RSS Feeds

Rabu, 4 Februari 2009

"Menghormati pandangan orang lain"

Seringkali kedengaran slogan "Menghormati pandangan orang lain" samada di media elektronik, ceramah, penulisan dan sebagainya. Ungkapan ini seolah-olah menjadi peraturan tetap dan tidak boleh disangkal. Sedangkan ungkapan ini adalah suatu yang tidak muktamad dan tidak semestinya benar. Setiap permasalahan agama landasannya adalah al-Quran dan Sunnah bukan berdasarkan pandangan. Siapa jua sekalipun jika salah dalam masalah agama maka pendapatnya tidak boleh digunapakai dan tidak boleh dibiarkan tanpa tentangan. Kerana jika kita berdiam, maka itu merupakan pengkhianatan terhadap islam dan muslimin yang membawa maksud menyembunyikan kebenaran. Maksud firman Allah; ((Dan ingatlah ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab iaitu hendaklah kamu semua menerangkan isi kitab itu kepada manusia dan janganlah kalian menyembunyikannya…)) al- Imran ayat 187.
Amaran Ibnu Abbas,
Lihatlah bagaimana Ibnu Abbas membantah pandangan Abu Bakar dan Umar ketika seseorang berhujjah dengan menggunakan pandangan Abu Bakar dan Umar dalam isu membatalkan niat haji kepada umrah. Lantas Ibnu Abbas menjawab; "Hampir-hampir Allah menurunkan batu dari langit untuk ditimpakan kepada kamu, aku mengatakan bahawa Nabi telah bersabda, sedangkan kalian mengatakan Abu Bakar dan Umar telah berkata!". Wajib difahami bahawa tidak boleh berijtihad dalam sesuatu perkara jika terdapat nas ataupun dalil.

Menyanggah kesalahan bukanlah bererti merendah-rendahkan atau memperlekehkan martabat dan kedudukan orang yang dibantah. Kecuali jika yang dibantah itu sememangnya orang yang jahil maka kedudukannya sebagai orang yang berlagak pakar dalam agama wajib dijelaskan supaya umat islam tidak terkeliru! Yang dikhawatiri ialah; dia akan dianggap sebagai ulama sedangkan dia bukanlah ulama, bahkan orang jahil yang berlagak pandai.
Sikap ulama rabbani wali-wali Allah.

Para ulama tersohor tidak sama sekali membenarkan kesalahannya dibiarkan tanpa teguran dan mereka berlapang dada untuk menerima kebenaran daripada pembawanya. Lihatlah bagaimana Abu Hanifah sebagai contoh telah berkata; "Jika terdapat hadis yang datang daripada Nabi, maka kami akan taat sepenuhnya. Jika terdapat ucapan yang datang daripada sahabat Nabi maka kami juga akan taat sepenuhnya. Jika ada ucapan yang datang daripada selain mereka (Nabi dan para sahabat) maka mereka adalah lelaki (tokoh) dan kami juga adalah lelaki (tokoh)". Maksudnya jika sesama ulama maka perkara itu merupakan masalah Ijtihadiyyah.
Masalah Ijtihadiyyah yang belum jelas kebenarannya tidak sewajarnya diingkari apabila pandangan itu datangnya dari seorang Mujtahid. Imam Malik bin Anas berkata; "Setiap perkataan manusia boleh diterima dan ditolak kecuali penghuni kubur ini (Rasulullah)". Sementara itu Imam Syafie juga pernah berkata; "Jika kata-kataku bertentangan dengan hadis Nabi maka campakkanlah kata-kataku ke dinding". Maksud beliau ialah tinggalkanlah kata-kataku. Imam Ahmad berkata; "aku pelik melihat sebahagian manusia yang sudah mengetahui sanad dan kesohehan sanad tersebut, namun mereka masih mengikuti pendapat Sufian (Sufian al-Thauri) sedangkan Allah telah berfirman yang bermaksud; ((Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahNYA takut akan ditimpakan cubaan ataupun azab yang pedih)) an-Nur, ayat 63.
Simbolik disebalik slogan,
Sewajarnya diketahui bahawa orang yang sering melaung-laungkan slogan; "menghormati pandangan orang lain" mereka ini sebenarnya hanya menghormati pendapat-pendapat yang bertepatan dengan hawa nafsu dan yang sejajar dengan perjuangan mereka sahaja sekalipun pendapat itu bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah. Jika pendapat ini bertentangan dengan selera hawa nafsu mereka, maka mereka akan mula melabelkan gelaran jumud, ekstrim, dangkal dan lain-lain gelaran buruk terhadap pandangan yang bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah.

Kewajipan menyanggah dan membantah,
Membantah dan menyanggah orang yang menyimpang dalam agama Allah merupakan kewajipan, ini supaya perkara yang benar tidak bercampur dengan yang batil. Allah telah membantah perkataan orang-orang munafiq dalam al-Quran yang mulia. Rasulullah telah memerintahkan Hasan bin Thabit membantah kaum musyrikin dengan menggunakan syair-syairnya. Nabi bersabda yang bermaksud: ((Jawablah untukku dan semoga Ruhul Qudus (Jibril) bersamamu)). Riwayat Bukhari.

Adab dalam menyanggah dan menegur,
Dalam kita menegur dan menyanggah pandangan sewajarnya kita berpaksikan kepada adab-adab islam. Maksud dari bantahan dan teguran itu adalah mempertahankan kebenaran bukannya membela diri atau untuk membantai orang yang dibantah. Hendaknya kita dalam menyanggah pandangan yang salah ini, tidak menyentuh pribadi orang tersebut contohnya dengan memperlekeh-lekehkan orang tersebut! Kecualilah jika orang yang dibantah itu sememangnya sesat dan merupakan peminat bida'ah.

Dalam surah al-Maidah ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud; ((Katakanlah hai Muhammad, "Mahukah aku khabarkan kepada kalian tentang orang-orang yang lebih buruk pembalasannya di sisi Allah? Iaitu orang-orang yang dikutuk dan dimurkai Allah. Ada diantara mereka yang dijadikan kera dan babi serta penyembah Toghut" mereka itu lebih buruk tempatnya dan lebih sesat dari jalan yang lurus)).

Sanggahan Imam Ahmad terhadap Jahmiyyah,
Dalam mukaddimah bantahan terhadap Jahmiyyah beliau mengatakan; "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan pada setiap masa, sekumpulan ulama yang membersihkan penyimpangan orang-orang yang ghulu terhadap kitab Allah. Menghapuskan pandangan orang-orang yang menolak sifat-sifat Allah serta menghilangkan pentakwilan orang-orang jahil. Para ulama ini menyeru orang-orang yang sesat ke arah petunjuk. Mereka bersabar dengan gangguan orang-orang yang sesat! Betapa ramai orang yang sesat telah mendapat petunjuk melalui ulama, betapa ramai manusia yang hatinya dimatikan oleh iblis telah dihidupkan kembali melalui dakwah para ilmuan. Alangkah positifnya kesan mereka terhadap manusia dan alangkah buruknya balasan manusia jahil terhadap mereka (ulama)".
Kita bermohon kepada Allah agar kita semua dikurniakan ilmu yang bermanfaat serta amalan soleh. Kita berdoa semoga Allah mengislahkan para pemimpin kita dan seluruh pemimpin umat islam agar Allah memenangkan agamanya dan meninggikan kalimahnya. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kaum muslimin yang tersesat. Amin ya rabbana.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...