RSS Feeds

Selasa, 26 Oktober 2010

Mengenali Ummul Mukminin Aisyah


Beliau bernama Aisyah binti Abu Bakar as-Siddiq (Abdullah bin Usman Abi Quhafah) Radiyallahu Anhuma. Isteri Nabi dan kecintaan baginda yang telah disucikan dan dipuji Allah daripada atas langit. Wanita paling Faqeh secara muktamad yang mendapat gelaran as-Siddiqah bintu as-Siddiq.


Bapa beliau adalah sahabat Nabi yang paling disayangi dan khalifah Rasulullah selepas kewafatan baginda, yang merupakan insan paling mulia dikalangan umat Muhammad. Beliau juga adalah insan yang menemani Nabi ketika didalam gua Thur seperti di dalam surah Taubah ayat 40.


Aisyah dilahirkan 4 tahun selepas perutusan baginda sebagai Nabi dan Rasul. Nabi menikahi baginda selepas kewafatan isterinya yang pertama Khadijah binti Khuwailid. Perkahwinan itu sebelum hijrah Nabi beberapa belas bulan, iaitu ketika beliau berumur 7 tahun, dan ada pendapat yang mengatakan 6 tahun. Baginda menggauli Aisyah ketika beliau berumur 9 tahun. Nabi tidak berkahwin dengan anak gadis kecuali Aisyah seorang.


عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ : تُوُفِّيَتْ خَدِيجَةُ قَبْلَ مَخْرَجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِلَى الْمَدِينَةِ بِثَلاَثِ سِنِينَ ، فَلَبِثَ سَنَتَيْنِ أَوْ قَرِيباً مِنْ ذَلِكَ ، وَنَكَحَ عَائِشَةَ وهي بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ ، ثُمَّ بَنَى بِهَا وَهْيَ بِنْتُ تِسْعِ سِنِينَ ( أخرجه البخاري ـ كتاب مناقب الأنصار ـ باب تزويج النبي عائشة وقدومها المدينة وبنائه بها 5/71

Daripada Hisyam daripada bapanya telah berkata; "Telah wafat Khadijah sebelum 3 tahun Nabi berhijrah ke Madinah. Maka Nabi keseorangan selama 2 tahun ataupun kurang sedikit, dan Nabi menikahi Aisyah beliau berumur 6 tahun kemudian Nabi membina kehidupan (menggauli) Aisyah ketika berumur 9 tahun. Hadis riwayat Bukhari.


Perkahwinan Nabi bersama Aisyah adalah melalui isyarat wahyu. Telah datang Jibril kepada Nabi dengan membawa gambar Aisyah didalam mimpi baginda dan Jibril mengkhabarkan bahawa beliau (Aisyah) akan menjadi isteri baginda.



عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ : قال صلى الله عليه وسلم : « أُرِيتُكِ في الْمَنَامِ ثَلاَثَ لَيَالٍ جَاءَنِي بِكِ الْمَلَكُ في سَرَقَةٍ مِنْ حَرِيرٍ فَيَقُولُ هَذِهِ امْرَأَتُكَ . فَأَكْشِفُ عَنْ وَجْهِكِ فَإِذَا أَنْتِ هي فَأَقُولُ إِنْ يَكُ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ يُمْضِهِ » ( أخرجه البخاري ـ نفس الكتاب والباب السابق . وأخرجه مسلم ـ كتاب فضائل الصحابة ـ باب فضل أم المؤمنين عائشة. صحيح مسلم بشرح النووى 15/202 واللفظ له )


Daripada Aisyah bahawa beliau berkata; "Telah bersabda Nabi; (Aku diperlihatkan wajah kamu didalam tidur selama tiga malam. Malaikat telah mendatangkan kamu kepadaku ditutupi oleh sepotong kain daripada sutera, lalu berkata; "Ini adalah isteri kamu". Lalu aku bukakan wajahmu tiba-tiba ianya adalah kamu, maka aku katakan, sekiranya ini adalah daripada Allah maka ia akan melaksanakannya. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.



عَنْ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رضي الله عنه قَال : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : « فَضْلُ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى الطَّعَامِ » ( أخرجه البخاري ـ كتاب فضائل الصحابة ـ باب فضل عائشة 5/36 . وأخرجه مسلم ـ كتاب فضائل الصحابة ـ باب فضل عائشة. صحيح مسلم بشرح النووى 15/210-211)


Daripada Anas bin Malik berkata, aku mendengar Nabi bersabda; "Kelebihan Aisyah terhadap semua wanita seperti kelebihan Tharid terhadap semua jenis makanan". Hadis Bukhari dan Muslim.



keilmuan Ummul Mukminin Aisyah.

Beliau paling banyak menghafaz dan menaqalkan hadis-hadis Nabi kepada ummat islam. Sebab itu salah seorang diantara 7 sahabat Nabi yang paling banyak meriwayatkan hadis adalah Aisyah binti Abu bakar. Telah berkata Urwah; "Aku tidak lihat orang yang lebih alim dalam fekah, perubatan dan syair daripada Aisyah".



Ato' bin Abi Rabah berkata; "Aisyah adalah orang yang paling faqih, berilmu dan paling baik pandangannya pada urusan_urusan umum".


