RSS Feeds

Sabtu, 17 Oktober 2009

Penjelasan Kepada Pembahagian Tauhid Tiga

"Bismillahirrahman al-rahim… Ya Allah, aku memohon kepadaMU ikhlas dalam semua perbuatan dan perkataan, dan aku pohon keredhoaanMU dan syurgaMU".


Sekarang ini, sudah semakin sering umat islam yang terkeliru dan terpengaruh dengan dakwah-dakwah serta penipuan dan tipu helah yang dibawa oleh Hasan Saqqaf dan pengikut-pengikutnya. Lantas golongan ahli bidaah ini membidaahkan perkara-perkara yang tidak bidaah. Menghentam ulama ahli sunnah dan salaful ummah. Mendakwa bahawa pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma' Wassifat sebagai (Trinity) ataupun Taslish seperti diimani golongan kristian. Kerana mereka ini tidak faham perbezaan di antara 2 perkara yang berlainan ini ataupun mereka dengan sengaja buat-buat jahil lalu mentohmah golongan yang kuat berpegang kepada al-Quran, Sunnah dan Ijma' Salaful ummah dengan pelbagai tohmahan dan fitnah.


Mereka yang seperti ini samalah perangainya dengan Jahmiyyah yang melampau sikapnya dalam semua perkara. Jaham bin Sofwan az-Zindiq ini malangnya memiliki kefasihan, kepetahan dan kehebatan bermain kata-kata yang akhirnya mempengaruhi orang ramai dengan kesesatan dan kejahilannya. Berkata Imam Ishak bin Rahawaih Rahimahullah; "Tanda-tanda Jaham dan pengikutnya ialah tohmahan mereka terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah yang betul-betul mendalam kedustaannya, bahawa ahli sunnah ini adalah musyabbihah (samakan Allah dengan makhluk)! Bahkan mereka (Jahmiyyah) adalah golongan muattilah (menolak dan menafikan sifat-sifat Allah). Demikianlah seperti yang disebutkan oleh ramai dikalangan ulama-ulama salaf; "Tanda-tanda Jahmiyyah ialah menyamakan Ahli Sunnah sebagai musyabbihah"[1].


Akidah tuhan tiga (Trinity) adalah akidah kristian yang menjadikan tuhan kepada tiga iaitu ayah, anak dan malaikat Jibril (Ruh al-Quds). Allah telah mengkafirkan akidah ini dengan firmannya yang bermaksud; ((Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang mengatakan bahawa Allah itu salah satu dari tiga. Dan tiadalah tuhan kecuali Allah yang Esa (satu) dan jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan pasti orang-orang yang kafir dikalangan mereka akan ditimpakan azab yang maha pedih)). Surah al-Maidah; 73.


Adapun pembahagian tauhid kepada tiga ianya adalah pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah seluruhnya. Yang mana para mukminin ini mengimani ketiga-tiga tauhid ini (Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma Was Sifat)!


Tauhid Rububiyyah; pengangan yang pasti dan kukuh bahawa Allah sahajalah pencipta, pemberi rezeki, menghidupkan, mematikan, mentadbir sekalian urusan makhluk tanpa ada sekutu bagi Allah dalam urusan-urusan tersebut.


Tauhid Uluhiyyah; mengesakan Allah taala dengan penuh rendah diri, kecintaan, kekhusyukan dalam sekalian bentuk ibadah yang tiada sekutu baginya.


Tauhid Asma Was Sifat; mengimani dengan penuh keyakinan nama-nama dan sifat-sifat Allah yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Dan menetapkan nama-nama dan sifat-sifat Allah itu tanpa Tahrif (merubah), tanpa Taktil (menolak dan menafikan), tanpa Takyif (menyoal kaifiyat) dan tanpa Tamsil (menyamakan).Sila lihat pendetailan perkara ini dalam : http://saifulislam.com/?p=341 bagi mengelakkan tulisan ini menjadi terlalu panjang.


Saya suka meringkaskan penjelasan tentang pembahagian tauhid kepada tiga ini dalam nota-nota penting yang berikut;


1) Pembahagian ini hanyalah bermaksud menjelaskan akidah dan pegangan umat islam yang sebenarnya dan setiap pecahannya itu telah didatangkan contoh-contohnya dalam al-Quran al-Karim juga hadis Nabi yang soheh. Ianya tidak bermaksud bahawa Allah itu ada tiga! Maha suci Allah daripada sebarang kesyirikan!


