RSS Feeds

Isnin, 9 November 2009

Persoalan Tauliah


Bermula daripada memorandam PGSM kepada Yang Di Pertuan Agung, penahanan Dr Asri JAIS, Dr Asri menunggu di Mahkamah, Tuduhan pemalsuan sijil Dr Asri oleh Zamihan, komentar daripada pemimpin-pemimpin politik dan perbincangan ahli parlimen berkait Isu penganugerahan Tauliah. Saya tidak tahu apakah lagi selepas ini? Pertembungan kaum tua dan kaum muda? Atau meWahabikan agamawan yang cenderong kepada ilmu dan hujjah?


Tidak dinafikan bahawa penganugerahan tauliah adalah hak dan kuasa negeri masing-masing yang dibawah naungan Sultan. Itu bukan pertikaiannya kerana tujuan tauliah adalah bagi mengelakkan mereka yang tidak layak mengajar itu mengajar. Mengelakkan penyebaran ajaran-ajaran sesat merebak. Ini semua ada maslahahnya! Malangnya kebagusan maslahah itu mungkin juga disalahgunakan oleh segelintir pendokong fahaman tertentu yang bertugas dalam anggota majlis yang meluluskan sijil tauliah. Cadangan YB Dr Zulkifli Nordin agar: "proses penyeragaman perundangan berkaitan isu pemberian tauliah untuk penceramah" sangatlah baik dan disokong ramai.


Tarik balik Tauliah;

Soal penganugerahan tauliah dan penarikannya juga sangat pelik! Sebagai contoh, almarhum Dato Ishak Baharum mantan mufti Selangor tidak mempunyai tauliah selepas tidak menjadi mufti! Ust Ismail Kamus yang dahulunya adalah ahli majlis penemuduga JAIS bagi urusan tauliah tiba-tiba sahaja tanpa alasan kukuh, tauliah beliau ditarik! YB Khalid Samad juga mengadu hal sama. Tidak lupa juga apa yang berlaku pada Prof Dr Harun Din. Adakah mereka ini telah mengajar yang sesat? Saya yakin tidak!


Apa kayu ukur yang menjamin pemohon lulus Tauliah?

Sukatan yang menjadi markah untuk lulus atau gagal juga adalah sangat berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh, di JAIS mengikut pengalaman saya dan teman-teman, pemohon langsung tidak disoal dari sudut bacaan al-Quran & hafalannya. Hanya satu sahaja soalan fekah! Lebih kurang 20 soalan adalah berkait dengan masalah furuk (cabang); soal membaca qunut, berzikir, bertahlil, membaca yasin, bertalqin, menyambut Maulidurrasul dan lain-lain lagi. Adakah islam ini hanya setakat itu fahamannya?


Saya amat hairan, dimanakah soalan-soalan fekah selain daripada Najis Mughallazoh? Bab Muamalah, Jinayah, Ibadah, dan lain-lain? permasalahan Akidah, Tafsir, Hadis dan Usul Fekah? Apakah islam ini hanya kelaziman-kelaziman yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia sahaja? Kemudian kelaziman-kelaziman itu diwajibkan dan disandarkan pula kepada Imam Syafie secara dusta! Wujudkah bacaan tahlil selepas kematian, yasin malam jumaat berjemaah, talqin, dan Maulid Nabi pada zaman sahabat & imam-imam Mazhab?


Membongkar hakikat;

Sejarah maulid Nabi itu bermula pada zaman kerajaan Fatimiyyah (Syiah) di Mesir kurun yang ke empat oleh sang raja! Adapun talqin di Malaysia sambil duduk di atas kubur dengan pelbagai-bagai versi itu tidak wujud sama sekali ditanah arab! Tidak di Saudi, tidak juga di Mesir, Jordan & Yaman! Demikian juga halnya dengan tahlil secara berjemaah selepas kematian, ditambah lagi dengan 3 hari berturut-turut. Ini juga tidak dilakukan oleh orang-orang arab. Mungkinkah orang-orang arab kurang faham agama? Ataupun mereka ini pemalas! Tidak mahu berdoa dan mungkin sombong, seperti yang sering dikomentari oleh segelintir jemaah Malaysia apabila orang-orang arab tidak berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu. Soal Basmalah secara jahar (kuat) ini hanyalah dalam Mazhab Syafie sahaja. Adakah kita mahu mewajibkannya sedangkan ulama mazhab yang lain mengatakan tidak? Sedangkan khulafa ar-Rasyidin juga tidak membaca secara jahar. Soal Qunut juga begitu halnya. Mengapakah islam ini hanya difaham dalam bab-bab yang seperti ini sahaja? Di besar-besarkan dan akhirnya dibuat kesimpulan bahawa mereka yang tidak melakukan perkara-perkara ini maka dia adalah wahabi! Masyaallah…ramainya orang yang telah menjadi Wahabi yang amat ditakuti kesesatannya itu hanya kerana mereka itu cuba mengikuti petunjuk Nabi dan para sahabat! Bermakna, Negara-negara bermazhab Hanafi, Maliki dan Hambali adalah Wahabi? Adakah ini benar?