Berkata Imam az-Zuhri: "Jika dihimpunkan ilmu Aisyah untuk dibandingkan dengan ilmu sekalian Ummahatul Mukminin serta ilmu sekalian wanita sudah tentu ilmu Aisyah lebih baik".


قال أبو موسى : ما أشكل علينا أمر فسألنا عنه عائشة إلا وجدنا عندها فيه علمًا

Berkata Abu Musa; "Tidak berlaku sesuatu kemusykilan kepada kami kecuali apabila kami bertanyakan ianya kepada Aisyah kecuali kami dapati daripada beliau ilmu pada permasalahan tersebut".



قال مسروق : رأيت مشيخة من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم الأكابر يسألونها عن الفرائض .

Berkata Masruq: " Aku lihat ulama wanita dikalangan sahabat-sahabat besar Nabi mereka bertanyakan kepada Aisyah tentang ilmu Faraid".


قال الحافظ ابن حجر : الصديقة بنت الصديق مات النبي صلى الله عليه وسلم ولها نحو ثمانية عشر عامًا ، وقد حفظت عنه شيئاً كثيرًا وعاشت بعده قريبًا من خمسين سنة ، فأكثر الناس الأخذ عنها ، ونقلوا عنها من الأحكام والآداب شيئاً كثيرًا حتى قيل إن ربع الأحكام الشرعية منقول عنها ( فتح الباري (7/134


Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata; " As-Siddiqah binti as-Siddiq, telah wafat Nabi dan Aisyah berumur sekitar 18 tahun, beliau telah menghafaz daripada Nabi hadis yang banyak, beliau telah hidup selepas kewafatan Nabi hampir 50 tahun, maka ramailah manusia yang mengambil hadis daripada beliau, mereka menaqalkan daripada Aisyah daripada permasalahan hukum hakam dan adab yang banyak sehingga dikatakan bahawa 1/4 hukum hakam syarak telah dinaqalkan daripada Ummul Mukminin Aisyah".


الحافظ الذهبي : مسند عائشة يبلغ ألفين ومائتين وعشرة أحاديث . اتفق البخاري ومسلم لها على مائة وأربعة وسبعين حديثاً ، وانفرد البخاري بأربعة وخمسين وانفرد مسلم بتسعة وستين ( سير أعلام النبلاء 2/139


Al-Hafiz az-Zahabi berkata; "Musnad Aisyah mencecah 2210 hadis. Yang telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada jumlah itu adalah sebanyak 174 hadis. Sementara periwayatan Bukhari sahaja sebanyak 54 hadis, adapun Muslim sebanyak 69 hadis".



Apakah yang menyebabkan Ummul Mukminin banyak periwayatan hadisnya daripada Nabi?

1- Kerana beliau sering mendampingi Nabi sebagai seorang isteri. Ini menyebabkan beliau mengetahui banyak hal ehwal Nabi yang tidak diketahui oleh orang lain. Maka Ummul Mukminin telah menghafaz sesuatu yang tidak dapat dihafaz oleh orang lain.

2- Kecintaan Nabi yang begitu mendalam terhadap beliau melebihi isteri-isteri yang lain menyebabkan beliau dapat bertanya kepada baginda apa yang diingini dalam banyak perkara.

3- Umurnya yang masih muda, beliau telah hidup bersama-sama Nabi ketika berumur 9 tahun. Pada peringkat umur ini manusia dikurniakan kekuatan hafalan dan kecekapan yang sangat tinggi.

4- Kecerdikan semula jadi yang dimiliki oleh Ummul Mukminin Aisyah telah membezakan beliau dengan isteri-isteri Nabi yang lain. Menyebabkan beliau mampu menghafaz kata-kata Nabi, perbuatannya dan pengakuan Nabi dan setiap yang terbit daripada baginda.

5- Keberadaan Aisyah di Madinah secara berterusan yang ketika itu dipenuhi oleh penuntut-penuntut ilmu, maka ramailah yang mengambil daripada beliau sebelum dicatat dan disebarkan.

6- Selepas kewafatan Nabi, Ummul Mukminin meluangkan banyak masanya untuk meriwayatkan hadis-hadis Nabi dan memberi fatwa kepada setiap soalan-soalan. Beliau tidak disebukkan dengan urusan-urusan lain.

7- Beliau dikurnikan umur yang panjang selepas wafatnya Nabi, sekitar 50 tahun iaitu pada tahun 58 Hijrah beliau bertemu Allah, dalam tempoh yang panjang ini umat islam sangat memerlukan ilmunya dan beliau menjawap setiap apa yang diketahui daripada hadis Nabi Alaihissolatu Wassalam.


Beliau telah wafat pada tahun 57 Hijrah menurut pandangan yang soheh, iaitu pada malam selasa 17 Ramadhan selepas solat witir, dan dikebumikan pada malam itu juga, sementara jenazahnya diimamkan oleh Abu Hurairah Radiyallahu Anhu. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa kewafatan Ummul Mukminin Aisyah adalah pada tahun 58 Hijrah.

Tulisan Lain yang berhubungkait;

http://pembinaselangor.com/?p=517

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...