Walaupun saya bukanlah Ibnu Battuta yang sentiasa mencatat rehlah dan pengalaman permusafirannya ke banyak Negara, tetapi saya juga berminat untuk mencatat rehlah yang saya lalui ini sebagai kenangan diri sendiri dan mereka yang terlibat. Semoga beberapa orang yang membaca dapat mengambil manfaat sekiranya ianya bermanfaat.
Setelah merancang sekitar 2 minggu, saya, abg Najib, abg Khuzaini dan Abg Amad Fauzi bersama keluarga masing-masing bergerak menuju ke Tabuk pada 3 Feb 2011. Sekitar 11 pagi kami keluar menuju ke Tabuk melalui Hail. Dengan menaiki kereta Nissan Armada saya memandu dan menikmati keselesaan kereta 5.7 cc milik abang Najhib yang baru dibeli sekitar 2 minggu itu. Abg Ahmad fauzi menaiki kereta Chevrolet bersama isteri dan 3 anak-anaknya. Sementara abg Khuzaini bergerak daripada Madinah bersama isteri dan 4 orang anaknya. Saya, abg Najib, kak Yati serta 2 anak mereka dalam satu kereta.
Kami mengisi minyak sebanyak sr 200 untuk sampai ke Tabuk melalui Hail yang jaraknya sekitar 1200km. kami mengambil hotel di Tabuk memandangkan kami sampai telah lewat malam. Rehat disana sehinggalah esok pagi untuk meneruskan perjalanan menuju ke sempadan Aqabah.
04 Februari 2011
Berada di laut merah bersempadan dengan Mesir
Peserta rehlah lelaki
Kami memasuki sempadan Jordan melalui Manfaz ad-Durrah tanpa sebarang bayaran. Kami terselamat daripada membayar visa yang sepatutnya sebanyak 20 Dinar Jordan setiap orang disebabkan sempadan itu dianggap sebagai zon pelancongan.
Kami meneruskan perjalanan ke Mu'tah selepas selesai semua dokumen, Insyuran kereta sebanyak 24 Dinar, Cukai membawa kereta masuk sebanyak 20 Dinar. Sampai ke rumah sewa persatuan pelajar Mu'tah pada pukul 12 malam dengan melalui laluan berbukit, hujan renyai-renyai dan kabus tebal. Akhirnya dengan menggunakan perkhidmatan GPS kami sampai dan disambut oleh seorang pelajar Mu'tah yang saya kenali 4 tahun lalu. Akhi Najmuddin dengan ramahnya menyambut kedatangan kami dan membawa ke Bandar Mu'tah yang pada jangkaan saya ianya adalah Bandar tetapi sebenarnya adalah kampong kecil yang sangat miskin. Jalan-jalan yang sememangnya teruk semakin teruk disebabkan hujan lebat. Setelah menjamu masakan akh Najmuddin, Hasrul dan Hadi kami tidur di rumah persatuan pelajar Mu'tah. Cuaca sangatlah sejuk.
05 Februari 2011.
Kubu al-Karak
Kami menuju ke al-Karak setelah membeli sim kad yang tidak lama kemudian disekat perkhidmatannya! Saya membelinya dengan harga 10 dinar dengan kredit sebanyak 6 dinar, saya sudah kerugian! Sehinggalah saya memasuki syiria, simkad itu hanya boleh menerima panggilan sahaja. Sungguh kritikal tahap ketakutan keraajan Jordan dengan krisis politik yang berlaku di Tunisia dan Mesir.
Setelah bersarapan kami pergi melawat kubu al-Karak yang dibina pada zaman Rom pada tahun 855 sebelum Hijrah yang akhinya menjadi salah satu kubu penting Solehuddin al-Ayyubi. Setelah menunaikan solat zohor dan asar secara berjemaah kami menuju ke tempat berlakunya peperangan Mu'tah. Kemudian sempat menziarahi perkuburan 3 orang syuhada' Mu'tah yang terkenal iaitu Zaid bin al-Harithah, Ja'far bin Abi Tolib (al-Toyyar) dan Abdullah bin Rawahah Radiyallahu Anhum Jami3an. Kami bermalam pula di al-Karak dan bergerak menuju ke laut Mati melalui jalan-jalan berbukit pada keesokkan paginya.
