Dulu kecoh isu mengkafirkan individu setelah berlakunya pertembungan idealogi antara dua parti besar melayu di Malaysia. Adakah fahaman ini masih wujud? Zahirnya telah berlaku pertambahan ilmu dan pemahaman sekalipun unsur-unsur mengkafirkan ini masih wujud dengan kadar yang kecil . Untuk menjelaskan perkara ini kepada generasi ahli sunnah yang akan datang maka saya perincikan permasalahan ini seringkas mungkin insya' Allah.
Hukum asal bagi individu muslim ialah tetap keislamannya dan keadilannya sehinggalah terbukti dia melakukan perkara-perkara yang jelas menyebabkan kepada kekufuran dan kesyirikan. Haram hukumnya mengambil mudah dengan mengkafirkan orang Islam atau menfasikkannya kerana ianya menjerumuskan kepada 2 perkara:
1) Mencipa pendustaan terhadap Allah dalam menghukum.
2) Terjebak kepada larangan hadis Nabi riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud : "Jika seseorang lelaki mengkafirkan saudaranya maka dia telah memperakui dengannya (kekafiran) salah seorang diantara keduanya" dalam riwayat lain ditambah : "Jika ianya betul
maka betullah dan jika tidak maka kekafiran itu kembali kepadanya".
Gejala mengkafirkan individu muslim adalah satu fahaman yang dipelopori oleh golongan al-Khowarij. Disebabkan oleh kesan-kesan besar yang timbul dari masalah ini maka Ahli Sunnah meletakkan beberapa syarat supaya akidah individu muslim tidak dicerobohi kehormatannya hanya disebabkan oleh salah faham dan rasa agresif pihak-pihak tertentu.
Takfir terbahagi kepada dua;
1)Takfir secara umum ,
Iaitu mengkafirkan mana-mana golongan yang dikafirkan oleh Syara' secara umum tanpa menuding jari kepada mana-mana peribadi dan individu muslim. Contohnya mengkafirkan sesiapa yang mencerca Nabi Muhamad, mengkafirkan orang yang mengatakan hukuman Allah kolot dan tidak sesuai dengan zaman, mengkafirkan orang yang mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan sebagainya.
2)Takfir secara khusus,
Iaitu mengkafirkan individu muslim secara khusus disebabkan oleh perkataan pelaku ataupun perbuatannya yang bertentangan dengan akidah islam. Contohnya mengkafirkan si fulan yang menyembah kubur atau orang yang mengumumkan kemurtadannya dan sebagainya.
Perbezaan antara dua perkara ini ialah; takfir secara umum tidak menyebutkan nama si pelaku akan tetapi menyebutkan sifat, kelakuan ataupun perkataan yang boleh menjadi kafir. Adapun jenis kedua pula; menyebutkan nama orang yang dikafirkan disebabkan perkara-perkara tertentu. Takfir jenis pertama tidak menjadi masalah disisi ulama sunnah, selagi ianya menepati nas-nas wahyu. Iaitu mana-mana kedapatan dalil soheh yang mengkafirkan perbuatan ataupun kata-kata sipelaku maka boleh dikafirkan perbuatan tersebut. Sebagai contoh; Allah mewajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka sesiapa yang berkata puasa itu tidak wajib maka dia telah jatuh kafir. Namun apabila seorang individu muslim berkata bahawa puasa tidak wajib, adakah boleh mengatakan si fulan telah jatuh kafir? Jawapannya tidak boleh! Sebab kita telah memasuki kepada jenis takfir yang kedua, iaitu mengkhususkan individu ataupun (Ta'yin). Hal ini tidak boleh berlaku kecuali apabila telah tertegak semua syarat-syarat yang berikut;
Prasyarat untuk mengkafirkan individu (secara khusus);
1-Hendaklah orang yang mahu dikafirkan mengetahui kesalahannya yang mewajibkan dirinya menjadi kafir ataupun fasik. Adapun orang yang jahil tentang apa-apa yang dilakukan dan disebutnya (tidak tahu hukum) seperti mengatakan : "undang-undang Demokrasi lebih baik dari undang-undang islam" maka dia dituntut bertaubat dan dimaafkan. Maksud dari surah al-Taubah : ayat 115, "Dan Allah tidak menyesatkan sesuatu kaum selepas mengurniakan mereka petunjuk sehinggalah diterangkan kepada mereka apa yang sewajarnya ditakuti sesungguhnya Allah maha mengetahui ke atas setiap sesuatu". Sebab itu ulama menyebut; "Tidak boleh dikafirkan orang yang mengingkari kewajipan fardhu jika dia seorang yang baru memeluk islam sehinggalah dijelaskan kepadanya".
