RSS Feeds

Selasa, 21 Jun 2011

Pulang Bercuti Ke Tanahair


Jika memikirkan tugasan, maka sebagai hamba Allah tugasan kita sebagai makhluk tidak pernah selesai hinggalah kita tidak lagi bernyawa dan bernafas. Demikian kita walaupun bercuti dan punya masa yang pada perkiraan sebahagian orang agak lama. 2 bulan setengah macam-macam yang boleh dilakukan oleh sebahagian orang yang bijak mengurus masanya, manakala sebahagian yang lain seperti saya, hanyalah sekelumit perkara yang boleh dilaksanakan. Semoga Allah memberikan keberkatan masa kepada saya selepas ini insyaallah.


Tiket bernilai 3800 riyal ini saya ambil tanpa sebarang bayaran. Tempoh cuti yang panjang ini saya ambil dalam keadaan saya tidak bersedia untuk memberi apa-apa kebaikan buat orang lain. Bumi Riyadh ini akan saya tinggalkan beberapa ketika untuk saya nikmati semula ilmu, persekitarannya dan saya santuni insan-insan yang saya kenali jika dipanjangkan usia. Semoga ruh dan majlis-majlis ilmu yang kita singgahi bersama akan tetap subur sekalipun saya jauh meninggalkan saudara saudari. Nasihat dan senyum tawa kalian akan saya ukirkan sebagai catatan tarikh saya yang tersendiri. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua.


Saya tahu, bahawa ukhuwwah yang terbina kadang kala dicemari oleh angin-angin lintang yang kadangkala mengguris rasa, menggamit duka dan mencarik harmoni. Tetapi sama-samalah kita berlapang dada, saling bermaafan dan mencari damai agar di akhirat nanti lebih ringan perhitungannya. Tinggalkan umpatan dan rasa kedengkian, insyaallah kita semua akan bahagia walaupun hidup di perantauan.


Masing-masing orang dengan dugaannya, semua di uji Allah mengikut tahap keimanan masing-masing. Saling bantu membantulah kita kearah kebaikan dan keredhoan tuhan. Saling mendoakan kebaikan buat teman-teman dan kenalan, maka doa itu bukan hanya diaminkan oleh para malaikat, bahkan kebaikan yang kita pintakan buat sahabat kita itu akan dipohon pula untuk diri kita oleh para malaikat tadi. Begitulah besarnya nikmat persaudaraan dalam islam jika ianya difahami dan dihayati.



((وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ))

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk". Al Imran ayat 103.


Buat abang-abang dan akak-akak yang saya kenali dan mengenali saya, maafkan salah silap insan yang kerdil ini. Halalkan makan minum saya dan tutur kata saya yang mengguris hati. Semoga masih wujud ruang dan ada keizinan tuhan untuk dipertemukan kita pada masa-masa yang akan datang.


Buat sahabat-sahabat yang telah graduan daripada Universiti islam Madinah dan Ummul Qura, ana ucapkan tahniah kepada kalian semua! Ingatlah tugasan yang berat menanti anda di dataran dan medan yang sebenar. Jadilah pendakwah yang bijaksana, memiliki ilmu dan hikmah, semoga kalian menjadi graduan yang berjaya didunia dan akhirat. Amin..

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...