06 Februari 2011,
Pagi itu kami bergerak menuju ke laut mati yang jaraknya sekitar 100 km. Melihat sempadan Palestin yang ditawan Israil dan akhirnya berhenti dan mandi di laut mati yang pada perkiraan saya adalah tasik. Untuk mandi di laut paling masin dan boleh terapung itu kami perlu membayar sebanyak 15 dinar setiap dewasa dan 10 dinar bagi kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah. Bayangkan betapa banyak caj yang dikenakan kerajaan Jordan untuk pelancong sehinggakan keatas rakyatnya sendiri. Dikhabarkan tiket untuk melawat Petra telah dinaikkan kepada 90 dinar berbanding 50 dinar sebelum ini. Menyebabkan kami membatalkan sahaja lawatan ke Petra disebabkan beberapa factor. Untuk makluman pelajar-pelajar Jordan hanyalah membayar caj tiket sebanyak 1 dinar sahaja setiap orang. Jika anda boleh berdialog arab serba sedikit bolehlah menggunakan kad student untuk mendapatkan harga tersebut.
Mandi di laut mati
Setelah mandi, Kami singgah ke Amman dan menjamu makan tengahari bersama ustaz Anuar Ridzuan yang merupakan pelajar PhD di Jordan. Setelah menunaikan solat zohor dan asar secara jamak dan qasar, kami menuju ke Maqraq dengan berpandukan kepada GPS milik abg Najib. Akhirnya kami sampai setelah meredah perjalanan sekitar 55 km. tidur di Mafraq di sebuah syuqqah dengan bayaran 25 dinar setiap bilik. Kami tidur agak awal untuk bangun meneruskan perjalanan esok pagi ke Syiria.
07 Februari 2011,
Setelah bersarapan pagi ala-ala Jordan kami menuju ke sempadan Syiria yang jaraknya daripada al-Mafraq sekitar 20 km sahaja. Melalui sempadan al-Jabir, kami menguruskan semua dokumen yang diperlukan untuk memasuki sempadan Syiria. Bayaran sebanyak sr 235 dikenakan pada setiap kereta. Itupun setelah seorang warga Saudi yang baru kami kenali membantu dan berdebat dengan pegawai-pegawai Syiria bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan kepada setiap pelancong luar. Saya juga dimaklumkan oleh Abu Abdillah yang telah berulang alik ke Syiria ini bahawa setiap pelancong haruslah berhati-hati dengan penceluk saku, dan sebarang penipuan. Tanpa sebarang bayaran visa kami memasuki kota Damascus/Damsyik dan akhirnya menuju ke al-Zabadiyah dan mengambil satu villa besar dengan harga sr 1200 riyal untuk sewa sebanyak 2 hari. Villa 2 tingkat lengkap dengan kolam renang itu mempunyai 5 bilik tidur, ruang tamu yang luas, 4 tandas, park kereta dan taman kecil. Sungguh selesa!
Kami mendapat berita bahawa harga minyak di Syiria lebih murah berbanding Jordan, maka kami dengan sengaja hanya mengisi minyak ketika sampai di Damsyik. Hakikatnya harga minyak di Syiria lebih mahal 20sen berbanding Jordan! Wang syiria yang baru abg Najib beli telah dengan harga sr200 itu telah habis semuanya untuk membayar minyak petrol.
Barulah anda tahu betapa murahnya harga minyak di pasaran Saudi yang hanyalah berharga sr 0.45 sen untuk ron 91 dan sr 0.60 bagi ron 97. Adapun di Jordan ron 90 anda perlu membayar 0.62 dinar dan 0.78 sen dinar mengikut harga pasaran dunia. Sekitar 3.4 riyal Saudi. Adapun jika anda berada di syiria anda perlu membayar sebanyak 3.66 riyal bagi setiap satu liter minyak petrol. Jordan dan Syiria bukanlah pengeluar minyak dan tidak mempunyai sumber minyak tidak seperti Iraq, Saudi dan Negara-negara teluk yang lain.
