RSS Feeds

Isnin, 1 September 2008

"Risalah Ramadhan"

siri kedua


4)Bersedekah:

عن أنس قال قال النبي :أفضل الصدقة صدقة في رمضان.." أخرجه الترمذي.

“Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadhan”

عن إبن عباس قال:" كان رسول الله أجود الناس وكان أجود ما يكون في شهر رمضان....وكان أجود بالخير من الريح المرسلة" رواه مسلم.

“Rasulullah adalah manusia yang sangat pemurah dan baginda akan menjadi lebih pemurah di bulan Ramadhan…dan baginda lebih pemurah dalam kebaikan dari angin yang terutus.”

Ibn Rajab berkata, telah berkata Imam Syafie: "Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia megikuti jejak langkah Rasul, kerana pada ketika itu manusia berhajat kepada yang sedemikian rupa untuk kemaslahatan mereka, dan kerana ramai dikalangan mereka disibukkan dengan puasa dan solat berbanding pekerjaan masing-masing".

Hammad bin Sulaiman pada bulan Ramadhan akan membukakan puasa untuk 500 orang dan dia akan memberikan kepada setiap orang dari mereka 100 dirham ketika Hari Raya.

قال النبي :" أفشوا السلام وأطعم الطعام وصلوا بالليل والناس نيام تدخل الجنة بالسلام"

"Sebarkanlah salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur pasti kamu akan masuk ke Syurga dengan sejahtera”

Kesemua ini menunjukkkan bahawa menghimpunkan antara puasa dan sedekah adalah lebih berkesan untuk menghapuskan dosa dan kesilapan, menghalang dari Neraka jahanam dan khususnya jika disertakan dengan Qiamullail. Nabi bersabda yang bermaksud: "Puasa adalah perisai."

عن معاذعن النبي قال: "الصدقة تطفيء الخطيئة كما يطفيء الماء الناروقيام الرجل في جوف الليل."

“Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.”

Rasul menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Maksud dari hadis Nabi "Takutlah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar". Sekiranya tidak mampu untuk berbuat demikian maka janganlah lokek untuk menghadiahkan senyuman kerana senyuman juga adalah sedekah.

5)Menjaga lidah, mengurangkan kalam dan menjauhi sifat dusta.

عن أبي هريرة قال قال رسول الله: "من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه" أخرجه البخاري وابو داود.

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan percakapan yang dusta dan mengamalkannya (dusta) maka Allah tidak berhajat dari perbuatan meninggalkan makanan dan minumannya.”

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa ialah menahan diri dari kata-kata yang lucah dan pembohongan sebagaimana seseorang itu menahan diri dari makan dan minum. Sekiranya dia tidak dapat mengelakkan dari yang tersebut maka berkuranganlah pahalanya dan dia terdedah kepada kemarahan Tuhannya.

وفي رواية مسلم: (إذا أصبحت أحدكم يوما صائما فلا يرفث ولا يجهل فإن امرؤ شاتمه أو قاتله فليقل إني صائم إني صائم)

“Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafas (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia menjadi jahil, sekiranya seseorang mencacinya atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa.”

Saidina Ali bin Abi Tholib berkata: Sesungguhnya puasa bukanlah menahan diri dari makanan dan minuman akan tetapi dari penipuan, kebatilan dan Lagho. Berkata Mujahid: "Dua perkara sesiapa yang menjaganya maka sempurnalah puasanya: Ghibah (mengumpat) dan menipu". Abil A'liah pula berkata; "orang yang berpuasa tetap dalam ibadahnya selama mana dia tidak melakukan Ghibah". Rahsia di sebalik larangan-larangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah: 'bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan. Ia adalah umpama orang yang meninggalkan perkara-perkara fardhu tetapi melakukan perkara-perkara sunat, apakah natijahnya? Hukum puasanya itu tetap sah mengikut pendapat majoriti ulama' dan dia tidak perlu menggantikannya, kerana sesuatu amalan itu hanyalah terbatal dengan melakukan apa yang terlarang dalam ibadah tersebut yang dikhususkan kepadanya sahaja.

bersambung....

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...