RSS Feeds

Ahad, 14 September 2008

Siri Terakhir (Risalah Ramadhan)

8) Mencari Lailatul Qadar.

قال تعالى:( إنا أنزلناه في ليلة القدر. وما أدراك ما ليلة القدر. ليلة القدر خير من ألف شهر. تنزل الملائكة و الروح فيها بإذن ربهم من كل أمر. سلام هي حتىمطلع الفجر.

"Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu penuh dengan kesejahteraan sehinggalah terbit fajar".

قال تعالى: إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِين. فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ. أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ . رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. الدخان 3-6

"Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang di berkati dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Iaitu urusan yang besar dari sisi kami sesungguhnya kamilah yang mengutus para Rasul. Sebagai rahmat dari Tuhan kamu sesungguhnya dia maha mendengar dan mengetahui".

و قال رسول الله: من قام ليلة القدر ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه "البخاري ومسلم

"Barangsiapa yang bangun pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka baginya keampunkan untuk dosa-dosa yang lepas."

Beberapa kelebihahan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil dari surah al-Qadar antaranya ialah:

-Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagian di dunia dan akhirat.

-Persoalan yang ditimbulkan dalam ayat yang kedua menunjukkan keagungan dan kemulian.

-Sesunguhnya ia lebih baik dari 1000 bulan yang menyamai 83.33 tahun.

-Sesungguhnya para Malaikat akan turun para malamnya dan mereka tidak turun kecuali membawa kebaikan, keberkatan dan Rahmat.

-Sesungguhnya ianya adalah kesejahteraan kerana ramainya manusia yang terbebas dari azab dan seksa disebabkan banyak bentuk ketaatan yang dilakukan oleh manusia.

-Allah menurunkan kelebihannya dengan menurunkan satu suruh penuh yang akan dibaca sehingga hari akhirat.

Dalam kisah sebahagian Salaf dikalangan Sahabat dan Tabi'in disebutkan bahawa mereka mandi dan berwangi-wangian pada malam-malam sepuluh yang terakhir sebagai persediaan untuk mencari dan menjejaki Lailatul Qadar yang telah dimuliakan oleh Allah dan di angkatkan kedudukannya. Maka amat rugilah bagi orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih dari itu. Apakah tempoh 83 tahun sesuatu yang singkat? Beramal pada malam tersebut lebih baik dari kita beramal dalam tempoh 83 tahun, barangsiapa yang telah diharamkan oleh Allah untuk mendapatkan kebaikannya maka telah terharamlah baginya.

Bilakah malam Lailatul Qadar itu? Ia akan berlaku pada malam sepuluh yang terakhir dari Ramadhan. Iaitu pada malam-malam yang ganjil. Boleh jadi yang diharapkan ialah pada malam 27, tetapi ia bukanlah sesuatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah akan berlaku malam Lailatul Qadar. Ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka'ab beliau berkata yang bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana rasul telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitulah malam yang ke 27" dan Ubai berkata lagi: "Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasul kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada (شعاء) sinarnya"

Daripada Aisyah beliau berkata: Ya Rasulullah jika sekiranya aku dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar apakah yang akan aku ucap? Nabi bersabda yang bermaksud: “Ucapkanlah, "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau maha pengampun dan suka mengampunkan maka ampunkanlah aku."

9)I'tikaf,

"Bahwasanya Nabi junjungan akan beri'tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan setiap kali datang bulan Ramadhan. Maka tatkala pada tahun baginda diwafatkan baginda beriktikaf selama 20 hari." -dikeluarkan oleh imam Bukhari-

I'tikaf adalah di antara Ibadat yang terkumpul di dalamnya banyak amalan-amalan soleh dan ketaatan seperti membaca al-Quran, solat, zikir doa dan sebagainya. Satu perkara yang sepatutnya diketahui oleh orang-orang yang beri'tikaf ialah hukum-hakam yang berkait dengan masalah I'tikaf. Apakah yang dimaksudkan dengan I'tikaf menurut Syara'? Bagaimanakah Nabi beri'tikaf? Apakah syarat, peraturan dan adab telah digariskan oleh para Fuqaha' dan Muhaddisin? Sama-samalah kita menggali maklumat berkaitan I'tikaf, supaya mereka yang dikurniakan taufiq untuk beri'tikaf dapat menunaikannya dengan penuh etika dan menepati sunnah Nabi r.

Secara ringkas, orang beri'tikaf tidak dibenarkan keluar dari masjid sehinggalah selesai pada waktu yang sepatutnya. Keringanan untuk keluar hanyalah untuk memenuhi hajat-hajat yang lazim untuk diri seperti tandas dan makanan. Sepatutnya mereka juga meninggalkan apa-apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadah seperti urusan keduniaan dan cakap-cakap kosong. Bukan setakat itu sahaja, malah sebahagian ulama' juga meninggalkan perbincangan-perbincangan ilmiah yang tidak diperlukan pengetahuannya dalam tempoh yang terdekat. Imam Malik sebagai contoh, beliau akan meninggalkan pengajian ilmu hadis di Masjid Nabawi dan menyebukkan diri dengan al-Quran. Untuk pengetahuan yang lebih lanjut sila rujuk kitab "Majlis Syahru Ramadhan" oleh Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin Rahimahullah.

Akhirnya marilah sama-sama kita panjatkan doa semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas. Dituliskan nama kita diantara hamba-hambanya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat dari azab Neraka. Kita pohonkan semoga kita semua dikurniakan taufiq oleh Allah untuk bertemu dengan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

قال النبي :" رغم أنف إمرئ ادرك رمضان فلم يغفر له"

"Sangatlah malang, orang yang berkesempatan menemui Ramadhan tetapi tiada mendapat keampunan dosa baginya".

وصلى الله على نبيه محمد و على آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه الى يوم الدين.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

"إناأنزلناه في ليلة القدر"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...