2) Tauhid itu membawa maksud pengesaan kepada Allah dalam semua perkara. Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma Was Sifat.


3) Umpamanya dalam kita bertutur bahasa Arab ianya merangkumi 3 pembahagian yang disekalikan iaitu; Isim, Fe'il dan Huruf. Tidak mungkin kita menggunakan Isim sahaja dalam pertuturan, atau Fe'il sahaja, sudah pasti bahasa kita tidak difahami maksudnya. Demikianlah tauhid ini, tidak boleh seorang itu beriman dengan Rububiyyah sahaja sebagai contoh sedangkan dalam masalah Uluhiyyah menyekutukan Allah! Sembahyang menyembah patung! Menyembah kubur! Menyembelih untuk syaitan dan lain-lain kesyirikan! Sudah pasti imannya catat dan hakikatnya dia belum beriman kepada Allah walaupun dia mengakui bahawa Allah adalah pencipta.


4) Bukankah kafir Quraisy Makkah beriman bahawa Allah adalah tuhan mereka?lihat surah toha; 110, mukminun; 84 dan az-Zukhruf 87. Bukankah Yahudi dan Kristian juga beriman bahawa Allah tuhan mereka? Adakah mereka islam dan beriman? Sudah tentu tidak! kerana mereka masih menyembah selain Allah. Melakukan kesyirikan dalam ibadah-ibadah mereka. Samada doa, korban, solat, puasa dan lain-lain ibadah.


5) Pembahagian tauhaid kepada tiga ini telah disebutkan oleh ulama-ulama salaf terkemudian sebelum kelahiran Imam Muhammad bin Abdul Wahab. Bahkan sebelum zaman Syaikhul Islam ibnu Taimiyyah lagi. Jadi tidak timbul soal ini adalah ajaran Wahabi atau tidak. Antaranya Imam Abu Hanifah yang wafat tahun 150 H dalam kitabnya (al-Feqhul absot) ; "Allah diseru daripada atas bukan daripada bawah kerana (bawah) bukanlah kesederhanaan dalam menggambarkan Rububiyyah dan Uluhiyyah". Kata-kata beliau " Allah diseru daripada atas bukan daripada bawah" menunjukkan penetapan kepada sifat Uluw (tinggi) dan ini termasuk dalam tauhid Asma Was Sifat. Kata-kata beliau gambaran Rububiyyah dan Uluhiyyah merupakan pengisbatan kepada tauhid Rubibiyyah dan Uluhiyyah. Demikian juga disebutkan oleh iama Ibnu Mandah yang wafat tahun 395 H dalam kitabnya (al-Tauhid), dan Imam Ibnu Battoh al-Akbariy wafat tahun 387 H dalam kitabnya ((Al-Ibanah 'an Syariatil Firqatin Najiyyah wa Mujanabatil Firaq Al-Madzmumah)). Sila lihat pendetailan dalam link berikut; http://tanyajawabagamaislam.blogspot.com/2009/06/asal-usul-pembagian-tauhid.html.


6) Menafikan pecahan ini membawa maksud kesamarataan akidah antara orang Islam, Yahudi, Nasrani, dan agama-agama lain selagi mana mereka ini mengakui bahawa tuhan pencipta adalah Allah maka mereka adalah islam. Inilah yang diterapkan oleh Jaham bin Sofwan al-Zindiq yang mengatakan ((iman)) adalah makrifah (pengetahuan)! Cukup anda tahu Allah itu wujud maka anda telah beriman, sekalipun anda tidak menyembah Allah ataupun menyembah syaitan dan berhala? "Maha suci Allah! Sesungguhnya ini adalah pendustaan yang amat jelas!"


7) Pembahagian tauhid kepada tiga oleh ulama-ulama salaf ini, adalah melalui Istiqra' (penelitian menyeluruh) terhadap dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah. Ini dijelaskan oleh al-Allamah as-Syeikh al-Amin as-Syanqiti dalam kitab tafsirnya yang masyhur (Adwaul Bayan) ketika mentafsirkan surah al-Isra' ; 8.


