PARIT BUNTAR, 12 Julai: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) mempersoalkan kewajaran polis mendedahkan kononnya kerajaan memperuntukkan RM25 setiap hidangan kepada penyokong Bersih 2.0 yang ditahan dalam perhimpunan aman di ibu negara, Sabtu lepas.
Beliau berkata, dikatakan sebanyak RM42,425 diperuntukkan untuk juadah bufet yang disediakan bagi menampung 1,697 individu ditahan.
Katanya, kenyataan tersebut dikatakan untuk menafikan dakwaan bahawa tahanan dilayan tanpa belas kasihan.
Dalam kenyataan itu juga Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, bukan hanya makanan umpama kenduri kahwin, polis turut menyediakan tempat solat untuk tahanan beragama Islam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak.
Dalam kenyataan itu dikatakan ruang solat, bilik rawatan perubatan juga disediakan bagi memberi keselesaan kepada peserta.
Tempat tahanan itu melibat Pulapol, balai polis di Jinjang dan Cheras.
“Bagi saya tujuan kenyataan yang dikeluarkan di atas adalah untuk menunjukkan baiknya pihak kerajaan melayan orang kena tahan (OKT) sedangkan realiti yang dapat disaksikan dengan ratusan jumlah rakaman yang tersebar dalam media baru dengan jelas menunjukkan para peserta himpunan aman Bersih dikasari dan ada yang diperlakukan seperti binatang,” ujarnya.
Persoalanya, kata beliau wajarkah seramai itu mereka ditahan sedangkan himpunan itu adalah himpunan aman dan sudahpun mendapat perkenan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.
Beliau yang juga Adun Titi Serong berkata, cuma pihak Hishammuddin sahaja yang berdegil untuk tidak memberi permit sesuai dengan pemohonan Jawatankuasa Bersih yang memohon untuk berhimpun di Stadium Merdeka.
Selain itu, soalnya kenapa pula pihak polis tidak sedikitpun mengeluarkan kenyataan walaupun didakwa anggota polis yang bertugas sebelum, semasa dan selepas perhimpunan hanya diberi makanan bungkus, namun berapakah jumlah biaya yang dikeluarkan untuk itu.
“Setahu saya jumlah pasukan keselamatan yang dikerah untuk bertugas melebihi 10,000 orang.
“Kalaulah seorang memerlukan peruntukan makan sebanyak RM10 sahaja tentunya biayanya lebih besar dari biaya untuk OKT iaitu RM100,000,” ujarnya.
Itupun, katanya tidak dikira lagi elaun perjalanan, dan lain-lain tuntutan bagi semua anggota yang terlibat.
“Jangkaan saya akan mencecah tujuh angka,” katanya.
Malah, ujarnya menurut OKT sejadah untuk sembahyang yang disediakan nampak baru semuanya dan berapa pula biaya untuk itu semua.
“Juga kenapa pula mereka tidak mengeluarkan kenyataan mengenai biaya menyediakan peluru gas pemedih mata dan air asid yang saya kira mungkin paling banyak digunakan pada himpunan aman itu,” katanya lagi.
beliau menambah, sesungguhnya membesarkan jumlah biaya makan untuk OKT dangan merahsiakan jumlah biaya keseluruhan operasi menghalang hak dan kuasa rakyat berhimpun secara aman adalah sesuatu tindakan yang lucu dan tidak bertanggungjawab.
Justeru, beliau mengharapkan ada ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat yang akan menjadikan topik itu sebagai soalan dalam sidang Parlimen akan datang.
Apapun, katanya tindakan menghalang himpunan aman adalah jelas satu tindakan yang sangat tidak bijak dan menggambarkan ketakutan yang amat sangat kepada demokrasi yang lebih bersih dalam negara kita.
Tambahnya, pemimpin Umno dan BN sangat takut dengan kuasanya yang akan hilang tanpa bantuan tongkat sakti selama ini yang semakin tidak sakti.
Baginya, apa saja alasan yang dikeluarkan oleh mereka sebelum dan selepas himpunan aman Bersih adalah usaha untuk menggambarkan himpunan itu gagal mencapai matlamatnya.
“Biarkan mereka cuba menipu rakyat dan dirinya sendiri. Marilah kita sama-sama bertekad untuk menyelamatkan Malaysia yang mesti diselamatkan dalam PRU akan datang.
“Tidak ada lain hanyalah dengan berkerja dengan gigih dan tekun tanpa mengitra penat dan lelah. Apa lagi untuk takut kepada ancaman dari BN yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu,” katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4314-berapa-kos-kerajaan-halang-himpunan-bersih-20
0 comments:
Catat Ulasan