Sejak kecil kita sering disoal, apakah cita-cita apabila besar kelak? Maka macam-macamlah jawapan dan yang sering diberikan kepada cikgu ialah: Tentera @ polis. Itu ketika zaman kanak-kanak yang belum kenal kerenah polis dan tugasan mereka yang sering berdepan dengan soal keselamatan dan rasuah. Namun setelah besar jawapan itu biasanya akan berubah.
Ketika sekolah menengah saya pernah menjawap bahawa cita-cita saya ialah menjadi mufti negeri perak. Itu mungkin pengaruh daripada aliran pengajian yang saya ambil, maka saya jadikan cita-cita tertinggi saya ketika itu ialah Mufti. Namun setelah bertambah sedikit ilmu dan tahu bahaya menjadi mufti kini cita-cita itu telah berubah.
Sahabat-sahabat kecil Nabi pernah menyebutkan cita-cita mereka ketika usia mereka masih kecil, alhamdulillah Allah perkenankan cita-cita tersebut dan mereka akhirnya menjadi pemimpin dan ulama yang besar. Namun pernahkahnkita terbayang seorang kanak-kanak kecil berkata bahawa cita-citanya ialah mahu mendapatkan keredhoan Allah dan memasuki SyurgaNya?
Itulah hasil didikan daripada para sahabat besar yang mereka ini terlalu memandang kecil terhadap kemewahan dunia dan pangkat. Adapun anak-anak remaja kita, sudah pastilah mereka mahu menjadi doktor, pilot, profesor dan sebagainya kerana pastinya jawatan-jawatan tersebut bergaji besar. Sejak kecil hingga besar fikiran kita hanya terdidik dengan material dan kebendaan. Pernahkah fikiran kita ditanam dengan urusan-urusan akhirat yang merupakan kehidupan kekal?
Tidak salah mengejar matlamat dunia jika ianya sebagai wasilah untuk mencari kebahagiaan akhirat. Tetapi biarlah dunia itu ditangan kita bukan dihati dan sanubari kita yang nanti akibatnya mendorong kepada pelanggaran syariat tuhan. Pernahkah anda mendengar seorang anak kecil berkata: "Cita-citaku ialah mati syahid di jalan Allah?"....
0 comments:
Catat Ulasan