RSS Feeds

Jumaat, 8 Ogos 2008

Siapakah Muktazilah

"Siapakah Muktazilah"

Oleh; Mukhamad Khafiz bin Abdul Basir

Pengenalan

Al-Muktazilah adalah salah satu firaq (pecahan) islam yang dinisnahkan kepada (Wasil bin Atto"), yang mula muncul sekitar tahun 105-110 hijrah. Terkenal dengan mendahulukan akal fikiran berbanding Naqal (wahyu), mempunyai 5 usul pegangan. Antara nama lain bagi puak ini ialah; (al-Qadariah, al-Wai'diyyah dan al-Adaliyah) dinamakan Muktazilah kerana pengasasnya keluar dari majlis imam Hasan al-Basri selepas dia tidak bersetuju dengan Hasan al-Basri dalam sekitar isu kefasikan.


Akidah dan pemikiran;

Akidah dan pemikiran mereka bermula dengan satu asas yang kemudiannya berkembang dan semakin berpecah tanpa henti yang akhirnya mencipta pelbagai akidah dan pemikiran yang lain. Asas permulaan akidah mereka ialah: 5 usul yang tidak dianggap sebagai Muktazilah bagi sesiapa yang tidak mengimaninya. 5 usul ini ialah;

1) Tauhid, yang dimaksudkan oleh mereka ialah; mengisbatkan keesaan Allah dan menafikan persamaan. Dimasukkan dibawah usul ini iktikad menafikan sifat-sifat Allah. Mereka dalam masalah sifat hanya menafikan sahaja. Sebagai contoh mereka mengatakan tentang Allah ialah: tidak panjang tidak lebar, tiada warna, tidak panas tidak sejuk dan sebagainya. Adapun mengisbatkan sifat seperti sifat ilmu dan qudrah dan lain-lain lagi maka mereka tolak dan nafikan kerana mereka beranggapan bahawa mengisbatkan sifat-sifat itu bermakna menyamakan Allah dengan makhluk.

2) Al-Adlu (adil), bermaksud; mengkiaskan hukum-hukum Allah dengan sesuatu yang bermunasabah ataupun menepati akal dan hikmah. Atas dasar ini mereka menolak beberapa perkara dan mewajibkan perkara yang lain. Mereka menafikan bahawa Allah menciptakan perbuatan hambanya, dan sesungguhnya makhluk itu adalah pencipta bagi setiap perbuatan mereka yang baik dan buruk. Mereka juga mengatakan bahawa akal manusia bersendirian dalam menentukan yang baik dan buruk, justeru apa-apa yang dilihat baik oleh akal adalah baik dan apa-apa yang dilihat buruk adalah buruk.

3) Al-Manzilah baina al-manzilatain (diantara dua kedudukan), usul ini menjelaskan hukum bagi orang yang fasik didunia disisi Muktazilah. Yang ianya merupakan masalah yang diperselisihkan antara Wasil dan Hasan Basri. Muktazilah mengatakan bahawa orang yang fasik didunia tidak dinamakan mukmin dari satu sudut dan tidak dinamakan kafir dari sudut yang lain akan tetapi diantara dua kedudukan. Jika dia bertaubat maka telah kembali kepada keimanannya dan jika mati dalam kefasikannya maka dia kekal selama-lamanya dalam neraka.

4) Al-Wa'du wal-Wai'id (janji baik dan buruk), yang dimaksudkan ialah pelaksanaan janji-janji buruk (azab) di akhirat terhadap orang yang melakukan dosa-dosa besar, dan allah tidak menerima untuk mereka syafaat. Pelaku dosa-dosa besar tidak akan dikeluarkan dari neraka selama-lamanya dan mereka adalah golongan kafir terkeluar dari agama islam tetapi azab mereka lebih ringan berbanding orang kafir.

