RSS Feeds

Ahad, 14 Jun 2009

Peperiksaan Dunia


Sabtu semalam, peperiksaan bermula setelah masing-masing pelajar sebuk membawa buku dan berjaga hingga larut malam. Ada pelajar yang keluar dari dewan peperiksaan dengan muka ceria, ada yang bermasam muka dan ada yang bersahaja. Ramai juga biasanya memprotes bentuk soalan yang dilihat seolah-olah bertujuan menggagalkan pelajar. Ketakutan kepada peperiksaan untuk mendapat markah lulus dan pulang dengan segulung sijil menjadikan sebahagian pelajar lupa kepada hak-hak dirinya sebagai manusia dan hamba. Lupa untuk makan dan minum, lupa untuk mengambil rehatnya. Lupa untuk bermunajat dan berdoa, bahkan lupa untuk mengkhabarkan kepada ibu bapa agar doa ibubapa mendampingi anak-anak mereka sentiasa.


Kesungguhan mengulangkaji;

Ketika di Madinah, saya pernah melihat bagaimana ragamnya teman-teman seantero dunia bermuzakarah dan mengulangkaji pelajaran masing-masing. Ada yang mengangguk-anggukan kepalanya mengikuti setiap bacaan dan hafalannya. Terdapat juga yang mengelilingi masjid sambil buku ditangannya hampir lumat. Ada juga yang berbincang, ada yang diam keseorangan sehingga tertidur dan pelbagai lagi gaya dan cara mengikut kesesuaian tersendiri. Percayakah anda kedapatan pelajar yang mampu membaca selama 6 jam berturut-turut? Percayakah anda terdapat beberapa teman yang tidak tidur sepanjang malam untuk peperiksaan esok harinya? Ya, ketika sedang solat subuh berjemaah di belakang imam yang MasyaAllah panjang bacaannya, tiba-tiba seorang sahabat dari India tersungkur jatuh. Matikah dia ketika solat? Tidak, tetapi beliau jatuh pengsan akibat keletihan membaca. Begitu sekali? Ya, kerana sebahagian mereka terpaksa menghabiskan 2 jilid kitab kadang-kadang sebelum menghadiri ujian.


Ujian hari pembalasan;

Begitulah manusia yang pelbagai ragamnya ketika mengahadapi ujian belajar yang kadang-kadang bayangan kepada soalan itu sudah tergambar. Bagaimana agaknya umat manusia apabila berhimpun di Mahsyar kelak dengan amalan masing-masing? Takutkah mereka dan cukupkah persediaan mereka? Pasti disana juga terdapat pelbagai ragam manusia. Dalam manusia mengharung umurnya yang serba singkat ini, kadang-kadang mereka lupa kepada hari peperiksaan yang lebih dahsyat bentuk dan sifat-sifatnya! Lebih street dan tiada tolak ansurnya! Lebih teliti penilaian markahnya. ((Pada hari Ini kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan)), {Yasin; 65}. Dalam ayat lain Allah menyebut yang bermaksud; ((Dan (pada hari itu) kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. tiap-tiap umat dipanggil untuk (melihat) buku catatan amalnya. pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang Telah kamu kerjakan)). {Jathiyah: 28}.


Pada hari ini, kita mungkin berbangga dengan hasil djawapan kita terhadap soalan-soalan yang mampu dijawap setelah bertungkus lumus membaca dan bersedia. Pada hari ini mungkin kita berpuas hati dengan keputusan peperiksaan yang kita perolehi dan akhirnya kita pulang dengan sijil yang menjadi sebab kepada kerjaya yang baik. Pada hari ini kita mungkin mendapat pujian dan sanjungan kerana kecemerlangan kita yang digeruni oleh teman-teman yang bijak pandai. Adakah semua pujian dan kenikmatan yang kita peroleh hari ini akan berterusan sehingga ke alam Mahsyar? Adakah kebahagian yang kita perolehi hari ini menjadi punca kepada kebahagian hidup hakiki di Syurga sana? Ataukah ilmu yang kita pelajari sekadar menjadi bencana dan petaka kepada diri kita sendiri disebabkan bermegah-megah dihadapan ulama dan mempersenda umat yang jahil?


