RSS Feeds

Selasa, 21 Jun 2011

Pulang Bercuti Ke Tanahair


Jika memikirkan tugasan, maka sebagai hamba Allah tugasan kita sebagai makhluk tidak pernah selesai hinggalah kita tidak lagi bernyawa dan bernafas. Demikian kita walaupun bercuti dan punya masa yang pada perkiraan sebahagian orang agak lama. 2 bulan setengah macam-macam yang boleh dilakukan oleh sebahagian orang yang bijak mengurus masanya, manakala sebahagian yang lain seperti saya, hanyalah sekelumit perkara yang boleh dilaksanakan. Semoga Allah memberikan keberkatan masa kepada saya selepas ini insyaallah.


Tiket bernilai 3800 riyal ini saya ambil tanpa sebarang bayaran. Tempoh cuti yang panjang ini saya ambil dalam keadaan saya tidak bersedia untuk memberi apa-apa kebaikan buat orang lain. Bumi Riyadh ini akan saya tinggalkan beberapa ketika untuk saya nikmati semula ilmu, persekitarannya dan saya santuni insan-insan yang saya kenali jika dipanjangkan usia. Semoga ruh dan majlis-majlis ilmu yang kita singgahi bersama akan tetap subur sekalipun saya jauh meninggalkan saudara saudari. Nasihat dan senyum tawa kalian akan saya ukirkan sebagai catatan tarikh saya yang tersendiri. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita semua.


Saya tahu, bahawa ukhuwwah yang terbina kadang kala dicemari oleh angin-angin lintang yang kadangkala mengguris rasa, menggamit duka dan mencarik harmoni. Tetapi sama-samalah kita berlapang dada, saling bermaafan dan mencari damai agar di akhirat nanti lebih ringan perhitungannya. Tinggalkan umpatan dan rasa kedengkian, insyaallah kita semua akan bahagia walaupun hidup di perantauan.


Masing-masing orang dengan dugaannya, semua di uji Allah mengikut tahap keimanan masing-masing. Saling bantu membantulah kita kearah kebaikan dan keredhoan tuhan. Saling mendoakan kebaikan buat teman-teman dan kenalan, maka doa itu bukan hanya diaminkan oleh para malaikat, bahkan kebaikan yang kita pintakan buat sahabat kita itu akan dipohon pula untuk diri kita oleh para malaikat tadi. Begitulah besarnya nikmat persaudaraan dalam islam jika ianya difahami dan dihayati.



((وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ))

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu Karana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk". Al Imran ayat 103.


Buat abang-abang dan akak-akak yang saya kenali dan mengenali saya, maafkan salah silap insan yang kerdil ini. Halalkan makan minum saya dan tutur kata saya yang mengguris hati. Semoga masih wujud ruang dan ada keizinan tuhan untuk dipertemukan kita pada masa-masa yang akan datang.


Buat sahabat-sahabat yang telah graduan daripada Universiti islam Madinah dan Ummul Qura, ana ucapkan tahniah kepada kalian semua! Ingatlah tugasan yang berat menanti anda di dataran dan medan yang sebenar. Jadilah pendakwah yang bijaksana, memiliki ilmu dan hikmah, semoga kalian menjadi graduan yang berjaya didunia dan akhirat. Amin..

Khamis, 9 Jun 2011

10 Tahun Yang Lalu


Kadang-kadang teringin berkongsi pengalaman hidup yang tidak seberapa ini, tetapi saya tahan-tahankan khawatir tiada manfaatnya, khawatir hanya membuka pekung didada lalu mengundang bencana kepada diri sendiri. Tetapi kali ini memandangkan umur saya yang sudah 29 tahun pada esok hari, saya ingin juga kongsikannya serba sedikit sebagai catatan hidup saya yang pastinya hanya cerita-cerita yang baik sahaja, sedangkan keburukan-keburukan diri dan dosa-dosa yang lalu sangatlah banyaknya. Saya pohon ampun dan istighfar kepada Allah yang rahmat dan keampunannya lebih luas daripada bumi dan sekalian isinya.


10 Tahun Yang Lalu:

Saya sangatlah gembira mendapat berita bahawa nama saya diantara yang terpilih untuk melanjutkan pengajian ke University islam Madinah. Syukur kerana daripada 18 orang pelajar itu nama saya terpilih! Belajar percuma, diberikan elaun sara diri dan diberikan tiket kapal terbang percuma setiap tahun pada musim panas. Ya Allah, betapa besarnya anugerahMu kepada hamba yang fakir ini. Saya sudah merangka-rangka untuk menyambung pengajian di timur tengah tatkala umur saya 15 tahun lagi. Dengan mengambil peta dunia, satu persatu Negara saya bulatkan. Tetapi yang terakhirnya, tangan dan minda saya berhenti apabila berada pada peta Arab Saudi (Madinah an-Nabawiyyah). Saya berdoa, Alhamdulillah mendapat taufik kearah itu.


