RSS Feeds

Ahad, 3 Ogos 2008

Mengenali Syahsiah Imam Ja'afar al-Sodiq

Mengenali Syahsiah Imam Ja'afar al-Sodiq

Nama beliau Ja'afar bin Muhamad diberi gelaran sebagai al-Siddiq. Ayah beliau adalah imam pada zamannya dalam ilmu, adab dan juga agama yang digelar sebagai al-Baqir merupakan anak kepada Zainul Abidin (Ali bin Hussain bin Ali bin Abi Tolib). Imam az-Zahabi dalam kitab Siyar A'lam an-Nubala telah meletakkannya dalam Tobaqat kelima, sekira-kira beliau menyatakan bahawa Ja'afar dilahirkan tahun 80 hijrah, dengan ini beliau berkesempatan bertemu sahabat yang wafat selepas tahun 80 hijrah.


Ibu beliau adalah Farwah binti al-Qasim bin Muhamad bin Abu Bakar al-Siddiq. Al-Qasim bin Muhamad adalah ulama besar dan salah seorang dari 7 ulama fekah (Fuqaha as-Sab'ah) terkenal di Madinah. Adapun nenek kepada Farwah ini ialah Asma' binti Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq. Ini bermakna imam Ja'afar punyai tali kait dengan Abu Bakar al-Siddiq, sebab itu apabila beliau ditanya tentang Abu Bakar al-Siddiq beliau berkata kepada yang bertanya; "adakah seorang lelaki itu mencemuh datuknya? Abu Bakar adalah datukku!". (Siyar A'lam an-Nubala)


Beliau membesar dalam rumah ilmu bersama keluarga sebelah ibunya bersama datuknya (al-Qasim bin Muhamad), sebahagian ulama menyebut bahawa beliau membesar bersama bapanya (al-Baqir) dan dalam kedua-dua keadaan beliau sebenarnya hidup dalam rumah ilmu di Madinah an-Nabawiyah. Beliau mendengar hadis dari bapanya al-Baqir, Urwah bin Zubair, Ato' bin Abi Robah, Muhamad bin Munkadir, az-Zuhri dan lain-lain. Mereka yang mengambil periwayatan hadis beliau antaranya ialah; anaknya (Musa al-Kazim) ,Yahya bin Said al-Ansori, imam Abu Hanifah an-Nukman, ibnu Juraij, ibnu Ishak, sekelompok teman-temannya seperti; Sufian al-Thauri, Syu'bah, Malik bin Anas, Sufian bin Uyainah dan al-Hasan bin Soleh. Berkata Abu Hanifah; "aku tidak pernah melihat seorang yang lebih fakeh selain dari Ja'afar bin Muhamad al-Sodiq".


Imam Ja'afar adalah antara ulama yang memiliki banyak periwayatan hadis. Telah disebutkan bahawa salah seorang anak muridnya telah mencatatkan sebanyak 30,000 periwayatan hadis daripada beliau. Sebahagian yang mencatatkan periwayatan hadisnya sebanyak 15,00 hadis. Apa yang penting ialah beliau memang banyak meriwayatkan hadis. Ini tidak menghairankan kerana beliau bertemu dan menuntut ilmu dari sahabat Nabi dan ulama besar Tabi'in.


Ibadah dan akhlak beliau yang tinggi;

Berkata imam Malik bin Anas; "aku hidup bersamanya (imam Ja'afar) dalam waktu yang banyak, aku tidak lihat beliau kecuali dalam tiga keadaan; samada beliau bersolat, atau berpuasa atau membaca al-Quran, dan aku tidak lihat beliau membacakan hadis kecuali dalam keadaan yang suci". (Tahzib at-Tahzib karangan ibnu Hajar)


Imam az-Zahabi berkata dalam Siyar A'lam an-Nubala' ; "Ahmad bin Bukair meriwayatkan dari Hayyaj bin Bastom beliau berkata; " Ja'afar bin Muhamad seringkali memberi makan kepada manusia sehingga tidak berbaki untuk anak-anaknya sesuatupun'. Ini adalah contoh pemberian yang tidak takutkan kefakiran sebagai mengikut apa yang dilakukan oleh datuk beliau Rasulullah r.