5) Al-amru bil ma'ruf wan nahyu anil munkar (amal ma'ruf nahi munkar), usul ini menjelaskan pendirian mereka terhadap pelaku dosa-dosa besar samada mereka pemimpin ataupun rakyat. Mereka bersepakat mewajibkan amal ma'ruf nahi munkar dengan apa cara sekalipun semampunya. Mereka mewajibkan untuk membunuh pemimpin yang zalim semata-mata kerana kefasikan mereka, dan mewajibkan keluar dari ketaatan pemimpin (memerangi) jika mampu dan yakin terhadap kemenangan mereka.


Ini adalah 5 usul Muktazilah yang disepakati disamping kedapatan beberapa usul yang mereka perselisihkan antaranya ialah;

6) Menafikan melihat Allah. Sekira-kira mereka sepakat bahawa Allah tidak dapat dilihat dengan mata tidak didunia dan tidak juga di akhirat, kerana mengisbatkan penglihatan manusia terhadap Allah adalah mengisbatkan tempat bagi Allah dan ini menurut mereka adalah terlarang bagi Allah.

7) Mereka mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk, adapun Nabi Musa, sesungguhnya Allah bercakap dengan Musa dengan menciptakan kata-kata pada pokok.

8) Menafikan sifat tinggi bagi Allah. Mereka mentakwilkan atau menukarkan sifat Istiwa (bersemayam) dengan (menguasai) .

9) Menafikan syafaat Nabi Muhammad terhadap pelaku dosa-dosa besar dikalangan umatnya, imam al-Asyari berkata dalam kitabnya (Maqalat Islamiyyin); "mereka berselisih pendapat dalam masalah syafaat Nabi adakah ianya untuk pelaku dosa-dosa besar? Adapun Muktazilah mengingkari syafaat dan menolaknya (untuk pelaku dosa-dosa besar).

10) Menafikan keramat para wali Allah, jika kita mengimani karamah para wali sudah pasti para wali adalah sama atau menyerupai Nabi.


Antara perpecahan (firaq) yang berlaku dalam Muktazilah;

1) al-Wasiliyah, mereka adalah pengikut Wasil bin Atto' yang pada asalnya adalah murid kepada imam Hasan al-Basri. Kemudian meninggalkan Hasan al-Basri selepas dia tidak setuju dengan Hasan al-Basri dalam isu pelaku dosa-dosa besar.

2) al-Huzailiyyah, mereka adalah pengikut Abu Huzail Hamdan bin al-Huzail, syeikh utama Muktazilah yang menuntut ilmunya dari Usman bin Khalid at-Towil dan Usman pula mengambil dari Wasil bin Atto'.

3)al-Nizomiyyah, mereka adalah pengikut Ibrahim bin Yasar bin Hani' al-Nizom yang telah mencampur adukkan antara ungkapan ahli falsafah dan Muktazilah. Beliau bersendirian dengan beberapa pendapatnya berbanding ulama-ulama Muktazilah yang lain. Seperti iktikad beliau mewajibkan Allah dengan sesuatu yang Allah terpaksa melakukannya.

4)al-Bisyriyyah, adalah pengikut Bisyir bin Muktamir dikalangan ulama Muktazilah. Imam az-Zahabi berkata; "Beliau adalah orang yang cerdik pandai tetapi tidak mendapat petunjuk dan hidayah, umurnya panjang tetapi tidak kembali kepada petunjuk yang benar". Antara kata-katanya ialah;"Allah mampu untuk menyiksa kanak-kanak kecil dan jika Allah melakukan yang demikian maka Allah telah menjadi zalim".