08 Februari 2011,
Nabihah bermain salji
Di atas Jabal Bludan
kami sudah kesuntukan masa memandangkan hari sabtu adalah permulaan hari belajar bagi semua sekolah-sekolah dan university di Arab Saudi. Pagi itu kami bergerak menuju ke Jabal Bludan berhampiran Villa yang kami sewa. Kawasan bukit yang tinggi itu kami daki dengan menaiki kereta masing-masing. Sehinggalah akhirnya kami sampai ke puncak dan dapat melihat saki baki salji. Semua kanak-kanak termasuk dewasa keseronokan walaupun cuaca ketika itu sejuk. Puas bermain salji kami turun dan bersiap-siap untuk melawat kota Damsyik dan berjalan disekitar Jami' Umawi dan pasar Hamidiyyeh. Meredah jalan raya tanpa peta akhirnya memaksa saya mengambil sebuah teksi bagi memandu kami ke tempat yang dimaksudkan. Dengan bayaran hanya 30 Lira Syiria, kami sampai di tengah-tengah kota. Jalan sangatlah sesak, tiada tempat letak kereta. Setelah bertemu dengan abg zaidi warga melayu yang bekerja di sana. Kami meletakkan kereta agak jauh dan mula berjalan kaki menuju ke masjid Umawi.
Sehinggalah kami melalui kawasan perkuburan yang saya kira pelik memandangkan batu nisannya yang melampau tinggi. Saya kira ini adat orang-orang syiria yang perlu diubah. Ketinggian batu nisan kadangkala menyamai saya! saya sempat menziarahi kubur Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah kerana kebetulan dalam laluan kami. semoga Allah merahmati beliau dan menempatkannya bersama para solehin.
Kami membeli belah di sekitar pasar terkenal itu. Barang-barang sangatlah murah harganya. Syiria terkenal dengan kepakaran barangan kulitnya. Walaupun tanpa jenama hebat tetapi kasut dan jaket yang dijual adalah daripada kulit yang asli. Kami menuju ke Jami' Umawi, didalamnya terdapat kubur Nabi Lut, Khidir dan Ayyub. Apapun saya tidak yakin itu adalah kubur para Anbiya tersebut.
Petang itu, kami dijemput untuk makan malam dirumah seorang pelajar Universiti Madinah yang saya kenal yang berkahwin dengan pelajar melayu di Syiria. Akhi khairun Nasirin telah menghidangkan ikan dan ayam goring yang telah dihabiskan semuanya oleh anak-anak abg Khuzaini, abg Najib dan abg Fauzi. Mungkin kerana kelaparan dan masakan isteri Nasirin yang enak! Apepun syukran kepada mereka. Sekitar pukul 10.30 pm kami bergerak pulang ke rumah sewa kami az-Zabadani. Terpaksa meredah jarak 60km barulah kami sampai, terus solat jamak ta'khir dan tidur.
09 Februari 2011,
Berhampiran Maqam Habil bin Nabi Adam Alaihissalam
Pukul 9 pagi kami keluar daripada rumah sewa tanpa bersarapan pagi. Terus menuju ke tempat yang dikatakan maqam Habil bin Adam. Ini kerana ianya berkebetulan dilaluan pulang kami. Peliknya apabila puak-puak syiah (gagak hitam dalam istilah pelajar melayu Syiria) begitu ramai dan melakukan perkara-perkara khurafat dan bidaah disana. Kubur itu berada di kawasan bukit di al-Zabadani. Saya tetap tidak yakin bahawa kubur sepanjang 4 depa saya itu adalah milik Habil! bukankah Nabi Adam 60 hasta? Mungkinkah anaknya hanya tinggal beberapa hasta sahaja tingginya? Selepas itu kami menuju ke sempadan Jordan untuk sampai ke Amman awal. Akan tetapi urusan di sempadan 2 negara agak memakan masa. Dikenakan bayaran sebanyak 500 Lira setiap orang untuk keluar daripada sempadan Syiria. Setelah itu perlu membayar visa memasuki Jordan sebanyak 20 JD. Setiap kenderaan dikenakan tax sebanyak 20 JD seperti awal kedatangan kami melalui sempadan Saudi.
