Selepas kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas Kelantan 21 Okt, kes yang sama berlaku di Surau Al-Rahmaniah Kampung Teluk Yan kedah. Sebelum itu pula di Kapar Selangor 24 Feb 2008, Pulau Pinang dan banyak lagi kisah sama yang dicatatkan akhbar. Masing-masing memberi kesimpulan dan pandangan kerana kejadian pelik ini. Sudah terlalu banyak sebenarnya kejadian pelik berlaku di dunia ini, tetapi masih ramai yang tidak mengambil pelajaran.
Jika memang benar-benar berlaku maka perkara ini termasuk dalam urusan ghaib. Semua mukminin wajib beriman dengan perkara-perkara yang ghaib tanpa khilaf. Isu sejadah berdiri (solat) sepatutnya menjadi ikhtibar buat semua umat islam di Malaysia khasnya. Koreksi semula jumlah umat islam di Malaysia yang tidak solat! yang pastinya bilangan sejadah di setengah-setengah masjid melebihi bilangan orang yang solat (kebiasaannya). Bilangan sejadah 100 helai tetapi yang menunaikan solat berjemaah subuh di masjid itu hanyalah 10 orang. Sedangkan bilangan penduduk lelaki muslim di kawasan masjid itu ialah 1000 orang! Sepatutnya yang solat ini manusiakah atau sejadah? Sejadah itu menjadi lapik sahaja. Tanpa sejadahpun tetap sah solatnya dan kewajipan solat itu tidak pernah gugur! Bukankah sepatutnya kejadian seperti ini menjadi tazkirah kepada kita?
Pelbagai kemungkinan;
Memang tidak dinafikan bahawa kemungkinan yang membuatkan sejadah itu bangun solat adalah jin-jin islam yang ingin menzahirkan kewujudan mereka secara tidak menyeluruh. Ataupun boleh disimpulkan juga bahawa sudah ramai jin-jin di Malaysia yang memeluk islam lalu belajar solat berjemaah. Malangnya orang melayu pula sebuk keluar dari agama suci ini dan menjadi murtad! Tidak salah jika dikatakan bahawa sejadah ini bangun sendiri dengan kuasa Allah tanpa ada unsur-unsur makhluk lain (ghaib/halus) yang menggerakkannya. Boleh jadi juga, kejadian sejadah berdiri yang semakin membiak itu adalah angkara manusia? Baca ulasan ilmiyyah berikut; http://www.zaharuddin.net/content/view/883/32/
Mukjizat Nabi;
Mari kita lihat kembali kisah-kisah yang berlaku pada zaman Nabi besar Muhammad Alaihissolatu Wasssalam. Bukankah batu di Mekah memberi salam kepada Nabi? Bukankah batang kurma yang menjadi mimbar Nabi menangis ketika ditukarkan dengan kayu yang lain dan semua sahabat mendengar tangisan itu? Bukankah batu yang memjadi sangkutan pakaian Nabi Musa Alaihissalam berlari dan Musa mengejarnya? Inilah diantara perkara-perkara ghaib yang wajib diimani tanpa sebarang keraguan. Adapun teori-teori sains yang sekadar menjauhkan kita daripada keyakinan ini ataupun cuba menafikan kekuasaan Allah maka ini bukanlah jalan umat yang mendapat petunjuk.
Menjadi Khurafat;
Saya tidak nafikan kekhawatiran Jabatan Agama Islam Negeri yang mengaitkan isu ini dengan perkara khurafat. Bagaimana? Ianya menjadi khurafat jika ada dikalangan orang islam jahil (bodoh) yang mengambil sejadah itu lalu mengagung-agungkannya. Atau menjadikan sejadah itu sebagai azimat dan tangkal sebagai contoh. Atau mula memuja dan menyembah sejadah itu. Semua ini bukan sahaja membawa khurafat bahkan menjadikan orang tersebut jatuh syirik dan menjadi ahli neraka. Ingatlah bahawasanya hanya Allahlah yang layak disembah. Allahlah yang maha berkuasa terhadap semua kejadian. Allahlah yang selayaknya di esakan tiada tuhan melainkan Allah. Lalu patuhilah segala perintah Allah dan RasulNYA dalam al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya solat adalah tiang (rukun) agama dan pemisah di antara iman dan kufur.
Angkara khianat;
Hairan juga jika ada ulasan yang menyatakan bahawa kejadian sejadah berdiri ini kemungkinan factor khianat. Khianat jenis apakah ini selepas begitu banyaknya pengkianatan terhadap islam, bangsa dan negara? Khianat apakah jika ianya juga berlaku di rumah individu dengan kewujudan ahli keluarga dirumah tersebut? Mungkin khianat yang dimaksudkan ialah angkara beberapa individu yang inginkan kemasyhuran dan memperkenalkan kampungnya dengan cara mencipta kepelikan. Apapun ulasannya, janganlah hendaknya menjadi penyebab kepada kegagalan kita mentauhidkan Allah dalam sekalian ibadah, melaksanakan segala perintahNYA, menjauhi laranganNYA dan RasulNYA.
Semoga manusia-manusia yang menisbahkan dirinya kepada agama islam segera bertaubat dan menunaikan tuntutan solat lima waktu khasnya secara berjemaah. Semoga masjid-masjid di seluruh Malaysia diImarahkan oleh mereka yang menunaikan solat, berzikir, halaqah-halaqah ilmu dan yang seumpamanya. Janganlah hendaknya golongan jin islam lebih Imarah berbanding orang islam di Malaysia. Wallahu a'lam.
0 comments:
Catat Ulasan