Kata-kata beliau, wasiat dan kewafatan;

Antara kata-kata beliau yang masyhur ialah ; "Para fuqaha adalah pembawa amanah Rasul, apabila kamu melihat mereka itu cenderong kepada para pemimpin maka tohmahlah mereka" (Siyar A'lam li az-Zahabi). Pada satu hari beliau duduk bersama Abu Ja'far al-Mansur (khalifah abbasiah yang kedua) yang terkenal dengan kebengisannya, dan seringkali lalat hinggap di hidung khalifah, dihalau dan datang kembali, lantas khalifah berpaling kepada imam Ja'afar lalu berkata; wahai Ja'afar untuk apakah Allah mencipta lalat? Maka jawab Ja'afar; "Supaya Allah menghinakan orang-orang yang angkuh dan bongkak". Sebagai isyarat kepada si khalifah. Antara kata-kata beliau lagi ialah; "Jangan sekali-kali kamu bermusuhan dengan agama sesungguhnya ianya mewariskan pertelingkahan dan kebencian". Beliau juga berkata; "Jangan sekali-kali kamu berdebat dalam agama sesungguhnya ianya mewariskan sikap munafik".


Imam Ja'afar berterusan sepanjang hidupnya berpegang dengan al-Quran dan Sunnah selain menyeru dan mengajarkan manusia kepada dua pegangan ini. Tidak mencampuri urusan politik yang penuh dengan ranjau dan fitnah pada ketika itu. Beliau hidup dalam dua zaman pemerintahan, dari zaman Muawiayah sehinggalah digulingkan dan dirampas oleh Abbasiah. Beliau meneruskan tugasnya menentang ahli bida'ah dan membantu golongan Sunnah Wal Jama'ah. Selepas dari kehidupan yang panjang dan meninggalkan kesan dan pengikut terkenal dikalangan ulama-ulama besar maka beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada bulan Syawal tahun 148 Hijrah. Beliau disemadikan berhampiran kubur bapanya (al-Baqir) di perkuburan Baqi' selepas disolatkan jenazahnya di masjid Nabawi.


Mengapakah banyak Firaq (golongan) cuba menisbahkan imam Ja'afar kepada mereka?

Disebabkan pengaruh peribadi beliau yang besar, selain dari kedudukan nasabnya yang berketurunan Ali Bait, sifat zuhud serta keilmuan beliau, maka ramailah yang bersungguh-sungguh untuk menisbahkan peribadi ini kepada golongan jemaah mereka. Akan tetapi yang menjadi persoalan siapakah yang benar dalam menisbahkan peribadi ini? Orang-orang Syiah Imamiah yang 12 mengatakan bahawa beliau adalah Syiah, bahkan meletakkannya salah seorang dari 12 imam yang Ma'sum (terpelihara dari dosa). Golongan al-Ismailiyah juga menisbahkan diri mereka kepada beliau, dinamakan Ismailiyah kerana nisbah mereka kepada anak sulung beliau yang bernama Ismail bin Ja'afar al-Sodiq. Mereka (Ismailiyah dan Syiah Imamiah) sepakat tentang keimaman bermula dari imam Ja'afar sehingga ke atas, adapun wasiat keimaman selepas beliau mereka berselesihan pendapat, Ismailiyah menamakan imam mereka sebagai Ismail sedangkan Syiah Imamiah menamakan imam mereka sebagai Musa al-Kazim bin Ja'afar (anak beliau yang lain).