Setelah maghrib barulah kami sampai ke kota Amman. Disana saya bertemu dengan seorang sahabat karib yang saya kenali di bumi Madinah. Menyambung master di UIA, kemudian mendapat tawaran scholarship daripada kerajaan Jordan. Ianya adalah khas bagi Negara-negera minority muslimin sahaja. Akhi Syukri warga Kemboja yang fasih berbahasa melayu ini membawa kami bersiar-siar sekejap mencari restoran di kota Amman dan meninjau sahaja kedai-kedai disekitarnya. Sekitar 8 malam, kami mula bergerak untuk menyambung perjalanan menuju masuk ke sempadan Saudi melalui al-Ghurayyat. Untuk keluar daripada Jordan kami diwajibkan membayar 8 dinar setiap orang! Akhirnya kami selamat memasuki sempadan Saudi dan dapat mengisi minyak petrol dengan nafas yang tenang dan lancar kerana harganya yang terlalu murah. Mengambil 3 Syuqqah (Apartment) dengan bayaran Sr250 setiap pintu memandangkan jam telah menunjukkan jam 2.30 pagi.
10 Februari 2011,
Jam 11 pagi kami bergerak untuk menuju ke kota Riyadh. Abg khuzaini mengambil laluan jalannya menuju ke kota Madinah. Kami 2 kenderaan meneruskan lagi perjalanan yang jaraknya sekitar 1400km. dengan melalui beberapa Bandar besar seperti sakaka, Ar Ar, Dumatul Jandal, al-Turaifi dan Qasim akhirnya pada pukul 2 pagi kami sampai ke rumah masing-masing dengan selamat. Perjalanan ini agak mencabar kekuatan mental dan fizikal. Tetapi ianya merupakan pengalaman manis yang jarang dilalui ramai orang. Terkenang saya bagaimanakah perjalanan yang ditempuh oleh para ulama tatkala mereka meredah ribuan kilometer untuk mencari ilmu dan hadis-hadis Nabi. Sedangkan mereka tidak menaiki kereta. Tidak juga kapal terbang, sebahagiannya berjalan kaki sementara yang lainnya menaiki unta. Semoga Allah merahmati perjalanan hidup mereka yang dicurahkan untuk ilmu dan agama. Hasil-hasil mereka dapat dilihat dan dirasai oleh kita semua. Kita bermohon agar Allah memberikan keberkatan masa dan umur sepanjang merentasi liku-liku hidup yang penuh dengan cabaran ini. Wallahu A3lam.
Bersedia pulang ke Riyadh daripada al-Ghurayyat
11Februari 2011 : Husni Mubarak president Mesir mengumumkan perletakkan jawatannya selepas maghrib setelah memerintah selama 30 tahun bermula tahun 1981 Masihi! Tahniah kepada rakyat Mesir!!
Nota penting;
*keseluruhan jarak perjalanan Riyadh-Jordan-Syiria-Riyadh : 4300 km
*Kos penginapan, minyak petrol, visa, tax, bayaran-bayaran lain kecuali makan dan shopping : SR4200 (kereta Armada abg Najib dengan jumlah muatan 5 orang).
* 1 malam di Tabuk, 3 malam di Jordan, 2 malam di Syiria dan 1 malam di al-Ghurayyat.
*Tukaran wang adalah seperti berikut;
-Sr100 = Rm81.42
-Sr100 = 1240 Lira Syiria
-Sr100 = 18.88 Dinar Jordan.
1 comments:
Syabas dan tahniah di atas catatan yang lengkap dan padat. Semoga kita semua mendapat hikmah dan pengajaran disebalik perjalanan rehlah ini. Ahmad Fauzi
Catat Ulasan