al-Qur’an serta al-Sunnah. Kedua-duanya bukanlah merupakan dua prinsip utama di dalam Islam yang risalahnya lebih dikenali untuk seluruh wara dunia (lil ‘alamin) tanpa mengira batasan masa dan tempat. Yang jelas, kedua-kedua konsep tersebut adalah merupakan usaha manusia dalam satu masa yang tertentu untuk memberi satu gambaran tentang situasi dunia pada waktu itu. Dengan lain perkataan, pengkategorian tersebut tidak mempunyai apa-apa makna ketuhanan. (Tariq Ramadan, To be European Muslim, 2002, ms. 123).

Apa yang jelas, pengkategorian Dar al-Islam dan Dar al-Kufr hanya menyulitkan usaha memudahkan masyarakat manusia memahami Islam dengan lebih mudah, selesa dan tidak menimbulkan rasa takut. Adalah jelas konsep-konsep seumpama itu hanya dilakukan oleh para fuqaha’ lebih kurang 500 tahun selepas peninggalan Junjungan Muhammad s.a.s.

Selanjutnya, Tariq Ramadan berhujah lagi bahawa para fuqaha pada zaman silam membuat pengkategorian tersebut kerana dua sebab penting: a) Menentukan prinsip-prinsip hubungan keantarabangsaan yang perlu diambil ketika wilayah-wilayah Islam telah menjadi luas, besar ketika berhadapan dengan empayar-empayar bukan Islam; b) para fuqaha’ ingin membedakan prinsip-prinsip perundangan Islam yang perlu dilaksanakan oleh warga Muslim yang tinggal di dalam negara-negara Islam dengan orang-orang Islam yang bergerak sebagai pedagang di dalam negara-negara bukan Islam. (Tariq Ramadan, 2002, ms. 127).

Konsep Dar al-‘Ahd tidak lagi relevan untuk dikekalkan pada masa kini. Dalam hubungan ini, Faisal Mawlawi, seorang ilmuan Muslim dari Lebanon, berhujah bahawa negara-negara Islam pada hari in yang telah menjadi anggota PBB (UN), secara logiknya dari segi perundangan antara bangsa, telah menerima idea untuk hidup secara aman damai dengan semua negara-negara anggota PBB seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan PBB. Dunia Islam sebagai anggota PBB pada hakikatnya telah bersetuju menerima kontrak PBB. Justeru, perjanjian tersebut dari sudut perundangan Islam hendaklah dihormati kerana secara langsung atau tidak langsung telah berlaku kontrak antara negara Islam dan bukan Islam. Faisal Mawlawi memberi dua ayat sebgai justifikasi terhadap pandangannya. Sai’d Hawwa, pengarang Al-Tafsir al-Asasi, seorang ilmuan terkenal dan tokoh gerakan Islam dari Syria turut membuktikan sirah Junjungan Muhammad s.a.w. yang menghantar surat-surat kepada raja-raja di luar kota Makkah dan Madinah dengan menurunkan cap mohor kerasulan Muhammad s.a.w sebagai tanda menghormati peraturan diplomasi konvensional pada zamannya. (Muhammad Hanif Hassan, Clarifying the Concept of Dar al-Islam & Dar Al-Harb, Jun 2004, ms. 4-6).


Kepentingan Memahami Siyasah Syar’iyyah Dalam Konteks Masyarakat Minoriti Muslim

Dalam konteks masyarakat minoriti Muslim, kefahaman yang tepat terhadap sebuah konsep penting di dalam tradisi keilmuan fiqh Islami iaitu al-siyasah al-syari’iyyah adalah menjadi satu keutamaan pada hari ini. Dengan memahami keluasan skop yang terdapat di dalam al-siyasah al-syari’yyah banyak perkara yang mengusutkan pemikiran umat Islam boleh diselesaikan. Dalam hubungan ini, Syaikh Abdul Wahhab Khallaf, seorang ilmuan dari Universiti Al-Azhar, Mesir menyatakan bahawa konsep siasah syari’yyah adalah merupakan “…satu ruang, kelonggaran atau kuasa budi bicara yang diberikan kepada para penguasa untuk mengambil sesuatu tindakan atau pendirian atas dasar maslahah walaupun tidak ada yang khusus tentangnya, asalkan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip agama Islam.” (Abdul Wahhab Khallaf, al-Siayasatu al-Syar’iyyah, Beirut, 1984, ms. 6).

Justeru, semua kalangan yang terlibat secara langsung dengan perjuangan mendaulatkan Islam sebagai al-din yang sempurna, sewajarnya dapat mendalami konsep-konsep asas di dalam fiqh klasik dengan idea-idea serta ijtihad baru sehingga dapat menggabungkan antara apa yang dinamakan al-asalah (warisan) dan al-mu’asarah (kontemporari). Inilah yang dinamakan juga fiqh al-waqi’, fiqh al-muwazanah dan fiqh al-awlawiyyat. Dalam konteks pembentukan Negara Islam, masyarakat minoriti Muslim seharusnya mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama untuk melestarikan kehidupan masyarakat Islam seperti di Singapura dari segi pendidikan, sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya. Adalah jelas, di dalam negara-negara Islam, gerakan membentuk negara Islam moden masih belum berjaya. Di Malaysia sendiri, dalam Pilihan Raya ke 12 baru-baru ini, buat pertama kalinya PAS telah menggunakan tema membina Negara Berkebajikan sebagai gantian kepada slogan menegakkan Negara Islam apabila pimpinannya bersetuju untuk bergerak bersama dengah PKR dan DAP. Nyata sekali, pendirian PAS adalah satu ijitihad siyasah yang berani dan progresif dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.


Rumusan

Adalah jelas bahawa Islam adalah sebuah agama yang dinamik. Kecenderungan mutakhir para ilmuan Islam dan para pemimpin gerakan Islam Islam yang telah berjuang menegakkan negara Islam di beberapa buah negara Islam untuk menjadi lebih waqi’dalam menghadapi perubahan pesat geo-politik dunia dengan menggunakan prinsip siasah syar’aiyyah adalah merupakan satu tindakan yang bertepatan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Banyak manfaat yang dapat diterima oleh umat apabila idealisme dapat diimbangkan dengan realisme. Antara kewajipan utama kita ialah untuk mendidik umat supaya tidak menjadi ekstrim dengan ideologi Negara Islam tanpa menguasai doktrin Islam dengan mendalam dan tepat – berpandukan manhaj ‘ulama salaf dan khalaf serta lain-lain tokoh ilmuan hatta dari kalangan bukan Islam. Wallahu’alam bi al-sawwab.

http://al-fikrah.net/index.php?name=News&file=article&sid=1041

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...