RSS Feeds

Ahad, 1 November 2009

Mengenali Imam al-Baghawi Rahimahullah.


Beliau adalah al-Hafiz, al-Faqeh, Mujtahid, penghidup Sunnah; Abu Muhammad al-Husin bin Muhammad al-Farra' al-Baghawi as-Syafie yang digelar sebagai Rukun al-Din. Salah seorang ulama yang telah berkhidmat dalam bidang Tafsir dan juga Sunnah an-Nabawiyyah samada dengan mempelajari, mengajar mahupun menulis. Al-Baghawi adalah nisbah kepada nama tempat yang terletak di Khurasan di antara Muru dan Hirah.


Guru-guru beliau;

Diantara guru imam al-Baghawi yang terkenal ialah;

1) Qadhi Husin bin Muhammad al-Marwazi as-Syafie,

2) Syaikh Abdul Wahid bin Ahmad al-Mulaikhi,

3) Syaikh Abul hasan Ali bin Yusuf al-Juwaini,

4) Syaikh Hassan bin Sa'ad al-Mani'ee,

5) Syaikh Abu Bakar al-Marwazi,

6) Syaikh Abul Hasan Muhammad bn Muhammad as-Syirazi.

7) Syaikh Abul Qasim al-Qusyairi.

8) Syaikh Abdul Baqi bin Yusuf al-Maraghi as-Syafie.

9) Syaikh Abu Ja'afar bin Muhammad bin Abdillah at-Thusi.

10)Syaikh Abu Thoohir az-Zarrar dan lain-lain lagi sekitar 460 orang guru.


keistimewaan beliau dan pujian ulama terhadapnya;

Beliau adalah ulama yang bermazhab syafie yang hidup dalam suasana persekirannya tetapi beliau tidaklah taksub dengan keimaman Imam Syafie, bahkan beliau sentiasa mengikuti dalil dan melihat pandangan-pandangan ulama lain serta dalil-dalil mereka. Lantas beliau menyeru supaya berpegang kepada al-Kitab dan as-Sunnah. Imam az-Zahabi berkata dalam kitab Siyar A'lam an-Nubala; "al-Baghawi adalah ketua, Imam, seorang yang Alim, Allamah, seorang yang Zuhud, serta sentiasa Qana'ah dengan yang sedikit".


Imam as-Suyuti berkata dalam kitab Tobaqat al-Huffaz; "Dan telah diberkati baginya dalam karangan-karangan beliau, kerana tujuannya yang baik, sesungguhnya beliau dikalangan ulama Rabbani, memiliki ibadah dan pengabdian dan sentiasa Qana'ah dengan yang sedikit".


Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wan Nihayah berkata;" Beliau ,merupakan orang yang paling alim di zamannya, berpegang kuat dengan agama, bersifat Wara', ahli ibadah, seorang yang soleh."


Kesan-kesan peninggalan beliau;

Beliau meninggalkan penulisan dan karangan yang amat banyak, berfaedah dan berguna dalam bidang Tafsir dan Hadis serta Feqah. Dalam bidang Feqah pula ianya meninggalkan kesan bermanfaat yang amat besar kepada sesiapa yang datang selepas zaman beliau. Terkenal karangannya dengan topik-topik yang amat berharga, kalimah-kalimahnya yang mudah dan senang dan dengan gaya penulisan yang menarik dan bermanfaat. Di antara karangan-karangan beliau yang tersohor ialah;


1) (Kitab Ma'alim at-Tanzil) , merupakan kitab dalam bidang Tafsir yang sederhana. Termasuk dalam katogeri Tafsir bil Ma'thur (iaitu yang mentafsirkan ayat dengan ayat yang lain ataupun dengan hadis). Yang mana menaqalkan kata-kata ahli tafsir dikalangan Sahabat, Tabi'in dan yang selepas mereka. Ibnu Taimiyyah berkata tentang kitab tafsir ini; "Tafsir Baghawi ini adalah ringkasan daripada Tafsir Tha'labi akan tetapi beliau menapisnya daripada hadis-hadis yang Maudu' dan pandangan-pandangan yang bida'ah".

2) (Syarah as-Sunnah) yang menghimpunkan di antara ilmu Riwayah dan Dirayah.

3) (Masobih as-Sunnah), beliau menghimpunkan sejumlah hadis-hadis Nabi berserta dengan Isnad. Beliau menbahagikan hadis kepada soheh (Bukhari dan Muslim), Hasan (yang didatangkan dalam Sunan Abi Daud dan Tirmizi) mana-mana yang terdapat hadis Dhoif dan juga Gharib maka dia akan memberi isyarat. Kitab ini terdapat beberapa ulama yang mensyarahkannya; antaranya (Misykat al-Masobih karangan Waliuddin Muhammad bin Abdillah al-Khatib).


Kewafatan Imam al-Baghawi;

Seperti ulama yang lainnya, kehidupan ulama besar ini di akhiri dengan pertemuannya dengan ajal yang sudah termaktub. Beliau telah kembali ke Rahmatullah di bumi Maru (Khurasan yang terletak berhampiran sungai Marghob yang sekarang memasuki sempadan Turkistan) pada bulan Syawal tahun 516 Hijrah dan dikebumikan bersebelahan dengan makam gurunya al-Qadhi Husin. Beliau wafat setelah berjuang dalam hidupnya yang dilimpahi dengan ilmu dan kecintaan kepada Sunnah selama 70 tahun lebih tetapi belum berkemampuan menunaikan ibadah haji. Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkannya bersama para Anbiya', Syuhada dan Solehin dan disanalah sebaik-baik tempat bertemu pendamping.

Rujukan;

"Siyar A'lam an-Nubala" Tarjamah no:258 karangan Imam az-Zahabi.

"Tobaqat as-Syafieyyah al-Kubra" 7;77 karangan Imam Tajuddin as-Subki.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...