Amaran daripada Syirik kecil (Riya');

Riya' adalah penyakit yang amat sukar di ubati. Ianya digelar sebagai (syirik kecil) oleh Nabi dalam hadis soheh riwayat Imam Ahmad, al-Baghowi dalam Syarah Sunnah dan at-Tobrani dalam al-Mukjam al-Kabir. Lihatlah amaran keras Nabi terhadap penuntut Ilmu yang begini tujuaannya. Daripada Abdullah bin Umar berkata; Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud; ((barangsiapa yang mempelajari ilmu semata-mata mahu bermegah dengan ilmunya itu dihadapan ulama ataupun untuk memperlekehkan orang-orang jahil ataupun agar manusia berpaling memandang kepadanya (menghormati), maka Allah akan memasukkan dia ke neraka)) hadis Hasan riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.


Lihatlah kealpaan kita dalam membetulkan niat dalam semua perkara! Ianya lebih hebat jika dalam bidang ilmu agama ini. Agama yang suci dan murni ini memerlukan kepada lelaki yang ikhlas mempertahankan kemurniannya. Agama ini memerlukan ulama yang cukup Tawadduk dan berhemah dalam menyampaikan ilmu kepada umum. Cukup tinggi Takwanya kepada Allah! Cukup hebat dan kuat pengangannya dalam mengikuti dan mentaati Nabi Muhammad Alaihissolatu Wassalam. Agama ini tidak memerlukan ulama-ulama yang kepentingan dunia dan hawa nafsunya mengatasi segala-galanya. Inilah hakikat yang harus diterima semua mereka yang sedang berkecimpung dalam bidang keagamaan ini.


Mereka yang terawal masuk ke Neraka;

Dalam hadis Abu Hurairah riwayat Imam Muslim dalam sohehnya, Nabi menceritakan bahawa 3 golongan yang terawal diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid lalu diperkenalkan nikmat-nikmat Allah kepadanya lalu dan disoal; "Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut? Lelaki syahid itu menjawab; "Aku telah berjihad dijalanmu sehingga aku gugur syahid", lalu Allah berkata; "kamu berdusta! Akan tetapi kamu berjihad supaya manusia mengatakan bahawa kamu ini pejuang yang berani dan manusia telah sebut". Kemudian diperintahkan supaya diheret muka lelaki ini hingga dicampakkan ke neraka.


Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu dan mengajarkannya, mempelajari al-Quran dan mengajarkannya dihadapkan, lalu diperkenalkan nikmat-nikmat Allah kepadanya dan dia mengetahuinya. Lalu ditanya; "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?". Lelaki itu menjawab; "Aku mempelajari ilmu dan mengajar manusia dan aku membaca al-Quran keranaMU". Maka dijawab; "engkau telah berdusta! Akan tetapi engkau belajar supaya manusia mengatakan bahawa engkau ini seorang yang alim dan kamu membaca al-Quran supaya dikatakan kamu ini adalah Qari'! manusia telah mengatakan. Kemudian diperintahkan supaya diseret mukanya sehingga dicampakkan ke neraka!


Dan seorang lelaki yang Allah luaskan rezekinya serta dikurniakan segala jenis harta lalu dihadapkan dan diperkenalkan nikmat-nikmat Allah kepadanya, dia akur dan mengetahuinya. Lelaki itu disoal; "Apakah yang kamu lakukan dengan harta-harta tersebut? Lelaki itu menjawab; "Aku tidak tinggalkan satu jalanpun yang kamu sukai untuk diInfaqkan kecuali aku akan infaqkan (dermakan) kepadanya keranaMU. Maka dijawab; "Kamu telah berdusta! Akan tetapi kamu lakukan demikian agar disebut sebagai pemurah. Maka manusia telah sebut. Kemudian diperintahkan agar lelaki itu diseret mukanya lalu di campakkan ke neraka". Lihat keseluruhan hadis dalam soheh Muslim dalam bab "Sesiapa yang berjuang untuk Riya' dan Sum'ah maka dia berhak mendapat Neraka.

2 comments:

..::بشرى::.. berkata...

bagus la artikel neh

7kilas berkata...

Salam,

Benarlah apa yang dikatakan... semoga cahaya keikhlasan senantiasa melimpahi hati-hati yang berjuang di jalan-Nya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...