Kehidupan zaman moden;

Saya tidak tahulah bagaimana ulama-ulama Malaysia pada 50 tahun yang lepas mendepani isu berkait memakai tudung, mandi bunga untuk buang sial dengan iktikad dipinang orang, mandi bulan Safar untuk buang sial, kalungkan bayi dengan tali capal, memakai tangkal di lengan, menyembelih korban untuk pokok besar, menyangka wujudnya petanda buruk apabila gagak menguwak, sembahyang teman, membaca al-quran di atas kubur orang yang baru mati selama 40 malam, membuat tahlil mengikut bilangan hari seperti 3, 7, 40 hari (sudah difatwakan bidaah di Perak), kepercayaan tahyul jangan langkah bendul bila nak kahwin, tidak boleh kahwin sepupu dan khurafat-khurafat lain serta kesyirikan.


Dimanakah amalan, kepercayaan dan kebiasaan itu sekarang? Adakah tok-tok kiyai yang isterinya dahulu hanya berkemban dipandang orang ini benar? Dengan kita tidak menafikan sumbangan mereka pada agama bahkan keilmuan mereka dalam beberapa bidang tertentu! Tapi yang salah itu jangan dipertahankan apalagi jika jelas menyanggah al-Kitab dan Sunnah! Adakah ulama-ulama sekarang sudah Wahabi belaka kerana mengarahkan isteri mereka menutup aurat? Apakah Ahli Majlis Fatwa Perak yang diketuai oleh Tan Sri Harussani telah menganut Wahabi kerana mengharamkan kenduri arwah 7 hari berturut-turut? Mungkinkah umat islam moden Malaysia sekarang Wahabi kerana tidak lagi menggunakan tangkal, tidak membaca al-Quran selama 40 malam di atas kubur dan lain-lain lagi perkara khurafat dan bidaah? Bagus juga jika anda sudi menjenguk blog ini; http://drazwan.blogspot.com/2007/07/assalamualaikum-wbt.html.

Pejabat Jais Shah Alam


Ilmu tersebar, bertambah & berkurang;

Ilmu di sesebuah Negara bertambah dan berkurang bergantung kepada komitmen kerajaan, ulama, cendiakawan, dan masyarakat setempat dalam menyebarkan ilmu tersebut. Malaysia amat mundur pada 40 tahun yang lalu berbanding Uk dan Amerika dalam pelbagai bidang. Kerajaan Islam Andalus amat maju pada kurun ke 6 Hijrah sedangkan Eropah berada pada zaman gelap! Pemahaman tentang ajaran Islam masih terlalu cetak ketika Indonesia dan Malaysia pada tahun 1950an berbanding Arab Saudi, Mesir dan Jordan pada ketika itu. Bahkan Negara yang dahulunya kuat berpegang dengan agama pun menjadi lemah apabila peranan ulama tidak digerakkan! Sebagai contoh di Arab Saudi sebelum kemunculan dakwah syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab, percayakah anda bahawa kedapatan orang islam yang menyembah kubur? Meminta kepada orang mati supaya dikurniakan anak dan jodoh. Meminta kepada pokok besar supaya dikurniakan anak lelaki dan bermacam-macam lagi kesyirikan di bumi Najd, Hijaz dan Jazirah Arab umumnya?