2-Hendaklah sipelaku melakukan perbuatannya dengan kemahuan dirinya dalam keadaan sedar tanpa paksaan orang lain. Adapun dipaksa ataupun diluar kesedarannya seperti terlalu sedih hingga menyebutkan sesuatu yang membawa kekufuran maka tidak boleh dihukum kafir. Allah berfirman:
( مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْأِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْراً فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عظيم)
Maksudnya: "Sesiapa yang kufur kepada Allah selepas keimanannya kecualilah siapa yang dipaksa kepada kekufuran sedang hatinya tetap beriman, akan tetapi orang yang kafir itu ialah siapa yang jelas kepada kekufuran dengan kerelaan maka ke atas mereka kemurkaan Allah dan bagi mereka azab yang maha besar". an-Nahl : 106.
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( لَلَّهُ أَشَدُّ فَرَحًا بِتَوْبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يَتُوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى
رَاحِلَتِهِ بِأَرْضِ فَلَاةٍ فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابُهُ فَأَيِسَ مِنْهَا فَأَتَى شَجَرَةً فَاضْطَجَعَ فِي ظِلِّهَا قَدْ أَيِسَ مِنْ رَاحِلَتِهِ فَبَيْنَا هُوَ كَذَلِكَ إِذَا هُوَ بِهَا قَائِمَةً عِنْدَهُ فَأَخَذَ بِخِطَامِهَا ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَحِ اللَّهُمَّ أَنْتَ عَبْدِي وَأَنَا رَبُّكَ أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الْفَرَح)
Maksud hadis: " Sesungguhnya Allah sangat gembira dengan taubat hambanya ketika hamba itu bertaubat, kegembiraan itu mengatasi seseorang yang berada di atas kenderaannya (unta) dalam merentasi bumi yang kontang, tiba-tiba hilang tunggangannya yang bersama tunggangan itu semua makanan dan minuman. Maka orang itu pun berputus asa sehinggalah dia berteduh dan berbaring di satu pohon kerana kesal di atas kehilangan kenderaannya.Ketika dia dalam keadaan itu tiba-tiba tunggangannya itu berdiri disisinya, lantas si lelaki memegang kekang untanya kemudian dia berkata kerana terlalu gembira: ya Allah engkau adalah hambaku dan aku adalah tuhanmu" tersilap (tersasul) kerana terlalu gembira". Riwayat Imam Muslim no 2744.
3-Hendaklah sipelaku tidak mempunyai Takwilan (tafsiran) atau Syubahat yang disangka betul ataupun dia tidak memahami hujah Syara' dengan reality yang sebenar, jika pelaku mempunyai takwilan terhadap apa yang dilakukan dan disebut maka tidak boleh dikafirkan sehinggalah dijelaskan dan dia memahami bahawa takwilannya itu salah. Firman Allah;
( ولَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيما)
Maksudnya; "Dan bukanlah satu kesalahan ke atasmu terhadap apa-apa yang kamu tersilap dengannya akan tetapi dosa dan kesalahan itu terhadap apa yang hati kamu sengajakan sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha pengasih". al-Ahzab :ayat 5
Imam ibnu Taimiyyah berkata di dalam Majmu' Fatawa: "Adalah imam Ahmad bin Hambal merahmati mereka (para khalifah yang terkesan dengan kata-kata Jahmiyah yang mendakwa dan mengimani bahawa al-Quran adalah makhluk) beliau memohon keampunan untuk mereka kerana beliau mengetahui bahawa mereka (para khalifah) tidak mengetahui pendustaan puak-puak Jahmiyah terhadap Rasul, mereka itu (khalifah) bukan mengingkari apa yang datang dari Nabi, akan tetapi mentakwilkan sesuatu dan tersilap, terikut-ikut terhadap apa yang dikatakan kepada mereka".
Beberapa kesan apabila dikafirkan ;
1) Orang yang telah dikafirkan jika mati dalam kekafiran maka tidak dimandikan mayatnya, tidak disolatkan dan tidak dikebumikan diperkuburan orang islam.
2) Hendaklah dipisahkan hubungan suami isteri yang sebelum ini halal.
3) Tidak mendapat harta pusaka dan tidak boleh mewariskan (diwarisi).
4) Wajib didakwa di hadapan Qodhi untuk dihukum bunuh selepas enggan bertaubat dalam tempoh 3 hari kerana termasuk dalam kes murtad.
5) Tidak halal sembelihannya kerana telah menjadi kafir.
6) Mati dalam kekafiran maka wajib mendapat laknat Allah & Malaikat serta kekal selamanya di dalam Neraka.
Kesimpulannya ialah, akidah Ahli Sunnah tidak sekali-kali membenarkan individu muslim dikafirkan ataupun difasikkan kecuali terbukti dengan dalil-dalil Syara' yang kuat disamping telah tertegak keatas mereka 3 syarat yang tersebut. Namun begitu pengkafiran itu tidak dilakukan oleh invididu umum akan tetapi oleh segolongan ulama yang muktabar. Wallahu A'lam.
Rujukan tambahan;
1) "نواقض الإيمان الاعتقادية وضوابط التكفير عند السلف" إعداد د. محمد بن عبد الله بن علي الوهيبي.
2) "ضوابط التكفير عند أهل السنة والجماعة" - لعبد الله بن محمد القرني.
3) "ضوابط التكفير" د.إبراهيم الرحيلي.
0 comments:
Catat Ulasan