Selain dari dua puak sesat ini, yang menghairankan juga ialah golongan Mulhid Falasifah [1] yang turut menisbahkan imam Ja'afar kepada kesesatan mereka. Mereka melihat beliau adalah imam mereka. Subhanallah! Sesungguhnya ini adalah dakwaan yang dusta! Bagaimana mungkin seorang ulama besar yang beraqidahkan tauhid menyokong kesesatan ini? Bukankah imam Ja'afar mempunyai guru dan anak murid tersohor dikalangan Ahli Sunnah? Liahatlah bagaimana keakraban dan keserasian beliau dan imam Malik? Beberapa kisah menarik antara beliau dan Sufian at-Thauri dan Abu Hanifah. Jika mereka semua ini berada dijalan yang salah sudah pasti imam Ja'afar tidak akan berdiam diri. Adakah imam Ja'afar tidak berani menegakkan yang hak? Sudah tentu ini suatu yang mustahil! Perhatikanlah apa yang telah diungkapkan oleh imam Abu Hanifah: "kalaulah bukan kerana 2 tahun bersama imam Ja'afar pasti Nukman (Abu Hanifah) binasa" (Jami' al-Maqasid Lil Karki). Satu isyarat bahawa beliau mendapat faedah ilmu sunnah dari imam Ja'afar. Sedia dimaklumi imam Abu Hanifah adalah antara tokoh sunnah yang terkenal dan salah satu dari pemilik mazhab yang empat. Jadi kesimpulannya ialah; imam Ja'afar adalah imam Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang dengan al-Quran dan Sunnah baginda. Menghormati sahabat-sahabat Nabi, tidak mencerca mereka sekalipun seorang.


Memang terdapat banyak periwatan dusta yang dinisbahkan kata-katanya kepada beliau. Ini semua adalah dustaan yang dicipta tanpa sanad yang soheh oleh golongan Syiah bagi menyokong kesesatan mereka. Berhati-hatilah! Bukankah Nabi juga didustakan dengan hadis-hadis yang Nabi tidak pernah menyebutkannya? Bukankah banyak hadis-hadis palsu yang di nisbahkan kepada Nabi? Bukankah ini pendustaan? Jika hal ini berlaku kepada Nabi, maka kepada insan selain baginda ianya bertambah Aula dan utama untuk berlaku. Dimanakah kesungguhan Syiah Imamiah dalam memperincikan yang benar dan yang dusta dari Imam Ja'afar al-Sodiq? Seperti yang dilakukan oleh ulama sunnah dikalangan Ahlil Hadis tentang apa yang datang dari Nabi r? Apakah yang akan mereka jawab? Jawapnya ialah Taqiyyah (keharusan berbohong bahkan adakalanya wajib berdusta). Allahulmusta'an.


Sebahagian Tesis yang menulis tentang syahsiah imam Ja'afar;

- "لإمام جعفر الصادق وآراؤه في الإمامة, دراسة نقدية لما نسبه إليه الشيعة من الأباطيل" لمحمد محفوظ رسالة ماجستير في الشريعة وأصول الدين بجامعة أم القرى.

- "الإمام جعفر الصادق ومنهجه في الدعوة إلى الله" لعزت محمد السروجي رسالة دكتوراه في أصول الدين بجامعة الأزهر.

- الإمام جعفر الصادق ومنهجه ومدرسته وأثره" لعبدالقادر محمود الدسوقي رسالة ماجستير في الآداب بجامعة الإسكندرية.

- "مرويات الإمام جعفر الصادق في الكتب التسعة" لمؤيد أسعد دناوي رسالة ماجستير بجامعة آل بيت


Rujukan utama;

1)kitab Siyar A'lam an-Nubala karangan az-Zahabi.

2)Imam Ja'afar al-Sodiq karangan Fadhilah Syeikh Soleh bin Abdillah, Qodhi besar di Qotif Arab Saudi.



[1] Mereka adalah golongan yang berpegang dengan akidah al-Hulul dan Ilhad (al-Hulul bermaksud; sangkaan bahawa Allah bersatu ke dalam tubuh sebahagian hamba-hambanya ataupun dengan ungkapan lain ialah al-Lahut telah bersatu dengan an-Nasut (lihat Usul Mazhab Syiah Imamiah 12 pembentangan dan kritikan karangan Syeikh Nasir bin Abdillah al-Qofari). Ini sama seperti apa yang di imani oleh orang Kristian dan Hindu (brahma). Ilhad ialah; terpesong dari kebenaran dan tersesat dari yang hak.(lihat al-Wajiz Fi Aqidah Salaf as-Soleh karangan syeikh Dr Abdullah bin al-Humaid)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...