RSS Feeds

Khamis, 9 Jun 2011

10 Tahun Yang Lalu


Kadang-kadang teringin berkongsi pengalaman hidup yang tidak seberapa ini, tetapi saya tahan-tahankan khawatir tiada manfaatnya, khawatir hanya membuka pekung didada lalu mengundang bencana kepada diri sendiri. Tetapi kali ini memandangkan umur saya yang sudah 29 tahun pada esok hari, saya ingin juga kongsikannya serba sedikit sebagai catatan hidup saya yang pastinya hanya cerita-cerita yang baik sahaja, sedangkan keburukan-keburukan diri dan dosa-dosa yang lalu sangatlah banyaknya. Saya pohon ampun dan istighfar kepada Allah yang rahmat dan keampunannya lebih luas daripada bumi dan sekalian isinya.


10 Tahun Yang Lalu:

Saya sangatlah gembira mendapat berita bahawa nama saya diantara yang terpilih untuk melanjutkan pengajian ke University islam Madinah. Syukur kerana daripada 18 orang pelajar itu nama saya terpilih! Belajar percuma, diberikan elaun sara diri dan diberikan tiket kapal terbang percuma setiap tahun pada musim panas. Ya Allah, betapa besarnya anugerahMu kepada hamba yang fakir ini. Saya sudah merangka-rangka untuk menyambung pengajian di timur tengah tatkala umur saya 15 tahun lagi. Dengan mengambil peta dunia, satu persatu Negara saya bulatkan. Tetapi yang terakhirnya, tangan dan minda saya berhenti apabila berada pada peta Arab Saudi (Madinah an-Nabawiyyah). Saya berdoa, Alhamdulillah mendapat taufik kearah itu.


Paling Muda:

Saya masih ingat, pada bulan September 2001 ketika di KLIA, saya belum lagi bermisai dan tidak juga berjanggut. Umur 19 tahun ketika itu dan yang paling muda ialah akhi Alfi Syahrin Jamilin berumur 18 tahun. Dengan penuh tekad dan azam, buat pertama kalinya anak orang kampong ini menaiki kapal terbang dengan segala nasihat dan semangat, menuntut ilmu Allah yang maha luas di bumi Hijaz. Saya akan pulang memberi peringatan kepada insane-insan yang saya kenali. Menyampaikan tugas sebagai pendakwah insyaallah. Ketika kecil, saya sangatlah hairan melihat kepetahan penceramah tatkala berbicara, mengeluarkan nas-nas al-Quran dan al-Hadis! Lalu saya bercita-cita supaya menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Dikurniakan Allah kepetahan dalam syarahan dan memiliki suara yang merdu dan enak didengar untuk membaca ayat-ayat Allah. Semoga cita-cita ini kesampaian jua insyaallah.


7 Tahun di Madinah:

Saya belajar mendampingi para ulama di Masjid Nabawi. Guru pertama yang saya hadiri majlisnya ialah Syeikh Abu Bakar al-Jazairi mengajar kitab tafsirnya (Aisarut Tafasir). Cara penyampaiannya yang jelas serta tidak laju itu agak memudahkan saya untuk memahami bahasanya. Kira-kira setahun saya bersama beliau, saya berpindah untuk menghafal hafazan al-Quran saya yang terbantut ketika 8 bulan di Ma'ahad Tahfiz Negeri Perak. Alhamdulillah walaupun tidak habis tapi saya berjaya menghafaz lebih 2/3 al-Quran bersama seorang syeikh Mesir yang memiliki sanad dan berkerja di Mujamma' Malik Fahad.

Saya mengambil kursus bahasa arab selama 2 tahun bersama sahabat-sahabat yang lain. Ust Zaidi Khalid, Ust Saufi, Ust Habibi, Ust Wan Abdul Rahman, Ust Baharuddin, Ust Helmi, Ust Najmuddin, Ust Abdul Salam, Ust Ghazali Hadi, Ust Sofauddin dan Ust Sirajuddin. Sebahagian mereka cuma setahun sahaja dan sekitar 5 orang selama 2 tahun bermula dengan Mustawa 2 dan berakhir dengan Mustawa 5 (tiada peperiksaan). Saya dan beberapa sahabat kurang bernasib baik apabila dalam tempoh tersebut diberikan elaun pelajar thanawi iaitu 375 riyal sahaja sebulan. Namun kami hidup seperti pelajar lain walaupun tidaklah semewah mereka.