Paling Muda:

Saya masih ingat, pada bulan September 2001 ketika di KLIA, saya belum lagi bermisai dan tidak juga berjanggut. Umur 19 tahun ketika itu dan yang paling muda ialah akhi Alfi Syahrin Jamilin berumur 18 tahun. Dengan penuh tekad dan azam, buat pertama kalinya anak orang kampong ini menaiki kapal terbang dengan segala nasihat dan semangat, menuntut ilmu Allah yang maha luas di bumi Hijaz. Saya akan pulang memberi peringatan kepada insane-insan yang saya kenali. Menyampaikan tugas sebagai pendakwah insyaallah. Ketika kecil, saya sangatlah hairan melihat kepetahan penceramah tatkala berbicara, mengeluarkan nas-nas al-Quran dan al-Hadis! Lalu saya bercita-cita supaya menjadi seperti mereka suatu hari nanti. Dikurniakan Allah kepetahan dalam syarahan dan memiliki suara yang merdu dan enak didengar untuk membaca ayat-ayat Allah. Semoga cita-cita ini kesampaian jua insyaallah.


7 Tahun di Madinah:

Saya belajar mendampingi para ulama di Masjid Nabawi. Guru pertama yang saya hadiri majlisnya ialah Syeikh Abu Bakar al-Jazairi mengajar kitab tafsirnya (Aisarut Tafasir). Cara penyampaiannya yang jelas serta tidak laju itu agak memudahkan saya untuk memahami bahasanya. Kira-kira setahun saya bersama beliau, saya berpindah untuk menghafal hafazan al-Quran saya yang terbantut ketika 8 bulan di Ma'ahad Tahfiz Negeri Perak. Alhamdulillah walaupun tidak habis tapi saya berjaya menghafaz lebih 2/3 al-Quran bersama seorang syeikh Mesir yang memiliki sanad dan berkerja di Mujamma' Malik Fahad.

Saya mengambil kursus bahasa arab selama 2 tahun bersama sahabat-sahabat yang lain. Ust Zaidi Khalid, Ust Saufi, Ust Habibi, Ust Wan Abdul Rahman, Ust Baharuddin, Ust Helmi, Ust Najmuddin, Ust Abdul Salam, Ust Ghazali Hadi, Ust Sofauddin dan Ust Sirajuddin. Sebahagian mereka cuma setahun sahaja dan sekitar 5 orang selama 2 tahun bermula dengan Mustawa 2 dan berakhir dengan Mustawa 5 (tiada peperiksaan). Saya dan beberapa sahabat kurang bernasib baik apabila dalam tempoh tersebut diberikan elaun pelajar thanawi iaitu 375 riyal sahaja sebulan. Namun kami hidup seperti pelajar lain walaupun tidaklah semewah mereka.


Memilih Kuliah & Bidang Pengajian:

Pada asalnya kuliah syariah menjadi pilihan utama saya memandangkan keperluan yang tidak pernah putus dari sudut fekah samada untuk diri sendiri mahupun orang lain. Tetapi, nama saya keluar di Kuliah Dakwah dan Usuluddin yang secara langsung saya terselamat daripada memasuki Ma'ahad Thanawi untuk tempoh setahun. Malas menyusahkan diri dengan urusan saya terima sahaja disamping mahu mengubah persepsi majority pelajar Malaysia ketika itu bahawa kuliah Dakwah melahirkan graduan yang syadid & keras pendekatannya. Ketika itu hanya 7 orang sahaja pelajar Malaysia di kuliah dakwah berbanding dengan jumlah mereka yang keseluruhannya ialah sekitar 110 orang. Alhadulillah saya tidak pernah gagal dalam pelajaran walaupun saya tidaklah sehebat sahabat sekuliah saya Ust Asyraf Isyraqi pelajar Jaid Jiddan di Mesir mendapat BA syariah. Kemudian menjadi pelajar Mumtaz di kuliah Dakwah & Usuluddin hingga graduan.

Ketika di tahun satu hingga tahun 4 kuliah saya memilih untuk istiqamah menghadiri kuliah Fadhilah as-Syeikh Abdul Muhsin Abbad al-Badr Hafizahullah. Setiap malam kuliah hadis Jami' Tirmizi beliau sampaikan selepas maghrib hingga Isya kecuali malam Jumaat sahaja cutinya dalam seminggu. Pada malam jumaat pula kuliah Syeikh Muhamad Mukhtar as-Syanqity menjadi pilihan ramai penuntut ilmu. Umdatul feqh dan diselangi dengan kitab Umdatul ahkam. Sahabat yang sama hadir kuliah Syeikh Abdul Muhsin ialah Ust Abdul Rahman Rahim banyak membantu saya sehinggalah kami sama-sama Khatam, walaupun saya sendiri kurang ingat dan tidak ingatJ. Selain beliau kelihatan Ustaz Lukmanul Hakim, Ustaz Khairil Husaini dan lain-lain lagi semoga Allah mengurniakan taufik yang berpanjangan kepada mereka. Amin.


