RSS Feeds

Rabu, 10 Jun 2009

10 Sahabat Nabi Ahli Syurga

"Dan orang-orang yang terdahulu lagi terawal (masuk Islam) dikalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka Allah redho kepada mereka dan mereka ridho kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang amat besar." Maksud ayat (Taubah : 100).


Daripada Said bin Zaid beliau berkata kepada sekumpulan orang bahawa Rasullullah bersabda; ((10 orang di syurga, Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Ali, Usman, Zubair, Thalhah, Abdul Rahman,Abu Ubaidah, dan Saad bin Abi Waqqas)). Maka beliau mengira mereka 9 orang dan diam daripada menyebut orang yang ke 10. Berkatalah kaum yang mendengar; "kami bertanya kepadamu dengan nama Allah wahai abu a'war siapakah orang yang ke 10?". Berkata Said (Abu A'war); "kalian bertanya kepadaku dengan nama Allah, bahawa Abu A'war didalam syurga". Imam Tirmizi berkata; "aku mendengar Muhamad (Bukhari) berkata, hadis ini lebih soheh daripada hadis yang pertama. Hadis soheh riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.


1) Abu Bakar Siddiq RadhiyaLlahu Anhu

Beliau adalah khalifah pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad. Selain itu Abu bakar juga merupakan laki-laki pertama yang memeluk Islam. Pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga didalam Quran (Surah at-Taubah ayat ke-40) yang bermaksud : 40. Jika kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah Telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia Berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan keteranganNya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah Itulah yang Tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana [1]". Abu Bakar as-Siddiq telah wafat ketika berusia 63 tahun, beliau telah meriwayatkan 142 hadis.



2. Umar al-Khattab RadhiyaLlahu Anhu.


Menjadi khalifah kedua selepas Abu Bakar pada tahun 13 Hijrah sehingga 23 Hijarah. Termasuk salah seorang yang sangat dikasihi oleh Nabi Muhammad semasa hidupnya. Sebelum memeluk Islam, Beliau merupakan musuh yang paling ditakuti oleh kaum Muslimin. Namun selepas keislaman beliau dihadapan Nabi pada tahun ke 6 Nabi diutus sebagai Rasul, beliau telah menjadi salah satu benteng Islam yang kuat. Pada zaman pemerintahan beliau, Islam berkembang seluas-luasnya dari Timur hingga ke Barat, kerajaan Parsi dan Rom dapat ditakhluk dalam tempoh hanya satu tahun. Beliau wafat ketika berumur 63 tahun ketika menjadi imam solat subuh di masjid Nabawi apabila Abu Lu'lu' al-Majusi menikamnya bertalu-talu. Jasad beliau disemadikan berhampiran kubur Abu Bakar dan Rasulullah. Umar al-khattab telah meriwayatkan sebanyak 539 hadis daripada Rasulullah.



3. Usman Bin Affan RadhiyaLlahu Anhu.


Merupakan Khalifah Islam yang ketiga ketika berusia 68 tahun selepas Amirul Mukminin Umar dibunuh pada tahun 23 Hijrah. Di gelar sebagai Zunnurain (pemilik dua cahaya) kerana menikahi 2 puteri Nabi Muhammad. Pada zaman pemerintahannya seluruh tulisan-tulisan wahyu yang pernah dicatat oleh sahabat semasa Nabi masih hidup dikumpulkan, kemudian disusun menurut susunan yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad sehingga dibukukan dalam satu mushaf sebagaimana yang kita dapati sekarang. Beliau telah wafat ketika berumur 82 tahun (ada yang meriwayatkan 88 tahun) dan dikuburkan di Baqi'. Usman bin Affan telah meriwayatkan sebanyak 146 hadis daripada Rasulullah.



4. Ali Bin Abi Tolib RadhiyaLlahu Anhu.


Merupakan khalifah Islam keempat pada tahun 35 Hijrah selama 5 tahun, merupakan anak kepada pakcik Nabi (sepupu Nabi) yang mengahwini Fatimah binti Muhammad. Beliau terkenal dengan siasah perang dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Seperti sahabat-sahabat yang lain, Ali bin Abi Thalib juga terkenal keberaniannya di dalam peperangan. Beliau sudah mendampingi Rasulullah sejak kecil dan hidup bersama Nabi sehingga Nabi wafat. Ali Bin Abi Tolib dibunuh oleh seorang Khawarij bernama Abdul Rahman bin Muljim pada tahun 40 Hijrah ketika berusia 64 tahun dan dikuburkan di Kufah Iraq. Ali bin Abi Tolib telah meriwayatkan sebanyak 536 hadis daripada Rasulullah.



