Gelaran qadhi adalah satu pangkat yang amat tinggi di dalam islam. Kedudukan ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan mufti, imam dan jawatan-jawatan lainnya. Ini kerana qadhi bukan sekadar menyatakan hukum, bahkan menjatuhkan sesuatu hukuman lalu hukuman itu wajib dilaksanakan oleh pemerintah. Qadhi mempunyai kelayakan untuk menjatuhkan hukuman atau membatalkannya mengikut maslahat yang dinilai olehnya dalam sesuatu kes. Malangnya status qadhi menurut pemahaman ramai orang islam pada zaman mutakhir ini hanyalah lebih tertumpu @ hanya berlegar di sekitar permasalahan nikah cerai sahaja. Sedangkan qadhi sebenarnya adalah hakim dalam menjatuhkan sesuatu hukuman, samada kes zina, liwat, kecurian, pembunuhan, rogol dan pelbagai lagi kes-kes jenayah dan mahkamah.
Akan tetapi kerana banyak negara mengamalkan perudangan mahkamah sivil, meminggirkan mahkamah islam dan perundangannya maka berlakukah perbezaan-perbezaan status ini. Definisi "al-Qodho" @ perundangan ialah; "Mengkhabarkan sesuatu hukum syarie dalam bentuk yang ilzam (wajib dipatuhi)". Ini adalah definisi yang diberikan oleh Ibnu Rusyd dan Ibnu Farhun. Adapun ulama Syafieyyah mendifiniskan perundangan sebagai; "Pengilzaman daripada sesiapa yang mempunyai kuasa tersebut dengan hukum-hukum syarak dalam suasana-suasana tertentu".
Perundangan adalah sesuatu kelaziman demi kemaslahatan umat, merealisasikan kebahagian dan ketenteraman dikalangan insan, membantu orang yang dizalimi, menghapuskan kezaliman, menghalang permusuhan, amar makruf dan nahi munkar serta banyak lagi faedah lainnya. Pensyariatannya adalah berdalilkan kepada ayat al-Quran dalam surah al-Anbiya' ayat 78-79, al-Maidah ayat 48-49 dan an-Nisa' ayat 65. Selain itu terdapat hadis-hadis Nabi yang banyak, yang menjadi dalil seperti hadis; "Jika seseorang hakim berijtihad kemudian dia benar maka dia mendapat 2 pahala…."
Syarat-Syarat Menjadi Qadhi;
Terdapat 4 syarat yang disepakati oleh para fuqaha. Jika gugur salah satu daripada 4 syarat ini maka tidak sah perlantikannya dan tidak boleh dilaksanakan hukumannya. Empat syarat tersebut ialah;
1) Baligh.
2) Mempunyai akal fikiran yang waras.
3) Islam.
4) Bebas (bukan hamba).
Disana terdapat beberapa syarat yang menjadi khilaf dikalangan para fuqaha. Saya sebutkan disini secara ringkas;
1) Baik penglihatan, pendengaran dan lisan (tidak bisu).
Ketiga-tiga ini adalah syarat sah dan yang membolehkan seseorang itu menjadi qadhi menurut pandangan majority ulama. Maka tidak boleh melantik qadhi yang cacat salah satu anggotanya seperti pekak. Ataupun buta dan bisu. Diriwayatkan daripada Imam Malik dan sebahagian ulama Syafie bahawa harus melantik orang yang buta sebagai qadhi[1].
2) Sifat "Adil". Sifat adil yang dimaksudkan disini ialah (al-A'dalah) yang mana seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar ataupun kefasikan yang jelas boleh menjatuhkan maruah dirinya. Secara ringkasnya ialah dia seorang yang baik bukan seorang yang jahat dan terkenal dengan kejahatan. Syarat ini menurut Syafieyyah, Hanabilah, Malikiyyah dalam riwayat yang lebih soheh serta al-Hanafiyyah dalam satu riwayat merupakan syarat sah dan syarat keharusan. Adapun al-Hanafiyyah dalam zahir riwayat dan sebahagian ulama Malikiyyah menyatakan bahawa sifat "adil" ini adalah syarat keharusan sahaja dan bukanlah syarat sah. Bermaksud, jika pemerintah melantik seorang yang fasiq menjadi qadhi maka berdosa perlantikannya, tetapi sah jawatannya dan tidak boleh ditunaikan hukumannya.