8) Penafian atau membidaahkan pecahan ini hanyalah dilakukan oleh mereka yang anti kepada golongan salaf. Mengapakah ketika ini mereka (anti salaf) ini tidak mengatakan bahawa ini adalah bidaah hasanah? Bukankah ulama-ulama salaf yang membahagikannya ini sekadar memberi penjelasan dan mereka tetap beriman bahawa Allah itu satu, hanya Allah yang layak disembah, menjauhi perkara-perkara syirik dan mencegah manusia daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan kepada kesyirikan? Pembahagian ini tidak lain hanyalah akan membongkar kesesatan mereka dalam masalah Asma Was Sifat, dalam masalah Uluhiyyah seperti penyembah kubur dan lain-lainnya.


9) Sewajarnya yang diperhatikan dalam masalah ini ialah isikandungan kepada pembahagian tersebut, adakah ianya menyalahi hukum-hukum syarak dan ijma' atau tidak? Adapun sebuk mencela pecahan-pecahan tersebut sedangkan orang yang mencela ini cenderung kepada kesyirikan dan kesesatan (Uluhiyyah dan Asma Was-Sifat) maka ini adalah kejahilan dan jalan kepada kebinasaan.


Semoga mereka yang anti salaf ini dilembutkan hatinya dan diberi petunjuk oleh Allah kepada jalan yang lurus. "Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami perkara yang hak itu adalah hak dan kurnikan kepada kami petunjuk untuk mengikutinya. Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami perkara yang bathil itu sebagai bathil dan kurniakanlah kepada petunjuk untuk menjauhinya", amin.



[1] Lihat syarah al-akidah at-tohawiyyah karangan ibnu abil izz jilid 1 m/s 85

6 comments:

Tanpa Nama berkata...

masyallah baru kami faham

Tanpa Nama berkata...

artikel ini sangat jelas dan memberi kefahaman kepada salah faham saya selama ini.

walaupun agak rumit untuk mememahami semua point kerana terlalu ringkas tetapi ia padat dan jelas bagi yang berfikir sejenak..

banyakkan lagi artikel ilmiah seperti ini, syukran ustaz yeop

Tanpa Nama berkata...

salahkah bagi masyarakat melayu nusantara dengan memamhi sifat 20 sebagai antara pegangan tauhid?

DAKWAH YEOP berkata...

mempelajari sifat 20 itu tidak salah jika dengan tujuan membantu memahami sifat2 Allah yang ianya termasuk dalam tauhid asma wassifat. yang salahnya ialah hanya mengimani 20 sifat itu sahaja serta menafikan sifat2 Allah yang lain yang disebutkan dalam al-quran dan hadis2 nabi yang soheh. wallahu a'lam.

Tanpa Nama berkata...

Ape sifat2 Allah yang lain? Ada ulama lain yang tampilkan lagi ke sifat-sifat selain Abu Hassan Assyaari dan Almaturidi?. Saya hairan terdapat pelajar yang mempercayai tauhid 3 mengatakan ianya berasal dari muktazilah, sedangkan Tuan Guru Nik Aziz sendri penah mengajar didalam kuliah nya tentang sifat 20.

DAKWAH YEOP berkata...

akidah Muktazilah dlm masalah sifat ialah menafikan semua sifat2 Allah dengan alasan jika kita mengisbatkannya maka kita telah mentasybihkan (menyamakan) Allah dengan makhluk. jadi tidak timbul sifat 20 itu berasal daripada mereka.

ramai ulama yang membincangkan masalah tauhid asma was sifat ini antaranya ialah imam al-baihaqi dalam kitabnya (al-asma' was sifat). imam abu hafinah juga membahaskan masalah sifat dalam kitabnya (al-feqhul akbar). imam ahmad bin hambal, ibnu khuzaimah, ibnu mandah, ibnu battoh, az-zahabi, ibnu taimiyyah, ibnu qayyim dan ramai lagi.

apabila saudara membaca al-quran dan hadis, maka terdapat sifat2 lain selain 20 sifat itu spt sifat redho, marah, nuzul, istiwa (bersemayam), maji'(datang, pemurah, jabbar dan lain2 lagi.

adalah suatu yang tidak munasabah bahawa hanya 2 ulama shj yang menulis dan membincangkan tauhid asma dan sifat sedangkan ianya suatu yang penting. bahkan ulama2 sblm abul hasan dan mathuridy sudah menulis dan membincangkan ttg tauhid ini. wallahu waliyyu taufiq.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...