RSS Feeds

Rabu, 5 Disember 2012

Guna Universiti Sebar Buku-buku Syiah




Oleh Sufian Thauri Muhammed dan Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Bagi mempengaruhi orang ramai supaya mengguna pakai fahaman Syiah yang disebarkan melalui buku diterbitkan, pengamal ajaran berkenaan dikatakan sanggup menggunakan nama sebuah universiti tersohor di negara ini sebagai penerbit selain memalsukan alamat percetakan untuk mengelak gerakan mereka dikesan pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh berkata, pemeriksaan pada buku fahaman Syiah yang diterima dan dirampas di masjid di seluruh daerah di negeri ini mendapati ia menggunakan alamat palsu dipercayai untuk memastikan pergerakan mereka gagal dihidu pihak berkuasa.

“Mereka menggunakan nama sebuah universiti antarabangsa sebagai taktik menarik minat orang ramai membaca buku yang diterbitkan.

“Pihak kami sudah menyiasat kesahihan buku berkenaan dengan menghubungi universiti terbabit yang kemudian menafikan mereka menerbitkan buku itu.

“Malah, alamat percetakan pada buku itu juga dipalsukan kononnya ia beralamat Jalan Tok Pulau Manis, Kuala Terengganu sedangkan jalan berkenaan tidak pernah wujud.

“Kami percaya mereka sengaja mahu dikaitkan dengan Tok Pulau Manis yang juga ulama besar di negeri ini supaya orang ramai yang membaca buku berkenaan akan jadi lebih mudah terpengaruh,” katanya.

Menurutnya, penipuan yang dibuat sangat serius, malah mereka dipercayai sanggup melabur secara besar-besaran bagi menyebarkan fahaman itu apabila mencetak dan menghantar buku berkenaan ke masjid di negeri ini dengan menggunakan perkhidmatan pos laju.

“Malah mereka juga mengirim tiga buku fahaman Syiah kepada saya pada Ogos lalu.

“Rupa bentuk serta muka hadapannya yang agak menarik serta penggunaan hadis kurang jelas kesahihannya itu mampu memperdayakan orang ramai yang cetek agama untuk terpengaruh dengan fahaman berkenaan.

“Buku Syiah itu dikesan dihantar ke masjid-masjid di negeri ini sejak Julai lalu dan sehingga kini 700 buku sudah dirampas membabitkan lima buku yang berlainan tajuk termasuk Akhirnya Kutemukan Kebenaran oleh Dr Muhammad Al Tijani Al Samawi dan Meniti Titian Kebenaran oleh Khaik Izzah.

“Penularan fahaman itu agak serius dan orang ramai perlu berhati-hati apabila merujuk atau membaca buku agama kerana bimbang ia berunsur fahaman Syiah,” katanya.

Mohd Rozali berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi menangani penularan sebarang fahaman yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

“Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dipersetujui pada 5 Mei 1996 iaitu memperakui bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan dengan demikian pengajaran atau ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Waljamaah adalahdilarang,” katanya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...