Diploma Tinggi Dakwah:

Habis graduate BA daripada kuliah Dakwah & Usuluddin pada bulan Julai 2007, saya diterima dan lulus untuk menyambung Diploma Tinggi Dakwah selama setahun. Al-hamdulillah saya adalah pelajar Malaysia kedua yang berjaya mendapat sijil tersebut selepas Ust Along Rosfan. Saya pulang pada Julai 2008 setelah 7 tahun bermukim dan membesar di bumi Madinah. Segala pujian kepada Allah yang telah membantu saya dan menganugerahkan nikmat belajar di bumi Nabi. Saya sedar, bahawa ramai yang bercita-cita untuk duduk dikerusi tersebut, tetapi setiap tahun hanyalah sejumlah kecil sahaja yang ditawarkan untuk belajar di University ini yang telah berjaya melahirkan ramai para ulama dan tokoh sekalipun umurnya tidaklah sesenja University al-Azhar di Mesir.


Meneruskan Perjuangan:

Kini saya sudah 2 tahun lebih berada di kota Riyadh. Ramai teman-teman yang sudah berada dilapangan dakwah. Ramai juga yang sudah beristeri dan beranak pinak. Saya ucapkan tahniah kepada mereka semua. Masih ramai juga yang masih membujang. Masing-masing punya alasan tersendiri mengapa agak lewat mereka membina rumahtangga. Mungkin insan hebat seperti Ust Shafik dan Ust Shukri kemboja lebih mengutamakan ilmu sebelum mereka mentarbiah anak gadis orang. Apapun jua, mereka semua adalah sahabat-sahabat saya, semoga perkenalan yang bermula di bumi Hijaz akan terus berkekalan hingga akhir hayat. Begitu cepatnya masa berlalu memintas kita, sedar mahupun tidak sudah separuh usia berlalu tanpa saya tahu adakah kebaikan lebih dominan disisi saya @ keburukan. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya sekalian lama.

Kepada sahabat-sahabat, maafkan saya jika anda kurang berminat untuk disebut namanya didalam tulisan ini. Tetapi ingatlah bahawa kalian adalah insan-insan yang telah mendampingi saya dan merentasi masa dibumi yang sama. Allahu Yusaddidukum Fi Jami3 Umurikum.


Ahad, 5 Jun 2011

Luasnya Lapangan & Bentuk Sedekah


عن أبي ذر أن أناسا من أصحاب رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) قالوا للنبي ( صلى الله عليه وسلم ) ذهب أهل الدثور بالأجر يصلون كما نصلي ويصومون كما نصوم ويتصدقون بفضول اموالهم قال أوليس قد جعل لكم ما يتصدقون كل تسبيحة صدقة وكل تكبيرة صدقة وكل تحميدة صدقة وكل تهليلة صدقة وأمر بالمعروف صدقة ونهي عن المنكر صدقة زاد أحمد بن علي وفي بضع أحدكم صدقة قالوا يا رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) أيأتي أحدنا شهوته ويكون له فيها أجر قال ارأيتم لو وضعها في الحرام أكان عليه فيها وزر قالوا نعم قال فكذلك إذا وضعها في الحلال كان له فيها أجر.


Maksudnya

Daripada Abu Zarr r.a. juga, (beliau meriwayatkan):
"Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah SAW berkata kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya? Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma'aruf itu sedekah, menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamupun adalah sedekah. Mereka bertanya: Ya Rasulullah! Adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwatnya pun dia beroleh pahala? Baginda bersabda: Bagaimana pandangan kamu kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia berdosa? Maka demikian jugalah apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala".
(Hadis riwayat al-lmam Muslim).


Pengajaran hadis:

(1) Para sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu teladan yang baik di mana mereka sering berlumba-lumba mahu melakukan kebaikan.

(2) Setiap amalan soleh mempunyai nilaiannya yang tersendiri di sisi Allah SWT dan ia tidak akan dipersia-siakan sama sekali.

(3) Banyak amalan soleh yang boleh dilakukan bagi menambahkan pahala kebajikan seperti bertasbih iaitu mengucap ( سبحان الله ), bertahmid iaitu mengucap (الحمد لله), bertahlil iaitu mengucap ( لا إله إلا الله) menyuruh orang berbuat ma'aruf dan mencegah kemungkaran. Semuanya diberikan pahala sedekah sehinggakan melakukan hubungan sekspun dianggap sedekah! Kerana kalau dia berzina, dia dianggap berdosa dan akan menerima azab. Alangkah indahnya ajaran lslam.

(4) Bagi orang-orang kaya yang mempunyai lebihan harta, mereka hendaklah selalu bersedekah, lebih-lebih lagi kalau mereka terlalu sibuk dengan urusan harta sehingga kurang masa untuk melakukan amal ibadat sunat yang lain.

(5) Seorang kaya yang suka bersedekah dan rajin pula melakukan ibadat sunat seperti berzikir yang dianjurkan dalam hadis ini, dia sudah tentu akan mendapat ganjaran dan darjat yang lebih tinggi di sisi Allah SWT.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...