Kisah imam Ahmad bin Hambal dan Muktazilah;

Kisah ini berlaku antara imam Ahli Sunnah Ahmad bin Hambal dan Ahmad bin Abi Du'ad. Imam Ahmad yang dikeluarkan dari penjara dibawa dihadapan khalifah al-Wasiq untuk berdebat dengan Ahmad bin Abi Du'ad. Lantas imam Ahmad memulakan bicara; "Pendapatmu yang kamu sebarkan ini (al-Quran adalah makhluk) adakah termasuk dalam agama? Dan agama ini tidak akan sempurna kecuali dengan kata-kata ini (mengimani al-Quran bukan kalam Allah)?". Maka jawab Ahmad bin Abi Du'ad ; "benar'. Sambung imam Ahmad; adakah Nabi menyeru manusia kearah itu ataupun tidak? Berkata ibnu Abi Du'ad; "tidak". Kata imam Ahmad lagi; adakah baginda tahu hal ini ataupun tidak? Jawab ibnu Abi Du'ad; Nabi tahu. Imam Ahmad berkata; sebab apa kamu seru manusia kearah sesuatu yang tidak diseru oleh Nabi dan baginda membiarkannya? ibnu Abi Du'ad terdiam.


Imam Ahmad; "Wahai Amirul Mukminin ini adalah yang pertama. Lantas Amirul Mukminin berkata; beritahu kepadaku wahai imam Ahmad! Imam Ahmad membacakan ayat 3 surah al-Maidah, dan berkata; kamu katakan bahawa agama tidak akan sempurna kecuali dengan mengimani bahawa al-Quran adalah makhluk. Sedangkan Allah membenarkan kesempurnaan agama dan ianya telah cukup sempurna, adakah kamu mengurangkan agama ini? Maka ibnu Abi Du'ad terdiam lagi. Ini adalah yang kedua wahai Amirul Mukminin balas imam Ahmad. Kemudian khalifah berkata; beritahu kepadaku wahai imam Ahmad! Imam Ahmad membacakan ayat 67 al-Maidah bermaksud; "Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang telah di turunkan kepadamu dari tuhanmu jika engkau tidak berbuat demikian maka engkau sebenarnya tidak menyampaikan risalah Allah". Kata-katamu ini hai ibnu Abi Du'ad yang kamu seru kearahnya adakah Rasul telah sampaikan seperti yang engkau seru? ibnu Abi Du'ad terdiam. Imam Ahmad berkata; ini adalah yang ketiga.


Dengan perbahasan ini Allah telah melemahkan kekuatan Muktazilah dan khalifah meninggalkan mereka. Mazhab mereka semakin lebih dari hari ke hari sehinggalah sekarang ini. Al-Allamah Wazir al-Yamani menyebut; "sesunguhnya umat telah sepakat bahawa tidak boleh menangguhkan penjelasan pada waktu diperlukan, setiap yang tidak diterangkan dari sudut akidah pada zaman Nabi maka tiada perlunya untuk di pegang dan di ambil sebagai iktikad. Tidak perlu juga menjerumuskan diri ke arahnya dan berdebat".


Sewajarnya kita berhati-hati dalam permasalahan agama, yang tidak semata-mata mengutamakan akal yang waras bahkan lebih dari itu ialah mandahulukan nas-nas wahyu mengatasi segala-galanya kerana ia merupakan sumber paling benar tanpa pertikaian. Adapun mengagungkan kebijaksanaan akal dan logik, sebenarnya kebijaksanaan manusia berbeza-beza dan kewajaran juga bertentangan antara satu dengan yang lain, sudah pasti menyebabkan pertelingkahan dan pergaduhan. Akal siapakh yang lebih wajar di utamakan? Justeru, ini adalah suatu yang bathil samada anda akur ataupun tidak. Imam Ali bin Abi Tolib berkata dalam masalah menyapu khauf (stokin dari kulit): "Jika agama ini berpandukan akal fikiran sudah pasti yang lebih utama di sapu ialah bawah kauf (tapak) bukannya di sebelah atas". Wallahu a'lam.


Rujukan tambahan;

1) "al-Milal Wan Nihal" karangan as-Syahristani

2) "al-Fisol Fil Milal Wal-Ahwa' Wan Nihal" karangan ibnu Hazm

3) "al-Firaq al-Muasyarah Tuntasab Ilal Islam" karangan Dr Gholib Ali Awaji.

4) "Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah karangan" Syeikh Abu Zuhrah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...