Memilih Kuliah & Bidang Pengajian:

Pada asalnya kuliah syariah menjadi pilihan utama saya memandangkan keperluan yang tidak pernah putus dari sudut fekah samada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Tetapi, nama saya keluar di Kuliah Dakwah dan Usuluddin yang secara langsung saya terselamat daripada memasuki Ma'ahad Thanawi untuk tempoh setahun. Malas menyusahkan diri dengan urusan saya terima sahaja disamping mahu mengubah persepsi majority pelajar Malaysia ketika itu bahawa kuliah Dakwah melahirkan graduan yang syadid & keras pendekatannya. Ketika itu hanya 7 orang sahaja pelajar Malaysia di kuliah dakwah berbanding dengan jumlah mereka yang keseluruhannya ialah sekitar 110 orang. Alhadulillah saya tidak pernah gagal dalam pelajaran walaupun saya tidaklah sehebat sahabat sekuliah saya Ust Asyraf Isyraqi pelajar Jaid Jiddan di Mesir mendapat BA syariah. Kemudian menjadi pelajar Mumtaz di kuliah Dakwah & Usuluddin hingga graduan.

Ketika di tahun satu hingga tahun 4 kuliah saya memilih untuk istiqamah menghadiri kuliah Fadhilah as-Syeikh Abdul Muhsin Abbad al-Badr Hafizahullah. Setiap malam kuliah hadis Jami' Tirmizi beliau sampaikan selepas maghrib hingga Isya kecuali malam Jumaat sahaja cutinya dalam seminggu. Pada malam jumaat pula kuliah Syeikh Muhamad Mukhtar as-Syanqity menjadi pilihan ramai penuntut ilmu. Umdatul feqh dan diselangi dengan kitab Umdatul ahkam. Sahabat yang sama hadir kuliah Syeikh Abdul Muhsin ialah Ust Abdul Rahman Rahim banyak membantu saya sehinggalah kami sama-sama Khatam, walaupun saya sendiri kurang ingat dan tidak ingatJ. Selain beliau kelihatan Ustaz Lukmanul Hakim, Ustaz Khairil Husaini dan lain-lain lagi semoga Allah mengurniakan taufik yang berpanjangan kepada mereka. Amin.


Diploma Tinggi Dakwah:

Habis graduate BA daripada kuliah Dakwah & Usuluddin pada bulan Julai 2007, saya diterima dan lulus untuk menyambung Diploma Tinggi Dakwah selama setahun. Al-hamdulillah saya adalah pelajar Malaysia kedua yang berjaya mendapat sijil tersebut selepas Ust Along Rosfan. Saya pulang pada Julai 2008 setelah 7 tahun bermukim dan membesar di bumi Madinah. Segala pujian kepada Allah yang telah membantu saya dan menganugerahkan nikmat belajar di bumi Nabi. Saya sedar, bahawa ramai yang bercita-cita untuk duduk dikerusi tersebut, tetapi setiap tahun hanyalah sejumlah kecil sahaja yang ditawarkan untuk belajar di University ini yang telah berjaya melahirkan ramai para ulama dan tokoh sekalipun umurnya tidaklah sesenja University al-Azhar di Mesir.


Meneruskan Perjuangan:

Kini saya sudah 2 tahun lebih berada di kota Riyadh. Ramai teman-teman yang sudah berada dilapangan dakwah. Ramai juga yang sudah beristeri dan beranak pinak. Saya ucapkan tahniah kepada mereka semua. Masih ramai juga yang masih membujang. Masing-masing punya alasan tersendiri mengapa agak lewat mereka membina rumahtangga. Mungkin insan hebat seperti Ust Shafik dan Ust Shukri kemboja lebih mengutamakan ilmu sebelum mereka mentarbiah anak gadis orang. Apapun jua, mereka semua adalah sahabat-sahabat saya, semoga perkenalan yang bermula di bumi Hijaz akan terus berkekalan hingga akhir hayat. Begitu cepatnya masa berlalu memintas kita, sedar mahupun tidak sudah separuh usia berlalu tanpa saya tahu adakah kebaikan lebih dominan disisi saya @ keburukan. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya sekalian lama.

Kepada sahabat-sahabat, maafkan saya jika anda kurang berminat untuk disebut namanya didalam tulisan ini. Tetapi ingatlah bahawa kalian adalah insan-insan yang telah mendampingi saya dan merentasi masa dibumi yang sama. Allahu Yusaddidukum Fi Jami3 Umurikum.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...