3) "Al-Ijtihad". Iaitu memiliki kemampuan beristinbat daripada sumber hukum al-Kitab dan Sunnah. Seorang mujtahid ialah yang mengetahui tentang al-Kitab dan Sunnah berkaitan dengan hukum, khas dan umum, nasakh dan mansuh, mengetahui hadis mutawatir dan sebagainya, mengetahui pandangan sahabat dan tabien, mengetahui Ijma' dan qias. Syarat ini menurut fuqaha Syafieyyah, Hanabilah dan jumhur Malikiyyah dan sebahagian Hanafiyyah sebagai syarat sah dan keharusan. Adapun jumhur Hanafiyyah dan sebahagian Malikiyyah tidak menjadikan ijtihad sebagai syarat sah mahupun keharusan. Bermakna, menurut mereka boleh dan sah melantik seorang qadhi yang bertaqlid ataupun jahil.
4) Lelaki bukan wanita.
Syarat ini ulama berkhilaf kepada 3 pendapat;
Pertama; Ianya adalah syarat sah dan keharusan. Ini merupakan pendapat jumhur ulama Malikiyyah, Syafieyyah, Hanabilah dan Zufar dikalangan ulama Hanafi. Mereka ini menyatakan bahawa tidak sah melantik wanita sebagai qadhi. Jika dilantik juga maka berdosa dan hukum-hukumnya adalah bathil.
Kedua; Lelaki bukanlah syarat keharusan dan tidak juga syarat sah untuk menjadi qadhi. Juteru, wanita boleh menjadi qadhi menurut pandangan mereka, dan ini adalah pandangan Ibnu Jarir al-Tobari, Ibnul Qasim dikalangan ulama Malikiyyah, dan Ibnu Hazm az-Zohiri. Akan tetapi qadhi wanita menurut mereka adalah dalam masalah yang diterima persaksian mereka sahaja. Akan tetapi Ibnu Jarir dan Ibnu Hazm lebih meluaskan skop qadhi wanita sehinggalah dalam kes-kes pembunuhan dan lain-lainya.
Ketiga; Lelaki adalah syarat keharusan tetapi bukan syarat sah.
Ini adalah pandangan mazhab Hanifi kecuali Zufar. Bermakna, mereka berpendapat tidak boleh melantik wanita sebagai Qadhi, tetapi jika pemerintah melantiknya maka bedosalah pemerintah dan telah melakukan perkara yang haram. Bagaimanapun jika si qadhi wanita yang dilantik ini menetapkan sesuatu hukuman yang bertepatan dengan syarak, maka perlu dilaksanakan hukumannya kecuali dalam permasalahan melibatkan hudud dan qisas. Wallahu a3lam.
Betapa ramai wanita yang menjadi qadhi pada zaman kita ini? Khsususnya di Malaysia? Hakim-hakim di mahkamah itu adalah qadhi! Walaupun pada pemahaman umum mereka bukanlah qadhi kerana tidak menikahkan dan tidak menjatuhkan hukuman cerai dan apa-apa yang melibatkan nikah kahwin semata-mata. Ulama-ulama salaf melarikan diri daripada jawatan ini seperti Imam Abu Hanifah, Sufian al-Thauri dan lain-lain lagi kerana memikirkan bahayanya dan amaran hadis Nabi berkait jawatan ini. Tetapi kita berlumba-lumba merebut dan meraih kedudukan tersebut sekalipun dia adalah wanita. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang telah lalu, sesungguhnya Allah maha pengampun. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Alaihissolatu Wa Atammu at-Taslim. Wallahu a3lam.
*Tulisan ini adalah faedah daripada kitab; "Nizom al-Qodho' Fil Islam", merupakan bahas yang dibentangkan oleh beberapa orang pakar feqh ketika Muktamar al-Feqhul islami pada tahun 1396 Hijrah yang diadakan di University al-Imam Muhammad bin Saud di Riyadh.
0 comments:
Catat Ulasan