RSS Feeds

Khamis, 28 Ogos 2008

"Risalah Ramadhan"

( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس و بينات من الهدى والفرقان )

Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


Ramadhan datang lagi dan ia pasti akan berlalu meninggalkan kita. Itulah Sunnatullah keatas makluknya, tiada yang kekal kecuali Pencipta maya. Ya Tuhan kami berkatilah kami di bulan Rajab dan Sya'ban serta pertemukanlah kami bulan Ramadhan ya Rabbal a'lamin. Risalah ini ditulis sebagai satu Tazkirah kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat semua tentang beberapa kelebihan bulan ini yang mungkin tidak kita sedari. Bagaimankah ulama-ulama terdahulu menyambut bulan yang mulia ini? Itulah yang perlu diketahui dan dicontohi.


Allah telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan yang terkandung didalamnya antaranya ialah:


-Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi disisi Allah berbanding haruman kasturi.


-Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.


-Syaitan-syaitan di belenggu.


-Dibukakan pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka.


-Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik dari seribu bulan, sesiapa yang diharamkan dari mendapat kebaikannya maka diharamkan dari semua kebaikan.


-Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada Ramadhan.


-Tersenarai disisi Allah nama-nama hambanya yang bebas dari api Neraka dan ianya ada pada setiap malam.

1)Berpuasa:

قال رسول الله : "كل عمل ابن ادم له الحسنة بعشر أمثالها الى سبعمئة ضعف.يقول الله الا الصيام فانه لي و انا أجزي به ترك شهوته وطعامه وشرابه من أجلي للصائم فرحتان فرحة عند فطره وعند لقاء ربه ولخلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك) متفق عليه.


"Setiap amalan anak Adam itu baginya satu kebaikan seumpama sepuluh hingga 700 kali ganda. Allah berkata: kecuali puasa sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjaranyanya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa dua keseronokan , keseronokan ketika berbuka dan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih baik disisi Allah daripada bau kasturi".


و قال رسول الله "من صا م رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه "البخاري ومسلم

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas"


Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani. Kaedah berpuasa juga digunakan oleh para doktor untuk mengubati sebahagian penyakit seperti masalah kegemukan. Dalam konteks rohani ia amat berfaedah untuk menjinakkan nafsu yang liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefaqiran dan sebagainya.


قال رسول الله:" ....من استطاع منكم الباءة فليتزوج فانه أغض للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء"

“Barangsiapa dikalangan kamu yang mempunyai kemampuan maka hendaklah dia berkahwin sesungguhnya ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan, dan sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa sesungguhnya ia merupakan perisai baginya."


2)Ramadhan dan membaca al-Quran:

Dari Fatimah daripada bapanya Muhammad e baginda memberitahu saya bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali dan pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali." Bukhari&Muslim.


Ulama-ulama salaf bersungguh-sungguh untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian mereka setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membaca al-Quran dalam bulan Ramadhan ketika didalam solat dan diluar solat.


an-Nakha`i mengkhatamkan bacaan al-Quran 2 hari sekali pada 10 hari yang terakhir. Qatadah pula sentiasa mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu, ketika datang Ramadhan beliau megkhatamkan al-Quran setiap 3 hari dan akan khatam pada setiap malam menjelang 10 akhir Ramadhan. Imam Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan dan beliau membacanya di luar solat. Apabila masuk bulan Ramadhan Imam az-Zuhri akan berkata: "Sesungguhnya ia adalah bulan membaca al-Quran dan memberi makanan." Berkata Abdul Razak: "Dahulu Sufian al-Thauri, apabila masuk bulan Ramadhan beliau akan meninggalkan semua ibadah dan menumpukan perhatiannya kepada membaca al-Quran.


Ibn Rajab berkata : "Hanyasanya larangan mengkhatamkan al-Quran kurang dari 3 hari ialah ketika melazimi yang demikian. Adapun pada waktu-waktu yang mendapat keutamaan seperti pada bulan Ramadhan khususnya pada malam-malam yang dianggarkan terdapat Lailatul Qadar ataupun ketika di tempat-tempat yang punya kelebihan seperti di Mekah bagi orang-orang luar yang memasukinya maka disunatkan memperbanyakkan membaca al-Quran sebagai mengambil peluang masa dan tempat, dan ini adalah pendapat imam Ahmad dan Ishak serta imam-imam yang lain.


Ketahuilah saudara semua, sesungguhnya seorang mukmin apabila berada di bulan Ramadhan akan terkumpul baginya 2 jihad didalam dirinya, jihad disiang hari dengan berpuasa dan jihad pada malam hari dengan Qiamullail. Sesiapa yang mengumpulkan antara 2 jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya serta bersabar maka ganjaranyanya amat tidak terhingga.


3)Qiamullail:

و قال رسول الله: من قام رمضان ايمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه "البخاري ومسلم

"Barangsiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas"

قال تعالى: وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجاهلون قالوا سلاما. والذين يبيتون لربهم سجدا وقياما...(الفرقان63و64)

“Dan hamba-hamba Tuhan yang maha penyanyang, mereka itu ialah yang berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah diri dan sekiranya orang-orang jahil menyapa mereka, mereka akan mengucapkan kata-kata yang baik. Dan orang yang menghabiskan malam dengan bersujud dan berdiri semata-mata untuk Tuhan mereka".


Qiamullail adalah kebiasaan Nabi dan para sahabat yang tidak pernah ditinggalkan oleh mereka. Sayyidatina Aisyah pernah berkata: "Jangan kamu tinggalkan Qiamullail. Sesungguhnya Rasullullah tidak pernah meninggalkannya, dan apabila baginda sakit atau merasa malas baginda solat sambil duduk." Umar al-Khattab akan bersolat malam 'Masya Allah' sehinggalah apabila sampai pertengahan malam beliau akan mengejutkan ahli keluarganya untuk bersolat, kemudian beliau berkata kepada mereka as-Solah, as-Solah..lalu beliau membaca:

وأمر أهلك بالصلات واصطبر عليها لا نسألك رزقا نحن نرزقك والعاقبة للتقوى) طه 123 )

Dalam hadis as-Sa'ib bin Zaid beliau berkata: "Dulu seseorang qari' akan membaca beratus-ratus ayat sehinggakan kami menongkat di atas tongkat di sebabkan terlalu lama berdiri, dan tidak ada seorangpun yang beredar kecuali ketika hampir Subuh."


Sebagai peringatan, selayaknyalah setiap jemaah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiam.

قال رسول الله : من قام مع إمامه حتى ينصرف كتب له قيام ليلة" رواه أصحاب السنن.

"barangsiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiam semalaman"


عن أبي ذر أن النبي قام بهم ليلة ثلاث وعشرين الى ثلث الليل وليلة خمس وعشرين الى نصف

الليل فقالوا له: لو نفلت بقية ليلتنا. فقال:" إن الرجل إذا صلى مع الامام حتى ينصرف كتب له بقية ليلته" أخرجه أصحاب ا لسنن وحسنه الترمذي.


Dari Abi Zaar bahawasanya Nabi bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Maka berkata para sahabat kepada baginda: kalaulah kamu terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat. Maka Nabi bersabda: “Sesungguhnya seseorang lelaki jika bersolat bersama imam sehingga imam beredar maka dituliskan baginya untuk saki baki malamnya.”


Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga imam beredar dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar. Berkata sebahagian ulama' Salaf: “Barangsiapa yang bangun solat separuh malam sesungguhnya dia telah bangun sepenuh malam.”

bersambung....

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...