Anda juga perlu tahu pada 150 tahun yang sudah juga, masih wujud 4 imam dalam masjidil haram dalam satu waktu! Bermakna ketika solat maghrib ada 4 orang imam yang masing-masing menjadi imam kepada makmum mazhabnya masing-masing. Bukankah kejahilan-kejahilan seperti ini terhapus setelah tersebarnya ilmu dan pemahaman yang betul terhadap agama ini? Kenapakah terlalu sukar pemikiran zaman moden ini untuk mendengar hujah dan dalil-dalil al-kitab dan as-Sunnah? Tanpa kita menolak kepentingan mazhab dalam setiap Negara demi kemaslahatan. Tetapi pastikan apa yang di anggap sebagai pegangan mazhab itu wujud dalam mazhab! Bukan sekadar penipuan yang didustakan kepada imam-imam mazhab sedangkan mereka tidak pernah mengatakannya. Hal seperti ini adalah pendustaan dan kezaliman yang besar terhadap tokoh-tokoh tersebut.


Saya bermazhab Syafie;

Ketika saya mengaku bermazhab Syafie, janganlah saya mencipta satu pendapat dan amalan yang tidak dilakukan oleh Imam Syafie lalu saya yang kononnya sebagai ustaz mengatakan bahawa Imam Syafie menyuruh melakukannya. Jika saya masih berkeras untuk memakai tangkal, setidak-tidaknya janganlah menisbahkan keharusan itu pada Allah, Rasul dan imam-imam Ahli Sunnah, sedangkan hukumnya adalah haram! Lantas bukankah ini satu penipuan terhadap agama Allah? Membuat penipuan terhadap Nabi dan ulama agung tersebut adakah sama dosanya jika saya menipu orang-orang tertentu seperti Abu syafiq (Mahfuz)? Mana kata-kata imam tersebut? Bukannya apabila dipersoalkan, maka jawapannya ialah; "oh, anda adalah pengikut Wahabi"! "Jangan banyak Tanya, ikut cakap ustaz"! Senteng sangatkah pemikiran kita yang hidup pada alaf 21 ini? Ulama Rabbani sejak zaman berzaman menerima dan menolak sesuatu perkara berdasarkan hujjah dan dalil. Jika perkara tersebut berada dalam luang lingkup ijtihad dan yang harus untuk berkhilaf, maka mereka berlapang dada serta tidak pernah memaksakan ulama lain untuk mengikuti pandangannya.


Islam datang ke Nusantara melalui peniaga-peniaga Yaman;

Islam dibawa oleh para peniaga dengan menunjukkan akhlak islam yang mulia. Mereka ini bukanlah ulama, tetapi penganut islam yang punyai semangat dakwah yang tinggi. Kemudian berdepan pula dengan perkara-perkara luar biasa (sihir) masyarakat dan agama hindu yang menebal di Indonesia ketika itu. Beberapa perkara termasuklah khurafat dan syirik tidak dapat dibendung sepenuhnya. Mereka ini terpaksa menggunakan muzik & nyayian untuk memanggil orang supaya berhimpun solat.


Sehinggalah pembaharuan dan tajdid dari semasa ke semasa berlaku. Islam semakin difahami dengan amat baik, kesyirikan, khurafat dan tahyul semakin dihindari. Bidaah semakin dijauhi dan begitulah ringkasnya yang terjadi di Malaysia. Saya yakin tajdid dan perubahan ini dapat difahami oleh masyarakat bijak seperti di malaysia ini. Hanya beberapa kerat ulama berkepentingan sahaja yang menolaknya. Tiada lagi ketaksuban kepada tokoh-tokoh berjasa seperti Wali Songo sehingga mahu menganggkat mereka ke maqam Nabi.


Mufti Perak, TGNA, TGHH dan ramai ulama tidak layak mengajar;

Saya yakin, ini adalah ucapan yang amat keterlaluan, tetapi itulah itulah realitinya apabila tiada tauliah walaupun ilmu segunung. Itulah hakikatnya walaupun majority masyarakat menerima mereka dalam persoalan agama. "Ada kelayakan tetapi tidak boleh"! Maka selama-lamanya Tan Sri Harussani dilarang mengajar di 13 negeri. Orang Pahang yang mahu mendengar kuliah beliau secara live kenalah datang ke Perak! Susah sekali mahu menyebarkan islam di tanah Air sendiri yang islam merupakan majority. Senang sekali dakwah kristian dan agama lain dibumi Malaysia. Jadilah agama islam di Malaysia merempat di tanah air sendiri. Wallahu a'lam.


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...