5. Thalhah Bin Ubaidillah RadhiyaLlahu Anhu.


Masuk Islam dengan perantaraan Abu Bakar as-Siddiq, sentiasa aktif dalam setiap peperangan kecuali Perang Badar. Didalam perang Uhud, beliaulah yang mempertahankan Rasulullah Saw sehingga terhindar daripada pedang-pedang musuh, sehingga putus jari-jari beliau. Thalhah Bin Abdullah gugur dalam Perang Jamal dimasa pemerintahan Ali Bin Abi Thalib dalam usia 64 tahun, dan dimakamkan di Basrah. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 38 hadis daripada Rasulullah.



6. Zubair Bin Awaam RadhiyaLlahu Anhu.


Memeluk Islam juga dengan sebab dakwah Abu Bakar as-Siddiq, Mendapat gelaran Hawari Nabi Muhamad daripada baginda. beliau berhijrah sebanyak dua kali ke Habsyah dan mengikuti semua peperangan. Beliau pun gugur dalam perang Jamal dan dikuburkan di Basrah pada usia 64 tahun. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 38 hadis daripada Rasulullah.



7. Sa'ad bin Abi Waqqas RadhiyaLlahu Anhu.


Masuk Islam sejak umur 17 tahun dan mengikuti seluruh peperangan, pernah ditawan musuh lalu ditebus oleh Rasulullah dengan ke-2 ibu bapaknya sendiri sewaktu perang Uhud. Meninggal dalam usia 70 (ada yang meriwayatkan 82 tahun) dan dikuburkan di Baqi'. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 271 hadis daripada Rasulullah.



8. Sa'id Bin Zaid RadhiyaLlahu Anhu.


Sudah Islam sejak kecilnya, mengikuti semua peperangan kecuali Perang Badar. Beliau bersama Thalhah Bin Abdullah pernah diperintahkan oleh Nabi untuk menjadi mata gelap kepada gerakan musuh (Quraish). Meninggal dalam usia 70 tahun dikuburkan di Baqi'. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 48 hadis daripada Rasulullah.



9. Abdurrahman Bin Auf RadhiyaLlahu Anhu.


Memeluk Islam sejak kecilnya dengan sebab dakwah Abu Bakar as-Siddiq dan mengikuti semua peperangan bersama Rasul. Turut berhijrah ke Habsyah sebanyak 2 kali. Meninggal pada umur 72 tahun (ada yang meriwayatkan 75 tahun), dimakamkan di Baqi'. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 65 hadis daripada Rasulullah.



10. Abu Ubaidah Bin Jarrah (Amir bin Abdillah) RadhiyaLlahu Anhu.


Masuk Islam bersama Usman bin Math'uun, turut berhijrah ke Habsyah bersama kelompok kedua dan mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah Saw. Meninggal pada tahun 18 H di Jordan kerana penyakit Taun, dan dimakamkan di Jordan. Beliau adalah (Amin umat ini) iaitu yang dipercayai atau pemegang amanah, lihat hadis soheh riwayat Tirmizi. Wallahu A'lam.


Rujukan;

Jami' at-Tirmizi (Sunan Tirmizi)

Siyar A'lam an-Nubala karangan az-Zahabi.

Al-kamil Fi at-Tarikh karangan Ibnu Athir.



[1] Maksudnya: orang-orang kafir Telah sepakat hendak membunuh Nabi Muhammad. Maka Allah memberitahukan maksud jahat orang-orang kafir itu kepada Nabi. Kerana itu Maka baginda keluar dengan ditemani oleh Abu Bakar dari Mekah dalam perjalanannya ke Madinah baginda bersembunyi di suatu gua di bukit Thur.

4 comments:

..::بشرى::.. berkata...

terima kasih info ni...nama abg lama xonline?

Sambal berkata...

salam..tuan blog..terima kasih kerana bagi maklumat.

jalilabd berkata...

terima kasih tuan. bolehkah tuan senaraikan nama 20 sahabat yang lainnya. saya kurang fasih untuk membacanya dari gambar yang tuan sediakan di atas.

DAKWAH YEOP berkata...

akhi jalil,,semoga Allah mengurniakan taufik dan hidayah kpd kita semua. saya tidak pasti berapakah bilangan sahabat nabi yg dijamin syurga oleh nabi...ini perlukan kepada kajian yang agak panjang kerana ramai sahabat2 nabi yang lain juga dijamin syurga oleh nabi dalam hadis yang pelbagai. antaranya Ukasyah, hasan dan husain, bilal bin rabah, ummul mukminin Khadijah, Aishah, Fatimah, Saad bin Muaz dan ramai lagi.

adapun 20 sahabat lain yg sadara jalil nyatakan itu, saya faham bahawa saudara merujuk kpd senarai nama yg tertera dlm gambar. itu adalah silsilah nama keturunan nabi bermula daripada junjungan besar nabi muhamad sehinggalah sampai kpd adnan yang jumlahnya 20 orang.

kemudian semua 10 shbt nabi yang dijamin syurga itu punyai hubungan darah daging dengan nabi (talian nasab) samada hampir ataupun jauh. harap maklum, syukran

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...